Saya lahir ketika Allahyarham Tun Hussien Onn menjadi PM, sehingga darjah 4 ( 1980 ) saya tidak ingat apa-apa tentang Tun Hussien, yang saya ingat ketika itu Datuk Harris Salleh telah menjadi Ketua Menteri Sabah, mengalahkan parti USNO. Yang saya ingat ketika itu, anak-anak sekolah diberikan pen, pensil, buku latihan, kasut, sarung kaki, baju, tudung, susu. Memang baguslah masa itu , sebab keluarga yang tidak mampu juga akan dapat bersekolah sama dengan anak-anak yang lain. Saya tidak tahu sama ada hari ini masih ada subsidi seperti ini.
Kemudian, saya membesar ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Tun M seorang nasionalis sejak dia kecil sebenarnya. Ketika berumur belasan tahun, sudah menjadi ahli Saberkas, Pekembar, dan menulis di akhbar-akhbar untuk menentang penjajah British. Kisahnya amat menarik, kerana sewaktu kecil Tun M menjual kuih-muih di sekitar kampungnya dan Pekan Rabu. Tun M dengan Allahyarham Tun Abdul Razak pernah menaiki teksi ke rumah Datuk Ahmad Badawi di Kepala Batas, ketika itu nak ada pilihanraya rasanya, Tun M dan Allahyarham Tun Razak memujuk ayah Pak Lah supaya janganlah bertanding pilihanraya, berilah peluang orang lain. Begitulah orang dulu-dulu bermusyawarah, sambil makan tengahari akhirnya mereka bersetuju. Tok Guru Nik Aziz pun sangat menghormati Tun M, sehingga akhir-akhir ini di mana ada Tok Guru Nik Aziz di situ ada Tun M.
Tahun lalu saya dan Tun M berutus surat tentang pandangan-pandangan saya terhadap situasi negara dan global.
Semasa Pak Lah menjadi PM, saya di Labuan. Beberapa bulan kemudian saya berpindah ke KL. Apabila kerajaan mendapat keputusan kurang 2/3 majoriti dalam PRU-12 Mac lalu, maka bermacam-macamlah kerenah berlaku antaranya usul undi tidak percaya SAPP kepada Pak Lah. Ketika saya bekerja di Tawau, saya pernah membuat teks ucapan YB Datuk Chua Soon Bui. Pernah juga membantunya membuat program-program masyarakat dan sekolah.

Beliau tidak pernah tidak ke rumah jika hari raya, pasti akan datang awal sambil membawa anak-anak dan keluarganya. Jika Hari Guru, beliau akan mengirim Kuih Kek ke sekolah-sekolah. Semasa SMK Abaka terbakar ( 1997 ), YB Datuk Chua Soon Bui antara YB yang paling terkedepan membantu dan memberi sumbangan. Memang ramahlah dia ni...Jadi, apabila SAPP buat usul undi tidak percaya kepada PM, saya sebenarnya tidak percaya YB Datuk Chua Soon Bui akan menyokong. Saya menghubungi Mr. Shim Paw Fatt Naib Presiden SAPP ( Mantan MP Tawau ) term yang lepas melalui SMS, dan meminta beliau supaya parti SAPP mengambil jalan tengah, berunding, dan berlembut.
Pak Lah mempunyai latarbelakang agama yang baik. Ayah dan datuknya adalah pengasas sekolah pondok di Pulau Pinang, malah antara pengasas tarekat yang ulung di Tanah Melayu. Keluarga Pak Lah ini sangat terkenal di Yaman, di sebuah madrasah ( **lupa nama Madrasah, nanti akan diconfirmkan dulu ). Apabila Pak Lah tidak membuat apa-apa tindakan kepada SAPP dan 2 MP ini, itulah tanda orang yang mempunyai agama, yakni sabar. Saya maklumkan kepada Shim Paw Fatt, ajaklah semua jumpa Pak Lah kerana Pak Lah akan mendengar.
Saya tidak menulis tentang kekurangan PM-PM di atas, kerana saya lebih suka bersikap positif. Mengambil yang positif, sebagai manusia biasa kita sendiri banyak melakukan kesalahan. Jadi jika kita menuding jari kepada mereka, 4 jari menunjuk kepada kita semula. Lagi pun, saya berfikiran, Rumahtangga kita ( Kerajaan kita ), kita saja yang tahu kekuatan dan kekurangan kita. Orang lain tidak tahu. Adakah sahabat kita tahu berapa simpanan wang yang ada dalam poket kita? Kita saja yang tahu berapa yang kita ada, dan berapa banyak yang kita boleh agih-agihkan kepada ibu bapa, adik-adik dan anak-anak.
Samalah dengan Pak Lah, adakah kita tahu berapa wang kerajaan kita ada secara tepat, berapa tahun wang itu boleh digunakan, apakah masalah jika kerajaan kurang wang, jika tiada simpanan apakah kesannya, apakah semua wang perlu disubsidikan kepada minyak dan makanan, mereka selalu bandingkan harga minyak dengan negara-negara Arab, Kuwait, Iran, Iraq, Nigeria...tapi pernahkah kita kaji berapa juta tong lagi simpanan mereka, berapa ratus tahun lagi minyak mereka ada, berapa jumlah penduduk mereka...nak dibandingkan dengan petronas yang sekarang terpaksa mencari minyak di luar negara. Jika tidak diurus dengan baik, lihatlah Indonesia dulu Pengeluar minyak, menjadi anggota OPEC...hari ini terpaksa keluar dari OPEC kerana sudah tidak menjadi pengeluar minyak, malah Pertamina ( macam Petronas ) sudah mula bankrap dan ditutup satu demi satu. Tentu kita tidak mahu Petronas jadi begitu.