RAFFLES = THE MALAY NATION

on Thursday, November 20

MELAYU BERSIFAT TERBUKA

Hari ini masih banyak orang (termasuk orang Melayu-Islam) yang lebih takut kepada orang yang berkuasa daripada Allah, lalu mereka memuja orang itu.

1. Setiap bangsa mempunyai budaya dan tamadun. Yang penting tentang budaya ini bukanlah semata-mata adat resam atau amalan ritualnya, tetapi sistem nilai, minda, dan pandangan hidup bangsa yang dicerminkan melalui budaya itu.

2. Salah satu ciri penting budaya Melayu yang dapat dikaji berdasarkan sistem pemikiran Melayu ialah sifat keterbukaannya. Budaya Melayu melakukan pelbagai interaksi sosial dengan budaya yang datang dari luar Kepulauan Melayu. Namun, orang Melayu secara kolektif dapat menghadapi cabaran dan menyelesaikan masalah hidup bangsanya sepanjang zaman.

3. Proses ini berlaku melalui pertembungan budaya Melayu dengan empat tamadun luar yang besar, iaitu tamadun dari India, Arab-Islam, China, dan Eropah. Sepanjang pertembungan itu, bangsa Melayu melakukan transformasi besar dalam tamadun mereka dari zaman animisme sehingga ke mercu tamadun yang tertinggi apabila orang Melayu menerima agama Islam dan mulai meninggalkan segala macam kepercayaan khurafat.

4. Apabila Islam mulai berkembang di rantau ini, orang Melayu tidak mengubah identiti mereka menjadi "orang Melayu-Arab-Islam", tetapi tetap mengekalkan dua akar tunjang Melayu iaitu bahasa Melayu dan budaya Melayu.

5. Dalam budaya Melayu-Islam lahir dua prinsip keadilan sejagat yang merentas segala peraturan buatan manusia. Dua prinsip keadilan Melayu-Islam ini diungkapkan melalui dua pepatah yang luar biasa iaitu "Biar mati anak jangan mati adat" dan "Raja adil raja disembah raja zalim raja disanggah". Siapakah pada hari ini yang berani menolak prinsip sejagat di balik dua pepatah Melayu ini?

6. Adat yang dimaksudkan dalam pepatah ini ialah "hukum" atau undang-undang, misalnya undang-undang jenayah, undang-undang mencegah maksiat, rasuah, penipuan, dan lain-lain lagi; bukannya adat resam, misalnya adat bersanding, adat memotong jambul, dan lain-lain lagi. Yang penting, menurut "fatwa" Melayu-Islam ialah adat itu tidak bercanggah dengan syariat atau melanggar hukum tauhid.

7. Dalam cara mentadbir urusan rakyat, model pemerintahan Melayu berdasarkan prinsip permuafakatan dan kerjasama antara raja (pemerintah) dengan orang bawahannya. Hal ini dinyatakan melalui kiasan "raja itu seumpama api, manakala perdana menteri dan para pegawainya seumpama kayu; api tidak menyala jika tiada kayu".

8. Berkaitan hubungan antara raja dengan rakyat, modelnya dinyatakan melalui kiasan "raja seumpama pohon, rakyat seumpama akar. Pohon tidak mampu berdiri tanpa akar". Maksudnya jelas - raja atau kerajaan bergantung pada rakyat. Kuat rakyat, kuatlah raja atau kerajaan. Lemah rakyat, lemahlah kerajaan.


9. Masyarakat Melayu tidak mempunyai sistem kasta. Apabila Islam berkembang dalam masyarakat Melayu sistem kelas sosial mulai terhapus. Islam mengembangkan idea tentang kebebasan manusia dan hak manusia yang sama rata di sisi Allah.

10. Dalam Islam, rakyat bukan hamba kepada kerajaan, tetapi tonggak (atau akar) kepada kerajaan. Jika rakyat diperhamba oleh pemimpin, disekat kebebasannya, ditutup mulutnya daripada bersuara untuk menegur kelemahan pemimpin, maka rakyat menjadi lemah atau akhirnya rakyat yang tidak tahan akan bangun memberontak.

11. Alam Melayu ini sudah menghadapi cabaran globalisasi selama lebih kurang 400 tahun sejak Portugis menawan negeri Melayu-Islam Melaka pada 1511. Tetapi dalam tempoh lebih 400 tahun proses globalisasi itu berlaku di alam Melayu, bangsa Melayu atau the Malay Nation kata Raffles, tidak musnah. Agama Islam kekal sebagai agama yang dominan di alam Melayu; bahasa Melayu berjaya menjadi bahasa ilmu, bahasa kesusasteraan tinggi, bahasa kerajaan, dan bahasa diplomasi di seluruh alam Melayu ini; institusi raja Melayu kekal selepas Inggeris meninggalkan Tanah Melayu.

12. Itulah kekuatan yang sudah ada pada bangsa Melayu-Islam, kekuatan yang dibina melalui sejarah yang agak panjang, selama sekurang-kurangnya 700 tahun sejaktertubuhnya kerajaan Melayu-Islam yang awal, iaitu kerajaan Samudera-Pasai awal abad ke-13. Kekuatan itulah yang mesti dikembalikan atau dihidupkan semula untuk menghadapi cabaran hari ini di Malaysia - cabaran yang dalam banyak hal tidak jauh bezanya daripada cabaran yang dihadapi oleh bangsa Melayu sejak 1511.

13. Masalah yang sedang dihadapi oleh bangsa Melayu sekarang terutama oleh kepemimpinan Melayu ialah masalah kehilangan perspektif tamadun Melayu-Islam dalam menghadapi cabaran memerintah negara yang rakyatnya kini terdiri daripada pelbagai kaum etnik, budaya, agama dan bahasa. Pemimpin sekarang tidak menyelesaikan masalah rakyat menurut cara Melayu-Islam. Kita tidak mematuhi prinsip keadilan "Biar mati anak jangan mati adat" atau prinsip "Raja adil raja disembah raja zalim raja disanggah".

14. Selain itu, hubungan antara kaum semakin tidak mesra dan tidak tenang bukan kerana bersifat perkauman tetapi disebabkan masalah ketidakcekapan bangsa Melayu-Islam menguruskan masalah itu. Allah berfirman bahawa Dia menjadikan manusia berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya mereka dapat mengenali satu sama lain. Tetapi kita tidak menggunakan perintah ini sebagai model untuk menangani isu kepelbagaian etnik di negara ini. Segala sistem kebangsaan yang baik untuk perpaduan kebangsaan dirosakkan di peringkat pelaksanaannya, sehingga berlaku perpecahan semangat nasional dalam kalangan rakyat Malaysia.

15. Kita jangan menyangka bahawa zaman jahiliah sudah tidak ada lagi dalam zaman yang dikatakan zaman moden ini. Hari ini masih banyak orang : (termasuk orang Melayu-Islam) yang lebih takut kepada orang yang berkuasa daripada Allah, lalu mereka memuja orang itu. Kebanyakan orang sekarang bercakap tentang kebebasan tetapi mereka tidak sedar bahawa sebenarnya mereka tidak bebas secara hakiki.

16. Manusia hanya bebas di sisi Allah. Jika mereka memuja ideologi, memuja kerajaan, parti politik, atau pemimpin mereka, itu bukan kebebasan. Mereka tidak mampu melakukan kebaikan dan pembaharuan dalam pemerintahan jika mereka tidak berani mengubah sistem yang buruk kerana takut kepada orang yang berkuasa.

17. Jika orang Melayu-Islam yang memerintah negara ini mengamalkan cara pemerintahan yang baik, cekap, tegas, dan adil kepada semua rakyat, tidak rasuah, tidak lembik, tidak terlalu banyak beretorik dan berpolitik, tidak timbul pelbagai masalah seperti sekarang. Orang bukan Melayu pasti menerima dan menghormati dan menyanjung pemimpin Melayu yang sebegini.

18. Begitu juga jika orang bukan Melayu menjadi ketua yang baik, bersih, cekap, dan adil kepada semua kaum, orang Melayu-Islam pasti menerima dan menghormati ketua itu, tanpa mengira kaum dan agama.
( Karya asal bertajuk ” Apabila Melayu Hilang Punca ”oleh Ybhg. Dato’ Hassan Ahmad, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan. Beliau juga mantan Wakil Tetap Malaysia ke UNESCO dan mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa & Pustaka )

2 Komen:

Panglima Perang Cyber said...

Salam Jemputan

Seruan untuk sertai Team Blogger Negara Malaysia ( TBNM )!

Saya baru sahaja meletakkan komen di beberapa blog untuk mengajak dibuat team blogger barisan hadapan negara.

Ia satu inisiatif saya bagi merapatkan saf dan hubungan sesama blogger yang tidak senang dengan blogger yang menggunakan sumber palsu fitnah dan gosip di dalam penulisan mereka.

Cara berhubung dimaksudkan dengan mengguna Yahoo Messenger.

Senarai mereka yang menyertai team ini akan diletakkan di dalam blog masing masing.

Nama team ini mungkin boleh diletak Blogger Malaysia atau apa shj yg sesuai nanti

Setiap ahli akan menziarahi blog ahli lain dan saling bekerjasama memberi komen dan pendapat tentang sesuatu isu atau masalah dan pandangan yang berlaku atau disentuh oleh team kita.

Begitu juga jika ada blog yang dilihat tidak mengamalkan etika sebagai blogger terhormat maka kita akan gerakkan team ini bagi menegur beramai ramai tindakannya demi mengelakkan kesan yang buruk terhadap negara kita.

Objektif utama :

1. Mengumpulkan blogger2 pembela negara
2. Mempromosi blog blog team di blog ahli team.
3. Memberi komen pandangan setiap artikel yang ditulis oleh team blogger.
4. Melawan pandangan songsang terhadap usaha murni kerajaan serta mengkritik tindakan yang dirasakan tidak sesuai dibuat oleh kerajaan dengan berhikmah dan mauizah hasanah.
5. Mengeratkan hubungan antara blogger utk pengaliran info maklumat terkini.
6. Memastikan agama bangsa dan negara dikuatkan dengan team blogger harapan negara Malaysia ini..


Di harap dapatlah kiranya add email saya untuk Yahoo Messenger bagi memulakan gerakan membina rangkaian blogger negara Malaysia ini.

Email : panglimaperangcyber@yahoo.com

Dijadualkan malam ni Khamis Malam Jumaat, Bertarikh 20 Nov 2008 bersamaan 22 Zulkaedah 1429 tepat jam 9 malam satu pertemuan maya kali pertama akan dibuat.

Moga ramai blogger akan datang dan juga peminat blogger turut hadir sama..

Demi untuk Agama Bangsa dan Negara!


Yang Berblog :

Panglima Perang Cyber
Http://penembak-tepat.blogspot.com

Panglima Perang Cyber said...

mlm ni ada lagi Jumaat mlm sabtu.

pls come all of u !

http://penembak-tepat.blogspot.com


senarai yg dah sertai boleh check d blog hamba.

Post a Comment

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan