PERBINCANGAN DENGAN PAK LAH

on Sunday, June 29

DUA hari ini sangat sibuk. Semalam bersama Dato Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan Malaysia dan Dato Noh Omar, Menteri Pembangunan Usahawan, serta YM Raja Nazrin ( Wisma Putra ) membincangkan isu-isu semasa.

Pada sebelah tengahari, mencuri sedikit masa berjumpa Pak Lah di rumahnya. Saya bersama Datuk Raymond Tan, Timbalan Ketua Menteri Sabah dan dua orang lagi berbincang bagaimana nak mengatasi masalah SAPP di Sabah. Pak Lah seperti biasa , seorang yang merendah diri, tiada pembantu Rumah , maka Pak Lah lah yang menghidangkan minuman dan makanan.

Kami menunggu tidak lama, sebaik sahaja Pak Lah nak masuk rumah kami sudah ada di dalam menunggu. Beberapa orang lagi sedang menunggu giliran di luar rumah untuk berjumpa Pak Lah. Kesian Pak Lah, baru dari majlis di ibu kota, belum sempat duduk sudah ramai menunggu, jadi kami fokuskan perbincangan dan isu-isu semasa SAPP.

Bagi saya, kepimpinan SAPP perlu lebih subjektif dan positif. Tuntutan 8 Perkara yang diminta Datuk Yong Teck Lee jelas sudah lama dipenuhi oleh kerajaan. Kekecewaan peribadi Datuk Yong tidak sepatutnya mengheret MP dan ADUN nya untuk memarahi Pak Lah.

Saya tidak berniat mengghhuraikan isi perbincangan kami dengan Pak Lah, tetapi Datuk Raymond Tan berjanji akan mengatasi masalah ini dengan bijaksana. Tidak akan ada deal dengan Anwar, tidak benar parti menyertai PR, semuanya tindakan ' one man show' Datuk Yong.

...akan sambung,malam ini

MEKKAH DAN MADINAH

on Thursday, June 26

Bagi sesiapa sahaja yang pernah menunaikan Umrah ataupun Haji, sudah pasti ingin pergi sekali lagi untuk menambahkan ibadah kepada Allah SWT. Namun, panggilan itu hanya Allah SWT sahaja yang tahu.

Semasa masuk ke pintu Masjid Nabawi, hati berdebar-debar dan sungguh hiba kerana terkenangkan Rasulullah SAW. Maka beribadatlah rombongan kami, dibantu oleh Mutawwif kami bersolat di kawsan Raudah. Apabila lalu di makam Rasulullah, hati semakin berdebar-debar dan terasa Rasulullah SAW bersama-sama kita. Tidak sedar air mata bercucuran.Sungguh hiba melihat makam Rasulullah, tiada perkataan kecuali air mata dan semangat. Walaupun Cuaca sangat panas namun kawasan di Masjid Nabawi tidaklah terasa panas, itulah barakah dan kuasa Allah SWT.

Dalam perjalanan ke Mekkah pula, melihat keadaan pasir yang berterbangan ditiup angin, kurang pokok-pokok, hanya batu-batan dan gunung-ganang, terbayang pula Rasulullah SAW dan sahabat berhijrah dari Mekkah ke Kota Madinah. Alangkah besar cabarannya. Melihat Jabal Nur, Bukit Tursina, Makam Saidina Hamzah, rumah Salman Al Farisi, Bir Ali, semuanya membayangkan Perjuangan Rasulullah SAW dan sahabat menegakkan agama Islam.

Sesampainya di Kota Mekkah, hati juga semakin berdebar-debar melihat dari jauh cahaya lampu malam mencari-cari di mana Kaabah. Di Dalam hati bersalawat dan berdoa tanpa henti dengan bimbingan Mutawwif.

Melihat sahaja Kaabah, hati semakin besar,tiada perkataan untuk melambangkan Kebesaran Allah, tidak henti-henti memuji Kebesaran Allah SWT dan bersalawat kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.Semasa mengerjakan ibadah Tawaf dan Saie, dibuat dengan tekun,berusaha mengikuti bimbingan Mutawwif. Pendek kata, selama 12 hari kami hanya menumpukan ibadat sahaja.

Semasa melawat Gua Hira' terbayang Rasulullah di situ,semasa di Jabal Rahmah, momohon doa supaya sepupu saya dapat jodoh dia, alhamdulillah dia dapat jodohnya selepas itu dengan izin Allah SWT. Di hadapan Kaabah memohon diampunkan dosa-dosa seluruh keluarga sama ada yang masih hidup ataupun yang telah tiada.

Saya memotong rambut mudah-mudahan gugurnya rambut itu diampunkan juga dosa-dosa yang ada selama ini.Kulit Depan novel Abaka tu, sebenarnya saya baru sehari balik ke KL, tiba-tiba pihak DBP panggil untuk sesi bergambar. Sebab itulah gambar saya di situ tak ada rambut...itulah sejarahnya tu,

Jika ada umur panjang, ada rezeki, ada panggilan lagi dari Allah SWT, saya berharap dapat lagi ke Mekkah dan Madinah untuk menunaikan Haji pula. Semoga tuan-puan sudara-saudari juga dibukakan hati untuk ke sana. Maklumlah, jika kita lihat kehidupan di sekeliling kita, ada orang yang kaya dan sangat mampu, tetapi belum terbuka hati dan belum dipanggil oleh Allah untuk beribadah di Mekah dan Madinah. Berdoalah...

PAK LAH PM YANG PALING SABAR

on Wednesday, June 25

Saya lahir ketika Allahyarham Tun Hussien Onn menjadi PM, sehingga darjah 4 ( 1980 ) saya tidak ingat apa-apa tentang Tun Hussien, yang saya ingat ketika itu Datuk Harris Salleh telah menjadi Ketua Menteri Sabah, mengalahkan parti USNO. Yang saya ingat ketika itu, anak-anak sekolah diberikan pen, pensil, buku latihan, kasut, sarung kaki, baju, tudung, susu. Memang baguslah masa itu , sebab keluarga yang tidak mampu juga akan dapat bersekolah sama dengan anak-anak yang lain. Saya tidak tahu sama ada hari ini masih ada subsidi seperti ini.

Kemudian, saya membesar ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri. Tun M seorang nasionalis sejak dia kecil sebenarnya. Ketika berumur belasan tahun, sudah menjadi ahli Saberkas, Pekembar, dan menulis di akhbar-akhbar untuk menentang penjajah British. Kisahnya amat menarik, kerana sewaktu kecil Tun M menjual kuih-muih di sekitar kampungnya dan Pekan Rabu. Tun M dengan Allahyarham Tun Abdul Razak pernah menaiki teksi ke rumah Datuk Ahmad Badawi di Kepala Batas, ketika itu nak ada pilihanraya rasanya, Tun M dan Allahyarham Tun Razak memujuk ayah Pak Lah supaya janganlah bertanding pilihanraya, berilah peluang orang lain. Begitulah orang dulu-dulu bermusyawarah, sambil makan tengahari akhirnya mereka bersetuju. Tok Guru Nik Aziz pun sangat menghormati Tun M, sehingga akhir-akhir ini di mana ada Tok Guru Nik Aziz di situ ada Tun M.

Tahun lalu saya dan Tun M berutus surat tentang pandangan-pandangan saya terhadap situasi negara dan global.

Semasa Pak Lah menjadi PM, saya di Labuan. Beberapa bulan kemudian saya berpindah ke KL. Apabila kerajaan mendapat keputusan kurang 2/3 majoriti dalam PRU-12 Mac lalu, maka bermacam-macamlah kerenah berlaku antaranya usul undi tidak percaya SAPP kepada Pak Lah. Ketika saya bekerja di Tawau, saya pernah membuat teks ucapan YB Datuk Chua Soon Bui. Pernah juga membantunya membuat program-program masyarakat dan sekolah. Beliau tidak pernah tidak ke rumah jika hari raya, pasti akan datang awal sambil membawa anak-anak dan keluarganya. Jika Hari Guru, beliau akan mengirim Kuih Kek ke sekolah-sekolah. Semasa SMK Abaka terbakar ( 1997 ), YB Datuk Chua Soon Bui antara YB yang paling terkedepan membantu dan memberi sumbangan. Memang ramahlah dia ni...Jadi, apabila SAPP buat usul undi tidak percaya kepada PM, saya sebenarnya tidak percaya YB Datuk Chua Soon Bui akan menyokong. Saya menghubungi Mr. Shim Paw Fatt Naib Presiden SAPP ( Mantan MP Tawau ) term yang lepas melalui SMS, dan meminta beliau supaya parti SAPP mengambil jalan tengah, berunding, dan berlembut.

Pak Lah mempunyai latarbelakang agama yang baik. Ayah dan datuknya adalah pengasas sekolah pondok di Pulau Pinang, malah antara pengasas tarekat yang ulung di Tanah Melayu. Keluarga Pak Lah ini sangat terkenal di Yaman, di sebuah madrasah ( **lupa nama Madrasah, nanti akan diconfirmkan dulu ). Apabila Pak Lah tidak membuat apa-apa tindakan kepada SAPP dan 2 MP ini, itulah tanda orang yang mempunyai agama, yakni sabar. Saya maklumkan kepada Shim Paw Fatt, ajaklah semua jumpa Pak Lah kerana Pak Lah akan mendengar.

Saya tidak menulis tentang kekurangan PM-PM di atas, kerana saya lebih suka bersikap positif. Mengambil yang positif, sebagai manusia biasa kita sendiri banyak melakukan kesalahan. Jadi jika kita menuding jari kepada mereka, 4 jari menunjuk kepada kita semula. Lagi pun, saya berfikiran, Rumahtangga kita ( Kerajaan kita ), kita saja yang tahu kekuatan dan kekurangan kita. Orang lain tidak tahu. Adakah sahabat kita tahu berapa simpanan wang yang ada dalam poket kita? Kita saja yang tahu berapa yang kita ada, dan berapa banyak yang kita boleh agih-agihkan kepada ibu bapa, adik-adik dan anak-anak.

Samalah dengan Pak Lah, adakah kita tahu berapa wang kerajaan kita ada secara tepat, berapa tahun wang itu boleh digunakan, apakah masalah jika kerajaan kurang wang, jika tiada simpanan apakah kesannya, apakah semua wang perlu disubsidikan kepada minyak dan makanan, mereka selalu bandingkan harga minyak dengan negara-negara Arab, Kuwait, Iran, Iraq, Nigeria...tapi pernahkah kita kaji berapa juta tong lagi simpanan mereka, berapa ratus tahun lagi minyak mereka ada, berapa jumlah penduduk mereka...nak dibandingkan dengan petronas yang sekarang terpaksa mencari minyak di luar negara. Jika tidak diurus dengan baik, lihatlah Indonesia dulu Pengeluar minyak, menjadi anggota OPEC...hari ini terpaksa keluar dari OPEC kerana sudah tidak menjadi pengeluar minyak, malah Pertamina ( macam Petronas ) sudah mula bankrap dan ditutup satu demi satu. Tentu kita tidak mahu Petronas jadi begitu.

ABAKA ( Siri 2 ) : Runtuhkan Surau atau Buang Kerja

on Monday, June 23

Pada tahun 1986, kami sekeluarga berpindah dari Kg. Mawar ( letaknya di tengah-tengah ladang getah dan kelapa sawit ) ke Kg. Pertama Bombalai. Ketika kami baru berpindah, kami dapati tidak ada surau , hanya ada masjid tetapi nun jauh 7km ke luar jalan. Maka, saya dan ayah saya pun merancanglah membuat Surau di tengah-tengah kampung supaya orang-orang kampung senang berjamaah. Maklumlah kerja ladang, kadang-kadang pekerja balik pukul 5pm atau 6pm, maka Solat Maghrib selalu tidak sempat berjamaah. Orang-orang kampung juga tidak mempunyai kereta mahupun motor, maklumlah gaji buruh ladang ketika itu dalam lingkungan rm200 ke rm300. Itu tidak juga menjadi sebab utama membina Surau Al-Ajrin itu, hanya untuk berdakwah dan beramal sahaja, supaya aktiviti-aktiviti agama dapat diadakan dalam kampung itu.

Ketika itu saya baru di tingkatan 4 (1987), maka oleh kerana saya agak tahu menulis ( karang-mengarang surat ), maka saya membantu ayah saya menulis surat, kertas kerja, borang permohonan dsbnya. Setiausaha Penaja Pembinaan Surau Al-Ajrin ialah Saudara Lambang Sundang, walaupun dia pekerja biasa sahaja tetapi bantuannya sangat besar.

Pada tahun 1988 kalau saya tidak silap, kami memohonlah kepada Manager Estate ( Ladang tempat kami tinggal ni milik Syarikat asing beribupejabat di London jika tidak silap ), maka dapatlah kebenaran membina Surau itu dengan syarat tidak boleh memohon peruntukan daripada syarikat ladang itu. Ayah saya tanpa memikir panjang lebar terus meminta orang-orang kampung membantu menggali lubang dan menaikkan tiang Surau, dan memasang kerangka penting. Tiang-tiang dan kayu beroti tu sebenarnya kayu ayah saya, tujuan asalnya nak buat rumah, tetapi oleh kerana pencen ayah saya masih lama, maka dia ambil keputusan dirikan surau itu dulu.

Beberapa hari kemudian Manager Estate mengutus surat kepada ayah saya...Sila beri sebab kenapa dirikan Surau di atas tanah syarikat tanpa kebenaran terlebih dahulu. Aduh..kami fikir surat yang pertama tadi tu maksudnya bolehlah didirikan bangunan Surau itu. Rupa-rupanya maksud sebenarnya surat itu hanyalah kebenaran semata-mata, Bukannya Kebenaran Mendirikan Surau.

Maka ayah saya diberi kata dua...: Cabut semula tiang-tiang itu atau Haji ( gelaran ayah saya di kampung ) kena berhenti kerja.

Satu kebijaksanaan ayah saya, walaupun tidak mempunyai pendidikan yang tinggi tetapi mempunyai pemikiran yang tinggi dalam berurusan, menangani masalah, dan diplomasi yang tinggi.

Kami pun mencari orang bijak pandai dan berbincang langkah seterusnya. Seorang pegawai kerajaan ketika itu, Sdra Cacho Bullah namanya, mencadangkan kami menulis surat memohon maaf dan memohon pula Kebenaran Mendirikan Bangunan Surau. Dipendekkan cerita, akhirnya hasil rundingan dalam mesyuarat CLC ( kebetulan ayah saya Ketua kampung, setiap minggu kena hadir mesyuarat dengan management ladang ), maka kebenaran mendirikan bangunan surau pun diperolehi dengan syarat tidak membabitkan wang syarikat.

Akhirnya, pada tahun 1990 Surau Al-Ajrin dapatlah didirikan, walaupun tidak siap sepenuhnya namun ia sudah boleh digunakan. Di sebelah surau kami dirikan pula Tadika Al-Ajrin, supaya anak-anak yang berumur 4 dan 5 tahun ada pendidikan awal, tidaklah bermain-main dengan tanah dan sebagainya.Bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan kehendaknya juga Surau Al-Ajrin dapat dibina, dinamakan nama Al-Ajrin sempena nama adik bongsu saya yang ke-10. Hari ini, sudah 20 tahun surau itu berdiri megah, cuma Tadika Al-Ajrin itu dengan persetujuan saya pada tahun 2002 agar diserahkan kepada pihak Kemas kerana Kemas mempunyai sumber kewangan untuk membayar gaji guru, kedua saya pula sudah berpindah ke Labuan. Murid-murid sulung Tadika itu kini sudah berumur 19 tahun dan akan memasuki Universiti, semoga mereka tidak melupakan Tadika Al-Ajrin tempat mula-mula mereka mengenal huruf dan nombor.

Kami semua sudah berpindah ke Kg. Sg. Imam, saya pula di Kuala Lumpur. Namun, hati sentiasa mengenang kisah lama itu,...Harga Rindu Semakin Mahal Apabila Berjauhan...

ABAKA ( Siri 1 ): Peristiwa Aku Mendesak YB

on Sunday, June 22

Novel ini sebenarnya novel perjuangan, perjuangan golongan marhaen mencari survival hidup, ada kehidupan cukup untuk kais pagi makan pagi, saya ceritakan peristiwa sebenar di Kg. Sg. Imam di mana saya melihat orang-orang Kampung menggali tanah untuk mencari air, sudah tentu ini pelik kerana berlaku selepas 40 tahun Sabah merdeka. Sudah tentu air yang digali itu warna coklat pekat atau kemerah-merahan, saya melihat mereka menapisnya menggunakan sarung, lalu dimasukkan ke dalam botol, sangat sadis melihatnya.

Lalu saya menulis surat kepada YB Datuk Dr. Patawari Hj. Patawe, ketika itu Wakil Rakyat kawasan Merotai. Saya desak Saudara Mohamad Manuke ketika itu Pemimpin Kemajuan Rakyat kawasan Merotai. Alhamdulillah, kawasan Sg. Imam mendapat peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk menyalurkan paip air. Saya sendiri hadir dalam mesyuarat dengan pegawai-pegawai Kementerian Pembangunan Luar bandar.Kami bertegang leher di situ, tetapi itulah perjuangan. Apabila saya balik ke Kampung Sg. Imam, saya sangat gembira kerana seluruh penduduk sudah menikmati kemudahan air.

Kemudian saya melihat masalah jalanraya masuk ke Kampung-kampung dan ke lorong-lorong. Lalu, saya menulis surat panjang lebar, tulisan tangan sahaja sebab ketika itu Komputer belum mampu dibeli, saya menulis surat itu semasa berkursus di Kota Kinabalu, saya katakan kepada YB Datuk Dr. Patawari, berusahalah cari peruntukan untuk buat jalan tar. Ketika saya tinggal di Kg. Sg. Imam, ada satu bukit yang agak tinggi, maklumlah jalan tanah merah, setiap hari lori kelapa sawit juga akan lalui jalan itu, maka apabila hujan pelajar-pelajar, pegawai-pegawai kerajaan akan lewat sampai di pejabat/sekolah kerana jalan itu tidak boleh dilalui. Harus menunggu tengahari apabila sang saka mentari memanaskan jalan itu, maka bolehlah dilalui semula.

Semua ini saya lukiskan dalam novel ABAKA. Nama Abaka ini sempena nama SMK Abaka, Tawau tempat saya bersekolah ( tingkatan 1-3 ), tempat saya menjadi guru sandaran (1992-1995), tempat saya datang smula untuk mengajar selepas tamat belajar di MPTI,Johor Bahru ( 1998-2002 ).

SMK Abaka ini sangat indah suasananya, di lereng bukit, di atasnya air terjun, padang yang luas, pokok Saka yang besar, sama seperti suasana di MCKK, UPSI, dan di mana-mana sekolah yang pernah diduduki orang Inggeris.

Apabila SMK Abaka ini terbakar ( 1997 ), pelajar-pelajarnya pernah belajar di bawah pokok, Surau yang kecil dipecah-pecahkan menjadi 5 kelas, sangat panas, maklumlah beratapkan zink, surau tempat solat pun jadi kelas, setor pun jadi kelas, makmal yang satu-satunya itu pun jadi kelas, librari yang satu-satunya itu pun jadi kelas, Bilik Guru pula di belakang tandas,...kesian, tapi itulah realiti. Namun, semangat dan jati diri guru-gurunya, ibu bapa, masyarakat kampung, dan murid-muridnya sangat kuat. Mereka terus bersekolah walau dalam keadaan sukar.

Akhirnya, pada tahun 1998, Kerajaan Persekutuan meluluskan pembinaan sekolah baru di Bombalai. Sebelum saya berpindah ke Labuan ( 2002 ), saya sempat beberapa bulan menikmati sekolah yang sangat cantik itu.

Ketika saya hendak bertukar ke Labuan, guru-guru membuat jamuan ringkas, walau berat di hati, perjuangan perlu diteruskan di tempat lain. Ketika bersalam..Cikgu Ismail Sulaiman, Pengetua sekolah membisik di telingaku...pergilah berjuang di tempat lain, saya yakin kau akan balik semula menjadi orang yang besar...berhati besar...

Sebagai tanda kenang-kenangan kepada warga SMK Abaka yang ku tinggalkan, orang-orang kampung yang terpaksa ku tinggalkan, maka ku lukiskan sebuah novel bertajuk " ABAKA Kemelut Kesengsaraan & Ranjau". Novel ini mendapat tempat pertama pertandingan menulis novel DBP sempena 4o tahun Sabah Merdeka dalam Malaysia.

Sasterawan Menjaga Agama,Nusa & Bangsanya

on Saturday, June 21

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatu,
Bismillahir Rahmanir Rahim.

Pada zaman Kegemilangan bangsa kita dahulu, nama-nama besar lagi tersohor seperti Tun Sri Lanang, Munsyi Abdullah, Raja Haji, Raja Ali Haji, Nuruddin Ar-Raniri, Hamzah Fansuri, Syed Syeikh Al-Hadi,Pak Sako, Said Zahari, A. Samad Ismail, A. Samad Said, A. Samad Ahmad, Dr. Burhanudin Al-Helmy, Osman Awang, dan banyak lagilah,mereka semua tidak pernah lupa menyumbang idea-idea untuk menyedarkan bangsa kita, membangunkan minda, supaya bangsa kita sedar akan kekurangan mereka ketika itu.
Barangkali tahun-tahun1820an, 1900an, dan tahun-tahun sebelum dan selepas Perang Dunia Ke2, penulis-penulis kita memiliki kesatuan hati yang teguh, mereka tahu peranan mereka, mereka tahu mereka tidak mungkin berjaya jika mengangkat senjata, namun mereka yakin perjuangan dan gerakan boleh bermula dengan setitik tinta. Bukankah kita sangat popular dengan kata-kata Saidina Ali r.a. bahawa " Mata Pena Lebih Tajam Daripada Mata Pedang ".


Pada hari ini,apabila kita merdeka, sesudah kita memiliki segala-galanya yang tidak ada pada tahun-tahun penjajahan dulu, kelihatannya perjuangan sasterawan kita sudah mula kendur, tema-tema perjuangan lebih kepada cinta teruna dan dara, bukan cinta pada bangsa dan negara lagi,cinta sesama jenis bukan lagi cinta pada agama, cinta pada ringgit bukan lagi cinta pada perjuangan,maka marilah kita kembali menulis tentang perjuangan, gerakan, dan wacana.


Cinta dan perjuangan adalah sinonim, bak cinta Shamsiah di dalam hutan belantara, cinta Natrah di Singapura, Cinta Si Tanggang di tengah lautan, Cinta si Jentayu di negara China, semuanya cinta perjuangan.


Mari kita berjuang pertahankan agama kita, bangsa kita, negara kita supaya seribu tahun nanti, masih ada tanah yang ini, Tanah Melayu. Tanah yang pernah diperjuangkan oleh nenek moyang kita dahulu, Dol Said, Tok Janggut, Dato Bahaman, Haji Abdul Rahman Limbung,Mat Salleh di Sabah, Rentap di Sarawak, dan lain-lainnya lagi.

Tun Sri Lanang adalah Pahlawan tetapi dia juga adalah Penulis Di Raja, Raja Haji & Raja Ali Haji adalah Panglima Perang tetapi mereka juga adalah Sasterawan, Pak Sako adalah Pejuang Kemerdekaan tetapi dia juga adalah Sasterawan, A.Samad Ismail & Said Zahari berjuang sehingga disumbat dalam penjara tetapi mereka adalah penulis yang besar. Jika mereka semua masih hidup, mereka pasti akan bersyukur dan gembira kerana perjuangan yang panjang berhasil di hujung perjuangan. Mari kita bersatu kembali di dalam agama,politik, ekonomi, pendidikan, dan seterusnya ketuanan bangsa kita.

Sekian, Salam Hormat.


al-azharri siddiq haji kamunri.

Sepang, KLIA.





Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan