SEMOGA ROH ALLAHYARHAM DICUCURI RAHMAT ILAHI
AL-FATIHAH
TERLEBIH dahulu marilah kita menghadiahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham Datu bandira Datu Alang, mantan YDP PAS Sabah yang sudah lama kembali ke rahmatullah. Hubungan peribadi saya dengan allahyarham terjalin pada tahun 1990 jika tidak silap, sewaktu itu allahyarham memegang jawatan penting di FELDA. Kebetulan isteri allahyarham, Puan Natrah Saman jika tak silap ejaan, sekarang menjadi Pengetua Cemerlang di SMK Teknik, Arau, Perlis adalah guru Ekonomi saya semasa tingkatan 6.
Kali terakhir saya menemui allahyarham Datu Bandira sekitar pertengahan tahun 2003 jika tidak silap, ketika itu beliau ada majlis dengan ahli-ahli PAS di Kota Kinabalu. Beliau masih mengekalkan pembawaan lama beliau yang suka membaca dan menulis, beliau adalah seorang penulis puisi yang baik. Saya pernah membacanya. Malah Perkampungan Sasterawan Negara julung kalinya di Tawau (1990) diketuai oleh beliau ketika itu memegang jawatan Pengerusi BAHASA (Badan Bahasa Sabah) Cawangan Tawau dan saya bertindak sebagai pembantu peribadinya. Majlis ini sungguh berjaya kepada masyarakat Tawau. Kehadiran Sasterawan Negara seperti SN Abdullah Ahmad, SN Dr Ridhwan, SN A Samad Said dan lain-lain sangat penting kepada daerah Tawau ketika itu.
Allahyarham ketika awal politiknya, bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tawau sekitar 1993 jika tak silap. Saya sempat membantunya sehingga ke Felda Umas. Walaupun beliau tewas, namun pertolongan beliau kepada orang-orang Islam di Felda sebenarnya banyak ketika itu, cuma tidak diuar-uarkan. Semasa hayatnya, beliau berjaya menulis sebuah buku mengenai suku kaum Irannun di Sabah kerana beliau berketurunan Irannun. Saya sempat mengikuti perjalanan hidup beliau ketika itu antara lainnya kesungguhan beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD di Filiphina, dan kesungguhan beliau mengkaji sosiobudaya masyarakat Bugis sehingga ke Sulawesi Selatan.
Ketika hayatnya, walaupun kami berbeza pandangan politik, namun keakraban antara sifu dan anak murid sentiasa dihormati.
Lama kemudian, ketika melawat Langkawi, saya berjumpa dengan isteri beliau Cikgu Natrah, Alhamdulillah beliau sehat dan begitu juga anak-anaknya.
Begitulah hidup kita, sejak azali telah ditentukan oleh Allah SWT. Kita sebagai hambaNYA hanya tekun menjalankan apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Tiap-tiap yang hidup akan pergi, semoga roh allahyarham dicucuri rahmat Ilahi. Al-Fatihah.