KISAH PANGLIMA ATM, BRAND LOUREATE AWARD & TV3

on Tuesday, July 31

WALAUPUN UCAPANNYA TIDAK JELAS
NAMUN ALLAHYARHAM MELAYAN TEMURAMAH SAYA DENGAN TEKUN (2008)
Hari ini (31/7/2012), jika anda seorang Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), anda pasti bangun pagi dengan penuh semangat. Selamat Hari Pahlawan, anda adalah Pahlawan Tanah Air ini! Namun, sudahkah anda membaca kisah sedih dan perjuangan allahyarham Jen. (B) Tun Ibrahim Ismail. Jika anda seorang anggota tentera tetapi belum membacanya, amatlah rugi anda kerana anda tidak akan dapat memahami dan menyelami bahawa negara ini bukannya aman dengan 'petik jari' sahaja.

Pagi tadi, selepas sahor saya tidak terus tidur, saya terus ke Perpustakaan Kecil di tengah rumah saya, saya mengambil 3 buah buku yang diberikan oleh allahyarham Jen. (B) Tun Ibrahim Ismail semasa saya mengunjungi beliau pada tahun 2008. Buku itu bertajuk "IBRAHIM PAHLAWAN MELAYU", "IBRAHIM The Malay Warrior" dan "Our Man In Malaya" oleh John Davis. 

Melihat buku dan gambar allahyarham, saya sedih dan menitiskan air mata. Beliau berjuang sehingga akhir hayatnya tetapi ada generasi baru yang tiada nilai kenegaraan dan tidak tahu membezakan antara nilai Ringgit dengan nyawa beliau. Ikutilah kisah yang saya maksudkan ini.


PEMIMPIN-PEMIMPIN NEGARA KETIKA SOLAT JENAZAH ALLAHYARHAM

1. TV3 

Apabila saya menulis tajuk di atas, ada dua falsafahnya. Yang pertama saya marah, yang kedua saya bersedih. Semasa allahyarham Jen. (B) Tun Ibrahim Ismail, Mantan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meninggal dunia pada 23 Disember 2010, seluruh negara bersedih termasuklah barisan kepimpinan utama negara kita. 

Siapa tidak kenal allahyarham, seorang Melayu yang pernah ditahan Tentera Jepun di Kota Bharu, seorang Melayu yang melayari Laut Pasifik dengan Kapal Selam dari Ceylon ke Tanah Melayu semata-mata untuk membebaskan Tanah Melayu dari penjajahan, seorang Panglima Tentera yang ditembak Komunis pada tahun 1970an di tengah Kuala Lumpur, dan dihari-hari terakhir hayatnya saya sendiri memapah tangan beliau, saya berusaha mendengar perbualannya yang sudah tidak jelas, tetapi beliau melayan saya dengan baik walaupun beliau menderita sakit! Mengapa saya perlu menemuramah beliau, kerana kita mahu supaya generasi akan datang mengenali Pahlawan-Pahlawan Negara ini!

Saya memaklumkan kepada salah seorang keluarga allahyarham yang kebetulan baru beberapa hari berangkat ke Eropah. Mereka meminta saya mendapatkan rakaman pengkebumian allahyarham di TV3,ianya juga digunakan untuk keperluan jabatan saya dalam sesi ceramah-ceramah patriotik, kenegaraan dan jatidiri. Dalam hal ini, sebelum ini, TV3 merupakan agensi TV yang paling cepat dan cekap apabila kita memohon salinan peristiwa-peristiwa penting negara untuk keperluan jabatan kerajaan. Biasanya saya akan berjumpa sendiri ketua pegawai bahagian media di TV3, dan alhamdulillah sangat senang dan tiada bayaran.

Namun, sejak ianya diberikan kepada sebuah syarikat lain (Primeworks) di TV3 ianya berubah. Daripada percuma kepada berbayar. Dipendekkan cerita, untuk mendapatkan rakaman pengkebumian Insan yang begitu berjasa kepada Negara ini, durasi rakaman lebih kurang 1 minit 30 saat, bayaran yang dikenakan lebih kurang RM1,500.00 atau RM1,700.00!!! 

Bayangkan mereka menilai jasa seorang Pahlawan, Panglima Angkatan Tentera yang sudah meninggal dunia! Sehingga ke hari ini saya tidak boleh Memaafkan perkara ini! Gila dan Tidak Masuk Akal! Jasa allahyarham Panglima ATM dinilai sebegitu rupa!

Baru-baru ini saya berjumpa dengan kumpulan Media Prima, adalah beberapa nama besar khususnya Datuk Manja Ismail, saya menyentuh sedikit perkara ini. Malangnya ketika itu mereka belum berada di Media Prima, tidak boleh disalahkan mereka. Jika mereka memperbaikinya baguslah.


PAHLAWAN YANG TIDAK DIDENDANG
2. ANUGERAH ANTARABANGSA BRAND LAUREATE 2010

Kedua, pada kira-kira 10 Disember 2010, kira-kira dua minggu sebelum allahyarham Jen. (B) Tun Ibrahim Ismail meninggal dunia, saya dihubungi melalui telefon dan emel oleh seorang pegawai berbangsa Cina saya rasa, meminta pertolongan saya untuk menghubungi allahyarham kerana mereka hendak menganugerahkan allahyarham Anugerah Antarabangsa Brand Loureate 2010 kepada allahyarham. Katanya tahun ini, bagi negara Malaysia mereka mencadangkan nama allahyarham. Saya tidak tahu bagaimana beliau boleh mengenali saya, barangkali pegawai tersebut banyak membaca tulisan saya mengenai allahyarham.

Saya pun dengan semangat segera menelefon Jen. Datuk Shukor, iaitu pembantu allahyarham Jen. (B) Tun Ibrahim Ismail mengenai hal tersebut. Jen. Datuk Shukor dengan sedih menyatakan beliau berada di Hospital dan sedang menjaga allahyarham yang semakin tenat. Saya menghubungi semula pihak Brand Loureate apakah boleh isteri allahyarham atau kaum keluarga allahyarham menerima anugerah tersebut kerana allahyarham ketika itu sedang tenat di Hospital. Malangnya tidak boleh.

Akhirnya, allahyarham meninggal dunia dan tidak sempat menerima Anugerah Antarabangsa Brand Laureate 2010 itu. Kita ucap terima kasih kepada Brand Lourerate kerana tahu menilai antara Wang Ringgit dengan Nilai Jasa Kepahlawanan allahyarham Tun Ibrahim Ismail.

Walaupun saya bersedih, tetapi kemarahan dan kebencian saya tidaklah seperti Primeworks di TV3 di atas. Dalam bahasa Inggeris kata, Sorry To Say...


ALLAHYARHAM MENURUNKAN TANDATANGAN (2008)

3. ALLAHYARHAM JEN. (B) TUN IBRAHIM ISMAIL PAHLAWAN SEBENAR

Saya telah menulis banyak tentang Pahlawan kita ini. Bacalah...

http://jentayuabaka.blogspot.com/2010/12/hilang-sebutir-bintang.html

http://jentayuabaka.blogspot.com/2009/10/malay-warrior.html

http://jentayuabaka.blogspot.com/2009/08/10-bulan-menyamar.html

http://jentayuabaka.blogspot.com/2009/09/keadaan-anggota-polis-yang-dibakar-1.html

http://jentayuabaka.blogspot.com/2011/09/siapa-bapa-komunis-melayu-moden.html



RAHSIA LAJIM

on Sunday, July 29

SEMUA SUDAH DIRANCANG
Hari ini, DSP Lajim Ukin (Lajim) dijangka akan mencatat satu lagi sejarah politik dalam hidupnya, juga kepada politik Sabah. Saya tidaklah asing kepada Lajim kerana beberapa kali bertemu beliau di Parlimen dan di tempat-tempat lain, malahan pegawai-pegawai kanan beliau saya kenali rapat.


Pada 11 November 2010, semasa penubuhan NGO pendidikan iaitu Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GAGASAN) telah ditubuhkan di Kuala Lumpur. Presidennya Datuk Hassan Malik sementara Datuk Lajim Ukin Timbalan Presiden. Saya pula menjadi Yang Dipertua GAGASAN Kota Kinabalu, sebenarnya saya lebih suka menjadi YDP GAGASAN Tawau atau Kalabakan kerana saya lahir di Tawau. Namun, saya menerimanya juga atas dasar persahabatan, perjuangan dan menghormati permintaan pihak Lajim. Lagipun GAGASAN Tawau belum ditubuhkan.


Berbalik kepada kisah Lajim, sebenarnya pertelagahan beliau bukan kepada UMNO atau Perdana Menteri DS Najib Tun Razak. Masalah utama Lajim ialah perselisihan beliau dengan kepimpinan UMNO Negeri Sabah. Perselisihan itu semua orang tahu, antaranya apabila peranan beliau di Bahagian Beoufort dibayangi sepanjang masa oleh seteru beliau iaitu Datuk Azizah Mohd Dun. Dalam hal ini, Datuk Musa Aman khabarnya berpihak kepada Datuk Azizah, maka membesarlah perselisihan itu kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sabah. 


Ayah kepada Datuk Azizah sangat berjasa kepada Negeri Sabah. Selain pernah menjadi DO di Beoufort jika saya tak silap, ayah Datuk Azizah merupakan salah seorang pemimpin USNO yang meminta UMNO dibawa masuk ke Sabah pada tahun 1976 dan seterusnya pada tahun 1986 dahulu.


Kemudiannya, perselisihan faham itu berlanjutan kepada perseteruan yang semakin membesar. Lajim semakin geram apabila projek-projek pembangunan di kawasan Beoufort katanya ditahan. Begitu juga, katanya projek-projek dari persekutuan juga tertahan. Khabarnya juga Majlis Daerah Beoufort (MDB) ketiadaan Dana tambahan untuk membangunkan Daerah Beoufort. Khabarnya juga, Lajim berusaha mengatasi semua masalah tersebut dengan bertemu Perdana Menteri. Dalam hal ini, Perdana Menteri telah memberikan bantuan yang bukan sedikit, maka apakah sebenarnya yang berlaku? Saya bertanya lagi, dan saya dapati ianya adalah kerana masalah di peringkat negeri. Saya tidak boleh mengulas lebih jauh, kerana saya belum bertemu Datuk Musa Aman untuk mengesahkan perkara ini.


Akhirnya semalam, Lajim meletak jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Beoufort, Pengerusi BN Beoufort tetapi mengekalkan keahlian UMNO dan Timbalan Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan. Dalam hal ini, biasanya akan ada dua tindakan susulan, iaitu Majlis Tertinggi UMNO akan bermesyuarat dan memecat keahlian Lajim. Kenapa Lajim tidak keluar UMNO sahaja? Jawapannya mudah, Lajim masih sayangkan UMNO! Dan Lajim tahu selepas ini, karier politiknya akan menjunam. Saya tidak yakin Lajim boleh menang di Parlimen Beoufort jika dia bertanding atas tiket Sabah Reform Front (SRF). 


Sebenarnya Lajim sudah berbulan-bulan bersedia untuk semua yang telah dilakukannya hari ini. Bendera-bendera SRF dan sebagainya sudah lama disediakan di rumahnya. Lajim sudah tahu apa akan berlaku dalam karier politiknya, sebab itulah Lajim sudah bersedia awal.


Saya menghubungi pula beberapa tokoh politik di peringkat pusat, jawapannya mudah kepada mereka, biarkanlah dia. Maknanya tidak perlu pujuk Lajim, dia bukan budak-budak. Itu pilihannya, terserah. Maknanya kepimpinan Pusat tidak berasa apa-apa malah tidak takut malah tidak perlu melayan kerenah Lajim itu. Di peringkat negeri, jawapan yang hampir sama juga. Maknanya, saya fikir selepas ini politik Lajim di Sabah akan menjunam. Saya tidak terkejut jika Lajim tewas di Parlimen Beoufort dan DUN nanti. 


Di Sabah, jika DSP Pairin keluar dari gabungan BN, barulah Lajim akan menang! Tetapi jika Datuk Osu Sukam atau Lajim yang keluar BN dan bertanding atas tiket parti lain, kemungkinan besar mereka menang adalah sukar. Dalam hal ini juga, kenapa Datuk Wilfred Bumburing yang keluar bukan DSP Pairin? Anda kena ingat, semasa pemerintahan DSP Pairin dan PBS, beliau tidak dapat melupakan bagaimana DS Anwar menumbangkan kerajaannya dengan cara tidak demokratik, dengan cara rakus membeli wakil-wakil rakyatnya, dan DSP Pairin tidak boleh melupakan bagaimana Anwar ketika berkuasa tidak memenuhi permintaan kerajaan PBS dalam banyak hal seperti permintaan sebuah Universiti di Sabah di mana Anwar menjawab katanya Sabah tidak memerlukan Universiti.


Pada hari ini (29/7/2012), khabarnya Datuk Wilfred Bumburing akan membuat pengumuman rasmi kira-kira 1.00 petang, manakala Lajim akan membuat pengumuman yang sama pada pukul 8.40 malam di rumahnya di Beoufort. Jemputan kepada DS Anwar kerana mereka sudah mempunyai hubungan semasa kejatuhan Kerajaan PBS Sabah pada tahun 1994 dahulu. Semua orang tahu kisahnya.


Komen seseorang dalam peti mesej saya, biarlah Lajim seorang keluar dengan masalahnya, yang penting rakyat Sabah majoritinya masih bersama BN. Dalam hal ini, saya setuju dengan keyakinan DSP Musa Aman, beliau telah membuktikan dua kali PRU di mana BN Sabah mencatat kemenangan  99%. Saya yakin, DSP Musa Aman masih boleh mengekalkan Sabah kepada BN. 


Maka, mengapa perlu bimbang?


Bersambung...

ROMBAKAN KABINET

on Friday, July 27

MENTERI BESAR KEDAH ATAU MENTERI PENUH

Sehingga ke saat ini sudah banyak perkara yang positif berlaku dalam negara kita. Ianya tidak dijangka, saya fikir semua ini adalah ketentuan yang Allah SWT telah tentukan sejak azali lagi, sedangkan kita manusia biasa hanya menjalankan apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT itu. Doa juga satu jalan yang ditekankan dalam agama kita Islam.

Perkara-perkara yang nampak biasa seperti pertukaran wang kertas baru, pertukaran Ketua Setiausaha Negara, disusuli dengan kenaikan pangkat ramai penjawat awam tidak lama lagi, baru-baru ini pemberian Bantuan Hari Raya setengah bulan gaji, dan banyak lagi telah mendapat respon yang positif dari rakyat.

Dari sudut politik, kajian yang dibuat oleh UKM malah NGO Merdeka Centre yang rapat dengan kumpulan DS Anwar Ibrahim membuat kejutan apabila Hasil Kajian mereka menunjukkan Kepopularitian DS Najib Tun Razak semakin hari semakin meningkat, khususnya peningkatan sokongan oleh masyarakat Cina. Apapun rakyat Sabah dan Sarawak tetap menjadi penyokong Utama DS Najib dengan melebihi 80%. Manakala sokongan masyarakat Cina kepada DS Najib mencecah 70%.

Di luar negara pula, dilaporkan oleh sekutu-sekutu Yahudi Anwar di Washington amat marah dengan sikap Anwar yang "double talk". Contoh mudahnya kata mereka, apabila berceramah di Kelantan Anwar amat menyokong Islam tetapi apabila bercakap di Australia, Anwar mengubah nada itu kepada sokongannya ke atas kumpulan gay dan "agama itu sama" (pluraisme). Contoh kedua kata mereka, di Malaysia Anwar bercakap menentang Isarel tetapi di luar negara Anwar dengan tekun mengatakan akan "full support" kepada Israel. Sikap double talk Anwar ini antara yang menjatuhkan popularitinya dan memarahkan kawan-kawan NGO Yahudinya di Amerika.

Itu hal lain, apa yang saya hendak katakan di sini ialah, dengan keadaan-keadaan yang memihak kepada DS Najib dan BN tatkala kini, dengan tidak ada tanda-tanda PRU13 akan diumumkan dalam masa terdekat ini, saya ingin mencadangkan supaya DS Najib membuat Rombakan Kabinet. Nadanya agak keras atau anda tidak bersetuju.

Saya tidak kisah, saya yakin apa yang saya tulis, bulan Mac 2009 dahulu, apabila YB Dato' Mukhriz tewas kepada YB Khairy Jamaludin, saya mencadangkan supaya YB Dato' Mukhriz dilantik Menteri atau Timbalan Menteri. Nampaknya idea saya digunapakai juga, tetapi bukanlah pula disebabkan oleh cadangan saya. Rujuk ini http://jentayuabaka.blogspot.com/2009/03/mukhriz-menteri-timbalan-menteri.html

Maka, mengapa saya cadangkan Rombakan Kabinet? 

Yang pertama ialah, DS Najib perlu meyakinkan lagi Rakyat bahawa beliau mempunyai pasukan yang padu, terkedepan, terbuka, berjiwa rakyat, bergerak bersama, bersatu fikiran dan adil. 

Yang kedua, DS Najib memerlukan idea-idea baru yang lebih Transformasi bukan istilah Reformasi yang agak basi itu. Dari aspek sejarah barat, Reformasi dan Renaisance itu ialah idea dari barat berkurun lamanya akibat dari penindasan pemerintah di barat ke atas para petani.Ia berkait dengan Kristian Ortodok pada ketika itu.  DS Anwar sebagai Muslim tidak seharusnya mengguna dan mengamalkan idea itu, malangnya ia sudah melekat dalam mindanya.

Yang ketiga, Rombakan Kabinet ini perlu sebagai persediaan apabila selesai PRU13 kelak, DS Najib sudah tidak perlu lagi memikirkan untuk melantik orang baru dengan segala macam lobi kiri dan kanan. Sebaliknya menumpukan kepada usaha Transformasi yang berterusan, kerana yang lebih penting ialah PRU14 dan PRU15!!!

DS Najib sebagai Perdana Menteri mempunyai kuasa pregroratif untuk melakukannya, kita boleh mencadangkan namun hak itu hak Perdana Menteri. Saya yakin DS Najib adalah Perdana Menteri yang mendengar suara rakyatnya.

Jika anda tanya saya siapakah yang perlu dilantik. Saya suka untuk mencadangkan supaya diwujudkan semula Menteri Hal Ehwal Khas Sabah yang pernah diterajui oleh allahyarham Tun Datu Mustapha dahulu. 

Yang kedua, saya melihat keperluan seorang Senator di kalangan penjawat awam untuk menjaga kebajikan 1.3 Juta penjawat awam dan lebih 600,000 kakitangan pencen. Jika masyarakat Siam yang tidaklah sebesar mana boleh diberikan seorang Senator mengapa tidak kepada idea ini. Atau bagaimana fikiran anda semua?

JIKA ANDA BELUM MENDENGARNYA, SILAKAN

on Thursday, July 26

WASPADA MAKANAN SUMBER BABI

on Tuesday, July 24

SERUNDING BERCAMPUR BABI

Awas! Serunding daging babi di pasaran negara jiran kita dan pelancong
negara ini diminta berwaspada apabila makan sewaktu berkunjung ke
Indonesia.


Penemuan lima jenama 'abon' (serunding) dan daging dendeng siap
makan yang dibuat daripada babi di pasaran disahkan oleh pihak berkuasa Indonesia, lapor Bernama.
 

Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Indonesia yang melakukan ujian DNA ke atas 35 jenama serunding dan daging panggang yang dijual di pasaran di Jakarta, Jambi, Bogor, Semarang, Surabaya dan Bandung, mengesahkan kandungan daging babi dalam lima jenama.



DIPERCAYAI ADA TANDA HALAL TAPI ADA BABI

"Sebenarnya tekstur serat babi lebih tidak kelihatan kerana banyak mengandungi lemak. Oleh itu, kita menguji di makmal dengan menggunakan alat bernama the real-time PCR (tindakan berangkaian polimera)," ketua badan itu Husniah Rubiana dipetik berkata.
 

Menurut sebuah akhbar negara itu Republika, jenama-jenama itu ialah:
 

Dendeng/abon sapi (lembu) gurih cap Kepala Sapi 250 gram
 
Abon/dendeng sapi cap Limas 100 gram (keluaran syarikat palsu)
 
Abon/dendeng sapi asli cap ACC
 
Dendeng sapi istimewa berjenama Beef Jerky Lezaaat (keluaran MDC Food Surabaya)
 
Dendeng sapi Istimewa No 1 cap 999 (keluaran S Hendropurnomo Malang).
 

DIKESAN GUNA LOGO HALAL

Husniah dilaporkan berkata satu daripada jenama itu didapati menggunakan tanda halal yang kononnya dikeluarkan Majlis Ulama Indonesia (MUI), manakala pengeluar lain menggunakan nama syarikat milik orang lain, menggunakan alamat tidak benar atau tidak tercatat pengeluarnya.
 

Umat Islam - yang menggemari makanan itu termasuk kalangan anak-anak yang sukakan roti berisi serunding - boleh membezakan produk daripada babi yang warnanya lebih muda berbanding warna daging lembu dan serat babi juga lebih lembut, lapor agensi berita Malaysia dari Jakarta.
 

MUI dan Jabatan Kesihatan yang melakukan pemeriksaan mendapati para pengeluar itu pada mulanya menggunakan daging lembu tetapi setelah diuji didapati positif daripada babi.

Sumber: Detikdaily.

***Kepada umat Islam di Malaysia berhati-hatilah semasa membeli.

PRU13 : CAMPURTANGAN ASING

on Saturday, July 21

EAST MIDDLE PROJECT 


Kematian demi kematian rakyat Syria dalam pemberontakan ke atas Presiden Assad sama modus operandinya dengan kejatuhan Presiden Muammar Gadafi. Di Libya, para pemberontak Libya dibantu oleh para tentera Nato, Amerika, British, CIA malah laporan juga menyebut terdapat bantuan dari Israel kepada para pemberontak Libya. 


Siapakah yang melobi Amerika supaya campurtangan dalam politik Syria (sebelumnya di Mesir, Libya, Yaman, seterusnya adalah Jordan dan Iran!), sudah tentu pelobi nombor satu yakni Israel! Saya rasa Syria akan jatuh juga ke tangan proksi Barat tidak berapa lama lagi!


Sayang sekali di Malaysia ada pemimpin  yang akan mempertahankan apa sahaja perkara yang menjejaskan keselamatan Israel?


Stephen Lendman menulis pada tahun lalu, katanya, pada bulan Jun, 2006, Condoliza Rice, US Secretary membentangkan Projek "New Midle East" yang meliputi negara Mesir, Libya, Yaman, Syria dan Jordan. Selepas Syria sudah tentu Jordan dan Iran! Baca lanjut di sini http://www.rense.com/general93/uninter.htm


Begitu juga tulisan oleh Stephen J. Sniegoski dengan tajuk  Avi Shlaim On The Neoconservative Middle East War Agenda di sini http://www.rense.com/general92/neo.htm .


Akhirnya Presiden Muamar Gadafi mati ditembak oleh rakyatnya sendiri, dan para tentera Nato, Amerika, British dan CIA kembali ke pangkalan mereka selepas misi mereka berjaya. 


Maka, kerajaan Malaysia mesti berhati-hati dengan kehadiran pemantau antarabangsa yang diragui semasa PRU13 nanti. Apakah para pemberontak di Syria yang semakin hari semakin kuat hanya boleh bersendirian menghadapi tentera Presiden Assad. Tidak mungkin, jawapannya adalah pelobi Amerika di Israel.


Masihkah anda ingat negara-negara syaitan yang dikatakan oleh Presiden Amerika beberapa tahun dahulu, 8 negara itu? Adakah negara Islam Indonesia dan Malaysia termasuk di situ?


Dahulu, Perjanjian Camp David mensyaratkan Mesir menjaga kepentingan Israel sebagai balasan untuk mendapatkan balik wilayah mereka yang dirampas oleh Israel dalam perang 1967. Sebab itulah Mesir juga tidak membantu malah memenderitakan Palestin. Sekarang ini Amerika sedang mengusahakan perjanjian Palestin-Israel yang hampir sama dengan perjanjian camp david.


Dalam buku ini "The Sons of the Yellow Emperor: A History of the Chinese Diaspora" oleh Lynn Pan, menyatakan negera China pula selama 3,000 tahun lebih menanamkan semangat bahawa China adalah "the centre of the earth" dan hanya orang Cina yang gila sahaja yang mahu meninggalkan bumi China untuk mengembara ke tempat-tempat yang didiami oleh "heathens" (orang liar).  Adakah Lim Guan Eng dan Lee Kuan Yew bersetuju dengan Lynn Pan. Saya pun tidak tahu, kita hanya membacanya sahaja dan berkongsi dengan anda.

Tidak banyak perbezaan antara Singapura dan China. Kedua-duanya mengutamakan kekayaan dan kedua-duanya mengamalkan sistem satu parti iaitu PAP di Singapura dan Parti Komunis China di Negera China. Lee Kuan Yew tidak mahu Singapura menjadi seperti Taiwan yang kaya tetapi politiknya hancur. Lee Kuan Yew tahu Singapura akan jadi macam Taiwan kalau pembangkang dibenarkan bertapak. Jadi Lee Kuan Yew akan terus bankrapkan pembangkang dengan apa cara sekalipun. Anda boleh baca pemikiran Lee Kuan Yew ini di dalam "Memoir Lee Kuan Yew".

Sementara itu, Doktrin Pertahanan Singapura adalah sama dengan doktrin Pertahanan Israel di mana konflik bersenjata tidak akan berlaku di bumi Singapura, tetapi di bumi negara-negara jiran. Kapal terbang pejuang F15 Singapura boleh terbang ke sempadan Malaysia-Thai dalam masa tidak sampai 20 minit!. 



Singapura lebih selesa menguasai negara-negara jiran melalui kuasa ekonomi seperti IDR dan pemilikan syarikat strategik negara jiran oleh Temasek. Negara Thailand menolak Temasek Holdings. Tiga tahun dahulu, saya menulis mengapa konglomerat Yahudi seperti Google dan Yahoo misalnya relocated in Singapore? Baru-baru ini, di Parlimen Singapura, jawapan Menteri Luarnya, K. Shanmugan ternyata tidak ikhlas dan berbau sedikit ugutan kepada Malaysia. Bahasa diplomatik dia ialah tidak boleh tunduk kepada Malaysia. Ulasan ini saya setuju http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Singapuratakbolehterusberprasangka/Article


Jika anda membaca buku tulisan Michael Calderone (penulis Yahoo) dan juga buku ini "They Dare To Speak Out" oleh Paul Findley , anda akan dapat memahami mengapa negara Indonesia dan negara Malaysia perlu dilemahkan! Selepas Projek New Middle East, selepas Syria, Iran dan Jordan...fokus Amerika kini di Asia Tenggara. Bukankah sudah dilaporkan Armada Amerika telah dipindahkan ke Asia Tenggara. Cuba teka di negara mana Armada Amerika bertandang!

Maka apabila isu para Diplomat Singapura didedahkan sepanjang bulan lalu, maka kita harus lebih peka. Bukan berdiam diri.

Saya hanya membuka minda. Mungkin anda boleh percaya dan memikirkannya.  Jika PRU13 diadakan beberapa bulan lagi agaknya, kita mesti menolak mereka yang Pro Israel. Mereka itu ialah DS Anwar Ibrahim dan kawan-kawannya. 

Salam Ramadan.

YB PAS JADI MENTERI TUGAS-TUGAS KHAS

on Monday, July 16

ADA GAYA 
Tidak berapa lama lagi, jika kata-kata TPM boleh dijadikan kayu pengukur, maka rakyat Malaysia akan memilih kerajaan baru dalam PRU13 nanti. Isunya bila? Dalam hal ini, adalah menjadi hak pregroratif Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen seterusnya membolehkan PRU13 dijalankan di negara kita. Kuasa kembali kepada rakyat.


Tun Dr. Mahathir mula menceburkan diri secara aktif dalam politik ketika berumur 39 tahun, pada tahun 1969. Hari ini (16 Julai 2012) adalah hari di mana beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-4.


Sejarah membuktikan, UMNO dan PAS tidak akan menang semua kerusi yang ditandinginya. Begitu juga DAP, MCA dan Gerakan. Tetapi PBS mungkin boleh menang semua kerusi yang ditandinginya di kawasan Parlimen, bukan di kawasan negeri.


Jika begitu, apakah jalan penyelesaiannya. Seorang AJK UMNO bertanya kepada saya, jika dia tidak dicalonkan, bolehkah dia menjadi Calon Bebas? Persoalan ini mesti dikaitkan juga dengan, kehadiran Thamrin Tun Ghafar Baba kononnya mewakili UMNO di Himpunan Oren pada Sabtu lalu, juga tarik tali DSP Lajim di Beoufort.


Dahulu, YB Datuk Shahrir Samad menang dengan bergaya di Johor Bahru walaupun beliau calon Bebas. Begitu juga Datuk John Ghani menang di Sabah walaupun menggunakan lambang Bebas. Mereka semua ini berjiwa UMNO, tetapi menggunakan prinsip mereka untuk berdepan UMNO. Begitulah juga Tun Dr. Mahathir pada tahun 2009 dahulu, keluar dari UMNO kerana Tun Dr Mahathir berkata tidak sanggup lagi melihat kerosakan yang berlaku kepada negara. Saya percaya, walaupun berada di luar UMNO, jiwa Tun masih bersama UMNO. 


Bukan UMNO sahaja, malahan parti PAS tidak sanggup lagi untuk memecat YB Datuk Nasharudin Mat Isa, mantan Timbalan Presiden PAS yang semakin UMNO dari UMNO, sekarang ini. Jika orang kampung yang tidak pernah bertemu YB Datuk Nasharudin Mat Isa di Parlimen, nescaya mereka akan melihat YB Nasha sebagai YB UMNO. Dalam kes YB Nasha bolehkah anda katakan dia mempunyai dua jiwa, satu jiwa DS Najib dan satu lagi jiwa DS Hadi Awang.


Maka itu, menghukum Dato' Dr Hassan Ali, Ustaz Hassan Basri dan lain-lain yang simpati dengan mereka merupakan satu kesilapan besar PAS yang sudah menjadi sejarah. Sebab itulah YB Nasha mereka tidak mampu dan tidak sanggup untuk singkirkan. 


Di dalam kerajaan DS Najib, kedudukan YB Nasha sudah selamat dan boleh hidup jika dalam PRU13 dia tak dicalonkan.


Dengan kedudukan sekarang, jika anda berkesempatan berbisik dengan DS Najib, mampukah anda memberi keyakinan kepada DS Najib untuk melantik YB Nasha sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas. Jika hari ini, YB Nasha diberi tanggungjawab yang lebih besar itu, saya berani katakan 70% pengundi atas pagar yang pro-Islamik akan mengundi BN. Dan 50% penyokong PAS akan beralih arah, bukan ahli PAS - saya kata pengundi PAS dalam PRU13. 


Inilah touch point yang tidak disampaikan kepada PM. Saya berkali-kali telah menyatakan bahawa DS Najib hendak menjadi Perdana Menteri yang terbaik kepada rakyat Malaysia pada zamannya. PM pasti memikirkannya.


Inilah juga Transformasi Politik yang terlalu besar. Saya diberitahu oleh seseorang, katanya, DS Najib berkata idea saya terlalu tinggi. Jika berjumpa DS Najib saya akan minta pengesahan. Dua hari lepas, semasa isteri saya membaca buku terbaru saya di sebelah, katanya idea saya terlalu tinggi. Saya tidak tahu apakah pula komen Tun Dr. Mahathir sekarang ini. Barangkali beliau sedang membaca dummy buku terbaru saya itu. 


Saya, hanya berserah kepada Allah SWT. 











DS ANWAR RAGU-RAGU

on Sunday, July 8

DS NAJIB, TUN DR. MAHATHIR, TUN ABDULLAH
Menjelang PRU13, kerajaan Persekutuan di bawah kendalian Barisan Nasional sedang menjalankan, membuktikan dan memperlihatkan kepada rakyat Malaysia tentang soal kesungguhan, soal kesedaran dan soal BN sudah berubah selepas rakyat menghukum dalam PRU12.


Perubahan Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baru dengan ucapan penting beliau supaya kakitangan kerajaan memberikan sokongan yang besar kepada DS Najib Perdana Menteri Malaysia adalah satu signal yang penting.


Tanda-tanda fizikaliti seperti kejayaan pembinaan KLIA2, perubahan dalam NST dan Berita Harian dan lan-lain yang saya tak senarai di sini, merupakan beberapa perkara yang besar, yang membuktikan kesungguhan dan keinginan DS Najib dan kerajaan memberi kepuasan kepada rakyat jelata.


Di pihak Pakatan, pengumuman kebarangkalian DS Anwar akan bersara jika pasukannya akan tewas dalam PRU13, masih didiskusi. Pengalaman saya, saya sendiri berfikiran, DS Anwar akan berehat, menetap dan mengajar di Washington DC. Masyarakat India yang beragama Hindu, mempercayai konsep Hukum Karma dan Nirvana. Jika anda membaca pusingan Mahatma Ghandi, anda akan dapati bahawa saat-saat yang DS Anwar alami sekarang ini dikenali sebagai proses roda basikal. Maksudnya, DS Anwar sudah menyedari bahawa pusingan bawah sedarnya sudah sampai dan kedudukannya berada di bahagian bawah roda itu. Masa sebenar DS Anwar ialah pada tahun 2008. Ia sudah berlalu.


Jika pun DS Anwar hendak menjadi Perdana Menteri selepas PRU13, itu akan berlaku jika beliau berjaya membeli DSP Pairin Kitingan. Ini adalah kerana DSP Pairin Kitingan adalah Huguon Siau masyarakat Kadazan di Sabah. Bukannya Jeffrey Kitingan atau DSP Lajim Ukin. Selagi DSP Pairin Kitingan bersama BN, DS Anwar tidak akan menjadi Perdana Menteri Malaysia.


Kebobrokan Anwar ialah, apabila dia menuduh Tun Dr. Mahathir mempertahankan berbillion-billion harta anak Dr. Mahathir, ianya tidak disertakan dengan bukti kukuh. Rakyat akan bertanya mana buktinya. Sedangkan semasa Dr. Mahathir menjadi PM, tidak ada anaknya yang memegang jawatan dalam parti malah tidak dibenarkan. Malangnya, DS Anwar belumpun menjadi PM, tetapi anak dan isterinya sudahpun menguasai kuasa trtinggi di dalam parti dan parlimen, tidak kira pula beliau sendiri sebagai Pemerintah De Facto Pkr.


Dr. Mahathir tidak melakukan pembedahan di luar negara, jauh berbeza dengan DS Anwar yang kononnya hendak melakukan pembedahan di German. Adakah pembedahan itu dilakukan? Adakah racun Arsenik ada dalam badan DS Anwar? Hari ini DS Anwar tidak memerlukan kaca mata untuk melihat anda? Semua itu adalah tanda-tanda yang rakyat perlu faham.


Kini rakyat mula membandingkan, itu belum menjadi PM?


Minggu lalu beberapa blog malah ada akhbar menyebut hal Datuk Zahid Hamidi bakal menjadi Perdana Menteri. Ini kenakalan berita, tetapi usikan yang merugikan Datuk Zahid sendiri. Dalam satu taklimat tertutup, saya mendengar sendiri dari mulut Datuk Zahid bahawa beliau tidak ada cita-cita dan tidak ada fikiran untuk menjadi PM. Bagaimana berita beliau bakal PM diperbesar-besarkan? 


Yang jelas kepada kita ialah DS Haji Hadi Awang tidak mungkin akan menjadi Perdana Menteri selagi PAS tidak bertanding di 80 hingga 100 kerusi Parlimen. Jika DAP diberi peluang bertanding 80 kerusi Parlimen, dan PKR bertanding 80 kerusi Parlimen, maka baki kepada PAS hanyalah 40 ke 50 kerusi sahaja. Kiraan ini belum masuk lagi parti SAPP, Star dll di Sabah dan Sarawak. Jika YB Senator Abd. Rahman Bakar yang beberapa kali mengalahkan DS Haji Hadi Awang di Parlimen Marang bertanding lagi, mungkinkan beliau akan menjadi Giant Killer lagi kepada DS Haji Hadi. Apakah rahsia kekuatan YB Datuk Abd. Rahman Bakar di sana? Tulisan terkini Saudara Subky Latif sendiri mengiakan bahawa PAS tiada peluang menjadi Perdana Menteri.


PRU14 dijangka pada tahun 2018, kekuatan DS Anwar ketika itu ialah 70 tahun. 


Kesimpulannya mudah, majoriti rakyat Malaysia belum bersedia mengubah kerajaan. Majoriti rakyat Malaysia tidak confident dengan DS Anwar Ibrahim. Sebabnya mudah, DS Anwar tidak meyakinkan dan rakyat masih ragu. Malah DS Anwar pun semakin ragu-ragu dengan dirinya sendiri http://anwaribrahimblog.com/2012/07/04/anwar-timbang-bersara-jika-pakatan-kalah-pru/


Statistik Pilihanraya Pkr kononnya Pakatan akan mendapat 105 kerusi, dan selebihnya mengharapkan Wakil Rakyat BN melompat parti adalah berkaitan dengan berita pengumuman bersara awal yang Anwar maklumkan kepada Financial Times. 


Mereka semakin ragu-ragu dan tidak percaya kepada diri sendiri.


Selamat membaca.




















TUN DR MAHATHIR BERCAKAP MENGENAI KERAJAAN CAMPURAN

on Tuesday, July 3

Hamba Allah SWT

Pilihanraya adalah satu cara yang diamalkan untuk rakyat sesebuah negara menubuhkan kerajaan. Sebab itulah, di Malaysia, apabila DAP, PAS dan PKR memenangi majoriti kerusi di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kedah dan Kelantan mereka boleh menubuhkan kerajaan. Kes yang berlaku di Perak ialah, apabila wakil rakyat DAP keluar parti, maka gabungan mereka kekurangan kerusi untuk mempertahankan kerajaan negeri mereka.

Dalam hal ini, kerajaan PBS di Sabah dan PAS di Kelantan dahulu pernah mewujudkan Undang-Undang Anti Lompat. Apakah undang-undang ini boleh diamalkan lagi, itu terpulang kepada wakil-wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri, atau di Dewan Rakyat untuk melaksanakannya.

Semasa kes PBS pada tahun 1990 dahulu, 5 hari sebelum PRU 1990, PBS telah mengambil keputusan drastik meninggalkan BN. Beberapa pemimpin yang sederhana seperti Datuk Clarence Bongkos pada ketika itu, ada menyuarakan bahawa tidaklah memalukan sekiranya PBS kembali semula ke pangkuan BN beberapa bulan selepas kejadian itu. Kesilapan DSP Pairin Kitingan itu dibayar dengan air matanya, sewaktu beliau melawat Tun Dr Mahathir di pejabat Perdana Menteri. 

Tun Dr. Mahathir bukannya suka membangga diri, sepanjang mengiringi DSP Pairin ke luar dari pejabat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sendiri yang membuka pintu dan mengucapkan selamat jalan kepada DSP Pairin Kitingan.

DS Anwar Ibrahim berusaha membeli peristiwa itu pada hari ini, tetapi saya yakin DSP Pairin seorang penganut agamanya yang dia yakini, saya tidak yakin DSP Pairin akan menyertai Pakatan Rakyat. Sebab keduanya begini...

Pada tahun 1994, semasa PRU Negeri Sabah, PBS sebenarnya masih berkuasa dan masih memerintah Kerajaan Negeri Sabah, malangnya satu demi satu Wakil Rakyat PBS lompat parti atau mencipta parti baru.  Mereka merompak Demokrasi PBS, dan peristiwa ini tidak mungkin dilupakan oleh masyarakat KDM dan DSP Pairin Kitingan. Dalam hal ini, anda boleh bertanya DSP Lajim Ukin atau terus bertanya kepada DS Anwar Ibrahim akan peranannya ketika itu?

Berbeza dengan Anwar Ibrahim, idea Tun Dr Mahathir ketika itu ialah hormati hak demokrasi PBS, jangan rampas kuasa PBS, dan Tun Dr Mahathir mencadangkan supaya Kerajaan Campuran PBS-USNO (BN) diwujudkan untuk memuaskan hati semua pihak. Tun Dr. Mahathir tidak mencadangkan dirampas kuasa PBS. Anwar Ibrahim menggunakan pendekatan yang berbeza, barangkali kerana berjiwapolitik muda dan kurang pengalaman berbanding Tun.

Walaupun Idea Kerajaan Campuran PBS-USNO(BN) ditolak oleh Majlis Tertinggi PBS ketika itu, pengajarannya ialah, anda di Sabah tidak boleh menggantung harapan kepada Anwar Ibrahim, yang pernah mengecewakan anda dengan idea-idea politiknya ketika itu. Merampas dan menumbangkan kerajaan PBS dengan cara tidak demokratik bukanlah idea yang menarik.

Semasa saya berbual-bual dengan DSP Pairin Kitingan dan DSP Lajim Ukin, di parlimen tidak lama dahulu, saya dapat mengesan satu perkara yang orang lain patut tahu juga, bagi saya DSP Pairin akan setia kepada BN dan beliau ingin menyumbangkan sesuatu yang besar kepada masyarakatnya (KDM) dan negeri Sabah.

DSP Lajim Ukin adalah Naib Presiden NGO GAGASAN, manakala saya pula adalah YDP GAGASAN Kota Kinabalu yang memberi tumpuan kepada aspek pendidikan. Kami belum aktif sepenuhnya di negeri Sabah, semoga masa memihak kepada kami. Hal DSP Lajim Ukin, saya akan ceritakan pada masa yang akan datang, namun satu perkara yang bagus kepada DSP Lajim ialah beliau percaya bahawa masyarakat Bugis di Sabah perlu diberi ruang dalam politik negeri Sabah, malah beliau mempercayai bahawa masyarakat Bugis di Sabah turut sama membangunkan negeri Sabah. Ikuti wawancaranya di akhbar Utusan Malaysia tidak lama dahulu. YB Datuk Abdul Rahman, Ahli Parlimen Kota Belud dalam ucapan terbarunya yang penulis ikuti turut bercakap mengenai masyarakat Bugis Sabah dan peranan masing-masing.

Kesimpulannya mudah, Tun Dr. Mahathir memang benar sudah pencen daripada jawatan Perdana Menteri, tetapi anda sendiri tahu Tun Dr Mahathir berjalan di seluruh negara untuk menyedarkan kita betapa pentingnya perpaduan menghadapi PRU13. Apakah perbezaan Tun Dr. Mahathir telah pencen, tetapi masihbergerak ke seluruh pelusuk negara berucap menyedarkan kita yang sudah lupa, dengan idea supaya Tun Dr. Mahathir kembali sebagai Ahli Parlimen.

Tidak kira anda muda atau tua, masih belajar atau pencen, di kampung atau bandar, Pak Lah atau Dr. Mahathir, kita semua bertanggungjawab membantu DS Najib meneruskan kecemerlangan negara kita ini. Anda akan tahu sebabnya selepas PRU13. Sekarang tiada jawapan.

Saya gembira seandainya Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke ruang politik nasional, baca seterusnya di dalam buku terbaru saya di sebelah, tapi anda kena beli lah...

Terima kasih.

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan