Pengalaman saya bertemubual, mewawancara atau bualbicara
dengan tokoh-tokoh negara seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad (2012), Tun
Abdullah Ahmad Badawi (2008) Pehin Sri
Taib Mahmud (2013), Tun Abd. Rahman Yakub (2008), SS Mufti Perak Tan Sri
Harrusani Zakaria (2009), dan banyak lagi memberikan saya pelbagai pengalaman yang
penting yang saya kongsikan kepada pembaca.
Namun, pengalaman bertemu berbualbicara dengan pemimpin
besar luar negara yang pertama kepada saya ialah dengan Bapak Jusuf Kalla, mantan
Naib Presiden Indonesia, memberikan pengalaman yang sangat berharga dalam hidup
saya.
Pada hari Jumaat dua hari yang lalu (28.06.2013), saya
terkejut apabila diberitahu artikel saya di dalam portal merdeka-online telah dipetik oleh beberapa akhbar khususnya
akhbar Berita Harian. Walaupun saya telah menulisnya sudah agak lama, namun
saya tidak menyangka ianya akhirnya begitu diminati. Barangkali kerana beberapa
hari sebelum itu, DS Najib banyak bercakap tentang Rekonsiliasi Nasional
ataupun Perpaduan Nasional.
Cara
Berita Harian
Walau bagaimanapun, saya berpendapat khususnya akhbar
Berita Harian meletakkan tajuk (front-page)
dan head-line yang berbeza dengan
tajuk asal di dalam portal merdeka-online sebagai
bersifat manupulatif serta melampaui tatasusila etika kewartawanan.
Kepada sesiapa yang biasa membaca tulisan saya,
biasanya tulisan saya mempunyai maksud yang mendalam, yang orang biasa perlu
mendapatkan penerangan lanjut saya untuk mereka memahaminya. Kerana jika hanya
di”copy-paste” mengikut kehendak
editorial masing-masing, sudah tentu maksud murninya akan lari. Perumpamaannya,
jika seekor Singa ditukar kepalanya dengan kepala Buaya, maka apakah bentuk
binatang itu dari atas ke bawah.
Rakan yang membantu saya di Jakarta turut memberi
respon kepada saya supaya saya membetulkan kesilapan yang saya lakukan. Saya
rasa ada kebenarannya dan saya mesti menghormatinya, terutama saya harus akui
ianya bukan wawancara secara rasmi, lebih tepat ianya boleh disebut sebagai
perbualan dan kunjungan hormat kepada Bapak Jusuf Kalla.
Kesilapan saya mengubah konsep perbualan itu kepada
wawancara adalah kesilapan besar saya, namun barangkali kerana saya berfikiran ianya
lebih baik jika diangkat statusnya menjadi bentuk wawancara, menyebabkan saya
menukarkannya kepada bentuk wawancara dalam tajuk artikel saya.
Perkara kedua, saya barangkali juga terlepas pandang
bahawa dalam perbualan itu Bapak Jusuf Kalla menyebut supaya kita harus
menyelidikinya, kita harus mengkajinya, supaya mendapat kebenarannya terutama
hal-hal dana asing. Maknanya Bapak Jusuf Kalla tidaklah secara direct berkata Anwar diberikan dana
asing sekian banyak jumlahnya, ianya perlu diterangkan supaya dapatan itu
diselidiki dan disiasat lagi. Namun begitu, gambaran di muka hadapan akhbar
Berita Harian sangat tidak tepat, kerana ianya telah memberi persepsi yang
berbeza, khususnya kepada Bapak Jusuf Kalla.
Satu perkara yang mendesak saya menulis artikel
tersebut ialah akibat daripada provokasi DS Anwar Ibrahim di dalam dan di luar
negara terhadap kerajaan yang sudah dipilih oleh rakyat. Pertemuannya dengan
Presiden Indonesia di Bali, pertemuannya dengan wartawan Indonesia dan
rancangannya untuk mengadakan Himpunan Black Out 505 pada 22.6.2013 yang baru
lalu. Semua itu mendesak dalam fikiran saya, apakah saya harus berdiam diri sahaja tidak membantu Kerajaan saya,
negara saya dan Perdana Menteri negara saya?
Dengan tujuan supaya pengikut-pengikut DS Anwar
berhenti daripada membuang masa berdemo dan berkhemah di padang Merbok, supaya
mereka sedar ianya perbuatan yang sia-sia kerana walaupun DS Anwar menolak
keputusan PRU13, tetapi pada masa yang sama DS Anwar menerima juga keputusan
PRU13 di mana beliau datang ke parlimen, makan dan bermesra dengan DS Najib dan
seterusnya mengangkat sumpah.
Chegu Bard pun tersangat marah kepada wakil rakyat
pakatan yang mengangkat sumpah di parlimen seolah-oleh beliau merasa teraniaya
dengan Himpunan Blackout 505 yang dia menjadi antara koordinator utamanya.
Maka saya tidak ada pilihan, melainkan menulisnya.
Alhamdulillah tidak ramai yang hadir dalam Himpunan Blackout 505 di Padang
Merbok, bukanlah saya kata kerana disebabkan tulisan itu, sekurang-kurangnya
saya harus membantu kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat ini.
Sebetulnya, kehadiran saya ke rumah Bapak Jusuf Kalla
untuk meminta kebenarannya supaya satu wawancara eksklusif di antara
wartawan-wartawan elit dari Malaysia boleh diadakan bersamanya. Namun, masa
tidak menyebelahi saya, kerana ketika saya bertemu Bapak Jusuf Kalla, beliau
juga sedang bersiap-siap untuk ke luar negara. Ternyata Bapak Jusuf Kalla
seorang negarawan yang bernilai tinggi, bilamana walaupun beliau punya masa
yang tersangat pendek ketika itu, namun Bapak Jusuf Kalla sanggup menerima
kehadiran saya.
Tanpa
Persetujuan
Tindakan akhbar Berita Harian memetik artikel dan
gambar saya di dalam merdeka-online adalah
tanpa pengetahuan dan persetujuan saya. Sudah pasti nilai berita itu sangat
tinggi, kerana tidak mungkin ianya menjadi head-line
dan liputan penuh mukasurat dalam Berita Harian.
Saya pun hairan bagaimana
Berita Harian begitu berminat mengambil tulisan saya kerana kali terakhir
artikel saya disiarkan oleh Berita Harian kira-kira 14 tahun dulu (1999).
Oleh itu, saya berharap akhbar Berita Harian akan
menyiarkan semula artikel saya ini tanpa mengubah satu perkataan pun. Jika
ianya terlalu panjang, pengatur susun atur huruf harus bijak menyesuaikannya.
Apabila Berita Harian khususnya memetik artikel saya,
tetapi mengubah organisasi karangannya, saya fikir ianya perilaku yang tidak
kena. Ketua Pengarang akhbar ini perlu menjawabnya. Mereka mungkin perlu hadir
seminar Konvensyen Geneva mengenai kewartawanan. Perbuatan mengubah organisasi
karangan menyebabkan ketibaan makna sesebuah artikel itu berubah keseluruhannya
seperti yang saya maksudkan di atas iaitu “jika seekor Singa ditukar kepalanya
dengan kepala Buaya, maka apakah bentuk binatang itu dari atas ke bawah”.
Saya sudah tentu boleh berkata kepada akhbar Berita
Harian, “sila tarik balik artikel yang dicopy-paste
itu” dan “saya membantah” cara ianya dipersembahkan.
Rekonsiliasi
Nasional
Bapak Jusuf Kalla adalah satu-satunya individu yang
layak membantu akan hal Rekonsiliasi Nasional. Peranannya tidak dibatasi oleh
sempadan negara. Agama Islam merentasi seluruh dunia. Tidak ada tokoh dalam
negara yang mampu melakukannya. Kita harus berterima kasih kepada Bapak Jusuf
Kalla, kerana ini adalah tuntutan agama Islam.
Rekonsiliasi adalah tuntutan
fardu yang dituntut oleh agama kita melakukannya. Firman Allah S.W.T. maksudnya:
'Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga
hendaklah cenderung kepadanya serta bertakwallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia
Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.' (Al-Anfal : 61).
Saya agak kecewa kerana akhbar besar seperti Berita
Harian menyiarkan artikel saya yang tidak disusun sepenuhnya mengikut yang asal
dan ada yang berubah maksud asal kenyataan Bapak Jusuf Kalla. Matlamat akhir
dari kenyataan Bapak Jusuf Kalla adalah perpaduan orang Melayu (pihak Anwar-pihak
Najib) dan khususnya umat Islam, tetapi cara berita yang telah disiarkan
khususnya oleh akhbar Berita Harian akan menjauhkan lagi proses rekonsiliasi
ini.
Saya hendak memetik kenyataan Ahli Parlimen Indonesia,
Bapak AM Fatwa yang banyak membantu untuk menjayakan pertemuan saya dengan
Bapak Jusuf Kalla, katanya, “demi untuk perpaduan umat Islam saya anggap tugas
ini sebagai tuntutan fardu yang sangat dituntut”. Jika orang seberang ingin melihat
perpaduan orang Melayu dan umat Islam di negara kita, saya rasa terharu mengapakah
kita masih hendak tuduh-menuduh, jatuh-menjatuhkan dan sebagainya.
Saya harap
akhbar Berita Harian menumpukan berita-berita ke arah Perpaduan Nasional dan
Rekonsiliasi Nasional yang kini menjadi keutamaan Perdana Menteri kita, kerana
Pilihanraya sudah berlalu, keputusan sudah ada, orang-orang Cina walau berbeza
parti, jauh terkedepan dalam konteks perpaduan bangsa mereka. Mengapa kita
tidak?