ALFATIHAH : KESEDIHAN PERTAMA & KEDUA

on Wednesday, January 30

Dua hari lepas saya ke Majlis Legal Year 2013 di Tawau Sabah. Ketika saya dalam perjalanan ke Tawau, ayah kepada sahabat saya meninggal dunia di Putrajaya, kesedihan pertama saya ialah walaupun saya amat rapat dengan beliau, saya tidak sempat melawatnya, hanya handphone sahaja menyambung perasaan persahabatan dan ukhuwah. 

Kesedihan kedua saya, ketika saya berada Di Tawau pula semalam, saya berniat untuk melawat sahabat saya Ustaz Amir Mahmud yang terlantar koma di Hospital Tawau sejak seminggu yang lalu. Namun, saya hanya 24 jam sahaja berada di Tawau, dan ketika saya balik semula ke Kuala Lumpur, malamnya Ustaz Amir Mahmud telah menerima panggilan Allah SWT. 

Beberapa jam sebelum allahyarham meninggal, saya menerima sms tentang kedudukan tekanan darah beliau, saya bertanya isteri saya kebetulan doktor perubatan, dan  ternyata benar beberapa jam kemudian Ustaz Amir Mahmud telah pergi menemui pencipta yang Maha Agung, iaitu Allah SWT.

Begitulah juga kita semua, kita akan pergi juga meninggalkan dunia yang tidak kekal ini, hanya masa kita belum tiba. Kepada allahyarham Ustaz Amir Mahmud, kita doakan semoga dirahmati, diberkati dan senantiasa berada di dalam hidayah Allah SWT.

Kira-kira 10.30am tadi, saya menerima sms jenazah allahyarham sedang disembahyangkan di Masjid bandar Tawau dan kemudiannya disemadikan di tanah perkuburan umat Islam di Tawau.

Saya bersama-sama beliau mengajar di SMK Abaka hampir 10 tahun. Allahyarham Ustaz Amir Mahmud seorang guru yang sangat dedikasi dengan tugasnya, sangat tegas dengan hukum dan syariah, sangat menjaga solatnya, seingat saya beliau seorang yang sangat menepati masa dan sangat berani mempertahankan kebenarannya. 

Walaupun kami berbeza pandangan politik tetapi ianya tidak pernah menjarakkan ukhuwah kami, kami tidak pernah bertegang leher dan kami tidak pernah meninggi suara. Bahkan di luar sekolah, di luar bidang pemikiran politik, kami tolong-menolong dalam hal-hal kehidupan seharian. Seingat saya, apabila allahyarham memerlukan pertolongan, saya tidak pernah berkata tidak, saya tidak melihat warna fahaman politiknya tetapi saya melihatnya sebagai saudara seagama, begitu juga sebaliknya apabila saya memberikan pandangan saya, tidak pernah allahyarham menidakkan di hadapan saya. Kami tidak pernah bermasam muka dan tidak pernah bergaduh.

Tulisan ini, walaupun saya nun jauh di Semenanjung, ingatan saya tidak pernah lupa kepada sahabat-sahabat yang pernah bersama saya. Seperti tulisan saya ini http://www.al-azharrisiddiq.com/2012/05/kenangan-bersama-ydp-pas-sabah.html?showComment=1359535524244#c7097499678378888572

SURAT, DATO' DR. HARON DIN

on Monday, January 21

YBHG. DATO DR. HARON DIN, YB. DATO DR. HASSAN ALI, YB DATO NASHARUDIN MAT ISA LAMBANG SEBENAR

Assalamualaikum Warahmatullahih Wabarakatuh.

Kepada Yang Dihormati,
YBhg. Dato' Dr. Haron Din, YB. Nasharudin Mat Isa, YBhg. Dato Haron Taib, YBhg. Dato Ismail Kamus dan YB. Dato' Taib Azamudin.

Terlebih dahulu kita bersyukur ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan limpah dan kurniaNYA, kita masih ada kesempatan untuk berdakwah, beristigfar, bermunajat dan berdoa kepada ALLAH SWT. Kita semua, baik UMNO dan PAS, telah berusaha sedaya upaya mengangkat martabat dan kesucian agama Islam dan umat Islam untuk mendapat keredaan ALLAH SWT.

Menurut seorang pemimpin pemuda PAS di Selangor, Cukup-cukuplah perkawanan dengan DAP, lihatlah mudarat yang akan datang jika Pakatan memerintah. PAS tidak mampu menasihati malah tidak ada kekuatan untuk memimpin Pakatan, sudah sampai masanya PAS keluar dari Pakatan. Sekaranglah masanya, bukan selepas PRU13. Inilah masa untuk menunjukkan perpaduan ummah, dan menghancurkan musuh-musuh Islam terutama DAP.

Di Kedah malah di Kelantan, tok-tok guru pondok, dan orang-orang tua yang berumur 60 dan 70 tahun di kampung-kampung jika dulunya penyokong kuat PAS, kini sudah mula berkata, "kalau beginilah PAS hari ini, baik kita keluar PAS dan buat parti PAS baru seperti dulu". Inilah suara-suara pendokong-pendokong PAS asal yang kecewa. Bukan saya yang berkata perkara ini, saya hanya menulisnya, yang menyebutnya kepimpinan pemuda PAS yang pernah menjadi calon dalam beberapa PRU yang lepas.

Lihatlah juga, apabila Majlis Syura memutuskan Tidak Boleh menggunakan nama ALLAH SWT sebagai gantinama kepada GOD (agama Kristian), DAP melalui Pengerusinya Memberi Kata Dua kepada YB Dato Nik Aziz Nik Mat (Mursyidul Am) dan YB Datuk Hj Hadi Awang (Presiden) supaya menarik balik keputusan Majlis Syura itu. 


YBHG. DATO ISMAIL KAMUS & YBHG. DATO' HARON DIN MENYEDARKAN AKAN KEBIADAPAN DAP

Pertembungan Pemikiran dalam PAS sekarang menjadi semakin kemerut apabila hanya tinggal kira-kira 20% hingga 25% sahaja golongan Ulama dalam PAS. Parasit-parasit Anwar yang semakin mendominasi PAS berjaya meng'adjust' keputusan-keputusan PAS sebagaimana Mat Sabu berjaya meng'adjust' keputusan Kalimah Allah.

Sebabnya mudah, PAS tidak mungkin dapat menghalang kekuatan DAP sekarang ini, yang menerima dana dan latihan dari luar negara. Di mana-mana sekarang, ahli-ahli PAS bercakap supaya PAS keluar dari Pakatan.

Jika DAP menguasai kerajaan Pakatan selepas PRU13, orang-orang PAS sendiri tahu betapa ligatnya DAP menguasai dan menjaga kuasa itu, menggunakan kuasa itu, yang mana akhirnya YB Datuk Hj Hadi Awang mahu pun Datuk Hj Nik Aziz Nik Mat sendiri pun tidak mampu berkata "tidak" kepada DAP.

Saya akui PAS adalah parti yang penting untuk memberikan "check and balance", namun kemasukan orang-orang Anwar yang membawa masuk fahaman liberal Islam dan Islam ala Amerika ke dalam PAS benar-benar merosakkan Islam PAS. Kata YB Dato' Dr. Hassan Ali, mereka ini semua parasit yang dihantar Anwar ke dalam PAS.

Lihatlah Mat Sabu seorang yang bukan berpendidikan agama, dengan dibantu oleh golongan-golongan parasit Anwar telah memenangkan Mat Sabu. Bukankah parasit-parasit ini yang bertemu YB Datuk Nik Aziz Nik Mat dengan memberi nasehat yang salah, dengan memaksa YB Datuk Nik Aziz Nik Mat mendesak anak buahnya YB Tuan Man Tuan Ibrahim untuk bertanding Timbalan Presiden PAS. 

Bukankah awal-awal lagi YB Tuan Man Tuan Ibrahim  berkata kepada media bahawa beliau tidak hendak bertanding. Akhirnya, YB Nasharudin Mat Isa ditewaskan, dan berjayalah Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS. Bertepuk-tanganlah parasit-parasit Anwar dalam PAS dan bertepuk tangan jugalah DAP kerana Mat Sabu mudah ditunjuk-tunjuk.

Kepimpinan pemuda PAS ini berkata kepada saya, kita mesti bantu UMNO menang dalam PRU13 ini kerana Mudarat akan lebih besar kepada negara ini, kepada agama Islam, dan kepada bangsa Melayu seandainya DAP menang besar dan menguasai kerajaan Pakatan. 

YB Nasharudin Mat Isa sendiri tidak akan keluar PAS, tidak akan mengisytiharkan diri keluar PAS, tetapi akan keluar PAS jika dia dipecat. Kerana YB Nasharudin Mat Isa seorang individu yang bermaruah.

Ketahuilah bahawa kini semakin ramai pemimpin muda PAS yang masih berada di dalam PAS, tetapi kini sudah berkempen supaya mengundi UMNO.

Katanya, Apakah perbezaan sekarang, UMNO boleh memimpin BN, sebaliknya PAS tidak mampu memimpin Pakatan Rakyat.

Sebagai pemimpin pemuda PAS, beliau menyeru supaya menangkan UMNO dalam PRU13 akan datang untuk mengelakkan Kemudaratan yang lebih besar kepada umat Islam dan bangsa Melayu di tanah air ini.


Sekian, Assalamualaikum Warahmatullahih Wabarakatuh.


Yang Ikhlas,

Al-Azharri Siddiq,
Menyokong Perpaduan Ummah UMNO-PAS.

***Surat terbuka ini dibuat selepas mendengar ucapan pemimpin pemuda PAS, dengan harapan ahli-ahli Pas yang lain boleh membaca isi hati dan pemikirannya. Beliau seperti juga YB Nasharudin Mat Isa tidak akan keluar PAS, tetapi jika dipecat mereka akan keluar.

MOOD YB NASHARUDIN MAT ISA

on Wednesday, January 16

MOOD SEMAKIN BAIK
SAYA telah bertemu beberapa orang PAS dan PKR di Pulau Pinang dan di Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, ahli PAS ini, seorang jurujual syarikat Insuran berkata kepada saya, "DAP ni sangat Kurang Ajar kepada PAS!", di Pulau Pinang pula seorang ahli PKR berkata, "saya sangat bimbang dengan masa depan orang Islam dan bangsa Melayu". Kenapa? katanya lagi "pemimpin-pemimpin PAS dan PKR tidak ada kekuatan dan keberanian untuk berkata "Tidak" kepada DAP!

Isunya kenapa takut tinggalkan DAP? Hanya YB Nasharudin Mat Isa berani, kini sudah tinggalkan DAP dan Pakatan Rakyat, hanya tinggal nama sahaja di dalam PAS! Semasa saya bertemu dengan beliau di Parlimen, YB Nasharudin memberikan mood yang baik kepada Kerajaan BN dan 1Malaysia. 

Inilah yang berlaku kepada Kepimpinan PAS hari ini, sebahagian pemimpinnya berkata Tidak kepada Tekanan Joseph Lim Guan Eng berkenaan penggunaan Kalimah Allah, sebahagian berkata Boleh. Beberapa hari kemudian berkata Tidak, kemudian di hadapan pemberita Cina berkata Boleh lagi. Sungguh tidak konsisten. Ianya tidak pernah berlaku semasa zaman allahyarham Yusuf Rawa dan allahyarham Ustaz Fadhil Noor. Hanya YB Nasharudin Mat Isa sahaja yang berani membodohkan Joseph Lim Guan Eng.

Pada zaman kedua-dua pemimpin PAS ini, semua ahli PAS memberi Baiah yang solid. Kali ini di peringkat tertinggi seperti YB Dr Hassan Ali, YB Nasharudin Mat Isa, YB Taib Azamudin malah Dr. Haron Din sendiri bertegas dan tidak berubah-ubah bahawa Tidak boleh diterjemah nama Allah kepada Jesus Tuhan Trinity dalam agama Kristian. 

Apabila saya berkopiah putih, berbaju hijau dan bersembahyang di Masjid Al-Bukhari di Kuala Lumpur baru-baru ini, penyokong PAS menyambut salam saya dengan akrab dan gembira. Apabila saya menyatakan saya tidak menyokong Himpunan yang mereka lakukan, mereka terkejut. Mereka ingatkan semua orang yang berbaju hijau dan berkopiah putih bersama mereka.

Saya berada di lapangan semasa Bersih 2.0, Bersih 3.0 dan Himpunan 901. Apabila saya bandingkan dengan Himpunan yang baru lalu (12/1/2013), saya berani membuat kesimpulan bahawa rakyat Malaysia semakin menjauhkan diri dari Pakatan Rakyat. Orang semakin kurang dan mood bosan kelihatan di wajah mereka.

Semasa saya berdiri di bahu jalan di Jalan Hang Tuah, saya mengandaikan Rombongan yang diketuai Chegu Bard akan diikuti oleh lautan manusia sekurang-kurangnya 5,000 hingga 10,000 orang. Namun, saya sangat terkejut apabila rombongannya hanya diikuti lebih kurang 1,000 hingga 1,500 orang sahaja. 

Kemudian saya berjalan kaki ke Stadium Merdeka menuju ke Masjid Bukhari. Saya melihat orang-orang kampung, kanak-kanak, seumur budak sekolah, pelajar sekolah swasta yang semuanya tidak dan bukan pengundi.  Mereka berjaya meramaikan tetapi mereka bukan pengundi. Maknanya, Pakatan Rakyat hanya memberi Fokus meramaikan himpunan mereka, kerana Mat Sabu pada bulan Oktober 2012 meriwayatkan akan dapat mengumpulkan 1Juta orang. Kemudian Mat Sabu menurunkannya kepada 100,000 orang, dan akhir sekali Mat Sabu menurunkannya kepada 60,000 orang.

Sebab itulah mereka menolak Tawaran berhimpun di Stadium Bukit Jalil. Kerana di Bukit Jalil kapasiti stadium boleh memuatkan 90,000 orang tempat duduk (tidak termasuk padang), manakala di Stadium Merdeka hanya boleh memuatkan 25,000 orang di tempat duduk (tidak termasuk 10,000 di kawasan padang).  Apa maknanya? Maknanya himpunan baru-baru ini Mat Sabu hanya berjaya mengumpul 35,000 orang...katakanlah tambah 10,000 di luar kawasan stadium. Maka jumlah sebenarnya hanyalah kira-kira 45,000 orang sahaja.

Kalau 45,000 orang ini ditempatkan di Stadium Bukit Jalil..agak-agak berapa besarkah Lompang yang akan nampak di Bukit Jalil? Inilah yang menyebabkan mereka menolak tawaran di Stadium Bukit Jalil.

Kesimpulannya jelas, rakyat Malaysia bukanlah rakyat Mesir, Yemen, Libya dan Syria yang boleh dipaksa menjatuhkan kerajaan. Warga Polis patut dipuji kerana pengalaman telah mengajar mereka untuk menyelia keamanan dalam negara.

Saya percaya, pada masa akan datang, himpunan-himpunan seperti ini tidak akan laku lagi. Saya membayangkan negara Malaysia akan bertambah aman daripada gejala himpun-himpun seperti ini pada masa hadapan. 

Bayangkan Mat Sabu, Hishamudin Rais dan lain-lain telah mengadakan Road Show setiap malam dan setiap minggu sejak bulan Oktober 2012 hingga 11 Januari 2013. 

Selama 100 hari mereka membuat roadshow itu, akhirnya hanya kira-kira 45,000 sahaja hadir di Stadium Merdeka, Berbanding jika dicampur kehadiran peserta roadshow mereka, jumlah kesemuanya  60,000 orang. Sungguh jauh meleset.

Kegagalan ini telah menghukum niat dan ego buruk mereka. Bak kata pepatah "yang dikendong berciciran, yang dikejar tak dapat".

Selamat membaca.










PERHIMPUNAN 12 JANUARI: NASEHAT LEE KUAN YEW, HISHAMUDIN RAIS & TURKI

on Wednesday, January 9

HISHAMUDIN RAIS DAN NILAISME SOSIALIS TIDAK DAPAT DIPISAHKAN

MENJELANG hari Perhimpunan kononnya 1Juta orang hari Sabtu ini di Kuala Lumpur, nama Hishamudin Rais, Chua Tian Chang @ Tian Chua Fook (Tian Chua) dan Anthony Loke menjadi antara penggerak penting kepada perhimpunan yang amat-amat diharapkan oleh mereka akan menjadi. 

Selepas gagal dalam Bersih 3.0 dan 901, kali ini Hishamudin Rais diberi tanggungjawab besar, barangkali melihat kepada sejarah lamanya yang berdemonstrasi tahun 70an dahulu dan telah ke luar negara berpuluh-puluh tahun di negara orang.

Selain di Kuala Lumpur, mereka turut berharap akan ada sambutan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, juga di Miri dan Kuching, Sarawak. Di luar negara, mereka menumpukan kepada pelajar-pelajar Cina Malaysia yang ada di Taiwan, Hong Kong dan Australia. Memandangkan cuaca sejuk dan salji di sana ketika ini, perancangan mereka agak tergendala. 

Di Arab Saudi, Hishamudin Rais gagal mempengaruhi pelajar Malaysia kerana Kerajaan Arab Saudi sudah memberi Amaran Keras tidak hendak ada kacau-kacau di negara mereka!

Pada 20 Disember 2012, Hishamudin Rais sekali lagi mengemudi Mesyuarat penting di Dewan Perniagaan Cina Selangor/Kuala Lumpur (DPCS/KL) dan mereka memutuskan untuk mengadakan perhimpunan tersebut pada 12 Januari 2012.P

Amat malang kepada Hishamudin Rais, walaupun Menerbangkan DS Anwar Ibrahim ke Sarawak pada 3 hari yang lalu, hanya lebih kurang 300 orang sahaja hadir di Limbang. Keadaan ini sangat menyedihkan DS Anwar Ibrahim. Begitu juga di Melaka, dengan kehadiran Hishamudin Rais pun hanya mampu menghadirkan lebih kurang 400 orang di Kampung Bukit Pulau Melaka. Di Pusat Khidmat DUN Paroi, Negeri Sembilan hanya 250 orang sahaja hadir walaupun diketuai oleh Hishamudin Rais. Saya melihat Hishamudin Rais perlu koreksi diri, kata Lee Kuan Yew dalam satu temubual terhebat dengan TV China, "zaman sudah berubah cara lama tidak releven lagi". 

Namun, nampaknya Hishamudin Rais masih menggunakan cara lama walaupun zaman sudah berubah!

Saya membaca entry terbaru Hishamudin Rais di akhbar mereka, ianya menunjukkan semangat dan nilai-nilai Sosialis yang masih dipegang kuat oleh beliau. Saya teringat kata-kata YB Joseph Lim Guan Eng, katanya contohilah Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Apakah yang dicontohinya? Dalam buku terbaru Khalifah Umar Abdul Aziz yang saya baca, beliau menentang pengambilalihan kerajaan secara kekerasan, paksaan dan Revolusi. Gerakan-gerakan yang dibuat oleh Hishamudin Rais ini lebih kepada bersifat Revolusi. Khalifah Umar Abdul Aziz menentang cara ini.


MOGOK LAPAR YANG MEMANG LAPAR 

Antara lainnya, mereka mengadakan Mogok Lapar di Dataran Merdeka. Amat menggelikan apabila Adegan Mogok Lapar mereka didapati mencuri-curi makan di belakang kedai! Sungguh memalukan. 

Pada 3 Januari 2013, Menteri Besar Selangor turut mempengerusikan mesyuarat di Pejabat Menteri Besar dengan dihadiri lebih kurang 21 orang pemimpin PR, bagaimana cara meramaikan orang datang ke perhimpunan 12 Januari ini.

Satu-satunya jasa DAP ialah, khabarnya menyewakan DPCS/KL pada 12 Januari 2013, sekiranya berlaku huru-hara, para pemimpin PR akan dibenar berlindung di situ. Kenapa tidak berlindung di Masjid Negara atau di Balai Polis?

Inilah antara senario menjelang perhimpunan 12 Januari 2012.

Ternyata para pemimpin jalanan seperti Hishamudin Rais, Tian Chua, Mat Sabu dan anak didikan mereka Adam Adli (khabarnya ditugaskan memimpin sekumpulan mahasiswa di kawasan Universiti Malaya untuk merodok dan memajukan diri ke hadapan sekiranya mendapat halangan), menghadapi kacau bilau minda dan perasaan. Jambatan kedua Pulau Pinang sudah hampir siap, Hishamudin Rais masih berfikiran di tahun 70an.

Bagi saya, Hishamudin Rais patut menghentikan semua ini dan belajar menjadi Warganegara hebat seperti Lee Lam Thye. Belajar menjadi seperti Hillary Clinton di Amerika, walaupun tewas kepada Barrack Obama (2008) tetapi menerima lantikan  sebagai Setiausaha Negara. Jadilah seperti Senator Paul Findley, perjuangannya di atas kertas lebih berjaya daripada di atas jalanan. Tiada luka dan darah menyembah bumi!

Saya pernah hadir persidangan meja bulat dengan YB Tian Chua mengenai cadangan pemansuhan ISA. Beliau boleh memberikan cadangan dalam mesyuarat, cadangan beliau dan lain-lain pakar dihantar kepada pengetahuan YAB Perdana Menteri. Cadangan itu akhirnya diterima, walaupun di Amerika dan Singapura ISA diteruskan mantap. 


KEDUTAAN TURKI DI KUALA LUMPUR
TURKI 

Khabarnya ada warga asing dari Turki terlibat dalam perhimpunan kali ini. Mereka didatangkan khas dari Ankara! Jabatan Imigresen dan pasukan keselamatan hendaklah menyiasat hal ini jika ada kebenarannya? Apakah peranan dan tugas mereka dalam perhimpunan 12 Januari ini? 

Semasa demo Bersih 3.0, beberapa Diplomat Singapura dikesan menyertai demo tersebut. Namun, kerajaan Singapura menafikan perkara tersebut walaupun rakyat Malaysia mendesak diplomat yang terbabit keluar dari kepompong persembunyian mereka.  Isu ini sudah ditamatkan apabila Menteri Luar Singapura dan Parlimen Singapura menafikannya, namun ianya menjadi sejarah dan pengajaran kepada rakyat Malaysia akan campurtangan asing.

Bagaimana pula kaitan Turki dan perhimpunan 12 Januari ini? 







KEJUTAN MENJELANG PRU13

on Saturday, January 5

PERANCANG DAN MERANCANG
SEMASA PRU12 (2008), Pak Lah masih berjaya mempertahankan kuasa di peringkat Persekutuan dan beberapa buah negeri. Zaman Pak Lah sangat mencabar kerana ketika itu Krisis Ekonomi dunia khususnya peningkatan Harga Minyak yang melampau-lampau menekan seluruh dunia termasuk negara kita. 

Bukan itu sahaja, harga beras pun turut naik terutama apabila syarikat yang berpangkalan di Hong Kong membeli saham Bernas, hal ini diselamatkan apabila Tan Sri Syed Mokhtar Bukhary berjaya menguasai semula perniagaan beras. Malah, Pak Lah mengambil risiko tidak memberikan Bonus kepada kakitangan kerajaan.

Tiga bulan selepas PRU12, saya dan seorang pegawai kerajaan dari Sabah berjumpa Pak Lah di rumah Pak Lah di Jalan Bellamy, ketika itu membantu Datuk Raymond Tan, Timbalan Ketua Menteri Sabah yang menghadapi krisis dengan kepimpinan parti SAPP yang ketika itu mengambil keputusan meninggalkan BN. Dalam perbincangan itu, Datuk Raymond menerangkan situasi yang berlaku. Kami bertukar-tukar pandangan sambil minum petang. Perbincangan itu di sini, http://www.al-azharrisiddiq.com/2008/06/perbincangan-dengan-pak-lah.html .

Apa pun, banyak perkara yang tidak boleh saya kongsikan di sini, yang penting saya dan pasukan saya sangat berpuas hati kerana berjaya mempertahankan kerajaan persekutuan ketika zaman Pak Lah.

Zaman DS Najib saya kira lebih baik di mana rakyat mempunyai keyakinan yang tinggi kepada DS Najib sebagai Perdana Menteri. TS Muhyidin Yassin turut memainkan peranan besar membantu kepimpinan DS Najib di dalam parti dan kerajaan. Tiada desas-desus konon TPM hendak menjatuhkan PM, sebaliknya ialah DS Najib dan TS Muhyidin Yassin menunjukkan keakraban yang diyakini rakyat.

Di negara-negara besar terdapat agensi-agensi kerajaan yang memainkan peranan penting dalam memastikan survival agama, bangsa dan tanah air dapat terus bernyawa. Di Malaysia, Semasa DSP Joseph Pairin Kitingan menjadi Ketua Menteri Sabah, beliau menubuhkan "think-thank"nya iaitu Institute For Development Sabah (IDS) yang dahulunya Datuk Dr. Jeffery Kitingan sebagainya Pengarahnya. 

1MALAYSIA
Semasa DS Anwar Ibrahim pula, beliau menubuhkan Institut Kajian Dasar (IKD) sehingga hari ini masih berfungsi diketuai oleh YB Datuk Kamaruddin Jaafar yang dihantar ke dalam parti PAS dan mendapat tempat yang besar dalam PAS sehingga ke hari ini. Sebab itulah pemikiran Anwarisme berjaya di bawah masuk ke dalam PAS. Mereka tidak menentang apabila Anwar berkata "I will suppot all effort of Israeli" ataupun fahaman Pluralisme agama yang diucapkan Anwar di Barat. Ataupun semasa Anwar mengumpamakan PAS parti yang "menyusahkan" semasa berucap di Australia.

Hari ini, Ketua Menteri Pulau Pinang turut menubuhkan badan pemikirnya iaitu Penang Institute. Terbaru dalam mempopularkan gagasan "kebebasan demokrasi barat", Penang Institute membawa BJ Habibie.

Dalam sebuah karya agung Empayar China zaman Maharaja Han. Seorang laskar tenteranya telah menulis surat berbelas-belas surat kepada Maharaja Han, namun kesemua surat itu tidak sampai. Akhirnya, surat yang ke-12 sampai juga kepada Maharaja Han. Dia menulis tentang ancaman yang hendak menjatuhkannya. Saya pendekkan, akhirnya mereka yang hendak menjatuhkan Maharaja Han gagal hanya dengan surat itu. Akhirnya laskar itu dilantik sebagai Panglima tentera.

Begitu juga, pada tahun 1998, saya telah menulis surat dan sebuah buku kecil kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan tujuan untuk membantu beliau menghadapi PRU tahun 1999. Hanya pada tahun lalu (2012) selepas 13 tahun berlalu, apabila saya bertemu Tun Dr. Mahathir Mohamad secara personal, barulah saya tahu rupa-rupanya surat dan buku saya itu tidak sampai kepadanya. Bacaan ulangan anda, http://www.al-azharrisiddiq.com/2012/08/eksklusif-bersama-tun-dr-mahathir.html

DS Najib hari ini mewarisi kerajaan simple majority, namun sokongan terhadap DS Najib semakin bertambah apabila semakin ramai YB dari PR memberi sokongan kuat kepadanya khususnya YB Nasharudin Mat Isa, YB Gobalakrisnan dan lain-lainnya itu. 

Amat menakjubkan apabila YB Nasharudin Mat Isa seorang mantan Nombor 2 dalam PAS (Timbalan Presiden PAS) malah seorang yang taat kepada PAS kini berputar arah kepada DS Najib. Begitu juga YB Gobalakrisnan yang begitu taksub kepada DS Anwar, turut meminta rakyat memberi sokongan kepada Najib. Begitu juga YB. Datuk Dr. Hassan Ali, mantan Naib Presiden PAS yang kini senada seiringan dengan perjuangan DS Najib.

Selepas PRU12, kerajaan Perpaduan UMNO-PAS hampir-hampir menjadi kenyataan apabila kumpulan ulama yang diketuai YB Hj. Hadi Awang, YB Nasharudin Mat Isa dan lain-lainnya bertemu beberapa kali. Menjelang PRU13, benarkah akan ada kejutan besar? Tun Razak berjaya membawa masuk PAS ke dalam BN dalam rangka perpaduan ummah, apakah DS Najib pula berjaya menyatupadukan dua parti politik ini bersatu dalam BN?

KEJUTAN PRU13
Jawapannya ada kepada Presiden Pas dan mantan Timbalan Presiden PAS! Merekalah kata kunci nya. Jika berjaya, ianya akan menjadi kenyataan beberapa jam sebelum PRU13!

Selamat Berhari Minggu.









TANDA-TANDA 13 MEI MENJELANG PRU13

on Tuesday, January 1

SEJAK DAP MENANG BESAR DI SELANGOR, PENANG, KL & PERAK PERNAH KAMU LIHAT DAP BERARAK LAGI...

KEJAYAAN negara kita menjadi orang tengah di antara Kerajaan Filipina dengan Moro Islamic Liberation Front (MILF) merupakan satu kejayaan di bawah pemerintahan Kerajaan BN bermula dari zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sekarang ini DS najib Tun Razak. 

Proses gencatan senjata sudah dimulakan, hanya menunggu proses pentadbiran di antara Kerajaan Filipina dan BangsaMoro yang akan disusuli dengan penyerahan senjata, penubuhan pasukan keselamatan dan penubuhan kerajaan autonomi BangsaMoro di  bahagian selatan Mindanao, kepulauan SuluPalawanBasilan dan beberapa pulau yang bersebelahan. Kejayaan ini sungguh manis kepada kita umat Islam di rantau Asia Tenggara ini, tetapi tidak kepada Singapura. Bacaan tambahan ini http://www.al-azharrisiddiq.com/2012/12/kegagalan-mereka-menjatuhkan-perdana.html

Semua orang tahu bahawa sebelum itu, ketika Joseph Estrada menjadi Presiden Filipina, dia sangat rapat dengan DS Anwar Ibrahim, TPM Malaysia ketika itu, dan tidak kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Ketua Kerajaan Malaysia. Sehingga ke hari ini, DS Anwar masih melayan jemputan Joseph Estrada untuk makan malam sambil berhibur menyanyi di rumah mewah Joseph Estrada di Manila. 

Umat Islam di seluruh dunia adalah bersaudara, ramai yang tidak tahu betapa Tun Dr. Mahathir Mohamad, Pak Lah dan DS Najib telah memberikan bukan sahaja sumbangan berupa makanan, ubat-ubatan, pendidikan kepada pelajar Islam Bosnia dan Palestin, malah banyak lagi yang tidak mungkin ditulis di sini. 

Menjelang PRU13, DAP semakin hari semakin berani menyatakan pendirian mereka. Terkini bukannya isu Joseph Lim Guan Eng menuntut penggunaan nama Allah, namun Ngeh Koo Ham turut berani membandingkan, memanupulasi malah menyamakan Al-Quran dengan Bible sebagaimana laporan fakta ini http://www.anwaraidc.com/?p=30305. Ahli-ahli Pas marah dan berdemo menentang LGE di Pulau Pinang, malangnya kepimpinan Pas pusat berdiam diri.

Hanya YB Nasharudin, YB Azamudin Taib, Datuk Hassan Ali, Datuk Haron Din sahaja yang berani berkata tidak dan menentang suara DAP. 

Saya teringat semasa saya menemubual Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail, diminta oleh kerajaan asing supaya mengambil alih pentadbiran kerajaan Malaysia semasa krisis 13 Mei 1969! Beliau dengan tegas mengatakan tidak. Keselamatan negara Malaysia masih dalam kawalan, kata beliau. Maka Tun Razak berjaya menubuhkan MAGERAN, di mana Panglima ATM menjadi komander keselamatan yang penting dalam MAGERAN. Bacaan ulangan anda di sini http://www.al-azharrisiddiq.com/2012/07/kisah-panglima-atm-brand-loureate-award.html

Apakah akan jadi kepada negara kita ketika itu jika ATM menerima nasihat kerajaan asing itu? 

Tanda-tanda peristiwa 13 Mei 1969 sudah banyak berlaku menjelang PRU13, kumpulan pembangkang setiap hari setiap waktu mahu saja mengadakan Demonstrasi di Kuala Lumpur. Terkini oleh NGO ANAK minggu lalu. Anda mesti ingat, Demonstrasi setiap hari sejak awal Mei, 1969 sehingga 13 Mei 1969 oleh DAP, itulah sebenarnya penyebab Tragedi 13 Mei 1969. Pergerakan Wanita DAP telah belajar dari sejarah kesilapan itu, lalu Wanita DAP berkata, jika kami kalah atau menang kami mahu peralihan kuasa secara aman! Mesej ini gagal dibaca oleh NGO-NGO yang diperkudakan DAP seperti ANAK itu. Individu seperti Ngeh Koo Ham masih boleh senyum kerana umat Islam hanya berdiam diri akan tweeter terbarunya itu.

Semasa saya bertemu TS Harussani Zakaria, mufti Perak di pejabatnya. Saya sangat terkejut apabila Mufti Perak memberitahu kepada saya akan desakan Ngah dan Ngeh supaya Wang ZAKAT umat Islam diberikan juga kepada mereka! Mengapakah kepimpinan Pas yang menggunakan nama Islam dalam parti mereka tidak menentang permintaan itu, walhal mereka menjadi Menteri Besar ketika itu!

Dengan apa yang saya huraikan ini, saya percaya jika DAP berjaya meninggikan jumlah kerusi mereka dengan permintaan 3 Parlimen dan 10 DUN itu, tanda-tanda 13 Mei 1969 bakal berulang.

Saya mesti menulis perkara ini untuk menyedarkan pengundi Islam akan bahaya DAP. Saya menulis beberapa artikel secara sipi-sipi seminggu dua ini, harapan saya semoga ada yang akan faham yang tersiratnya.

Sejak DAP menguasai Selangor, KL, Perak dan Pulau Pinang pernahkah DAP berarak-arak lagi sebagaimana 1969 dahulu? Siapakah pula yang suka berarak-arak sekarang ini? Bijak bukan DAP?






Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan