CARA BERITA HARIAN MANUPULASI KENYATAAN JUSUF KALLA

on Sunday, June 30



Pengalaman saya bertemubual, mewawancara atau bualbicara dengan tokoh-tokoh negara seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad (2012), Tun Abdullah Ahmad Badawi (2008)  Pehin Sri Taib Mahmud (2013), Tun Abd. Rahman Yakub (2008), SS Mufti Perak Tan Sri Harrusani Zakaria (2009), dan banyak lagi memberikan saya pelbagai pengalaman yang penting yang saya kongsikan kepada pembaca. 

Namun, pengalaman bertemu berbualbicara dengan pemimpin besar luar negara yang pertama kepada saya ialah dengan Bapak Jusuf Kalla, mantan Naib Presiden Indonesia, memberikan pengalaman yang sangat berharga dalam hidup saya.

Pada hari Jumaat dua hari yang lalu (28.06.2013), saya terkejut apabila diberitahu artikel saya di dalam portal merdeka-online telah dipetik oleh beberapa akhbar khususnya akhbar Berita Harian. Walaupun saya telah menulisnya sudah agak lama, namun saya tidak menyangka ianya akhirnya begitu diminati. Barangkali kerana beberapa hari sebelum itu, DS Najib banyak bercakap tentang Rekonsiliasi Nasional ataupun Perpaduan Nasional.


Cara Berita Harian
Walau bagaimanapun, saya berpendapat khususnya akhbar Berita Harian meletakkan tajuk (front-page) dan head-line yang berbeza dengan tajuk asal di dalam portal merdeka-online sebagai bersifat manupulatif serta melampaui tatasusila etika kewartawanan. 

Kepada sesiapa yang biasa membaca tulisan saya, biasanya tulisan saya mempunyai maksud yang mendalam, yang orang biasa perlu mendapatkan penerangan lanjut saya untuk mereka memahaminya. Kerana jika hanya di”copy-paste” mengikut kehendak editorial masing-masing, sudah tentu maksud murninya akan lari. Perumpamaannya, jika seekor Singa ditukar kepalanya dengan kepala Buaya, maka apakah bentuk binatang itu dari atas ke bawah. 

Rakan yang membantu saya di Jakarta turut memberi respon kepada saya supaya saya membetulkan kesilapan yang saya lakukan. Saya rasa ada kebenarannya dan saya mesti menghormatinya, terutama saya harus akui ianya bukan wawancara secara rasmi, lebih tepat ianya boleh disebut sebagai perbualan dan kunjungan hormat kepada Bapak Jusuf Kalla.

Kesilapan saya mengubah konsep perbualan itu kepada wawancara adalah kesilapan besar saya, namun barangkali kerana saya berfikiran ianya lebih baik jika diangkat statusnya menjadi bentuk wawancara, menyebabkan saya menukarkannya kepada bentuk wawancara dalam tajuk artikel saya.

Perkara kedua, saya barangkali juga terlepas pandang bahawa dalam perbualan itu Bapak Jusuf Kalla menyebut supaya kita harus menyelidikinya, kita harus mengkajinya, supaya mendapat kebenarannya terutama hal-hal dana asing. Maknanya Bapak Jusuf Kalla tidaklah secara direct berkata Anwar diberikan dana asing sekian banyak jumlahnya, ianya perlu diterangkan supaya dapatan itu diselidiki dan disiasat lagi. Namun begitu, gambaran di muka hadapan akhbar Berita Harian sangat tidak tepat, kerana ianya telah memberi persepsi yang berbeza, khususnya kepada Bapak Jusuf Kalla.

Satu perkara yang mendesak saya menulis artikel tersebut ialah akibat daripada provokasi DS Anwar Ibrahim di dalam dan di luar negara terhadap kerajaan yang sudah dipilih oleh rakyat. Pertemuannya dengan Presiden Indonesia di Bali, pertemuannya dengan wartawan Indonesia dan rancangannya untuk mengadakan Himpunan Black Out 505 pada 22.6.2013 yang baru lalu. Semua itu mendesak dalam fikiran saya, apakah saya harus berdiam diri sahaja tidak membantu Kerajaan saya, negara saya dan Perdana Menteri negara saya?

Dengan tujuan supaya pengikut-pengikut DS Anwar berhenti daripada membuang masa berdemo dan berkhemah di padang Merbok, supaya mereka sedar ianya perbuatan yang sia-sia kerana walaupun DS Anwar menolak keputusan PRU13, tetapi pada masa yang sama DS Anwar menerima juga keputusan PRU13 di mana beliau datang ke parlimen, makan dan bermesra dengan DS Najib dan seterusnya mengangkat sumpah. 

Chegu Bard pun tersangat marah kepada wakil rakyat pakatan yang mengangkat sumpah di parlimen seolah-oleh beliau merasa teraniaya dengan Himpunan Blackout 505 yang dia menjadi antara koordinator utamanya.
Maka saya tidak ada pilihan, melainkan menulisnya. Alhamdulillah tidak ramai yang hadir dalam Himpunan Blackout 505 di Padang Merbok, bukanlah saya kata kerana disebabkan tulisan itu, sekurang-kurangnya saya harus membantu kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat ini. 

Sebetulnya, kehadiran saya ke rumah Bapak Jusuf Kalla untuk meminta kebenarannya supaya satu wawancara eksklusif di antara wartawan-wartawan elit dari Malaysia boleh diadakan bersamanya. Namun, masa tidak menyebelahi saya, kerana ketika saya bertemu Bapak Jusuf Kalla, beliau juga sedang bersiap-siap untuk ke luar negara. Ternyata Bapak Jusuf Kalla seorang negarawan yang bernilai tinggi, bilamana walaupun beliau punya masa yang tersangat pendek ketika itu, namun Bapak Jusuf Kalla sanggup menerima kehadiran saya.


Tanpa Persetujuan
Tindakan akhbar Berita Harian memetik artikel dan gambar saya di dalam merdeka-online adalah tanpa pengetahuan dan persetujuan saya. Sudah pasti nilai berita itu sangat tinggi, kerana tidak mungkin ianya menjadi head-line dan liputan penuh mukasurat dalam Berita Harian. 

Saya pun hairan bagaimana Berita Harian begitu berminat mengambil tulisan saya kerana kali terakhir artikel saya disiarkan oleh Berita Harian kira-kira 14 tahun dulu (1999).

Oleh itu, saya berharap akhbar Berita Harian akan menyiarkan semula artikel saya ini tanpa mengubah satu perkataan pun. Jika ianya terlalu panjang, pengatur susun atur huruf harus bijak menyesuaikannya. 

Apabila Berita Harian khususnya memetik artikel saya, tetapi mengubah organisasi karangannya, saya fikir ianya perilaku yang tidak kena. Ketua Pengarang akhbar ini perlu menjawabnya. Mereka mungkin perlu hadir seminar Konvensyen Geneva mengenai kewartawanan. Perbuatan mengubah organisasi karangan menyebabkan ketibaan makna sesebuah artikel itu berubah keseluruhannya seperti yang saya maksudkan di atas iaitu “jika seekor Singa ditukar kepalanya dengan kepala Buaya, maka apakah bentuk binatang itu dari atas ke bawah”. 

Saya sudah tentu boleh berkata kepada akhbar Berita Harian, “sila tarik balik artikel yang dicopy-paste itu” dan “saya membantah” cara ianya dipersembahkan. 


Rekonsiliasi Nasional
Bapak Jusuf Kalla adalah satu-satunya individu yang layak membantu akan hal Rekonsiliasi Nasional. Peranannya tidak dibatasi oleh sempadan negara. Agama Islam merentasi seluruh dunia. Tidak ada tokoh dalam negara yang mampu melakukannya. Kita harus berterima kasih kepada Bapak Jusuf Kalla, kerana ini adalah tuntutan agama Islam. 

Rekonsiliasi adalah tuntutan fardu yang dituntut oleh agama kita melakukannya. Firman Allah S.W.T. maksudnya: 'Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertakwallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.' (Al-Anfal : 61).

Saya agak kecewa kerana akhbar besar seperti Berita Harian menyiarkan artikel saya yang tidak disusun sepenuhnya mengikut yang asal dan ada yang berubah maksud asal kenyataan Bapak Jusuf Kalla. Matlamat akhir dari kenyataan Bapak Jusuf Kalla adalah perpaduan orang Melayu (pihak Anwar-pihak Najib) dan khususnya umat Islam, tetapi cara berita yang telah disiarkan khususnya oleh akhbar Berita Harian akan menjauhkan lagi proses rekonsiliasi ini.

Saya hendak memetik kenyataan Ahli Parlimen Indonesia, Bapak AM Fatwa yang banyak membantu untuk menjayakan pertemuan saya dengan Bapak Jusuf Kalla, katanya, “demi untuk perpaduan umat Islam saya anggap tugas ini sebagai tuntutan fardu yang sangat dituntut”. Jika orang seberang ingin melihat perpaduan orang Melayu dan umat Islam di negara kita, saya rasa terharu mengapakah kita masih hendak tuduh-menuduh, jatuh-menjatuhkan dan sebagainya. 

Saya harap akhbar Berita Harian menumpukan berita-berita ke arah Perpaduan Nasional dan Rekonsiliasi Nasional yang kini menjadi keutamaan Perdana Menteri kita, kerana Pilihanraya sudah berlalu, keputusan sudah ada, orang-orang Cina walau berbeza parti, jauh terkedepan dalam konteks perpaduan bangsa mereka. Mengapa kita tidak?

BUAL BICARA PENUH JUSUF KALLA

on Sunday, June 23



Bapak Jusuf Kalla, Mantan Naib Presiden Indonesia
Nama bapak Jusuf Kalla (JK), mantan Naib Presiden Indonesia menjadi penting di Malaysia kerana peranan persahabatannya dalam PRU13 baru-baru ini. Ramai rakyat Malaysia terkejut bagaimana beliau tiba-tiba muncul dalam kancah politik Malaysia. Ikuti perbualan eksklusif saya dengan bapak Jusuf Kalla di Jakarta baru-baru ini yang turut memperkatakan pelbagai isu sampingan.

Sebagai Ketua Editor Merdeka-Online, sebuah portal baru yang saya usahakan dengan matlamat rakyat Malaysia boleh meresapi jiwa merdeka dengan semangat "a sense of belonging". Baru-baru ini, pada 1 Jun 2013 saya berkunjung ke rumah bapak Jusuf Kalla, di Jakarta, Indonesia dengan niat untuk bertemu bapak Jusuf Kalla sekiranya beliau boleh ditemuramah. Alhamdulillah, bukan sahaja saya diterima dengan baik oleh bapak Jusuf kalla, tetapi saya turut dapat berbicara pelbagai hal khususnya mengenai Pilihanraya Umum Ke-13 di Malaysia. Ikuti sedutan soal-jawab saya dengan bapak Jusuf kalla.

MO: Assalamualaikum dan terima kasih saya ucap kepada Bapak atas kesudian menerima kehadiran saya. 

JK: Waalaikum Salam warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

MO: Saya ingin menyatakan perasaan teruja atas peranan bapak dalam hal, kalau bisa disebut perdamaian semasa Pilihanraya Umum di Malaysia baru-baru ini. Saya dapati rata-rata rakyat Malaysia masih tertanya-tanya bagaimana bapak tiba-tiba bisa muncul dalam hal ini?

JK: Sebetulnya, saya ingin jelaskan bahawa bapak Anwar bertemu saya sebanyak 3 kali. Pertamanya pada bulan Mac, 2013 di rumah ini juga dia datang pada malam hari. Ketika itu, hadir bersama dua ahli Parlimen Indoneisa iaitu Yusril Ihza Mahendra dan Fahmi Idris.

Saya lihat, pada ketika itu, Anwar terlalu yakin akan menang Pilihanraya di Malaysia, kerana katanya di mana-mana dia pergi sambutannya cukup luar biasa. 

Jadi Anwar mahu saya jadi perantaraan kepada bapak Najib, karena hubungan saya dengan kedua-dua mereka ini sangat baik, maka atas dasar persahabatan saya menerima. Bukan saya mahu masuk campur dalam urusan negara Malaysia, saya menerima urusan ini sebagai urusan persahabatan saya.

MO: Barangkali bapa bisa jelaskan apakah permintaan bapak Anwar semasa pertemuan dengan bapak tempohari?

JK:  Anwar memang ada membuat beberapa permintaan supaya saya bisa sampaikan kepada bapak Najib. Pertamanya, Anwar mahu agar supaya bapak Najib menerima ketetapan bahawa sesiapa yang kalah hendaklah menerima kekalahan itu. Dan yang kalah juga hendaklah mengucapkan selamat berjaya kepada yang menang, dan yang kalah itu kalau bisa disesuaikan dalam pentadbiran kerajaan yang baru.

Jadi, saya terbang ke Kuala Lumpur dan menyampaikan permintaan-permintaan Anwar itu dan bapak Najib mendengar dengan baik. 

Saya lihat bapak Najib seorang yang berjiwa besar, mendengar dengan baik segala permintaan Anwar tetapi bapak Najib juga mempunyai keyakinan yang tinggi akan menang Pilihanraya itu.

MO: Bagaimana tentang hal perjanjian, kerana di Malaysia heboh kononnya ada surat perjanjian antara Anwar dengan bapak Najib?

JK: Anwar memang ada membuat perjanjian bertulis. Anwar yang membuatnya, jadi semasa Anwar datang ke rumah saya, Anwar mahu supaya bapak Najib menurunkan tandatangan dalam perjanjian itu.

Anwar sangat konfiden akan menang. Di dalam mindanya dia sudah bayangkan dia Perdana Menteri. Jadi, saya kata kepada Anwar ok, kalau kamu kalah kamu juga harus menerima kekalahan kamu. Anwar bersetuju, jadi saya tandatangan dan Anwar juga tandatangan.

Apabila saya terbang ke Kuala Lumpur, saya bawa hal surat perjanjian ini kepada bapak Najib, saya melihat bapak Najib tidak ada masalah melihat perjanjian itu, tapi bapak Najib mengambil keputusan tidak menurunkan tandatangan. Saya tidak bisa memaksa.

Jadi saya balik semula kepada Anwar, saya beritahu kepada Anwar bahawa bapak Najib tidak turunkan tandatangan tetapi saya mahu kamu (Anwar) percaya kepada my mouth (mulut saya) bahawa bapak Najib tidak ada halangan dengan permintaan kamu (Anwar) itu. Maknanya, sesiapa yang kalah harus menerima kekalahan dengan hati yang terbuka (gentleman). 

Inilah gentleman's agreement antara saya dengan bapak Najib. Akhirnya Anwar bersetuju dalam isu bapak Najib tidak turunkan tandatangan karena Anwar mempercayai cakap saya.

Malangnya, selepas keputusan Pilihanraya, Anwar mungkir janji dan tidak komited kepada perjanjian itu sendiri. Itu sebab saya marah kepada Anwar dan kawan-kawan Anwar di Jakarta turut marah kepadanya kerana Anwar mungkir janji dan tidak komited. Asean Wall Street Journal menghub ungi saya bertanya apakah benar Anwar tidak komted. Saya beritahu mereka ya, benar Anwar memang tidak komited.

Saya tidak akan hubungi Anwar, biar dia tahu kami(Yusril, Fatmi dan teman-teman yang lain) marah kepadanya.


ISU PENIPUAN PILIHANRAYA
MO: Apa alasan Anwar tidak mahu menerima kekalahannya, mungkir janji dan tidak komited?

JK: Anwar menuduh berlaku penipuan, antaranya soal dakwat kekal. Jadi saya marah Anwar, saya kata kamu bilang dakwat itu tidak kekal, itu kamu lihat di jari kamu masih ada bekas dakwat kekal belum hilang (sambil bapak Jusuf Kalla memegang jari Anwar yang masih ada bekas dakwat).

Kemudian Anwar bangkitkan pengundi Bangladesh. Saya bilang sama Anwar, tak kan orang Malaysia tidak boleh membezakan percakapan, bahasa, budaya dan gaya orang Bangladesh. Tidak mungkin berpuluh ribu orang Bangladesh boleh dibawa masuk ke Malaysia dan menjadi pengundi. Ini tidak masuk akal.

Tapi, Anwar tetap tidak mahu menerima keputusan dan dia tetap dengan egonya.

MO: Anwar kata dia menang kerana undi popular dia lebih banyak daripada bapak Najib?

JK: Saya beritahu Anwar, kamu berada di Malaysia bukannya di Indonesia. Kalau kamu (Anwar) bertanding di Indonesia kamu sudah jadi Presiden Indonesia. Tapi di Malaysia sistemnya lain, kemenangannya dikira melalui sistem undi electoral, yang mana partai yang menang akan membentuk kerajaan dan melantik Perdana Menteri.

Malangnya Anwar ini ego, imaginasinya sangat melampau-lampau, dia tetap mahu jadi Perdana Menteri. Saya bilang kepada Anwar, "Kamu sudah gila?" mana mungkin kamu (Anwar) menjadi Perdana Menteri sedangkan kamu hanya menang 89 kerusi parlimen walhal bapak Najib menang 133. Tolong beri saya jawapan atas dasar apa kamu boleh jadi Perdana Menteri kerana kamu sendiri tahu kamu hanya menang 89 walhal bapak Najib menang 133.

Kami bertengkar dan akhirnya Anwar berfikir juga. Kemudian, kami juga berbicara tentang masa depannya dan masa depan Nurul Izzah. Saya bercakap tentang Menteri Penuh, Anwar meminta masa berfikir tentang perkara itu.

Kesilapan Anwar ialah dia sudah dua kali mengumumkan mahu bersara jika tewas dalam Pilihanraya, malangnya Anwar tidak pernah komited kepada janji-janjinya.

HIMPUNAN BLACK OUT 505
MO: Anwar kini sedang mengadakan himpunan Black Out 505 di seluruh negara sebagai bantahan ke atas keputusan Pilihanraya Umum baru-baru ini. Bagaimana bapak melihat perkara ini?

JK: Pertama saya mahu beritahu bahawa saya mengetahui Anwar dibantu oleh beberapa pihak khususnya dari Turki, Washington, Filipina, dan mungkin juga di negara Thai dan China, itu kamu kena selidiki.  Pemberi dana yang besar itu dari sebuah syarikat besar di Filipina, dan sedikit-sedikit dari Turki untuk membantu aktiviti himpunan bantahan itu. Mereka tidak boleh menyembunyikan diri mereka kerana mereka adalah rakan-rakan bisnes yang kita ketahui siapa mereka.

Isunya untuk apa membuat himpunan tersebut jika ianya hanya memberi keuntungan kepada musuh-musuh Islam dan orang Melayu. Saya sendiri bertanya kepada Anwar, apakah kamu boleh mengontrol (mengawal) parti DAP? Anwar terdiam dan Anwar tidak dapat memberi jawapan dengan jelas, ternyata Anwar punya masalah dan kepayahan untuk mengawal ahli-ahli parlimen dari parti lain.

Makanya, saya sendiri berfikiran tindakan Anwar mengadakan himpunan Black Out 505 itu hanya sia-sia sahaja, melainkan hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja iaitu musuh-musuh Islam.

PERTEMUAN SUSILO & ELEMEN WASHINGTON
JK: Baru-baru ini Presiden Susilo menelefon saya bertanyakan mengenai panggilan telefon dari "Polis Washington" supaya Presiden Susilo menerima permintaan Anwar untuk bertemu dengannya. Saya memberitahu Presiden Susilo supaya tidak tunduk kepada tekanan Washington dan tidak kena dengan peraturan kenegaraan untuk menerima permintaan Anwar kerana Anwar hanya pembangkang bukan Perdana Menteri. Ini bermakna, saya sangat yakin, bahawa ada elemen Washington dalam urusan campurtangan kuasa luar dalam politik negara Malaysia. Anda perlu terus menyiasat perkara ini.

ISU PENCEROBOHAN LAHAD DATU
JK: Dalam kes pencerobohan Lahad Datu, saya juga tahu bahawa ada campurtangan dari orang-orang tertentu di Filipina, kawan-kawan Anwar seperti Joseph Estrada dan sebuah syarikat besar di Filipina memberi sokongan kewangan dalam kes pencerobohan di Lahad Datu.

Tujuan mereka satu sahaja iaitu untuk melemahkan kerajaan Malaysia, di mana mereka yang menceroboh itu mahu menunjukkan kepada dunia luar bahawa kerajaan Malaysia lemah dan gagal menangani isu tersebut.

MO: Saya ucap terimakasih kepada bapak atas kesudian bapak menerima kehadiran saya dan seterusnya berbicara tentang isu penting ini. Saya sangat hargai dan saya berharap rakyat Malaysia boleh melihat peranan bapak yang mulia ini khususnya kedua-duanya adalah sahabat baik bapak.

JK: Terima kasih.

Jakarta, Indonesia, 
1 Jun 2013.








SURAT PERJANJIAN ANWAR-JUSUF KALLA-DS NAJIB

on Monday, June 17

Dalam bahagian kedua ini, saya akan menjurus kepada "Surat Perjanjian" oleh Anwar Ibrahim, Jusuf Kalla dan DS Najib Razak. Di luar sana, terlalu banyak rumors yang perlu saya perbetulkan, kerana jika saya tidak perbetulkan, orang-orang UMNO khususnya telah memberi satu persepsi yang silap khususnya kepada DS Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. 

Jika apa yang saya tulis ini tidak benar, maka Bapak Jusuf Kalla berkata tidak benarlah juga kepada saya. Dalam hal ini, saya amat yakin integriti Bapak Jusuf Kalla. 

Oleh kerana saya terlibat dalam pertemuan ini, maka saya bertanggungjawab untuk berkongsi hal ini, dengan harapan pembaca akan berfikir dan bukannya menjatuhkan hukuman.

SIAPA BUAT SURAT PERJANJIAN
Dalam hal ini, saya kecewa dengan Anwar Ibrahim kerana saya dapati beliau tidak bercakap benar dalam beberapa perkara. Saya membaca satu berita kononnya Anwar mengatakan Bapak Jusuf Kalla yang menawarkan diri untuk menjadi orang tengah. 

Walhal, pada bulan Mac 2013, Anwar Ibrahim sendiri datang ke rumah Bapak Jusuf Kalla pada malam hari, dengan ada teman saksi iaitu Bapak Fahmi Idris dan Bapak Yusril Ihza Mahendra di ruang tamu tempat yang sama saya duduk bersebelahan Bapak Jusuf Kalla dalam gambar itu. 

Ketika itu (Mac, 2013), Anwar dengan yakin menghujahkan kepada Bapak Jusuf Kalla beliau akan menang PRU13.  Bukannya Bapak Jusuf Kalla yang memanggil Anwar datang ke Jakarta. Kita harus faham, siapa tetamu dan siapa tuan rumah. Pada bulan Mac 2013 itu, Apakah Bapak Jusuf Kalla yang berkunjung ke Kuala Lumpur atau Anwar Ibrahim yang mendatangani Jakarta? Anda jawab sendiri!

Selepas Anwar berjaya meyakinkan Bapak Jusuf Kalla dan berjaya memujuk beliau, maka Bapak Jusuf Kalla atas dasar sehabat seemosi (istilah di Indonesia untuk menunjukkan tahap keakraban) telah terbang ke Kuala Lumpur dan bertemu Anwar Ibrahim pada 4/5/2013 iaitu sehari sebelum PRU13. Dan seterusnya Bapak Jusuf Kalla turut bertemu DS Najib pada tengah malamnya. 

Bapak Jusuf Kalla memberitahu kepada saya, bahawa Anwar Ibrahim membuat Surat Perjanjian di antaranya sesiapa yang kalah hendaklah menerima kekalahan. Ada beberapa lagi yang saya tidak perlu nyatakan di sini.

Bapak Jusuf Kalla memberitahu saya bahawa Anwar menandatangani Surat Perjanjian yang dibuatnya itu, dan Bapak Jusuf Kalla turut menurunkan tandatangan. Tetapi tidak oleh DS Najib!

TUDUHAN KEPADA NAJIB
Terdapat tuduhan di dalam parti UMNO dan juga para wartawan dan bloggers kononnya DS Najib terlibat dalam perjanjian tersebut. Kononnya DS Najib berada bersama-sama Anwar Ibrahim untuk menandatangani "Perjanjian" itu. Walhal sebenarnya Bapak Jusuf Kalla bertemu Anwar dan DS Najib secara berasingan.

Saya berani menyatakan bahawa DS Najib tidak terlibatmula dalam permainan politik Anwar ini, sebaliknya Anwar yang merangka pertemuan dengan Bapak Jusuf Kalla, Anwar yang mencadangkan perjanjian itu, Anwar yang meminta dan memujuk Bapak Jusuf Kalla supaya menjadi orang tengah, Anwar yang memulakannya.

Memang benar Bapak Jusuf Kalla membawa surat perjanjian yang dirangka oleh Anwar Ibrahim itu, tetapi DS Najib tidak menandatanganinya, DS Najib tidak bersetuju. 

Bapak Jusuf Kalla memberitahu kepada Anwar, bahawa DS Najib tidak mahu menandatangani perjanjian itu. Pada pengamatan saya, DS Najib menghormati kemunculan Bapak Jusuf Kalla sebagai sahabatnya juga, maka apakah kamu fikir jika tetamu besar seperti bapak Jusuf Kalla bertandang ke rumah DS Najib dan kamu meminta DS Najib menutup pintu? Makanya, DS Najib mesti melayan Bapak Jusuf Kalla dengan seribu kemuliaan sebagai seorang tetamu apatah lagi sahabat lama.

Saya bercakap panjang lebar dengan Bapak Jusuf Kalla dalam hal ini, dan saya berpendapat para ahli UMNO dan bloggers tidak berlaku adil kepada DS Najib dalam hal ini, sebab itu saya terpaksa menulis dengan agak panjang sedikit.

Jika anda bertanya saya, apakah Anwar sedang memerangkap DS Najib, saya tidak boleh menjawabnya kerana ianya niat Anwar. Saya percaya anda boleh memahaminya.

KENAPA SAYA MEMBELA DS NAJIB
Saya terpaksa ke depan kerana saya satu-satunya bertemu dengan Bapak Jusuf Kalla, maka saya mesti membetulkan rumors yang salah.

Saya menerima pelbagai sms daripada rakan blogger dan wartawan, antara rumors salah kononnya dalam perjanjian itu DS Najib meminta kepada Anwar Ibrahim sekiranya DS Najib kalah agar dirinya dan keluarganya jangan dipenjara! Ini adalah satu cerita rekaan dan fitnah yang sangat besar kepada DS Najib. Tidak ada tertulis dalam perjanjian akan hal itu, malah tidak disebut pun, hanya selepas sebulan ini barulah cerita rekaan itu muncul dan saya beri jaminan kepada anda cerita itu tidak benar.

Anwar hanya bercakap tentang isu besar dalam PRU13 iaitu jawatan Perdana Menteri yang menjadi idamannya, Bapak Jusuf Kalla dan Anwar bercakap tentang masa depan Nurul Izzah dan beberapa perkara lain. Mereka bercakap tentang jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Penuh, isu dakwat, isu pengundi Bangladesh dan hal-hal lain.

Malangnya, saya bersetuju dengan Bapak Jusuf Kalla bahawa Anwar sendiri yang merangka idea perjanjian itu, Anwar yang datang bertandang ke rumah Bapak Jusuf Kalla bercakap tentang idea perjanjian itu, malangnya sesudah PRU13, Anwar tidak komited kepada apa yang diusahakannya sendiri. 

Kekecewaan dan "kemarahan" Bapak Jusuf Kalla ialah tatkala dia sangat komited membantu, Anwar pula tidak komited kepada usaha janjinya sendiri!

Saya fikir cukup setakat ini dulu. Bacalah semula artikel-artikel ini, saya menyembunyikan sesuatu di dalamnya :  





Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, saya mesti menjaga kerajaan yang dipilih oleh rakyat semasa PRU13 baru-baru ini. Bukan soal two third majoriti atau menang besar dan menang kecil, peraturannya ialah jika kita mahu menghormati hak rakyat, menghormati sistem demokrasi yang menjadi amalan berkerajaan di Malaysia, Anwar seharusnya mengucapkan kepada DS Najib "Selamat Maju Jaya". Itulah juga yang diungkapkan oleh Khalifah Amirul Mukminin Umar Abdul Aziz, dalam buku yang ditulis oleh Dr. Ali Muhammad Muhammad Al-Shallabi bahawa hormatilah "keputusan demokrasi". Salam hormat dari saya kepada anda pembaca budiman.

EKSKLUSIF: RUNDINGAN ANWAR-JUSUF KALLA -NAJIB DI JAKARTA

on Sunday, June 16

PERTEMUAN EKSKLUSIF SAYA DENGAN BAPAK JUSUF KALLA DI JAKARTA
Pada mulanya saya tidak hendak menulis perkara ini dan saya cuba bertahan untuk tidak menulis, kerana Bapak Jusuf Kalla berpesan kepada saya supaya berhati-hati. Namun begitu, apabila saya membaca blog rakan saya ini http://syedsoutsidethebox.blogspot.com/ , saya dapati berlaku kekeliruan dan perkara yang tidak adil kepada DS Najib. Maka, saya mengambil keputusan untuk menulis berita eksklusif ini.

Pertama sekali, pertemuan saya dengan Bapak Jusuf Kalla adalah berseorangan dengan dibantu oleh Ahli Parlimen Indonesia, Bapak A. Mohamad Fatwa yang juga Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia. Saya ditemani oleh dua orang rakan. 

Hubungan Anwar dengan Bapak Jusuf Kalla dan Bapak A.M. Fatwa adalah hubungan sahabat lama berpuluh-puluh tahun sejak zaman belia lagi. Malah sehari selepas Anwar dibebaskan dari penjara (2004), Bapak A.M. Fatwa terbang ke Kuala Lumpur untuk meraikan pembebasan Anwar. Manakala, hubungan DS Najib dengan Bapak Jusuf Kalla ialah hubungan sejarah di mana Bapak Jusuf Kalla adalah seorang Usahawan sejak zaman ibu bapanya lagi, manakala DS Najib adalah keturunan Bangsawan Bugis dari Kerajaan Goa di Sulawesi Selatan. Manakala, saya pula hubungan kekeluargaan dengan Bapak A.M. Fatwa dan juga Bapak Jusuf Kalla dari sebelah isteri saya.
SAYA DITEMANI OLEH BAPAK A.M. FATWA, AHLI PARLIMEN INDONESIA, KETUA DEWAN PERWAKILAN RAKYAT INDONESIA
NEGOSIASI DI ANTARA ANWAR-JUSUF KALLA-NAJIB
Dalam perbincangan Eksklusif saya dengan Bapak Jusuf Kalla dalam satu jam di rumah Bapak Jusuf Kalla, beliau memberitahu saya bahawa Anwar bertemu dengannya sebanyak 3 kali. 

Pertemuan pertama berlaku pada bulan Mac di mana Anwar datang ke rumah Bapak Jusuf Kalla di Jakarta. Tujuan Anwar bertemu Bapak Jusuf Kalla untuk meminta Bapak Jusuf Kalla menjadi orang tengah semasa PRU-13, di mana Anwar sangat yakin akan menang dan meminta Bapak Jusuf Kalla memberitahu DS Najib supaya sesiapa di antara mereka yang kalah hendaklah menerima kekalahan itu. Cukup saya dedahkan satu ini, yang lain sudah pasti rahsia.

Bapak Jusuf Kalla seorang yang bijak, dalam pertemuan itu, beliau memanggil dua lagi Ahli Parlimen Indonesia sebagai saksi iaitu Bapak Yusril Ihza Mahendra dan Bapak Fahmi Idris, kedua-duanya mantan Menteri Indonesia dan kedua-duanya juga adalah sahabat Anwar. 
 
Namun demikian, selepas keputusan PRU-13 memberi kemenangan kepada DS Najib pada malam 5/5/2013, Anwar Ibrahim telah mungkir janji tidak mahu menerima kekalahannya sebaliknya menuduh berlaku penipuan. Kemungkiran janji Anwar menyebabkan sahabat-sahabatnya itu (Bapak Jusuf Kalla, Yusril, Fahmi dan lain-lain) marah kepada Anwar Ibrahim.
KETIKA SAYA BERDISKUSI DENGAN BAPAK A.M. FATWA DI RUMAHNYA
Dalam negosiasi itu, Anwar berkata kepada Bapak Jusuf Kalla "saya mahu jawatan Perdana Menteri". Bapak Jusuf Kalla sebaliknya menjawab kepada Anwar, "Apa kamu sudah gila! Kamu hanya menang 89 kerusi parlimen, Najib menang 133 tidak mungkin kamu bisa jadi Perdana Menteri!".

Bapak Jusuf Kalla berkata lagi, "jika kamu (Anwar) di Indonesia, ya kamu sudah jadi Presiden Indonesia sebab kamu menang undi popular, tetapi di Malaysia guna sistem undi electoral (parti)".

Tambah Bapak Jusuf Kalla lagi, "kamu kata isu dakwat, lihat jari kamu (sambil memegang tangan Anwar) masih ada dakwat yang belum hilang. Kamu kata ramai orang Bangladesh, tak kan orang Malaysia tidak boleh membezakan orang Bangladesh dengan orang tempatan dari segi bahasa percakapan dan budayanya".

MASA DEPAN NURUL IZZAH
Dalam pertemuan itu juga, Anwar dan Bapak Jusuf Kalla menyentuh masa depan Nurul Izzah. Bapak Jusuf Kalla dan Anwar bercakap soal jawatan Menteri Penuh kepada Nurul Izzah. Dalam pertemuan itu, Anwar meminta masa untuk berfikir.

Bapak Jusuf Kalla turut bercakap beberapa jawatan Kabinet kepada Anwar, dan Anwar meminta tempoh masa berfikir.

Menurut Bapak Jusuf Kalla, Anwar datang menemuinya untuk membuat negosiasi ini kerana Anwar begitu yakin dia akan menang PRU13 dan seterusnya menjadi Perdana Menteri.

Pada pandangan Bapak Jusuf Kalla, Anwar hidup dengan imaginasi yang melampau-lampau di mana Anwar mengangggap dirinya adalah Perdana Menteri, Anwar percaya dirinya adalah Perdana Menteri, bercampur-campur dengan sikap egonya, maka Anwar kata Bapak Jusuf Kalla tidak dapat menerima hakikat ketewasannya di dalam PRU13.
 
Tekanan Washington 
Bapak Jusuf Kalla turut menceritakan hal lain, di mana beliau memberitahu kepada saya adanya elemen Washington dalam keputusan PRU13 itu, di antaranya pihak Washington telah menekan Presiden Indonesia supaya menerima kunjungan Anwar dan memberi sokongan kepada Anwar. 

Dalam hal ini, Bapak Jusuf Kalla memberitahu kepada saya beliau telah dihubungi oleh Presiden Indonesia untuk meminta pendapat akan hal ini, dan Bapak Jusuf Kalla memberi pandangan kepada Presiden Indonesia bahawa adalah tidak betul untuk menerima tekanan Washington itu.

Maka, pertemuan Anwar dan Presiden Indonesia semalam jelas akibat daripada tekanan Washington ke atas Presiden Indonesia.

Bersambung...




KENAPA TIDAK PERTIKAI YANG TIDAK FASIH BERBAHASA MELAYU, MARY YAP OK

on Saturday, June 8

ISU yang dibangkitkan oleh pihak pembangknag kononnya dua wakil Cina dalam kabinet negara tidak tahu berbahasa Cina amat menjengkelkan. Saya mengenali Datuk Mary Yap (gambar atas) dan kita tidak mungkin boleh menafikan bahawa beliau cemerlang di dalam pendidikan di daerah Tawau, di negeri Sabah, di peringkat nasional malah di peringkat antarabangsa.

Sesudah bersara pun beliau telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat Sekolah Kluster Kebangsaan dan beberapa jawatankuasa peringkat tertinggi di Kementerian Pendidikan termasuk bahagian Kurikulum.

Maka, apabila beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan, ianya adalah pemilihan yang tepat. 

Sepatutnya mereka yang mempertikaikan perlantikan tersebut harus mempertikaikan rakyat Malaysia yang tidak tahu berbahasa Malayu, tidak tahu bercakap bahasa Malayu dan tidak tahu menulis dalam bahasa Malayu. 

Bahasa Melayu adalah bahasa Kebangsaan, bahasa Melayu adalah bahasa Wajib Lulus UPSR, PMR dan SPM sedangkan bahasa Cina adalah bahasa pilihan. Sesiapa pun digalakkan belajar bahasa Cina di mana anak saya sendiri selain belajar bahasa Arab juga belajar bahasa Cina sebagai subjek pilihan mereka di sekolah.

Jika anda biasa mendengar Datuk Mary Yap berucap, bahasa Melayunya sangat bagus di samping bahasa Inggeris. Sewaktu saya menetap di Tawau dahulu ketika itu Datuk Mary Yap masih sebagai Pengetua di SM Teknik, Tawau, saya sendiri tidak tahu beliau tidak tahu berbahasa Cina.

Semasa saya ke rumah Datuk Mary Yap membincangkan penerbitan buku pengalaman pendidikannya, beliau berbahasa Melayu dengan saya. 

Dalam buku itu, satu perkara yang saya masih ingat ialah setiap pencapaian murid, setiap kejayaan pekerja-pekerja di bawahnya, hendaklah dihargai dan diberi penghargaan (reward). Tetapi sebelum diberi penghargaan aspek-aspek disiplin, kesungguhan, kerja kuat dan ketelitian sangat diberi keutamaan.

BAGAIMANA WAKIL RAKYAT YANG TIDAK FASIH BERBAHASA MELAYU
Negara kita pernah digemparkan dengan kemenangan seorang wakil rakyat pembangkang yang tidak fasih berbahasa Melayu. Namun, ianya tidak dijadikan isu oleh pihak pembangkang, sudah pasti kerana dia wakil rakyat pembangkang.

Jika anda mendengar ucapan Lim Kit Siang di Parlimen, berbanding dengan ucapan Datuk Mary Yap, anda boleh adili sendiri betapa bagus dan fasihnya bahasa Melayu Datuk Mary Yap. Tidak tersekat-sekat, tidak teragak-agak, intonasi yang sesuai, grooming (bahasa badan) yang betul kerana Datuk Mary Yap mempelajarinya. Beliau juga tidak meninggikan ucapannya semasa memberi idea, apatah lagi menjerit-jerit di Parlimen sebagaimana biasa dilakukan oleh sesetangah ahli parlimen pembangkang.

Saya percaya, kehadiran Datuk Mary Yap di Kementerian Pendidikan akan membawa suatu budaya kerja yang lebih berdisiplin, bertenaga dan menyenangkan warga pendidikan di seluruh negara. Saya yakin perkara ini akan dilakukannya.
Datuk P. Kamalnathan (gambar atas) juga seorang Timbalan Menteri Pendidikan yang sangat bagus, di mana saya sendiri pernah menelefon beliau untuk menyelesaikan masalah seorang guru Kelantan. Saya bersyukur dan gembira, kerana beliau melayan panggilan telefon saya dengan cermat, mendengar dengan baik malah menulis surat sokongan. 

Maka, saya tidak ada keraguan kepada Datuk Mary Yap dan Datuk P.Kamalnathan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.


SEGERAKAN REKONSILIASI

on Wednesday, June 5

REKONSILIASI MENUJU KEJAYAAN
Pilihanraya Umum Ke-13 sudahpun sebulan berlalu, semasa berucap di Perhimpunan Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini, YAB DS Najib Tun Razak telah meminta supaya para penjawat awam menumpukan usaha dan perhatian kepada memenuhi janji-janji pilihanraya dan keperluan rakyat. DS Najib meminta supaya para penjawat awam meninggalkan aktiviti politik yang melampau sehingga menjejaskan kualiti dan tumpuan kerja.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) turut mengingatkan para penjawat awam supaya tidak lagi terlibat di dalam  aktiviri politik sehingga menghilangkan fokus kepada pekerjaan dan keperluan rakyat.

BEGINI CARA MENYATUPADUKAN
Perpaduan yang bagaimana hendak kita bina? Rekonsiliasi yang bagaimana yang dimaksudkan oleh DS Najib?

Perpaduan itu berlaku apabila kita memahami sejarah negara ini dengan betul. Bahawasanya Nusantara ini dahulunya bersatu tanpa sempadan. Sebab itulah jika kita kaji sejarah mengapa keturunan orang Kelantan boleh bertapak sejak sekian lama sebelum penjajahan Raja Brooke dan penjajah Inggeris di negeri Sarawak. Jawapan mudahnya ialah, ketika itu orang-orang Kelantan ketika belayar ke Borneo mereka boleh berulang-alik ke muara Kuching kerana ketika itu tiada sempadan, tiada pasport dan tiada halangan kerana ianya satu negara (ataupun satu nusantara).

Semasa saya bertemu mantan TYT Sarawak, Tun Abd. Rahman Yaakub beliau menceritakan hal ini kepada saya dengan terperinci (2009).

Begitu juga, mengapakah wujud keturunan Sultan Johor di Selatan Filipina seperti di Mindanao dan sekitar Palawan. Mudah hendak difahami ialah kegiatan perdagangan rempah dan hubungan kerajaan (raja-raja) di antara kawasan selatan Filipina dan kerajaan Johor telah wujud ketika itu. Maka, jika kita baca sumber sejarah yang lain menyebut adanya keturunan sultan Johor di Palawan, Filipina.

Sama halnya dengan kewujudan orang-orang Bugis di Patani dan di Kelantan. Sekitar tahun 1400an, orang-orang Bugis yang kuat merantau dengan kapal "Pinisi" mereka telah sering bersinggah di Pattani untuk belajar agama dan kembali semula ke Sulawesi untuk mengajarkan pula ajaran agama Islam. Ada di antara mereka pula berkahwin dengan orang Kelantan dan sejarah juga mencatat berlaku perkahwinan orang Bugis ketika itu dengan anak raja Kelantan. Nama "Bachok" di Kelantan itu jika diterjemahkan ke dalam bahasa Bugis bermaksud "lelaki".

Lima bersaudara Bugis dan salah seorang daripadanya iaitu Daeng Parani sendiri mati di Kedah, dia dijemput Sultan Kedah ke Kedah untuk membantu Sultan Kedah menghadapi serangan Siam dan British di Pulau Pinang.

MAKSUDNYA
Kita kena faham mana-mana negara di dalam Nusantara Melayu intinya ialah agamanya Islam dan bangsanya Melayu. Maka inti kepada Malaysia ialah agamanya Islam dan bangsanya Melayu. Itu intinya, pecahan kepada intinya ialah bangsa-bangsa lain dan agama-agama lain yang dijamin dalam perlembagaan tetapi emosiasinya ialah kepada inti sebenar iaitu Islam dan Melayu. Inilah dasarnya dan inilah intinya negara ini.

Jika orang-orang Jawa yang ramai di Malaysia mereka berasal dari Indonesia, adalah kerana Indonesia dan Malaysia sebelum penjajah adalah sebuah negarabangsa Nusantara yang tidak terpisah. Orang-orang Aceh ketika Sultan terakhirnya (Perempuan) diserang dengan bertubi-tubi oleh penjajah Belanda, mereka menang beberapa kali sebelum akhirnya tewas jua. Kerajaan Melayu Melaka turut membantu dan begitu juga sebaliknya. Peristiwa ini berlaku di antara tahun 1200an di Acheh dan 1400an di Melaka.

Di beberapa wilayah Thailand yang bergolak seperti di Naratiwath, Pattani dan Songkla dahulunya adalah wilayah-wilayah di bawah kekuasaan Kesultanan Kedah termasuklah Pulau Pinang. Malangnya, ketika itu Sultan-Sultan Kedah tidak dapat mempertahankan wilayah-wilayah tersebut kecuali kita mendapat semula Perlis yang akhirnya menjadi negeri berasingan daripada Kedah.

NEGARA MODEN MALAYSIA
Selepas beratus-ratus tahun, peristiwa-peristiwa sejarah di atas menjadi sejarah yang paling penting. Malangnya, generasi sekarang tidak melihat sejarah sebagai sebuah persada. Mereka melihat sejarah hanya sebagai cerita lama.

Sebab itulah terdapat rakyat Malaysia yang menghina DYMM SPB Yang DiPertuan Agong, kerana dia tidak faham negara ini mempunyai Ketua Negara dan Ketua Negara Malaysia ialah Sultan. Bukan rakyat biasa.

Sebab itulah berlaku peristiwa rakyat Malaysia menterbalikkan bendera negara(dalam bahasa mudahnya mempermain-mainkan bendera negara atau bahasa kasarnya menghina negara). Kerana dia tidak faham bahawa bendera itu adalah lambang penting kepada sesebuah negara. Jika mereka lakukan di Indonesia, Filipina, Mynmar atau Thailand, masa depan mereka akan berdepan risiko. 

Maka, saya melihat Rekonsiliasi (menyatupadukan yang berpecah) atau (merapatkan yang berjauhan) atau paling jelas (memulihkan semula persahabatan yang retak) perlu dimulakan dari sekarang.

Siapakah yang perlu ke depan? Saya melihat beberapa peluang yang wujud, untuk peringkat awal ianya boleh dimulakan dalam PLKN, sekolah dan universiti, agensi perpaduan seperti Jabatan Perpaduan, agensi patriotik dan lain-lain NGO. Modul Rekonsiliasi ini perlu disegerakan jika kita mahu melihat negara ini berjaya.

REKONSILIASI POLITIK
Topik ini saya kupas kemudian, kerana ianya sangat penting dan inilah maksud DS Najib. 

BERSAMA KETUA DEWAN PERWAKILAN RAKYAT INDONESIA

on Sunday, June 2

Bapak AM Fatwa Ketua DPR Indonesia, saya dan isteri kepada mantan Presiden PERTAMINA Indonesia

Dua tahun selepas saya melawat keluarga di Jakarta, perubahan sangat pesat dengan gedung dan prasarana jalanraya tumbuh bagai cendawan. Namun, Jakarta tanpa macet bukan Jakarta namanya. Kenderaan dan motor bersimpang siur 24 jam tanpa henti membuktikan Kota Jakarta hidup sudah lama.

Kempen kempen politik sudah bermula nampaknya walaupun pemilihan Presiden Indonesia akan dilakukan tahun hadapan.

Saya sempat bertemu Senator Andi Muhammad Fatwa seorang pejuang keadilan rakyat negara Indonesia yang pernah dipenjara 18 tahun kerana menentang Pemerintahan Presiden Suharto. Hari ini beliau menghabiskan sisa sisa hidupnya dengan membuat kebajikan dengan memberi pendidikan percuma kepada anak anak Indonesia dan perkhidmatan perubatan di Gedung Putra Fatahilla Jakarta.


Buku Perjuangan Bapak AM Fatwa dihadiahkan kepada saya

Beliau menyatakan kepada saya, bapak Anwar Ibrahim itu sangat rapat dengannya kerana Bapak Anwar Ibrahim pernah bersama sama dengannya berkursus kepimpinan berkenaan revolusi dan reformasi di Jakarta. Semasa Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara, Bapak AM Fatwa  mula mula melawat beliau di Kuala Lumpur. Namun, masa yang berlalu mengajar beliau untuk pasrah dan beliau menyatakan kepada saya walaupun semasa pemerintahan Suharto dia dipenjara dan diseksa tetapi dia tidak pernah berdendam dengan Keluarga Suharto malah mereka pula semakin akrab.

Beliau yang juga sahabat akrab Anwar Ibrahim mahu melihat suatu perdamaian kerana perdamaian adalah tuntutan agama Islam.

Saya ditemani isteri kepada mantan Presiden Pertamina Indonesia, Bapak Soemarno juga seorang Pejuang Semangat Tritura 1950.

Bercakap tentang Indonesia, kita boleh belajar semangat Patriotik dan Nasionalisme mereka yang sangat kuat dan tinggi. Saya mencadangkan Agensi dan NGO yang menjalankan usaha Patriotik dan Perpaduan negara untuk melihat aspek ini di Jakarta.

Sebagai contoh, jika kita pergi ke Jakarta di pusat permainan kanak kanak, akan dimainkan lagu kanak kanak dan diselitkan juga lagu lagu patriotik dan dipampang gambar gambar pemimpin pemimpin negara mereka. Hasilnya rakyat Indonesia punya semangat jati diri yang sangat tinggi.

Jumpa lagi dengan tajuk Pertemuan Saya dengan Calon Presiden Indonesia tahun 2014.

Selamat membaca.

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan