KHAIRY LULUS MENTERI BELIA, NAMUN TIDAK DI PEMUDA

on Thursday, August 29

Persembahan 100 Hari YB Khairy Jamaludin sebagai Menteri Belia dan Sukan (KBS) menyerlahkan kemampuan & keperbezaan caranya yang tersendiri. Dari kacamata luar beliau kelihatan berjaya meremajakan dan mentransformasikan KBS. 

Contohya, beliau memberi pandangan yang jelas dalam isu pembangunan sukan bola sepak negara dengan menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Negara dan turut mendesak peranan pihak swasta.

Namun begitu, di dalam parti, beliau patut sedar adalah amat janggal seseorang pemimpin UMNO memberi pandangan yang 'buruk' ke atas akhbar Utusan Malaysia. Satu-satunya akhbar yang membawa aspirasi orang-orang Melayu, negara  dan agama Islam sejak zaman berzaman.

PM Najib sendiri tidak menyalahkan Utusan, sepatutnya YB Khairy menyoal akhbar-akhbar lain yang lebih "teruk".

Saya kini tertanya-tanya apakah semasa bersekolah YB Khairy mengambil kertas Sejarah Malaysia? Jika ya, berapa markah kertas Sejarah beliau?

Adakah beliau mengetahui perjuangan akhbar "Majlis" yang membangkitkan kesedaran orang-orang Melayu khususnya Raja-Raja Melayu betapa bahayanya Malayan Union ketika itu (1945-1946)?

Apakah YB Khairy menyedari bahawa pada hari ini tiada lagi suara akhbar Melayu yang berjiwa Melayu dan berjatidiri Melayu melainkan Utusan Malaysia. Sudahlah akhbar Utusan Melayu (Jawi) sudah berkubur, kini pemimpin muda UMNO yang tidak merasai keperitan sejarah perjuangan orang-orang terdahulu dan akhbar-akhbar lama pula sanggup bersoal akan tujuan akhbar ini.

Bagi saya, sesiapa pun boleh hidup dan membesar di luar negara mana pun sama ada di Singapura, Jakarta atau di Eropah. Namun, anda mahu tidak mahu akan kembali juga ke negara ini untuk mencipta kejayaan diri anda.

Sesiapa boleh mengumpul kekayaan dengan pantas dan singkat, tidak perlu bekerja keras, dan sesiapa juga bebas menyelamatkan harta-harta mereka serta wang mereka di dalam atau di luar negara.

Dato Onn Jaafar
Tahukah anda apa yang ditinggalkan oleh Dato' Onn Jaafar kepada Tun Hussien Onn semasa beliau meninggal dunia. Amat sedih untuk dicatat di sini, bahawa Dato' Onn Jaafar hanya memiliki wang simpanan tidak sampai RM500 dalam akaun banknya, dan hanya mewariskan sebuah rumah kayu buruk sahaja kepada generasinya.

Hari ini, saya diberitahu oleh seseorang pemimpin senior, bahawa ada wakil rakyat kita yang mempunyai simpanan wang yang begitu banyak di luar negara. Ianya amat mengejutkan, menjelikkan tetapi mengkagumkan juga.

Beberapa blogger seperti ini http://parpukari.blogspot.com/2013/08/cili-kasi-taruk-apa-benarkah-pemuda.html mempersoalkan mengapa tidak ada Pemuda yang berani bertanding di kerusi Ketua Pemuda. Saya punya jawapan amat mudah, jika ada Pemuda UMNO yang boleh mengatasi sumber kewangan yang lebih besar, dia bolehlah bertanding jawatan Ketua Pemuda. Saya tidak nampak mana-mana Pemuda yang boleh mengatasi YB Khairy!

Saya tidak bermaksud wang diguna untuk membeli undi. Anda mesti realisitik, terdapat ahli-ahli UMNO yang setia di kampung-kampung tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk keluar ke bandar, apatah lagi untuk ke PWTC dengan segala macam kos. Anda mesti menyumbangkan wang anda, bukan wang parti, untuk mengurus kos mereka seperti makanan, perjalanan, tempat tinggal dan sebagainya. 

Keris
Oleh sebab itulah, walaupun saya kelihatan kritikal dengan YB Khairy, namun saya tidak nampak seseorang yang mampu mengatasinya, khususnya kekuatan sumber kewangannya.

Oleh kerana saya lebih lama berbanding YB Khairy dalam politik UMNO dan usia, saya berasa selesa untuk mengkritik kelemahan beliau. 

Dalam Pemilihan UMNO kelak, saya mahu melihat Ketua Pemuda UMNO mencium keris dan menghunus keris! Apa salah dengan keris? Ianya budaya kita orang Melayu baik di Malaysia, Indonesia, Brunei, Patani, Filipina semuanya biasa sahaja dengan keris! Mengapa perlu takut dengan bisingan orang lain. 

Kata Anwar Ibrahim semasa di dalam UMNO, "Jika Takut Dengan Ombak, Jangan Berumah Di Tepi Pantai, Jika Takut Dengan Cabaran, Jangan Bercakap Soal Perjuangan"!







MERDEKA 56 HAMBAR: KURANG BAJET ATAU KURANG IDEA?

on Wednesday, August 28

Bahasa mudah kepada 'Kemerdekaan" ialah bebas daripada cengkaman penjajahan politik, penjajahan ekonomi dan penjajahan agama. Dari satu sudut, negara kita sudah 56 tahun bebas daripada penjajahan British, iaitu pada 31 Ogos 1957 dan pada 16 September 1963 bagi Sabah, Sarawak dan Singapura.

Singapura pula, oleh kerana Kerajaan Ratu England tidak hendak memberi kebebasan kepada Singapura walaupun lebih 10 kali Ketua Menteri Singapura dan delegasinya ke London memohon kemerdekaan, ditolak oleh Kerajaan Ratu England. Akhirnya, Lee Kuan Yew berfikir, untuk Singapura merdeka ada satu jalan sahaja iaitu "perlu melalui Malaysia". 

Kemudian, Lee Kuan Yew menjadi ego dan Singapura berjaya merdeka sepenuhnya, merdeka dari Kerajaan Ratu England dan merdeka dari Malaysia. Adakah kamu fikir Lee Kuan Yew seorang ahli politik yang bercakap benar, namun saya setuju kata-kata Lee Kuan Yew bahawa adalah mustahil Anwar dan Pakatan Rakyat boleh memerintah Malaysia.

Sebenarnya bukan tahun 2013, sahaja tetapi sebelumnya sambutan kemerdekaan negara kita turut di tahap kurang memberansangkan. Tahun lalu isu besarnya berkenaan logo, tahun ini Logo Kemerdekaan negara kita sangat cantik dan berkesan. Saya pasti ramai yang suka dan teruja.

Tahun ini isu "hambar" pula?

KURANG BAJET ATAU KURANG IDEA ?
Jika kita imbas tahun-tahun dahulu, pelbagai aktiviti diadakan oleh agensi-agensi kerajaan untuk menyedarkan dan memupuk semangat Patriot kepada negara. 
MENANG TEMPAT PERTAMA PERADUAN MENULIS NOVEL SEJARAH SEMPENA SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN NEGARA KITA (DBP)
Secara ringkas, dahulu DBP mengadakan Peraduan Menulis Novel Sempena Hari Kemerdekaan. Pada tahun 2003, sempena Sabah Merdeka Dalam Malaysia, saya menyertai Peraduan Menulis Novel oleh DBP. 

Sebanyak lebih 40 Naskah Manuskrip dipertandingkan, dan saya sendiri tidak menjangka memenangi Peraduan tersebut. Sangat mengujakan apatah lagi ianya dinilai oleh Tokoh-Tokoh Sasterawan di peringkat Nasional seperti Datuk Firdaus Abdullah sebagai Ketua Pengarah DBP ketika itu, Haji Hamzah Hamdani dan sebagainya. Saya tidak pasti apakah novel Sejarah tersebut akan memasuki penilaian buku teks Komsas oleh Kementerian Pendidikan?

Apakah pula yang anda akan ingati kepada Tan Sri Nordin Kardi, mantan Ketua Pengarah BTN dan NC UUM. Beliau berjaya menghidupkan suasana Kemerdekaan dengan pelbagai aktiviti seperti Perjalanan Kemerdekaan di seluruh negara, Deklamasi Puisi Kemerdekaan di mana Sasterawan Negara seperti A. Samad Said sentiasa menyertainya, serta edaran bendera Jalur Gemilang, malah beliau turut mencipta lagu "Warisan" bertema Patriotik dengan makna yang amat mendalam. 

Selepas beliau bertukar di UUM sebagai Naib Canselor UUM, usaha-usaha Patriotisme beliau diteruskan oleh Datuk Shagul Hamid, juga mantan Ketua Pengarah BTN melalui aktiviti seperti edaran Jalur Gemilang, Deklamasi Puisi Kemerdekaan dan Kembara Merdeka Seluruh Negeri Sabah yang digerakkan pula oleh Datuk Ibrahim Saad, Pengarah BTN negeri Sabah sekarang.

SEGERAKAN PENUBUHAN MAJLIS PATRIOTISME NEGARA
Malah, ketika zaman Datuk Shagul Hamid juga berjaya mengeluarkan beberapa buku Kemerdekaan dan Patriotik. Sebelumnya, beliau turut berjaya mengadakan Kongres Patriotisme Remaja (18-19 Ogos 2007) yang pertama dengan usul penting daripada Kongres Patriostisme Remaja itu ialah penubuhan Majlis Patriotisme Negara di samping beberapa Program dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Barangkali sudah sampai masanya Resolusi Penubuhan Majlis Patriotisme Negara diteruskan bilamana pelbagai isu-isu Patriotisme dibangkitkan sekarang ini.

Saya sertakan semula Resolusi Kongres Patriotisme Remaja (2007) untuk percambahan fikiran kita bersama, inilah antara bantuan barangkali saya boleh berikan untuk menangani isu-isu "kehambaran" sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 tahun ini.

RESOLUSI KONGRES PATRIOTISME REMAJA (18-19 Ogos 2007)

Resolusi Kongres Patriotisme Remaja 18 hingga 19 Ogos 2007 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya perlu sedar bahawa elemen dan semangat patriotisme adalah satu keperluan yang nyata untuk dibina, dijana dan dimajukan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Kedua, melalui semangat patriotisme, perpaduan antara kaum serta wilayah dapat diperluaskan.
Ketiga; era globalisasi mencabar kepekaan rakyat Malaysia khususnya remaja supaya tidak mudah terperangkap dengan gejala-gejala yang dapat melemahkan jati diri dan dapat seharusnya melonjakkan keupayaan untuk bersaing dan memanfaatkan negara.
Keempat: semangat patriotisme menyediakan panduan kepada remaja bagi mencorakkan gaya hidup mereka dan negara.
Kelima: kegiatan dan program patriotisme negara ketika ini bersifat invidualis, terpisah-pisah dengan pelbagai definisi yang berbeza tanpa satu pendekatan yang menyeluruh.
Sebulat suara bersetuju akan perlunya;
  • Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menyemai semangat patriotisme di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah secara teratur dan berterusan.
  • Menjadikan semangat patriotisme sebagai pengukuh program-program perpaduan kaum dan wilayah;
  • Ketiga: generasi Malaysia semasa menginsafi serta mengukuhkan semangat patriotisme dalam diri sendiri demi untuk memandu remaja masa kini.
  • Semua agensi kerajaan, bukan kerajaan, swasta, masyarakat dan keluarga sama-sama berusaha untuk mendidik , mempertingkatkan dan memperkukuhkan semangat patriotisme di samping mengawal dan memperkasakan semangat ini.
Sebulat suara dengan ini memperakukan supaya;
  • Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil langkah-langkah strategik bagi mengusahakan penubuhan sebuah majlis yang dinamakan Majlis Patriotisme Negara.
  • Merangka pelan strategi bagi membina sebuah dasar yang kelak dikenali sebagai Dasar Patriotisme Negara
  • Menubuhkan Majlis Patriotisme Negara dan mengadakan Dasar Patriotisme Negara;
  • Bagi menjadi PAYUNG dan RUJUKAN NEGARA kepada semua aktiviti, amalan, program, semangat dan hala tuju patriotisme negara.

Promosi Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 Negara Kita Di https://www.facebook.com/penerangan/posts/10151619887768884

ADA AHLI PARLIMEN UMNO BERSETUJU ANWAR SERTAI SEMULA BN

on Wednesday, August 21

MENGHULUR TANGAN
Saya telah bertemu beberapa ahli Parlimen UMNO dan mereka asyik bertanya 'perkembangan' pertemuan saya dengan mantan pembesar negara jiran tempoh hari.

Sambil itu, saya turut bertanya pandangan mereka tentang 'kemahuan yang serius' DS Anwar Ibrahim untuk bersama kerajaan BN. 

Saya agak terkejut kerana ada ahli Parlimen UMNO melihat kemasukan DS Anwar ke dalam kerajaan BN sebagai sesuatu yang positif.

Antara alasan yang mereka berikan ialah kemasukan PKR dalam kerajaan BN akan menambah kekuatan BN di dalam parlimen. Antaranya, dengan jumlah 2/3 setelah kemasukan PKR ke dalam BN akan membolehkan beberapa dasar penting boleh digubal, antaranya persempadanan semula kawasan pilihanraya.

Beliau meminta kepada saya supaya mengusulkan perkara ini kepada DS Najib, supaya dibuat sesi penerangan tertutup di kalangan ahli-ahli parlimen BN dan ahli-ahli parlimen UMNO untuk membincangkan perkara ini.

Perkembangan ini sudah pasti menimbulkan kemarahan di pihak DAP dan PAS. Masa depan Anwar dalam Pakatan Rakyat sudah pasti dipersoalkan. Kenyataan Anwar bahawa wujudnya usaha 'kerajaan perpaduan' jelas membuktikan Anwar mempunyai niat politik untuk meninggalkan Pakatan Rakyat.

SELESAI DI LUAR MAHKAMAH
Ada juga pemimpin UMNO yang saya temui tidak bersetuju dan berkata "tidak masuk akal" Anwar menyertai semula UMNO atau BN.

Perkembangan kes saman DS Zahid Hamidi ke atas Rafizi Ramli berakhir di luar mahkamah. Sebelumnya, kes saman Anwar ke atas YB Khairy Jamaludin RM100 Juta juga diselesaikan di luar mahkamah. 

Sementara itu, satu demi satu petisyen PKR ke atas keputusan PRU13 gagal.

ULASAN
Walaupun saya faham apa yang sedang berlaku sekarang, namun Anwar harus mengakui tempatnya di dalam UMNO terlalu sukar. Pintu masuk kepadanya bagaikan lubang jarum.

Walaupun terdapat ahli Parlimen UMNO yang bersetuju beliau menyertai BN, namun ahli-ahli UMNO belum dapat menerimanya lantaran kebobrokan dan kerosakan yang amat besar telah berlaku ke atas umat Islam dan orang Melayu akibat dasar-dasar Liberalisme, Pluralisme dan Kesamarataan yang diamalkannya.

Sesungguhnya, Anwar telah mengakui kenyataan Lee Kuan Yew bahawa pembangkang di Malaysia tidak akan mampu merampas kerajaan Persekutuan, lantaran itulah, Anwar bersungguh-sungguh mendekatkan dirinya kepada DS Najib, termasuklah usahanya di negara jiran.

Barangkali sudah sampai masanya Anwar bercakap tetang janji persaraannya dan menjadi pensyarah di sebuah universiti di Washington DC.







ANWAR TUNJUKKAN 'SURAT PERJANJIAN' KERAJAAN PERPADUAN

on Tuesday, August 13

SELEPAS hampir dua bulan pertemuan saya dengan mantan pemimpin besar di Jakarta pada 1 Jun 2013 yang lalu, kemudian diwar-warkan dengan begitu besar oleh akhbar-akhbar arus perdana malah nama saya disebut di dalam Parlimen Malaysia, akhirnya DS Anwar sendiri mengakui saya bercakap benar di sini http://www.malaysiakini.com/news/238134 . Akhirnya, Allah SWT memberi bantuanNYA kepada saya.

Walau bagaimanapun, secara peribadi saya melihat pendedahan terbaharu Anwar di atas tidak dengan kejujuran yang hakiki, walhal berita itu kelihatannya sengaja mahu menjatuhkan kredebiliti DS Najib. Kali ini, saya tidak ingin mengulas panjang lebar kerana seluruh rakyat Malaysia sudah terhidang dengan berita pertemuan saya di Jakarta itu.

DS Anwar perlu jujur semasa bercakap isu DS Najib tidak menandatangani perjanjian itu! Jelaskan kepada ahli-ahli DAP, PAS dan PKR apa isi perjanjian itu? Apa pula yang DS Anwar bersetuju di dalam negosiasi itu? Apa yang DS Anwar minta ditangguhkan? Dan paling penting apakah perkara-perkara yang DS Anwar sembunyikan daripada pengetahuan DAP dan PAS rakan kongsinya dalam Pakatan Rakyat? 

Isu lain yang DS Anwar perlu jawab ialah kedudukan anaknya YB Nurul Izzah? Apakah terma perjanjian yang melibatkan YB Nurul Izzah? Malah rakyat mahu tahu respon Anwar bersetuju atau tidak dalam bab yang mana?

Apa kata DS Anwar berani selangkah lagi dengan Dedahkan Surat Perjanjian itu? Rakyat Malaysia mahu tahu! Siapakah yang membuat Surat Perjanjian itu? Siapakah yang menandatanganinya? Berapa Haribulan surat itu? Siapa saksi, apakah jenis pen yang digunakan dan tunjukkan gambar ketika menandatanganinya?

Jika tidak didedahkan saya bimbang, rakyat akan menuduh DS Anwar "syok" sendiri berimpi-impian sebagai Perdana Menteri. Saya juga risau jika rakyat bertanya Anwar kah yang memulakannya lalu menuduh DS Najib pula yang memulakannya? DS Anwar harus sedar, dalam isu terbaharu ini, DS Najib belum lagi mengulasnya. Bagi saya, DS Anwar perlu mengelak membaling batu sembunyi tangan!

BANTUAN DARI ALLAH SWT
Saya sebenarnya tidak mahu membesarkan isu ini kerana DS Anwar berusaha bersungguh-sugguh untuk menafikan pertemuan dan bicara saya tempoh hari dengan menayangkan nama saya di akhbar Keadilan dan laman web Keadilan.Daily supaya rakyat tidak mempercayai usaha saya. Kini, Allah SWT membantu saya bilamana DS Anwar mengesahkan sendiri perkara ini dengan laporan di dalam Asia Sentinel. Pembaca dan rakyat boleh menjadi pengadil, intipati laporan dalam Asia Sentinel apakah jauh berbeza dengan laporan-laporan saya di dalam kolum khas saya di dalam portal Merdeka-Online?

Kini, apakah bezanya laporan di dalam Asia Sentinel dengan apa yang telah dipetik oleh akhbar-akhbar The New Strait Times, Berita Harian, Malaysiakini, The Malay Mail dan lain-lainnya itu? Sudah tentu laporan saya lebih detail bukan!

Seperti DS Anwar, saya juga mempunyai perkara-perkara Sulit yang belum saya dedahkan kerana saya tidak mahu merosakkan hubungan DS Anwar dengan YB Lim Kit Siang, YB Karpal Singh, YB Dato Hj Hadi Awang dan pengikut-pengikutnya yang mungkin akan rasa tertipu, seperti isu Altantunya dan sebagainya.

SEMANGAT KERAHSIAAN
DS Anwar pernah berkata, semangat kerahsiaan perlu dijaga, namun pendedahan DS Anwar di Asia Sentinel itu menunjukkan DS Anwar sudah tidak menghormati semangat kerahsiaan.

Jika saya mendedahkan semuanya, saya percaya DAP dan PAS akan meninggalkan DS Anwar dan PKR serta-merta. Sudah tentu saya ditemani oleh beberapa teman di Jakarta tempoh hari dan mereka mendengar sendiri apa yang saya telah dedahkan. Saya melakukannya untuk negara saya khususnya agama saya Islam, bukan semata-mata kerana DS Najib, hanya kebetulan DS Najib adalah Perdana Menteri Malaysia.

Kepada rakyat Malaysia, pertanyaan saya ialah, apakah anda sudah bersedia untuk berPerdana Menterikan DS Anwar Ibrahim?

Penulis adalah lulusan sarjana dalam bidang Sejarah Malaysia, Universiti Malaya. Kini sedang melanjutkan pengajian PhD dalam bidang politik dan kerajaan.


AWAKENING PAK LAH : KHAIRY JAMALUDIN PATUT BUKA MULUT

on Sunday, August 11

Semua orang sudah membaca komen ringkas YB Khairy Jamaludin, selaku Ketua Pemuda UMNO dan Menteri Belia & Sukan akan buku "Awakening Pak Lah" itu. 

Apabila isu filem "The New Village" atau pun isu padang bola sepak Stadium Bukit Jalil,  kelihatan KJ sangat berani dan tidak ada ketakutan untuk menunjukkan kuasa Menterinya dan kuasa Ketua Pemudanya.

Malangnya, apabila isu besar negara seperti buku "Awakening Pak Lah" ini nampaknya KJ mengecut dan hilang keberanian. Ketua Pemuda UMNO menjadi tidak keruan kerana tidak tahu hendak membela Pak Lah atau termenung dengan serangan baharu Pakatan Rakyat (Anwar Ibrahim) tentang isu-isu dalam buku kumpulan penulis-penulis terpilih itu. 

Apakah KJ ada "sentimental value" dalam isu ini?

KJ membiarkan masa berlalu untuk membiarkan perbezaan politik Pak Lah dengan Tun Dr. Mahathir berpanjangan dalam isu baharu. KJ membiarkan DS Najib selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri menjawab sendiri isu besar ini. KJ membiarkan pembangkang mengumpul kredit keuntungan dan kemenangan moral akibat buku ciptaan mereka ini.

Saya mesti mengkritik Ketua Pemuda kerana saya tidak mahu Pemuda UMNO tiang parti dilihat sebagai tepu, jumud, sindrom bisu dan lembik. Kata ucapan popular Anwar Ibrahim, jika takut dengan ombak, usah berumah di tepi pantai, jika takut dengan cabaran, usah bicara soal perjuangan.

APA PATUT KJ BUAT
KJ patut segera mengatur temuramah khas dengan Pak Lah untuk menjawab isu-isu yang telah dimanupulasi pembangkang dengan menggunakan beberapa kerat kata-kata Pak lah dan dijadikan api isu untuk membakar kebencian dan kecelaruan rakyat. Dalam media, perkara ini disebut kehebatan "seekor anjing melanggar sebuah kereta"! 

Ketika Pak Lah berkuasa, saya tidak mempunyai masalah untuk bertemu dan berbual dengan Pak Lah akan hal yang besar seperti kecenderungan SAPP hendak keluar dari BN dahulu. Baca semula di sini http://www.al-azharrisiddiq.com/2008/06/perbincangan-dengan-pak-lah.html

Saya sangat yakin KJ mengetahui banyak perkara tentang isi kandungan buku tersebut, khususnya tentang apa yang dikatakan oleh Pak Lah. Sudah tentu, KJ boleh menjawab dengan meyakinkan kerana beliau sendiri menantu Pak Lah. 

Selepas dilantik sebagai Menteri kabinet, KJ patut membuang kebenciannya kepada Tun Dr. Mahathir jika masih ada, kerana sebagai seorang Menteri dalam kabinet Kerajaan, KJ sudah tentu sudah merasakan betapa sukarnya untuk membuat perubahan dan transformasi dalam kerajaan. Apakah KJ boleh mengubah FAM sesuka hati? Adakah KJ boleh memperbaiki kejelekan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam tempoh 12 bulan? Jika semua perkara ini KJ tidak mampu mendepani, saya saran KJ bertanding di kerusi Naib Presiden UMNO supaya KJ mempunyai kuasa yang lebih besar untuk melakukan pembaharuan dengan lebih berkesan.

Berbalik kepada buku terbitan Pakatan pembangkang ini, kita mahu melihat KJ membuat Press Conference minggu hadapan untuk menjelaskan manupulasi Pak Lah yang juga bapa mertuanya. Daripada 620 Muka surat buku itu, berapa Helai kah yang berkaitan Ucapan Pak Lah? Daripada 620 Mukasurat itu, berapa Baris dan berapa ayat berkenaan dirinya yang turut juga disebut oleh Pak Lah? 

Jika KJ terus berdiam diri, rakyat akan melihat KJ turut bersekongkol. Saya melihat KJ sering mengarahkan exco-exconya untuk menjawab bagi pihak Pemuda UMNO akan isu-isu besar seperti ini, wal hal ianya patut KJ yang bersuara. Bukankah Anwar pernah berkata, jika takut dilambung ombak jangan buat rumah di tepi pantai, jika takut dengan Kritikan jangan jadi bicara soal perjuangan.

Jika KJ bijaksana, KJ juga perlu menjelaskan juga desas-desus apakah Kalimullah yang pernah diberi kuasa oleh Pak Lah mengetuai NST dahulu mempunyai kaitan dalam isu terbaharu ini. 

Sebagai Ketua Pemuda, seseorang Ketua Pemuda mesti berani mendepani hal-hal sebegini, risiko adalah kos melepas kepada KJ yang telahpun dilantik sebagai Menteri Kabinet. Jika seseorang Menteri Kabinet tidak mampu mempertahankan Kerajaannya, kredebilitinya sebagai Menteri Kerajaan wajar dipersoalkan!

*Penulis adalah lulusan Sarjana Sejarah, Universiti Malaya dan sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD.



LEE KUAN YEW TIPU

on Friday, August 9

Sebagai penulis yang kerap menulis tentang topik Singapura dan Lee Kuan Yew, saya terganggu dengan komentar terkini Lee Kuan Yew terhadap Malaysia dalam buku terbaharunya "One Man's View Of The World".

Lee Kuan Yew dilapor berkata, "Dasar-dasar berasaskan kaum di Malaysia meletakkan negara itu dalam keadaan yang tidak menguntungkan dan ia secara sukarela mengecutkan golongan berbakat." 

Surat-surat penderitaan penduduk Melayu dari Singapura ini saya perolehi pada tahun 2009 dan saya kongsikan kepada pembaca untuk menjadi pengadil kepada dasar-dasar Kerajaan Singapura di bawah Lee Kuan Yew. Baca semula ini http://www.al-azharrisiddiq.com/2009/09/surat-dari-singapura-siri-1.html dan ini http://www.al-azharrisiddiq.com/2011/01/surat-dari-singapura.html 

Melalui luahan hati rakyat Singapura itu, anda layak menjadi pengadil kepada Lee Kuan Yew akan apa yang ditulisnya mengenai negara Malaysia di atas. Bak kata pepatah Melayu, "Lee Kuan Yew cakap depan lain cakap belakang lain", "cakap Lee Kuan Yew indah khabar dari rupa", atau dalam bahasa sangat kasar ialah "Lee Kuan Yew tidak bercakap benar".

TIPU HELAH SINGAPURA MERDEKA
Jika kita membaca buku sejarah negara Singapura, anda boleh ketawa terbahak-bahak dan menjual buku itu kepada penjual surat khabar lama! Sebabnya amat mudah, kononnya Singapura bermula dengan kewujudan beberapa orang Cina dan orang lain membuka petempatan Singapura itu. 

Mereka putar sejarah Singapura 720 darjah dengan menghilangkan Kekuasaan Raja-Raja Kesultanan Melayu Melaka dan Kesultanan Melayu Johor ke atas pulau Temasek, tetapi malang kepada mereka kerana ibu pelaburan negara Singapura masih menggunakan nama Temasek Holdings. Jelas, Sejarah tidak boleh diputar begitu sahaja, jika dilakukan juga tempatnya layak dibakulsampah.

Pada tahun 1956, rombongan Ketua Menteri Singapura Lim Yiew Hock terbang beberapa kali ke London untuk mendapatkan Kemerdekaan daripada Kerajaan Ratu. Ketika itu, Lee Kuan Yew turut menyibukkan diri mewakili parti PAP. Hasilnya, Kerajaan Ratu di London tidak ingin memberi kemerdekaan kepada Singapura kerana Kerajaan Ratu tidak mahu Singapura jatuh kepada pemerintahaan Komunis. Pada masa itu, Kesatuan-Kesatuan Sekerja, Sekolah-sekolah dan NGO di Singapura yang Pro-Komunis sangat kuat berbanding PAP.

Dipendekkan cerita, Kerajaan Ratu akhirnya hanya bersetuju memberi Kemerdekaan kepada Tanah Melayu melalui kejayaan Tunku Abd. Rahman dan Tun Abdul Razak serta wakil-wakil MCA dan MIC.

LEE KUAN YEW TIPU
Lee Kuan Yew menyedari akan kondisi Singapura yang tidak akan merdeka melalui usaha mereka di atas walaupun selepas lebih 10 kali berterbangan ke London.

Apabila Ketua Menteri Singapura mencadangkan supaya diadakan Pilihanraya pada Ogos, 1957 Lee Kuan Yew menentang kerana beliau tahu beliau tidak akan menang untuk berdepan dengan Lim Yiew Hock yang dibantu oleh Kerajaan Ratu.

Peluang untuk Singapura merdeka adalah melalui Usaha Tunku Abd. Rahman yang mencadangkan kewujudan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Lee Kuan Yew melihat inilah satu-satunya peluang untuk Singapura merdeka daripada penjajahan British, iaitu Merdeka Melalui Malaysia. Dan ternyata Lee Kuan Yew berjaya apabila menyembunyikan niat sebenarnya dengan berkempen menyokong Singapura menyertai Malaysia malah Lee Kuan Yew berkempen habis-habisan ketika Referendum.

Selepas Singapura berjaya memisahkan dirinya dari penjajahan Kerajaan Ratu dengan kemerdekaan melalui Malaysia, ternyata Lee Kuan Yew hanya mengambil masa 2 tahun untuk memisahkan dirinya dari Malaysia.

HARI INI
Selepas kejayaan DAP mempertahankan Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk penggal kedua, berjaya juga menambah besar bilangan anggota Parlimen DAP kepada 38, khususnya kejayaan di Johor, Lee Kuan Yew semakin bertambah yakin untuk memperbodohkan rakyat Malaysia dengan kata-kata "Dasar-dasar berasaskan kaum di Malaysia meletakkan negara itu dalam keadaan yang tidak menguntungkan dan ia secara sukarela mengecutkan golongan berbakat." 

Saya telah membaca beberapa buku mengenai Lee Kuan Yew, khususnya buku yang beliau sendiri tulis, saya berpendapat rakyat Malaysia tidak perlu mempercayai kata-kata Lee Kuan Yew. Saya mendapati Lee Kuan Yew tidak berlaku jujur ketika menulis tentang negara kita Malaysia?

Anda boleh 'search' dalam blog ini dengan menaip nama Lee Kuan Yew dalam ruangan 'search' untuk melihat pandangan-pandangan saya mengenai Lee Kuan Yew dan Singapura. Rujuk contoh di bawah,



Bersambung akan datang isu "Lee Kuan Yew menuduh ahli-ahli Komunis ramai di dalam MCA dan menyokong MCA". Ketika Tunku Abd. Rahman hampir-hampir mencadangkan Tun Tan Siew Sin sebagai Timbalan Perdana Menteri Kedua dan Menteri Kewangan, Lee Kuan Yew datang menemui Tunku Abd. Rahman dan memburuk-burukkan MCA kononnya PAP lebih baik berbanding MCA, dan kononnya ramai anggota Komunis dalam MCA.

*penulis adalah lulusan Sarjana Sejarah, Universiti Malaya.



BAHAYA, DILEMA PERGERAKAN PEMUDA UMNO

on Monday, August 5

Kempen Pusingan Awal Pemilihan jawatan-jawatan peringkat tertinggi sedang berjalan, dengan beberapa nama di kalangan Majlis Tertiggi, Pemuda, Wanita & Puteri masing-masing menawarkan diri. 

Terkini, mantan Ketua Menteri Melaka, menawarkan diri untuk berkhidmat di kerusi Naib Presiden. Begitu juga mantan Ketua Puteri menawarkan diri ke kerusi Ketua Wanita, di samping semakin ramai yang menyatakan hajat berkhidmat di kerusi Ketua Puteri dan Naib Ketua Pemuda.

Dilema Pemuda
Akhirnya, di peringkat awal ini nampaknya tidak ada sesiapa dalam Pergerakan Pemuda UMNO berani menawarkan diri untuk berkhidmat di kerusi Ketua Pemuda UMNO. Keadaan ini membawa mesej yang tidak baik kepada UMNO dan Pemuda UMNO sendiri pada masa hadapan. Seolah-olah semuanya mahu mengambil jalan selamat dan kurang risiko.

Dalam bahasa mudahnya, Pergerakan Pemuda UMNO semakin kurang memiliki kualiti kepimpinan yang berkaliber, hebat dan beraura. Dalam tempoh 5 dan 10 tahun, saya melihat situasi ini bermaksud selepas YB Khairy Jamaludin, Pergerakan Pemuda UMNO akan mengalami vacum kepimpinan yang merugikan parti.

Pemuda yang hebat ialah Pemuda yang berani menunjukkan prinsip perjuangannya melawan prinsip perjuangan Ketua Pemuda yang ada sekarang dalam konteks pemikiran, pendekatan dan jati diri. Tidak ada kesalahan di dalam Perlembagaan UMNO untuk bertanding ke jawatan Ketua Pemuda. 

Jika saya mempunyai peluang, saya akan hadapi Ketua Pemuda UMNO, kerana saya sendiri pernah memimpin Pemuda Cawangan selama 11 tahun (1991-2002). Walaupun saya sudah tidak aktif di dalam parti, namun saya masih aktif memberikan buah fikiran saya untuk kemajuan parti dan kerajaan.

Kejayaan YB Khairy Jamaludin seperti yang saya pernah dedahkan ialah keberanian beliau menentang arus. Tatkala orang-orang Melayu yang kental jati diri Melayu amat marah dengan YB Khairy Jamaludin dalam isu-isu berlegar seperti ECM-Libra, Scomi, Hospital Pantai, NST, Liberalisme, Pasport Anwar dan campur tangan ketika PRU12 (2008) dahulu, YB Khairy Jamaludin menepis semua isu itu dengan menggerakkan dirinya maju ke depan menentang YB Dato' Mukhriz Mahathir. Akhirnya beliau menang Ketua Pemuda UMNO dengan penuh bergaya.

Hari ini, saya tidak nampak sesiapa di dalam Pergerakan Pemuda UMNO yang memiliki keberanian dan keyakinan seperti Khairy.

Bermakna, jika YB Khairy Jamaludin berjaya mempertahankan jawatannya sekarang, dilema yang akan Khairy hadapi ialah isu kualiti kepimpinan anak buahnya. Bermakna juga Pergerakan Pemuda UMNO akan mengalami sindrom kualiti kepimpinan pada masa hadapan.

Cabaran
Saya ambil satu contoh, siapakah agaknya di kalangan Pergerakan Pemuda UMNO yang boleh mengumpul 1000 atau 2000 ahli UMNO untuk berarak menentang kebiadapan akhbar Singapura "The New Paper" minggu lalu, tanpa bantuan YB Khairy Jamaludin? Atau  bagaimana mereka boleh menangani isu "The New Village"?

Saudara Mohd. Razlan dan Saudara Lokman Nor Adam yang menawarkan diri sebagai Naib Ketua Pemuda, perlu terlebih dahulu membuktikannya, baharulah ahli-ahli akan melihat karektor kepimpinan mereka!

Sedangkan ketika Bersih 2.0 dahulu, Pergerakan Pemuda dengan tagline "Patriot" hanya mampu berarak dengan jumlah yang amat sedikit sekitar 300/500 orang sahaja. Jumlah itu adalah melambangkan kegagalan. Namun, usaha itu juga telah memberi imej yang positif kepada Khairy, Datuk Reezal Naina Merican dan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim. Isunya ialah mereka semua menunjukkan jati diri mereka di dalam Pergerakan Pemuda.

Oleh hal yang demikian, saya ingin mencabar sesiapa di dalam Pergerakan Pemuda UMNO sama ada di peringkat Cawangan atau di peringkat Pusat supaya menawarkan keberanian untuk meletak diri sebagai Ketua Pemuda UMNO.

Menang atau kalah adalah adat pertandingan. UMNO adalah parti yang matang sudah lama melalui pelbagai episod besar,maka tidak ada sebab untuk takut bertanding di peringkat Ketua Pemuda UMNO. UMNO tidak akan runtuh hanya kerana ada perebutan di peringkat Ketua Pemuda.

Bagi saya, YB Khairy Jamaludin akan lebih Kuat, akan lebih Relevan, akan lebih Hebat jika ada pertandingan dan dia masih menang. Jika YB Khairy Jamaludin menang tanpa bertanding, ianya melambangkan dan akan menonjolkan kelemahan dan kerugian kepada Khairy sendiri pada masa hadapan.








APA MASALAH FILEM "THE NEW VILLAGE" ?

on Sunday, August 4

Tali Barut PKM
Semasa saya mengajar subjek Kesusasteraan dahulu saya amat meminati hal-hal yang berkaitan dengan tema, perwatakan, plot, pengajaran dan nilai-nilai sesebuah karya. Begitu juga, apabila saya mengajar subjek Sejarah dahulu, saya suka mengajar anak-anak murid saya bermula dengan kronologi sesebuah peristiwa, tokoh-tokoh yang terlibat, tarikh-tarikh penting dan nilai-nilai sejarah itu.

Walaupun saya sudah sepuluh tahun tidak mengajar, namun saya masih mempunyai kekuatan untuk membuat ulasan, dan saya tertarik untuk menulis isu filem "The New Village" atau "Kampung Baru Cina".
Tali Barut British
TEMA :
Sesebuah karya filem yang hebat sudah pasti mempunyai Tema yang kuat. Saya fikir Tema filem TNV sudah pasti berkait rapat dengan Dilema Masyarakat Cina di Tanah Melayu semasa Darurat (1948-1960), Apakah Dilema masyarakat Cina ketika itu? Adakah kerana mereka Cina masih berfikiran China? atau masyarakat Cina yang totok dengan pegangan "We Are The Chinese"? atau masyarakat Cina ketika itu dibelenggu ketakutan dilabel sebagai Cina Komunis, Cina Pro-Komunis atau Cina Moderate (English Nice).

Saya mendapat tahu dari bacaan dan perbualan, bahawa konteks filem ini 100% mengenai masalah orang Cina ketika Darurat, di mana kesetiaan dan kepercayaan mereka kepada perjuangan seorang anak muda melalui gerila Komunis (sudah tentunya Parti Komunis Malaya). 

Masyarakat Cina di kampung baru itu melihat penjajah British sebagai kejam, pegawai British berbangsa Cina sebagai pembelot. Sebaliknya pula, watak utama yang berjuang di dalam hutan dengan platform PKM disanjung sebagai pejuang sebenar.

Apabila saya mendegar kisah ini, saya terbayang sebuah novel di Indonesia bertajuk "Keluarga Gerilya" oleh Ananta Toer. Di dalam novel itu, temanya adalah sama, perjuangan gerilya-gerilya Komunis di dalam hutan untuk menghalau penjajah Belanda atau menghalau proksi-proksi Belanda. Mereka menganggap diri mereka pejuang sebenar Kemerdekaan Indonesia. Novel ini diharamkan berpuluh-puluh tahun di Indonesia malah penulisnya turut merengkok di dalam penjara. Sebabnya mudah, kerajaan Indonesia yang penduduknya 90% Islam menolak fahaman dan idealisme Komunis.

Begitu juga di Malaysia, perkataan "Komunis" merupakan sesuatu yang akan membuat rasa marah rakyat Malaysia meluap-luap, trauma dan masih tidak dapat melupakan kekejaman PKM yang diketuai Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua yang membunuh perajurit-perajurit Melayu.
Ketika Saya Menemuramah Tun Ibrahim Ismail, Mantan Panglima ATM (2010)
TUN IBRAHIM ISMAIL, PANGLIMA ATM
Saya rasa saya harus menulis tajuk ini, kerana saya berpeluang menemuramah Allahyarham Tun Ibrahim Ismail, mantan Panglima Angkatan Tentera Malaysia yang pernah ditembak di Kuala Lumpur oleh PKM dahulu (1971), tetapi pihak PKM tersalah sasaran apabila menembak pegawai beliau.

Beliau menceritakan kepada saya, semasa Tanah Melayu dijajah oleh Jepun, pihak British di India dan Ceylon (Srilanka) telah menubuhkan sebuah Task Force (136) untuk membebaskan Tanah Melayu. Kebetulan Tun Ibrahim Ismail  telah tamat latihan ketenteraan di India telah ditugaskan dalam Task Force ini. Saya pendekkan cerita, maka beberapa Kapal Selam Perikatan British telah menuju ke Tanah Melayu dari Ceylon untuk membebaskan Tanah Melayu dari Jepun.

Sementara itu, tentera Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) memberi kerjasama dengan Task Force ini yang diberi nama Pasukan 136 di Tanah Melayu untuk menghalau Jepun.

Sebaliknya, PKM yang berada di dalam hutan turut menerima bantuan persenjataan dan makanan ubatan dari pasukan ini dengan tujuan kerjasama itu untuk menghalau Jepun. Sebab itulah di dalam PKM sendiri ada banyak pembelot!

Malahan, pasukan ini turut bekerjasama dengan ramai pihak untuk membebaskan Tanah Melayu dari pendudukan Jepun.

Apabila Jepun berjaya ditewaskan selepas pengeboman Nagasaki dan Hiroshima oleh Perikatan Amerika-British, tentera Jepun telah menyerah kalah di seluruh tanah jajahannya.

Ketika pihak British lewat sampai ke Tanah Melayu, orang-orang PKM telah keluar dari hutan dan memerintah kampung-kampung dan bandar-bandar. Ketika itulah berlaku episod membalas dendam di mana orang-orang yang pernah bekerja dengan Jepun telah diseksa dan dibunuh.

Tentera-tentera MPAJA pula mengambil kesempatan membuat perarakan tentera mereka di bandar-bandar,untuk menunjukkan mereka menang.
Diangkat Sebagai Hero Sebenar Kemerdekaan "Tanah Air Kita"
ANCAMAN PKM
Di pendekkan cerita, apabila British datang ke Tanah Melayu dan menubuhkan British Military Army (BMA), beberapa langkah dilaksanakan untuk menyelamatkan penduduk Tanah Melayu yang diancam keselamatan mereka oleh PKM.

Di antaranya ialah, memindahkan orang-orang Cina yang tinggal di pinggir hutan ke penempatan-penempatan baharu yang dikawal ketat. Tujuannya untuk menghalang talibarut-talibarut Cina Komunis ini membantu PKM dengan cara menyalurkan Maklumat, Makanan, Ubatan dan sebagainya.

Tujuan utama Kerajaan British ini perlu dilihat dalam konteks Sejarah, tidak sesuai dilihat dari sudut Kaum, Budaya atau Fahaman Politik. Contohnya, semasa Kerajaan Pulau Pinang menghapuskan beberapa Kampung seperti Kampung Buah Pala, apakah tujuannya? Ianya kerana Kerajaan DAP Pulau Pinang mahu memajukan kawasan itu, bagaimana pula nasib penduduk asal Kg. Buah Pala? Adakah mereka diberiganti rumah yang sesuai, harga yang sesuai, kos hidup yang sesuai dan kondisi yang sesuai? Jika semuanya tidak sesuai, maka niat Kerajaan DAP Pulau Pinang itu menjadi lain.

Perkara Besar ialah, pembikin Filem TNV tidak sepatutnya menggunakan peristiwa Rundingan Baling 1955, Perjanjian Letak Senjata PKM 1989 dan Lawatan Tun Razak 1975 untuk menggambarkan mesej-mesej tersembunyi di dalam TNV.

Peristiwa di kampung baru Cina itu berlaku di tempat-tempat yang terpilih, bukannya di seluruh negara, sedangkan Lawatan Tun Razak 1975 adalah membawa mesej diplomatik.  Saya berpendapat, pembikin filem TNV sebagai tidak bertanggungjawab jika peristiwa-peristiwa itu dipaksa untuk merelevenkan filem TNV.

CADANGAN 
Filem TNV perlu diberi penilaian semula oleh pihak yang bertanggungjawab khususnya di Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF)! 

Rakyat Malaysia ingin juga mengetahui, siapakah ahli-ahli panel yang memberi kelulusan penayangan sesebuah filem berunsur sejarah? 

Adakah mereka terdiri dari pakar-pakar Sejarah negara atau sekadar pegawai-pegawai biasa sahaja yang latar belakang ilmu sejarah, budaya dan sosiopolitik mereka boleh dipersoalkan?

Saya teringat kata-kata mendiang pakar Komunis negara kita mendiang Tan Sri Dr. Too Chee Chew, katanya, fahaman Komunis tidak akan pernah mati, gerakan Komunis tidak pernah akan mati, walaupun PKM sudah meletak senjata pada tahun 1989. Adakah anda sudah lupa?

Bacaan Ulangan yang penting di http://www.al-azharrisiddiq.com/2012/07/kisah-panglima-atm-brand-loureate-award.html

Nota: askar-askar Jepun biasanya amat suka menyiksa dan membunuh orang-orang Cina kerana sejarah lama Peperangan China-Jepun di tanah besar China dahulu terbawa-bawa hingga ke Tanah Melayu. Bagi askar Jepun, orang-orang Cina adalah musuh mereka.

Apabila British kembali ke Tanah Melayu, mengapakah gambaran di dalam filem TNV berbeza?

Sekarang, selepas saya menghuraikan dari sudut sastera dan sejarah di atas, apakah filem TNV layak ditayangkan? Anda fikirkan dan mereka yang bertanggjungjawab perlu menilai kembali filem ini? Bagaimana pandangan anda?

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan