SEBELUM PRU13 ANGKAT MUKA, SELEPAS PRU13 TUNDUK MUKA

on Monday, September 30

DIA SERIUS KENAPA, TUN RAZAK SENYUM SAJA
Dari sudut sejarah UMNO, selain daripada Syed Jaafar Albar yang digelar "Singa UMNO", sebenarnya pemimpin UMNO yang paling disegani, ditakuti dan dihormati oleh orang-orang Cina pada awal tahun 1960an, ialah Tun Razak. 

Lee Kuan Yew menyatakan, dalam salah satu bukunya dia menulis satu peristiwa di mana apabila pemimpin-pemimpin Cina PAP dan MCA hendak lalu di hadapan Tun Razak, mereka tunduk ke bawah tidak mengangkat muka mereka, dan tidak meninggikan suara mereka.

Menurut Lee Kuan Yew lagi, apabila Tun Razak menjeling, pemimpin-pemimpin PAP dan MCA jelas kelihatan ketakutan dan tidak memulakan kata-kata mereka.
DIA BERJABAT TANGAN, TETAPI TANGAN TUN RAZAK DI ATAS, MENGAPA, BACA BAHASA DIPLOMASI
Walaubagaimana pun,  masyarakat Cina di Malaysia hendaklah berterima kasih kepada Tun Razak, kerana semasa Lawatan Bersejarah Tun Razak ke China pada tahun 1974, Tun Razak telah banyak membantu masyarakat Cina di Malaysia dalam banyak perkara. 

Perkara-perkara itu belum bersedia untuk didedahkan secara terbuka di sini. Insyaallah satu masa yang sesuai kelak, barangkali selepas pemilihan UMNO.

Perkara ini tidak pernah didedahkan. Saya pun hanya mengetahuinya apabila saya kebetulan bertemu dengan penterjemah kepada Tun Razak yang mengikuti Lawatan Bersejarah itu.

Oleh kerana generasi masyarakat Cina di Malaysia tidak mengetahui perkara ini, maka mereka tidak dapat memberikan undi terimakasih mereka kepada DS Najib, iaitu anak kepada Tun Razak. 
APAKAH YANG BERLAKU SELEPAS INI
Jika mereka mengetahui perkara-perkara itu, saya yakin mereka akan memberi undi kepada DS Najib semasa PRU13 baru-baru ini. Malangnya, mereka telah lebih terpedaya dengan DAP dan Pakatan Rakyat.

Hari ini, mereka yang mengangkat muka kepada DS Najib sebelum PRU13, kini sudah malu untuk mengangkat muka lagi selepas PRU13. Kerana mereka sudah hilang 'muka'.

Jika masa Tun Razak mereka takut mengangkat muka mereka, kini di zaman DS Najib mereka malu mengangkat muka mereka.

Pengajarannya, anda tafsirkan sendiri. 

Tajuk ini "Akan datang: Rahsia Kenapa Anwar Tidak Lagi Bangkit Nama Altantunya"http://www.al-azharrisiddiq.com/2013/09/rahsia-kenapa-anwar-tidak-lagi-bangkit.html saya masih belum temui wacana dan saya perlu masa terbaik saya untuk menulisnya. Barangkali selepas ini.




RAHSIA "AMARAN" DS HISHAMMUDDIN

on Sunday, September 29

SIAPAKAH AGAKNYA PEMUDA UMNO YANG SEBERANI HH MENGHUNUS KERIS DALAM PEMILIHAN 2013
SAYA terkejut melihat jumlah pembaca dalam artikel sebelum ini iaitu http://www.al-azharrisiddiq.com/2013/09/keturunan-ds-hishammuddin-yang-perlu.html, rupa-rupanya ramai yang berminat membacanya.

Kali ini saya mahu menulis cara biasa, supaya kiasan-kiasan yang sering saya gunakan tidak lagi membuatkan pembaca saya keliru.

Sinotre Menteri Amaran diberi gelar kepada DS Hishammuddin Tun Hussien kerana style beliau yang kerap bertolak-ansur, berhati-hati dan cool. Mereka yang fanatik mahu style itu diubah kepada cara DS Zahid Hamidi yang kelihatannya lebih nampak garang. Adakah garang itu akan memberi keuntungan kepada politiknya dan negara kita? 
ADAKAH KEGARANGANNYA PENYEBAB KEJATUHANNYA
Kegarangan DS Anwar Ibrahim (1997) telah membunuh masa depannya di dalam UMNO. Kegarangan Tun Musa Hitam (1985) mengurus insiden Memali turut membunuh politiknya di dalam UMNO. Di Singapura, kegarangan Syed Jaafar Albar (1950)  terus membunuh masa depan UMNO di Singapura. Kegarangan Tengku Razaliegh Hamzah (1987)turut membunuh cita-citanya menjadi Perdana Menteri Malaysia, malah UMNO turut diharamkan (1988). Inilah akibat jika 'garang' di dalam UMNO!.
Wajah ' look Garang'  Ketika Muda-Muda Dahulu
Sebaliknya "kesederhanaan" allahyarham Tun Ghafar Baba membawanya ke puncak walaupun ada orang tidak memandangnya. Sebelumnya, Kesederhanaan Pak Lah membawanya ke puncak kuasa. Kesederhanaan Dato' Razali Ibrahim (Naib Ketua Pemuda UMNO) turut membawanya ke puncak lebih halus berbanding KJ. Begitu juga DS Najib, kesederhanaannya memberikan kekuatan kepadanya untuk terus berada di puncak.
Look "Garang Dalam Diam"
Sebenarnya, DS Hishammuddin telah banyak menyelamatkan UMNO, BN dan negara kita daripada ditimpa malapetaka yang teruk. Dek kerana kesederhanaannya.

Satu perkara yang kita kena sedar, bahawa tidak semua perkara yang berlaku perlu didedahkan kepada khalayak umum. Tidak semua tindakan boleh dilaksanakan dalam keadaan kerajaan UMNO/BN mengalami kemerosotan majoriti di dalam Dewan Rakyat.
Teka : Tegas atau Garang?
Kita ambil satu contoh yang amat dijengkeli oleh sebahagian ahli-ahli UMNO iaitu dalam kes demo haram BERSIH, Hindraf dan sebagainya. Emosi amarah orang Melayu dan UMNO kepada pelampau-pelampau BERSIH ialah mereka mahu DS Hishammuddin ketika itu mengambil tindakan lebih keras seperti menangkap dan menyumbat semua pendokong-pendokong Demo haram di dalam penjara. Malangnya, DS Hishamuddin tidak begitu.

Anda lihat ketika itu Ketua Pemuda UMNO sendiri hanya mampu mengumpul kira-kira 300 "patriot" berbanding ribuan peserta demo. Sebabnya mudah, Ketua Pemuda UMNO cuba melawan arus dan ianya satu tindakan berani yang tidak cantik hasilnya. Kita tentu agak malu melihat jumlah yang sangat sedikit itu. Saya fikir jika diberikan kepada Datuk Ibrahim Ali, dia boleh mengumpul 70,000 orang dalam masa 3 hari sahaja! Dia pernah melakukannya semasa dia masih muda.

Dalam hal Serangan Sulu di Lahad Datu, keinginan sebahagian ahli-ahli UMNO ialah mahu supaya DS Hishammuddin menghapuskan serta merta para penceroboh tersebut. Sebahagian rakyat dan ahli-ahli UMNO tidak mengetahui dengan detail apakah agenda besar di sebalik serangan orang Sulu di Lahad Datu tempoh hari. 

Jika tempoh hari kerajaan kita membuat Keputusan dan Tindakan terburu-buru, percayalah bukan sahaja DS Hishammuddin, DS Zahid, Panglima Angkatan Tentera atau Perdana Menteri kita akan menerima kesan yang amat-amat terburuk kepada negara kita, malah rakyat kita di Sabah paling besar menerima kesan buruknya.

Apakah kamu mengetahui "Muncung-Muncung Torpedo" sudah menghala ke Bumi Malaysia sekiranya kita membuat keputusan dan tindakan yang silap?

Namun di atas kesabaran, ketenangan, kebijakan, tidak emosi, tidak terburu-burulah maka negara kita selamat. Rakyat kita selamat. Saya tidak perlu menghuraikan kesemuanya di sini, kerana mahkamah sedang bersidang.
Ketenangannya Membawa Ke Puncak
Sesungguhnya, musuh-musuh di dalam dan di luar negara sangat-sangat "kecewa" kerana kerajaan kita dapat mengatasi kemelut Lahad Datu dengan tenang. Target mereka tersasar, mereka ingat Malaysia dipimpin oleh orang-orang seperti Marcos, Nurmisuari, AlGore, Netanyahu atau George Bush Senior. 

Daripada cerita saya ini, sebenarnya saya melihat di depan mata saya, DS Hishammuddin telah mengorbankan masa depannya, mengorbankan ketegasannya, mengorbankan kemandiriannya...demi "menjaga parti UMNO, menjaga negara kita, menjaga rakyat Malaysia" supaya selamat.

Syed Hussien Alatas meramal bermacam-macam ramalan kononnya Ustaz Ashaari Arqam akan jadi Perdana Menteri, YB Khairy akan jadi Perdana Menteri sebelum 40 tahun, juga meramal DS Anwar Ibrahim, namun semua ramalan itu tersasar.
Kesederhanaan, Toleran & Cool Menyatukan Ummah
Kerana mereka semua terlebih "garam". Saya mengajak para perwakilan di seluruh negara, supaya memberi peluang kepada DS Hishammuddin atas faktor-faktor yang telah saya dedahkan buat kali kedua ini. Saya tiada kepentingan dalam hal ini,kepentingan saya ialah saya mahu melihat UMNO terus ke hadapan mendepani survival.

Selamat membaca, dan selamat berfikir.

*Fikiran adalah kekuatan yang sangat efektif. Tanpanya, setiap kekuatan tiada ertinya (Victor Hugo)





RAHSIA KENAPA ANWAR TIDAK LAGI BANGKIT NAMA ALTANTUNYA

on Saturday, September 28


Selepas kegagalan Anwar menawan Putrajaya dalam pertarungan terhebat semasa PRU 13 tempoh hari, Anwar tidak mengotakan janjinya hendak bersara. Jika dulu alasan yang dibangkitkannya ialah kerana berlaku penipuan konon berpuluh ribu orang Bangladesh mengundi BN, akhirnya masa memberi kebenaran apabila Ahli Parlimen DAP mengesahkan tidak ada isu Bangladesh.

Bahasa mudahnya ialah Anwar telah menipu ahli partinya, penyokongnya dan rakyat Malaysia. Jika Anwar boleh membuktikan wujud pengundi Bangladesh dalam jumlah 30,000 atau 40,000 orang itu, saya sendiri sanggup menyerahkan semua pendapatan saya setiap bulan kepada Anwar jika mereka mampu membuktikannya.

Namun begitu, Anwar masih boleh hidup bergembira dengan memberi bentuk baharu kepada wajahnya dan boleh terbang bertemu sahabat sejatinya Al Gore di Washington. Anwar khususnya tidak mempunyai masa untuk menziarahi Allahyarham Ustaz Azizan Razak, Mantan MB kedah yang menjadi sebahagian daripada kekuatan Pakatan pada tahun 2008. Akhirnya, Tun Dr Mahathir Mohamad sekeluarga juga yang hadir memberi penghormatan.

PERCUBAAN ANWAR MENYERTAI KERAJAAN BN

Saya tidak pasti adakah Ketua Pemuda UMNO bersetuju dengan 'plan' membawa Anwar menyertai Kerajaan. Kita semua mengetahui belum ada komen daripada Ketua Pemuda.


Ahli-Ahli UMNO perlu menngetahui mesej sebenar Ketua Pemuda UMNO kerana Anwar ternyata sudah boleh menerima keputusan PRU13. Saya tahu terdapat Ahli Parlimen UMNO memberi pandangannya kepada saya supaya UMNO menerima semula Anwar untuk tujuan menguatkan lagi Kerajaan BN.

Sebagai pemerhati, kita mahu suatu petunjuk yang jelas dan nyata. Saya sedar dan saya sendiri pernah saksikan di mana YB Khairy Jamaludin bertegang leher dengan DS Anwar di dalam parlimen. Itu hal parlimen, kita sedang bercakap isu masa hadapan orang Melayu dan umat Islam.

Semua orang tahu Anwar seorang yang Liberal atau Liberal Demokratik dengan menyanjungi nilai-nilai Liberalisme Barat. Anwar tidak condong kepada adat Timur. Anwar bukan seorang Islamis kerana Anwar sendiri sebagaimana dilapor oleh banyak portal menentang Hudud PAS dilaksanakan di dalam Pakatan Rakyat.

Gambaran yang diberi oleh ramai orang terhadap YB KJ juga mendekati kepada individu Liberalistik. Ramai orang di luar pemerintahan Pak Lah dahulu menggunakan saluran YB KJ untuk pelbagai perkara, tidak perlu saya detailkan kerana beberapa blogger elit sudah menghuraikannya. Kebimbangan saya ialah UMNO bukan parti Liberal Melayu. YB KJ mesti sedar UMNO tidak boleh diubah kepada sebuah parti Liberalistik sifatnya.


Permainan UMNO ialah Sepak Raga bukan Bowling, Bahasa UMNO ialah bahasa Melayu bukan bahasa Inggeris, Baju UMNO ialah Baju Melayu bercapal bukan Baju Melayu berkasut sukan dan banyak lagi perlambangan yang memberi makna kepada UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO.

Oleh itu, jika kita sedar semua ini kita tak akan jual aset-aset negara kepada orang lain. Secara peribadi kejadian menjual MAS adalah melanggar etika Melayu, menjual Institut Jantung Negara adalah salah kepada sejarah perjuangan, menganaktirikan Utusan Melayu atau Utusan Malaysia tidak melambangkan Umno-centrict.

Contohilah DS Najib, beliau sanggup mengembalikan Perdana kerana Honda bukan bercirikan Melayu, beliau sanggup tidak meluluskan Skim baru perkhidmatan awam SBPA dahulu kerana orang-orang Melayu tidak bersetuju dan terkini beliau sanggup membentangkan pelan ekonomi untuk Bumiputera kerana itu suara orang-orang Melayu.

Oleh itu, kemenangan Naib- Naib Presiden dan Ketua Pemuda UMNO kali ini ialah mereka yang berjiwa Melayu, berjatidiri Melayu, Mengutamakan Melayu dan paling penting meletakkan Islam di hadapan.

Para perwakilan hendaklah sedar, PRU13 memberikan indikator bahawa bangsa-bangsa lain khususnya pengundi-pengundi Cina lebih mempercayai DAP daripada MCA yang banyak ditolong oleh UMNO. MCA seolah-olah tidak hendak BN menang bilamana Ong Tee Keat calon favorite di Pandan diganti dengan orang baharu yang tidak dikenali pengundi.

Maka, menjelang PRU14 orang-orang Melayu hendaklah bersungguh-sungguh memberi kemenangan kepada 111 Calon-Calon UMNO di peringkat Parlimen. Jika kita menang semuanya, baharulah bangsa lain akan hormat dan tidak angkat muka lagi dengan sewenang-wenangnya. Syaratnya kita hendaklah mempunyai Ketua Pemuda yang berjiwa Melayu yang hebat, kental dan berani.

Akan datang: Rahsia Kenapa Anwar Tidak Lagi Bangkit Nama Altantunya




ADAKAH DAP ATAU MCA YANG BERFAHAMAN KOMUNIS?

on Wednesday, September 25

LKY KATA DIA NASIONALIS, CHIN PENG KOMUNIS, LKS APA PULA?
Semasa hayatnya, Chin Peng memperjuangkan sebuah negara Malaya Komunis. Negara Komunis Malaya dengan cara menghalau penjajah British dan menghalau penjajah Jepun. Mari kita bayangkan sejenak, jika pada tahun 1940an, Chin Peng berjaya menghalau penjajah British atau penjajah Jepun dengan bantuan Parti Komunis China ketika itu, adakah negara kita ini mengamalkan sistem Komunisme atau Demokrasi?

Semasa Rundingan Baling 1955, Chin Peng bersetuju menyerah kalah dan bersetuju meletak senjata tetapi dengan syarat Parti Komunis Malaya (PKM) dibenarkan bergerak aktif di dalam negara! Pada ketika itu, Chin Peng lebih rela masuk semula ke dalam hutan kerana ketika itu PKM masih kuat dan masih banyak senjata yang diperolehi selepas menipu British untuk menghalau penjajah Jepun. Hanya pada tahun 1989, barulah Chin Peng mahu berdamai semula dengan Kerajaan Malaysia setelah politik dunia sudah berubah.

Pada tahun 1989 hingga kematiannya baru-baru ini, Parti Komunis China tidak lagi memberikan apa-apa bantuan kepada PKM, sebaliknya PKM  hanya bergantung dengan senjata-senjata lama mereka.

Semasa Chin Peng berada di Beijing pada tahun 1980an, beliau menikmati layanan yang mulia di sana termasuk diberikan rawatan perubatan yang baik, tempat tinggal yang baik, malahan diberi slot khas kepada PKM dalam siaran radio di China.
LKY BENCI KOMUNIS, BAGAIMANA LKS?
LEE KUAN YEW BENCI KOMUNIS
Dalam memoirnya, Lee Kuan Yew dengan jelas menolak Komunisme dan benci kepada Komunis. Kata Lee Kuan Yew, "saya bukan Komunis, saya seorang Nasionalis!".

Malahan, apabila Tunku Abdul Rahman hendak melantik Tun Tan Siew Sin sebagai Timbalan Perdana Menteri Kedua pada tahun 1964, Lee Kuan Yew susah hati dan segera terbang ke Kuala Lumpur dan menentang hasrat Tunku itu. Lee Kuan Yew sanggup menunggu Tunku yang ketika itu sedang bermain golf di Cameron Highland.

Lee Kuan Yew memberitahu Tunku bahawa, parti PAP lebih kuat dan lebih baik dari MCA. Sepatutnya TPM Kedua itu hendaklah dari PAP. Lee Kuan Yew turut menuduh, kebanyakan ahli-ahli MCA adalah Komunis yang menguasai ladang-ladang getah dan lombong-lombong.

Saya tidak pasti sama ada tekanan-tekanan dari Lee Kuan Yew yang menghalang Tunku melantik Tun Tan Siew Sin sebagai Timbalan Perdana Menteri kedua ketika itu.

Tetapi, Tunku melantik Tun Tan Siew Sin sebagai Menteri Kanan iaitu Menteri Kewangan, walaupun pemimpin-pemimpin UMNO ketika itu mendesak supaya Menteri Kewangn diberikan kepada UMNO.

Salah satu sebab mengapa Kerajaan Ratu Elizeberth di London tidak mahu memberikan Kemerdekaan kepada Singapura pada tahun 1950an juga kerana faktor Komunis. Pada masa itu, Parti Buroh, Sekolah dan NGO-NGO Cina di Singapura berat kepada Komunisme.

Akhirnya, walaupun lebih 10 kali rombongan PAP merayu kepada Kerajaan Ratu England, akhirnya mereka gagal mendapat kemerdekaan secara langsung untuk Singapura.
BENARKAH DALAM MCA ADA AHLINYA BERFAHAMAN KOMUNIS?
TANYA LIM KIT SIANG
Bolehkah anda bertanya kepada Lim Kit Siang adakah DAP berfahaman Komunis? Saya hanya pasti Lee Kuan Yew dan PAP tidaak berfahaman Komunis kerana Lee Kuan Yew jelas menolak fahaman Komunisme.

Kenapa perlu tanya Lim Kit Siang pasal Komunisme? Sudah tentu isu hari ini ialah Chin Peng yang telah mati itu adalah seorang Cina Komunis!

Isu Chin Peng adalah isu khusus masyarakat Cina. Isu Cina adalah isu yang berkait kepercayaan dan kebudayaan mereka. Lim Kit Siang adalah seorang Cina, sekarang mari kita bertanya Jika Lim Kit Siang akan hal ini.

Kalau Chin Peng jelas seorang Komunis, Lee Kuan Yew bukan Komunis, bagaimana pula Lim Kit Siang?

Jika Lim Kit Siang boleh menjawab dengan betul, isu kematian Chin Peng akan selesai. Jika Lim Kit Siang menjawab dengan cara yang salah, isu kematian Chin Peng akan berterusan sehingga PRU14.

Inilah yang dikatakan 'The Chinese Dilemma' (artikel 2009).

Bersambung...








KUASA PREGRORATIF PM KEKALKAN JAWATAN MENTERI, JIKA KJ TEWAS

on Tuesday, September 24

Dipetik Dari Media UMNO, Presiden MAYC Kebangsaan
Pada bulan Oktober 1993, apabila DS Anwar Ibrahim (Anwar) membelakangkan cakapnya sendiri dengan melanggar Tun Ghafar Baba, beberapa sahabat-sahabat setia Tun Ghafar Baba seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah), allahyarham Tun Datu Mustapha dan Tan Sri Sanusi Junid mempertahankan jawatan Naib Presiden. Hanya Tun Datu Mustapha tidak bertanding Naib Presiden ketika itu.

Namun, kita memang hebat merancang namun Allah SWT lebih maha merancang. Allah SWT akhirnya memberikan jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri kepada Pak Lah, tidak kepada Anwar. Anwar "kacelek" lagi.
Tan Sri Sanusi Junid Berkata Sesuatu Kepada Tun Dr. Mahathir
KUASA PERDANA MENTERI
Tetapi kuasa Perdana Menteri melantik Menteri Kabinet tidak boleh dipertikaikan, ianya kuasa pregroratif mana-mana Perdana Menteri. Walaupun tewas, namun Tun Dr. Mahathir mengekalkan beliau sebagai Menteri Pertanian.

Semasa DS Najib Tun Razak menjawat jawatan Perdana Menteri (2009),  Ketua Pemuda tidak dilantik sebagai Menteri mahupun Timbalan Menteri. Sebaliknya, Timbalan Ketua Pemuda YB Datuk Razali Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia & Sukan.

DS Najib sudah pasti mahu melantik Ketua Pemuda UMNO sebagai Menteri Penuh pada ketika itu (2009), tetapi keadaan dan isu-isu semasa tidak memihak kepada beliau. Maka Ketua Pemuda UMNO tidak dilantik, itu sahaja. Sebaliknya, pada tahun 2013 keadaan memihak kepada Ketua Pemuda UMNO apabila beliau menang besar di Rembau.

Jika Ketua Pemuda UMNO tewas kepada Akhramsyah, tidak bermakna beliau akan diundurkan dari jawatan Menteri, kecuali beliau sendiri mahu menarik diri. Namun, saya lihat Menteri KBS mempunyai banyak agenda besar di KBS sekarang. Salah satu agendanya yang tidak disebutkan ialah mahukan ranking Bola Sepak Malaysia di bawah 100, bagi orang yang faham.

Isu sekarang ialah walaupun sebagai Menteri, kadang-kadang harapannya atau amarahnya tidak dapat dipenuhi oleh mereka yang lebih senior. Contohnya, apakah sebagai Menteri KBS boleh menghalang BAM mengenakan tindakan ke atas Rashid Sidek? Isunya bukan semata-mata beliau berdepan dengan BAM, tetapi beliau berdepan dengan Presiden BAM dan anda harus tahu siapakah di belakang Presiden BAM? Begitu juga, adakah aspirasi Menteri KBS di dalam FAM boleh dipenuhi? 

Barangkali mesti belajar Seni Berpolitik daripada Tun Dr. Mahathir.
   Semasa Tun Datu Mustapha Meninggal Dunia, TS Sanusi Junid Terbang Ke Kota Kinabalu
GURU PENGALAMAN & CIA
Kita harus menyelami suatu perkara. Walaupun kita seorang Ketua Pemuda tetapi kita bukan Presiden? Walaupun kita seorang Menteri tetapi kita bukan Perdana Menteri? Walaupun kita mempunyai sumber kewangan yang kuat tetapi kita bukan Gabenor Bank?

Sebaliknya, Akhramsyah dilihat jelas memberi fokus kepada memperkasakan bangsa Melayu dan umat Islam. Saya tidaklah kata Ketua Pemuda sekarang tidak memperjuangkan. Namun, persepsi dan kenyataan menggambarkan beliau membawa perkara yang berbeza.

Orang Melayu khususnya penyokong-penyokong tegar UMNO di kampung-kampung bercakap tentang Islami bukan Liberalisme. Orang-orang Melayu yang mengundi UMNO di Felda-Felda bercakap tentang Survival Melayu, mereka tidak bercakap tentang survival lain. Oleh kerana, orang-orang Melayu melihat begitu banyak ancaman kepada survival mereka, maka mereka tiada pilihan memberi undi kepada UMNO dan BN.

Liberalis adalah suntikan barat khususnya agenda Amerika. Jika kita pergi ke negara-negara Arab, mereka tidak percaya istilah Al-Qaeda dan Taliban. Sebabnya mudah, NGO-NGO itu adalah ciptaan Amerika.
Satelit NED : Pembiaya utama NED adalah United States Agency for International Development (USAID). Di bawah cabang NED terbahagi kepada 4 agensi lain iaitu ACILS, CIPE, NDI dan IRI
Osama bin Laden mempunyai saudara bernama Abdullah bin Laden yang terbukti direkrut oleh agen-agen CIA untuk memasuki Afghanistan, Pakistan, Mesir malah Arab Saudi. Tujuan utamanya menghalau Soviet Union. Pengarah Operasi CIA ketika itu iaitu Robert Baer mengesahkan isu ini (1962). Pengarah CIA, George Bush Senior (1970an) turut mengesahkan hal ini.

Mereka tidak datang dengan wajah hidung terlebih mancung dan bertali leher, tetapi melalui NGO-NGO Islam yang ditubuhkan dengan sumbangan-sumbangan dana dari agen-agen CIA dan Yahudi di Amerika, atas nama Demokrasi, Demokratik, National Endowment Of Democracy, New Islam, New Muslim, New Agenda, Islam and Modernitation, New Leadership, Islamic Leadership dan bermacam-macam slogan.

Ancaman Syiah di Malaysia adalah salah satunya.

Yang amat saya bimbang ialah apabila ahli-ahli UMNO kurang kesedaran betapa perlunya mereka bangun dari tidur mengucap "Alhamdulillah" tetapi bangun tidur membunyikan lagu "Metalicca". Orang Melayu yang beragama Islam insyaallah akan mengucap Alhamdulillah, sebaliknya orang lain yang tipis keMelayuannya nipis Islamnya lebih suka membuka lagu "The Ectasy Of Gold". 

Kepada Allah SWT kita berserah. 

Selepas ini: Naib Ketua Pemuda Sangat Penting Selepas Era KJ. Tetapi Yang Mana Satu?


















EMEL DARI SINGAPURA KEPADA CALON-CALON UMNO

on Monday, September 23

Calon Ketua Pemuda UMNO Akhramsyah Tan Sri Sanusi
Kiriman Emel kepada saya;

Assalamualaikum saudara,
Terlebih dahulu saya ingin merakamkan perasaan gumbira saya apabila membaca kesah-kesah yang saudara catitkan, ianya benar-benar memberi kesan di dalam hati sanubari. Khususnya kesah perjuangan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, allahyarham Tun Ibrahim Ismail.

Saya ingin bercerita satu kesah yang kamu barangkali tidak tahu. Bahwa sekembalinya Tun Ibrahim Ismail ke tanah air (Tanah Melayu), beliau telah diminta oleh Dato' Onn Jaafar supaya menyertai UMNO. Namun begitu, Tun Ibrahim memileh untok terus berkhedmat di dalam pasokan tentera. Manakala, Tun Hussien Onn walaupun sama-sama berlateh dengan Tun Ibrahim di Pusat Latehan Tentera British di Agra di negara India, telah menerima pelawaan untuk membantu UMNO.

Satu perkara lagi, semasa tragedi 13 Mei 1969, semasa Mesyuarat Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dahulu, terdapat cadangan supaya pasokan Tentera Malaysia mengambilalih pemerintahan di dalam tanah air kita ini, memandangkan kelakuan-kelakuan ahli pertubohan DAP dan orang-orang Cina yang begitu kasar kepada penduduk asal yakni kita orang Melayu.

Tetapi, Tun Ibrahim ketika itu memberi pandangannya bahwa beliau tidak bersetuju tanah air kita diperentah oleh pasokan tentera. Tetapi tentera akan senantiasa berada di belakang kerajaan untok membantu keamanan orang ramai.

Saya begitu kagum dengan pengetahuan sejarah saudara, seharusnya anak-anak muda di zaman sekarang senantiasa didedahkan dengan kesah-kesah perjuangan pada zaman dahulu, supaya mereka tidak terikot-ikot dengan pemikiran orang-orang luar yang tidak sesuai dengan budipekerti bangsa kita.

UMNO di negara Malaysia mesti diperkukohkan lagi dengan memiliki pemimpin-pemimpin yang berjiwa bangsa Melayu, niatnya ikhlas untok bangsa Melayu, sahsiahnya jelas terpancar melalui tutur bicaranya dan perbuatannya.

Janganlah hendaknya UMNO menerima nasib yang serupa dengan UMNO di Singapura ini. Ada pada namanya, tiada pada jasadnya. Ada pada jiwanya, tiada pada nuraninya. Kami sudah merasai kesusahan politik yang panjang di sini, janganlah pula suatu hari nanti anak-anak bangsa Melayu di negara Malaysia turut sama menderita seperti kami karena kamu berpecah belah dan tidak bersatu padu.

Sekadar ini sahaja, teruskan perjoangan saudara. Salam dari saya di selatan tanah air.

Pak Cik Samsuddin.
Masjid Sultan, Singapura.

*Nota: Poster di atas adalah kiriman emel dari seorang ahli UMNO yang meminta disiarkan di dalam blog ini. Saya belum lagi menerima kiriman emel poster calon-calon lain, jika ada insyaallah akan disiarkan. Slogan "Hidup Melayu" seakan sesuai dengan surat emel dari Singapura di atas. Wallahu'alam.





PERCUBAAN KOMUNIS BUNUH PANGLIMA ATM GAGAL

on Sunday, September 22

Ketika Saya Melawat Allahyarham Tun Ibrahim Ismail (2009) 
SAYA mungkin antara insan yang beruntung kerana beberapa bulan sebelum allahyarham Tun Ibrahim Ismail meninggal dunia, saya sempat menemuramah beliau tentang banyak peristiwa di sebalik tabir di negara kita ini. 

Allahyarham Tun Ibrahim berkongsi pengalaman beliau semasa dihantar ke Akademi Tentera British yang masyhur di Agra, India bersama-sama dengan mantan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Hussien Onn. 

Beliau juga menceritakan detik beliau ditahan oleh tentera Jepun pada tahun 1944 selama 8 bulan sehinggalah beliau dibebaskan setelah Jepun mengaku kalah. 

Antara jasa beliau yang paling besar ialah memperjuangkan kedudukan pangkat pegawai tinggi Melayu yang diberi taraf rendah berbanding pangkat pegawai tinggi British. Menurut Tun Ibrahim, semasa berkhidmat dengan Tentera Darat India dalam Perang Dunia Kedua, beliau diterima sebagai mempunyai kedudukan yang sama dengan pegawai British yang lain. Malangnya apabila beliau balik ke Tanah Melayu, beliau diperlakukan sebagai orang bawahan pegawai British. Kejayaan Tun Ibrahim memperjuangkan perkara ini telah memberi makna yang besar kepada generasi hari ini.

Kisah perjuangan Tun Ibrahim boleh dibaca melalui buku beliau yang bertajuk “ IBRAHIM PAHLAWAN MELAYU “ versi Bahasa Malaysia terbitan Dewan Bahasa & Pustaka tahun 2008 dan “ IBRAHIM:The Malay Warrior “ versi Bahasa Inggeris terbitan Pelanduk Publications tahun 2005. Semoga jasa dan bakti yang dicurahkan oleh Tun Ibrahim kepada agama, bangsa dan Negara akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
Pasukan Tentera PKM di Tanah Melayu
BAGAIMANA KAMU TERGAMAK MAAFKAN CHIN PENG  
Pada malam 23 Februari 1953, Pasukan tentera Komunis PKM lebih daripada 100 kekuatan menyerang Balai Polis Bukit Kepong. Komunis membunuh seluruh anggota keselamatan serta keluarga mereka anak isteri tanpa belas kasihan. Mereka dibunuh dengan kejam termasuk dibakar hidup-hidup.

Penghulu Ali cuba memberi bantuan dengan mengumpul pasukan Pengawal Kampung. Di dalam perjalanan ke Balai Polis Bukit Kepong, Penghulu Ali dibunuh diseksa dengan sangat-sangat kejam. Kamu mahu tahu bagaimana Penghulu Ali dibunuh dan diterodok dengan senjata tajam Komunis? Saya tidak sanggup ceritakan, anda carilah sendiri cerita itu.

Cerita lain kekejaman PKM yang diketuai Chin Peng anda boleh ke Universiti Malaya dan membuat bacaan di sana.Jika mereka yang pro-Komunis dan pro-PKM atau yang pro-Chin Peng mengatakan Chin Peng juga berjuang menentang penjajah, mengapa mereka membunuh Ketua Kampung Melayu, Anak Bini orang Melayu, Polis Melayu, Askar Melayu, Pengawal Kampung Melayu malah hampir membunuh Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) walhal negara kita sudah lama merdeka (1976)!

Kem-Kem Komunis (PKM) Di Tanah Melayu


KOMUNIS MENIPU UNTUK MEMERINTAH

Pada 7 hingga 26 Ogos 1944, agen British yang berada di Tanah Melayu ditemui oleh agen-agen PKM untuk meminta bantuan senjata, makanan dan ubat-ubatan. PKM berjanji akan membantu pihak British menghalau penjajah Jepun.

Dengan mengggunakan kapal-kapal perang British dan Kapal Selam Diraja Severn, pihak British yang berpangkalan di Ceylon dan India bersetuju memberi bantuan tersebut. 

Siapakah yang mengalahkan Jepun? PKM atau pasukan Bersekutu British?

Sekarang ini, anda boleh baca orang-orang pro-Komunis (atau ya memang Komunis), kononnya PKMlah yang menghalau Jepun dari Tanah Melayu. 

Kita mesti kembali kepada sejarah untuk menjawab isu ini. Apabila pasukan Bersekutu diketuai Amerika mengebom Hiroshima dan Nagasaki, kerajaan Jepun menyerah kalah. PKM dan Chin Peng kah yang mengebom Hiroshima dan Nagasaki?

PKM keluar dari dalam hutan-hutan di Tanah Melayu, masuk secara rakus dan ganas ke bandar-bandar dan kampung-kampung memerintah secara kejam. Bintang-Bintang 3 bermaharajalela dan membunuh sesiapa sahaja yang mereka anggap sebagai musuh mereka.

Pasukan British terlalu lewat sampai ke Tanah Melayu mengakibatkan PKM dan Bintang3 mengambil kesempatan memerintah dengan cara gila, ganas dan rakus.
Allahyarham Tun Ibrahim Berketar-ketar Menurunkan Tandatangan Beliau Ke atas Buku "Ibrahim Pahlawan Melayu"
TUN IBRAHIM MENDARAT
Apabila Tun Ibrahim mendarat di Pulau Pinang setelah hampir sebulan berada di dalam kapal selam perairan Ceylon-Burma-Tanah Melayu, beliau sendiri hampir menerima nasib tidak menentu. 

Lama selepas itu, pada tahun 1976, satu percobaan menembak Tun Ibrahim di Kuala Lumpur oleh anggota PKM tidak berjaya. Tun Ibrahim terselamat kerana kenderaan yang sepatutnya dinaiki Tun Ibrahim hanya dinaiki oleh pembantu-pembantu beliau. Tun Ibrahim hanya lewat beberapa jam sebelum melalui simpang jalan yang sama. 

PKM dan Chin Peng hanya menyerah kalah pada tahun 1989 apabila beliau melihat keruntuhan 'jenama' Komunis di merata dunia. Soviet Union dan negara-negara Komunis di barat seperti Poland, Chechoslavakia, keruntuhan Jerman Timur, Vietname Utara dan sebagainya runtuh. 

Regimen Ke-10 PKM yang bertahan di hutan-hutan di Pahang juga semakin berundur ke selatan Thai. Di mana Chin Peng ketika itu? Chin Peng berada di Beijing, hal ini dibuktikan apabila Komunis Melayu Shamsiah Fakeh berjumpa Chin Peng di Beijing. Anda perhatikan, orang-orang Melayu seperti Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh dibiarkan di dalam hutan, dan Chin Peng berada di Beijing menikmati kesenangan kehidupan yang diberikan oleh pemerintah Parti Komunis China.

Bagi saya, Chin Peng atau Ong Boon Hua sudah mati, namun legasi kejahatannya sukar dilupakan. Mereka yang kudung kakinya, buta mata mereka, hilang anak bini secara kejam, putus tangan dan pelbagai penderitaan lagi masih ramai yang masih hidup.

Jika di hadapan kamu sekarang ada mangsa-mangsa kekejaman Komunis dan PKM, yang buta mata, kudung kaki, putus tangan, cacat anggota tubuh badan, apakah kamu akan katakan kepada kejahatan Komunis, PKM dan ketua mereka Chin Peng?


Kenangan: Walaupun Tangan Allahyarham Tun Ibrahim Terketar-Ketar, Namun Beliau Menurunkan Tandatangan Di Atas Buku Beliau
Nota: Kepada yang belum sempat membaca kisah-kisah yang berkaitan, sila layari di sini http://www.al-azharrisiddiq.com/search?q=anugerah+panglima

Sebelum beliau meninggal dunia, sebuah buku Kisah Sebenar 13 Mei 1969 sedang beliau usahakan supaya generasi akan datang mengetahui kisah sebenar buku itu. 

Jika saya Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda UMNO, saya akan segerakan terbit buku itu, untuk menangkis putar-belit mereka yang menipu dalam tragedi 13 Mei itu. Namun, apakan daya saya hanya penulis biasa, kata Profesor Emeritus Khoo Kay Kim di bawah.

Prof. Emeritus Khoo Kay Kim Menulis Mukadimah Dalam Buku Saya (DMS).



TENTERA SIBER YB KJ PASIF, PEMUDA UMNO DILANDA TSUNAMI AKHRAMSYAH

on Saturday, September 21

Akhram : Semakin Yakin
Saya agak hairan mengapa pasukan siber YB Khairy Jamaluddin kelihatan pasif dan agak statik. Adakah YB KJ tidak memerlukan mereka? 

Saya belum jumpa mana-mana artikel totok yang berani menyokong KJ secara berterus-terang baik oleh Exco-Exco Pergerakan Pemuda UMNO seperti artikel ini http://merdeka-online.com/home/lim-guan-eng-salah-khairy-jamaludin-betul/ . 

Hanya satu-satunya dari sahabat blogger saya ini http://brojinggo.blogspot.com/2013/09/ketua-pemuda-umno-akramsyah-ukurlah.html , itu pun sejak 18 September 2013 dan satu-satunya ini sahaja sehingga ke hari ini, itu pun hanya mengkritik Akhramsyah tanpa menghuraikan apa KJ buat selama ini di dalam Pemuda UMNO. Tiada data atau statistik perjuangan YB KJ sebagai Ketua Pemuda dibentangkan.

Mengkritik dengan perasaan marah, benci dan emosional boleh membawa imej buruk kepada KJ jika anda adalah dampingan KJ. Pernahkah saya 'tutuh' KJ dalam artikel saya. Saya menulis lebih 10 artikel mengenai KJ, sedangkan saya baharu menulis 4 artikel mengenai Akhramsyah. Saya masih berat sebelah.

Tiada blogger yang menghuraikan dasar-dasar KJ sebagai penghulu Pemuda, Aspirasi KJ dalam UMNO, world view KJ kepada Pemuda UMNO, malah pertanyaan saya tentang moto KJ pun tiada siapa berjumpa KJ bertanya dan menghuraikannya. Seruan saya supaya KJ berdebat dengan Akhramsyah turut didiamkan. Maknanya KPI YB KJ sebagai Ketua Pemuda tidak dapat dibentangkan. Ianya akan menjadi persoalan besar oleh ahli-ahli Pemuda UMNO.

Apakah KJ tidak bersedia menerima pukulan politik TKO?

TSUNAMI AKHRAMSYAH MELANDA PEMUDA
Sebaliknya, Akramsyah menerima sokongan semulajadi tanpa diminta dan tanpa bayaran malahan bloggers kelihatannya tanpa disuruh menyatakan sokongan dan keinginan mereka kepada Akramsyah. Semuanya sukarela, senang hati, rela hati membantu Akhramsyah. Mereka datang tidak disuruh, mereka datang tidak dipaksa, tidak di-sms, mereka dilanda "tsunami Akhramsyah".


Akhbar The Malay Mail yang berpengaruh turut memberi ruang kepada Akramsyah di sini dalam sesi soaljawabnya http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/making-umno-youth-relevant .

Akhbar dan portal pro-pembangkang turut memberi fokus kepada Akhramsyah. Tidak perlu saya beri link-nya, anda boleh search sendiri.
Saya dan KJ
SEDUTAN PRESS CONFERENCE AKHRAMSYAH
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera, Salam Satu Malaysia,

Terima Kasih atas kehadiran semua di sini pada hari ini, baik dari kalangan wakil media dan terutama sekali kawan-kawan yang sudi melepaskan diri dari tugas harian untuk bersama-sama.

Nama saya Akhramsyah Muammar Ubaidah bin Sanusi, lazimnya dikenali sebagai Akhram sahaja. Sebagai pengenalan, saya seorang anak kelahiran DEB (Dasar Ekonomi Baru).

Pendidikan awal saya di Maktab Rendah Sains MARA Balik Pulau, Pulau Pinang sehinggalah berjayanya saya menggenggam segulung ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia dari Imperial College, London semua hasil dasar kerajaan pimpinan UMNO yang berlandaskan Dasar Ekonomi Baru.

Dengan bermodalkan ilmu tersebutlah, saya berjaya menarik perhatian sebuah syarikat minyak antarabangsa yang terkemuka mengambil saya sebagai seorang profesional.

Selama 16 tahun saya bertugas sebagai seorang jurutera, konsultan sehingga kini mencapai peringkat pengurusan syarikat tersebut. Dalam masa itu, saya berpeluang bekerja di luar negara, menimba ilmu serta pengalaman teknikal mahupun organisasi, untuk kemudian di bawa pulang demi memajukan negara bangsa.

Segala peluang serta kejayaan ini bertitik-tolak dari perjuangan UMNO, dan saya bersyukur atas pengorbanan pemimpin-pemimpin Melayu yang berjasa terhadap kami generasi muda.

Namun, sejak kebelakangan ini, telah tertimbul rintihan pada peringkat akar-umbi parti, terutama sekali pada golongan muda, yang UMNO terlihat seperti tidak dapat lagi menjaga kebajikan mereka.

Segala usaha serta dasar kerajaan yang baik dilancarkan, tetapi kurang mengena sasaran, dan ini menimbulkan kerunsingan. Rintihan akar umbi Pemuda juga timbul tentang sentuhan kepimpinan yang dikatakan tak cukup kerap sampai ke bawah.

Dan lebih parah lagi, ada orang muda yang kini menuduh Pemuda sebagai tidak lagi mendesak, tidak lagi menjulang obor perjuangan Agenda Melayu.

Oleh itu, memandangkan rintihan kawan-kawan, jiran-jiran serta penyokong tentang perlunya perubahan kepimpinan Pemuda, saya dan keluarga saya telah mengambil keputusan mengorbankan kerjaya saya untuk menawarkan diri, dengan rendah diri, sebagai calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Agenda yang akan saya bawa insyaAllah sekiranya terpilih sebagai Ketua Pemuda yang baru adalah menghidupkan kembali agenda perjuangan Melayu yang seharusnya menjadi tanggungjawab Pemuda UMNO. Oleh itulah, laungan Pemuda haruslah tidak lain dari HIDUP MELAYU!

Terima Kasih. 

Saya membuka majlis kepada soalan...


Ikhlas dari Calon Anda, 
Akhramsyah Sanusi.








KETURUNAN DS HISHAMMUDDIN YANG PERLU DIKETAHUI

on Friday, September 20

DS Hishammuddin : Toleran, Sederhana & Tenang
DS HISHAMMUDDIN Tun Hussien merupakan legasi Tun Hussien Onn, legasi pula daripada Dato' Onn Jaafar pengasas UMNO, legasi pula daripada Dato' Jaafar Abdullah Menteri Besar Johor, legasi pula  Dato' Abdullah Jaafar juga Menteri Besar Johor, legasi pula daripada Dato' Jaafar Mohamad juga Menteri Besar Johor. 

Ramai keturunan DS Hishammuddin pernah menjadi Menteri Besar Johor kerana mereka adalah keturunan Bangsawan (pemimpin).

Dato' Jaafar Mohamad adalah Menteri Besar yang bijak di mana beliau sering membawa guru-guru agama, guru-guru sastera dan guru-guru bahasa Inggeris untuk mengajar anak cucunya. Saya juga mengetahui bahawa DS Hishammuddin juga sering memanggil guru-guru Sejarah, guru-guru bahasa ke rumahnya untuk mengajar anak-anaknya, kerana kebetulan guru itu rakan saya dahulu.
Tun Hussien Onn: Tenang & Sabar
Semasa Perang Dunia Kedua, allahyarham Tun Hussien Onn telah dihantar berlatih selok-belok ketenteraan di India bersama-sama dengan allahyarham Tun Ibrahim Ismail, mantan Panglima Angkatan Tentera. Setelah perang tamat, Tun Hussien Onn berhasrat menjadi pegawai tentera di tanah air. Namun begitu, allahyarham Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak memohon bantuan Tun Hussien Onn untuk sama-sama menjayakan penubuhan UMNO. 

Semasa transisi Jepun kalah, dan Tun Ibrahim serta Tun Hussien Onn dalam perjalanan pulang ke Tanah Melayu, khabar angin bertiup kencang bahawa kedua-dua mereka sudah mati di dalam perjalanan. Walhal ketika itu, mereka berada di dalam kapal selam dari Ceylon menuju ke Tanah Melayu untuk membantu pasukan Force 136 yang sedang beroperasi di tanah air ketika itu.
Dato Onn Jaafar : Sabar, Tenang & Bijak
Saya pendekkan cerita, akhirnya Tun Hussien Onn bertukar karier kepada politik, manakala Tun Ibrahim Ismail kekal di dalam bidang ketenteraan. Tun Hussien Onn berjaya sehingga menjadi Perdana Menteri, manakala Tun Ibrahim berjaya sebagai Panglima ATM.

SITI HISHAMMUDDIN
Satu-satunya jasa DS Hishammuddin (Hisham) yang tidak boleh dilupakan oleh ahli UMNO ialah semasa krisis politik 1998.

Hisham tidak terikut-ikut nada DS Anwar kononnya berleluasa Kolusi, Korupsi dan Nepotisme (KKN). Hari ini, anda lihat sendiri siapa lebih KKN?

Hisham membawa dirinya ke hadapan, membantu UMNO, membantu Presiden UMNO berhadapan dengan segala macam fitnah dari kumpulan reformasi. Tun Dr. Mahathir dituduh 'MahaFiraun', Hisham pula disindir 'Siti Hishammuddin' kerana sikap Hisham yang terlalu bertoleransi. Namun, Hisham tetap "steady" tidak menggelabah.
Hisham berada di Kementerian Belia & Sukan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Dalam Negeri dan kini Kementerian Pertahanan masih membawa imej Toleransi, Sabar & Tenang.

Jika Hisham bertindak seperti Tun Musa Hitam sewaktu krisis Memali dulu, saya yakin Hisham sudah terkeluar dari arus perdana. Jika Hisham bertindak seperti DS Anwar pada tahun 1998 dahulu, saya yakin Hisham tidak akan berada di kedudukannya sekarang. 
UMNO adalah sebuah parti yang sederhana. Hisham membawa imej Kesederhanaan UMNO. Tun Hussien Onn ayahnya juga seorang Perdana Menteri yang sederhana, tenang dan sabar. Dato' Onn Jaafar juga seorang Presiden UMNO yang sabar ketika zamannya, berjalan kaki dan menaiki basikal masuk ke kampung-kampung menyedarkan orang kampung supaya bersatu di dalam UMNO untuk mendapatkan kemerdekaan.

Mereka yang 'berdarah panas' memang cepat menaiki takhta dalam kepimpinan UMNO tetapi cepat juga jatuh dengan terjunam dan menjunam.

Beberapa contoh yang terdekat, jika Timbalan Presiden UMNO mempunyai kesabaran dan ketenangan pada tahun 1998 barangkali dia boleh menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Jika Tengku Razaliegh Hamzah mempunyai sedikit lagi Kesabaran dan Ketenangan pada tahun 1987, saya yakin Tengku Razaliegh sudah menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO. 

Tun Abd. Razak, Tun Hussien Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdulllah Badawi dan DS Najib sendiri adalah antara pemimpin UMNO yang sabar, tenang dan tidak gelojoh. Akhirnya, Allah SWT bersama mereka membawa mereka memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri.

Apakah DS Hishammuddin juga akan diberi tunjuk oleh Allah SWT untuk menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri kelak, kerana ketenangannya, kesabarannya dan toleransinya yang tinggi.

Jika anda bertanya saya secara peribadi, saya mahu anda mengekalkan DS Hishammuddin sebagai Naib Presiden UMNO. 

Ingatilah jasa-jasa DS Hishammuddin, khususnya jasa-jasa allahyarham Tun Hussien Onn, Dato Onn Jaafar, Dato' Jaafar Abdullah, Dato' Abdullah Jaafar dan Dato' Jaafar Muhammad.

Akan datang; "Kisah DS Zahid Hamidi berkata "saya tidak ada cita-cita mahu menjadi Perdana Menteri".




                                                                                                                    

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan