PANDANGAN KRITIS MANTAN PEGAWAI JPJ & KEBIJAKAN DS HISHAMMUDDIN

on Wednesday, November 20

Pandangan Mantan Pegawai JPJ
Persoalan yang kita perlu sama-sama fikirkan ialah sama ada AES yang diwujudkan itu bertujuan untuk menyelamatkan nyawa atau pematuhan undang-undang? 

Jika AES bertujuan menyelamatkan nyawa mestilah ada keutamaan dalam perlaksanaan seperti di manakah kedudukan lokasi kamera itu? Di manakah risiko yang paling tinggi dan risiko yang paling rendah?

Begitu juga berkenaan isu kenderaan yang manakah yang paling berisiko tinggi, kenderaan yang manakah paling merbahaya? 

Sebagai contoh, Apakah risiko AES diletak di jalan menuju ke Kajang, kenapa tidak letak di tempat laluan mendaki dan laluan menurun yang merbahaya? Contohnya kenapa tidak diletak di laluan ke Genting di selekoh-selekoh yang sering kemalangan kenapa tiada AES? Kenapa letak di jalan lurus arah ke utara di Taiping? 

Akibat isu-isu sebegini rakyat melihat niat AES ini seolah-olah untuk menghukum bukan educate rakyat. Rakyat nampak seolah-olah kerajaan hendak mencari duit, hak didengar tidak ada iaitu tidak boleh membuat rayuan.

Rekod dan laporan menunjukkan kemalangan yang menyebabkan kematian lebih banyak berlaku di jalan negeri dan jalan persekutuan yang dikenalpasti berisiko tinggi, kenapa kamera AES diletak di lebuhraya yang tidak berdasarkan keutamaan risiko? Bukankah itu akan membabitkan isu kepada pegawai-pegawai pelaksana?

Bekas KP JPJ yang melaksanakan AES kelihatan tergesa-gesa tanpa kajian yang menyeluruh dari segi kesusaian masa dan keadaan. Kesannya tentulah sentimen ini akan dieksploit oleh pembangkang dengan senang, iaitu sentimen penganiyaan digunakan oleh pembangkang untuk menghalang AES. 

Walhal AES ini sebenarnya bagus untuk menyelamatkan nyawa pengguna di atas jalan raya. Tidak pernah di dalam dunia perlaksanaan AES dibatalkan sebab fokus tujuan AES ialah untuk menyelamatkan nyawa.

Beliau berpendapat saman tidak boleh dijadikan pendapatan utama kerajaan, jumlah pungutan hendaklah tidak menjadi keutamaan dalam perlaksanaan AES dan tidak menjadi sumber hasil kerajaan. Perlaksanaan AES mestilah khas (khusus) bersifat menyelamatkan nyawa

Mengikut laporan, setiap satu kematian dalam kemalangan akan menyebabkan kerajaan kerugian lebih kurang RM600 ribu dari segi kos pendidikan, kesihatan, latihan dan lain-lain dan juga sumbangan yang akan datang. Bayangkan jika yang terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia itu adalah bakal doktor, jurutera, arkitek dan sebagainya sudah tentu mereka boleh memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara kita.

Kerajaan rugi dari segi kos perbelanjaan melaksanakan AES tidak mengapa, kerana yang lebih penting ialah menyelamatkan nyawa!

Kerajaan tidak boleh dilihat menjadikan AES sebagai income utama. (Demikianlah temubual saya di atas dengan mantan pegawai tinggi JPJ). Di bawah ini saya bawakan pula pandangan Menteri kita.
------------------------------------------------------------------------------------
Kebijakan DS Hishammuddin
Apa pun, DS Hishammuddin telah menunjukkan keprihatinan dan kematangannya dalam menjawab isu kereta 12 tahun dan isu AES selepas video di bawah. Mari kita dengar dan membacanya?

MENJAWAB ISU KERETA 12 TAHUN
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini berkata kementerian itu berharap dapat membentangkan isu saman trafik yang dikeluarkan sebelum 18 Sept, di bawah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), kepada Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menjelang minggu depan.

Laporan sebelum ini menyebut perkara itu akan dibawa kepada Kabinet dan isu berkenaan terlewat sedikit untuk didengar bagi membolehkan kementerian memutuskan platform yang sesuai untuk membuat keputusan berhubung perkara itu, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini selepas melancarkan empat kren pangkalan baharu Northport (Malaysia) Bhd di sini Isnin.


Pada 18 Sept, Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan AES bersetuju untuk mengurangkan kadar kompaun kepada minimum RM150 berbanding RM300 sebelum ini.


Hishammuddin berkata menerusi Majlis Ekonomi itu, kementerian berkenaan akan membentangkan isu saman trafik dan mencari jalan penyelesaian berhubung pesalah trafik yang membayar jumlah penuh RM300 kerana kesalahan trafik mereka sebelum 18 Sept.


Selain isu saman trafik, beliau berkata kementerian itu akan mengemukakan cara untuk menyelaraskan peranan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan serta memastikan semua undang-undang yang berkaitan dipatuhi.(BERNAMA)

Apakah harapan anda?
Apakah pula idea anda?

 

ADA CARA LEBIH BAIK MENEGUR SULTAN

on Tuesday, November 12

NEGARA kita ini tidak semaju ini dengan sendirinya. Ada sejarah di belakangnya, di mana perjuangan dan pengorbanan Raja-Raja Melayu telah terbukti. Sebelum tahun 1951, rakyat di Tanah Melayu patuh kepada Raja-Raja di negeri mereka. 

Kerakyatan mereka adalah kepada Raja-Raja Melayu di negeri masing-masing kerana ketika itu belum ada Akta Kerakyatan dalam Persekutuan Tanah Melayu (1948), kecuali Akta Kerakyatan di Negeri-Negeri Selat.

Jika kita tidak membaca buku-buku sejarah negara kita, apatah lagi jika tidak mengambil subjek Sejarah semasa bersekolah, apatah lagi kalau tidak bersekolah dalam sistem pendidikan di Malaysia, maka hasilnya ialah kita tidak akan memahami betapa pentingnya menghormati Institusi penting seperti Institusi Raja-Raja. Sebabnya mudah, kita seolah-olah didatangkan dari satu planet asing kemudian memilih untuk bermastautin tetap di sebuah tanah air yang berSultan.

Negeri Tiada Raja
Saya dilahirkan di sebuah negeri (Sabah) tanpa Sultan atau Raja. Sepatutnya saya tidak perlu membela Raja-Raja Melayu ini, namun saya melihat jauh dari itu, di mana tatkala negara kita pernah mengharungi kesusahan, maka akhirnya rakyat kembali kepada Raja-Raja juga untuk meminta pertolongan.

Pada tahun 1940an, apabila Raja-Raja Melayu didesak oleh seorang pegawai British yang baharu saja ditukarkan dari Palestin ke Tanah Melayu untuk menerima konsep negara baharu Malayan Union, akhirnya Raja-Raja Melayu rela tunduk dengan desakan rakyat untuk menolaknya, dan mereka kembali didaulatkan di singgahsana asalnya.

70 tahun kemudian, apabila budaya baharu orang-orang yang terdidik dengan sistem pendidikan barat sudah berjaya, mereka tidak merasa apa-apa untuk menilai semula peri pentingnya Institusi Beraja di Malaysia. Kedaulatan Raja-Raja itu bukan sahaja daripada sistemnya, tetapi juga dari segi budayanya, amalan tata-susila adatnya, nilai-nilai murni bangsa Melayu seperti hormat-menghormati dan sebagainya.

Ada orang sudah melihat sistem Institusi Beraja sebagai lapuk dan usang. Namun mereka lupa, sistem Beraja inilah yang telah menyelamatkan mereka daripada marabahaya yang lebih besar seperti kehilangan kuasa politik, kehilangan survival bangsa dan seterusnya kehilangan tanah air ini sendiri. Mereka berfikiran, kekuatan politik yang ada hari ini akan berkekalan sampai bila-bila.
Cara Orang Melayu
Cara orang-orang Melayu terdahulu berbicara dengan Raja-Raja mereka sangat teratur. Baik orang Melayu itu keturunan DKA, DKK atau pun DKM (Baca buku allahyarham A.Samad Ahmad, tokoh budayawan negara kita).

Apabila Raja melakukan kesilapan, rakyat akan berseloka, memberi puisi dan pantun, mendidik dengan ceritera dan tidak terus menusuk hati sang Raja. Kerana orang-orang terdahulu tahu betapa pentingnya Institusi Beraja yang menjadi bukti dan lambang kewujudan Bangsa Melayu di negara kita ini. 

Raja-raja mungkin silih berganti, tetapi Institusi Raja-Raja itu jangan diganti, jika tidak kamu boleh melihat Pulau Pinang dan Singapura hari ini.

Memang benar sekarang zaman moden, tetapi ada cara yang sopan misalannya berpada kah untuk menghantar sms, atau meluahkan amarah dan kebencian, tidak terus menghunus bicara ke dalam jantung sang Raja. 

Persoalannya, apakah Raja-Raja tidak pernah ada jasa kepada negara ini dan bangsa ini? Jika kita tidak pernah hidup di awal tahun 1870an tatkala Raja-Raja Aceh, Raja-Raja Johor, Raja-Raja Melaka, Raja-Raja Pahang dan Perak termasuk Raja-Raja Kedah berhempas pulas menghadapi kekuatan penjajah-penjajah seperti Siam, Jepun, Kerajaan Penjajah British, Peniaga-peniaga British dan sebagainya, saya fikir kita harus bermuhasabah.

Orang lain, bangsa lain bahkan negara asing tidak mungkin akan menghormati Raja-Raja kita ataupun Institusi Raja-Raja kita jika bukan kita sendiri yang menghormatinya. Jika kita memperlekeh dan merendah-rendahkan imej Raja-Raja kita, apakah bangsa lain atau orang lain akan menghormati Institusi Raja-Raja kita. Bah kan, saya yakin bangsa kita pun akan diperlekehkan oleh mereka.

Memang benar Raja-Raja juga adalah manusia biasa, tidak maksum dan melakukan jua kesilapan yang tidak disedari. UMNO khususnya sudah pernah menyedarkan Raja-Raja kita melalui pindaan perlembagaan dahulu supaya mereka akan lebih dihormati dan disayangi rakyat jelata. Di sebaliknya, apakah kita pula menganggap diri kita tidak pernah melakukan kesilapan? Sesungguhnya keegoan itu tiada di dalam ajaran Rasulullah SAW.
Negara Tanpa Raja
Mari kita bayangkan sebuah kehidupan bernegara tanpa Raja atau tanpa Institusi Raja-Raja Melayu yang fungsi besarnya mempertahankan kesucian Islam, bangsa Melayu dan tanah air ini. Apakah kekuatan yang kita rasakan sekarang ini, boleh memulihara seluruh generasi bangsa kita pada masa akan datang? 

Jika suatu hari kelak kamu tewas, kamu pasti akan digantikan oleh orang lain sebagai Menteri, Timbalan Menteri, CEO dan sebagainya. Dan orang lain itu tidak perlu Islam dan tidak perlu Melayu. Itu hukum demokrasi. Percubaan di Perak pada tahun 2008 membuktikan Raja-Raja adalah benteng terakhir bukan.

Namun, jika seseorang Raja itu sudah tiada, baginda akan diganti oleh Raja Muda atau keluarga DiRaja yang sudah pasti Islam dan pasti Melayu. Mengapa? Kerana ianya adalah sebuah Institusi Raja-Raja yang terpulihara dan warisan zaman-berzaman.

Makanya, puliharalah sistem Institusi Beraja di negara kita melalui kata bicara, tindakan dan bahasa yang lebih mulia. Tujuannya, supaya generasi bangsa kita kekal survive walaupun ketika demokrasi sudah mati! 

Akhir kata, di negara kita, masih ada Pengampunan DiRaja, sebaliknya tiada pengampunan rakyat biasa walaupun berstatus Menteri! Maka, berbahasalah kepada Raja-Raja kita. Ada cara yang lebih baik untuk menegur Sultan, kepimpinan Sultan ataupun organisasi yang Sultan kita naungi!



 








CADANGAN HARI JUMAAT CUTI UMUM, TIDAK MUNGKIN YB ISLAM PAKATAN MENENTANG

on Sunday, November 10


Sebelum Tun Dr. Mahathir Mohamad bersara sebagai Perdana Menteri pada tahun 2003, beliau telah mengisytiharkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam, fundamental Islam yang akan mengikuti syiar Islam pada masa hadapan.

Kemudian Pak Lah memperkenalkan slogan Islam Hadhari sesuai dengan latarbelakang Pak Lah yang dekat kepada syiar Islam.

Dalam masa pentadbiran DS Najib sebagai Perdana Menteri, dasar-dasar Islamisasi semakin mendapat tempat di dalam kerajaan. Antara program yang sudah berjalan seperti pengenalan TV Al-Hijrah yang memaparkan program-program berbentuk Islamik sepanjang masa.

Manakala pelbagai lagi polisi Islamisasi berjalan lancar baik dalam pendidikan, ekonomi dan politik. Umat Islam di Malaysia berpeluang melaksanakan kehidupan Islam dalam kehidupan mereka tanpa halangan.

Saya ingin mencadangkan supaya kerajaan mengkaji cadangan supaya hari Jumaat diisyhtiharkan Hari Cuti sebagai menghormati kemuliaan hari Jumaat dalam Islam. Ianya akan memudahkan umat Islam menunaikan solat Jumaat tanpa berkejar-kejar dan sebagainya. 

Selain itu pelbagai aktiviti seperti kelas mengaji, tazkirah, ceramah dan sebagainya boleh dilakukan. Sebenarnya sebagai penghulu hari, sungguh banyak kelebihan hari Jumaat yang boleh dihuraikan oleh para alim yang faham.
.
Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Hari paling baik di mana matahari terbit pada hari itu adalah hari Jumaat, pada hari itu Adam Alaihissallam diciptakan, dan pada hari itu pula Adam dimasukkan ke dalam syurga, serta diturunkan dari syurga, pada hari itu juga kiamat akan terjadi pada hari tersebut terdapat suatu waktu di mana tidaklah seorang mukmin solat menghadap Allah mengharapkan kebaikan kecuali Allah akan mengabulkan permintaannya.”(HR. Muslim)

Selain daripada negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu, dahulunya negeri Johor juga menjadikan hari Jumaat sebagai hari cuti. Apakah negeri Johor akan kembali semula menjadikan hari Jumaat sebagai hari cuti? Saya fikir di peringkat persekutuan ianya patut dipertimbangkan.

Maka terserlah jugalah negara kita ini sebagai negara umat Islam atau negara Islam.

Jika cadangan ini dibawa oleh UMNO ke parlimen, tidak mungkin Ahli Parliman Islam dalam PAS, PKR dan DAP menentangnya? 

Bagaimana fikiran anda?
 


JIKA NIK AMAR MENANG SOKONGAN MELAYU KEPADA PAS AKAN MENINGKAT

on Saturday, November 9

Calon jawatan Timbalan Presiden PAS, Datuk Nik Amar Nik Abdullah menegaskan keperluan PAS mengkaji kerjasamanya dengan DAP dan PKR setelah parti itu gagal mendapatkan sokongan majoriti pengundi Melayu pada Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13).
 
“PAS ketinggalan dalam PRU yang lalu dalam jumlah kerusi yang dimenangi. Kita menang 21 kerusi parlimen berbanding 23 sebelum ini, sedangkan Umno menambah daripada 79 kepada 89. Kita tidak boleh mencapai matlamat untuk menggantikan Umno jika kita tidak mendapat sokongan majoriti pengundi melayu Islam".

“Kita bukan nak menarik diri daripada Pakatan Rakyat tetapi kita perlu mengkaji masalah dan kesilapan yang menyebabkan orang melayu menyokong Umno bukan PAS".

"Sungguhpun saya satu-satunya calon ulama ‘untuk jawatan timbalan presiden’ saya berharap untuk mewakili semua pihak dalam PAS,” beliau dipetik berkata oleh The Star.

Nik Amar akan mencabar Mohamad Sabu dalam persaingan dua penjuru untuk jawatan timbalan presiden pada muktamar parti 22-24 November ini, saingan itu dilihat sebagai kemuncak pertandingan antara golongan erdogan ‘Mat Sabu’ dan ulama yang diwakili oleh Nik Amar.

Calon lain yang layak untuk bertanding jawatan itu seperti Husam Musa, Salahuddin Ayob, Tuan Ibrahim Tuan Man memilih untuk bertanding jawatan Naib Presiden.

Sekiranya menang Nik Amar akan memastikan dua jawatan tertinggi dalam PAS diisi oleh golongan ulama ekoran desakan akar umbi yang mahu parti itu lebih lantang bersuara dalam isu-isu agama.

Datuk Seri Abdul Hadi awang menang bertanding jawatan presiden parti untuk penggal keenam berturut-turut.

Sebelum ini ketua dewan ulama PAS, Datuk Harun Taib berkata parti itu harus mengkaji kerjasama berlandaskan tahaluf siyasi dengan DAP dan PKR ekoran kemerosotan undi Melayu untuk parti itu.

Beberapa pihak menegur PAS kerana didakwa berlembut dalam isu-isu bersabit penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, ketegasan mendirikan agama Islam dan pelaksanaan undang-undang hudud.

Hadi dan Mat Sabu menafikan perjuangan asasnya kerana tunduk kepada tunduk kepada PKR dan DAP dalam hasrat untuk meraih sokongan bukan Melayu pada PRU ke-13.

Pilihanraya lalu menyaksikan DAP memenangi 38 kerusi parlimen, PKR 30, manakala PAS walaupun menjadi parti terbesar dalam pakatan rakyat hanya meraih 21 kerusi di samping gagal mempertahankan Kedah.

UNDI CINA SG. LIMAU TAMATKAN TSUNAMI CINA

on Friday, November 1

Harapan Masyarakat Cina
Jumlah pengundi bagi PRK di Sg. Limau ialah sebanyak 27,222 orang. 93% (25,323 Melayu), Cina (1,842 orang/6.7%), India (15 orang/0.6%) dan selebihnya kaum-kaum lain.

Rata-rata masyarakat Cina yang sederhana tidak berasa senang dengan kesan besar PRU13. Mereka tidak senang dengan "pemulauan" secara halus oleh masyarakat majoriti Melayu dan Islam ke atas masyarakat Cina. Mereka terasa dengan kempen Buy Cina Last (BCL). Mereka terasa dengan istilah "tsunami Cina" yang gagal itu.

Mereka terganggu dengan elemen perbandingan Cina Indonesia yang terikat dengan majoriti umat Islam di sana.  Mereka terganggu dengan istilah "tidak tahu berbahasa Melayu". Mereka sakit telinga dengan kata-kata seorang penulis Cina dari negara China di dalam buku "The Chinese Dilemma".

Mereka faham kuasa beli di dalam negara ini majoritinya adalah orang Melayu dan umat Islam yang meliputi hampir 70% penduduk di negara ini. 

Di dalam politik, mereka kembali sedar orang-orang Melayu kembali bersatu di dalam UMNO di mana UMNO berjaya menambah kerusi parlimen daripada 79(2008) kepada 88(2013). Parti PAS merosot dari 23(2008) kepada 21(2013).

BAJET SEKOLAH CINA
Dua hari lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan peruntukan RM1.8 juta kepada tiga sekolah Cina di Sungai Limau.

Ini membabitkan RM1 juta bagi pembinaan 12 bilik darjah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Aik Min, RM50 juta untuk baik pulih pagar di SJKC Pei Hwa dan RM750 juta untuk SJKC Yok Min di Sungai Limau Dalam.

Turut diumumkan peruntukan RM200,000 sebagai dana permulaan Tabung Pendidikan Masyarakat Cina Sungai Limau.

Persoalan menarik, apakah masyarakat Cina sejumlah 1,842 orang di Sg. Limau akan memberi undi kepada BN, sekaligus menjadi pembuktian bahawa masyarakat Cina di Malaysia sudah kembali semula kepada kerajaan BN?

Saya berpendapat, segala macam keluhan dan keresahan masyarakat Cina yang sederhana di Malaysia ini, perlu membuktikan kepada kita bahawa mereka tidak lagi mahu diperdaya oleh janji-janji manis DAP.

Akibat daripada terpedaya dengan DAP, kini mereka berasa rimas dan mahu kembali menjalinkan hubungan erat bersama kerajaan BN. Ianya akan bertambah mudah, sekiranya 1,842 pengundi Cina di Sg. Limau memilih BN. 

Sama ada DS Najib ataupun BN, kedua-duanya tidak pernah menghukum masyarakat Cina di Malaysia. Apa yang berlaku, sebenarnya ialah masyarakat Cina yang diperdaya oleh mimpi DAP telah menghukum diri mereka sendiri.

Kepada pengundi Cina di Sg. Limau, mari cerahkan masa depan anda, tamatkan tsunami Cina, tamatkan mimpi ngeri bersama DAP. Bermula di Sg. Limau.



 


Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan