PRK KAJANG : SPR TIDAK PERLU TERBURU-BURU

on Tuesday, February 4

Datuk Paduka Chew Mei Fun, Naib Presiden MCA
Kekosongan Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Kajang telah berlaku tidak disebabkan oleh implikasi keputusan mana-mana mahkamah, atau pun disebabkan oleh kematian penyandangnya. Penyandangnya diberitakan memohon maaf kepada pengundi Kajang beberapa hari selepas meletakkan jawatan tersebut. 

Sementara itu, beberapa pihak di dalam PAS khususnya pihak Pemuda PAS menuntut PKR menghormati rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat dan turut mendesak mantan Adun Kajang memberikan sebab-sebab beliau meletak jawatan. Namun, sehingga ke hari ini permintaan Pemuda PAS itu tidak dilayan. 

Mengikut Undang-undang Pilihanraya, jika seseorang Ahli Parlimen terpaksa mengosongkan kerusinya dengan apa jua sebab sekalipun sewaktu Dewan Rakyat berada di awal sesi perkhidmatannya dan tidak kurang daripada dua tahun sebelum dewan terbubar, satu pilihanraya kecil perlu diadakan bagi memenuhi kekosongan tersebut. Saya fikir hal ini terpakai dalam kes Kajang.

SPR TIDAK PERLU IKUT RENTAK PKR
Saya berpendapat Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak perlu terburu-buru untuk megadakan atau mempercepatkan PRK di Kajang. Sebabnya sangat mudah, penyandangnya sebelum ini sihat walafiat dan dia tidak dikenakan hukuman penjara ataupun denda melebihi RM2,000 oleh mana-mana mahkamah.

Oleh kerana PRK Kajang adalah masalah dalaman politik PKR, maka tidak perlulah SPR menyusahkan diri mereka memenuhi nafsu mereka. PRU13 baru sahaja 7 bulan berlalu, apakah rasionalnya mengadakan PRK semula tanpa sebab yang konkrit? Antara kumpulan awal yang menentang PRK Kajang ialah kumpulan BERSIH dan Pemuda PAS.

Beberapa hari sebelum perletakan jawatan Adun Kajang itu, beberapa peristiwa besar telah berlaku di dalam PKR. Pertama, pergeseran ataupun lebih jelas perebutan jawatan MB antara kem Azmin Ali dan kem MB Khalid Ibrahim. Kedua, isu Nurul Izzah yang diketahui ramai itu. Ketiga, isu besar Anwar dihalau keluar dari Jepun. Ketiga-tiga insiden besar ini perlu diatasi dengan mengadakan suatu politik besar, dan politik besar itu ialah Anwar bertanding di Kajang. 

Di samping itu, Anwar juga mengetahui bahawa kesnya dengan bekas pembantunya Saiful Bukhari akan disebut semula pada bulan Februari. Kes keduanya untuk menghalang peguam kanan DS Shafiee Abdullah juga didengar pada bulan Februari.

Anwar dan PKR mahukan PRK yang segera dan cepat. Pertama, kerana mereka masih beranggapan kemenangan di Kajang semasa PRU13 masih harum lagi, dan mereka sangat yakin akan memenangi Kajang semula. Mereka lupa, bekas pemimpin mereka Zaid Ibrahim pun tewas kepada bekas guru Datuk P. Kamalnathan.

Makanya, jika rakyat Kajang tiada wakil rakyatnya jangan salahkan sesiapa pun. Salahkan penyandangnya yang meletak jawatan tanpa sebab, dan salahkan partinya (PKR) yang sudah pasti sudah membincangkan pengundurannya.

Bagi saya, Suruhajaya Pilihanraya Malaysia tidak perlu terburu-buru dalam kes Kajang. Mengapa perlu terikut-ikut dengan rentak PKR yang mengsengajakan PRK Kajang?




0 Komen:

Post a Comment

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan