DS NAJIB BERUSAHA BUAT TERBAIK KEPADA RAKYAT WALAU TAK POPULAR

on Saturday, March 8

SIDANG KEMUNCAK & DIALOG EKONOMI KEBANGSAAN

KUALA LUMPUR, 7 Mac - Perutusan Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sidang Kemuncak dan Dialog Ekonomi Kebangsaan, Jumaat tentunya merupakan satu jaminan kepada rakyat Malaysia yang merasai tekanan daripada peningkatan kos bahawa kebajikan mereka adalah perkara paling penting dalam dasar ekonomi kerajaan.

Perdana Menteri mengakui bahawa meskipun mengawal kewangan awam menerusi rasionalisasi subsidi agak perit dalam tempoh jangka pendek, langkah-langkah ini perlu bagi mengurangkan hutang dan perbelanjaan.

Itulah sebabnya mengapa reformasi subsidi, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan kenaikan tarif elektrik serta langkah-langkah lain, walaupun tidak popular, amat penting bagi menjamin keselamatan kewangan jangka panjang negara.

Beliau mengambil maklum tentang rakyat yang mempersoalkan keperluan langkah-langkah tersebut sedangkan negara mencatatkan data pertumbuhan yang lebih baik, peningkatan aktiviti runcit, angka perdagangan dan pelaburan yang mencatatkan rekod dan penarafan antarabangsa yang bertambah baik.

Ramai rakyat Malaysia mungkin merasakan pencapaian positif itu tidak memberi apa-apa makna kepada mereka, dan sesetengah mungkin mendakwa mereka lebih teruk sekarang.

Tetapi daripada pandangan makro, angka-angka ini, termasuk aliran masuk pelaburan, penting dalam mengembangkan ekonomi dan perniagaan Malaysia serta syarikat bersaiz kecil dan sederhana yang menggunakan khidmat berjuta-juta pekerja.

Seperti yang dijelaskan beliau, pertumbuhan ekonomi dan pelaburan menyediakan pekerjaan yang lebih baik, peluang baharu dan upah isi rumah tinggi.

Najib, yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun berkata majoriti senyap yang menyokong kerajaan dan dasar-dasarnya perlu bersuara agar majoriti rakyat boleh mendengar pandangan mereka.

Jelas sekali, ia adalah kes persepsi awam menjadi negatif kerana mesej tidak disampaikan dengan jelas kepada rakyat, yang mana itulah sebabnya mengapa beliau berkata kerajaan perlu melakukan yang lebih baik lagi bagi memasarkan pencapaian-pencapaian positifnya.

Seminar hari Jumaat, yang dianjurkan bersama oleh BERNAMA, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia dengan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli), menyediakan platform yang tepat pada masa bagi beliau untuk mengetengahkan usaha kerajaan meningkatkan lagi ekonomi.

Acara itu disiarkan secara langsung oleh BERNAMA TV dan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), serta dimuatkan secara langsung di Bernama.com.

"Sejak beberapa bulan lepas, ekonomi Malaysia menjadi topik hangat.

"Semua orang bercakap tentang subsidi, tol dan cukai. Ahli politik dan golongan cerdik pandai membuat pelbagai kenyataan tentang mengapa harga naik atau apa yang perlu dilakukan," kata Najib pada permulaan ucaptama beliau.

Menurut Najib beliau faham rakyat melihat harga naik namun tidak faham mengapa ia perlu naik. "Saya faham yang sesetengah orang merasakan kami melakukan terlalu banyak, dari segi reformasi, terlalu pantas.

"Itulah sebabnya mengapa saya mahu mengambil kesempatan ini untuk berucap menerusi platform ini kepada rakyat."

Malah, Najib menjelaskan dengan panjang lebar cabaran yang dihadapi negara dan mengapa kerajaan perlu bertindak sekarang kerana ia tidak lagi mampu menanggung bebanan subsidi yang melonjak naik di mana pada 2012 ia berjumlah sehingga RM44 bilion.

Berbanding subsidi menyeluruh, subsidi bersasar terbukti menjadi satu alternatif lebih baik, dan reformasi subsidi seumpama itu berjaya mendapat penarafan baik daripada luar yang dalam proses itu akan menggalakkan lebih banyak aliran masuk pelaburan ke dalam negara.

Langkah-langkah ini, yang kini dianggap sebagai tidak popular oleh rakyat, adalah penting untuk mengelakkan krisis ekonomi seperti yang dialami oleh beberapa negara zon Eropah disebabkan krisis kewangan mereka sendiri yang membawa kepada peningkatan hutang dan pemberhentian pekerja.

Najib menegaskan bahawa sebagai perdana menteri tanggungjawab utama beliau adalah untuk melindungi rakyat dan kedaulatan negara walaupun ia bermakna mengambil langkah tidak popular dan keputusan ekonomi yang sukar.

Kenyataan beliau bahawa beliau memilih untuk menjaga kepentingan jangka panjang negara mengatasi populariti jangka pendek menunjukkan contoh terpuji seorang pemimpin yang berazam untuk melakukan apa yang terbaik bagi rakyat dan negara.


BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan