ISU KESELAMATAN DI SABAH, CUBALAH PENDEKATAN SEJARAH & BUDAYA

on Wednesday, May 7

Muka Hadapan Berita Harian 7 Mei 2014
KEJADIAN penculikan kali kedua dalam masa yang terdekat di perairan Semporna dan Lahad Datu nampaknya semakin serius. Saya berpedapat mekanisme yang lain perlu difikirkan untuk menyelesaikan isu keselamatan di wilayah Esszone. 

Di sempadan bandar Tawau-Pulau Sebatik/Nunukan ianya sama suasananya dengan sempadan di Pengkalan Kubur,Kelantan-Thailand yang dipisahkan oleh Sungai Golok. Suasananya juga tidak berbeza dengan Sandakan-Zamboanga atau Semporna-pulau Jolo di Filipina.

Salah satu persamaannya ialah aktiviti ulang-alik antara dua buah negara ini berjalan sepanjang masa. Perniagaan batter-trade berlaku setiap hari. Suasana ini sudah berlaku sejak beratus tahun lamanya, bukan baharu. 

Ianya kerana dahulunya di Sabah sebelum datangnya penjajah, sudah wujud Kesultanan Brunei di pantai barat, Kesultanan Sulu di pantai timur dan Kesultanan Bolongan di Selatan Sabah. Tiga Kesultanan besar ini tidak boleh terpadam begitu sahaja. Sejarah tidak boleh dipadamkan, tetapi sejarah tetaplah menjadi sejarah pula. Walaupun Singapura itu dahulunya milik Kesultanan Johor dan Pulau Pinang itu milik Kesultanan Kedah (Pulau Pinang masih membayar sewa tahunan kepada Kedah), ianya tidak boleh diambil semula dengan cara yang mudah. 

Maka benarlah kata pengkaji sejarah seperti Profesor Samuel Huntington bahawa tiap-tiap bangsa itu akan mempunyai lebih daripada satu negaranya, tetapi mereka hanya mempunyai satu Tamadun sahaja. Sebab itulah, bangsa Cina ada di Indonesia, Filipina, Malaysia, Amerika, Australia tetapi Tamadun China hanya ada satu sahaja.

Begitu juga orang Sulu ada di Filipina, di Malaysia malah di Amerika tetapi Tamadun bangsa Sulu ada satu sahaja. Samalah seperti orang Bugis ada di Washington, Jerman, Belanda, Malaysia, Indonesia tetapi Tamadun bangsa Bugis ada satu sahaja. Begitulah juga Tamadun Arab, Tamadun Amerika, Tamadun Jepun dan sebagainya.

Di Sempadan Tawau-Pulau Sebatik/Nunukan, beratus tahun tidak pernah ada penculikan, tidak pernah ada serangan, kehidupan sempadan di sana aman dan damai. Apakah sebabnya? Mengapakah di Semporna dan Lahad Datu sering berlaku serangan dari luar dan penculikan? Sudah tentu jawapannya boleh dilihat apabila kita mengkaji Sejarah dan Sosio-Budaya masyarakat di sempadan Tawau-Pulau Sebatek/Nunukan. 

Muka Hadapan Sinar 7 Mei 2014
SEJARAH, BUDAYA & AKTIVITI KENEGARAAN
Oleh itu, saya berpendapat kita perlu menggunakan pendekatan Sejarah dan Budaya untuk menyelesaikan isu keselamatan di Sabah. Ianya tidak semata-mata dengan jumlah tentera yang ramai, jumlah senjata yang banyak kerana terbukti kini kes penculikan masih berlaku.

Kita mesti mengkaji Sejarah dan Budaya masyarakat di sempadan Semporna/Lahad Datu. Sistem kemasyarakatan mereka, sistem perekonomian mereka, budaya kehidupan mereka, tamadun mereka dan sebagainya. 

Adalah sangat mustahil menghalang perhubungan di antara keluarga Sulu di Filipina dengan keluarga Sulu mereka di Sabah. Apatah lagi dengan kecanggihan teknologi zaman sekarang yang memungkinkan mereka mendapat maklumat yang lebih tepat dan cepat.

Oleh yang demikian, di samping kita memperkuatkan pertahanan negara di sempadan, perlu juga ada mekanisme lain khususnya dari sudut Sejarah dan Budaya untuk menyelesaikan isu-isu keselamatan di sempadan-sempadan di negeri Sabah.

Aktiviti-aktiviti Kenegaraan dan Patriotik perlu dilipatgandakan di kawasan Esszone. Saya tertarik dengan aktiviti-aktiviti Patriotik yang pernah dijalankan oleh Datuk Ibrahim Saad, Pengarah BTN Sabah seperti Konvoi Merdeka Jelajah Sabah dan Konvoi Merdeka Jelajah Borneo sambil mengadakan aktiviti-aktiviti Kenegaraan. Ianya patut diteruskan bukannya dimatikan, kerana ianya memberi kesan positif kepada rakyat Sabah dalam pembinaan sebuah nation building yang kukuh dan berjatidiri Malaysia. 

Saya tidaklah memberi kupasan yang detail di sini, cukuplah dengan memberikan buah fikiran ini sahaja sebagai sebuah lagi sumbangan idea saya kepada pihak kerajaan.










1 Komen:

Eddy, KK said...

Setuju, jimat lagi, panggil UMS UITM IPG NGO budaya dll buat research dan aktivity, then show how the history can help

Post a Comment

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan