SYARAHAN GABENOR SULAWESI SELATAN DI UKM SANGAT MENARIK

on Friday, June 20

Penulis Bersama Dr. H. Syahrul Yasin Limpo, Gabenor Sulawesi Selatan di Persada Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
SYARAHAN UTAMA Dr. H. Syahrul Yasin Limpo, Gabenor Sulawesi Selatan di Persada Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada 19 Jun 2014, dengan tajuk " KEPIMPINAN INDONESIA; PROSPEK DAN PERANANNYA DALAM KOMUNITI ASEAN" sangat mengujakan, hebat dan membuka minda.

Saya seharusnya memberi ucap Tahniah kepada Fakulti Sastera & Sains Sosial UKM dan IMSSIMA atas usaha ini.

Dr. H. Syahrul Yasin Limpo bukan calang-calang Gabenor, kerana pada tahun 2012 beliau termasuk di dalam 70 Ketua Daerah Terbaik Dunia dalam versi The City Mayor Foundation. Malahan, saya begitu tabik atas pencapaian Dr. H. Syahrul bilamana Sulawesi Selatan merupakan negeri (provinsi) terbaik 3 kali berturut-turut di Indonesia mencapai pendapatan perkapita tertinggi . Malahan pencapaian ekonomi Sulawesi Selatan itu melebihi angka di peringkat nasional.

Saya ingin mencatat beberapa inti daripada syarahan utama beliau antaranya mengenai gagasan keluarga besar ASEAN. Negara-negara ASEAN, menurut beliau perlu mempunyai kemahuan yang kuat, kerjasama yang lebih mapan, mengamalkan keterbukaan dalam aspek ekonomi supaya aktiviti ekonomi di ASEAN akan lebih berdaya saing dan memberi keuntungan kepada warga penduduknya.

Beliau melihat dengan penguasaan negara China sekarang dalam bidang ekonomi, negara-negara ASEAN pula mesti bersedia untuk menjadi sebuah kuasa ekonomi dalam jangkamasa 10 tahun akan datang.
Majalah KAREBA menunjukkan Pembangunan Mapan di Sulawesi Selatan
Pada pandangan saya, Indonesia yang kini menjadi 10 kuasa ekonomi dalam dunia (Bank Dunia 2013),harus menjadi pemimpin utama menggerakkan idea ASEAN sebagai kuasa ekonomi yang akan datang. 

Satu lagi idea Dr. H. Syahrul Yasin Limpo yang menarik ialah, 'bahawa mana-mana negara sudah tidak boleh hidup sendiri tanpa hubungan dengan negara lain'. Pendek kata, negara Indonesia memerlukan Malaysia, begitu juga Malaysia memerlukan Indonesia, termasuklah di negara-negara ASEAN yang lain. Yang menarik sekali, ialah perusahaan penanaman padi dan nenas oleh usahawan-usahawan Malaysia boleh ditanam di Sulawesi Selatan. Kemudiannya, hasilnya pula boleh dieksport oleh usahawan-usahawan Malaysia itu ke negara-negara Korea, Jepun dan China. Ianya suatu perkongsian ekonomi yang sungguh menarik.

Dalam pada itu, saya memuji Dr. H. Syahrul Yasin Limpo kerana usahanya memartabatkan Pendidikan di Sulawesi Selatan sangat mengujakan. Beliau telah memberikan pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Pendidikan percuma juga diberikan kepada mahasiswa di tahun pertama. Malahan, Gabenor Sulawesi Selatan begitu berpandangan jauh apabila menghantar lebih 300 pelajar PhD setiap tahun ke luar negara melalui "Program Pendoktoran Provinsi Sulawesi Selatan".

Maka, apabila adanya seorang peserta dari Andalas seolah mempersoal di manakah Gabenor Sulawesi Selatan itu mendapatkan dana-dana ini, saya fikir itu pertanyaan yang tidak pantas. Sudah tentu kerana kebijakan Dr. H. Syahrul Yasin Limpo mencari dana itu tidak perlu dipertikaikan jika dilihat pencapaian Sulawesi Selatan yang mengatasi pencapaian nasional. Kemenangan beliau dalam dua period sebagai Gabenor Sulawesi Selatan membuktikan kepercayaan rakyatnya kepada kepimpinan beliau.

Sayang sekali masa begitu terhad dalam Syarahan Utama ini. Apapun, peserta yang memenuhi Auditorium Persada Canselori kelihatan sangat berpuas hati.
Bandaraya Makasar di Sulawesi Selatan Semakin Berkembang Maju
Berbalik di negara kita, ketika mula-mula dilantik sebagai Presiden UMNO, DS Najib Tun Razak juga mempunyai aspirasi yang tinggi, di antaranya beliau mahukan supaya wakil-wakil rakyat UMNO memiliki pendidikan yang tinggi, sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda. Walaupun ianya agak sukar dilaksanakan, tetapi keberkesanannya boleh dilihat dengan kejayaan yang dibuktikan oleh Gabenor Sulawesi Selatan, seorang pemegang Doktor PhD Undang-Undang  (Hukum Tata Negara) yang berjaya merobah Sulawesi Selatan menjadi sebuah negeri yang terhebat di Indonesia. 

Dr. H. Syahrul Yasin Limpo, dalam syarahannya itu, membuktikan dan mendedahkan, bahawa sesebuah masyarakat itu, sesebuah bangsa itu, sesebuah negeri dan negara itu boleh diangkat martabatnya dengan ilmu dan pendidikan.

Kita harus mencontohi kejayaan Dr. H. Syahrul Yasin Limpo, Gabenor Sulawesi Selatan merobah Sulawesi Selatan menjadi sebuah kuasa baharu negara Indonesia dan di peringkat ASEAN.




TNB PERLU KREATIF ATASI ISU BIL ELEKTRIK YANG MENGGILA-GILA

on Monday, June 16

TNB (Tenaga Nasional Berhad) merupakan salah sebuah syarikat di bawah seliaan kerajaan. Baru-baru ini, kita didedahkan isu IPP (Syarikat Pengeluar Tenaga Swasta) yang diwujudkan kerana ketidakmampuan TNB memberi perkhidmatan tenaga elektrik yang semakin tinggi pada setiap masa.

Isu yang lebih besar ialah, kenaikan Tarif Elektrik pada awal tahun 2014 baru-baru ini kini mula dirasai oleh seluruh rakyat. Semuanya marah termasuklah kakitangan kerajaan sendiri, jiran-jiran, khususnya mereka yang duduk di pinggir bandar, bandar-bandar dan kosmopolitan seperti Kuala Lumpur. 

Pada pandangan saya, TNB perlu lebih kreatif untuk mengatasi isu kenaikan Bil Elektrik akibat daripada kenaikan Tarif Elektrik. Tidak ada gunanya TNB membentang Laporan Tahunan setiap tahun dengan sekian jumlah keuntungan dan sekian jumlah peningkatan kos seandainya rakyat terbeban.

BELI SAHAM IPP
Saya tidak ingin mengulas isu IPP, jika saya menjadi wakil rakyat, saya akan cadangkan kepada Parlimen supaya kerajaan membeli semua saham-saham IPP dan serahkannya kepada TNB atau sebuah perbadanan tenaga yang lebih efisyen. Malangnya saya hanya seorang penulis sahaja.

Saya juga tidak hendak menulis tentang harga yang terpaksa TNB beli daripada IPP, ianya memang tidak masuk akal. Itu urusan TNB dan IPP, tetapi jangan membiarkan isu ini berpanjangan kerana rakyat sekarang sangat cerdik, malah mereka boleh mendapat maklumat dalaman TNB dengan mudah. 

CADANGAN
Saya hanya mahu mencadangkan supaya TNB merombak cara membayar Bil Elektrik yang dibebani oleh pengguna isi rumah. 

1. Pembayaran Bil Elektrik hendaklah dipermudahkan. Contohnya, jika Bil Elektrik seseorang pengguna itu RM500.00 selepas kenaikan Tarif Elektrik baru-baru ini. Sudah tentu mereka yang bergaji di antara RM1,000 hingga RM3,000 sebulan di bandar-bandar menghadapi masalah kerana mereka juga perlu membayar Bil Air, Bil Astro/Bil Unifi, Minyak Kereta, Sewa Rumah, Ansuran Rumah, Ansuran Kereta, sekolah anak, Bil Handphone dan pelbagai lagi.

Jika TNB boleh memberi diskaun bayaran Bil Elektrik kepada kakitangannya, mengapa rakyat tidak boleh diberi diskaun? Oleh itu, semua pengguna mesti diberikan diskaun Bil Elektrik bukannya RM20.00 tetapi sama dengan apa yang dinikmati oleh kakitangan TNB, sama ada RM80.00 atau RM100.00 atau angka lain sesuai dengan perkiraan yang seadilnya. 

2. Kaedah membayar secara ansuran mengikut kemampuan pengguna perlu diperkenalkan. Contohnya, jika Bil Elektrik pengguna naik mendadak kepada RM300 atau RM500, mereka hendaklah diberi kebenaran membayar sebanyak dua kali. Manakala Bil Elektrik bulan seterusnya dibawa ke hadapan. Format ini boleh diselaraskan untuk tempoh setahun, di mana pengguna diberi peluang menjelaskannya dalam tahun tersebut sahaja. Manakala untuk tahun akan datang, ianya dikira semula dengan Bil Elektrik bulan Januari.

3. TNB hendaklah mempunyai perasaan kemanusiaan yang tinggi kepada rakyat. Saya mendengar terdapat banyak pasaraya-pasaraya, gudang-gudang dan kilang-kilang yang liat membayar Bil Elektrik walaupun sudah mencecah jutaan ringgit

Malangnya, TNB tidak dapat memaksa mereka atau memotong elektrik mereka kerana terdapat halangan-halangan yang tidak dapat diatasi oleh pihak TNB. Tidak perlulah saya detailkan halangan-halangan itu di sini. Begitulah juga dengan pengguna persendirian, TNB perlu lebih bertimbangrasa dan membantu mengurangkan bebanan mereka.

Saya ingin membantu TNB dan saya ingin membantu kerajaan, maka inilah cara saya, supaya rakyat boleh membayar Bil Elektrik mereka dengan tidak rasa terbeban dan lebih bertanggungjawab.

TNB patut membuka mata, jangan membiarkan rakyat menyalahkan Perdana Menteri dan kerajaan kerana Perdana Menteri sudah memberi kepercayaan kepada TNB untuk mengurus isu tenaga dengan bijaksana. 

Kita mesti berani memberi Laporan yang tepat kepada Perdana Menteri walaupun buruk atau pahit, kerana setiap laporan yang kurang tepat akan menghasilkan tindakan yang silap. Yang akan menerima kesannya ialah rakyat dan kerajaan. Manakala TNB seperti dahulunya LLN (Lembaga Letrik Negara) boleh diberhentikan bila-bila masa dan digantikan dengan perbadanan lain yang lebih efisyen.

Jika TNB tidak berjaya menguruskan isu Bil Elektrik yang sedang menggila sekarang, saya bimbang ianya akan menjejaskan kemaslahatan negara kita.

Saya mohon mencadang.
Bagaimana pandangan anda?









Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan