SYARAHAN GABENOR SULAWESI SELATAN DI UKM SANGAT MENARIK

on Friday, June 20

Penulis Bersama Dr. H. Syahrul Yasin Limpo, Gabenor Sulawesi Selatan di Persada Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
SYARAHAN UTAMA Dr. H. Syahrul Yasin Limpo, Gabenor Sulawesi Selatan di Persada Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada 19 Jun 2014, dengan tajuk " KEPIMPINAN INDONESIA; PROSPEK DAN PERANANNYA DALAM KOMUNITI ASEAN" sangat mengujakan, hebat dan membuka minda.

Saya seharusnya memberi ucap Tahniah kepada Fakulti Sastera & Sains Sosial UKM dan IMSSIMA atas usaha ini.

Dr. H. Syahrul Yasin Limpo bukan calang-calang Gabenor, kerana pada tahun 2012 beliau termasuk di dalam 70 Ketua Daerah Terbaik Dunia dalam versi The City Mayor Foundation. Malahan, saya begitu tabik atas pencapaian Dr. H. Syahrul bilamana Sulawesi Selatan merupakan negeri (provinsi) terbaik 3 kali berturut-turut di Indonesia mencapai pendapatan perkapita tertinggi . Malahan pencapaian ekonomi Sulawesi Selatan itu melebihi angka di peringkat nasional.

Saya ingin mencatat beberapa inti daripada syarahan utama beliau antaranya mengenai gagasan keluarga besar ASEAN. Negara-negara ASEAN, menurut beliau perlu mempunyai kemahuan yang kuat, kerjasama yang lebih mapan, mengamalkan keterbukaan dalam aspek ekonomi supaya aktiviti ekonomi di ASEAN akan lebih berdaya saing dan memberi keuntungan kepada warga penduduknya.

Beliau melihat dengan penguasaan negara China sekarang dalam bidang ekonomi, negara-negara ASEAN pula mesti bersedia untuk menjadi sebuah kuasa ekonomi dalam jangkamasa 10 tahun akan datang.
Majalah KAREBA menunjukkan Pembangunan Mapan di Sulawesi Selatan
Pada pandangan saya, Indonesia yang kini menjadi 10 kuasa ekonomi dalam dunia (Bank Dunia 2013),harus menjadi pemimpin utama menggerakkan idea ASEAN sebagai kuasa ekonomi yang akan datang. 

Satu lagi idea Dr. H. Syahrul Yasin Limpo yang menarik ialah, 'bahawa mana-mana negara sudah tidak boleh hidup sendiri tanpa hubungan dengan negara lain'. Pendek kata, negara Indonesia memerlukan Malaysia, begitu juga Malaysia memerlukan Indonesia, termasuklah di negara-negara ASEAN yang lain. Yang menarik sekali, ialah perusahaan penanaman padi dan nenas oleh usahawan-usahawan Malaysia boleh ditanam di Sulawesi Selatan. Kemudiannya, hasilnya pula boleh dieksport oleh usahawan-usahawan Malaysia itu ke negara-negara Korea, Jepun dan China. Ianya suatu perkongsian ekonomi yang sungguh menarik.

Dalam pada itu, saya memuji Dr. H. Syahrul Yasin Limpo kerana usahanya memartabatkan Pendidikan di Sulawesi Selatan sangat mengujakan. Beliau telah memberikan pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Pendidikan percuma juga diberikan kepada mahasiswa di tahun pertama. Malahan, Gabenor Sulawesi Selatan begitu berpandangan jauh apabila menghantar lebih 300 pelajar PhD setiap tahun ke luar negara melalui "Program Pendoktoran Provinsi Sulawesi Selatan".

Maka, apabila adanya seorang peserta dari Andalas seolah mempersoal di manakah Gabenor Sulawesi Selatan itu mendapatkan dana-dana ini, saya fikir itu pertanyaan yang tidak pantas. Sudah tentu kerana kebijakan Dr. H. Syahrul Yasin Limpo mencari dana itu tidak perlu dipertikaikan jika dilihat pencapaian Sulawesi Selatan yang mengatasi pencapaian nasional. Kemenangan beliau dalam dua period sebagai Gabenor Sulawesi Selatan membuktikan kepercayaan rakyatnya kepada kepimpinan beliau.

Sayang sekali masa begitu terhad dalam Syarahan Utama ini. Apapun, peserta yang memenuhi Auditorium Persada Canselori kelihatan sangat berpuas hati.
Bandaraya Makasar di Sulawesi Selatan Semakin Berkembang Maju
Berbalik di negara kita, ketika mula-mula dilantik sebagai Presiden UMNO, DS Najib Tun Razak juga mempunyai aspirasi yang tinggi, di antaranya beliau mahukan supaya wakil-wakil rakyat UMNO memiliki pendidikan yang tinggi, sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda. Walaupun ianya agak sukar dilaksanakan, tetapi keberkesanannya boleh dilihat dengan kejayaan yang dibuktikan oleh Gabenor Sulawesi Selatan, seorang pemegang Doktor PhD Undang-Undang  (Hukum Tata Negara) yang berjaya merobah Sulawesi Selatan menjadi sebuah negeri yang terhebat di Indonesia. 

Dr. H. Syahrul Yasin Limpo, dalam syarahannya itu, membuktikan dan mendedahkan, bahawa sesebuah masyarakat itu, sesebuah bangsa itu, sesebuah negeri dan negara itu boleh diangkat martabatnya dengan ilmu dan pendidikan.

Kita harus mencontohi kejayaan Dr. H. Syahrul Yasin Limpo, Gabenor Sulawesi Selatan merobah Sulawesi Selatan menjadi sebuah kuasa baharu negara Indonesia dan di peringkat ASEAN.




0 Komen:

Post a Comment

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan