GAMBAR SABAH TURUT SERTA SAMBUTAN MERDEKA 31 OGOS 1963

on Sunday, August 31

SABAH TURUT SERTA MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN PADA 31/8/1963
TETAP DIINGATI BAPA KEMERDEKAAN NEGERI SABAH ALLAHYARHAM TUN DATU MUSTAPHA

AMANAT YAB PERDANA MENTERI
SEMPENA HARI KEMERDEKAAN 31/8/2014:-

Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi menggariskan tiga amanat penting merdeka demi kesinambungan negara bangsa supaya terus gagah bersaing di persada antarabangsa.

Perdana Menteri berkata, amanat merdeka pertama iaitu mengukuhkan solidariti rakyat Malaysia dalam menghadapi pahit getir cabaran, berdepan dengan dugaan, termasuk kebersatuan dalam kesedihan.

Amanat merdeka kedua ialah memupuk keyakinan bahawa kita mampu mencapai apa jua cita-cita sebagai sebuah negara bangsa jika wujudnya kebersatuan.

Amanat merdeka ketiga pula ialah mewariskan sebuah Malaysia yang makmur lagi sejahtera.

VIDEO PETRONAS "MERDEKA AND MALAYSIA DAY 2014" AMAT MENGECEWAKAN

on Thursday, August 28


Kementerian Komunikasi - Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta


PETRONAS Merdeka and Malaysia Day 2014


MAS : Terbang "A Malaysian Story"


Maxis Merdeka 2014 : It's Ok. We're Family

Beberapa konglomerat besar seperti MAS, PETRONAS dan MAXIS menunjukkan jati diri mereka dengan menghasilkan lagu tema sempena Hari Kemerdekaan negara kita yang ke-57. Saya mengucapkan tahniah kepada mereka, termasuklah Kementerian Komunikasi kerana setiap tahun menghasilkan produk kemerdekaan untuk tatapan rakyat Malaysia.

Saya ingin memberi sedikit pandangan bahawa ramai orang di Sabah dan Sarawak tidak begitu gembira khususnya penggunaan perkataan "Malaya Merdeka" di awal-awal plot merdeka oleh Petronas. Apabila anda hightlightkan "Malaya" ianya sesuatu yang sensitif di mata orang Sabah dan Sarawak, apatah lagi gambaran seawalnya dihightlightkan dalam filem pendek itu.

Dari aspek sejarah pula, kenapa tidak guna "Tanah Melayu Merdeka"?. Dari segi sejarah, Federation of Malaya (1948) adalah di bawah pentadbiran kerajaan British, manakala Persekutuan Tanah Melayu (1957) yang merdeka adalah di bawah pentadbiran sepenuhnya oleh kerajaan Perikatan. Malaya itu juga adalah daripada pemikiran western centric sedangkan kita sudah 57 tahun merdeka, gunakanlah Malaysia centric.

Apabila kita highlightkan "Malaya Merdeka" ia memberi konotasi negatif kepada rakyat Malaysia terutama orang Sabah dan Sarawak, kerana penggunaan perkataan Malaya, bermaksud kita memisah-misahkan konsep kebersamaan di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah/Sarawak. Kita seharusnya memerdekakan minda supaya dapat menghasilkan sebuah karya yang lebih merdeka sifatnya.

Kesan kedua ialah, apakah perasaan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak apabila kita hightlightkan perkataan "Malaya Merdeka"? Ramai yang menghantar mesej kepada saya bahawa mereka kurang gembira dengan penghasilan lagu tema Merdeka 2014 oleh Petronas kali ini. Bermaksud, anda sudah memisah-misahkan malah menjauhkan semangat kekitaan di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah/Sarawak.

Kita sepatutnya menunjukkan perasaan satu hati kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Sambutan kemerdekaan hendaklah dengan perasaan gembira, bangga dan adanya perasaan kekitaan. Saya sering menekankan a sense of belonging. Kita adalah rakyat Malaysia yang sudah 57 tahun merdeka, bukannya rakyat Malaya atau rakyat Sabah atau rakyat Sarawak.

Plot cerita dalam video Petronas pun kelihatan agak kelam-kabut di mana pengkisahan kemerdekaan Sabah dan Sarawak semasa pembentukan Malaysia tidak pula hightlightkan tokoh-tokoh Sabah dan Sarawak semasa melaungkan perkataan 'Merdeka' di Padang Merdeka Kota Kinabalu dan Kuching. 

Ianya seolah-olah karya copy and paste sahaja. Sepatutnya wajah allahyarham Tun Fuad Stephens (Sabah) Stephen Kalong Ningkan (Sarawak) dimasukkan di dalam video itu kerana tema yang dibawa oleh Petronas ialah tentang sejarah kemerdekaan. 

Di Arkib Negara, Jalan Duta ada banyak filem-filem sambutan Sabah dan Sarawak merdeka pada tahun 1963. Hanya orang yang malas sahaja tidak ke sana untuk mengoreksi filem-filem cantik suasana kemerdekaan pada ketika itu. 

Aspek sensitiviti dan implikasi video merdeka Petronas nampaknya tidak diberi perhatian. Adakah anda bermaksud Sabah dan Sarawak itu suatu bahagian yang berasingan dari Malaysia? Anda sedang membina gambaran sedemikian rupa!.

Saya berharap, Petronas akan lebih berhati-hati semasa menghasilkan produk kemerdekaan pada tahun akan datang. Saya dapati tahun-tahun sebelumnya agak menarik, saya tidak pasti kenapa tahun ini berlaku sedikit kelemahan.

Kita mesti memandang ke hadapan, negara ini adalah milik kita semua rakyat Malaysia sama ada di Semenanjung Malaysia atau di Sabah dan Sarawak. Saya percaya, tidak ada satu pun rakyat Malaysia yang memiliki kenderaan tidak pernah mengisi minyak kereta mereka di stesen minyak Petronas.

Lihat bagaimana MAS melakukannya di atas, ia sungguh menyentuh perasaan sayang dan gembira kepada negara. Bukannya perasaan geram dan marah. 

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-57.
Di Sini Bermulanya Sebuah Cinta.





WARKAH KEPADA TUANKU SULTAN SELANGOR

on Wednesday, August 13

DYMM SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH AL-HAJ SULTAN SELANGOR
Ampun Tuanku Sembah Patik Mohon Diampun,

Adapun patik merafak sembah warkah ini kerana rasa bangga patik kepada Tuanku, tatkala kerajaan di bawah negeri Tuanku berada di dalam cacamerba, Tuanku muncul menjadi penyelamat daripada negeri Selangor rosak binasa.

Tuanku telah membuktikan kepada seluruh pelusuk gugusan nusantara Melayu ini, betapa Tuanku telah mengangkat martabat Kesultanan Raja-Raja Melayu di singgahsananya. Bahawa Raja-Raja Melayu masih berdaulat, ada daulahnya dan senantiasa di bawah lindungan Allah SWT.

Tuanku, 

Tatkala musuh dalam selimut begitu rakus menggila, ketika negeri Tuanku dibelasah oleh mereka yang tamak haloba, bilamana negeri Tuanku diperhina oleh mereka yang buta sejarah...Tuanku telah menunjuk jalan bahawa Raja-Raja Melayu daulahnya akan digunakan apabila sampai masanya, bahawa daulah Tuanku boleh mematikan apa jua kesombongan mereka yang buta hati, bahawa daulah Tuanku jua memberi jalan kebahagiaan kepada rakyat jelata Tuanku.

Patik sungguh rasa bangga dan terharu, sebagai orang Melayu yang duduk di tanah jajahan Tuanku, patik mohon menyampaikan khabar gumbira bahawa rakyat jelata Tuanku berasa sungguh-sungguh bertuah dan menumpahkan lagi kasih sayangnya kepada Tuanku di atas kebijaksanaan Tuanku menyelesaikan kemelut politik di negeri jajahan Tuanku ini.

Sesungguhnya hari ini menjadi sejarah yang terbukti, bahawa tanah Melayu ini ada Rajanya, Rajanya ada di singgahsana, Rajanya menjadi penyelamat di kala kitul-kitul bermaharajalela. Syabas Tuanku.

Semoga Allah SWT memberikan hidayahNYA kepada Tuanku untuk terus memerintah negeri Selangor ini dengan aman dan sejahtera.

Daulat Tuanku.


BUBAR DEWAN UNDANGAN NEGERI SELANGOR LANGKAH PALING TEPAT, TUNGGU SULTAN

on Sunday, August 10

RAJA NEGERI SELANGOR
KEMELUT negeri Selangor nampaknya semakin terok, memberi gambaran bahawa parti-parti yang bergabung di bawah Pakatan Rakyat gagal meneruskan suasana aman di negeri tuanku Sultan.

Pemecatan TS Khalid Ibrahim sebagai ahli PKR memberi kesan besar kepada kedudukan kerusi PKR dari 14 kepada 13 sahaja, berbanding PAS 15, DAP 15 dan BN 12 dan BEBAS 1 (TSKI). 

Usaha DS Anwar untuk melantik isterinya menjadi Menteri Besar Selangor masih gagal memandangkan parti terbesar dalam PR iaitu PAS menentang. 

Persoalannya, ke mana Menteri Besar hendak mengadu? Mengadu kepada partinya PKR tidak dilayan malah dia dipecat. Mengadu kepada PAS dilayan tetapi tindakan PAS masih menunggu dan melihat.

Jadi, jalan keluar krisis di Selangor kini terletak di tangan Sultan Selangor. Undang-undang Tubuh Negeri Selangor jelas menunjukkan bahawa hanya Sultan Selangor berhak melantik Menteri Besar bagi negeri di bawah takluknya.  

Sultan Selangor juga berhak memanggil Menteri Besar untuk mengarahkannya membubarkan Kerajaan Selangor dan mengembalikannya semula kepada rakyat memilih kerajaan yang baharu.

Krisis yang sama pernah berlaku ke atas kerajaan negeri Sabah semasa PBS (Parti Bersatu Sabah) menang pada tahun 1985. Oleh kerana kedudukan PBS dalam DUN Sabah 25 berbanding USNO/BERJAYA/PASOK 23, maka PBS mengambil langkah drastik membubarkan DUN Sabah walaupun usianya tidak sampai setahun. Dalam pilihanraya kedua itu, PBS menang besar 34 kerusi berbanding USNO 12 kerusi dan BERJAYA  dan PCBS masing-masing menang 1 kerusi. Maka selesailah masalah kerajaan negeri Sabah.

Oleh itu, saya mencadangkan kepada TSKI supaya merafak sembah kepada tuanku Sultan Selangor sebagai Ketua Negeri Selangor untuk mencadangkan pembubaran DUN Selangor. Hasilnya nanti sudah pasti akan menyelesaikan krisis Selangor dengan penubuhan sebuah kerajaan baharu yang lebih jelas memenuhi kehendak rakyat Selangor sendiri.

Negeri Selangor tidak boleh dibiarkan berterusan krisis kerana Selangor adalah jantung kepada negara kita Malaysia. Di Selangorlah terletaknya Kuala Lumpur ibukota Malaysia dan turun naik ekonomi, keamanan dan politik banyak berpusat di Selangor. Maka jika Pakatan Rakyat membiarkan krisis ini berterusan, sudah pasti rakyat Selangor menjadi benci dan meninggalkan sokongan mereka kepada PR.


KISAH SEDIH KAKITANGAN LHDN AMAT MENGINSAFKAN

on Saturday, August 9

SEBELUM ini, saya mendengar ramai rakan-rakan sekerja mengeluh, marah-marah ada yang menyumpah-nyumpah apabila menyebut nama LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri). Nama LHDN bagaikan racun dan musuh yang sangat dibenci dalam kehidupan seharian, begitulah gambaran perasaan benci dan amarah mereka.

BERUBAH PERSEPSI & MENGALIR AIR MATA
Namun, baru-baru ini saya telah bertemu dengan seorang kakitangan LHDN. Saya mengambil peluang untuk bertanyakan hal-hal mengenai LHDN.

"Saudara, kami di LHDN punya tanggungjawab yang sangat besar untuk pembangunan negara dan rakyat kita. Kami bekerja memungut cukai bukan untuk masuk ke dalam poket kami, satu sen pun wang itu tiada masuk ke dalam akaun LHDN. Semua cukai tersebut diserahkan kepada Kementerian Kewangan sebagai wang hasil negara", dia memulakan bicaranya. Saya mendengar dengan tekun.

"Saudara tahu tak, ketika saudara diberi kelonggaran mengisi borang cukai tahunan melalui online sehingga bulan Mei, kami di LHDN dikehendaki mengisinya seawal bulan Februari, kerana sebelum kami memungut cukai orang lain kami memungut cukai kakitangan LHDN terlebih dahulu". Dia dengan tenang menceritakan kepada saya.

"Orang di luar LHDN bukannya tahu perasaan dan kesukaran kami. Adakah mereka tahu ada di antara kami menerima cercaan dan penghinaan ketika menjalankan tugas, kami mendatangi rumah mereka yang liat membayar cukai tetapi kami berhadapan isu keselamatan yang amat menakutkan. Ada di antara premis mereka mempunyai security yang amat mendebarkan".

Bayangkan antara kata-kata mereka, "kami penat-penat cari wang, kamu senang-senang mahu ambil!".

"Bayangkan juga tatkala kami memeriksa akaun pendapatan dan perbelanjaan syarikat mereka, kami kadangkala berhadapan suasana yang menyeramkan". ceritanya lagi. 

"Namun kami tabahkan hati, kami ketepikan perasaan takut kami, demi negara kita, supaya negara kita mempunyai dana yang mencukupi untuk perbelanjaan pembangunan, perbelanjaan mengurus, supaya rakyat kita dapat menikmati kemudahan pendidikan yang sempurna, kemudahan kesihatan terbaik dan sebagainya".

"Kami bukan bekerja untuk mencari bonus lebihan, berapa bonus kakitangan kerajaan dapat begitulah juga yang kami dapat".

Mendengarkan semua itu, air mata saya seakan mula bergenang. Persepsi saya kepada LHDN sedikit demi sedikit berubah. Kebencian dan kemarahan kepada LHDN berubah kepada keazaman untuk membantu LHDN.

Sebenarnya banyak lagi perkara yang kita tidak ketahui, kerana LHDN bukan bekerja untuk mencari populariti sebaliknya LHDN bekerja untuk kesenangan semua rakyat Malaysia tanpa mengira warna kulit dan fahaman politik.

Akhir kata, dengan sedikit cerita ini, marilah kita menyedari bahawa dengan cukai pendapatan yang kita berikan memberi kesan yang amat besar kepada kemaslahatan rakyat dan negara Malaysia. Semoga dengan sedikit cerita ini, kita akan lebih bertanggungjawab dan sifat kebertanggungjawaban itu diserlahkan dengan kegembiraan membayar cukai pendapatan dengan penuh rasa patriotik .

Tahniah saya ucapkan kepada CEO LHDN, pengurusan tertinggi dan kakitangan LHDN di seluruh negara atas tugas serta usaha mereka untuk memastikan negara berada di atas landasan yang tepat ke arah sebuah negara maju menjelang tahun 2020.


BAJET 2015 PERLU BERSIFAT PATRIOTIK

on Thursday, August 7

PATRIOTIK
NEGARA kita Malaysia mempunyai kira-kira 6 tahun lagi untuk sampai ke tahun 2020 iaitu sasaran untuk mencapai status negara maju.

Saya ingin mengajak YAB Perdana Menteri supaya memberi fokus kepada menanam nilai-nilai Patriotisme dalam Bajet 2015 nanti. Saya amat bimbang melihat kesedaran Ketatanegaraan rakyat Malaysia semakin lemah, antaranya disebabkan oleh fenomena global khususnya kesan besar medium internet.

NEGARA CHINA
Kita ambil contoh negara China bukan sahaja terkenal kerana Tembok Besar, atau Terracotta, atau negara bangsa yang dapat kekal sebagai negara komunis tetapi lebih daripada itu. China sejak dahulu lagi mempunyai maruah yang tinggi sebagai sebuah negara yang mula mengenalkan mata wang kertas, candu dan gun-powder, tetapi tidak pernah menakluki negara-negara lain walaupun mereka mempunyai kemampuan berbuat begitu sejak abad ke-12 lagi setelah berjaya mencipta kompas magnetik untuk kegunaan navigasi dan serbuk letupan untuk pembuatan senjata.

Admiral Cheng Ho, seorang pelayar China beragama Islam telah mulakan pelayaran sejak kecil lagi. Bersama armada seramai lebih 12 ribu orang anak kapal dan menggunakan kapal-kapal besar, mereka dapat menjelajah sehingga ke negara-negara Afrika dan Sepanyol pada tahun 1403-1405. Berbanding dengan pelayar-pelayar Barat seperti Magellan dan Vasco da Gama yang belayar seabad kemudian. Vasco pada tahun 1497-1500 manakala Magellan pula pada tahun 1519-1522.

Barat menidakkan kejayaan China, walaupun mereka kemudiannya memperkembangkan teknologi berkaitan wang kertas kepada wang plastic (kad ATM), candu kepada dadah dan serbuk letupan (gun powder) kepada senjata pemusnah besar-besaran (WMD). Kejayaan negara China bukan terhenti di situ sahaja malah terus membangun dengan pesatnya.

Salah satu faktor kehebatan negara China itu ialah kematangan tamadun dan semangat Patriotisme rakyatnya. Tamadunnya dikaitkan dengan ilmu-ilmu kefalsafahan, matematik, perubatan, atronomi, sains dan kesenian. Kejituan patriotisme China pula telah dapat menghasilkan dua struktur binaan terbesar di dunia iaitu Tembok Besar dan takungan air (dam) dan hidro elektrik di Sungai Yangtze.

Dari titik mula perkembangan, China diperintah oleh lebih daripada 20 dinasti beraja sehingga 1911 apabila dinasti terakhir dijatuhkan dengan munculnya nasionalis China (Guomintang) pimpinan Sun Yat Sen. 

Nasionalis China pula dikalahkan oleh "Gong Chang Dang" atau lebih dikenali sebagai Parti Komunis China, pimpinan Mao Zedong. Jika disusuli secara kritikal perkembangan sejarah China, kita akan mendapati sejarah China juga ada menghadapi perpecahan, peperangan, rampasan kuasa dan segala macam konflik, dari berabad lamanya hingga kepada pendudukan Barat dan Jepun.

Namun China telah bersatu padu dan pada hari ini juga perpaduan yang digembeling oleh kerajaan China adalah berdasarkan semangat patriotisme yang tinggi.(Shao Ying)

CADANGAN
1. Memberi tumpuan kepada aspek ekonomi semata-mata boleh memberi malapetaka kepada negara jika melupakan aspek Patriotik. Negara China maju kerana rakyatnya Patriotik. 

2. Mengapakah sebilangan rakyat Malaysia menterbalikkan Jalur Gemilang? memijak Jalur Gemilang? dan terkini merosakkan imej DYMM Seri Paduka Baginda YDA Agong sebagai lambang Perpaduan Negara. Walhal ianya perbuatan tidak Patriotik kepada negara sendiri. Jawapannya mudah, kerana di dalam hati mereka tidak mempunyai semangat Cinta Negara, tidak Patriotik dan tiada semangat kekitaan. Mereka tidak dapat membezakan kepentingan Negara dengan kepentingan fahaman politik mereka. Sepatutnya, apabila berhadapan sesuatu isu mengenai Negara sendiri, kita hendaklah bersatu hati.

3. Saya mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan Majlis Patriotisme Negara di mana badan ini akan menjadi badan pemikir cara-cara untuk menyemai, mendidik dan meningkatkan Patriotisme rakyat Malaysia dari aspek politik, sosial dan ekonomi. 

Pendek kata, negara boleh hancur jika hanya dengan kekuatan ekonominya tanpa semangat jati diri yang kental. 

Tatkala kita menempuhi saat-saat getir dengan tragedi MH370 dan MH17 juga isu keselamatan di Sabah, apakah yang paling penting kepada negara kita? Patriot !
Baca Ulangan Ini


Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Bakal Diterbitkan

Yayasan Pendidikan Islam

Buku Tun Mahathir

Pengunjung