KISAH SEDIH KAKITANGAN LHDN AMAT MENGINSAFKAN

on Saturday, August 9

SEBELUM ini, saya mendengar ramai rakan-rakan sekerja mengeluh, marah-marah ada yang menyumpah-nyumpah apabila menyebut nama LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri). Nama LHDN bagaikan racun dan musuh yang sangat dibenci dalam kehidupan seharian, begitulah gambaran perasaan benci dan amarah mereka.

BERUBAH PERSEPSI & MENGALIR AIR MATA
Namun, baru-baru ini saya telah bertemu dengan seorang kakitangan LHDN. Saya mengambil peluang untuk bertanyakan hal-hal mengenai LHDN.

"Saudara, kami di LHDN punya tanggungjawab yang sangat besar untuk pembangunan negara dan rakyat kita. Kami bekerja memungut cukai bukan untuk masuk ke dalam poket kami, satu sen pun wang itu tiada masuk ke dalam akaun LHDN. Semua cukai tersebut diserahkan kepada Kementerian Kewangan sebagai wang hasil negara", dia memulakan bicaranya. Saya mendengar dengan tekun.

"Saudara tahu tak, ketika saudara diberi kelonggaran mengisi borang cukai tahunan melalui online sehingga bulan Mei, kami di LHDN dikehendaki mengisinya seawal bulan Februari, kerana sebelum kami memungut cukai orang lain kami memungut cukai kakitangan LHDN terlebih dahulu". Dia dengan tenang menceritakan kepada saya.

"Orang di luar LHDN bukannya tahu perasaan dan kesukaran kami. Adakah mereka tahu ada di antara kami menerima cercaan dan penghinaan ketika menjalankan tugas, kami mendatangi rumah mereka yang liat membayar cukai tetapi kami berhadapan isu keselamatan yang amat menakutkan. Ada di antara premis mereka mempunyai security yang amat mendebarkan".

Bayangkan antara kata-kata mereka, "kami penat-penat cari wang, kamu senang-senang mahu ambil!".

"Bayangkan juga tatkala kami memeriksa akaun pendapatan dan perbelanjaan syarikat mereka, kami kadangkala berhadapan suasana yang menyeramkan". ceritanya lagi. 

"Namun kami tabahkan hati, kami ketepikan perasaan takut kami, demi negara kita, supaya negara kita mempunyai dana yang mencukupi untuk perbelanjaan pembangunan, perbelanjaan mengurus, supaya rakyat kita dapat menikmati kemudahan pendidikan yang sempurna, kemudahan kesihatan terbaik dan sebagainya".

"Kami bukan bekerja untuk mencari bonus lebihan, berapa bonus kakitangan kerajaan dapat begitulah juga yang kami dapat".

Mendengarkan semua itu, air mata saya seakan mula bergenang. Persepsi saya kepada LHDN sedikit demi sedikit berubah. Kebencian dan kemarahan kepada LHDN berubah kepada keazaman untuk membantu LHDN.

Sebenarnya banyak lagi perkara yang kita tidak ketahui, kerana LHDN bukan bekerja untuk mencari populariti sebaliknya LHDN bekerja untuk kesenangan semua rakyat Malaysia tanpa mengira warna kulit dan fahaman politik.

Akhir kata, dengan sedikit cerita ini, marilah kita menyedari bahawa dengan cukai pendapatan yang kita berikan memberi kesan yang amat besar kepada kemaslahatan rakyat dan negara Malaysia. Semoga dengan sedikit cerita ini, kita akan lebih bertanggungjawab dan sifat kebertanggungjawaban itu diserlahkan dengan kegembiraan membayar cukai pendapatan dengan penuh rasa patriotik .

Tahniah saya ucapkan kepada CEO LHDN, pengurusan tertinggi dan kakitangan LHDN di seluruh negara atas tugas serta usaha mereka untuk memastikan negara berada di atas landasan yang tepat ke arah sebuah negara maju menjelang tahun 2020.


1 Komen:

Anonymous said...

part bonus tu saya kurang setuju. tolong lah bercakap benar..

Post a Comment

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan