NEGARA SABAH TIDAK MASUK AKAL

on Thursday, September 4

SABAH SEBUAH NEGARA, SATU REALITI SEJARAH (Gambar Hiasan)
MENJELANG Hari Penubuhan Malaysia pada 16 September 2014, terdapat pihak tertentu yang mengapi-apikan suasana khususnya di alam siber kononnya Sabah itu sebuah negara mengikut perjanjian 1963 dan pelbagai lagi isu-isu di dalam Perkara 20. 

Lebih lanjut lagi, usaha digerakkan seperti kempen mendapatkan tandatangan, ceramah dan seminar. Jika ianya bersifat akademik, saya fikir tiada masalah, tetapi seandainya ianya bersifat provokasi dan mempunyai niat yang jelas, pihak kerajaan tidak sepatutnya berlengah-lengah.

Sebagai ahli sejarah, saya tidak menafikan akan kewujudan Perjanjian 20 Perkara itu. Namun begitu, harus juga dilihat secara tepat sepanjang Sabah merdeka dan menyertai pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, adakah kerajaan persekutuan pernah menafikan mana-mana isu dalam Perkara 20 itu?

Soal agama rasmi misalannya, adakah kerajaan di Sabah sejak perikatan USNO/UNKO/SANAP/Pasok Momogun, BERJAYA,PBS dan BN sekarang pernah mengisytiharkan mana-mana agama sebagai agama rasmi Sabah? Sudah tentu jawapannya tidak bukan. 

Dalam konteks kerajaan persekutuan, Perkara 3 memang jelas menyatakan agama Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Hal ini tidak berlaku di Sabah kerana menghormati Perkara 20. 

Begitu juga dalam konteks istilah 'Negara' kerana wujudnya perkataan Yang DiPertua Negara dalam Perkara 18. Ianya bukanlah bermaksud Sabah itu sebuah negara, kerana dalam Perkara 19, dinyatakan nama bagi negeri dalam Perkara 19 itu ialah "Sabah" bukannya "Negara Sabah". Ini sangat jelas.

Pada era penjajahan, istilah state itu didefinisikan sebagai Negara dalam bahasa Melayu, sedangkan dalam terjemahan moden state itu merujuk kepada Negeri. 

Kita ambil contoh negara United Kingdom (UK). United Kingdom merupakan sebuah negara unitari beraja berperlembagaan, dan juga sebuah negara yang terdiri daripada empat negeri: England, Ireland Utara, Scotland, dan Wales. 

UK ditadbir oleh sistem berparlimen yang berpusat di ibu negara,London. Ireland Utara, Wales dan Scotland juga mempunyai pentadbiran peringkat negeri yang berbeza-beza kuasanya dan berpusat di ibu negeri masing-masing, iaitu Belfast, Cardiff dan Edinburgh. 

UK mempunyai tiga Wilayah Tanggungan Mahkota dan 14 Wilayah Luar Negeri yang tidak menganggotai UK secara resam. Wilayah-wilayah tersebut merupakan tinggalan Empayar British yang pernah menguasai satu perempat jumlah daratan sedunia di zaman kemuncaknya pada tahun 1922, menjadikannya empayar terbesar dalam sejarah. 

Kesan pengaruh British masih terasa di kebanyakan bekas jajahannya yang masih memakai bahasa, budaya dan sistem perundangan bekas penjajahnya. Sehingga ke hari ini ramai dalam kalangan bekas tanah jajahan British masih duduk di hadapan TV menonton bola sepak Inggeris (EPL), kerana hakikatnya masih lagi English Nice. Malah ada yang sangat kecewa apabila Manchester United, Liverpool atau Arsenal tidak menjadi juara.

NEGARA DALAM NEGARA
Kita hendaklah faham, bahawa Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan sesebuah negara hendaklah hanya mempunyai sebuah kerajaan yang sah sahaja, bukannya dua kerajaan. Bayangkan apakah akan terjadi sekiranya sebuah negara mempunyai 2 Perdana Menteri? Kita mesti faham bahawa tidak boleh wujud konsep "Negara dalam Negara", yakni tidak boleh ada dua pentadbiran dalam sesebuah negara.

Saya berpandangan, kita di Sabah tidak perlu terlalu emosi dan bermain dengan persepsi kerana sebagai sebuah negeri di dalam Malaysia, hak-hak kita sebagai "Sabahan" tetap terpulihara khususnya semua Perkara 20 itu.

Sebagai contoh yang lain, dalam hal Imigresen, walaupun Kerajaan Persekutuan berkuasa ke atas Imigresen tetapi dalam konteks Sabah & Sarawak, negeri kita masih mempunyai kuasa eksekutif di mana YAB Ketua Menteri mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak permohonan mana-mana pihak untuk memasuki Sabah. 

Sebab itulah apabila sesetengah individu yang dikesan berpotensi menimbulkan kekacauan di negeri Sabah atau Sarawak, YAB Ketua Menteri mempunyai kuasa untuk menghalangnya memasuki negeri. 

Begitu juga dalam hal Tanah, Kerajaan Persekutuan walaupun mempunyai Majlis Tanah Negara (MTN), tetapi kuasa-kuasa Tanah di negeri Sabah dan Sarawak masih di dalam genggaman kuasa kerajaan negeri.
BERNAMA TV, Topik : Hari Malaysia, Cabaran Baharu Patriotisme Dan Perpaduan
Pada 1 September 2014, apabila saya dijemput oleh Bernama TV dalam program Ruang Bicara, saya telah menyatakan bahawa keamanan, ketenangan dan kedamaian di negeri Sabah sekarang janganlah diruntuhkan hanya kerana ketidakpuasan kita di dalam beberapa perkara.  Saya sangat yakin Tun Datu Mustapha dan Tun Fuad Stephens semasa mereka memimpin negeri Sabah telah meletakkan asas yang kukuh untuk rakyat Sabah hidup aman bahagia di dalam Malaysia.

Malah, saya telah meminta pihak Kerajaan Persekutuan supaya menyenaraikan dan mendedahkan kepada rakyat Sabah dengan lebih terperinci jumlah Peruntukan dari Kerajaan Persekutuan dan projek-projek di kawasan masing-masing. Dengan cara itu, rakyat di Sabah boleh melihat sendiri jumlah peruntukan yang disalurkan di kawasan mereka. Kita mesti terbuka kerana rakyat semakin bijak. Dedahkan butir-butir Bajet itu secara terperinci di tiap-tiap kawasan bukannya secara jumlah besar, baharulah rakyat di Sabah merasai pembangunan di kawasan mereka tidak dianaktirikan.

Pengalaman ketika Lee Kuan Yew di Singapura dahulu, walaupun Singapura sudah berada di dalam Malaysia tetapi apabila Lee Kuan Yew melakukan lawatan ke luar negara, Lee Kuan Yew mengamalkan konsep "Negara dalam Negara". Dia membahasakan dirinya sebagai Perdana Menteri walaupun dia tahu Perdana Menteri adalah Tunku Abdul Rahman. Dia memperkenalkan pegawai-pegawainya di luar negara sebagai Duta-Duta walhal Singapura bukannya sebuah negara pada ketika. Anda boleh baca kisah ini di dalam buku "Memoir Lee Kuan Yew" yang ditulis oleh dirinya sendiri.

Kesimpulannya, konsep Negara Sabah adalah tidak masuk akal. 





5 Komen:

Anonymous said...

Memutar belitkan fakta...huaaktuuu...

Anonymous said...

Konsep Malaya adalah 'ketuanan melayu'.. Jd jngan samakan Borneo dgn Malaya sebab negara Sabah bukan milik Malaya..!

Anonymous said...

kasian punya orang yang tulis Blog ni.. masih lagi x xdak tau perkara sewbenar skarang ini...+__+

Anonymous said...

Paling bingung dia sendiri katakan persekutuan ladt part sebuah negara... sot ini org

Anonymous said...

Paling bingung dia sendiri katakan persekutuan last part sebuah negara... sot ini org

Post a Comment

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan