KERAJAAN DICADANG HAPUSKAN BIROKRASI SIJIL LAHIR DAFTAR LEWAT, KECICIRAN MERUGIKAN NEGARA

on Saturday, October 25

ADAKAH KERANA MASALAH DOKUMENTASI? KAJIAN TERPERINCI PERLU DILAKUKAN SEGERA
Negara kita Malaysia sudah 57 tahun merdeka, manakala negeri Sabah pula sudah 51 tahun merdeka dan bersama-sama dengan Sarawak membina sebuah negara persekutuan Malaysia yang berdaulat sehingga ke hari ini.

Proses kenegaraan bukanlah suatu proses yang mudah dengan cara membentangkan undang-undang dan seterusnya mendesak rakyat mematuhinya. Pak Lah mantan Perdana Menteri bercakap tentang keikhlasan dan undang-undang, sila baca di sini

Undang-undang yang fleksible ialah undang-undang yang boleh berubah mengikut kesesuaian zaman, asalkan asasnya tidak berubah. Undang-undang bikinan manusia boleh diperbaiki, hanya Al-Quran sahaja tidak boleh diubah kerana ianya sudah lengkap sehinggalah ke hari kiamat.

Saya mencadangkan supaya kerajaan memperbaiki beberapa peraturan yang menyukarkan kehebatan rakyat kita daripada memberi sumbangan yang lebih besar kepada negara kita, khususnya kepada negeri Sabah.

Di Sabah terdapat beratus-ratus malah beribu pelajar yang mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM tetapi kebijaksanaan mereka tidak dapat digunakan untuk membangunkan negara kerana masalah dokumentasi. 

Mudah kata mereka tidak memiliki Kad Pengenalan, ataupun mudah difahami stateless "rakyat tanpa negara". Mengapa ianya berlaku?

Terdapat di kalangan mereka dilahirkan di Sabah tetapi mereka tidak mempunyai Kad Pengenalan kerana ibubapa memiliki Kad Pengenalan selepas mereka dilahirkan (selepas permohonan Kewarganegaraan mereka berjaya), ataupun ibubapa mereka tidak memiliki dokumen diri yang lengkap, ataupun ibubapa mereka meninggal dunia dan sebagainya.

Terdapat tuduhan kononnya ibu bapa mereka mendapat kad pengenalan melalui sindiket dan sebagainya. Saya mendapati tuduhan itu tidak benar, kerana melalui kajian saya, mereka sebenarnya mendapat kewarganegaraan melalui proses yang dibenarkan oleh perlembagaan, hanyasanya mereka rajin berusaha.

Contoh 1 : Seseorang rakyat Indonesia, China ataupun Filipina, dia bekerja di Sabah pada tahun 1950. Ketika itu Permit Kerja dikeluarkan oleh kerajaan British kerana Sabah belum lagi merdeka. Apabila Sabah merdeka pada tahun 1963, mereka ini mendapat kerakyatan melalui pelbagai mekanisme seperti permohonan, penganugerahan dan naturalisasi.

Pada tahun 1963 dahulu ketika Suruhanjaya Cobbold, kerajaan British memberi pilihan sama ada mereka mahu menjadi rakyat Malaysia atau menjadi rakyat British atau kekal menjadi rakyat negara asal mereka. 

Contoh 2: Seseorang rakyat Indonesia, China, Filipina, Pakistan dan sebagainya datang ke Sabah selepas tahun 1963. Permit Kerja dikeluarkan di Kota Kinabalu oleh kerajaan negeri Sabah. Selepas lebih 10 tahun, mereka layak memohon kewarganegaraan Malaysia. 

Ada di antara mereka memperolehi Kad Pengenalan warna Hijau dan Merah, mereka tidak berputus asa walaupun terpaksa menunggu lagi 12 tahun untuk memohon kewarganegaraan Malaysia. Ada di antara mereka lulus tetapi ada juga di antara mereka gagal. Mereka yang gagal pula akan memohon lagi sehingga mereka berjaya.

APAKAH HASIL SIASATANNYA? MASALAH KECICIRAN DI SEMENANJUNG MALAYSIA SUDAH DISELESAIKAN SEJAK TUN DR. MAHATHIR MENJADI MENTERI PELAJARAN (1979) 
SIJIL LAHIR DAFTAR LEWAT
Saya ingin mencadangkan supaya kerajaan memansuhkan penggunaan istilah "Daftar Lewat" kerana kebanyakan pelajar-pelajar yang cemerlang tadi diletakkan istilah "Daftar Lewat" dan ianya menghalang untuk mereka memajukan diri, negeri dan negara. 

Dalam konteks Sabah, kelewatan mendaftar kelahiran anak mereka disebabkan oleh pelbagai faktor yang tidak dapat dielakkan antaranya sistem perhubungan jalanraya yang sukar, pengetahuan kenegaraan, lokasi Jabatan Pendataran Negara (JPN) yang jauh daripada tempat tinggal seperti di kem-kem balak dan ladang-ladang terpencil, dan banyak lagi.

Pada hari ini, pihak JPN tidak dapat memproses anak-anak yang menggunakan Sijil Lahir Daftar Lewat dengan alasan ianya perlu menunggu arahan kerajaan selanjutnya, khususnya menunggu keputusan RCI dimuktamadkan. 

Apabila umur mereka mencecah 30 hingga 50 tahun, baharulah mereka berjaya memiliki Kad Pengenalan selepas melalui proses yang panjang dan lama. Walhal semasa usia sekolah, mereka boleh menjadi Doktor, Peguam, Engineer, Guru dan sebagainya. Negara mensia-siakan bakat dan kebolehan mereka.

Perkara ini sangat merugikan negara dan negeri Sabah. Rakyat kita yang rajin, bijaksana dan berkebolehan tidak dapat memberi sumbangan yang lebih besar kepada negeri Sabah dan negara Malaysia hanya kerana peraturan tersebut.

Tan Sri Zainudin Maidin berkata ibubapanya berasal dari India dan Arab, hari ini dia menjadi Melayu atas kapasiti undang-undang negara dan dia berjaya memberi sumbangan yang besar kepada negara melalui kewartawanan dan mantan Menteri Penerangan. Baca di sini 

Saya yakin dan percaya, sekiranya Kerajaan boleh memperbaiki peraturan ini, lebih ramai rakyat di Sabah yang mengalami masalah dokumentasi ini boleh memberi sumbangan yang lebih besar. 

Sepatutnya dalam usaha kita menjadi negara maju menjelang tahun 2020, isu ini sudah boleh diselesaikan. 

Saya mencadangkan kepada Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai menteri yang bertanggungjawab, supaya memberi perhatian yang serius dalam isu ini. Saya juga yakin, jika isu ini boleh diselesaikan, keamanan, ketenteraman dan perpaduan rakyat Malaysia di Sabah boleh diperteguhkan lagi.

Dipersilakan untuk anda memberi pandangan anda pula. 

Selamat Berhari Minggu.
Aramaiti.









6 Komen:

Anonymous said...

Ulasan yg tepat, diharap pihak kerajaan mmberi perhatian yg serius. Ramai kawan2 kami tidak dpt sambung sekolah dan bekerja kerana masalah ini. Kepada PM dan Datuk Zahid diharap membantu.

Anonymous said...

maaf...

saya tak berapa memahami masalah kerakyatan di Sabah mahupun di Sarawak...

dari pembacaan semasa kes pencerobohan di Lahad Datu yang lalu, saya dapati ada di kalangan bumiputra Sabah yang mempertikaikan kerakyatan sesuatu kaum seperti orang Sulu...

saudara juga orang Sabah maka saya percaya saudara lebih memahami permasalahan di sana...

walaupun tulisan saudara di atas ada menjelaskan beberapa permasalahan lain, saya masih tidak jelas dengan masalah yang saya nyatakan tadi...

harap dapat dijelaskan dalam tulisan-tulisan yang akan datang.

Anonymous said...

saya sokong kenyataan saudara.sememangnya masalah ini perlu diatasi

Mat katibin Aripin said...

Kami org sabah yg menghadapi kesulitan menukar kad pengenalan dr mykas ke mypr kita berdoa agar PM dan TPM dapat meleraikan kekusutan yang kita alami....semoga negara kita memiliki pemimpin yang dikenang hingga keakhir hayat....

Anonymous said...

assalamualaikum saya dari salah seorang daftar kelahiran lewat .

saya amat stuju dengan cadagan tuan sekarang umur saye 16 tahun dan sampai sekarang saye tidak mempunyai kad pengenalan dan tidak lagi diurus disebab kan kesukaran untuk flight ke sabah untuk memohon kelahiran daftar lewat kerana saye dan keluarga tinggal di selangor shah alam , alamhaldullilah tuhan membri kami rezeki walaupun sedikit dan mak saye dapat flight ke sabah baru baru ini saye bukan lh dari keluarga yg senang saye dari keluarga yg susah dulu kami sekeluarga semasa tahun 2004 berpindah ke selangor shah alam sampai lh sekarang dan sampai sekarang kami tidak mempunyai rumah sendiri dan dan hanya tinggal di rumah sewa dan sye bersekolah sye malu dengan kawan2 kerana sye terasa terasing disebabkan tiada kad pengenalan walaupun sye warganegara disampaikan sye taknak bersekolah tapi mk saye pujuk juga untuk ke sekolah tetapi sye tiada semangat untuk belajar sedangkan masa sebelum tahu perkara ini pelajaran sye amt lh tinggi semasa sekolah rendah setiap exam saye mendapat semua A+ [ini adalah kisah benar] tetapi semasa saya start tingkatan 1 dan saye dn juga ibu bapa pergi ke jpn untuk memohon kad pengenalan dengan niat saye exited untuk memulakan hidup saye di kalangan remaja tapi sayangnya pihak jpn suruh kami memohon dahulu daftar kelahiran lewat disitulah harapan saya sudah mati dn start disitu saye asyik memikrkan hal itu sampailh pelajaran saye tercorot dan kelas hujung saye memujuk mk saye untuk urus sebelum spm kerana saye cuba untuk fokuskanye lagi tapi mak sye kata duit tidak mencukupi untuk flight ke sabah sye bersedih stiap tahun dn sampai lh sekarang dan saye baca website sijil kelahiran lewat apabila diurus akan mengambil masa 3 tahun . 3 tahun lama tu kan lagi lagi sye mak sye baru urus baru baru ini dan belum diproses cuba korang bayangkan 3 tahun buat masa sekarang umur saye 20 baru diterima tapi belum pasti lagi kalau gagal ke lulus kalau gagal? ulang balik proses 3 tahun pehh pedih rasakan so bersyukur lh korang yg ada tu belajar lh pandai pandai banggakan mak krg jng jadi cm saye mudah putus asa tapi tidak sebenarnya dalam kepala saye ade satu idea insyaalah idea ni satu hari nanti boleh membangunkan sabah itu sajalah cerita saye mungkin suatu hari nanti siapa saye ini adalah kisah benar

so saye masih menunggu untuk kelahiran lewat apabila sudah lulus nanti inyaalah

jumat mahmud said...

komen yang sangat berasas.. saya juga menghadapi masalah yang sama.. mempunyai seorang anak (sekarang tingkatan 1) tapi masih belum memiliki Kad Pengenalan. Amatlah sedih mengenangkan nasib si Anak terpaksa berdiam diri sedangkan kawan-kawan yang lain boleh mengikuti apa-apa jua program anjuran sekolah sedangkan dia tak dapat pergi (sebab tidak memiliki IC)

Ini adalah disebabkan status Daftar Lewat yang memerlukan proses indosment mahkamah. Setelah melalui semua proses - proses dan interview anak saya didapati gagal tetapi malangnya tidak dinyatakan gagal dari segi mana.

Saya sangat-sangat berharap agar pihak berkenaan dapat mempertimbangkan perkara ini. Cadangan saya jika kerajaan meragui status anak ini, bolehlah buat ujian DNA.

Terima Kasih

Post a Comment

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan