DS HISHAMMUDDIN SESUAI KETUAI UMNO SELANGOR

on Sunday, November 9

Apabila Presiden UMNO mengkritik dan memberi sindiran tajam kepada UMNO Selangor semasa Konvensyen UMNO Selangor baru-baru ini, ditambah lagi kritikan keras Tun Dr Mahathir Mohamad supaya UMNO Selangor perlu pemimpin baharu di semua peringkat, ianya suatu yang tidak boleh dipandang ringan. Malangnya, selepas seminggu teguran itu, saya melihat UMNO Selangor begitu-begitu juga tidak ada perubahan. Adakah UMNO mahu terus menjadi pembangkang di Selangor?

AMALAN POLITIK DS HISHAMMUDDIN SABAR, SETIA DAN BERANI DALAM KEBENARAN  
Pada tahun 1998, apabila berlaku krisis politik dalam UMNO, Ketua Pemuda ketika itu DS Hishammuddin telah menunjukkan kepimpinannya membantu Presiden (Tun Dr. Mahathir) dan UMNO memperkuatkan parti di seluruh negara. 

Ketika itu, momentum rakyat dan ahli UMNO kepada DS Anwar Ibrahim masih kuat kerana Anwar masih mempunyai rakan-rakan yang setia di dalam parti dan kerajaan.

DS Hishammuddin tetap berdiri teguh dan kekal dalam parti, menjelajah seluruh negara menguatkan sokongan rakyat kepada kerajaan dan menyedarkan ahli UMNO supaya kekal di dalam parti.

Hari ini, selepas 16 tahun peristiwa itu, sejarah membuktikan DS Hishammuddin bukan calang-calang pemimpin. Saya tidak perlu hurai lagi warisan ketokohan ayah dan datuknya, kerana saya telah huraikan dengan panjang lebar sebelum ini (Rujuk di bawah)

UMNO SELANGOR PERLU PEMIMPIN BERAURA TINGGI
Kedua, UMNO Selangor memerlukan seorang pemimpin yang boleh menyatukan pemimpin-pemimpin bahagian dan cawangan yang masih berpuak-puak hasil daripada kepimpinan lama. DS Noh Omar bukanlah seorang pemimpin Selangor yang tidak baik, hanyasanya beliau masih kekal dengan ciri-ciri UMNO lama dan tidak bersama dengan perubahan zaman. Kerana itulah, Tun Dr Mahathir sendiri mencadangkan supaya kepimpinan UMNO Selangor ditukar.

Saya tidak pernah melihat pemimpin UMNO Selangor menaiki kapal terbang kelas Ekonomi sedangkan DS Hishammuddin beberapa kali duduk di kelas ekonomi. Saya tidak pernah melihat pemimpin UMNO Selangor berbelanja di kedai supermarket, DS Hishammuddin dan keluarganya bersama-sama menyorong troli di supermarket. Saya jarang melihat pemimpin UMNO Selangor turun bertemu rakyat dengan baju T Shirt, jeans lusuh dan tuala kecil di belakang leher mereka walhal DS Hishammuddin melakukannya. Semua contoh-contoh itu nampak remeh dan lucu, namun itulah nilai sebenar di mata rakyat.

Jika anda sebagai pemimpin UMNO turun ke kampung-kampung dengan kereta besar, pemandu sendiri, berbaju bush jacket atau berlambangkan parti atau kerajaan, dengan kasut berkilat, atau menghisap cerut jenama dari Argentina, anda sebenarnya menjarakkan diri dengan rakyat. Anda hanya syok sendiri di kalangan parti UMNO sahaja, sedangkan Tun Dr Mahathir sudah bercakap lama dahulu bahawa UMNO tidak akan menang hanya dengan undi ahli UMNO sahaja!

Tidak perlu pergi jauh-jauh untuk menilai persediaan atau perubahan UMNO Selangor. Anda lihat di sekeliling anda, berapa banyak signboard UMNO cawangan yang buruk, lusuh dan hilang lambang UMNO dan tulisannya. Anda perhatikan semasa hari-hari penting seperti Maulidur Rasul, peperiksaan awam UPSR PMR SPM STPM, Hari Guru, Hari Pekerja, Hari Orang Tua dan sebagainya, parti pembangkang di hadapan menyediakan barner ucap selamat berbanding UMNO Selangor yang kelihatan miskin dan tidak ada daya mengadakannya.

CABARAN DAN KPI UMNO SELANGOR
Sebagai pemerhati, saya mesti menegur hal-hal ini sesuai dengan teguran Presiden UMNO. Jika anda berkecil hati tidak mengapa, sekurang-kurangnya anda sebagai pemimpin UMNO Selangor boleh berubah dan mengambil tindakan segera.

Jika UMNO dan BN Selangor ada cita-cita mahu merampas semula kerajaan Selangor dalam PRU14 kelak, saya mencabar UMNO Selangor untuk meletakkan KPI semua Ketua Bahagian UMNO Selangor mendaftar pengundi baharu sekurang-kurangnya 1000 orang setiap bulan! Jangan kata tidak boleh melakukannya kerana DAP telah melakukannya sejak tahun 2006! Jika penambahan pengundi pun UMNO Selangor tidak mampu lakukannya, tidak mengapalah, teruslah menjadi pembangkang dalam pilihanraya akan datang.

Oleh yang demikian, saya ingin mencadangkan supaya DS Hishammuddin diberi peluang mengemudi UMNO Selangor menjelang PRU14. Pengalaman, kematangan, kesabaran dan kebijaksanaan DS Hishammuddin boleh digunakan oleh UMNO Selangor dengan lebih mapan.

Aura Tun Hussien Onn (1976), Dato' Onn Jaafar (1947), Dato'  AbdullahJaafar (1923), Dato' Mustapha Jaafar (1928), Dato' Jaafar Mohammad (1826) dan aura itu kini jatuh kepada DS Hishammuddin tidak boleh dipertikaikan lagi. 

Kepada rakyat Selangor, ianya akan menjadi lebih menguntungkan kerana DS Hishammuddin mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Istana Selangor. Ianya boleh menjadi jambatan yang penting di antara rakyat dan Sultan Selangor.









0 Komen:

Post a Comment

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan