ANAK SABAH DEKLAMASI PUISI MENGIRINGI PERJALANAN DS NAJIB KE BELANDA

on Wednesday, July 30

Pendeklamasi sajak: Adik Muhammad Nurisyraf Syazwani, SMK Jalan Tiga, Bandar Baru Bangi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan berlepas ke Belanda pada Rabu (hari ini, 30 Julai, 2014) untuk berbincang tentang insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang terhempas di Ukraine. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh pada 17 Julai.

Pejabat Perdana Menteri berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, Najib akan menemui rakan sejawatannya Mark Rutte di The Hague, untuk membincangkan sama ada ahli pathologi Malaysia dapat membantu bagi mempercepatkan proses pengecaman mayat mangsa.

"Kedua-dua Perdana Menteri juga akan membincangkan tentang memperoleh akses penuh ke tapak nahas supaya pasukan antarabangsa dapat menjalankan penyiasatan yang komprehensif bagi menentukan punca nahas, dan siapa yang bertangggungjawab'" kata kenyataan itu.

Pada 21 Julai, Malaysia memperoleh persetujuan bagi penyerahan mayat mangsa dan kotak hitam serta bagi para penyiasat antarabangsa mendapat akses ke tapak nahas di Grabove di timur Ukraine.

Keputusan ini dicapai ekoran persetujuan yang dicapai oleh Najib dengan ketua kumpulan pemisah di tapak nahas, Alexander Borodai.

Najib menegaskan bahawa persetujuan yang dicapai oleh Malaysia dengan pihak-pihak yang menguasai tapak nahas mempunyai tiga elemen utama iaitu penyerahan kotak hitam kepada Malaysia, menyerahkan mayat mangsa dan akses penuh ke tapak nahas diberikan kepada para penyiasat antarabangsa.

Dua syarat pertama telah dipenuhi dan keutamaan sekarang ialah memastikan penyiasat antarabangsa mendapat akses penuh ke tapak nahas.

"Ini memerlukan kerjasama mereka yang menguasai tapak nahas dan angkaten tentera Ukraine," kata beliau.

Menurut kenyataan yang sama, sejak perjanjian dicapai, sekumpulan tiga penyiasat Malaysia telah meninjau tapak nahas sebanyak tiga kali masing-masing pada 22 Julai, 23 Julai dan 24 Julai.

"Setiap lawatan mengambil masa kira-kira tiga jam. Para penyioasat sempat memerhati beberapa tapak nahas dan membuat catatan dan mengambil gambar. Bagaimanapun, oleh kerana bangkai pesawat bertaburan di kawasan yang luas, mereka tidak dapat melawat ke seluruh tapak nahas," kata kenyataan itu.

Pasukan penyiasat Malaysia percaya ia memerlukan sekurang-kurangnya 30 penyiasat untuk meliputi keseluruhan kawasan bersama tiga penyiasat Belanda dan seorang wakil dari Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Sambung di SINI


TAHNIAH DARI MALAYSIA KEPADA JUSUF KALLA, NAIB PRESIDEN INDONESIA

on Wednesday, July 23

PERTEMUAN SAYA DENGAN BAPAK JUSUF KALLA TAHUN LALU (2013)
Di Indonesia, badan rasmi penyelenggara pemilu Pilpres Republik Rakyat Indonesia, iaitu General Elections Commission (KPU) menetapkan pasangan Joko Widodo lebih popular dipanggil Jokowi dan Jusuf Kalla ditabal sebagai pemenang Pilpres 2014 dengan perolehan suara 70.997.833 (tidak termasuk undi dari luar negara).
Pasangan Capres Joko Widodo "Jokowi" dan Jusuf Kalla mengungguli perolehan suara Pemilu Presiden 2014 dengan perolehan 70,6 juta suara atau 53,15% dari total 132.896.420 suara. Jokowi unggul di 23 provinsi, manakala Prabowo unggul di 10 provinsi dengan perolehan 62,2 juta suara atau 46,85%.
Dengan demikian, Jokowi dan Jusuf Kalla diisytihar sebagai pemenang Pilpres dan akan ditetapkan sebagai Presiden dan Wakil Presiden RI periode 2014-2019. 
Saya bagi pihak Editorial Merdeka-Online.com mengucapkan setinggi-tinggi ucapan Tahniah kepada Jokowi dan Jusuf Kalla di atas kejayaan tersebut. Saya yakin pengalaman Jusuf Kalla yang pernah menjawat Naib Presiden RI periode sebelumnya bisa menjadi keuntungan yang besar kepada rakyat dan negara besar Indonesia.
Saya juga yakin Jusuf Kalla yang masih mengetuai Kepala Umum Majlis Masjid Indonesia dan Pertubuhan Palang Merah Indonesia bisa merapatkan golongan agamawan dengan Presiden Indonesia yang baru. Makanya tidak timbul lagi keraguan kepada rakyat Indonesia isu-isu dalam pilpres kononnya Jokowi kurang mendapat golongan partai-partai Islam. Ianya pasti akan kembali bersatu karena hubungan Jusuf Kalla kepada partai-partai Islam dan pertubuhan-pertubuhan Islam di Indonesia adalah baik sekali.
Di samping itu, saya juga optimis hubungan persaudaraan negara Malaysia dengan Indonesia akan lebih baik lagi karena kita sedia maklum Jusuf Kalla mempunyai ramai penyokong dan peminat di Malaysia, apatahlah lagi Jusuf Kalla mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Najib Tun Razak. 
Kepada rakyat Indonesia, bersatulah sebagaimana moto hebat anda iaitu "Indonesia Satu". Kalau di Malaysia, kami ada "1 Malaysia".
Sumber : Kompasiana/KPU


PUISI DATO' SERI NAJIB, USAH BERSEDIH KAMI RAKYAT DI BELAKANGMU

on Saturday, July 19

Dato Seri, Usah Bersedih, Kami Rakyat Di Belakangmu
Dato' Seri Najib,
Ujian yang maha berat ini
Ketika tragedi MH17 dan MH370
Kita sugul dan bersedih,
Bagaikan Gunung Kinabalu runtuh menyembah bumi
menimbus hati jiwa dan raga,

Namun Dato' Seri,
Usah dikau bergundah,
Jangan dikau patah hati,
Airmatamu Airmata rakyat,
Kerana di saat sukar ini,
Rakyat mendamba semangatmu,
Rakyat menjadi kuat kerana ketenanganmu,
Rakyat hidup di tengah keabdianmu,

Percayalah Dato' Seri,
Musuh-musuh yang berkeliaran
Yang bercita-cita meranapkan negara kita
Tidak akan punya hati perut
Walau dua pesawat sudah hilang
Walau Sabah diserang siang dan malam
Walau parasit-parasit bermaharajalela
Mereka hanya akan berhenti
Apabila Malaysia sudah hilang,

Dato' Seri
Selagi hayat di kandung badan
Jangan berhenti melangkah
Jangan mengalah di tengah medan
Jangan rebah jangan berundur,
Kerana rakyat rela berkorban
Harta nan nyawa
Demi negara yang tercinta.

Mari kita melangkah Dato' Seri,
Mari menjadi Pahlawan Malaysia
Mari menjadi Penggawa Negara
Kuatkan semangatmu
Teguhkan pendirianmu
Negara tidak akan punah
Negara tidak akan hancur
Negara akan terus merdeka
Bersama ketenangan dan iltizam mu.

Bangun Dato' Seri kami bersamamu
Bangun Dato' Seri kami di belakangmu
Bangun Dato' Seri kami berjanji
Selagi hayat di kandung badan
Biar putih tulang nan putih mata
Padang jarak nan padang tekukur
Kita akan bersama-sama
Mengharungi onak dan duri
Demi Malaysia yang tercinta...

Al-Azharri Siddiq,
KLIA.







MENTERI BELIA & SUKAN SEPATUTNYA PAKAI JERSI MALAYSIA

on Monday, July 14

MENYOKONG ARGENTINA
Menteri Belia & Sukan negara kita menyarung jersi negara lain ketika perlawanan akhir bolasepak Piala Dunia di Dataran Merdeka.

Memanglah Malaysia tidak masuk ke Piala Dunia, maka sebab itulah sebagai menteri sukan perlu memberi aspirasi hebat, semangat kuat, jatidiri unggul lebih-lebih lagi patriotik mega kepada anak-anak muda. Maka lebih baiklah, malah sebenarnya lebih cantik dipandang seandainya Menteri Belia & Sukan negara Malaysia menyarung jersi pasukan Malaysia.

Presiden Korea Utara yang lebih muda itu, tidak menunjukkan kepada rakyatnya kepentingan Argentina dan German dalam konteks negarabangsa di Korea Utara. Kenapa? Ada banyak jawapan, tetapi itulah juga sebabnya Amerika mahupun Israel tidak ada keberanian menyentuh Korea Utara bukan!

Dengan dihadiri kira-kira 20,000 penonton di Dataran Merdeka semalam, ianya cukup manis sekiranya simbolik Dataran Merdeka itu yang menjadi lambang dan sejarah kemerdekaan negara pada malam 31 Ogos 1957 diambil kesempatan dengan memberikan nilai patriotik yang sesuai. 

Kalaulah semalam menteri kita menyarung jersi Malaysia, sudah pasti respectable rakyat Malaysia kepadanya akan meningkat, berbanding menyarung jersi pasukan yang kalah, apatah lagi dikaitkan dengan Yahudi pula yang sedang mengganas di Gaza sekarang. Penasihat menteri patut lebih peka berfikiran out site the box dan new politic. Istilah new politic telah digunakan semasa Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu.

Pada 31 Ogos 2014, negara kita akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 57 tahun. Sepatutnya semua pihak hendaklah peka dan memandang ke hadapan, khususnya dalam konteks patriotisme.  Jika Menteri kita tidak menunjukkan kePatriotismenya, siapa lagi yang hendak dicontohi. Allahyarham Sudirman Haji Arshad sudah lama meninggalkan kita, seorang penghibur dan insan berjati diri yang sangat hebat.

Negara kita tidak akan menjadi kuat hanya dengan memiliki jumlah simpanan dan aset berbillion USD atau SD. Negara kita tidak akan menjadi kuat hanya dengan adanya menteri yang berkelulusan Oxford atau Harvard. Negara kita tidak akan menjadi kuat hanya dengan seseorang yang berkahwin dengan anak pembesar negara.

Tetapi negara kita perlu kekuatan emosi, rohaniah dan intelektual. Jika emosi rakyat tiada cinta yang kuat kepada negara, maka berlakulah bendera Jalur Gemilang koyak rabak tetapi masih dikibarkan di luar negara. Jika rohaniah rakyat kita tidak mantap maka berlakulah Jalur Gemilang dikibarkan dalam kedudukan terbalik. Jika rakyat kita tidak berilmu pengetahuan, maka berlakulah insiden Jalur Gemilang dibakar dan dipijak-pijak.

Bendera Dalam Sejarah Islam
Apa pentingnya bendera dalam sejarah Islam? Dalam satu peperangan (Perang Mu’tah,Tahun ke-8 Hijrah) di antara pasukan tentera Islam (3,000 orang) melawan tentera Rom dan sekutunya (200,000 orang), Rasulullah SAW telah berpesan sekiranya berlaku sesuatu kepada panglima Zaid ibnu Harithah, maka Jaafar ibnu Abu Talib akan menggantikannya. Jika Jaafar gugur digantikan pula oleh Abdullah ibnu Rawahah.

Dalam peperangan itu, Zaid ibnu Harithah telah gugur syahid kerana tubuhnya ditembusi sebatang tombak. Bendera Rasulullah SAW seterusnya dipegang oleh Jaafar ibnu Abi Thalib, seorang pemuda yang baru saja berusia 33 tahun. Akhirnya Jaafar ibnu Abu Talib terkorban di mana tubuhnya terbelah dua syahid. Bendera Rasulullah SAW seterusnya disambar oleh Abdullah ibnu Rawahah yang terus menungggang kuda di tengah-tengah musuh. Beliau turut syahid dan bendera Rasulullah SAW itu dipegang pula oleh seorang sahabat iaitu Tsabit ibnu Arqam yang kemudiannya menyerahkan kepada Khalid ibnu Al-Walid yang baharu sahaja memeluk Islam ketika itu.

Oleh kerana Menteri Belia & Sukan kita mempunyai cita-cita yang tinggi dalam politik negara, saya ingin memberi nasihat supaya memberi penekanan yang lebih dalam aspek patriotisme yang mendalam, jatidiri yang kebal, nasionalisme yang hebat. 
Semasa saya bertemu beliau suatu masa dahulu, saya berbisik kepada beliau bahawa saya akan mengkritiknya jika berlaku sesuatu yang tidak kena, dan beliau mengagguk-anggukkan kepalanya. Bacaan ulangan anda di sini . 

Bagi saya, jika kita hanya tahu merapati menteri tanpa memberi idea yang luarbiasa, sebenarnya kita akan membiarkan dirinya banyak melakukan kesilapan, dan seterusnya akan membunuh masa hadapannya. 

Jika saya diberi peluang memberikan pandangan, saya akan mencadangkan kepada Menteri Belia & Sukan supaya beliau memakai jersi Malaysia dan menyediakan satu pasang untuk YAB Perdana Menteri. Kebetulan ada pihak mahu menubuhkan Negara-Ku, maka kita tubuhlah pula MALAYSIA-KU.

Bersetuju atau tidak bersetuju dengan saya, atau anda ada pandangan yang berbeza?







GAMBAR EKSKLUSIF DATIN SERI ROSMAH MANSUR DENGAN HANDPHONENYA

on Friday, July 11

Candid DS Rosmah Mansur
Semalam dalam satu majlis Ramadan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong, Selangor, kemesraan YAB Perdana Menteri DS Najib Tun Razak dengan YAB Menteri Besar Selangor TS Khalid Ibrahim menjadi viral di media siber.

Malahan, rakan media saya di Jakarta menghantar pesanan ringkas kepada saya, apakah TS Khalid Ibrahim akan menyertai UMNO kerana tekanan kuat dalam PKR yang mahukan beliau turun takhta. Saya berkata, jika pak Jusuf Kalla dari parti Golkar bisa bekerjasama dengan Partai PDI-P, masakan di Malaysia tidak bisa. Dia menjawab, "he he he...". 

Apa pun, di sebalik mata merasa seronok melihat kemesraan-kemesraan perbuatan dan ucapan-ucapan di antara dua tokoh ini, ada sesuatu yang tidak disedari oleh khalayak. Namun, sahabat saya berjaya mengambil gambar eksklusif Datin Seri Rosmah Mansur.

Mesej sahabat saya itu kepada saya, "DS Rosmah pakai Handphone biasa sahaja, not even a smartphone". Saya terkejut, lalu saya katakan kirimkan gambar itu segera, kerana saya tahu rakyat mahu melihatnya.

DS Rosmah Mansur adalah seorang ibu yang sederhana, seorang isteri kepada Perdana Menteri Malaysia yang sederhana, kesederhanaannya tidak dilihat mungkin kerana beliau tidak menunjuk-nunjuk kesederhanaan itu. Beliau boleh sahaja memakai handphone jenama terkini jika beliau mahu.

Jika beliau yang selalu dimomokkan dengan pelbagai tuduhan liar oleh pihak tertentu, sudah tentu beliau boleh sahaja memakai handphone jenama IPhone 5S jenama baharu atau Samsung jenama terkini. Tetapi, DS Rosmah mengeluarkan handphone jenis lama yang bukan smartphone pun dari beg tangannya!

Selama ini, beliau akan menerima baik sesiapa sahaja yang memerlukan kehadirannya, walaupun kadang-kadang majlis itu akan membawa impak negatif kepadanya, tetapi kerana menghormati jemputan penganjur, beliau menghadirkan diri juga. Itu adalah kesederhanaan dalam sikap dan cara membuat keputusan.

Beliau hadir semalam dalam majlis Yayasan Pendidikan Cheras, malah kenyataan beliau hanya tidur lebih kurang 4 jam sehari membayangkan pengorbanan beliau kepada rakyat dan negara.

Beliau tidak kekok mendekatkan dirinya dalam majlis-majlis agama, majlis bersalawat ke atas Rasulullah SAW, majlis membaca yasin dan tidak lupa menunaikan umrah di Mekkah. Semua ini adalah kasihsayang Allah SWT kepada hambaNYA.

Saya yakin Allah SWT akan melindunginya dan memberi hidayah-hidayah yang berterusan kepadanya.



KISAH PETRONAS DAN PESANAN DS ANWAR IBRAHIM

on Thursday, July 3

Petronas Juga Boleh Dibeli Oleh Exxon, China Petroleum dan Israel Petroleum Company (IPC)?
Saya bukanlah ahli ekonomi ataupun ahli bisnesman yang bekerja untuk membuat keuntungan seberapa banyak. Jika saya CEO Petronas, nescaya saya akan beri penekanan kepada aspek kenegaraan di mana terbinanya Petronas dahulu bukanlah atas misi keuntungan semata-mata, tetapi dengan suatu matlamat yang sangat murni. Orang yang buta sejarah tidak akan faham apa makna murni dalam konteks nation building!

Saya tidak akan menulis tentang jumlah keuntungan, angkubah keuntungan, jumlah aset, jumlah kos dan apa jua angka-angka yang ada, kerana keuntungan bagi saya bukan terletak sebanyak mana jumlah keuntungan diperolehi Petronas. Keuntungan bagi saya ialah sebanyak mana Petronas berjaya menghasilkan orang-orang Melayu dan Muslim yang berpendidikan-wibawa, yang mana mereka ini tidak akan lupa diri sehingga sanggup memperlecehkan bangsanya sendiri.

Saya yakin jika manusia seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary menjadi CEO Petronas, tidak akan ada masjid yang lusuh dalam Malaysia ini. Saya juga yakin golongan yang berpendapatan rendah dengan majoritinya Bumiputera pasti akan mendapat pembiayaan pendidikan percuma di peringkat Diploma, Ijazah sehinggalah ke peringkat PhD. Bukannya memilih-milih yang terbaik sahaja dalam keputusan akademik SPM untuk dihantar ke luar negara, tetapi memilih sesiapa sahaja rakyat Malaysia yang berpotensi yang memerlukan biasiswa kerana mereka adalah aset negara pada masa hadapan. Seperti kata Perdana Menteri kita, "every single person" sangat penting kepada negara!

Kehidupan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang sukar semasa kecil sehingga mengorbankan pendidikannya sendiri kepada adik-adiknya telah memahat jiwanya untuk menjadi Muslim yang prihatin, Melayu yang tidak lupa daratan dan bangsa Malaysia yang bertanggungjawab kepada negara.

Malah, saya sangat yakin, jika Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary menjadi CEO Petronas, tidak akan ada syarikat Bumiputera yang diketepikan untuk diganti dengan syarikat lain yang kononnya lebih kompeten dan memenuhi merit. Bagi saya, perniagaan bukan setakat untung rugi sahaja, sebaliknya apakah bisnes nasional itu akan membentuk negarabangsa yang Islamik, patriotik dan nasionalistik. Apakah Petronas boleh mengaum di dunia antarabangsa jika pengasasnya tidak mempunyai kesedaran kenegaraan yang tinggi?

Apakah makna keuntungan di mata orang bisnes dan di mata para marhaen? Keuntungan di mata orang bisnes barangkali akan membolehkan mereka menerima imbuhan dan bonus tahunan 5 bulan atau paling kurang 6 bulan setiap tahun. Kepada golongan Marhaen, makna keuntungan yang digembar-gemburkan oleh Petronas itu sebenarnya empty kerana mereka masih membeli minyak kereta yang mahal di pasaran walaupun setiap tahun Petronas mengagungkan keuntungan yang berlipat-ganda.

Janganlah beri alasan itu kerja kerajaan untuk menurunkan harga minyak, bagi kita jika seseorang itu hebat mencipta keuntungan, mengapakah keuntungan itu tidak disalurkan kepada subsidi bahan bakar supaya kerajaan boleh memberikan subsidi contohnya kepada RM1.50 per liter bukannya RM0.70 per liter? Mengapa tidak berjaya meyakinkan kerajaan bahawa Petronas mampu membantu kerajaan dengan menampung subsidi yang lebih tinggi?

Bagi kita rakyat biasa, bonus sebanyak 6 bulan gaji atau 12 bulan gaji adalah bonus gila yang tidak masuk akal! Perdana Menteri sendiri sejak tahun 1957 tidak pernah menerima bonus melebihi dua bulan gaji! Jika Petronas itu dikatakan hak semua rakyat Malaysia, pulangkan bonus yang tak masuk akal, ikutlah cara kerajaan memberi bonus berpada-pada sebulan atau dua bulan gaji sahaja. Bayangkan, jika gaji seseorang di Petronas mencecah RM25,000 atau RM50,000 sebulan, kalaulah bonusnya 12 bulan gaji setiap tahun, anda kira sendirilah? Kesannya adakah rakyat akan melempiaskan kemarahan dan kebencian mereka kepada Petronas atau kepada Kerajaan? 

Petronas kena ingat, semua warga kampung, guru-guru, peladang, pemandu teksi, jaga, tentera, polis malah kereta-kereta kerajaan mengisi minyak kenderaan di stesen-stesen Petronas. Mereka turut memberi keuntungan kepada Petronas! Adakah anda pernah membuat pengamatan, mengapakah rakyat kurang mengisi minyak di stesen BP, Esso dan Shell? Jawapannya mudah, kerana rakyat mempunyai nilai Kenegaraan, Nation Building, Patriotik, Nasionalistik dengan memilih stesen Petronas kerana bagi mereka Petronas adalah Malaysia dan Malaysia itu terasnya Melayu. Malang sekali jika Petronas tidak memahami gambaran ini!

Begitu juga isu Royalti kepada negeri Sabah dan Sarawak, juga Kelantan dan Terenggganu. Saya tidak pernah dengar idea-idea daripada Petronas untuk membantu kerajaan untuk menyelesaikan isu tersebut? Pernahkah anda mendengarnya? DS Najib tidak pernah berkata tidak kepada tuntutan Royalti minyak oleh negeri-negeri tersebut, dan saya tidak hairan jika DS Najib memecah sejarah sebagai Perdana Menteri yang menyelesaikan isu ini. Soalnya, di mana peranan Petronas dalam konteks nation building untuk menyelesaikan isu ini? Jika kerajaan lewat menyelesaikan isu ini, sekali lagi rakyat akan menyalahkan Petronas atau menyalahkan kerajaan?

Di Sabah dan di Sarawak, kenderaan persendirian, bas dan teksi masih menggunakan minyak petrol yang sudah tentu mahal. Walhal di Semenanjung Malaysia, teksi dan kenderaan persendirian sudah lama mengggunakan NGV yang lebih murah, jimat dan menguntungkan mereka. Janganlah beri jawapan masalah logistik dan sebagainya, kerana zaman sekarang semua perkara boleh dilakukan, melainkan otak jumud tiada idea. Isunya di mata rakyat Sabah dan Sarawak ialah Petronas menganak-tirikan hak mereka untuk menikmati kemerdekaan negara. Jika saya CEO Petronas, saya akan mengarahkan supaya stesen-stesen minyak di Sabah/Sarawak juga menyediakan NGV untuk kenderaan mereka. Janganlah hendak menipu rakyat di Sabah/Sarawak, saya pun tahu kapal-kapal ada membawa minyak Petronas ke Sabah/Sarawak. Apakah kapal-kapal itu tidak ada teknologi untuk membawa NGV?

Semasa saya bertemu Tun Dr. Mahathir di Bangunan Berkembar Petronas (ketika itu Tun Dr. Mahathir sebagai Penasihat Petronas) pada tahun 2012, saya berdiri di tingkat 88 itu dengan satu perasaan yang hebat kepada Petronas. Sebagai seorang Melayu, Muslim dan rakyat Malaysia, saya sangat berbangga kejayaan Petronas adalah kerana perjuangan dan airmata darah orang-orang yang terdahulu. Sebaliknya, hari ini ada orang sudah lupa, bahawa kerana atas nama Melayulah anda dilantik menjadi CEO Petronas, bukannya semata-mata kerana diri kamu. Adakah anda yakin anda akan dilantik menjadi CEO syarikat lain dengan hanya berbekalkan sijil-sijil anda?

Oleh itu, jika pun hendak menjadi liberalis dan liberalistik, janganlah bersombong dengan kejayaan yang sebenarnya telah dibina asasnya oleh orang-orang yang terdahulu! Jika esok CEO Petronas seorang yang cacat penglihatannya pun, Petronas tidak akan bankrap kerana asas-asasnya sudah dibina sejak sekian lama. Jadi, tiada guna untuk bermegah-megah.

Tan Sri Halim Saad, dahulunya taikun lebuhraya dan pelbagai bisnes, beliau pernah jatuh dalam tempoh yang agak lama dan kini membangunkan sendiri syarikat minyaknya, beliau semakin berjaya dan saya yakin beliau akan kembali ke persada CEO terbaik Bumiputera tidak lama lagi. Kalau sesiapa mengakui dirinya terhebat tanpa bantuan kerajaan, silalah buktikan, binalah syarikat sendiri dan bangunkan sehingga berjaya sebagaimana dibuktikan oleh Tan Sri Syed Mokhtar Bukhary, Tan Sri Halim Saad, Tan Sri Azman Hashim dan sebagainya.

Akhir kata, marilah kita menghayati pesanan bersejarah DS Anwar Ibrahim di bawah, khususnya kepada mereka yang mudah lupa.

Sama ada kerajaan akan menggantikan CEO Petronas kepada mereka yang lebih sesuai, itu terserah kepada kerajaan. Kita rakyat biasa hanya memberi pandangan sahaja.


Pesanan Berharga DS Anwar Ibrahim Kepada Orang Melayu

Al-Azharri Siddiq,
Presiden Penaja,
Yayasan Pendidikan Islam & Masa Hadapan Negara,
Kuala Lumpur.

* Artikel ini tidak merujuk kepada sesiapa. Ianya pandangan umum kepada GLC kebanggaan rakyat Malaysia, iaitu Petronas.







Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan