7 SOALAN KEPADA SAIFUDDIN ABDULLAH

on Tuesday, September 30

AKTA HASUTAN
1. Selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapuskan adakah keselamatan, keamanan dan keharmonian di dalam negara kita bertambah baik atau bertambah buruk? 

Kenyataannya, mereka semakin biadap mencabar undang-undang, memperlekeh instrumen dan tatabernegara. Percubaan untuk merosakkan keamanan dalam negara semakin menjadi-jadi, pelbagai provokasi menghiris hati dikeluarkan, Ketua Polis Negara digelar Nazi, Polis dihina monkey, orang Melayu dipanggil babi, isntitusi Raja-Raja dicabar. Semua ini bentuk-bentuk hasut yang bakal membakar api perkauman dan keamanan dalam negara boleh hancur sekelip mata.

2. Apabila Akta Sosma menggantikan ISA, anasir-anasir subversif dan musuh-musuh dalam selimut, bukan sahaja tidak takut malah tidak berasa gerun dengan Akta Sosma itu. Begitu juga dengan nama Akta Keharmonian Nasional, tiada rasa apa-apa kegerunan di dalam hati anasir subversif untuk menghasut, berbanding Akta Hasutan didengar sahaja terasa gerun. Soalan kedua, yang mana anda akan lebih gerun mendengarnya Akta Hasutan atau Akta Keharmonian?

3. Datuk katakan semakin ramai orang mahu Akta Hasutan dihapuskan. Berapa ramai? Siapakah orang-orang itu? Datuk ada statistiknya? Jangan membuat kesimpulan umum tanpa sokongan fakta dan data! Jangan memberi gambaran yang salah kepada Perdana Menteri.

4. Datuk bercakap hal hak asasi dan kebebasan rakyat, itu adalah doktrin barat yang disebut oleh Profesor Samuel Huntington sebagai pertembungan tamadun. Sebagai sebuah negara di mana Islam menjadi agama persekutuan dan anutan majoriti sejak sebelum merdeka, kita mempunyai nilai-nilai Islam, malah Islam jauh lebih baik berbanding doktrin barat yang diketuai Amerika. 

Adakah menjadi hak asasi rakyat untuk mencabar Raja-Raja dan mencabar undang-undang negara? Adakah menjadi kebebasan yang dibenarkan untuk melabel alat-alat negara dengan begitu hina dan dina?
KEISTIMEWAAN AHLI PARLIMEN
5. Datuk menuduh penyokong mempertahan Akta Hasutan sebagai tidak substantif. Apakah yang tidak substantif? Hari ini mereka bukan sahaja memperlekeh institusi Raja-Raja yang dipertahan di dalam Akta Hasutan, malah mereka mencabarnya. Hari ini bukan sahaja mereka mempertikai dan mengungkit hak istimewa orang Melayu tetapi mereka mahu menghapuskannya dan menyamaratakannya konon atas nama keadilan. Malangnya, apabila mereka memerintah adakah hak istimewa orang-orang Melayu dihormati? 

Di luar sana, ada ramai anak-anak Melayu yang masih dambakan bantuan kerajaan, kita tidak sepatutnya mempertaruh masa hadapan dan hak istimewa mereka atas nama hak asasi.

6. Saya mencabar Datuk Saifuddin Abdullah menetap selama 3 tahun di Singapura atau di negeri Pulau Pinang. Sekiranya Datuk boleh bertahan, saya akan menukar pendirian saya supaya Akta Hasutan dimansuhkan. Kenapa di Singapura dan Pulau Pinang? Kerana di sana barangkali Datuk akan dapat merasai mengapa Akta Hasutan mesti dikekalkan. 

Oleh kerana Datuk duduk di negeri yang ada Raja-Raja maka keamanan, keharmonian dan kebahagiaan dapat dinikmati. Sebaliknya, apabila Akta Hasutan berjaya dihapuskan dan seterusnya menjejaskan institusi Raja-Raja, adakah ada jaminan huru-hara tidak akan berlaku. Sedarilah, krisis di Selangor baru-baru ini membuktikan Sultan Selangor berjaya mengelak rakyat dan negeri Selangor diambang porak-peranda!

7. Dalam perjalanan kita menuju negara maju pada tahun 2020, negara kita memerlukan sebuah undang-undang yang tegas dan kuat. Komposisi kaum dan kepelbagaian fahaman yang berpotensi menggugat keamanan negara boleh diatasi dengan adanya suatu undang-undang yang digeruni seperti ISA dan Akta Hasutan. 

Isunya, kalau anda tidak menghasut, tiada niat menghasut, tidak bertindak menghasut dan sebagainya mengapa perlu takut kepada Akta Hasutan! Akta ini hanya digunakan kepada mereka yang mempunyai niat yang buruk sahaja.

Ingatlah pesanan mendiang pakar psywar mendiang C.C. Too, katanya komunis memang sudah kalah di Malaysia tetapi fahaman komunis tidak pernah mati, malahan ianya bertukar dalam bentuk lain yang lebih kompleks.

Sekarang pun, belum pun sempat Akta Hasutan dihapuskan atau dipinda, bermacam-macam sudah perbuatan hasut-menghasut berlaku. Bayangkan jika esok Akta Hasutan ini sudah tiada, adakah ada jaminan keamanan dan keharmonian negara boleh dikekalkan?

Ayat Tun Dr. Mahathir yang popular, kamu Melayu, 'Melayu mudah lupa'!

Ulangan pertama dan kedua

JIKA SAYA MENJADI CALON PAS DAN 'NEW POLITIC'

on Sunday, September 28

PERKEMBANGAN-PERKEMBANGAN yang berlaku di dalam parti PAS akan hubungan politiknya dengan PKR dan DAP nampaknya banyak merugikan parti PAS dan ahli-ahlinya.

Kemelut di Selangor baru-baru ini menguji kematangan politik PAS dalam hubungan tahalul siyasi mereka. Pendirian PAS tidak dihormati oleh rakan-rakan mereka malah lihatlah kesan buruknya kepada PAS:-

1. Jumlah Exco PAS telah dikurangkan daripada 4 kepada 3. Rujuk

2. Sebelumnya 2 Wakil Rakyat PAS sudah tidak lagi wala' dan bai'ah kepada Presiden. Rujuk

3. PAS kalah dalam PRK Pengkalan Kubor di mana BN menang majoriti yang lebih besar. PKR dan DAP tidak begitu membantu atau langsung tidak membantu. Rujuk

4. Ahli Jawatankuasa Tetap MPPP telah dikeluarkan hanya kerana ucapannya semasa Muktamar PAS di Batu Pahat. Rujuk

5. Wakil Rakyat PAS tidak menolak kemungkinan menyaman Presiden PAS. Rujuk

6. DAP pula memutuskan 4 Wakil Rakyat PAS sebagai Pengkhianat walaupun telah dijelaskan oleh mereka bahawa ianya suatu pengorbanan mereka untuk mengelak mantan MB TS Khalid Ibrahim daripada terpaksa melantik Exco dari parti lain. Rujuk

Berdasarkan rentetan tindakan DAP dan PKR ke atas PAS itu, kita dapati mereka sudah tidak lagi menghormati PAS. Malah mereka tidak lagi memandang PAS sebagai kawan mereka. Malahan mereka tidak segan silu menghukum PAS tanpa memikirkan sumbangan PAS selama ini.

Sebagai pemerhati politik, saya mencadangkan supaya PAS tidak perlu menunggu keadaan lebih parah dan merugikan PAS sebagai sebuah parti politik Islam dan sebagai sebuah gerakan Islam. Tanda-tanda yang sedang berlaku menunjukkan adalah lebih baik PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan berdiri sendiri sebagai sebuah parti dan gerakan Islam yang bermaruah dan dihormati.

JIKA SAYA JADI CALON PAS? 
PAS tidak perlu bergabung dengan UMNO, kerana kewujudan PAS sangat penting untuk memberi check and balance kepada pemerintah. Walaupun dari sudut sejarah parti PAS itu lahir daripada tulang rusuk UMNO, tidaklah menghalang ahli-ahlinya daripada bekerjasama dengan parti UMNO. 

Sekarang pun ramai ahli-ahli PAS bekerjasama dan rapat dengan kerajaan dan pemimpin-pemimpin UMNO, contohnya mantan Timbalan Presiden PAS dan ramai lagi. Mereka membantu kepimpinan DS Najib dalam hal-hal yang berkaitan Islam, dia tidak pun dipecat sebagai ahli PAS.

Begitu juga, apabila Tun Dr Mahathir keluar sekejap dari UMNO semasa era Pak Lah, pada masa itu TG Nik Aziz mempelawa Tun Dr. Mahathir menyertai PAS. 

Di Indonesia, Naib Presiden Jusuf Kalla sebagai pemimpin parti Golkar bertanding menggunakan lambang parti lain dan dia menang. Di Malaysia, apakah ahli UMNO tidak boleh bertanding menggunakan tiket PAS, atau ahli PAS bertanding menggunakan tiket UMNO kerana terdapatnya isu-isu dalam sesuatu kawasan. Inilah yang diucapkan oleh DS Najib bahawa kita mesti terbuka dengan konsep 'new politic'.

Sebenarnya ianya boleh, di Selangor baru-baru ini 12 ADUN UMNO memberi sokongan kepada mantan MB TS Khalid dan 4 Exco PAS. Malahan dalam kemelut itu, pemerhati dan penulis-penulis politik UMNO memberi sokongan kuat kepada PAS dan TG Haji Hadi. Akhbar-akhbar perdana memberi sokongan kuat kepada Presiden PAS semasa Muktamar PAS di Batu Pahat.

Saya bersetuju dengan ucapan wakil PAS Kalabakan semasa Muktamar PAS di Batu Pahat baru-baru ini supaya sesuatu mesti dibuat dengan segera untuk menyelamatkan parti PAS.

Adakah saya tidak boleh bertanding menggunakan lambang PAS?








DEWAN BAHASA & PUSTAKA TIDUR ATAU MATI ?

on Thursday, September 25

Apa sudah jadi dengan Bahasa Kebangsaan negara kita?
Matlamat Dewan Bahasa dan Pustaka yang tercatat dalam Akta DBP (semakan tahun 1978, pindaan dan peluasan 1995) adalah seperti berikut:
  • untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi;
  • untuk memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan;
  • untuk mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku-buku, majalah-majalah, risalah-risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa-bahasa lain;
  • untuk membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan;
  • untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul; dan
  • untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya ia akan digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Sumber kuasa DBP ialah  Perlembagaan Persekutuan dan Akta A930 Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Pindaan dan Perluasan 1995).

Visi DBP ialah menjadikan Bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dalam dunia ini. Namun perkara yang berlaku di Danga Bay, Johor Bahru sangat mengejutkan saya. Sebagai sebuah negara yang merdeka dengan mempunyai undang-undang bahasa, saya amat terkejut mengapa di dalam negara sendiri Bahasa Melayu diketepikan dengan begitu tragis, menyedihkan dan memalukan. Ianya pula berlaku di negeri Johor, yang disebut-sebut dengan bangganya sebagai ibu budaya kepada negara kita.

Misi DBP pula ialah meningkatkan penggunaan Bahasa Melayu. Ianya suatu yang amat lucu apabila di dalam negara sendiri Bahasa Kebangsaan tidak boleh dipulihara, dikuatkuasa penggunaannya dan paling malang ianya seolah-olah tidak bernilai.

Wawasan DBP pula dinyatakan hendak menjadi peneraju utama pengembangan Bahasa dan Persuratan Melayu dalam pembinaan negara bangsa. Dengan perkembangan terbaharu di Danga Bay, jelas membuktikan DBP tidak lagi mempunyai kekuatan untuk melaksanakan wawasan mereka. Pada pandangan saya, kesilapan yang berlaku di Danga, Bay di atas perlu diambil tindakan segera oleh pihak DBP sebagai pemegang teraju utama dalam pengembangan bahasa kebangsaan negara kita. Yang jelas bahasa China, bahasa Mandarin, bahasa Inggeris bukan bahasa Kebangsaan negara kita walau apapun alasannya hatta alasan ekonomi.

Manakala Falsafah DBP ialah 'Bahasa Jiwa Bangsa'. Jika bahasa kebangsaan tidak digunakan di tempat awam di dalam negara sendiri, sebaliknya bahasa asing boleh pula diletakkan dengan megah, cantik dan menarik, apakah ertinya sebuah kata-kata 'Bahasa Jiwa Bangsa' itu?
Sebagai sebuah negara yang merdeka, kita mesti menyelesaikan isu ini dengan segera. Janganlah kita berdiam diri dan berpeluk-tubuh sahaja kerana jika kita berdiam diri, kelak ianya akan menjadi perkara lumrah, dan kesannya generasi akan datang sudah tidak lagi melihat bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama, bahasa perhubungan dan bahasa perpaduan. Bagaimana hendak bercakap hal nation building jika hal bahasa kebangsaan pun tidak mampu ditangani.

Saya merayu Parlimen Malaysia melakukan sesuatu untuk memulihara martabat bahasa Kebangsaan di dalam negara sendiri. Barangkali DBP tidak ada kekuatan untuk menerobos isu ini. Amat sedih untuk berkata DBP tidur atau mati. Bangunlah.


GELOMBANG KEPIMPINAN POLITIK SABAH, KETUA MENTERI BAHARU?

on Sunday, September 21

DSP PAIRIN KITINGAN DAN DSP MUSA AMAN
POLITIK Sabah nampaknya sudah sekian lama berada dalam zon tenang, namun khabar dari Kota Kinabalu amat merisaukan, khususnya sokongan kepada kepimpinan kerajaan negeri Sabah khabarnya sedang berhadapan gelombang.

Jika kita melihat ke belakang politik Sabah, ianya bergolak hampir setiap 10 tahun. Pergolakan politik yang dialami oleh Tun Datu Mustapha pada tahun 1974, mengakibatkan beliau tumbang kepada parti BERJAYA pada tahun 1975. Ketika itu, TS Harris Salleh dan DSP Pairin Kitingan keluar dari USNO dan menyertai parti baharu BERJAYA. 

Kemudiannya, pada tahun 1984, DSP Pairin Kitingan keluar dari parti BERJAYA dan menubuhkan parti PBS. Beliau menang tipis pada Pilihanraya Negeri Sabah 1985 (PBS 25, USNO 16, BERJAYA 6, Pasok 1). Oleh kerana berlakunya ketidakstabilan politik, DSP Pairin Kitingan bertindak berani membubarkan DUN dan pilihanraya negeri dalam tempoh setahun itu (1986) dimenangi oleh PBS dengan menikmati jumlah kerusi yang lebih besar (34 kerusi berbanding USNO 12, BERJAYA 1, UPKO 1).
Masyarakat Bugis Sabah Di Zaman British North Borneo
Politik Bugis Sabah
Sebelum kemasukan UMNO di Sabah, masyarakat Bugis di Sabah mempunyai dua orang wakil dalam Dewan Undangan Negeri Sabah iaitu Datuk Hj. Said Senang (Merotai) dan Datuk Salim Bacho (Kunak). 

Apabila UMNO bertapak di Sabah, tidak ada satu pun Bahagian UMNO di Sabah yang diketuai oleh masyarakat Bugis Sabah, tetapi di Bahagian Kalabakan memberi peluang kepada masyarakat Bugis mengetuai Ketua Pemuda, Ketua Wanita malah Timbalan Ketua Bahagian dan Naib Ketua Bahagian.

Namun begitu, UMNO masih memberi peluang kepada masyarakat Bugis Sabah dengan memberikan satu kerusi DUN di Merotai sebelum dipindahkan di DUN Pulau Sebatik. 

Di DUN Kunak, selepas Datuk Salim Bacho tidak pernah lagi masyarakat Bugis di Kunak diberi peluang walaupun statistik masyarakat Bugis di Kunak sangat ramai.

Satu perkara yang jelas ialah masyarakat Bugis Sabah adalah penyokong tegar kepada UMNO dan BN walaupun calon BN itu bukan daripada bangsa mereka. Contohnya, majoriti pengundi di DUN Merotai adalah masyarakat Bugis dan mereka tetap memberikan undi kepada calon BN walaupun ianya calon dari parti LDP. Mereka tidak memberikan undi kepada bangsa mereka yang bertanding sebagai calon Bebas.

Namun begitu, keputusan PRU13 menunjukkan generasi Bugis Sabah yang ke-3, ke-4, ke-5, ke-6 dan seterusnya tidak lagi boleh dilihat begitu. Ianya suatu cabaran besar kepada UMNO dan BN. 

Contohnya, jumlah undi yang diperolehi oleh calon PAS di Kalabakan (PRU13) menghampiri angka 10 ribu undi (8,904 undi) adalah suatu angka yang besar. Sekiranya pada masa hadapan PAS meletakkan calon yang sesuai, ianya pasti menunjukkan angka yang lebih besar.

KETUA MENTERI SABAH 1963-2014
Gelombang Kepimpinan Baharu Sabah
YAB DSP Musa Aman merupakan Ketua Menteri Sabah yang paling lama dalam sejarah negeri, iaitu sejak tahun 2003 hingga sekarang (11 tahun).

Saya meramalkan akan berlaku peralihan kepimpinan dan jika ianya benar, sebaik-baiknya ianya boleh dilakukan dalam masa yang sesuai supaya pengganti beliau mempunyai masa sekurang-kurangnya 3 tahun untuk memantapkan pentadbirannya di dalam Kerajaan dan parti sebelum PRU14.

Tun Fuad Stephens dua kali menjadi Ketua Menteri (1963-1964) dan (1976) walaupun dalam masa yang sangat singkat. Jasanya diingati kerana peranannya memerdekakan negeri Sabah dan hubungan baiknya dengan dunia luar.

Manakala Tun Datu Mustapha menjadi Ketua Menteri Sabah selama 8 tahun (1967-1975), beliau diingat kerana menjadikan negeri Sabah disegani dan beliau merupakan Bapa Kemerdekaan negeri Sabah yang tidak mungkin dilupakan. Arwah nenek saya pernah berkata, semasa Tun Datu Mustapha memerintah, harga barang sangat murah.

Semasa TS Harris Salleh memerintah (1976-1985), satu perkara yang diingati ialah beliau berjaya membangunkan insfrastuktur dan ekonomi negeri Sabah dengan sangat rancak. Ketika saya bersekolah di zaman pemerintahan BERJAYA, semua keperluan sekolah diberikan percuma dari darjah 1 hingga sekolah menengah. Pakaian, alat tulis, buku, susu sekolah dan sebagainya diberikan sebanyak dua kali setahun.

Manakala, DSP Pairin Kitingan (1985-1994) diingati kerana keberanian beliau memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah di dalam Malaysia. Dalam tesis sarjana saya di sini, terdapat satu penemuan yang mengejutkan saya ialah semasa keputusan PBS keluar daripada BN pada tahun 1990 dahulu, saya dapati ianya bukan keputusan DSP Pairin Kitingan. 

Ramai orang telah membuat salah sangka kepada DSP Pairin Kitingan kononnya beliaulah yang bertanggungjawab mengeluarkan PBS dari BN. Sebab itulah, saya tidak terkejut bilamana DSP Pairin Kitingan menyertai semula BN pada tahun 2002.

Saya melihat ada gelombang baharu kepada kepimpinan kerajaan dan politik negeri kebelakangan ini. Saya amat bimbang kelewatan pucuk pimpinan politik membuat keputusan akan memberi kesan yang negatif kepada BN Sabah.

UMNO di Sabah tidak boleh merasa selesa dengan kedudukan kerusi yang mereka miliki kini, kerana apa-apa pun boleh berlaku. Jika DSP Lajim Ukin boleh berhijrah dengan begitu mudah, apakah orang lain tidak boleh berhijrah sekelip mata? Tiada jaminan.
DSP DR. SALLEH SAID KERUAK
DSP Dr. Salleh Said Keruak
Untuk komentar pertama gelombang ini, saya mulakan dengan DSP Dr. Salleh Said Keruak kerana ayah beliau adalah salah seorang pejuang negeri yang banyak berjasa pada zamannya. Semasa Tun Said Keruak bertugas sebagai pegawai tadbir di daerah, beliau telah menunjukkan kepimpinan membangunkan negeri. 

Apabila anak beliau DSP Dr. Salleh Said Keruak menjadi Ketua Menteri Sabah (1994-1996) dan kini sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah dan juga Speaker DUN Sabah, saya memberi perhatian yang lebih kepada beliau. 

Beliau mempunyai visi yang jelas untuk membangunkan negeri Sabah, ianya tergambar dalam tesis Sarjana Kedoktoran beliau yang sempat saya baca dan saya mengkaguminya. Pengalaman beliau dalam politik dan pentadbiran kerajaan merupakan aset yang penting kepada negeri Sabah.

Bersambung...

Selamat Berhari Minggu.
Aramaiti.






SAIFUDDIN ABDULLAH, RUPERT COLLVILE (2014) HAROLD MAC MICHAEL(1945)

on Wednesday, September 17

Jurucakap Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia
Saya ingin mengingatkan kepada Kerajaan dan rakyat Malaysia akan peristiwa yang berlaku pada tahun 1945. Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, kuasa-kuasa besar kembali ke tanah jajahan mereka dengan niat untuk memperkuatkan lagi cengkaman mereka.

Di Tanah Melayu, kerajaan penjajah British telah mengambil langkah drastik dengan mengarahkan Harold Mac Michael yang masih bertugas di Palestin, diterbang ke Tanah Melayu, dengan misi utama menjayakan penubuhan kerajaan baharu bernama Malayan Union.

Harold Mac Michael tidak tahu berbahasa Melayu, juga tidak tahu sosio-politik di Tanah Melayu. Dia tidak tahu Raja-Raja Melayu sudah berakar umbi sejak beratus tahun dengan mempunyai kuasa pemerintahan tersendiri. Harold Mac Michael datang dengan tugas memaksa semua Raja-Raja Melayu supaya supaya menandatangi perjanjian Malayan Union.

Jika bukan kerana NGO-NGO dari seluruh Tanah Melayu, termasuk dari Singapura, Sabah dan Sarawak, yang bersatu dan membentuk parti UMNO, barangkali negara kita merdeka lebih lama dari tahun 1957. 

Begitu juga Rupert Collvile dari Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Asasi Manusia. Siapa dia Rupert Collvile?. Adakah dia mempunyai pengetahuan mengenai sejarah dan sosio-budaya rakyat Malaysia? Adakah dia mengetahui bahawa konsep Hak Asasi Manusia tafsiran PBB tidak semstinya sesuai dengan rakyat Malaysia.

Negara kita tanggungjawab kita
Negara kita adalah negara merdeka, sesiapa pun tidak boleh memaksa nilai-nilai asing ke atas nilai-nilai masyarakat Malaysia yang merdeka.

Kita mesti memiliki jiwa merdeka seperti Presiden Sukarno dan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Di atas kepercayaan kepada bangsa Indonesia, Presiden Sukarno telah mengarahkan Indonesia keluar dari PBB pada tahun 1965, kerana tidak mahu Indonesia menjadi paksaan Imperialisme Amerika yang berselindung di sebalik PBB. Begitu juga, Tun Dr. Mahathir tidak hendak menjadi hamba IMF, USAID dan World Bank dengan menolak penjajahan ekonomi ke atas Malaysia pada tahun 1998.

Mereka mendesak Malaysia menghapuskan ISA, tetapi di Amerika mereka sendiri menguatkuasakan Akta Patriot. Bahkan di Singapura, PBB tidak ada kekuatan untuk mendesak pemerintah Singapura menghapuskan Akta Hasutan dan ISA! Jadi, mengapa kita negara merdeka mesti tunduk kepada desakan salah satu bahagian di dalam PBB. 

Negara Malaysia hendaklah dibenarkan menggunakan undang-undangnya sendiri, yang diputuskan oleh ahli-ahli Parlimen secara demokrasi. Undang-undang dari luar tidak boleh dipaksakan ke atas negara kita. Perlembagaan negara kita yang merupakan undang-undang yang tertinggi dalam konteks kenegaraan perlu dihormati oleh orang luar.

Negara kita tanggungjawab kita untuk mempertahankannya daripada anasir subversif yang tidak pernah berhenti untuk mengkucar-kacirkan negara kita sehingga hancur, dan akhirnya mereka mengambilalih, mentadbirnya dan mengaut segala hasil bumi negara kita ke negara mereka. 

Apakah anda buta? Lihatlah kekayaan minyak di Iraq dan Libya sekarang, siapakah yang mengaut kekayaan minyak di negara berkenaan? Adakah Amerika dan PBB ada lagi bercakap isu senjata biologi atau senjata nuklear di Iraq? Ternyata ianya dusta bukan.

Dato' Saifuddin Abdullah, dia antara individu yang buta sejarah kerana itulah dia bersetuju Akta Hasutan dan ISA dihapuskan. Bagi kita, jika kita tidak menghasut tiada sebab untuk kita takut kepada Akta Hasutan. Malah, Akta Hasutan itu menjadi pelindung kepada keselamatan, keamanan dan kebahagian di negara kita.

Mari bertanya kepada Dato' Saifuddin, mengapa rumah anda berpagar, mempunyai sistem alarm dan barangkali pengawal keselamatan? Kerana anda takut anasir subversif seperti perompak, pembunuh dan peragut memasuki rumah anda dan mencederakan anggota rumah anda bukan? Samalah juga dengan negara kita, mengapa kita perlu Akta Hasutan, kerana kita tidak mahu anasir subversif merosakkan keamanan negara kita.

Saya sarankan Dato' Saifuddin membaca buku-buku memoir Lee Kuan Yew, kerana Lee Kuan Yew akan mengajar anda bagaimana membentuk sebuah negara yang kuat dan rakyat yang berdisiplin!

Jika tidak bersetuju dengan saya, mari kita berdebat?


IDRIS JALA, BANGUNAN MAS, DATO' ONN JAAFAR

on Monday, September 15

MERCU TANDA GARUDA INDONESIA, MERCU TANDA MAS MALAYSIA???
MAS PERLU ADA MERCU TANDA KERANA IANYA LAMBANG PATRIOTIK NEGARA
PADA tahun 1948, apabila Parti Komunis Malaya (PKM) semakin kuat terutama selepas diketuai oleh Ong Boon Hua bersama rakan-rakannya, mereka melancarkan serangan bersenjata ke atas Kerajaan pada masa itu. Kerajaan terpaksa mengisytiharkan Darurat (1948-1960).

Pada ketika itu, kebanyakan anggota pasukan keselamatan terdiri daripada orang-orang Melayu. Kebetulan pada 1 Februari 1948, perjuangan UMNO di bawah Dato' Onn Jaafar berjaya menumbangkan pelan Malayan Union dengan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu. Dato' Onn Jaafar bukan setakat meletak jawatan sebagai MB Johor untuk memperjuangkan nasib bangsanya, malah bersara dengan tenang tanpa mempunyai wang dan harta.

Dari tahun 1948-1957, Tanah Melayu ditadbir oleh Pesuruhjaya Tinggi British tetapi di negeri-negeri Melayu, ianya diketuai oleh Raja-Raja Melayu. Inilah kejayaan orang Melayu pada masa itu dengan mengembalikan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Negeri di negeri masing-masing. 

Sekiranya mengikut pelan asal Malayan Union, kuasa negeri-negeri dipusatkan kepada Gabenor Jeneral Malayan Union. Kuasa Raja-Raja Melayu di negeri-negeri akan dihapuskan dan semua rakyat Malayan Union adalah rakyat British setaraf dengan rakyat Negeri-Negeri Selat.

Maka, kejayaan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948 itu tidak disenangi PKM yang bercita-cita mengambilalih pentadbiran Tanah Melayu. Mereka mahu memerintah Tanah Melayu dengan doktrin sosialisme dan komunisme.
Allahyarham Jen (B)Tun Ibrahim Ismail, Mantan Panglima ATM Sempat Saya Temui (2008), Pengorbannya Kepada Negara Tiada Tolok Bandingan
ISA DAN AKTA HASUTAN
Kerajaan pada masa itu telah memperkenalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk mencegah, menghapuskan dan mengawal anasir-anasir subversif seperti PKM daripada memporak-perandakan ketenteraman orang awam. 

Akta Hasutan 1948 turut diwujudkan untuk menghalang perbuatan provokasi yang akan menyebabkan negara berhadapan ancaman kekacauan. Kebanyakan negara-negara bekas tanah jajahan British masih mengekalkan ISA dan Akta Hasutan. 

Di Malaysia, walaupun kedua-dua akta ini sangat penting untuk memastikan rakyat hidup dengan aman dan damai, ianya cuba dihapuskan oleh sesetengah pihak melalui pemikiran-pemikiran barat seperti human right, kebebasan, samarata, pluralisme dan sebagainya di mana ternyata slogan-slogan itu nampaknya indah khabar dari rupa.

Dalam era moden ini, PKM sudah lemah di Malaysia tetapi nostalgia dan ideologi mereka tidak pernah mati. Mereka meletak senjata tetapi bukan meletak fahaman komunisme. Malah komunisme itu telah menjelma dalam pelbagai bentuk baharu yang tidak disedari. 

Perbandingannya, perarakan menentang kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin berbeza dengan perarakan menimbulkan kebencian ke atas sistem Raja-Raja Melayu. Demonstrasi memboikot ekonomi Israel berbeza dengan demonstrasi menimbulkan keraguan ke atas kuasa Raja-Raja Melayu ke atas negeri dan jajahan takluknya.
CEO MAS YANG PATRIOTIK BERJIWA MALAYSIA TULEN, TIDAK TINGGALKAN MAS KETIKA SENANG ATAU SUSAH, APATAH LAGI MENJUAL BANGUNAN MAS
BANGUNAN MAS
Seseorang yang tidak pernah ditangkap dan diseksa oleh penjajah, bukanlah menghairankan sekiranya tidak sensitif tentang kuasa Raja-Raja Melayu dan teras-teras pembinaan negara ini. Seseorang yang hanya tahu angka-angka Ringgit dan Dollar bukanlah menghairankan jika dia tidak peka pun kepada payung diRaja yang selama ini menaungi rakyat jelata. Jika saya CEO MAS, saya tidak akan menjual bangunan MAS kerana ianya lambang kenegaraan dan patirotik, bukannya setakat mercu tanda MAS sahaja. Hari ini, adakah MAS mampu membina sebuah bangunan seindah itu lagi? Adakah MAS memperolehi keuntungan setelah menjual bangunan MAS itu? 

Kamu tidak boleh berhujah dengan minda Ringgit dan Dollar di hadapan seorang Patriot tulen! 

Saya berpendapat menghapuskan Akta Hasutan adalah suatu kesilapan sejarah. Jikalau hendak dipindah beberapa perkara di dalam akta itu, silakan tetapi dalam konteks negara kita yang berbilang kaum dengan seribu satu macam ancaman ke atas perpaduan, saya fikir tindakan menghapuskan Akta Hasutan boleh menjadi suatu kesilapan yang maha besar pada masa hadapan. Generasi akan datang akan menerima kesannya.

Cuba fikirkan, membaca atau mendengar perkataan Akta Hasutan berbanding dengan Akta Keharmonian, mana satu yang ditakuti oleh sang penjenayah, perompak, pembunuh dan musuh negara. Secara jujurnya, sebut sahaja Akta Hasutan mereka yang mempunyai niat buruk akan menjadi kecut, sebaliknya sebut nama Akta Keharmonian mereka tiada rasa apa-apa ketakutan untuk melakukan jenayah. 

Bersambung...







SURAT TERBUKA KEPADA SAIFUDIN ABDULLAH

on Wednesday, September 10

DATUK RAHMAN DAHLAN BETUL, DATUK SAIFUDDIN ABDULLAH SALAH

Assalamualaikum Warahmatullahih Wabarakatuh.

BERKENAAN komentar YB Datuk A. Rahman Dahlan ke atas Datuk Saifuddin Abdulah, saya melihat ianya berpunca daripada awal lagi apabila Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) yang diberi amanah menerima cadangan-cadangan berkenaan penggantian Akta Hasutan 1948 kepada Akta Keharmonian Nasional telah tersalah urus dalam tindakan mereka.

MKPN dikhabarkan menerima cadangan malah bantuan daripada Majlis Peguam semasa menyiapkan Draf Undang-Undang Akta Keharmonian Nasional untuk diserahkan kepada pihak Kerajaan sebagai Majikan utama. 

Persoalannya kenapa ada pihak mengaku ianya sebagai Draf muktamad? Kenapa ada pihak mengaku ianya sahaja yang diterima untuk dipersembahkan kepada pihak Kerajaan? Menteri yang menjaga Undang-Undang dan Kehakiman pun tidak jelas percakapannya? Perbuatan itu sangat-sangat mengelirukan rakyat. Kita lebih jelas dengan penjelasan Tun A. Hamid Mohamad, mantan Ketua Hakim Negara tempohari.

Persoalan lainnya, adakah MPKN hanya menerima cadangan daripada Majlis Peguam sahaja? Bagaimana dengan badan-badan peguam yang lain seperti Majlis Peguam Muslim Malaysia, NGO-NGO berlatarbelakangkan undang-undang dan pakar-pakar sejarah negara? Adakah pensyarah-pensyarah di Jabatan Sejarah Universiti Malaya dan Majlis Profesor Negara diberi peluang memberikan pandangan mereka?

Kepada Datuk Saifudin Abdullah, adakah Datuk sengaja tidak tahu bahawa negara ini ada backround sejarah yang tersendiri dan mempunyai nilai kenegaraan yang unik? Adakah Datuk pura-pura tidak mengetahui bahawa Islam dan Melayu adalah entiti utama dalam kenegaraan Malaysia ini? Adakah Datuk pura-pura buta sejarah bahawa teras negara Malaysia ini adalah Islam dan Melayu? 

Saya tidak faham seseorang yang cuba menunjukkan sikap liberalistiknya rupa-rupanya seorang yang benar-benar kelihatan buta sejarah perihal asas, teras, latarbelakang malah tidak mempunyai pandangan jelas akan masa hadapan negara ini ke mana hendak dibawa?

Saya tidak melihat Datuk A. Rahman Dahlan cuba untuk menutup suara Datuk daripada berbicara, isunya ialah bicara Datuk songsang dan tidak cocok dengan masa hadapan negara ini. Saya sendiri melihat, jika Kerajaan mengambil kira pandangan Datuk, saya yakin negara kita akan menghadapi masalah besar untuk mempertahankan status-quo keamanan dan kedamaian hidup bernegara di Malaysia. 

Beritahu kepada saya dan rakyat Malaysia, apa metodologi Datuk untuk memansuhkan Akta Hasutan? Adakah Datuk ada membuat kajian berapa jumlah kes-kes hasutan yang berlaku sejak ISA dimansuhkan? 

Saya menemui beberapa orang Cina yang terpelajar dan mereka memberitahu kepada saya, kita silap kerana menghapuskan ISA. Baginya, langkah-langkah pencegahan lebih penting daripada langkah-langkah pembaharuan. Jika pembaharuan itu membawa lebih banyak keburukan lebih baik kekal dengan cara lama.

Datuk berada di luar sistem kerajaan, Datuk bukan lagi Ahli Parlimen, bukan juga Senator dan Timbalan Menteri. Berbeza dengan Datuk A. Rahman Dahlan seorang Menteri Penuh yang boleh direct bertemu YAB Perdana Menteri untuk membincangkan kemashlahatan rakyat dan negara. Daripada segi itu, Datuk sebenarnya sudah tidak relevan untuk bercakap bagi pihak Kerajaan walaupun Datuk diberi saguhati untuk berada dalam yayasan yang ada kaitannya.

Seseorang Menteri yang bertanggungjawab seperti Datuk A. Rahman Dahlan, berhak untuk bercakap mempertahankan Kabinet dan Kerajaan yang dia menjadi ahli utama, terutama apabila mengetahui kesilapan telah dilakukan oleh orang luar seperti Datuk.

Kesimpulannya, saya berharap Datuk lebih jelas bahawa MPKN bukan tugas utamanya membuat Rang Undang-Undang, melainkan menerima cadangan-cadangan daripada semua pihak (every single person kata YAB Perdana Menteri). MPKN apatah lagi Majlis Peguam tidak boleh membuat kata putus atau menutup ruang kepada orang lain untuk memberi pula cadangan mereka.

Soalnya, selain cadangan daripada Majlis Peguam, boleh Datuk bentangkan berapa jumlah cadangan yang diterima oleh MPKN daripada mana-mana agensi dan orang awam? Sila senaraikan kerana rakyat mahu tahu, Datuk sering bercakap soal transparance maka dedahkanlah, baharulah rakyat melihat cadangan itu datangnya daripada pelbagai pihak, bukannya daripada satu sumber sahaja.

Bagi saya, kalaulah Datuk tidak boleh memainkan peranan yang jitu di dalam MPKN, adalah lebih baik Datuk berundur sahaja dan berikan tempat itu kepada orang lain yang lebih berani, vokal dan berintegriti. 

Sebagai mantan Ahli Parlimen, Datuk patut tahu membezakan di antara kepentingan negara berbanding kepentingan politik. 

MPKN dalam watikah pelantikan (25/11/2013) dinyatakan supaya tidak cenderung kepada mana-mana aliran pemikiran pihak tertentu. Nampaknya perkara ini telah diabaikan.

Salam hormat,

Al-Azharri Siddiq.








NEGARA SABAH TIDAK MASUK AKAL

on Thursday, September 4

SABAH SEBUAH NEGARA, SATU REALITI SEJARAH (Gambar Hiasan)
MENJELANG Hari Penubuhan Malaysia pada 16 September 2014, terdapat pihak tertentu yang mengapi-apikan suasana khususnya di alam siber kononnya Sabah itu sebuah negara mengikut perjanjian 1963 dan pelbagai lagi isu-isu di dalam Perkara 20. 

Lebih lanjut lagi, usaha digerakkan seperti kempen mendapatkan tandatangan, ceramah dan seminar. Jika ianya bersifat akademik, saya fikir tiada masalah, tetapi seandainya ianya bersifat provokasi dan mempunyai niat yang jelas, pihak kerajaan tidak sepatutnya berlengah-lengah.

Sebagai ahli sejarah, saya tidak menafikan akan kewujudan Perjanjian 20 Perkara itu. Namun begitu, harus juga dilihat secara tepat sepanjang Sabah merdeka dan menyertai pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, adakah kerajaan persekutuan pernah menafikan mana-mana isu dalam Perkara 20 itu?

Soal agama rasmi misalannya, adakah kerajaan di Sabah sejak perikatan USNO/UNKO/SANAP/Pasok Momogun, BERJAYA,PBS dan BN sekarang pernah mengisytiharkan mana-mana agama sebagai agama rasmi Sabah? Sudah tentu jawapannya tidak bukan. 

Dalam konteks kerajaan persekutuan, Perkara 3 memang jelas menyatakan agama Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Hal ini tidak berlaku di Sabah kerana menghormati Perkara 20. 

Begitu juga dalam konteks istilah 'Negara' kerana wujudnya perkataan Yang DiPertua Negara dalam Perkara 18. Ianya bukanlah bermaksud Sabah itu sebuah negara, kerana dalam Perkara 19, dinyatakan nama bagi negeri dalam Perkara 19 itu ialah "Sabah" bukannya "Negara Sabah". Ini sangat jelas.

Pada era penjajahan, istilah state itu didefinisikan sebagai Negara dalam bahasa Melayu, sedangkan dalam terjemahan moden state itu merujuk kepada Negeri. 

Kita ambil contoh negara United Kingdom (UK). United Kingdom merupakan sebuah negara unitari beraja berperlembagaan, dan juga sebuah negara yang terdiri daripada empat negeri: England, Ireland Utara, Scotland, dan Wales. 

UK ditadbir oleh sistem berparlimen yang berpusat di ibu negara,London. Ireland Utara, Wales dan Scotland juga mempunyai pentadbiran peringkat negeri yang berbeza-beza kuasanya dan berpusat di ibu negeri masing-masing, iaitu Belfast, Cardiff dan Edinburgh. 

UK mempunyai tiga Wilayah Tanggungan Mahkota dan 14 Wilayah Luar Negeri yang tidak menganggotai UK secara resam. Wilayah-wilayah tersebut merupakan tinggalan Empayar British yang pernah menguasai satu perempat jumlah daratan sedunia di zaman kemuncaknya pada tahun 1922, menjadikannya empayar terbesar dalam sejarah. 

Kesan pengaruh British masih terasa di kebanyakan bekas jajahannya yang masih memakai bahasa, budaya dan sistem perundangan bekas penjajahnya. Sehingga ke hari ini ramai dalam kalangan bekas tanah jajahan British masih duduk di hadapan TV menonton bola sepak Inggeris (EPL), kerana hakikatnya masih lagi English Nice. Malah ada yang sangat kecewa apabila Manchester United, Liverpool atau Arsenal tidak menjadi juara.

NEGARA DALAM NEGARA
Kita hendaklah faham, bahawa Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan sesebuah negara hendaklah hanya mempunyai sebuah kerajaan yang sah sahaja, bukannya dua kerajaan. Bayangkan apakah akan terjadi sekiranya sebuah negara mempunyai 2 Perdana Menteri? Kita mesti faham bahawa tidak boleh wujud konsep "Negara dalam Negara", yakni tidak boleh ada dua pentadbiran dalam sesebuah negara.

Saya berpandangan, kita di Sabah tidak perlu terlalu emosi dan bermain dengan persepsi kerana sebagai sebuah negeri di dalam Malaysia, hak-hak kita sebagai "Sabahan" tetap terpulihara khususnya semua Perkara 20 itu.

Sebagai contoh yang lain, dalam hal Imigresen, walaupun Kerajaan Persekutuan berkuasa ke atas Imigresen tetapi dalam konteks Sabah & Sarawak, negeri kita masih mempunyai kuasa eksekutif di mana YAB Ketua Menteri mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak permohonan mana-mana pihak untuk memasuki Sabah. 

Sebab itulah apabila sesetengah individu yang dikesan berpotensi menimbulkan kekacauan di negeri Sabah atau Sarawak, YAB Ketua Menteri mempunyai kuasa untuk menghalangnya memasuki negeri. 

Begitu juga dalam hal Tanah, Kerajaan Persekutuan walaupun mempunyai Majlis Tanah Negara (MTN), tetapi kuasa-kuasa Tanah di negeri Sabah dan Sarawak masih di dalam genggaman kuasa kerajaan negeri.
BERNAMA TV, Topik : Hari Malaysia, Cabaran Baharu Patriotisme Dan Perpaduan
Pada 1 September 2014, apabila saya dijemput oleh Bernama TV dalam program Ruang Bicara, saya telah menyatakan bahawa keamanan, ketenangan dan kedamaian di negeri Sabah sekarang janganlah diruntuhkan hanya kerana ketidakpuasan kita di dalam beberapa perkara.  Saya sangat yakin Tun Datu Mustapha dan Tun Fuad Stephens semasa mereka memimpin negeri Sabah telah meletakkan asas yang kukuh untuk rakyat Sabah hidup aman bahagia di dalam Malaysia.

Malah, saya telah meminta pihak Kerajaan Persekutuan supaya menyenaraikan dan mendedahkan kepada rakyat Sabah dengan lebih terperinci jumlah Peruntukan dari Kerajaan Persekutuan dan projek-projek di kawasan masing-masing. Dengan cara itu, rakyat di Sabah boleh melihat sendiri jumlah peruntukan yang disalurkan di kawasan mereka. Kita mesti terbuka kerana rakyat semakin bijak. Dedahkan butir-butir Bajet itu secara terperinci di tiap-tiap kawasan bukannya secara jumlah besar, baharulah rakyat di Sabah merasai pembangunan di kawasan mereka tidak dianaktirikan.

Pengalaman ketika Lee Kuan Yew di Singapura dahulu, walaupun Singapura sudah berada di dalam Malaysia tetapi apabila Lee Kuan Yew melakukan lawatan ke luar negara, Lee Kuan Yew mengamalkan konsep "Negara dalam Negara". Dia membahasakan dirinya sebagai Perdana Menteri walaupun dia tahu Perdana Menteri adalah Tunku Abdul Rahman. Dia memperkenalkan pegawai-pegawainya di luar negara sebagai Duta-Duta walhal Singapura bukannya sebuah negara pada ketika. Anda boleh baca kisah ini di dalam buku "Memoir Lee Kuan Yew" yang ditulis oleh dirinya sendiri.

Kesimpulannya, konsep Negara Sabah adalah tidak masuk akal. 





Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan