SHAFEE ABDULLAH, PENEMUAN BAHARU

on Wednesday, October 29

Penemuan Baharu
Hujah TS Shafee Abdullah (gambar) menjadi faktor penting dalam penentuan nasib DS Anwar Ibrahim esok atau lusa. Adakah TS Shafee akan mengemukakan penemuan baharu? berbanding pasukan peguam DS Anwar yang dikatakan hanya mengemukakan hujah lama.

Peguam-peguam DS Anwar telah berpeluang memberi hujah terhebat mereka, ianya suatu perbicaraan yang sangat panjang, banyak perkara berulang-ulang, nampaknya tiada penemuan baharu kata pemerhati, ianya menjadi penanda aras yang sukar kepada pasukan Anwar. Ramai orang sangat terkejut dengan keputusan ketua pasukan peguam DS Anwar, Sulaiman Abdullah, menarik diri lagi.

Semasa saya bertemu TS Shafee di Mekah dua tahun lalu, beliau seorang yang sangat simple hanya berdua dengan anak lelakinya, jika saya tidak silap.

DS Anwar sangat gerun kepada TS Shafee, bukan sahaja kerana mereka seangkatan, sangat kenal-mengenali berpuluh-puluh tahun, malah tiada satu pun 'trick' DS Anwar yang tidak diketahui oleh TS Shafee. Begitulah gambarannya. TS Shafee pernah berkata, dia lebih kenal DS Anwar berbanding Tun Dr. Mahathir.

Jika anda mahu menggunakan perkhidmatan TS Shafee, bukan perkiraan wang intinya, tetapi apakah anda sanggup bangun subuh buta jika dipanggil, adakah anda akan terkejut jika yang mengetuk pintu rumah anda bukannya posmen TS Shafee tetapi dia sendiri, dan adakah anda sanggup menerima panggilan telefon di kala anda sedang lena diulit mimpi. Adakah anda sanggup datang ke pejabatnya pada subuh jantan sekiranya dipanggil. Guaman adalah dirinya dalam dirinya.


Sekuriti, Integiriti dan 10,000 Patah Perkataan
Saya mendengar, anda tidak akan menerima sehelai kertas pun daripada TS Shafee melalui orang ketiga, beliau akan membuatnya sendiri dari A hingga Z. Sampai ke tahap itu integriti dan sekuriti yang diamalkannya. 

Maka tiada siapa mampu mencubabelinya jauh sekali merasuahnya, jika sesiapa mencubanya pasti akan kecewa. DS Anwar tahu hal ini, kerana itu DS Anwar berusaha membatalkan TS Shafee daripada menjadi pendakwa.

10,000 patah perkataan yang dilontarkan oleh peguam-peguam termahal DS Anwar, tidak akan sama dengan 100 patah perkataan yang dikeluarkan oleh TS Shafie.

Kita tidak bercakap siapa salah siapa betul, itu hak peguam-peguam kedua-dua belah pihak, dan hak hakim-hakim untuk menentukan selepas selesai semua hujah masing-masing. Asasnya ialah keadilan mesti ditegakkan, sama ada kepada DS Anwar atau kepada Saiful.

Kerajaan tidak ada apa-apa kepentingan dalam isu ini, ianya kes DS Anwar dengan bekas pembantunya Saiful Bukhari.

Bagi saya bukan soal siapa kalah siapa menang, bagi saya rakyat dan negara kita mesti kekal aman, damai dan harmoni selepas selesai perbicaraan ini. Kita perlu ada muka buku yang baharu. 









KERAJAAN DICADANG HAPUSKAN BIROKRASI SIJIL LAHIR DAFTAR LEWAT, KECICIRAN MERUGIKAN NEGARA

on Saturday, October 25

ADAKAH KERANA MASALAH DOKUMENTASI? KAJIAN TERPERINCI PERLU DILAKUKAN SEGERA
Negara kita Malaysia sudah 57 tahun merdeka, manakala negeri Sabah pula sudah 51 tahun merdeka dan bersama-sama dengan Sarawak membina sebuah negara persekutuan Malaysia yang berdaulat sehingga ke hari ini.

Proses kenegaraan bukanlah suatu proses yang mudah dengan cara membentangkan undang-undang dan seterusnya mendesak rakyat mematuhinya. Pak Lah mantan Perdana Menteri bercakap tentang keikhlasan dan undang-undang, sila baca di sini

Undang-undang yang fleksible ialah undang-undang yang boleh berubah mengikut kesesuaian zaman, asalkan asasnya tidak berubah. Undang-undang bikinan manusia boleh diperbaiki, hanya Al-Quran sahaja tidak boleh diubah kerana ianya sudah lengkap sehinggalah ke hari kiamat.

Saya mencadangkan supaya kerajaan memperbaiki beberapa peraturan yang menyukarkan kehebatan rakyat kita daripada memberi sumbangan yang lebih besar kepada negara kita, khususnya kepada negeri Sabah.

Di Sabah terdapat beratus-ratus malah beribu pelajar yang mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM tetapi kebijaksanaan mereka tidak dapat digunakan untuk membangunkan negara kerana masalah dokumentasi. 

Mudah kata mereka tidak memiliki Kad Pengenalan, ataupun mudah difahami stateless "rakyat tanpa negara". Mengapa ianya berlaku?

Terdapat di kalangan mereka dilahirkan di Sabah tetapi mereka tidak mempunyai Kad Pengenalan kerana ibubapa memiliki Kad Pengenalan selepas mereka dilahirkan (selepas permohonan Kewarganegaraan mereka berjaya), ataupun ibubapa mereka tidak memiliki dokumen diri yang lengkap, ataupun ibubapa mereka meninggal dunia dan sebagainya.

Terdapat tuduhan kononnya ibu bapa mereka mendapat kad pengenalan melalui sindiket dan sebagainya. Saya mendapati tuduhan itu tidak benar, kerana melalui kajian saya, mereka sebenarnya mendapat kewarganegaraan melalui proses yang dibenarkan oleh perlembagaan, hanyasanya mereka rajin berusaha.

Contoh 1 : Seseorang rakyat Indonesia, China ataupun Filipina, dia bekerja di Sabah pada tahun 1950. Ketika itu Permit Kerja dikeluarkan oleh kerajaan British kerana Sabah belum lagi merdeka. Apabila Sabah merdeka pada tahun 1963, mereka ini mendapat kerakyatan melalui pelbagai mekanisme seperti permohonan, penganugerahan dan naturalisasi.

Pada tahun 1963 dahulu ketika Suruhanjaya Cobbold, kerajaan British memberi pilihan sama ada mereka mahu menjadi rakyat Malaysia atau menjadi rakyat British atau kekal menjadi rakyat negara asal mereka. 

Contoh 2: Seseorang rakyat Indonesia, China, Filipina, Pakistan dan sebagainya datang ke Sabah selepas tahun 1963. Permit Kerja dikeluarkan di Kota Kinabalu oleh kerajaan negeri Sabah. Selepas lebih 10 tahun, mereka layak memohon kewarganegaraan Malaysia. 

Ada di antara mereka memperolehi Kad Pengenalan warna Hijau dan Merah, mereka tidak berputus asa walaupun terpaksa menunggu lagi 12 tahun untuk memohon kewarganegaraan Malaysia. Ada di antara mereka lulus tetapi ada juga di antara mereka gagal. Mereka yang gagal pula akan memohon lagi sehingga mereka berjaya.

APAKAH HASIL SIASATANNYA? MASALAH KECICIRAN DI SEMENANJUNG MALAYSIA SUDAH DISELESAIKAN SEJAK TUN DR. MAHATHIR MENJADI MENTERI PELAJARAN (1979) 
SIJIL LAHIR DAFTAR LEWAT
Saya ingin mencadangkan supaya kerajaan memansuhkan penggunaan istilah "Daftar Lewat" kerana kebanyakan pelajar-pelajar yang cemerlang tadi diletakkan istilah "Daftar Lewat" dan ianya menghalang untuk mereka memajukan diri, negeri dan negara. 

Dalam konteks Sabah, kelewatan mendaftar kelahiran anak mereka disebabkan oleh pelbagai faktor yang tidak dapat dielakkan antaranya sistem perhubungan jalanraya yang sukar, pengetahuan kenegaraan, lokasi Jabatan Pendataran Negara (JPN) yang jauh daripada tempat tinggal seperti di kem-kem balak dan ladang-ladang terpencil, dan banyak lagi.

Pada hari ini, pihak JPN tidak dapat memproses anak-anak yang menggunakan Sijil Lahir Daftar Lewat dengan alasan ianya perlu menunggu arahan kerajaan selanjutnya, khususnya menunggu keputusan RCI dimuktamadkan. 

Apabila umur mereka mencecah 30 hingga 50 tahun, baharulah mereka berjaya memiliki Kad Pengenalan selepas melalui proses yang panjang dan lama. Walhal semasa usia sekolah, mereka boleh menjadi Doktor, Peguam, Engineer, Guru dan sebagainya. Negara mensia-siakan bakat dan kebolehan mereka.

Perkara ini sangat merugikan negara dan negeri Sabah. Rakyat kita yang rajin, bijaksana dan berkebolehan tidak dapat memberi sumbangan yang lebih besar kepada negeri Sabah dan negara Malaysia hanya kerana peraturan tersebut.

Tan Sri Zainudin Maidin berkata ibubapanya berasal dari India dan Arab, hari ini dia menjadi Melayu atas kapasiti undang-undang negara dan dia berjaya memberi sumbangan yang besar kepada negara melalui kewartawanan dan mantan Menteri Penerangan. Baca di sini 

Saya yakin dan percaya, sekiranya Kerajaan boleh memperbaiki peraturan ini, lebih ramai rakyat di Sabah yang mengalami masalah dokumentasi ini boleh memberi sumbangan yang lebih besar. 

Sepatutnya dalam usaha kita menjadi negara maju menjelang tahun 2020, isu ini sudah boleh diselesaikan. 

Saya mencadangkan kepada Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai menteri yang bertanggungjawab, supaya memberi perhatian yang serius dalam isu ini. Saya juga yakin, jika isu ini boleh diselesaikan, keamanan, ketenteraman dan perpaduan rakyat Malaysia di Sabah boleh diperteguhkan lagi.

Dipersilakan untuk anda memberi pandangan anda pula. 

Selamat Berhari Minggu.
Aramaiti.









ZAM BUAT TAFSIRAN SALAH, MERUGIKAN MELAYU

on Monday, October 20

Saya terkejut dan tidak bersetuju dengan artikel terbaharu Datuk Zainuddin Maidin (Zam) yang bertajuk MEMANG BENAR MELAYU PUN PENDATANG.  

Zam menyatakan bahawa “Memang benar Melayu adalah juga pendatang seperti yang didakwa oleh wakil Gerakan Johor Tan Lai Soon di mesyuarat perwakilan parti itu hari ini tetapi Melayu adalah pendatang paling awal yang terkuat, berani dan bijak dan kerana itulah mereka menjadi sultan dan raja yang dihormati dari sejak sejarah awal negara ini”.

Kenyataan itu sangat tidak tepat kerana Gugusan Kepulauan Melayu atau Nusantara Melayu yang hari ini terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina, Siam (Thailand), Burma pada zaman sebelum penjajahan merupakan Kerajaan-Kerajaan yang besar, gagah dan bertamadun.

Zam silap jika berfikiran penjajah dengan menyimpulkan Melayu Sumatera yang berhijrah ke Tanah Melayu sebagai pendatang Indonesia ke Malaysia. Pada masa itu tidak ada pasport dan tidak ada sistem penjajah seperti kastam, imigresen dan polis moden. Pada zaman dahulu ianya disebut sebagai lawatan kerajaan, lawatan persahabatan, lawatan perdagangan dan ianya tidak disebut sebagai kedatangan orang asing (atau pendatang).

Zam harus mengkaji beberapa buku-buku sejarah dan kebudayaan khususnya oleh A. Samad Ahmad dengan lebih teliti.
Perhatikan Kesannya, Portal Malaysiakini Mentafsir Ulasan Zam,
"Zam: Ya, Melayu pendatang, tapi paling awal"
Zam seterusnya berkata, “benar seperti kata Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura bahawa mereka berasal dari Lanun tetapi apabila orang Cina datang untuk mencari rezeki di Tanah Melayu mereka terpaksa menyembah lanun-lanun ini yang sudahpun menjadi raja dan sultan”. Nampaknya sekali lagi Zam berfikiran barat centric dengan mempercayai bulat-bulat istilah lanun.

Istilah Lanun itu adalah ciptaan penjajah Barat. Dalam kebudayaan Melayu ianya tidak dipanggil Lanun sebaliknya ianya disebut Pahlawan, Hulubalang, Pejuang, kerana mereka memiliki kapal-kapal yang besar, mereka menghalau kapal-kapal penjajah lalu penjajah barat menggelar mereka Lanun. Lalu ditulis dalam diari pelayaran mereka kononnya Lanun menghalang mereka, walhal merekalah sebenarnya perompak besar. 

Kita mesti menolak tafsiran Zam yang terbaharu ini. Saya tidak pasti jika anda juga bersetuju dengan Zam.

Seorang wartawan tidak sepatutnya mentafsir kisah sejarah dari sudut kewartawanan! Dalam isu ini, Zam bukan orang yang tepat untuk mengulas isu ucapan perwakilan parti Gerakan. Saya tidak bersetuju dengan ulasan terbaharu Zam.

SURAT, ENAM PILIHAN DS ANWAR IBRAHIM

on Thursday, October 16

Assalamualaikum Datuk Seri,

Saya percaya DS kini sedang memberi perhatian kepada perbicaraan di Mahkamah  Rayuan pada 28-29 Oktober 2014, namun saya juga percaya DS menganggap semuanya itu kecil belaka sehinggalah hari terakhir. Bukankah amanat DS yang popular dahulu "kalau takut dengan ombak, usah berumah di tepi pantai, jika takut dengan cabaran, usah bicara soal perjuangan".

Sebenarnya, bagi saya lebih baik DS bermunajat, bermuhasabah, berzikir, membaca Al-Quran, melakukan solat-solat sunat hajat, menunaikan umrah dan Haji insyaallah, daripada DS mengharapkan kepakaran manusia-manusia yang bergelar peguam-peguam terhebatlah termahallah dan sebagainya. Semuanya itu DS telah lihat sekian lama hanya mubazir wal membazir. (Keenam)

PRU13 sudah berlalu, krisis Menteri Besar Selangor sudah berakhir, Langkah Kajang tidak lagi menarik, semuanya berakhir dengan kegagalan. Gagal kerana tidak mencapai hasrat sebenar. Sejak 2004 hingga sekarang 2014, sudah 10 tahun DS berusaha menjadi Perdana Menteri namun Allah SWT tidak juga memberi keizinanNYA.

Bagaimana kalau DS ambil jalan mudah, bersara sebagaimana janji-janji DS sebelum PRU13 dahulu. Apa lagi yang DS bimbangkan, isteri sudah menjadi Yang Berhormat, anak sudah menjadi Yang Berhormat, rumah megah di atas bukit atau ada lagikah anak-anak DS hendak dijadikan Wakil Rakyat? 

Saya cukup yakin DS sudah tidak ada apa-apa lagi yang hendak dibimbangkan, makan minum rumah wang ringgit harta benda segalanya saya yakin lebih daripada mencukupi. Saya sangat yakin DS boleh bersarapan di Jakarta, makan tengah hari di Washington dan makan malam di London dalam masa 24 jam.

Perjuangan DS kepada negara apakah yang boleh dibanggakan oleh generasi mendatang? DS kelihatan terlena semasa pembentangan Bajet 2015? Adakah membanggakan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) suatu langkah pencegahan yang sangat berkesan untuk melestarikan keamanan dan kebahagian rakyat Malaysia. ISA bukan untuk Kerajaan, ISA untuk keamanan rakyat Malaysia. Tidak percaya kah, tanya Lee Kuan Yew atau Lee Hsien Leong? Atau bacalah buku "The Singapore Story oleh Lee Kuan Yew".

Sejak awal tahun 1980an, DS asyik bercakap mengenai perubahan. Kemudian di hujung tahun 1990an bercakap hal reformasi. Seterusnya DS bercakap isu keadilan dan kesamarataan.

Menjelang PRU14, adakah DS akan membuat satu lagi janji baharu untuk bersara sekiranya tewas? Negara kita memerlukan sebuah pasukan politik yang kuat untuk berhadapan dengan cabaran masa hadapan yang lebih besar.

Amerika tidak boleh lagi mendabik dada kerana China dan India bukan sahaja akan menguasai dunia di darat dan di angkasa, tetapi mereka sudah mula mengatasi yahoo dan google. Negara China tidak memerlukan Dollar Amerika untuk maju ke hadapan, tetapi Amerika sangat menakuti Yuan. Pertembungan ini sudah lama dibicara oleh Profesor Samuel Huntington di Washington. Ianya tidak dapat dielak.
Kita ada beberapa pilihan untuk meletakkan Malaysia terus berada di hadapan, berlari dengan betul di atas trek yang sukar.

Pertama, DS perlu mengotakan janji-janji DS untuk bersara sekarang. Dengan persaraan DS, negara kita Malaysia akan lebih aman daripada kacau bilau politik yang membuang masa malah merugikan orang Melayu dan umat Islam. Malaysia perlu dipacu oleh seorang Ketua Pembangkang yang lebih berpandangan jauh. Masa DS sudah berlalu, maaf cakap DS menjadi sudah tidak relevan. 

Kedua, DS kena bekerjasama dengan kerajaan sedia ada. Sama ada DS menyertai kepimpinan DS Najib, atau DS menjadi sebahagian daripada pasukan. Mekanismenya amat mudah, tapi saya belum mahu menulis mengenainya. Naib Presiden Indonesia yang baharu, Jusuf Kalla lebih bijak dalam hal ini, walaupun beliau salah seorang pemimpin utama Golkar namun beliau boleh menang atas tiket PDPI-Perjuangan. 

Ketiga, DS perlu redha dan menerima ketentuan Allah SWT dengan sabar, tawakkal dan beriman. Usaha yang DS lakukan sejak 30 tahun lalu untuk menjadi Perdana Menteri barangkali Allah SWT sudah tentukan dengan hanya sebagai Timbalan Perdana Menteri sahaja, wallahu'alam. Bersyukurlah kepada Allah SWT. Wamakaru Wamakarallah Wallahu Khairul makirin (Surah Al-Imran, Ayat 54) yang bermaksud 'mereka merancang, Allah juga merancang, sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang".

Keempat, menjadi pensyarah di University Washington atau di Universiti dalam negara. Jadilah apa sahaja, pensyarah pelawat, pensyarah kanan, profesor madya, penceramah, dan ambillah kesempatan menulis buku. 

Kelima, saya tidak mahu menulisnya kerana saya tahu ramai orang yang tidak bersetuju, tetapi saya tulis jua kerana seorang wakil rakyat UMNO meminta saya menyampaikan kepada DS Najib supaya menerima semula DS. 

Keenam, di atas.

Sekian sahaja kali ini, sesungguhnya kebaikan itu dari Allah SWT, kelemahan itu dari saya manusia biasa.

Al-Azharri Siddiq.
KLIA.







ASINGKAN KEMENTERIAN BELIA DAN KEMENTERIAN SUKAN

on Saturday, October 11

BOLA SEPAK MALAYSIA KE SUKAN OLIMPIK 1980
KEMEROSOTAN Sukan negara dalam dua kejohanan besar iaitu Sukan Komanwel ke-20 Glasgow dan Sukan Asia Incheon baru-baru ini memberi kesan besar kepada rakyat Malaysia. Kemerosotan itu sangat memalukan kerana Malaysia terkenal dengan kemudahan sukan bertaraf dunia.

Contohnya, ada sesuatu yang tidak kena bilamana pasukan Hoki negara kita tewas kepada England, New Zealand, Trinidad dan Tobago semasa Sukan Komanwel Glasgow. Di Sukan Asia Incheon, pasukan bola sepak tidak mampu pergi jauh, malah ratu terjun merosot luar biasa. Malah pasukan Sepak Takraw negara pun terkial-kial untuk mengalahkan pasukan Korea Selatan.

Saya tidak bersetuju jika Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) atau mana-mana pihak dijadikan kambing hitam atas kegagalan itu. Semasa dia berjaya dalam sukan yang sama 4 tahun lepas, dia tidak dipersoalkan? Dia berjaya bersama Menteri yang lain dan dia gagal bersama Menteri yang lain. Penilaian hendaklah adil.

Oleh kerana sukan merupakan bidang yang penting dalam pembentukan sebuah negara (nation building), saya ingin mencadangkan supaya Kementerian Belia dan Kementerian Sukan diasingkan. Sudah banyak negara-negara maju hanya memiliki Kementerian Sukan sahaja.

Jika pasukan bola sepak negara kita gagal dan gagal lagi mendiri dalam Sukan Asia, Sukan Komanwel, Sukan Olimpik apatah lagi Piala Dunia, apakah kita mahu tunggu 100 tahun lagi? Kita perlu fokus dalam menjadikan sukan bola sepak sebuah industri sukan yang memberi pulangan bukan sahaja kepada negara tetapi juga kepada masa hadapan pemain.

Perdana Menteri hendaklah diyakinkan bahawa bajet yang besar diberikan kepada bidang Sukan akan menjadi sia-sia jika kita berterusan gagal dan tewas. Ahli-ahli sukan tidak boleh dipersalahkan 100%, sebaliknya organisasi itu perlu dirombak.

BOLA SEPAK MALAYSIA KE SUKAN OLIMPIK 1976
Negara kita memerlukan seseorang yang lebih fokus kepada Sukan, dengan memiliki ilmu pengetahuan, pengalaman dan komitmen yang tinggi dalam bidang sukan.

Apabila masih timbul isu gaji, elaun, kwsp, bookie dan sebagainya ianya menunjukkan kita tidak serius menyelesaikan isu-isu tersebut. Seseorang ahli sukan tidak mungkin dapat memberikan komitmen yang padu seandainya makan minumnya tidak terpulihara. Apatah lagi jika sudah memiliki komitmen lain yang lebih besar. Mereka jua manusia biasa.

Tidak menjadi suatu masalah apabila kita mengambil seseorang yang profesional dalam bidang sukan untuk menjaga Kementerian Sukan yang saya cadangkan. 

Secara peribadi, saya berpendapat menteri yang ada sekarang tidak sesuai menjaga bidang sukan. Beliau nampaknya sesuai dan serasi dengan belia, kerana itu program-program belia seperti Parlimen Belia boleh diwujudkan selepas banyak kali tertangguh.

Kita mahu pasukan Bola Sepak negara kita mencapai taraf Piala Dunia, tetapi bagaimana ianya akan menjadi kenyataan jika di peringkat Sukan Asia pun kita tidak lepas? Kita tidak boleh hanya berbangga dengan Sukan Sea dan Piala Tiger sahaja, kita mesti keluar dari kepompong dan kebiasaan. Begitu juga dalam sukan olahraga dan sukan yang lain. 

Menjelang tahun 2020, negara kita seharusnya menyanyikan lagu Negaraku di atas podium Sukan Olimpik dan sukan-sukan bertaraf dunia yang lain. Namun, jika beginilah keadaannya, saya tidak fikir lagu Negaraku akan berkumandang di Sukan Olimpik. 

Saya percaya Menteri Belia & Sukan sedia ada bersetuju dengan idea ini.














ISU ELAUN COLA : CUEPACS TIDAK BOLEH DIHARAP, WAKIL RAKYAT SABAH DIMINTA BERSUARA

on Wednesday, October 8

Pada 23 April, 2014 saya telah menulis hal Elaun Cola kepada kakitangan Sabah di sini. Selepas enam bulan, apabila kita periksa laman web Cuepacs di sini tiada langsung perjuangan mereka untuk membantu Elaun Cola ini. Ianya sungguh menyedihkan.

Kakitangan Sabah/Sarawak yang merupakan tunggak kekuatan Kerajaan BN dinafikan hak mereka sewenang-senangnya tanpa ada usaha yang serius. Saya percaya Cuepacs tidak ada idea dan tidak ada perjuangan untuk memperjuangkan Elaun Cola kepada kakitangan Sabah/Sarawak.

Alasan biasa yang sangat kuno diberikan, selalunya memberi alasan lapok kononnya kakitangan Sabah/Sarawak sudah mempunyai Elaun Wilayah! Apakah Cuepacs tahu sejarah pemberian Elaun Wilayah dan perbezaannya dengan Elaun Cola? Silalah ke Arkib Negeri Sabah untuk membuat rujukan.

Cuepacs tidak langsung menyelami kata-kata YAB Perdana Menteri, bahawa apa jua keperluan dan permintaan rakyat Sabah/Sarawak hendaklah diberi perhatian dan dijayakan. Mengapakah YAB Perdana Menteri berkata sedemikian selepas PRU-13, sudah tentu kerana YAB Perdana Menteri bersyukur, berterimakasih dan mengenang budi rakyat Sabah/Sarawak yang memberi kemenangan kepada Kerajaan BN untuk kekal memerintah. Cuepacs tidak tahukah akan hal ini?

Rakyat Sabah/Sarawak tidak boleh menyalahkan YAB Perdana Menteri kerana beliau sudah memberi bayangan dan sokongan supaya ianya diselesaikan segera, namun amat malang apabila mereka yang diberi amanah dan tanggungjawab berfikiran jumud dan 'lidut'.

DISKRIMINASI BERTERUSAN, CUEPACS BERDIAM-DIRI
Isunya, jika anda tidak membuat perbincangan meja bulat bagaimanakah Elaun Cola boleh diberikan kepada rakyat Sabah/Sarawak? Jika anda tidak ada pun membuat kertas kerja kepada pihak YAB Perdana Menteri, apakah justifikasi yang hendak digunakan oleh JPA dan YAB Perdana Menteri? 

Kepada Cuepacs, jika asyik membandingkan Elaun Cola dan Elaun Wilayah, mari kita mengambil satu contoh bidang pekerjaan. Kita sama-sama membuat perbandingan. Contohnya, dalam bidang pendidikan , berapa ramaikah Pengetua/Guru Besar orang Sabah/Sarawak di Semenanjung? Saya yakin untuk mendapatkan 10 orang pun barangkali tidak ada? Kemudian anda bandingkan berapa ramai Pengetua/Guru Besar dari Semenanjung di Sabah/Sarawak? Maknanya, jangan anda persoalbandingkan Elaun Cola dan Elaun Wilayah sebagai timbal balas untuk menjawab isu ini.

Pak Lah diingati kerana memberikan kemudahan tiket wilayah setiap tahun kepada kakitangan Sabah/Sarawak yang berkhidmat di Semenanjung. Begitu juga di sebaliknya, kakitangan Semenanjung yang berkhidmat di Sabah/Sarawak turut menerima kemudahan yang serupa.

Kita berharap DS Najib juga akan memberikan ole-ole kepada kakitangan Sabah/Sarawak dalam Bajet 2015 nanti supaya menjadi ingatan sampai bila-bila.

Nampaknya, jika hanya berharap Cuepacs bersuara, barangkali kena tunggu DAP memerintah Malaysia! Barangkali dalam PRU-14, DAP akan meletakkan Manifesto mereka akan memberikan Elaun Cola kepada kakitangan Sabah/Sarawak juga. Yang salah dan yang 'lidut' siapa? Yang menikam Kerajaan BN dengan isu ini siapa? 

Kepada Cuepacs, bangunlah dari tidur! Mari berdebat dengan saya jika kamu tidak setuju dengan artikel saya ini. Sayugia saya ingatkan, apa yang saya tulis adalah luahan hati kakitangan Sabah/Sarawak dalam kumpulan wassap saya. Mereka adalah suara rakyat, pengundi dan penyokong Kerajaan yang mesti disampaikan kepada YAB Perdana Menteri.

Usahlah menanam bibit kebencian di hati mereka kepada Kerajaan sedia ada.

Kepada Wakil Rakyat Sabah/Sarawak, saya bagi pihak kakitangan Sabah/Sarawak merayu agar YB mengangkat isu ini dibincangkan, diperjuangkan dan dijayakan di dalam Parlimen. Kita tiada harapan kepada Cuepacs lagi! 

Bersambung soalan tambahan kepada Cuepacs, "Mengapakah Elaun Perumahan di Sabah/Sarawak lebih tinggi berbanding Elaun Perumahan di Semenanjung sedangkan bahan mentah di Sabah jauh lebih murah berbanding di Semenanjung?" Anda membiarkan Diskriminasi berterusan dalam sebuah negara merdeka di tahun 57!







IDRIS JALA, MELANGKAH TIDAK MEMIJAK TANAH

on Friday, October 3

DATUK SERI IDRIS JALA
Soalan pertama saya, apakah makna Malaysia? Adakah hanya sebuah persekutuan yang terdiri daripada negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan Sabah/Sarawak sahaja? 

Atau Malaysia itu ialah orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain lagi?

Atau Malaysia itu mempunyai makna yang jauh lebih mendalam daripada sudut perlembagaan, jati diri, sejarah dan impian?

Di sinilah letaknya kelemahan agensi ekonomi negara seperti PEMANDU ketika melaksanakan ETP dan GTP, di mana CEOnya berusaha menjadi pelari marathon mengejar impian berpendapatan tinggi tetapi tidak peka kepada sejarah sosiopolitik dan sosioekonomi negara dengan mata sejarah.

CEO dan pasukannya kelihatan kesuntukan masa dalam merealisasikan program transformasi ekonomi negara, tetapi kelihatan CEOnya tidak menerapkan nilai kenegaraan (negarawanan) yang kukuh. Buktinya, rakyat marhaen, rakyat di kampung-kampung, rakyat pertengahan melihat pendekatannya membunuh kegembiraan hidup mereka. Janganlah bertanya kepada bisnesman kerana sudah tentu mereka suka dengan polisi-polisi yang memberi keuntungan kepada mereka.

Apabila kita mengurus ekonomi negara, anugerah pengurus ekonomi singkat terbaik sama ada di syarikat antarabangsa seperti Exxon atau Mobil, ataupun dalam negara seperti MAS tidak boleh digunapakai untuk mengurus ekonomi rakyat Malaysia yang berskala besar. Sudah pasti akan ada kecacatannya, terutama jika kita terlepas pandang sentimen rakyat jelata.

Tun Dr. Mahathir secara ringkasnya berkata lebih baik mengurangkan kos daripada memotong subsidi. Semasa di dalam MAS, dua langkah yang diperkenalkan oleh CEOnya ialah mengurangkan pekerja dan menjual bangunan MAS. Kalau itulah kehebatannya, semua orang boleh melakukannya dan kemudian meninggalkannya.

Dalam jangka masa panjang, langkah itu nampaknya tidak berguna pun. MAS tidak dapat menikmati keuntungan daripada polisi-polisi singkat. Kerugian 5 tahun tidak sepatutnya diselamatkan dalam 3 tahun, sebaliknya kerugian 5 tahun barangkali boleh diselesaikan dalam jangka masa 10 tahun. Isunya ialah pelan pemulihan tidak mungkin boleh dilakukan dalam tempoh yang singkat!

Jika kita menggunapakai teori ekonomi Barat seperti Adam Smith, ianya sangat-sangat tidak sesuai dengan kondisi sosiopolitik negara kita. Anda tidak boleh mengejar sesebuah wawasan dengan sebuah pakej ekonomi berukuran 5 tahun ataupun 10 tahun. Rakyat akan merana dan kerajaan akan kehilangan sokongan (undi).

Tun Dr. Mahathir tidak menyebut dalam Wawasan 2020 bahawa rakyat Malaysia akan mencapai pendapatan setinggi USD15,000 setahun. Jika ianya hendak dicapai dengan berlari 3 langkah walhal kemampuan kita  hanya 1 langkah sahaja, ianya benar-benar idea gila dan menjerat diri sendiri! 

Sebab itulah, ketua pelari marathon ini tergesa-gesa dan melanggar apa sahaja di depannya, melanggar hukum ekonomi dunia, melanggar ketidakseragaman pendapatan rakyat, melanggar sistem sosial malah melanggar masa hadapan politik negara. Janganlah memandang remeh hal-hal yang kelihatan remeh, kerana di timur tengah dengan hanya satu 'tweet' sahaja menyebabkan berlakunya Arab Spring sehingga menjatuhkan ramai pemimpin mereka.

Kepada CEO ini, dia tidak akan berasa rugi apa-apa, kerana dia boleh pergi selepas selesai misinya, sama ada misi nasional mahupun misi peribadi. Yang menjadi mangsa ialah rakyat jelata yang tidak mampu mengejar larian itu.

Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden SBJ Indonesia, Lee Hsien Leong Singapura dan sebagainya tidak pun tergolong dalam 50 individu paling berpengaruh dalam dunia, kerana mereka tidak mencari anugerah peribadi, mereka semua mencari anugerah rakyat iaitu dari rakyat, kepada rakyat dan untuk rakyat.

Polisi ekonomi yang lemah ialah polisi yang memberi kesan negatif kepada rakyat, merombak kehidupan aman mereka, merobek kesenangan harian mereka yang akhirnya menghasilkan kesan yang lebih buruk seperti rasuah dan kes-kes  jenayah yang lain.

Tiada siapa mahu melihat DS Najib jatuh dan dijatuhkan sama ada melalui politik atau ekonomi. Kita telah mempertahankan DS Najib dan kerajaan dengan cara yang sangat luar biasa. 

Kita mahu mempertahankan kerajaan sedia ada, tetapi mempertahankan dengan cara membiarkan kelemahan berleretan suatu ketidakadilan kepada DS Najib. Mengkritik dengan niat membetulkan keadaan lebih baik daripada berdiam diri.

Kalau begitu, wajarkah Datuk Seri Idris Jala meletak jawatan? Saya tidak boleh menjawab sms itu kepada mereka yang bertanya, kalau anda boleh memberi pandangan, saya akan terbitkan. Saya tidak percaya negara kita tidak mempunyai pakar ekonomi yang lebih sesuai dan berjiwa Malaysia yang sebenar. 

Terima kasih.










Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan