ANWAR TIDAK MATANG DAN MUNGKIR JANJI, LIM GUAN ENG KETUA PEMBANGKANG BAHARU

on Saturday, November 29

Anwar Bercakap Mengenai Penindasan
Ulasan Hujung Minggu : Pengekalan Akta Hasutan.

Soalan pertama, kenapa PM DS Najib mengekalkan Akta Hasutan? 

Kumpulan pembangkang seperti DS Anwar Ibrahim dan Majlis Peguam memandang sinis pengumuman DS Najib itu, tetapi saya tabik kepada MP Kepong Dr. Tan Seng Giaw (DAP) kerana dapat membezakan di antara kepentingan politik dengan kepentingan Negara.

Anwar mengulas konon DS Najib mungkir janji, apakah Anwar menunaikan janji? Janji Anwar dua kali dia berkata akan berhenti daripada politik sekiranya kalah dalam PRU-13, kononnya akan menjadi pensyarah di luar negara. Mana janji itu?

Anwar juga katanya kecewa kerana DS Najib mengekalkan Akta Hasutan untuk menekan kebebasan dan menindas parti pembangkang. Nampaknya, di usia mendekati 70 tahun Anwar nampaknya semakin tidak relevan kepada rakyat Malaysia. 

Saya fikir Lim Guan Eng patut segera menggantikan Ketua Pembangkang di Parlimen. Rakyat Malaysia memerlukan seorang Ketua Pembangkang yang sihat fikiran, berpandangan negarawan, komited kepada keselamatan rakyat dan Negara. 

Sebenarnya, apabila DS Najib mengambil keputusan mengekalkan Akta Hasutan ianya bukan seperti apa yang Anwar fikirkan. Sudah berpuluh tahun Anwar dan pembangkang berdemonstrasi tetapi tidak juga menumbangkan kerajaan. Sesungguhnya seperti firman Allah SWT, "Kamu punya perancangan, Allah SWT juga punya perancangan, sesungguhnya perancangan Allah SWT lebih baik".

Pertama, DS Najib komited kepada ketenteraman awam lebih-lebih utama berbanding menindas atau menyekat aktiviti pembangkang sebagaimana ulasan Anwar itu. 

Kedua, DS Najib tidak perlu komited kepada sampah-sampah masyarakat yang mempunyai niat mengganggu gugat ketenteraman awam. Mereka yang mahu melihat Negara ini huru-hara, kacau-bilau dan berpecah-belah adalah sampah-sampah masyarakat.

Ketiga, rakyat Malaysia kini mencecah 30 Juta orang. Hanya 0.0001% sahaja yang tidak bersetuju dengan pengekalan Akta Hasutan. Sebaliknya 99% rakyat Malaysia bersetuju kerana mereka mahukan keamanan, kedamaian dan keharmonian. 

Buktinya, tiada seorang pun mahu turun di jalanraya lagi untuk berdemonstrasi kerana rakyat sudah semakin matang, bahawa negara ini perlu suatu undang-undang yang kuat dan ketat. Rakyat sudah bosan dengan aktiviti demonstrasi pembangkang, mereka sudah sedar hanya dipergunakan sahaja.

Mereka yang hendak sangat menghapuskan Akta Hasutan ini kerana mereka suka melihat negara ini kecoh, porak-peranda dan bergaduhan supaya senanglah anasir-anasir luar masuk ke dalam negara dengan tujuan membantu, kebajikan dan human right. Malaysia tidak perlukan semua itu.

Soalan saya kepada Saifuddin Abdullah dan segelintir mereka yang menyokong penghapusan Akta Hasutan ini, "Did we get support after abolish ISA?". 

Bacaan ulangan anda di sini




AKTA HASUTAN : PM NAJIB BERSIFAT NEGARAWAN

on Friday, November 28

APABILA DS Najib mengumumkan pengekalan Akta Hasutan, seluruh rakyat Malaysia menarik nafas lega. Mereka bersyukur kerana mereka sedar Keamanan negara, Kedamaian Negara dan Perpaduan Rakyat boleh dipertahankan untuk generasi akan datang.

Saya melihat rakyat Malaysia semakin matang, tiada lagi keperluan demonstrasi kerana pembangkang turut merasakan bahawa perlunya sebuah Undang-Undang yang kuat dan ketat di negara kita.

Selepas sahaja pengumuman DS Najib mengekalkan Akta Hasutan, Ahli PArlimen DAP Dr. Tan Seng Giaw memberi ulasan bahawa negara kita memerlukan sebuah Undang-Undang yang kuat dan ketat untuk berhadapan dengan cabaran yang lebih mencabar pada masa akan datang.

Secara umumnya, khususnya para peniaga yang dimonopoli oleh masyarakat Cina, dan sekarang pula diikuti oleh masyarakat India dan Melayu juga berpuashati dengan pengekalan Akta Hasutan. Mereka sangat memerlukan keamanan yang berkekalan supaya aktiviti perniagaan mereka tidak terganggu.

Begitu juga dalam bidang pendidikan, sekolah, universiti dan guru-guru memerlukan suasana yang harmonis supaya anak-anak murid dapat belajar dengan tekun, bahagia dan berjaya. 


Bagi mereka jua, mengapa perlu takut jika tidak melakukan jenayah dan hasutan? Hanya mereka yang berniat jahat sahaja yang tidak bersetuju dengan pengekalan akta ini.

Saya telah menulis 3 artikel berkenaan isu Akta Hasutan, saya cukup berpuashati kerana DS Najib mendengar suara rakyat.






Kepada rakyat Malaysia, marilah kita bersatu hati, pandang ke hadapan, lupakan perbezaan pendapat yang membawa kepada persengketaan, marilah maju ke hadapan supaya diri dan keluarga, masyarakat dan negara makmur bahagia.







TINDAKAN JAKIM SEKAT SHEIKH NURUDDIN SATU KESILAPAN BESAR, NAMA PERDANA MENTERI TURUT TERCALAR

on Sunday, November 23


Seluruh umat Islam di Malaysia dan Nusantara Melayu Islam amat terkejut dengan tindakan pihak JAKIM menyekat pendakwah terkenal dari Nusantara Melayu Islam dan di negara-negara Arab iaitu Sheikh Nuruddin daripada berdakwah di TV dan di tempat yang lain di dalam negara Malaysia.

Saya yakin dan percaya perbuatan ini adalah perbuatan mereka yang punya Sakit Jiwa seperti perasaan-perasaan cemburu, irihati, busuk hati dan pelbagai lagi penyakit hati. Mengapa seorang Ulama yang sekian lama menyampaikan ilmu dakwahnya di TV disekat selepas beliau mempunyai ramai pengikut, berjaya mendidik masyarakat seterusnya mengukuhkan lagi Aqidah Sunnah Waljamaah yang menjadi amalan umat Islam di Malaysia dan di Nusantara Melayu Islam ini.

Saya mendesak pihak JAKIM memperjelaskan satu persatu apakah bidaah-bidaah, apakah ajaran-ajaran sesat, apakah kenyataan-kenyataan beliau yang dikatakan menjejaskan keharmonian umat Islam di negara kita Malaysia. Setelah sekian lama beliau berdakwah, saya tidak nampak umat Islam di Malaysia menjadi huru-hara, sebaliknya rating TV Al-Hijrah semakin meningkat naik.

Janganlah kerana JAKIM dipenuhi khabarnya golongan yang berfahaman selain daripada Ahli Sunnah Waljamaah, maka sheikh yang terkenal dari Nusantara Melayu Islam ini menjadi mangsa kebodohan, keangkuhan, kesombongan dan ketakburan golongan muda di JAKIM yang baru setahun jagung di alam dakwah. 

Di akhir zaman ini, mereka yang baharu pulang belajar dari negara-negara Arab, India atau Pakistan apabila balik semula ke Malaysia mencetuskan perbalahan dan pergaduhan sesama mereka kaum agamawan. Menindas sesama mereka, memburuk-burukkan sesama mereka ahli agamawan, sungguh buruk perangai orang-orang agama yang suka memecahbelahkan seperti ini.

Kita amat memandang berat akan hal-hal yang berlaku di dalam JAKIM kerana nampak sangat jelas beberapa tindakan yang dilakukan adalah bertentangan dengan konsep Wasatiyyah YAB Perdana Menteri. JAKIM tidak mendokong prinsip kesederhanaan yang dibawa oleh kepimpinan negara, malah kesederhanaan yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW juga tidak menjadi contoh kepada pihak JAKIM dalam mengendalikan isu ini.

Amat jelas, Sheikh Nuruddin bukannya seorang pengganas, jauh sekali daripada pengaruh IS atau ISIL dan sebagainya yang sedang berleluasa di negara-negara Arab. Juga sangat-sangat jelas, Sheikh Nuruddin bukan seorang Syiah yang sesat dan bukan seorang Wahabi yang menyesatkan.

Saya mendesak supaya JAKIM mengambil jalan tengah dan menghapuskan semula sekatan yang dikenakan ke atas Sheikh Nuruddin. Ini adalah suara rakyat dan suara majoriti umat Islam di Malaysia yang terpinga-pinga dan terkejut mengapa JAKIM menyekat usaha dakwah Islamiyyah yang dijalankan oleh Sheikh Nuruddin sejak hampir 20 tahun yang lalu.

Umat Islam mahu YAB Perdana Menteri mengambil serius akan hal ini. Perkara ini juga telah menjejaskan nama baik YAB Perdana Menteri apabila umat Islam turut menyalahkan YAB Perdana Menteri dengan pelbagai tuduhan, kritikan dan amukan telah dibuat ke atas YAB Perdana Menteri di dalam aplikasi Wassap, SMS, Facebook dan Tweeter. 

Yang jelas YAB Perdana Menteri tidak mengetahui hal ini, ianya adalah kesilapan besar golongan-golongan yang berpenyakit hati di dalam JAKIM.

GAMBAR ANAK KJ DI SEKOLAH KEBANGSAAN

on Saturday, November 22

Hari Pertama Persekolahan Anak Khairy Jamaludin.
Isu anak Menteri bersekolah di Sekolah Kebangsaan atau pun bersekolah di Sekolah Swasta menjadi penting sekarang, bukan sahaja melambangkan tahap patriotisme seseorang Menteri tersebut, tetapi juga menggambarkan keyakinannya kepada sistem pelajaran dalam negara.

Tindakan Khairy Jamaludin, Menteri Belia Dan Sukan menghantar sendiri anak beliau mendaftar Tahun 1 di sebuah sekolah kebangsaan di ibu negara, bukan sahaja melambangkan perkara di atas, namun ianya melambangkan tanggungjawab beliau kepada anak-anaknya.
Hari Pertama Menghantar Anak Ke Sekolah Kebangsaan TTDI 2
Jika semua Menteri menghantar anak-anak mereka di sekolah kebangsaan di dalam negara, ianya akan memberikan lagi keyakinan rakyat kepada sistem pendidikan di sekolah-sekolah kebangsaan. Apa yang tiada di dalam sekolah kebangsaan, pendidikan agama Islam, bahasa-bahasa antarabangsa Itali, Korea, Perancis, Jepun, Jerman, Arab selain bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris semuanya kini diajar di sekolah-sekolah kebangsaan.

Pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang berkobar-kobar bercakap soal Malaysian Malaysia dan kesamarataan, adakah mereka menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah dalam negara atau di sekolah swasta atau di luar negara?

Di Malaysia, jika anak-anak kita mendapat CGPA 3.9 ketika di Matrikulasi atau Asasi Sains, mereka tidak layak untuk memasuki bidang perubatan di UM, UKM, USM dan UPM. Namun begitu, jika mereka masih berminat untuk menjadi doktor perubatan, mereka boleh melanjutkan pelajaran mereka di negara Rusia, India, Mesir ataupun Indonesia dengan CGPA di bawah 4.0. Ini adalah gambaran kualiti sistem pelajaran dalam negara kita.

Oleh sebab itulah, negara Singapura, Arab Saudi dan beberapa negara maju mengiktiraf lulusan doktor perubatan khususnya dari UM dan UKM. Mereka diterima bekerja dengan mudah di sana.

Begitu juga jururawat lulusan Malaysia sangat laku di negara-negara Arab khususnya di Arab Saudi dengan gaji khabarnya mencecah RM15,000 sebulan.

Institut Jantung Negara (IJN) menjadi rujukan dan tempat felo dari negara-negara maju untuk belajar dan membuat attachment. Mereka datang dari Jepun, Vietname, Filipina, Indonesia, Amerika Syarikat, Thailand, Arab Saudi, Libya, Mesir, Myanmar, Nigeria, dan banyak lagi negara. 

Makanya, jika kita bercakap tentang kualiti pendidikan di dalam negara, kita harus sedar, Malaysia kini setaraf dengan negara-negara maju.







SYOR NAJIB SAMAN RM1 BILLION, ADA PIHAK CEMBURU DENGAN 1MDB

on Friday, November 21

TUDUHAN terkini Tony Pua ke atas DS Najib Tun Razak adalah sangat serius, khususnya apabila berkata "...Najib mencipta skandal paling terbesar dalam sejarah Malaysia...".

Dalam ucapan itu, Tony Pua juga menyelar MCA, Gerakan malah UMNO kerana tidak berani menegur DS Najib, malah mengungkap kononnya Najib bagaikan Raja. 

Banyak lagi tuduhan-tuduhan yang dibuat secara terbuka, ianya memberi kesan yang buruk bukan sahaja kepada peribadi DS Najib dan keluarganya, tetapi juga kepada rakyat dan negara Malaysia khususnya di luar negara.

Firma guaman yang bertanggungjawab hendaklah mengemukakan saman malu dan apa jua saman yang berkaitan dengan suatu jumlah yang paling tinggi di dalam dunia sesuai dengan ucapan jahat itu. Ianya mesti menjadi pengajaran kepada Tony Pua dan mereka yang sewaktu dengannya.

Contohilah Lee Kuan Yew apabila dia menyaman pemimpin-pemimpin pembangkang di negara itu sehingga mereka jatuh bankrap, dipenjara dan hilang kelayakan sebagai ahli parlimen. Lee Kuan Yew melakukannya kerana beliau yakin akan kebenaran dirinya dan yakin akan pembohongan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang ke atas dirinya.

Lee Kuan Yew berkata, untuk mendisiplinkan rakyat, untuk memajukan negara dan untuk memastikan segala perancangan pembangunan kerajaan mencapai kejayaan, seseorang Perdana Menteri mesti serius, berani dan menguatkuasakan undang-undang ke atas sesiapa sahaja yang melakukan kemudaratan kepada negara.(Baca "Kisah Singapura, Memoir Lee Kuan Yew")

Tony Pua atau sesiapa sahaja rakyat boleh mengkritik kerajaan dan kepimpinan kerajaan tetapi membuat tuduhan tanpa fakta adalah suatu kesalahan. 

Jika 1MDB berhutang untuk suatu tujuan pembangunan negara dan kemaslahatan rakyat ianya sesuatu yang akan dilakukan oleh mana-mana kerajaan. Di antaranya kita melihat beberapa program 1MDB seperti 1MDB Dana Belia, Geran Tahunan 1MDB-Jakim, Bantuan JKM-1MDB, Bantuan Haji 1MDB dan pelbagai program di seluruh pelusuk negara yang tidak dapat saya senaraikan satu persatu.

ADA PIHAK CEMBURU
Saya syak terdapat pihak tertentu yang cemburu dengan kemampuan dan kejayaan 1MDB. Siapakah pihak itu?

Walaupun baharu ditubuhkan, 1MDB sudah memiliki aset bernilai RM51 Billion. Dalam masa yang singkat 1MDB menjana keuntungan sejumlah RM4.3 Billion pada Mac, 2014. Apabila 1MDB berjaya dalam penyenaraiannya (IPO), ia akan menjadi syarikat ke-5 terbesar di Asia Tenggara.


Sehingga ke saat ini sahaja, 1MDB memiliki 16 stesen jana kuasa dan loji air masin di Mesir, Bangladesh, Pakistan, UAE selain di Malaysia.

Sudah pasti kejayaan sekelip mata itu amat memberi kecemburuan kepada sesetengah pihak. Siapakah mereka yang cemburu itu? Perlukah dinyatakan?

Saya mencadangkan supaya DS Najib meneruskan notis saman ke atas Tony Pua. Saman RM1 Billion itu menggambarkan bukan sahaja maruah peribadi DS Najib, tetapi jua maruah kerajaan, rakyat dan negara.

Rakyat Malaysia dan Negara Malaysia tidak seharusnya menerima penghinaan ketika di luar negara dek kerana fitnah-fitnah yang sedemikian rupa.

Jika Tony Pua melakukannya ke atas Jokowi, saya percaya Tony Pua akan menerima pengajaran yang paling berguna. 
Nota : Menurut Catatan IMF (2013), negara paling banyak hutang di dunia ialah Jepun (1), Singapura (10) dan Amerika Syarikat (9). 

Kesimpulannya, isu 1MDB hanya isu politik untuk menjatuhkan Perdana Menteri dan Kerajaan. 


PEMUDA DAN PUTERI UMNO LENA DIULIT MIMPI

on Sunday, November 16

KETUA PEMUDA, KETUA WANITA & KETUA PUTERI UMNO
2004 - Pilihanraya Umum ke-11 ini dimenangi oleh UMNO dan BN hampir-hampir menyapu bersih kerusi-kerusi parlimen malah hampir-hampir menawan negeri Kelantan dengan hanya kekurangan 2 kerusi.

Namun begitu, cabaran UMNO dan BN teruji bilamana DS Anwar Ibrahim dibebaskan. Ketika di luar negara, Anwar bukan sahaja menjadi pensyarah pelawat di London dan di Washington tetapi telah menggerakkan pelbagai NGO untuk tujuan memenangi pilihanraya tahun 2008.

2005/2006 - NGO-NGO asing mula memberikan bantuan dana kepada NGO-NGO pro pembangkang dan parti-parti pembangkang di Malaysia dengan matlamat utama mereka untuk merampas kerajaan persekutuan dan negeri-negeri yang lain.

DAP khususnya telah menjalankan kempen mendaftar pengundi-pengundi baharu dengan sangat aktif dan bersungguh-sungguh. Ahli-ahli parti mereka bergerak ke kampus-kampus swasta, pusat membeli belah, kampung-kampung, berkempen melalui laman-laman web dan menjalankan pelbagai aktiviti mendaftar pengundi baharu.

2008 - Hasilnya, semasa PRU 12, DAP menikmati hasil mereka apabila menang besar di Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Bagaikan baru bangun dari lena, UMNO khususnya bangun semula membina strategi dan kekuatan menubuhkan pasukan siber mereka. Satu demi satu blog, portal, FB dan tweeter pro BN muncul sama ada ianya digerakkan oleh parti, NGO dan orang-perseorangan.

Dalam pada itu, DAP meneruskan aktiviti mereka mendaftar pengundi-pengundi baharu sebagai persediaan ke arah PRU13. Dalam hal ini, UMNO jauh ketinggalan ke belakang jika hendak dibandingkan dengan DAP.

Bayangkan, DAP di Serdang, Petaling Jaya, Puchong menang majoriti melebihi 25,000 dan 35,000 orang. Itu kita tidak sebut lagi kawasan parlimen Seputeh dan Bukit Gelugor.

2013/2014 - DAP menyedari mereka tidak akan memerintah Perak atau Selangor atau Kerajaan Persekutuan sekiranya mereka tidak membuka keahlian DAP kepada orang-orang Melayu.

Akhirnya nama-nama Melayu dimasukkan secara agresif ke dalam DAP dan caon-calon DAP Melayu turut menang dalam PRU13. Strategi ini diteruskan lagi dengan membuka keahlian DAP kepada anak-anak muda Melayu dan Profesional Melayu yang tidak diterima menjadi ahli UMNO. 

Seperti kata Presiden UMNO, salah satu penyakit UMNO ialah tidak mahu menerima ahli-ahli baharu di kalangan intelektual dan profesional. Kini anak-anak muda Melayu ini telah pergi ke DAP.

MAJORITI MENINGKAT DARI 16,355 KEPADA 30,689
2018 - Menjelang PRU14, DAP telah melaksanakan pelbagai workshop, bengkel, talk, tv internet, cyber community, lab dalam dan luar negara di kalangan anak-anak muda Melayu dengan fokus mereka untuk memenangi lebih ramai kerusi-kerusi parlimen.

Jika UMNO masih tidak sedar, saya tidak hairan DAP akan memenangi beberapa lagi kerusi parlimen atas tiket Melayu Profesional yang lebih muda, intelektual dan bijak.
MAJORITI MENINGKAT DARI 21,025 KEPADA 42,206
CABARAN KEPADA KJ & PUTERI UMNO
Persoalannya, Apa Pergerakan Pemuda UMNO dan Puteri UMNO lakukan? 

Kedua-dua Pergerakan UMNO ini hendaklah pro aktif dengan mengadakan pelbagai aktiviti mendaftar ahlil-ahli baharu dan pengundi-pengundi baharu. Saya ingin mencadangkan kepada Sdra. Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri UMNO supaya setiap AJK Pergerakan Pemuda UMNO dan Puteri UMNO hendaklah diwajibkan mempunyai KPI mengenai hal menambah pengundi ini.

a. Setiap AJK Pemuda dan Puteri hendaklah mendaftar sekurang-kurangnya 1000 Pengundi baharu setiap bulan sehingga tahun 2018. Barangsiapa tidak berjaya melakukannya, itu membuktikan tahap kerja mereka.

b. Setiap Pergerakan Pemuda dan Puteri di Bahagian-Bahagian mestilah mendaftar pengundi baharu sekurang-kurangnya 1000 setiap bulan.

Fakta pertama, semasa PRU13 terdapat 13,291,385 jumlah pengundi. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah penduduk Malaysia sekarang lebih kurang 30 Juta orang. Sudah tentu ramai lagi yang belum mendaftar bukan?

Fakta kedua, SPR menyatakan kira-kira 1.9 juta pengundi Melayu belum mendaftar! Di Sabah sahaja kata SPR, kira-kira 249, 891 orang Melayu/Bumiputera belum mendaftar!

Seandainya jumlah pengundi 1.9 juta itu ditukar kepada 1.9 juta Ringgit Malaysia, barangkali semua orang akan menjadi rajin membuat kerja.

Hanya mereka yang malas, lembik dan tidak kreatif sahaja akan mengeluh, marah dan memberi 1001 macam alasan. 

Saya diberitahu, seorang ahli pembangkang di Selangor mendaftar pengundi baharu hampir 10,000 orang dengan hanya dia sendiri melakukannya. 

Kalaulah Cina DAP boleh melakukannya, kenapa Melayu Pemuda dan Puteri UMNO tidak boleh melakukannya?

Janganlah hanya beretorik kata UMNO akan merampas Selangor kalau ahli baharu dan pengundi baharu pun statik dan ciput! 

Baru-baru ini, dalam suratkhabar Puteri UMNO Selangor mempertahankan UMNO Selangor dengan memandang enteng kritikan-kritikan di peringkat nasional. Kritikan Presiden parti sendiri pun mahu disanggah. Jika begitu keberaniannya, soalan mudahnya dalam sebulan ini berapa Puteri UMNO Selangor berjaya mendaftar pengundi baharu di Selangor?

Tun Dr. Mahathir telah berkata, UMNO tidak akan menang hanya dengan undi ahli UMNO sahaja. 

Semasa Konvensyen UMNO di Selangor dan Johor, DS Najib Tun Razak juga telah memberi tekanan kepada anda betapa malu dan kecewanya beliau dengan kelembikan UMNO di dalam hal ini.

Jika hendak menang, bekerjalah menuju kemenangan. Bukan retorik berucap bagai meruntuh guruh di langit, hasilnya hujan rintik-rintik separuh jalan. Bumi tak basah Langit tak cerah. 

Ikhlas.

Selamat Berhari Minggu.
HANYA MAJORITI 4,394




SIAPA PATUT BERTANGGUNGJAWAB KES LEE CHONG WEI ?

on Wednesday, November 12

Menteri Belia Dan Sukan Malaysia
Di Indonesia, Menteri Belia dan Sukan terpaksa meletak jawatan kerana tersebut namanya dalam kes rasuah kompleks sukan di Bukit Hambalang, Bogor, Jawa Barat. Menteri itu tidak sempat pun untuk membela dirinya pada awal pertuduhannya, tetapi Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia mengambil tindakan segera ke atas isu tersebut. 

Ianya isu nasional, maka tanggungjawabnya bersifat nasional. Hanya Menteri yang berjiwa besar sahaja yang akan bertanggungjawab. Menteri tidak perlu mengugut kerajaan tetapi dengan rela hati menyerahkan semula tanggungjawab tersebut kepada orang lain yang lebih bagus.

Pada tahun 2011, Menteri Sukan negara Brazil juga melepaskan jawatannya kerana tersebut namanya mengamal rasuah semasa persediaan negara itu untuk Piala Dunia. Dia meninggalkan Kerajaan untuk menjaga maruahnya dan maruah kerajaannya.

Di Malaysia, kes Lee Chong Wei amat memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia. Lee Chong Wei adalah ikon nasional dan ikon patriotik negara, malangnya 15 tahun usahanya dihancurkan dalam hanya satu dua hari sahaja. Ianya tidak adil kepada Lee Chong Wei.

Kes yang berlaku ke atas Lee Chong Wei tidak akan terjadi sekiranya institusi di dalam sukan negara diketuai oleh orang yang berpengalaman, mahir dan tahu selok-belok sukan di peringkat antarabangsa. Malangnya kita pun merosot terok semasa Sukan Komanwel dan Sukan Asia baru-baru ini. Tiada siapa kelihatan mahu bertanggungjawab.
Simpatik
Tun Dr. Mahathir Dan Sukan Negara
Tun Dr. Mahathir lebih bijak mengurus aktiviti sukan kerana beliau memberikan dasar yang kuat kepada perancangan sukan negara. Beliau tidak melahirkan jaguh nombor satu Formula One, tetapi beliau meninggalkan Singapura bertahun-tahun ke belakang dalam sukan Formula One. 

Di awal sukan ini, negara kita turut mempunyai pemandu awal Formula One iaitu Alex Young. Hari ini kita tidak juara, tetapi Petronas menjuarai sukan ini sejak setahun dua ini. Bendera dan jenama Petronas menjelajah dunia. Kejayaan ini tidak akan mampu dilakukan oleh orang yang tidak boleh bertaggungjawab di atas kemelesatan sukan negara.

Menyelamatkan Lee Chong Wei amat penting kerana Lee Chong Wei adalah maruah negara dalam bidang sukan. Rakyat Jepun atau Rakyat Sweden akan mentertawakan Malaysia jika isu ini tidak diselamatkan. Majoriti rakyat Jepun tidak mengenali Menteri yang menjaga sukan di Malaysia tetapi rata-rata mereka mengenali Lee Chong Wei. 

Melihat kemenangan Pahang baru-baru ini sangat manis, tetapi apabila melihat padang di Stadium Bukit Jalil asyik ditekan sana ditekan sini semasa masa rehat menunjukkan betapa padang itu pura-pura kelihatan cantik. Dasarnya rapuh. Menteri boleh menguji tiang garisan tetapi adalah lebih baik Menteri menendang rumput yang belum berakar untuk menguji kualitinya.

Begitu juga dalam hal bahasa, dalam apa jua agenda nasional, bahasa Melayu yang terpulihara dalam Perlembagaan negara hendaklah diamalkan juga di dalam sukan negara. Sukan negara bermakna sukan yang terikat dengan Perlembagaan, jika tidak terikat dengan Perlembagaan maka pasukan Malaysia boleh mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan bolasepak negara Israel. Maka, insiden menggunakan bahasa Inggeris dalam mencari Ketua Pengarah MSN yang baharu adalah tidak betul. Walaupun saya mengkritik DBP sebelum ini, namun dalam isu ini saya memberi sokongan kepada DBP dan Tan Sri Khoo Kay Kim.

Kesimpulannya, dengan keadaan kelam-kabut semua ini, kelihatannya sukan Malaysia akan merudum lagi dan terus merudum. 

Menteri kita yang menjaga hal-ehwal sukan perlu segera membuat diskusi meja bulat setiap hari. Bayangkan anda sebagai pengurus Telekom Malaysia, saya mendengar bagaimana pengurus mereka berjumpa setiap hari dengan kakitangan untuk mencapai keuntungan di hujung tahun, dan melebihi unjuran.

Lupakan merasmikan itu dan ini. Lupakan acara talk show di TV. Lupakan Sidang Akhbar. Bak kata Presiden Indonesia yang baharu...kerja kerja kerja.

Ikhlas.










DS HISHAMMUDDIN SESUAI KETUAI UMNO SELANGOR

on Sunday, November 9

Apabila Presiden UMNO mengkritik dan memberi sindiran tajam kepada UMNO Selangor semasa Konvensyen UMNO Selangor baru-baru ini, ditambah lagi kritikan keras Tun Dr Mahathir Mohamad supaya UMNO Selangor perlu pemimpin baharu di semua peringkat, ianya suatu yang tidak boleh dipandang ringan. Malangnya, selepas seminggu teguran itu, saya melihat UMNO Selangor begitu-begitu juga tidak ada perubahan. Adakah UMNO mahu terus menjadi pembangkang di Selangor?

AMALAN POLITIK DS HISHAMMUDDIN SABAR, SETIA DAN BERANI DALAM KEBENARAN  
Pada tahun 1998, apabila berlaku krisis politik dalam UMNO, Ketua Pemuda ketika itu DS Hishammuddin telah menunjukkan kepimpinannya membantu Presiden (Tun Dr. Mahathir) dan UMNO memperkuatkan parti di seluruh negara. 

Ketika itu, momentum rakyat dan ahli UMNO kepada DS Anwar Ibrahim masih kuat kerana Anwar masih mempunyai rakan-rakan yang setia di dalam parti dan kerajaan.

DS Hishammuddin tetap berdiri teguh dan kekal dalam parti, menjelajah seluruh negara menguatkan sokongan rakyat kepada kerajaan dan menyedarkan ahli UMNO supaya kekal di dalam parti.

Hari ini, selepas 16 tahun peristiwa itu, sejarah membuktikan DS Hishammuddin bukan calang-calang pemimpin. Saya tidak perlu hurai lagi warisan ketokohan ayah dan datuknya, kerana saya telah huraikan dengan panjang lebar sebelum ini (Rujuk di bawah)

UMNO SELANGOR PERLU PEMIMPIN BERAURA TINGGI
Kedua, UMNO Selangor memerlukan seorang pemimpin yang boleh menyatukan pemimpin-pemimpin bahagian dan cawangan yang masih berpuak-puak hasil daripada kepimpinan lama. DS Noh Omar bukanlah seorang pemimpin Selangor yang tidak baik, hanyasanya beliau masih kekal dengan ciri-ciri UMNO lama dan tidak bersama dengan perubahan zaman. Kerana itulah, Tun Dr Mahathir sendiri mencadangkan supaya kepimpinan UMNO Selangor ditukar.

Saya tidak pernah melihat pemimpin UMNO Selangor menaiki kapal terbang kelas Ekonomi sedangkan DS Hishammuddin beberapa kali duduk di kelas ekonomi. Saya tidak pernah melihat pemimpin UMNO Selangor berbelanja di kedai supermarket, DS Hishammuddin dan keluarganya bersama-sama menyorong troli di supermarket. Saya jarang melihat pemimpin UMNO Selangor turun bertemu rakyat dengan baju T Shirt, jeans lusuh dan tuala kecil di belakang leher mereka walhal DS Hishammuddin melakukannya. Semua contoh-contoh itu nampak remeh dan lucu, namun itulah nilai sebenar di mata rakyat.

Jika anda sebagai pemimpin UMNO turun ke kampung-kampung dengan kereta besar, pemandu sendiri, berbaju bush jacket atau berlambangkan parti atau kerajaan, dengan kasut berkilat, atau menghisap cerut jenama dari Argentina, anda sebenarnya menjarakkan diri dengan rakyat. Anda hanya syok sendiri di kalangan parti UMNO sahaja, sedangkan Tun Dr Mahathir sudah bercakap lama dahulu bahawa UMNO tidak akan menang hanya dengan undi ahli UMNO sahaja!

Tidak perlu pergi jauh-jauh untuk menilai persediaan atau perubahan UMNO Selangor. Anda lihat di sekeliling anda, berapa banyak signboard UMNO cawangan yang buruk, lusuh dan hilang lambang UMNO dan tulisannya. Anda perhatikan semasa hari-hari penting seperti Maulidur Rasul, peperiksaan awam UPSR PMR SPM STPM, Hari Guru, Hari Pekerja, Hari Orang Tua dan sebagainya, parti pembangkang di hadapan menyediakan barner ucap selamat berbanding UMNO Selangor yang kelihatan miskin dan tidak ada daya mengadakannya.

CABARAN DAN KPI UMNO SELANGOR
Sebagai pemerhati, saya mesti menegur hal-hal ini sesuai dengan teguran Presiden UMNO. Jika anda berkecil hati tidak mengapa, sekurang-kurangnya anda sebagai pemimpin UMNO Selangor boleh berubah dan mengambil tindakan segera.

Jika UMNO dan BN Selangor ada cita-cita mahu merampas semula kerajaan Selangor dalam PRU14 kelak, saya mencabar UMNO Selangor untuk meletakkan KPI semua Ketua Bahagian UMNO Selangor mendaftar pengundi baharu sekurang-kurangnya 1000 orang setiap bulan! Jangan kata tidak boleh melakukannya kerana DAP telah melakukannya sejak tahun 2006! Jika penambahan pengundi pun UMNO Selangor tidak mampu lakukannya, tidak mengapalah, teruslah menjadi pembangkang dalam pilihanraya akan datang.

Oleh yang demikian, saya ingin mencadangkan supaya DS Hishammuddin diberi peluang mengemudi UMNO Selangor menjelang PRU14. Pengalaman, kematangan, kesabaran dan kebijaksanaan DS Hishammuddin boleh digunakan oleh UMNO Selangor dengan lebih mapan.

Aura Tun Hussien Onn (1976), Dato' Onn Jaafar (1947), Dato'  AbdullahJaafar (1923), Dato' Mustapha Jaafar (1928), Dato' Jaafar Mohammad (1826) dan aura itu kini jatuh kepada DS Hishammuddin tidak boleh dipertikaikan lagi. 

Kepada rakyat Selangor, ianya akan menjadi lebih menguntungkan kerana DS Hishammuddin mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Istana Selangor. Ianya boleh menjadi jambatan yang penting di antara rakyat dan Sultan Selangor.









Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan