DAFTAR SEMULA PENDUDUK: SURAT TERBUKA KEPADA DSP PAIRIN KITINGAN

on Sunday, February 15

Yang Dihormati,
YB DSP Pairin Kitingan, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing di Sabah,

Saya menerima beberapa emel berkenaan perkara di atas bertanyakan pandangan sama ada ianya akan memberi kesan yang positif atau negatif kepada isu kependudukan di negeri Sabah. 

Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah kepada DSP Pairin Kitingan atas perlantikan sebagai Pengerusi J/K Teknikal Pengurusan Warga Asing Sabah, salah satu daripada keputusan penting RCI Sabah tempoh hari.

Saya juga menerima beberapa emel daripada masyarakat KDM berkenaan artikel saya ini khususnya melibatkan sahabat saya mendiang Daniel Jebon Jenuan.

Berkenaan isu di atas, saya berpegang kepada pendirian memberi keutamaan kepada konsep keutuhan kenegaraan di mana kepentingan dan keselamatan negara mesti diberi keutamaan. Berikut adalah cadangan-cadangan saya:-

1. Perundangan Negeri
Pengurusan kependudukan di Sabah hendaklah diperjelaskan dengan tepat supaya memberi gambaran yang betul dan adil kepada semua pihak. 

Di antara kesilapan lama pengurusan warga asing di Sabah ialah tafsiran undang-undang negeri ke atas sesuatu masyarakat itu tidak jelas dan tidak adil yang akhirnya berlaku persepsi negatif. Kesan besar kepada perkara ini adalah isu Keselamatan kepada negeri dan negara.

2. Isu Sejarah
Masalah utama pasukan ini ialah adakah mereka akan membuka semula kitab Sejarah negeri Sabah? 

Sekiranya J/K ini masih kekal dengan minda lama yakni tidak memberi perhatian kepada aspek sejarah tempatan satu-satu masyarakat, saya percaya J/K ini akan mengulangi kesilapan yang sama.

'Apabila anda bercakap untuk mendaftar semula penduduk Sabah, maka anda tidak boleh lari daripada bercakap hal Sejarah'.

Beberapa ilmuan telah mencatatkan kewujudan sesebuah masyarakat di North Borneo yang boleh menjadi rujukan kepada J/K ini. Di antaranya, oleh sarjana Lee Yong Leong dalam kajian sosio-geografinya bertajuk "North Borneo, A Study In Settlement Geography" dari National University of Singapore. Beberapa catatan sejarah lain antaranya oleh K. G. Tregonnin, Ken Goodlet, Andrew Massey, Ben Stephen, Dr. Suraya Sintang, Prof Madya Dr. Asmiati Amat dan ramai lagi yang tidak saya sebutkan di sini.

J/K ini hendaklah berfikiran terbuka dan membuat sesuatu keputusan itu untuk jangkamasa panjang. Penyelesaian jangkamasa pendek amat merugikan dan tidak akan menyelesaikan masalah.

3. Undang-Undang Berubah-Ubah
Pengurusan lama penduduk di Sabah juga berubah-ubah. Undang-undang mengenai status Bumiputera, pribumi, anak negeri Sabah, Melayu dan sebagainya seringkali berubah-ubah mengikut dasar kerajaan-kerajaan yang memerintah.

Sebagai contoh, tafsiran undang-undang ke atas masyarakat Bugis di Sabah sentiasa berubah-ubah. Semasa USNO memerintah, Bugis Sabah diiktiraf sebagai Bumiputera. Sudah pasti pengiktirafan itu kerana semasa pentadbiran British dan Belanda, masyarakat Bugis Sabah sudah sedia diterima sebagai penduduk pribumi Sabah. Malangnya, status itu berubah samasa pemerintahan BERJAYA dan PBS. 

Hari ini, sebilangan besar masyarakat Bugis Sabah memiliki Sijil Anak Negeri Sabah. Ada sebahagian masyarakat Bugis Sabah memiliki status Bumiputera Sabah. Ada sebahagian diletak dalam kategori Bugis Sabah, "lain-lain", Melayu dan juga Bugis Indonesia. Hal seperti ini menunjukkan Kerajaan Negeri sejak sekian lama teraba-raba dalam hal ini.

Amat malang sekali, UMNO Sabah sendiri yang menguasai Kerajaan Negeri tidak mampu menyelesaikan isu tersebut. 

Akibatnya, ramai masyarakat Bugis Sabah menghadapi masalah dalam kehidupan mereka khususnya dalam aspek pendidikan, pemilikan tanah dan perjawatan khususnya dalam kerajaan negeri.

Perkara ini turut juga berlaku kepada masyarakat yang lain.

4. Stateless
Pengurusan yang diketuai oleh DSP Pairin hendaklah menyelesaikan isu-isu stateless dengan segera kerana ianya sudah berlarutan sejak bertahun-tahun yang lalu. Harapan kepada J/K ini menyelesaikan isu steteless amat tinggi.

5. Sijil Kelahiran Daftar Lewat
Kerajaan Negeri Sabah juga hendaklah segera memberi Keputusan dalam isu Sijil Kelahiran Pendaftaran Lewat. 

Pada hari ini, penduduk negeri Sabah yang lahir di Sabah dengan memegang Kad Pengenalan PR (Merah) dan Sementara (Hijau) tidak dapat menukarkan Kad Pengenalan mereka kepada Warganegara (Biru) walaupun mereka telah memegang Kad Pengenalan PR dan Sementara itu sudah menjangkau berpuluh-puluh tahun lamanya. 

Ramai di kalangan mereka mempunyai pendidikan yang baik di peringkat UPSR, PMR, SPM malah di peringkat universiti tetapi tidak melanjutkan pelajaran mereka atau tidak dapat memberi sumbangan kepada negeri dan negara kerana isu ini.

J/K ini hendaklah mencadangkan supaya sekatan yang berlaku sekarang dipermudahkan khususnya kepada mereka yang telah layak.

6. Wakil Masyarakat
Saya berpendapat J/K ini juga perlu mendengar pandangan wakil-wakil masyarakat lain yang kini mempunyai NGO masing-masing. Mereka perlu diberi peluang untuk membentangkan pandangan mereka.

Bagi saya, alang-alang kerajaan telah menubuhkan RCI Sabah dan kini J/K Pengurusan Warga Asing, lebih baik semua pihak diberi peluang bersuara supaya J/K ini akan mendapat hasil yang terbaik untuk masa hadapan negeri Sabah dan negara kita Malaysia.

Kesimpulan
Kita berharap J/K ini tidak lagi mengulangi kesilapan lama kerajaan-kerajaan terdahulu. Jika kita terus membuat keputusan secara 'one man show', ianya tidak akan menyelesaikan masalah. Kita juga berharap J/K ini tidak akan menganiaya mana-mana masyarakat di Sabah.

Seperti kata Sun Tzu, "Ketidakadilan adalah musuh kepada keamanan".

Salam hormat,

Al-Azharri Siddiq.
Pennys, USA.
Februari, 16, 2015.




9 Komen:

Anonymous said...

Pairin more better then Musa. After 13 years, Musa didn't solve your poblem. Musa tidak dapat membezakan Bugis Sabah dgn Bugis Indonesia, atau Suluk Sabah dgn Sulu Philipin, or Cina Sabah dgn Cina China...Musa spt berpikir semua Bugis Sabah tu Bugis Indonesia... Masa PAirin jadi CM, org Bugis boleh beli tanah NT tapi masa Musa perintah dia tarik balik. Meaning PBS more bettere then UMNO. Jawabmu kalau aku salah?

Anonymous said...

Saya sgt2 stuju Kerajaan PBS dahulu lebih bagus drpd kerajaan UMNO Musa. Org Bugis di bawah Musa bagaikan telor dihujung tanduk, sedikit demi sedikit ditarik macam2...Pairin lebih bagus.

Mr John said...

Silap kamurang, bagus kamu org Bugis sokong sini Pakatan Rakyat. Paling banyak kamu dikasi kerusi pulau sebatik saja tu, kamu pergilah sama PR boleh2 kamu manang dua tiga kerusi kamu ada sudah wakil 3 org. PAnulis ini kami kasi tampat di mana2 kamu mau kalau dia mau joint kami PR.. PR ok bah ...Ini Kalilah !

Orang Lama said...

ya agree, Pairin more better then Musa, or PBS more better then UMNO Musa.

Anonymous said...


Komen saya kpd pandangan saudara Al Azharri. Perkara 3... memang status bugis di Sabah pelbagai. Yg asal usulnya sudah bermukim di Sabah sejak era North Borneo wajar tergolong sbg anak negeri. Demikian juga yg telahpun bermukim di Sabah semasa pembentukan Malaysia wajar jika digolong sbg bumiputra. Yg mendapatkan pengistiharan mahkamah anak negeri sbg anak negeri melalui Ketua Anak Negeri wajar jika memenuhi syarat ditetapkan.

Org Bugis yg datang dari Indonesia setelah itu (warga indonesia) yg agak berbeza. Anak mereka yg lahir di Sabah setelah itu juga berbeza. Bila mereka mendapatkan dokumen kerakyatan iaitu sijil kelahiran dan KP secara belian. ...isunya jadi lebih rumit. Secara jujur mereka ini Bugis Indonesia. Oleh itu tidak mungkin kita boleh mengelompokkan seluruh orang bugis itu dalam satu kelompok yg sama.

Perkara 5... permohonan taraf mastautin sementara atau tetap adlh dlm bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Peraturannya sama di semenanjung. Jika layak boleh memohon pemastautin tetap atau sementara. Lepas itu jika layak boleh memohon untuk menjadi warganegara jika memenuhi syarat yg ditetapkan. Rasanya itu jelas dan di luar bidang kuasa kerajaan negeri. Isu yg lain mcm sejarah, stateless dan dokumen kelahiran saya setuju perlu dirungkai secara adil dan factual untuk manfaat bersama.

Selagi kita melihat isu berdasarkan fakta yg benar barulah kita boleh mencari penyelesaian terbaik. Just my 2 cents

Anonymous said...

Dlm kes Sabah anda silap, pemegang KP PR dan sementara tidak dpt menukar KP mereka walaupun telah layak kerana mereka pemegang sijil lahir daftar lewat perlu mendapat endorse drpd Mahkamah Sabah dulu... tanpa endorse drpd Mahkamah Sabah pihak JPN tidak boleh memproses permohonan mereka... Ada sesetengah perkara JPN kena melalui endorsemen from state govn... its a kuasa negeri.

Al-Azharri Siddiq Haji Kamunri said...

Saya ucap terimakasih kpd komentar anda semua. Terserah kepada DSP Pairin Kitingan yg mengetuai J/K tersebut untuk menyelami isu-isu yang dibincangkan.

Harapan kita semua untuk melihat negeri Sabah akan bertmbah maju tanpa ada lagi halangan-halangan lama yang telah
membantutkan kemajuan rakyat dan negeri Sabah.

Anonymous said...

JK ini membuat silap besar jika ketepikan masyarakat Bugis kerana Bugis Sabah sekarang ketiga terbesar selepa KDM dan Bajau. Sekian.

Anonymous said...

Mereka jadi ketiga kerana masuk beramai ramai ikut sebatik..cuba tapis...kelapan atau kesembilan kali bugis ni...gentle lah bro..bugis memang sudah ada disabah dulu..masalahnya yang baru masuk semalam ni...takkan member tak tolong...kannnnnn

Post a Comment

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan