PESANAN MENDIANG DANIEL KEPADA PM DS NAJIB

on Wednesday, February 11

Mendiang Daniel Jebon Jenaun Bersama Saya
TERLEBIH dahulu saya ingin merakamkan ucapan kesedihan dan takziah di atas pemergian mendiang Daniel Jebon Jenaun, seorang pejuang tulen hak-hak rakyat Malaysia di Sabah. 

Beliau adalah seorang bekas guru, yang meletak jawatan untuk bertanding dalam PRU13 atas tiket STAR, dengan niat untuk memperjuangkan hak-hak negeri Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Dalam pertemuan enam mata pada 16/10/2014 di Kota Kinabalu, mendiang Daniel ditemani isterinya, saya cuba memahami apakah sebenarnya yang diperjuangkannya. Saya terkejut mendiang sempat menulisnya di sini  .

Pada mulanya saya tidak ingin menulis hal ini kerana menghormati mendiang. Namun, saya berpendapat saya perlu menulisnya supaya kita sama-sama memahami perjuangannya, terutama oleh kumpulan yang berhasrat membawa keluar Sabah dari Malaysia.

Dalam pertemuan tersebut, mendiang memberitahu saya perjuangan 'Negara Sabah' bukanlah bermaksud untuk membawa negeri Sabah keluar daripada persekutuan Malaysia. Mendiang berkata, semasa pembentukan Malaysia 1963, negeri Sabah diberikan beberapa kuasa negeri sepertimana tertera dalam Perkara 20, kuasa-kuasa itulah yang mereka perjuangkan.

Mendiang telah menunjukkan bukti-bukti bersejarah akan kewujudan penggunaan perkataan Negara Sabah seperti matawang, cenderakenangan, perkataan Yang Dipertua Negara Sabah dalam surat-surat rasmi dan monomen sejarah tertera nama Negara Sabah.

Mendiang turut memberikan saya senaskah manuskrip buku bertajuk "Sabah Sebuah Negara" yang belum diterbitkan setebal hampir 300 halaman dengan menunjukkan bahan-bahan sejarah tersebut.

Manuskrip Buku "Sabah Sebuah Negara" Satu Realiti Sejarah Tulisan Mendiang Daniel Jebon Jenaun Masih Dalam Simpanan Saya
Pesanan Mendiang Kepada Perdana Menteri
Mendiang meminta supaya saya menyampaikan kepada DS Najib supaya mendengar suara mereka, kerana perjuangan mereka bukannya untuk membawa Sabah keluar dari Malaysia. Ramai orang telah tersalah faham katanya kepada saya.

Beliau menyatakan kepada saya, "sekiranya DS Najib memberikan perhatian akan permintaan mereka, nescaya sokongan rakyat Sabah khususnya masyarakat KDM kepada Perdana Menteri dan Kerajaan akan bertambah kukuh".

Sebelum mendiang Daniel meninggal dunia, mendiang hendak sangat membaca ulasan saya mengenai manuskrip buku tersebut. Saya sangat bersedih kerana sehingga mendiang meninggal dunia, saya masih tidak sempat memberikan ulasan saya mengenai manuskrip bukunya yang belum diterbitkan itu.  

Secara jujur, saya berpandangan kita mesti mendengar pandangan mereka dengan teliti kerana saya mendapati gerakan-gerakan menuntut Sabah keluar dari Malaysia adalah bertentangan dengan idea-idea mendiang. 

Mendiang menyakinkan saya bahawa perjuangan mereka tidak sekali-kali akan membawa Sabah keluar dari Malaysia. Pertemuan dengan kumpulan-kumpulan yang berniat mengeluarkan Sabah dari Malaysia juga mesti diadakan supaya menghasilkan situasi menang-menang untuk keharmonian negara kita.

Dalam pada itu, agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam pemupukan nilai-nilai Patriotisme dan Nasionalisme perlu nafas baharu. Kita memerlukan orang baharu yang patriotismenya kepada kerajaan dan negara bersifat negarawan.

Berkenaan manuskrip buku "Sabah Sebuah Negara", saya akan mengulas manuskrip buku mendiang itu pada masa yang sesuai. Ianya perlu berhati-hati kerana saya perlu memberi ulasan yang adil kepada mendiang dan perjuangannya. Pada masa yang sama, saya mesti menunjukkan kredebiliti patriotisme dan nasionalisme saya kepada negara.

Mendiang adalah seorang yang pejuang yang hebat, tenang dan rasional kepada negeri dan negara. 

JFK Blvd, PA.
Amerika Syarikat.
Januari, 10, 2015.




0 Komen:

Post a Comment

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan