IMPLIKASI POLISI TUN DR. MAHATHIR DI AMERIKA

on Monday, February 2

Tun Dr Mahathir Dalam Satu Sesi Bersama Rakyat Somalia
Suatu Ketika Dahulu
Selepas melalui fasa pertama ini , cabaran saya seterusnya di negara kuasa dunia ini ialah mendapatkan tempat tinggal yang selesa untuk keluaga. 

Saya dan keluarga tiba di Amerika Syarikat ketika subuh hari, saya bersyukur kerana dijemput oleh Presiden Kelab UMNO Philadelphia (saudara Mior) semasa di lapangan terbang. Beliaulah yang telah membantu saya dan keluarga dalam minggu pertama mendapatkan rumah sewa, membeli makanan halal, menunjuk jalan sehingga kami benar-betul selamat. Saya terfikir, jika semua pemimpin UMNO seperti beliau, rakyat akan bertambah sayang.

Begitu juga, saya berterima kasih kepada sahabat saya saudara Mazwan dari Malaysian Student' Department (MSD), di Washington DC kerana membantu menguruskan kedatangan saya di sini beberapa hari sebelum saya menjejakkan kaki di Amerika Syarikat.
Sdra Hashim Yussof dari Somalia Bersama Saya
Tun Dr. Mahathir Dan Somalia
Selepas dua hari menetap sementara di sebuah hotel sederhana, kami mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah sewa selepas selesai urusan dengan agen rumah sewa dan syarikat yang mengendalikan pemasangan elektrik, pemanas dan gas memasak.

Mior jugalah membantu kami mengangkat barang. Kami mengucapkan terima kasih dan rasa sangat penghargaan.

Sesampai di rumah sewa, kami tidak menjangka ada masalah lain. Rupa-rupanya elektrik belum dihidupkan. Kami mula berasa risau, untuk memanggil semula saudara Mior tidak sampai hati kerana beliau baharu sahaja pulang sudah tentu belum sampai ke rumahnya.

Anak-anak kelihatan kesejukan, ada yang menggigil, walaupun mereka memakai pakaian 3-4 lapis, dan berselimut. Suhu menunjukkan -8 darjah celcius. Saya agak panik kerana hari sudah semakin gelap, jam menunjukkan pukul 8 malam.

Saya cuba ke luar mencari jiran terdekat.

Alhamdulillah jiran saya dengan wajah senyum menjemput kami sekeluarga masuk ke rumah kecilnya. Oleh kerana rumahnya mempunyai lampu dan 'heater', maka kami dapat memanaskan badan.

Namanya Hashim Yussof berasal dari Somalia dan bekerja di University Of Pennyslavania (UPenn). Isterinya juga dari Somalia, fasih berbahasa Arab dan Inggeris. Anak mereka seramai 4 orang kecil-kecil belaka antara umur 2 hingga 10 tahun. 

Apabila mereka mengetahui saya dari Malaysia, mereka sangat-sangat gembira dan tidak henti-henti memuji negara kita, khususnya menyebut nama Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

"Mohamad (Mahathir) bagus, Malaysia bagus kerana banyak menolong negara kami dan negara-negara Afrika".

"Negara Malaysia banyak membantu kami rakyat Somalia dan negara kami yang kucar-kacir, kami mesti membantu anda juga".

Namun begitulah, 'kita mempunyai perancangan yang baik, namun Allah SWT juga mempunyai perancangannya ke atas kita, sesungguhnya perancangan Allah SWT lebih baik" (Surah Al-Imran, ayat 54).

Tidak lama kemudian, selepas saudara Hashim Yussof dan isterinya berusaha menghubungi syarikat elektrik melalui talian emergency dan customer service, akhirnya pekerja syarikat elektrik itu datang juga kira-kira pukul 10 malam untuk menghidupkan lampu dan heater di rumah sewa baharu kami. Walaupun ketika itu hari Sabtu (malam) dan cuti umum di Amerika, namun mereka datang juga menyelesaikan masalah pengguna.

Begitulah, hasrat murni keluarga Somalia mengajak kami bermalam di rumahnya dengan menyediakan sebuah bilik khas untuk kami sekeluarga. Walaupun hanya sempat dua tiga jam sahaja, kerana akhirnya lampu dan pemanas di rumah kami telah berfungsi sepenuhnya, tetapi kami tetap menghargai pertolongan mereka.

Kini, terbukti kepada kita, walaupun polisi Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu pernah dikritik oleh pihak pembangkang, kononnya tidak memberi manafaat dan membazir, namun akhirnya kita menikmati polisi-polisi itu di tempat lain dan pada masa yang sangat mustahak dalam bentuk yang lain. Saya percaya ramai lagi rakyat Malaysia melalui pengalaman seperti ini ketika berada di luar negara.

Bersambung...










2 Komen:

Anonymous said...

Saya pun sama..baru balik umrah...orang arab kat sana respect Dr Mahathir.....

mior said...

Saye pn mlalui pglmn yg sme di makkah

Post a Comment

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan