WILAYAH PERSEKUTUAN KE-4, PULAU SEBATIK ? PRO DAN KONTRA

on Saturday, March 21

Pulau Sebatik (2015)
Apakah maksud Wilayah Persekutuan?
Secara umum, Wilayah Persekutuan adalah wilayah yang ditadbir secara langsung oleh kerajaan Persekutuan Malaysia dan ditadbir di bawah perundangan Kementerian Wilayah Persekutuan. Wilayah Persekutuan tidak ditadbir oleh kerajaan negeri, sebaliknya terletak di bawah pentadbiran Persekutuan.

Setakat ini, terdapat tiga Wilayah Persekutuan dengan nilainya yang tersendiri, iaitu:-

1. Kuala Lumpur merupakan ibu negara Malaysia

2. Labuan merupakan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa (IBFC)

3. Putrajaya merupakan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Ketiga-tiga wilayah persekutuan ini Makmur, Maju dan Membangun. Orang Labuan khususnya sudah pasti tidak menafikannya.

Mengapa Wilayah Persekutuan?
Ada dua sebab mengapa saya memberikan idea ini kepada anda. Sama ada anda bersetuju dan tidak bersetuju masih boleh diperdebatkan.

1. Isu Keselamatan
Pulau Sebatik dari sudut geografi merupakan pembahagian dua kawasan daripada satu pulau. Sebahagian pulau Sebatik ditadbir oleh kerajaan Indonesia dan sebahagian lagi dikuasai oleh negara kita Malaysia.

Pada bulan Disember,1969 ketika tentera-tentera kita sedang bersolat subuh di Kalabakan, mereka telah diserang oleh tentera Indonesia. Walaupun berjaya mengusir tentera penceroboh tetapi serangan itu telah mengorbankan 7 anggota tentera Malaysia. Ianya sudah menjadi lipatan sejarah akibat daripada dasar politik ketika era itu.

Pada tahun 2005, isu Ambalat berdekatan Pulau Sebatik tercetus kerana kepentingan ekonomi dan keselamatan di kawasan tersebut. Sukarelawan Indonesia dilapor mendaftar diri untuk suatu ulangan "Ganyang Malaysia" malah gambar penyanyi Malaysia Datuk Siti Norhaliza menjadi mangsa kemarahan mereka telah dibakar semasa demontrasi.

Pada tahun 2013, ketika tragedi di Lahad Datu, kapal-kapal perang Indonesia dalam kedudukan 'standby' mengawal wilayah mereka di perairan pulau Sebatik.

Baru-baru ini pula 2015, berlaku insiden beberapa orang daripada wilayah Indonesia memasuki wilayah kita di Pulau Sebatik di mana mereka dilaporkan membawa senjata. Apa pun motifnya, kita melihatnya ianya suatu peristiwa yang boleh mengancam keselamatan negara kita pada masa hadapan. Pendek kata, kita telah dibolosi dan berhadapan dengan pembolosan bila-bila masa.
Pulau Sebatik: Perjanjian Inggeris-Belanda 1891
Pulau Sebatik adalah wilayah strategik negara kita, kedaulatannya mesti dipertahankan. Dari segi sejarah, ianya dipecah dua kepada Indonesia dan Malaysia kerana hasil daripada Perjanjian Inggeris-Belanda 1891 di mana di bahagian selatan pulau Sebatik diberikan kepada Belanda, dan di wilayah utara pulau Sebatik diberikan kepada Inggeris.

Perjanjian susulan ialah pada tahun 1915 dan 1928. Manakala selepas merdeka, Perjanjian Republik Indonesia-Malaysia 1978 juga menjadi rujukan penting. 

*Nota: Tesis-tesis sarjana telah mendedahkan, Belanda pernah memerintah wilayah-wilayah pantai timur Sabah iaitu di Tawau sebelum tahun 1891. Pada ketika itu, penjajah British hanya memerintah Borneo Utara bermula dari Kent (Sandakan) ke bahagian atas di Jesselton (Api-Api/Kota Kinabalu). 

Dicatat dalam catatan rasmi Belanda bahawa seorang Bugis yang diberi gelaran 'puado' telah menjadi Ketua Daerah pertama Tawau sebelum kedatangan penjajah British. Dia dilantik oleh penjajah Belanda. Puado ketika itu merekodkan mereka mentadbir Tawau dengan aman damai dengan komuniti masyarakat Bugis, Bolongan, Tidung, Suluk dan Banjar (1891-1902).

2. Isu Pembangunan
Berkenaan aspek pembangunan, anda boleh melihat sendiri kemakmuran yang dinikmati oleh penduduk pulau Labuan, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Semasa saya duduk di Labuan tidak lama dahulu, anda boleh merasai jalanraya yang sangat menakjubkan sehingga ke kaki lima rumah anda! Anda boleh menikmati kereta berkualiti dari luar negara dengan harga jauh lebih murah daripada tanah besar. Kebersihan pulau Labuan saya catatkan sebagai nombor satu dalam negara ketika itu.

Tiada apa-apa yang hilang kepada masyarakat tempatan pulau Labuan. Mereka kekal memiliki tanah mereka sendiri, mereka kekal menjawat jawatan-jawatan penting di dalam kerajaan dan swasta, mereka kekal memainkan peranan penting di dalam aspek politik di mana sejak Labuan menjadi wilayah persekutuan tidak pernah ada orang dari Semenanjung Malaysia menjadi wakil rakyat. Malah tidak mungkin ianya akan berlaku.

Pembangunan pulau Labuan jauh meninggalkan pembangunan bandar-bandar besar di tanah besar negeri kita di Sabah kecuali bandaraya Kota Kinabalu.

Hanya satu sahaja saya masih menunggu-nunggu iaitu hal jambatan. Bilakah agaknya jambatan menghubungkan pulau Labuan dengan tanah besar Sabah dimulakan?

Masa Hadapan Pulau Sebatik
Di wilayah Indonesia pulau Sebatik, saya diberikan gambar-gambar pembangunan insfrastruktur mereka lebih ke hadapan berbanding di kawasan kita.

Lihatlah jeti moden pulau Labuan? lihatlah lapangan terbang pulau Labuan? Dahulu, mantan wakil rakyat Pulau Sebatik Datuk Dr. Patawari Patawe pernah menghasilkan idea mendaratkan kapal terbang kecil di permukaan laut pulau Sebatik. Ianya menggabungkan teknologi daripada luar negara. Ianya tidak menjadi kerana beliau tidak lagi menjadi wakil rakyat kawasan tersebut.

Sekiranya saya wakil rakyat pulau Sebatik, saya akan membina 3 perkara iaitu jeti moden, jambatan pulau Sebatik menghubungkan tanah besar Sabah atau lapangan terbang sederhana. Hukum pembangunan ialah, jika terdapat lapangan terbang di sesebuah kawasan, maka kawasan itu akan bernilai tinggi dan membangun dengan cepat.

Kawasan Apas/Balung membangun dengan cepat kerana ianya diwakili oleh YB Datuk Taufiq Titingan yang bijaksana memasukkan elemen pembangunan seperti lapangan terbang baharu dan bandar baharu. Pulau Langkawi, pulau Tioman dan pulau Labuan membangun dengan pesat kerana mereka memiliki lapangan terbang sendiri.

Ada orang bertanya, di mana hendak mendapatkan bajet? Beberapa tahun dahulu, semasa berdiskusi hal-hal politik, Datuk Dr. Patawari sering berkata kepada saya 'gunakan akal'.

Itu bukan jawapan saya, jawapan saya ialah dengan menjadikan pulau Sebatik sebagai Wilayah Persekutuan yang ke-4. Dengan kedudukan ini, maka setiap tahun pulau Sebatik akan mendapat bajet yang lebih besar langsung daripada kerajaan Persekutuan.

Lagi satu, tahukah anda bahawa pulau Labuan, pulau Tioman dan pulau Langkawi merupakan bebas GST? Mungkinkah pulau Sebatik boleh menjadi pulau bebas GST jika anda menyokong idea ini?

Bagaimana pandangan anda? Jika bersetuju kenapa? Jika tidak bersetuju mengapa?

Selamat Berhujung Minggu.

Penns, USA.
Mac, 20, 2015.

*GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan)







13 Komen:

Anonymous said...

bagus ne, sebab si Gapur tahun2 berteriak di parlimen pun ndakda hasil juga, maybe tak kena caranya, maklumlah juga pendidikan sangat penting untuk dapat idea yang bernas. Mesti si Gapur stuju dgn syarat semua projek itu dia dapatlah, kalau si Muis ndak terpikir dia idea mcm ne, org lama bah semua dorang tu cara lama bah

Anonymous said...

Wauw aku sukong kalau ko bilang pulau Sabatik jadi pulau bebas cukai, tiada itu GST...setuju setuju setuju kenapalah Datok Gapur ndak terpikir ini barang

Anonymous said...

Ok bah si Gapur tu cuma dia sudah terlalu tua mau pikir semua tu

Andi Ahmad, UMNO Tawau said...

Jika kerajaan Indonesia semakin agresif membangunkan kawasan itu, sebabnya mudah kerana pulau Sebatik adalah wilayah strategik masa hadapan kedua-dua negara. Cadanga tuan elok dan perlu diperhalusi lagi. Jika tidak 10 tahun hingga 30 tahun akan datang, pulau Sebatik begitu-begitu sahaja tidak akan membangun. Kalau ada pun pembangunannya slow and steady. Pembangunan yang kecil dan lambat. So, so far i agree you.

Anonymous said...

Kami di Sebatik ne ada juga kemajuan tapi macam membangun lagi kawasan Indonsia bah, macam ketinggalan bah kami...malu juga dengan Indonesia tu

Anonymous said...

Ngam itu pikiranmu bah kasi jadilah jeti moden, jambatan dan airport...ndak pernah aku dengar YB kami cerita ini barang, balek-balek zink, tangki saja dicakap.

Anonymous said...

Aku ndak setuju pasal nanti orang Malaya saja kasi penuh ini pulau bah

Anonymous said...

Aku paling suka itu GST ngam juga tu

Al-Azharri Siddiq Haji Kamunri said...

Assalamualaikum WW/Salam sejahtera,
Saya mengucapkan terimakasih atas perhatian anda, silakan memberi komentar yang positif untuk pembangunan negara kita.

Anonymous said...

Saya ada juga terpikir. tapi ndak tau macamana mau tulis, sudah lama bah aku pikir ini barang

Anonymous said...

Ini cerita bagus tapi kalau ditinguk ini pamimpin sini susah mau cakap bah, ndak sampai dia punya otak memikir, pikiran lama bah,

Anonymous said...

Aku sokong dua saja...jambatan sama itu GST. airport boleh juga tapi mau kena bayarlah tanah-tanah yg mau diambil tu,

Anonymous said...

Saya tak ada masalah jika orang Sabah sendiri yang mahukannya...

Cuma saya bimbang selepas satu kurun waktu, generasi orang sabah yang terkemudian akan menuduhnya sebagai satu projek malaya sepertimana tuduhan-tuduhan sedemikian yang biasa kita dengar dewasa ini...

tidakkah nanti "kutukan" yang diterima Yang Berhormat Tan Sri Datuk Seri Panglima Harris kerana "menyerahkan" Labuan akan turut dikenakan kepada YAB Datuk Seri Panglima Musa kerana "menyerahkan" Sebatik?

Post a Comment

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan