TS KHALID IBRAHIM BERSAMA DS NAJIB
SELEPAS menerima mandat pada tahun 2013, DS Najib telah membentuk pasukan kabinet tanpa bayangan kabinet Pak Lah lagi, tetapi masih mengekalkan sebahagian besarnya. Setahu saya, DS Najib bukanlah seorang CEO Kerajaan yang suka membuang orang, melainkan seseorang itu meletak jawatan, telah meninggal dunia atau sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
Kerana itulah dalam kes 1MDB, DS Najib masih menunggu laporan Jabatan Akauntan Negara dan PAC, kerana DS Najib mahu berlaku adil kepada semua orang. DS Najib tidak membuang seseorang kerana persepsi dari luar. Negara boleh hancur jika persepsi dijadikan panduan untuk mentadbir negara.
Namun begitu, saya melihat rakyat mahukan transformasi. Mereka mahu melihat pasukan kabinet DS Najib sebuah pasukan yang mantap, berkesan dan diyakini rakyat.
Oleh yang demikian saya ingin menyampaikan beberapa pandangan rakyat yang menyalurkan idea mereka kepada saya melalui emel. Salah satu kementerian yang paling kritikal menjadi fokus rakyat sekarang adalah Kementerian Kewangan.
PROFESOR TAN SRI DATUK DR. NORDIN KARDI |
Kementerian Kewangan
Trend Perdana Menteri memegang portfolio Menteri Kewangan dimulakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas krisis ekonomi 1998. Ianya kemudian diteruskan oleh Pak Lah dan DS Najib.
Semasa Tunku dahulu, Menteri Kewangan dipegang oleh Tun Tan Siew Sin kerana Tunku berpandangan orang Melayu pada masa itu belum ada yang mahir dalam urusan perniagaan (Rujuk buku memoir Lee Kuan Yew).
Walaubagaimanapun, semasa Tun Razak menjawat Timbalan Perdana Menteri juga pernah menjadi Menteri Kewangan sekejap (1969-1970), Tun Hussien Onn (TPM) (1974-1976) sebelum diambil alih oleh Tengku Razaliegh Hamzah (1976-1984), dan DS Anwar Ibrahim (TPM) juga sebagai Menteri Kewangan (1991-1998). Tengku Razaliegh dikenali sebagai Menteri Kewangan yang serba-serbi mewah (Rujuk buku Syed Hussien Al-Attas)
Rakyat Malaysia mahukan sebuah pasukan kementerian kewangan yang pro-rakyat dan mesra-rakyat.
Kritikan-kritikan sebahagian rakyat dalam isu GST, BR1M dan 1MDB menujukkan Kementerian Kewangan perlu ditransformasikan khususnya dalam pengurusan isu.
Baru-baru ini juga, timbul isu jawapan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di parlimen. Sekiranya kita peka kepada perkembangan isu-isu semasa, saya percaya kesilapan teknikal boleh dielakkan.
Begitu juga jawapan oleh mana-mana Timbalan Menteri dalam isu-isu besar seperti GST dan 1MDB perlu dijawab secara konsisten, tenang dan menyakinkan. DS Najib seorang Menteri Kewangan yang konsisten dalam semua jawapan tetapi Timbalan Menteri juga perlu konsisten, tenang dan menyakinkan rakyat.
Mengurus wang negara tidak sama mengurus ceramah 1Malaysia. Oleh kerana itulah, DS Najib perlu meletakkan orang yang betul dan sesuai di dalam pasukannya. Sebarang kesilapan oleh Timbalan Menteri dan pegawai kementerian akan ditanggung akibatnya oleh Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan. Rakyat melihat kepada nombor satu.
Mereka mencadangkan Tan Sri Khalid Ibrahim dilantik sebagai salah seorang dalam pasukan kabinet kewangan kerajaan. TS Khalid boleh menguruskan isu-isu yang tertangguh dengan kerajaan negeri Selangor seperti Loji Langat 2 dan konsesi air. TS Khalid juga mengetahui bagaimana mahu menguasai semula kerajaan Selangor. Lagipun, TS Khalid pernah bekerja di bawah DS Najib semasa di Permodalan Nasional Berhad (PNB) dahulu.
Isu Patriotik
Begitu juga, dalam hal pendidikan tinggi dan Patriotisme, rakyat dan negara memerlukan individu seperti Profesor Tan Sri Datuk Dr. Nordin Kardi dibawa masuk untuk memperkuatkan lagi kabinet Perdana Menteri. Kejayaan TS Datuk Dr. Nordin Kardi boleh dilihat ketika krisis ekonomi 1998, beliau berjaya meniup semangat patriotik rakyat kepada negara dalam program perjalanan merdeka ke seluruh pelusuk negara.
Salah satu perkara yang sangat ketara sekarang adalah semangat Patriotik rakyat Malaysia kepada negara semakin luntur. Konsep 1Malaysia yang baik gagal diterjemahkan dengan baik. Saya merupakan antara individu yang mula-mula mentafsirkan gagasan 1Malaysia dalam konteks perpaduan dan patriotisme di TV pada tahun 2009. Sila tonton ulangan di sini, sini dan sini.
Apakah pula pandangan anda? Mengapa bersetuju dan mengapa tidak bersetuju?
Selamat Berhari Minggu.
Kotobian Tadau Kaamatan, Aramaiti.
USA.
Mei, 31, 2015.