ROMBAKAN KABINET: NAMA TS KHALID DAN PROFESOR DR. NORDIN JADI SEBUTAN

on Sunday, May 31

TS KHALID IBRAHIM BERSAMA DS NAJIB 
SELEPAS menerima mandat pada tahun 2013, DS Najib telah membentuk pasukan kabinet tanpa bayangan kabinet Pak Lah lagi, tetapi masih mengekalkan sebahagian besarnya. Setahu saya, DS Najib bukanlah seorang CEO Kerajaan yang suka membuang orang, melainkan seseorang itu meletak jawatan, telah meninggal dunia atau sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Kerana itulah dalam kes 1MDB, DS Najib masih menunggu laporan Jabatan Akauntan Negara dan PAC, kerana DS Najib mahu berlaku adil kepada semua orang. DS Najib tidak membuang seseorang kerana persepsi dari luar. Negara boleh hancur jika persepsi dijadikan panduan untuk mentadbir negara.

Namun begitu, saya melihat rakyat mahukan transformasi. Mereka mahu melihat pasukan kabinet DS Najib sebuah pasukan yang mantap, berkesan dan diyakini rakyat.

Oleh yang demikian saya ingin menyampaikan beberapa pandangan rakyat yang menyalurkan idea mereka kepada saya melalui emel. Salah satu kementerian yang paling kritikal menjadi fokus rakyat sekarang adalah Kementerian Kewangan.
PROFESOR TAN SRI DATUK DR. NORDIN KARDI
Kementerian Kewangan
Trend Perdana Menteri memegang portfolio Menteri Kewangan dimulakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas krisis ekonomi 1998. Ianya kemudian diteruskan oleh Pak Lah dan DS Najib.

Semasa Tunku dahulu, Menteri Kewangan dipegang oleh Tun Tan Siew Sin kerana Tunku berpandangan orang Melayu pada masa itu belum ada yang mahir dalam urusan perniagaan (Rujuk buku memoir Lee Kuan Yew).

Walaubagaimanapun, semasa Tun Razak menjawat Timbalan Perdana Menteri juga pernah menjadi Menteri Kewangan sekejap (1969-1970), Tun Hussien Onn (TPM) (1974-1976) sebelum diambil alih oleh Tengku Razaliegh Hamzah (1976-1984), dan DS Anwar Ibrahim (TPM) juga sebagai Menteri Kewangan (1991-1998). Tengku Razaliegh dikenali sebagai Menteri Kewangan yang serba-serbi mewah (Rujuk buku Syed Hussien Al-Attas)

Rakyat Malaysia mahukan sebuah pasukan kementerian kewangan yang pro-rakyat dan mesra-rakyat.

Kritikan-kritikan sebahagian rakyat dalam isu GST, BR1M dan 1MDB menujukkan Kementerian Kewangan perlu ditransformasikan khususnya dalam pengurusan isu. 

Baru-baru ini juga, timbul isu jawapan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di parlimen. Sekiranya kita peka kepada perkembangan isu-isu semasa, saya percaya kesilapan teknikal boleh dielakkan.

Begitu juga jawapan oleh mana-mana Timbalan Menteri dalam isu-isu besar seperti GST dan 1MDB perlu dijawab secara konsisten, tenang dan menyakinkan. DS Najib seorang Menteri Kewangan yang konsisten dalam semua jawapan tetapi Timbalan Menteri juga perlu konsisten, tenang dan menyakinkan rakyat.

Mengurus wang negara tidak sama mengurus ceramah 1Malaysia. Oleh kerana itulah, DS Najib perlu meletakkan orang yang betul dan sesuai di dalam pasukannya. Sebarang kesilapan oleh Timbalan Menteri dan pegawai kementerian akan ditanggung akibatnya oleh Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan. Rakyat melihat kepada nombor satu.

Mereka mencadangkan Tan Sri Khalid Ibrahim dilantik sebagai salah seorang dalam pasukan kabinet kewangan kerajaan. TS Khalid boleh menguruskan isu-isu yang tertangguh dengan kerajaan negeri Selangor seperti Loji Langat 2 dan konsesi air. TS Khalid juga mengetahui bagaimana mahu menguasai semula kerajaan Selangor. Lagipun, TS Khalid pernah bekerja di bawah DS Najib semasa di Permodalan Nasional Berhad (PNB) dahulu.

Isu Patriotik 
Begitu juga, dalam hal pendidikan tinggi dan Patriotisme, rakyat dan negara memerlukan individu seperti Profesor Tan Sri Datuk Dr. Nordin Kardi dibawa masuk untuk memperkuatkan lagi kabinet Perdana Menteri. Kejayaan TS Datuk Dr. Nordin Kardi boleh dilihat ketika krisis ekonomi 1998, beliau berjaya meniup semangat patriotik rakyat kepada negara dalam program perjalanan merdeka ke seluruh pelusuk negara.

Salah satu perkara yang sangat ketara sekarang adalah semangat Patriotik rakyat Malaysia kepada negara semakin luntur. Konsep 1Malaysia yang baik gagal diterjemahkan dengan baik. Saya merupakan antara individu yang mula-mula mentafsirkan gagasan 1Malaysia dalam konteks perpaduan dan patriotisme di TV pada tahun 2009. Sila tonton ulangan di sini, sini dan sini

Apakah pula pandangan anda? Mengapa bersetuju dan mengapa tidak bersetuju?

Selamat Berhari Minggu.
Kotobian Tadau Kaamatan, Aramaiti.

USA.
Mei, 31, 2015.








PERASAAN TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ KETIKA DIJATUHKAN DAHULU

on Saturday, May 30

TUNKU Abdul Rahman adalah lagenda bangsa Melayu dan lagenda negara. Ramai beranggapan, oleh kerana Tunku berketurunan diraja Kedah maka kehidupannya serba-serbi mewah. Sejarah membuktikan ianya tidaklah tepat dalam bentuknya.

Jika anda menghayati beberapa buku yang ditulis sendiri oleh Tunku seperti "13 Mei Sebelum dan Selepas", 'Looking Back' atau karya Profesor Ramlah Adam bertajuk "Bibliografi Tunku Abdul Rahman", anda akan mendapati bahawa Tunku tidaklah sebenarnya menjadi The Happiness Prime Minister in the world. 

Apa yang digambarkan oleh Tunku sebenarnya merujuk pertanyaan ketua-ketua kerajaan kepadanya dalam satu majlis (sebelum 1969). Tunku menjawab, dia sangat gembira melihat rakyat Tanah Melayu bersatu padu, hidup aman damai dan hasil mahsul negara semakin meningkat. Kemudian Tunku secara spontan berkata dia kini menjadi Perdana Menteri paling gembira di dalam dunia.

Untuk berlaku adil, anda mesti juga membaca buku bibliografi Lee Kuan Yew bertajuk "Singapore Memoirs" di mana saya banyak menulis mengenainya antaranya di sini, dan juga buku karangan Panglima Angkatan Tentera Malaysia yang pertama Jen (B) Tun Ibrahim Ismail  bertajuk "Ibrahim Pahwalan Melayu" di sini.

Simpan Hati
Semasa Tunku dan Tun Razak masih belajar undang-undang di London, sepatutnya yang disorong menjadi Presiden UMNO menggantikan Dato' Onn Jaafar ialah Tun Razak. Tunku sendiri yang mendesak Tun Razak menerima jawatan Presiden UMNO ketika itu kerana Tunku belum lagi tamat pengajiannya. 

Namun, Tun Razak bukanlah seorang yang gelojohkan jawatan. Tun Razak menunggu sehingga Tunku tamat belajar, dan memujuk sekali lagi agar Tunku menerima jawatan Presiden UMNO. Hormat Tun Razak kepada Tunku sangat tinggi. 

Akhirnya, Tunku menerima jawatan Presiden UMNO dan melantik Tun Razak sebagai Timbalan Presiden UMNO tanpa bantahan ahli-ahli UMNO. Dalam tempoh 1951-1957, Tunku berjaya menguruskan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dengan jayanya.

Tunku bukanlah seorang yang  berlagak mewah, kerana terdapat satu peristiwa di dalam Looking Back digambarkan Tunku bergegas menuju ke Johor Bahru dengan satu-satunya kereta yang beliau ada. Akhirnya kereta itu bermasalah di tengah malam. 

Tidak ramai yang tahu betapa Rundingan Merdeka ke London beberapa kali ditangguhkan kerana Tunku tidak mempunyai wang untuk membeli tiket kapal terbang ke London. Lebih tepat disebut UMNO ketika Tunku menjadi Presiden UMNO tidak mempunyai wang. 

Dato Onn Jaafar tidak meninggalkan wang kepada UMNO kerana Dato' Onn Jaafar juga tidak mempunyai wang, malah dicatat di dalam bibliografi Dato' Onn Jaafar ketika pencennya hanya menyimpan tidak sampai Ringgit 100.00 di dalam buku akaunnya dan hanya mewarisi sebuah rumah buruk sahaja.

Begitu juga ketika di London, tidak ramai yang tahu bahawa Tunku hanya menyewa hotel kelas 3 semasa Rundingan Merdeka 1956. Malahan Tunku hanya menaiki teksi dalam urusan di London.

Sepanjang bulan Mei, 1969 sehingga 1970, Tunku cuba bertahan untuk memastikan keamanan negara dikekalkan. Di dalam buku Tun Ibrahim Ismail di atas juga menceritakan, Tunku, Tun Razak, Tun Dr. Ismail dan Tun Ibrahim Ismail kurang tidur malam sepanjang masa selepas rusuhan 13 Mei, 1969 untuk mengawal keselamatan dan keamanan negara. 

Dipendekkan cerita, Tunku akhirnya melepaskan jawatannya kepada Tun Razak. Apakah perasaan Tunku pada tahun 1970? Tunku menghabiskan masanya menulis di New Starit Times dalam kolum khas 'Looking Back'

Semasa krisis UMNO 1988/1990 dengan penubuhan parti Semangat 46, Tunku telah berpihak kepada Tengku Razaliegh Hamzah. Bolehkah anda membayangkan perasaan Tunku ketika itu? Bacaan saya mendapati, rupa-rupanya Tunku masih menyimpan hati akan surat terbuka Tun Dr. Mahathir kepadanya pada tahun 1969 dahulu. Oleh kerana itulah Tunku memihak kepada Tengku Razaliegh Hamzah.

Sejarah Berulang
Hari ini, sejarah berulang lagi. Kali ini, Tun Dr. Mahathir pula mengkritik Perdana Menteri DS Najib secara luar biasa. 

Pada tahun 1969, Tun Dr. Mahathir mengkritik Tunku. Pada tahun 1990, Tunku berpihak kepada Tengku Razaliegh. Saya tertanya-tanya, adakah perasaan Tun Dr. Mahathir hari ini sama dengan perasaan Tunku pada tahun 1969 dahulu?

Saya mendapati Tun Dr. Mahathir semakin rasional dalam isu 1MDB. Kritikan Tun Dr. Mahathir kepada DS Najib tidak lagi melulu sebaliknya lebih berhati-hati supaya tidak lagi tersalah fakta. Semalam, Tun Dr Mahathir berkata wang 1MDB dikira hilang, kecuali terbukti sebaliknya. Baca sini. Bermaksud, jika 1MDB boleh membuktikan kepada Tun Dr. Mahathir bahawa wang itu ada dalam bentuknya, maka Tun Dr. Mahathir akhirnya sudah pasti boleh menerima perkara yang benar.

Pada tahun 1990 dahulu, Tun Dr. Mahathir berjaya mengatasi serangan Semangat 46 yang dibantu oleh Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussien Onn. Selepas berjaya, Tun Dr. Mahathir menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang kuat sehingga tahun 2003.

Begitu jualah kepada DS Najib, jika berjaya melepasi serangan Tun Dr. Mahathir ini, maka saya sangat optimis DS Najib akan menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang semakin kuat.

Sejarah memang selalu berulang, hanya bentuk berbeza.

Selamat Berhari Minggu.



















SURAT TERBUKA KEPADA AZEEZ RAHIM: 2 PILIHAN DAN JANGAN ULANGI JUAL BANGUNAN MAS !

on Tuesday, May 26


Datuk Seri Abdul Azeez Rahim,
Assalamualaikum Warahmatullahih Wabarakatuh,

Saya mengutus surat terbuka ini kerana saya terlalu jauh dari tanah air, jika dekat saya akan beri sendiri dengan tangan.

Soalan pertama, kenapa hendak jual aset Tabung Haji (TH) dengan begitu mudah dan murah? Hanya dengan sedikit spin dari segelintir pihak yang tidak pun tahu backround bisnes TH, hanya dengan seminggu dua serangan siber, hanya dengan satu tweet, Datuk Seri terus mengalah dan mengambil keputusan menjual aset TH di TRX dengan keuntungan yang sedikit?

TH adalah agenda umat Islam, bukan agenda politik. Berjuta umat Islam di luar sana bergantung harap kepada TH untuk menunaikan ibadah Haji. Mereka mengharapkan agar kerajaan sentiasa dapat menampung subsidi mereka menunaikan ibadah Haji. Di sini saya melihat umat Islam terpaksa menyediakan wang sendiri serendah USD9,100 (RM33,215) hingga USD10,600 (RM38,690) untuk menunaikan Haji. (kiraan 1USD=RM3.65) . Di Malaysia, bakal haji hanya perlu menyediakan RM9,980 sahaja manakala selebihnya TH menanggung subsidi sebanyak RM7,290.

Sebab itulah TH memiliki 11 anak syarikat dalam pelbagai sektor perladangan, perhotelan, hartanah, industri makanan, perbankan dan sebagainya supaya menjana keuntungan. Keuntungan itu pula dikembalikan semula kepada para jemaah Haji.

Sepatutnya TH mempertahan agenda itu. Jika Datuk Seri tidak dapat mempertahankan agenda itu, terikut-ikut pula dengan sedikit spin dari Rafizi and the geng, maka yang rugi adalah umat Islam sendiri. Rafizi memang tugasnya untuk memperlekeh semua agenda kerajaan. Siapa dia Mat Sabu dan Mahfuz Omar hendak bercakap pelaburan TH? Adakah mereka mengetahui management dan bisnes TH? 

Adakah Rafizi, Mat Sabu, Mahfuz Omar dan lain-lain akan mendedahkan wrong doing dalam bisnes pasir, isu dalaman Yayasan Selangor serta projek Datum Jalatek di Selangor? Sudah tentu tidak, mereka lebih rela berdiam diri kerana tugas mereka adalah menyerang, menjatuhkan dan memusnahkan apa jua dasar kerajaan persekutuan. Tidak mungkin Mat Sabu akan mendedahkan penyelewengan di dalam projek terowong bawah laut di Pulau Pinang! Itu pun masih tidak fahamkah?

Saya diberitahu, tanah di TRX itu sudah pun dimajukan sejak 2013 lagi dan TH baru sahaja membelinya pada tahun 2015. Dalam tempoh 2 tahun itu, pelbagai kerja tanah telah dilakukan oleh pihak 1MDB termasuklah urusan cukai tanah, guaman, design, insfrastruktur dan sebagainya. TH membeli tanah yang sudah diproses dengan nilai pakej yang menguntungkan. Saya fikir jika 1MDB menjual kepada Kumpulan Darul Ehsan Bhd. sudah pasti tidak dengan harga RM188.5 juta, barangkali lebih mahal.

Logiknya, nilai tanah pada tahun 2013 yang masih kosong itu sudah tentulah akan meningkat naik semasa dibeli pada tahun 2015 kerana kerja-kerja tanah telah hampir siap sepenuhnya. Ianya sudah bertukar menjadi aset hartanah yang bernilai tinggi. 

TH hanya membelinya pada tahun 2015 ketika ianya sudah bernilai tinggi dan dipaksa menjualnya semula pada tahun yang sama gara-gara spin buta. Cuba bayangkan berapa keuntungan TH akan perolehi jika dijual pada tahun 2018 apabila fasa 1 pembangunan TRX sudah siap.

Hartanah itu sangat-sangat menguntungkan juga kerana menghubungkan lebuh raya utama seperti MEX, SMART dan DUKE yang saling bersambungan. Malahan terdapat pejalan kaki berbumbung ke Bukit Bintang dan KLCC.

Jangan Ulangi Jual Bangunan MAS
Pada hujung minggu yang lalu, saya telah bersembang dengan pelajar kita yang belajar di Wharton School, University Pennsylvania. Kami berbincang isu-isu semasa di tanah air. Seorang pelajar berkata, jika TH menjual semula tanah itu hanya kerana putar belit pembangkang, katanya ia satu kebodohan of the year.

Katanya lagi, jika TH benar-benar memerlukan wang, jika TH amat-amat terdesak, maka baharulah masuk akal jika dijual dalam tempoh yang singkat. Katanya lagi, sudahlah aset TH melebihi RM50 Billion sekarang, apalah sangat nilai pembelian tanah itu (RM188.5 juta) jika keuntungan berlipatkali ganda pada 2018 nanti.

Katanya lagi, jangan ulangi kesilapan menjual bangunan MAS! Mereka berkata, tiada salah dan dosa TH membeli tanah itu untuk pelaburan jangka panjang.

2 Pilihan
Jika TH meneruskan juga niat untuk menjual aset tanah itu, maka jelaslah bahawa terdapat pengkhianat di dalam TH. Barangkali, mereka bersekongkol dengan pihak pembangkang untuk memburuk-burukkan TH supaya TH menjual semula aset tanah itu tergesa-gesa dengan harga yang mampu dibeli. 

Adakah ada jaminan pembeli itu tidak akan menjualnya semula pada tahun 2018 dengan harga yang berlipat-lipat kali ganda lagi? 

Kepada DS Abdul Azeez Rahim, anda ada dua pilihan. Jika anda berjaya mempertahan aset TH itu daripada dijual maka anda boleh kekal mempengerusikan TH sehinggalah Perdana Menteri menemui pengganti yang lebih profesional. 

Pilihan kedua, jika anda meneruskan juga niat menjual aset tanah TH itu, saya mencadangkan anda meletak jawatan serta-merta kerana anda gagal mempertahankan agenda umat Islam di TH.

Salam hormat,

Al-Azharri Siddiq,
Pennyslavania, USA.
Mei, 26, 2015.

Artikel terdahulu di sini

AFFIFUDIN OMAR SAMA SEPERTI SALMAN RUSHDIE

on Sunday, May 24

Affifudin Omar Kurang Ajar
Kenyataan bekas Timbalan Menteri, Affiffudin Omar di sini sangat dangkal, kurang ajar dan jelas buta sejarah.

Anda boleh tidak bersetuju dengan sesiapa pun, anda boleh menghina sesiapa yang anda suka kerana jiwa kacau kamu, atau kerana anda sudah bukan anggota kabinet lagi, tetapi jika anda tidak pasti sejarah sesuatu bangsa lebih baik anda tutup mulut. Jika tidak, anda kelihatan sangat terok, hodoh dan memalukan.

Affiudin menyatakan, orang Bugis belayar di laut menyamun sahaja. Sedapnya mulut berkata-kata, adakah anda seorang ahli sejarahwan? Adakah anda mempunyai tesis PhD mengenai sejarah bangsa Bugis? 

Profesor Emiretus Tan Sri Datuk Dr. Khoo Kay Kim, yang menulis kata-kata aluan dalam buku ketiga saya ini berkata bahawa persepsi Bugis sebagai 'lanun' adalah ciptaan penulis-penulis barat. Konsep penulisan sejarah ketika negara kita di awal kemerdekaan lebih kepada pemikiran barat (euro-centric) di mana penulis buku sejarah dan buku-buku teks sejarah (Ilmu Tawarikh) negara kita dahulu ditulis oleh mereka, berbahasa Inggeris, berfikiran barat, malah dicetak di London.

Jika anda membaca karya sejarah British pada zaman Ratu Elizabeth kurun ke 15 dan 16, konsep lanun di sana ialah penyelamat kepada kapal-kapal British di tengah laut daripada ancaman perompak (piracy). Malah, tercatat dalam sejarah Great Britain, seorang ketua lanun bernama Frank diberi gelaran 'Sir' kerana kejayaannya menjaga kapal-kapal British. 

Semasa kapal-kapal perang Eropah memasuki wilayah nusantara untuk menawan tanah air kita, kapal-kapal Pinisi kepunyaan pahlawan-pahlawan Bugis telah berperang dan menentang mereka daripada menceroboh tanah air kita. Tercatat peritiwa-peristiwa ini di perairan Perak selepas Perjanjian Pangkor 1874. Manakala, di perairan Pulau Sebatik dan Laut Sulawesi, kapal-kapal perang Pinisi menghalau kapal-kapal perang Belanda. Di perairan pulau Temasek, dicatat dalam sejarah kapal-kapal Pinisi orang Bugis bermati-matian menghalau kapal-kapal perang British.

Bagi pegawai-pegawai British di semenanjung Malaysia, dan pegawai-pegawai Belanda di Sulawesi, mereka amat-amat takut kehebatan pahlawan-pahlawan Bugis di lautan. 

Beberapa bulan sebelum Sasterawan Negara Arenawati meninggal dunia, saya melawat ke rumahnya di bilik kerja menulisnya. Beliau menceritakan kepada saya keunggulan ilmu pelayaran bangsa Bugis. Kitab-kitab ilmu pelayaran Bugis yang disimpannya amat berharga tersimpan rapi di rumahnya. 

Bangsa Bugis tidak menggunakan kompas untuk belayar ke negara China dan Amerika Syarikat, sebaliknya mereka menggunakan ilmu bintang. Malangnya, Sasterawan Negara Arenawati meninggal dunia sebelum sempat menyiapkan sebuah lagi karya agungnya.
Berfikiran Seperti Salman Rushdie
Affifudin Omar Lebih Kurang Salman Rushdie
Kepada Affiffudin Omar, saya mendesak kamu memohon maaf kerana sangat kurang ajar melabel bangsa Bugis sebagai lanun. 

Kenapa jika kamu tidak bersetuju dengan DS Najib dan kamu melabel seluruh bangsa Bugis sebagai lanun? Jika kamu sudah tidak sealiran dengan DS Najib kritiklah kepada dirinya sahaja, kenapa melabel Bugis lanun, sedangkan kamu tiada kajian PhD mengenainya? Adakah ilmu sejarah kamu lebih tinggi daripada Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Khoo Kay Kim?

Adakah kamu juga berpandangan Sultan Johor, Sultan Selangor, Sultan Perak dan lain-lain Sultan yang berdarah Bugis juga lanun?

Walau berapa banyak novel yang kamu tulis, tetapi dengan satu kurang ajar kamu ini, kamu seupama Salman Rushdie yang menghina Rasulullah SAW kerana buta sejarah dan berfikiran euro centric. Kamu juga berfikiran euro centric.











CABARAN YB BUGIS SABAH, BERSUARALAH DI DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH

on Saturday, May 23

Satu-Satunya Wakil Masyarakat Bugis Sabah
Di Dewan Undangan Negeri Sabah
SEJAK kebelakangan ini, berlaku perubahan besar di dalam sosio politik masyarakat Bugis di Sabah.

Pertama, kerajaan negeri Sabah semakin bersikap terbuka dengan memberi peluang kepada masyarakat Bugis Sabah memegang jawatan-jawatan utama di dalam Kerajaan Negeri Sabah. Saya percaya ianya berkaitan perfomance bukannya faktor lain.

Kedua, saya difahamkan juga bahawa masyarakat Bugis Sabah yang layak akan mendapat pengiktirafan status Bumiputera Sabah tidak lama lagi. Ianya suatu berita yang sangat ditunggu-tunggu.

Ketiga, UMNO Sabah menguasai 32 kerusi DUN Sabah tetapi hanya satu kerusi kepada wakil masyarakat Bugis Sabah. Walhal, sebelum UMNO memasuki Sabah, masyarakat Bugis Sabah mempunyai dua wakil dalam DUN Sabah iaitu di Kunak dan Merotai berbanding sekarang hanya satu di Pulau Sebatik.

Namun begitu, dengan jumlah masyarakat Bugis Sabah melebihi 220,000 orang (Laporan RCI) yakni yang kedua terbesar selepas masyarakat Bajau, saya fikir jumlah satu kerusi itu sangat-sangat tidak seimbang. Berbanding jumlah masyarakat Siam yang lebih kecil, mereka mempunyai seorang Senator untuk menjaga kebajikan masyarakat Siam di Malaysia. Saya telah menulis hal ini pada tahun 2012 di sini.

Apakah yang tidak ada kepada masyarakat Bugis Sabah? Pelbagai bidang seperti pendidikan, , perniagaan, doktor, oil and gas, PhD, Pegawai Tadbir & Diplomatik (PTD), pakar perubatan, consultan perubatan, peguam, jurutera, ustaz/ustazah, semua bidang kepakaran ada pada bangsa Bugis Sabah. Mereka ada di serata pelusuk di negeri Sabah dari Menumbok sampai lah ke Tawau. Malah, kebanyakan pakar-pakar ini juga berkhidmat di Semenanjung Malaysia kerana enviroment yang kondusif. Ianya amat merugikan negeri Sabah.

Hanya di dalam aspek politik sahaja Bugis Sabah tidak diberi peluang yang wajar. Bukannya pun meminta 3 atau 4, hanya memohon supaya diberikan satu tambahan untuk kebaikan parti UMNO Sabah jua. Formulanya sangat mudah, kembalikan kerusi Merotai kepada UMNO Sabah, dan kembalikan LDP di kawasan majoriti Cina.

UMNO Sabah harus sedar, generasi muda Bugis Sabah yang terdidik di universiti dalam dan luar negara mempunyai pemikiran dan kemahuan yang sangat praktikal dan berpandangan jauh. Mereka adalah pengundi intelek. Idea-idea mereka yang dilontarkan di dalam media siber dan group chat telah mempengaruhi keluarga mereka untuk memperjuangkan hak mereka dari segi undang-undang dan juga sejarah.

Suara YB Bugis Di DUN Sabah
Dalam pada itu, saya ingin menyampaikan beberapa perkara kepada satu-satunya YB Bugis Sabah, supaya menyuarakan dengan penuh yakin di dalam DUN Sabah untuk memperjuangkan isu-isu yang melibatkan isu-isu masyarakat Bugis Sabah. 

Jangan takut dan jangan gentar kerana tiada pun kesalahan bercakap perkara yang benar di dalam DUN. Apatah lagi jika isu-isu yang diperjuangkan itu mewakili masyarakat sendiri! 

Anda disokong oleh 220,000 masyarakat Bugis Sabah, tetapi sekiranya anda tidak ada kekuatan dan keberanian untuk memperjuangkan nasib dan masa hadapan masyarakat Bugis Sabah, saya fikir mereka bukan sahaja menolak anda tetapi juga parti UMNO dalam PRU14 kelak. 

Anda ada dua pilihan, anda mahu dijulang sebagai hero Bugis Sabah atau anda akan menjadi lipatan sejarah yang merugikan. Kata orang, 'ada pun bagaikan tiada, tiada pun bagaikan tiada'. 

Oleh itu, saya mencadangkan malah mencabar supaya anda bercakap beberapa isu di bawah di dalam sidang Dewan Undangan Negeri Sabah akan datang. Masyarakat Bugis Sabah mahu mendengar suara YB Bugis di dalam DUN Sabah!

1. Isu Sijil Kelahiran Daftar Lewat 
Anda mesti menyuarakan perkara ini dengan segera kerana isu ini sudah terlalu lama berlarutan. Kerajaan negeri Sabah dan DUN Sabah perlu diberi penjelasan bahawa isu Sijil Kelahiran Daftar Lewat ini perlu diselesaikan segera. Kemukakan soalan di dalam DUN,

i. Apakah masalah utama kelewatan ini? 
ii. Adakah Mahkamah Negeri tidak mempunyai cukup kakitangan? 

Beritahu di dalam DUN bahawa mereka ini bukan Bugis Indonesia, tetapi Bugis Sabah. Bentangkan fakta kes dengan statistik empirikal. Kumpulkan bijak pandai Bugis Sabah untuk membantu anda mengumpulkan statistik tersebut. Persepsi dan tuduhan boleh terjawab dengan fakta dan data.

2. Isu Stateless
Anda juga mesti menyuarakan isu masyarakat Bugis Sabah yang masih di dalam status stateless kerana isu-isu dokumentasi mereka yang tidak teratur. Kita mematuhi undang-undang, jika dokumentasi seseorang itu meragukan dia harus ditolak, tetapi jika ada asas yang kukuh maka dia perlu mendapat haknya untuk bersekolah, bekerja dan menyumbang kepada pembangunan negara dan negeri Sabah juga.

Baca ulangan di sini

3. Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing Sabah
Anda juga mesti bersuara kepada Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing Sabah. 

Kependudukan di kawasan sempadan bukanlah luarbiasa jika sesuatu bangsa itu mempunyai keluarga di negara sempadan. Misalnya di Kelantan, ramai Melayu Siam dan Melayu Kelantan yang berulang-alik setiap hari. Apatah lagi, masyarakat Siam Malaysia di Kedah dan Perlis yang berulang-alik ke negara Thailand. Di negara Singapura, masyarakat Melayu Johor dan Melayu Singapura sukar dibezakan tanpa melihat identiti kad pengenalan mereka. 

Jadi kepada mereka yang masih prejudis, mengapa anda tidak boleh membezakan masyarakat Bugis Sabah dengan Bugis Indonesia, ianya sama sahaja dengan masyarakat Sulu Filipina dengan Sulu(k) Sabah, Cina Sabah degan Cina China, Bajau Sabah dengan Bajau Filipina, Cina Indonesia dengan Cina Sabah.

Lihat kepada patriotisme mereka bukan kepada nama bangsa mereka. Kerajaan Indonesia sendiri akan menangkap mana-mana rakyat Sabah yang menyeberang ke wilayah Indonesia tanpa pas perjalanan yang sah.

Pada pandangan saya, YB Bugis Sabah patut berada di dalam Jawatankuasa Teknikal ini, kerana kita tidak mahu jawatankuasa ini membuat laporan yang tidak tepat mengenai Bugis Sabah. Oleh kerana sudah terlewat, kita masih boleh menyuarakan pandangan kepada DSP Pairin yang mempengerusikan jawatankuasa ini supaya berlaku adil kepada masyarakat Bugis Sabah. 

Saya sendiri sudah menyuarakan surat terbuka kepada DSP Pairin Kitingan di sini.

Kesimpulan
Patriotisme dan jatidiri masyarakat Bugis Sabah kepada negeri Sabah dan Malaysia janganlah dipersoalkan lagi, melainkan ada pihak yang tidak mengkaji sejarah lalu dibutakan oleh sikap prejudis yang membabi-buta.

Terdapat ramai majikan dalam sektor perladangan, perkilangan, perumahan, perikanan dan sebagainya menggaji masyarakat Bugis Indonesia kerana mereka adalah pekerja yang rajin dan kos yang murah. Namun begitu, mereka bukanlah Bugis Sabah sebaliknya mereka adalah Bugis Indonesia. 

Generasi Bugis Sabah yang kedua, ketiga, keempat dan kelima langsung tidak tahu berbahasa Bugis, malah mereka langsung tidak tahu membaca tulisan Bugis. Generasi ini lebih mahir berbahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Sejarah masyarakat Bugis Sabah sudah bermula pada tahun 1770an lagi. Bacaan ulangan anda di sini

Selamat Berhari Minggu.

Salam hormat dari jauh,

University City,
Philadelphia, USA.
Mei, 23, 2015.

*Cadangan pembangunan Pulau Sebatik di sini









DS NAJIB, BERKETEMU TUN DR. MAHATHIR

on Friday, May 22

DS Najib berlatarbelakangkan 5 Perdana Menteri Terdahulu
Tun Dr. Mahathir (Tun M) adalah seorang doktor perubatan. Apabila Tun M dipostingkan di Pulau Langkawi tahun 1950an dahulu, beliau meminta supaya kerajaan British memindahkannya ke tanah besar Kedah kerana pandangan beliau untuk membantu rakyat di Alor Setar yang lebih memerlukan perkhidmatannya. Namun, surat Tun M bertulis tangan itu tidak diberi perhatian oleh kerajaan. Pada tahun 1957, Tun M nekad berhenti dan membuka Klinik di Alor Setar.

Begitu juga semasa Tun M menulis surat mengkritik Tunku Abdul Rahman, kerana Tun M berpandangan kelemahan pentadbiran Tunku menyebabkan DAP menang besar semasa PRU tahun 1969. Akhirnya Tunku mengambil keputusan memecat Tun M.

Tun M menghabiskan masanya menulis buku. Buku The Malay Dilemma dan buku agama Menghadapi Cabaran. 

Pada tahun 1972, Tun Abdul Razak, iaitu ayahanda DS Najib adalah orang yang bertanggungjawab membawa masuk semula Tun M ke dalam UMNO dan kabinet Kerajaan Persekutuan pada masa itu (1974). Jika tanpa Tun Razak, bagaimanakah?

Namun begitu, Tun M tidak lupa daratan. Semasa kerajaan Pak Lah memperolehi keputusan merudum pada PRU 2008, sentimen orang-orang Melayu pada ketika itu ialah tidak dapat menerima kemungkinan lebih buruk jika Pak Lah tidak diturunkan. Maka, tekanan ke atas Pak Lah dilakukan. Dato Mukhriz menulis surat meminta Pak Lah meletak jawatan. Sementara itu, menurut Presiden PPP, Tun M juga telah menghubungi semua komponen parti BN untuk menerangkan kenapa Pak Lah mesti diturunkan.

Akhirnya, Pak Lah melepaskan jawatannya kepada DS Najib.

Beza Zaman Pak Lah dengan Zaman DS Najib
Pada zaman DS Najib tidak ada sekatan dan halangan kepada Tun M untuk bercakap di TV, suratkhabar nasional, di dalam UMNO, di Universiti dan sebagainya. Malahan, menteri-menteri DS Najib hadir dan menyambut Tun M di mana-mana sahaja ada majlis 'talk' Tun M. 

Ketika zaman Pak Lah pula, Tun M tewas di Kubang Pasu untuk menjadi Perwakilan UMNO. Malahan media arus perdana, majlis-majlis kerajaan dan UMNO amat-amat kurang kehadiran Tun M. Dalam hal ini, saya telah memberikan pandangan kepada Tun M, dan Tun M membalas pandangan saya itu. Anda boleh membaca pandangan Tun M kepada saya di sini. Sebenarnya bukan Pak Lah pun yang menutup segala pintu kepada Tun M, tetapi 'orang lain'.

Berbalik kepada sejarah tahun 1988/1990. Apabila Tun M dilawan oleh Tengku Razaliegh Hamzah, amat mengejutkan apabila Tun M hampir tewas dengan majoriti yang sangat sedikit (43 undi). Namun, Tun M menjelaskan bahawa di dalam sistem demokrasi, walaupun majoritinya kecil atau satu sahaja, maka yang menang tetap menang. Dalam kes pertandingan itu, kumpulan DS Najib dan UMNO Pahang telah menyelamatkan Tun M dengan memberi kemenangan kepada Tun M. Apa agaknya berlaku, jika DS Najib dan kumpulan Pahang memilih Tengku Razaliegh?

Maka berlakulah perpecahan di mana UMNO diharamkan kerana kerenah segelintir ahli UMNO yang membawa masalah dalaman UMNO ke mahkamah. Maka, berlumba-lumbalah Tun M dan Tengku Razaliegh mendaftar parti UMNO (Baru). Akhirnya, pejabat pendatar ROS meluluskan terlebih dahulu permohonan Tun M mendaftarkan semula UMNO dengan UMNO (Baru). (Lebih terperinci dalam buku, tidak dapat dihuraikan kerana terlalu panjang).

Manakala, Tengku Razaliegh berjaya menubuhkan parti Semangat 46. Parti Semangat 46 berjaya membantu PAS menumbangkan UMNO di Kelantan. Pada ketika itu, Tunku Abdul Rahman telah dibawa ke sana ke mari oleh kumpulan Semangat 46, walaupun Tunku Abdul Rahman tidaklah sekuat mana pun.

Tun M Ketemu Tunku Abdul Rahman
Dalam kes ini, satu perkara yang saya lihat keluarbiasaan kepada Tun M ialah, walaupun Tun M mengkritik terok Tunku Abdul Rahman pada tahun 1969, namun Tun M tidak merasa kekok untuk melawat Tunku ketika itu. Gambar Tun M memimpin tangan Tunku menjadi kemenangan moral kepada Tun M keesokan harinya. Nasib baiklah belum ada wassap, FB, tweeter dan aplikasi siber pada masa itu.

Apakah yang saya mahu sampaikan kepada anda? Saya telah menulis dua artikel mengenai orang tengah ini. Yang pertama ini dan kedua ini. Apa yang saya mahu sampaikan ialah, DS Najib diharap dapat mengunjungi Tun M. 

Saya faham cara DS Najib bukanlah seorang individu yang suka menunjuk-nunjuk. DS Najib senyum dan ramah ketika di luar, tetapi sangat tegas ketika bekerja. Jika anda lewat ke Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, pintu pagar akan tertutup kerana anda tidak menepati masa. Pertemuan itu tidak perlu pun diketahui oleh jurugambar.

Sebab itulah, apabila keluarga pengantin lelaki menjemput DS Najib di atas pentas, DS Najib kelihatan kekok. Tetapi DS Najib naik juga ke pentas tidak sampai 10 minit untuk menghormati adat tuan rumah. Jika tidak, barangkali DS Najib akan disebut sombong dan tidak menghormati tuan rumah oleh para tetamu dari dalam dan luar negara. Sebenarnya, kalau bab menari, anda tidak boleh lawan kehebatan dan kemahiran DS Anwar.

Kepada DS Najib segeralah bertemu Tun M. Saya tidak percaya Tun M tidak boleh berlembut hati. Saya masih ingat, ketika Tun M dan Tun Razak memujuk ayahanda Pak Lah (Ahmad Badawi) supaya tidak bertanding di parlimen Kepala Batas tahun 1976 dahulu. Pertemuan itu sangat berjaya kerana Ahmad Badawi bersetuju untuk tidak dicalonkan dalam PRU akan datang.

Jika Tun M boleh memujuk orang lain sehingga berjaya, mengapa kalau orang lain memujuk Tun M supaya berhenti mengkritik tidak boleh berjaya? 

Francis Fukuyama menyebut isu seperti ini adalah masalah 'reconstruction versus development' ."Reconstruction refers to the restoration of war-torn or damaged societies to their pre conflict situation. Development, however refers to the creation of new institutions and the promotion of sustained economic growth, events that transform the society open-endedly into something that it has not been previously".

Sekian, salam dari jauh.

University City,
Pennsylvania, USA.

May, 20, 2015.

* Bersambung, 'Orang Tengah' sudah ditemui.










TUJUH PILIHAN KEPADA DS NAJIB DAN TUN DR MAHATHIR

on Sunday, May 17

Seseorang telah menghantar emel kepada saya dan berkata, "saya ingin berkongsi kepada kepimpinan UMNO beberapa perkara untuk difikirkan". Saya rasa pengirim emel tersebut orang besar yang sudah berpencen. Saya fikir elok dikongsikan kepada anda semua.

Katanya UMNO mempunyai dua pilihan untuk mengatasi kemelut antara DS Najib dengan Tun Dr. Mahathir. Pertama anda memilih Hawkish (helang) / konfrantasi, atau yang kedua Dovish (merpati) / rundingan.

Nampaknya sekarang kepimpinan UMNO memilih pendekatan pertama. Maka akan ada 2 kemungkinan akan berlaku. PertamaUMNO bersatu dan bertambah kukuh atau yang keduaUMNO berpecah dan bertambah lemah.

Saya kurang selesa dengan idea di atas. Saya mencari seseorang yang berpengalaman untuk mendengar pandangannya. Orang besar juga. Hasilnya, disimpulkan bahawa sebenarnya idea di atas kelihatan sangat bodoh. Berperang adalah idea yang tidak bijak.

Ramai orang lupa, kerana terpedaya dengan sentimen dan doktrinisasi 'musuh-musuh perpaduan' di dalam media. Katanya lagi, sebenarnya majoriti anak-anak muda yang ditemui sayang kedua-duanya. Mereka sayang DS Najib dan juga Tun Dr. Mahathir. 

Mereka rasa kecewa kerana tidak ada pemimpin UMNO dan Melayu berusaha untuk membawa kedua-dua pemimpin ini berunding.

Ianya sangat membimbangkan, pendirian berkonfrantasi boleh membawa bencana yang besar! Orang putih kata, "It is very-very worrisome, confrontational stance could be disastrous".

Kepada DS Najib dan Tun Dr. Mahathir, mari lihat apa pilihan yang ada:-

1. Anda ingin memenangi perdebatan atau menang PRU14?

2. Anda ingin memenangi perdebatan tetapi kalah dalam PRU14?

3. Kurangkan perbahasan, dan boleh menang PRU14?

4. Anda sebagai Presiden UMNO dan menjadi Perdana Menteri Malaysia?

5. Anda sebagai Presiden UMNO dan menjadi Ketua Pembangkang yang baru?

6. Anda memenangi pertempuran tetapi anda kalah dalam peperangan?

7. Kata orang putih, "look the tree, not the wood'!

Nota: Pada April, 14, 2015 saya telah menulis hal ini juga. Anda boleh membacanya di sini bertajuk 'Orang Tengah'.

Salam dari jauh,

Delaware,
New Jersey, USA.
Mei, 16, 2015.


LAPORAN POLIS ARTIKEL MENGHINA BANGSA DI THE MALAYSIAN INSIDER

on Wednesday, May 13


SDRA. AM SURYADY BANDY, KETUA PEMUDA UMNO KALABAKAN, DR. ANDI MD SHAMSUREEZAL BIN MOHD SAINAL, BENDAHARI PEMUDA UMNO KALABAKAN, SDRA QAMARURIZAL SAAD, PENGARAH URUSAN ALIF UTAMA GROUP, SDRA SAMSU EWANG AKTIVIS MASYARAKAT DISERTAI WAKIL ANAK-ANAK BUGIS SABAH MEMBUAT LAPORAN POLIS DI IBU PEJABAT POLIS TAWAU KE ATAS KEBIADAPAN DI DALAM ARTIKEL THE MALAYSIAN INSIDER
LAPORAN POLIS OLEH KETUA PEMUDA UMNO KALABAKAN DAN ROMBONGAN DI IPD TAWAU
LAPORAN POLIS KEDUA DI IPD SANDAKAN OLEH SDRA SUNDUSIN NGANRO DARIPADA PERSATUAN PERPADUAN MELAYU BUGIS MALAYSIA (PRBM) CAWANGAN SANDAKAN
LAPORAN POLIS KETIGA OLEH SDRA TASMAN BIN MATTO DI IPD LAHAD DATU, SEORANG LAGI AHLI PERSATUAN PERPADUAN RUMPUN MELAYU BUGIS MALAYSIA (PRBM) CAWANGAN LAHAD DATU
Beberapa Laporan Polis lagi akan dibuat sehingga The Malaysian Insider menarik balik rencana tersebut dan pihak terbabit memohon maaf.

Saya berharap pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tidak berdiam diri dan pihak berkuasa yang lain seperti Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Dan Malaysia (SKMM) memandang serius hal ini kerana penghinaan ke atas sesuatu bangsa tidak boleh diterima di dalam negara kita. Tuduhan dan fitnah tanpa bukti yang disiarkan di dalam portal The Malaysian Insider jelas mempunyai niat jahat.

Saya mengucapkan Syabas kepada anda yang telah melaksanakan tanggungjawab dan menyahut seruan untuk mendesak mereka yang terbabit di The Malaysian Insider untuk membersihkan nama baik anak-anak Bugis yang difitnah tanpa bukti itu. Sehingga ke hari ini, The Malaysian Insider dan penulis terbabit gagal menunjuk bukti akan tuduhan mereka itu.

Kenyataan Media telahpun dikeluarkan semalam di sini.

KEMASKINI, (12.21tengahari) 


Akhbar Tempatan Sabah Times Turut Menyiarkan Laporan Bantahan
Masyarakat Bugis di Daerah Kunak Melalui NGO PRBM Turut Membuat Laporan Polis Di IPD Kunak
Akhbar Tempatan Berbahasa Cina Turut Menyiarkan Laporan Kebiadapan Sebuah Rencana di TMI



Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan