Assalamualaikum
Datuk Seri,
Saya
telah membaca warkah DS dengan penuh tekun dan turut merasai kesugulan DS itu. Saya
amat memahami kepiluan perasaan DS dalam mengungkap kecelaruan dan kecetekan mereka yang tergoda dengan politiking sesetengah pihak. Mereka sudah semakin
alpa, hanyut dan lalai kerana tergoda dengan harapan yang terdesak dan mimpi ngeri. Mereka
terasa diri mereka sebagai hero kepada hero sebenar. Mereka kelihatan pasrah DS
akan selama-lamanya di dalam jeriji besi yang membungkam itu.
Amat malang lagi, mereka
seolah-olah tidak mahu berbicara hal warkah keramat itu, mereka diamkan,
seolah-olah itu warkah dari orang usang, barangkali di minda mereka berkata sebegitu.
Saya percaya mereka tidak khatam membaca minda buku ‘angin perubahan’ (1985).
Tidak
mengapa DS, pak Anhar (Cipinang) berpuluh-puluh tahun di dalam jeriji besi, akhirya dia
menakhoda dewan mulia dengan segala kemuliaan. Kini masih duduk di
tengah-tengah nadi denyut warga yang kehausan, kedahagaan dan kelaparan. Kesakitan rakyat ada nadi perjuangan. Sebab itu saya sangat tersentuh dengan kekecewaan dan kemenderitaan DS dengan gelagat mereka.
Benar telaan DS, kelihatannya sangat jelas mereka sudah tidak peduli gagasan yang original,
kerana mereka terpedaya dengan gagasan memperdaya bukan gagasan yang memberdaya rakyat dan negara.
Kini mereka merelakan nafas perjuangan DS disekongkolkan, barangkali mereka juga berfikiran seorang heroan dan banduan tiada beda.
Warkah
DS sangat tepat pada masanya tatkala keterlanjuran mereka seperti sudah
termuktamad dan membiarkan nadi perjuangan DS direlakan dicincang-cincang
lumat. Natijahnya, rakyat menjadi serabut, marah dan merasa jelek kepada
partai dan menghukum keseluruhan kapal pakatan di Sarawak dengan begitu
terok dan sadis.
Saya
bersetuju dengan DS bahawa pemberat dan pembenar perlu jelas dilihat dan dirasai oleh
rakyat supaya nadi perjuangan yang asli kembali bergema lebih terkedepan
berbanding agenda Deklarasi Rakyat yang lebih bersifat politik.
Memang benar kata DS, bahawa “Di
sebaliknya kita perlu memperhebat dan memesatkan kempen menjana perubahan,
menjadi pembela rakyat yang tertekan akibat kecelaruan dan salah urus ekonomi
negara; selaras dengan dasar dan gagasan yang kita gendong selama ini.”
Di
sinilah letaknya kelemahan dan kecelaruan pimpinan partai bilamana, “Pelancaran
DR adalah seolah-olah seperti telah ditetapkan tanpa boleh dirunding atau fait
accompli. Hanya setelah desakan daripada pimpinan NGO pada saat-saat akhir,
sebahagian daripada pandangan kita dimasukkan, hanya sekadar mencantikkan
deklarasi.
Mereka lupa pengunduran atau tetapnya Perdana Menteri itu adalah sistem yang sudah sedia ada. Maka benarlah DS kini mereka menjadi, "Ia
hanya menumpukan kepada pengunduran Datuk Seri Najib sebagai perdana menteri
susulan skandal 1MDB. Ini adalah jelas jauh terpesong daripada raison d’etre
atau asas perjuangan kita; untuk kebebasan dan keadilan, kedaulatan
undang-undang, melawan salah guna kuasa dan rasuah, dan keadilan untuk semua!"
Benar
kata DS bahawa kealpaan mereka telah menghasilkan kebobrokan minda di kalangan
rakyat di mana, “Pimpinan dilihat
seperti terpesona dan berpuas hati dengan jaminan bahawa segala tuntutan akan
ditangani setelah pengunduran Najib.”
Memang benar
kata DS bahawa “Saya bingung bagaimana
ada di kalangan kita dalam Pakatan Harapan yang terus meletakkan harapan agar
‘perubahan’ boleh berlaku melalui tipu muslihat”.
Saya
sangat-sangat bersedih dan memahami perasaan DS bilamana DS mengungkapkan “ Seorang
peguam kanan memaklumkan kepada saya beliau memerhatikan bagaimana
pemimpin-pemimpin ini terpegun dan merendah diri dalam kehadiran bekas autokrat
dalam program terbuka seolah-olah masih tersekat dengan budaya feudal. Walaupun
dengan kepetahan Azmin, Ambiga dan Mat Sabu yang lantang dan meyakinkan,
pengolahan agenda reformasi hanya menjadi isu sampingan”
Saya
amat-amat bersedih apabila DS berkata ”Penghinaan ini sedihnya tidak dibela oleh
rakan-rakan yang saya letakkan kepercayaan. Saya beranggapan kalian lebih
mementingkan untuk mempertahankan usaha sama dan kepentingan dengan Tun M.”
DS
juga dengan tegas berkata, “Pandangan kami, deklarasi telah gagal
untuk membawa kebajikan rakyat kebanyakan, terutamanya kesengsaraan ekonomi dan
reformasi institusi. Kepada mereka yang taksub dengan Deklarasi, pasti tidak
mengalukan kritikan sebegini. Saya minta berbeza pendapat dan mengutarakan
penjelasan dalam perkara tersebut."
Peringatan-peringatan
DS tidak lagi menjadi pemberat dalam perjuangan mereka, barangkali lantaran
keenakan berada di atas sofa empuk dan makanan lazat yang terhidang bersama
alunan muzik. Dalam surat saya sebelum ini kepada Biro Politik, saya menzahirkan
keraguan – yang mana deklarasi dan pendekatan baru ini bertentangan dengan
perubahan jitu atau reformasi. Saya menyeru pimpinan untuk tidak memandang
rendah komplot mereka. Jangan terlalu yakin dengan menganggap kalian mampu
mematahkan percaturan mereka. Jangan peringatan ini dipandang remeh.
Saya
sokong kata-kata DS ini ,”Maaf – tetapi saya tidak dapat mengelak
daripada merasa terkejut dengan pandangan cetek yang melihat dengan kejatuhan
Najib cukup untuk membawa perubahan ke arah demokrasi yang beramanah atau
democratic accountability.
Saya
turut bersedih melihat mereka sewenang-wenangnya mempergunakan Azizah dan Nurul
Izzah, “Tetapi saya mengutuk sikap yang tidak peka mendesak presiden, dan
khususnya Nurul Izzah untuk membuat kunjungan hormat terhadap Tun M atau
menyertai program beliau. Kamu mungkin nak mengambil hati beliau, tetapi
menuntut pengorbanan daripada keluarga saya, terutamanya selepas cemuhan beliau
baru-baru ini adalah sangat tidak berhati perut!
Kegusaran-kegusaran dan kemarahan-kemarahan DS ini memang penting untuk dihighlightkan lantaran kealpaan mereka, "Sejak
bergulirnya Reformasi 1998, saya merasakan idealisme perjuangan mula terhakis,
teruji dengan kilauan kuasa dan dana. Kekuatan saya sekadarnya, jika diakui
adalah dengan meniupkan dan menyemarakkan kesedaran ke arah perubahan – islah
mas ta ta’ (perubahan sedaya upaya). Maka kita bergelut selama hampir dua
dasawarsa menghadapi kekejaman dan keperitan hidup. Kita pecahkan tembok
ketakutan; perkauman; kesempitan takrif agama kepada rahmatan lil ‘alamin."
"Namun
kegusaran saya adalah justeru perkembangan kini meletakkan kita di persimpangan
jalan. Soal cita-cita murni, idealisme bukan lagi persoalan asasi tetapi pencak
politik untuk berkuasa. Atau di sebaliknya, apakah saya dirundung malang kerana
sukar menerima kenyataan? Memadai saya rumuskan keterbatasan dan kelemahan saya
yang tidak upaya menggalas persefahaman baru DR."
Percayalah DS bahawa rakyat
turut berasa hampa sebagaimana hampanya DS ini, “Kehampaan saya berikutnya
justeru kelemahan lantas kegagalan menghimpun saf kepimpinan yang padu.
Keupayaan dan peranan sebagai pengikat pimpinan dan kelompok juga kian
terhakis. Maka kedengaran keluhan berunsur tuduhan bahawa saya turut memihak
dan terkait dengan beberapa krisis sebelumnya. Saya cuba lakukan sebaiknya
tetapi kudrat terbatas. Perseteruan sudah melampaui batas etika hingga
kelihatan lebih lunak berurusan dengan musuh politik ketimbang teman
seperjuangan”
Kata-kata
DS ini “Pelbagai ikhtiar, pujuk rayu dari saya tidak lagi mengesankan” sangat-sangat
menghiris perasaan sesiapa sahaja. Saya terbayang inikah harga perjuangan yang
diberikan oleh mereka dalam partai yang kini sedang menikmati kilauan kuasa dan kilauan dana.
Akhir
kalam, saya ingin berkongsi bicara saya dengan Pak Anhar di Jakarta, katanya, seingat saya, perjuangan itu mesti ada rohnya yang kental dan kukuh, tidak goyah walau bagaimana ombak dan petir, prinsipnya dan jatidirinya mesti jelas, walau tinggal satu. Adakah mereka sebegitu jua?
Francis Fukuyama (Washington) dalam bukunya, yang saya fahami menyebut begini, "kemenangan dan kekalahan itu bukan tujuan utama rakyat Amerika merelakan diri mereka pergi berperang di medan perang, melainkan membawa maruah dan jatidiri sebuah ketamadunan sama ada hidup atau mati kalah atau menang".
Selamat beristirehat DS. Bersabarlah dengan kerenah mereka.
3 Komen:
Hebat sungguh alunan ayat dan nada berbunga mulus .... tapi sayang bila bebas dari prnjara perangai lama yg tak berkesudahan.... nnpk ssgt bila burung gagak cuba meniru gaya sang burung merak... tetap nnpk ssgt hodohnya... selamat tinggal .... karma seluruh keturunan kamu .... masih àda waktu untuk kembali ke pangkal jalan.... Selamat Jalan Romeo
Anwar dengan Madey sama saja 2X5, 5X2. Sama-sama keturunan mamak. Terlujuk lurus kelingking putar-putar.
Eloklah dulu mereka PM & TPM sama-sama perlingkup negara.
Rasa nak sempati dah berlalu... politik bohong dan fitnah menjijikkan ..tak rela jadi sumpahan keturunan akan datang... cukup2 la.... berundur terus dari politik fitnah yg meloyakan...
Post a Comment