UTUSAN TUKAR MENTERI BESAR KEDAH

on Friday, January 29




Medina- Minggu lepas saya membaca beberapa laporan media isu usaha menukar MB Kedah. 

Saya fikir UMNO harus belajar daripada sejarah. Sebenarnya usaha menukar MB tidak akan berjaya melalui cara kekerasan. Sebahagian Ketua-Ketua Bahagian tidak mungkin dapat menukar seorang Menteri Besar.

Kes yang sama dahulu apabila Tun Dr. Mahathir tidak melayan desakan Ketua-Ketua Bahagian supaya menukar TS Sanusi Junid. Dalam kes itu, Tun Dr Mahathir tidak melayan desakan Ketua-Ketua Bahagian supaya menerima desakan menukar MB Kedah yang juga orang kepercayaan Tun dalam politik. 



Sebenarnya, jika MB hendak ditukar cukup dengan arahan daripada Perdana Menteri yang juga Presiden parti. Bukannya oleh seorang Ketua Bahagian atau beberapa orang Ketua Bahagian sahaja. Sebab itu saya tidak hairan usaha itu gagal.

Dahulu, semasa usaha menukar MB Kedah Syed Razak, ianya dibawa oleh seorang utusan Perdana Menteri. Utusan PM ini sangat bijak. Dia tidak bertemu Ketua-Ketua Bahagian supaya membuat desakan, sebaliknya dia bertemu sendiri dan menyampaikan permintaan Perdana Menteri dengan bijak.



Itulah cara orang utara. Samalah jua ketika Tun Razak memujuk ayah Pak Lah supaya berundur daripada politik. Tun Razak membawa Tun Dr. Mahathir dan mereka menceritakan tujuan mereka ketika makan tengahari bersama-sama. Ayah Pak Lah menerima dengan mudah.

Kuasa melantik, menukar dan memecat MB sebenarnya di tangan Presiden sesebuah parti mana-mana parti pun. Dalam kes Kedah, DS Mukhriz dilantik oleh Presiden UMNO kerana situasi politik pada tahun 2013 memihak kepada DS Mukhriz walaupun dia kalah kepada Khairy Jamaluddin dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda dahulu.



Jika UMNO mengurus Kedah dengan semberono, saya sangat khuatir Kedah akan kembali ke tangan pembangkang, dan lebih buruk lagi ianya akan memberi kesan buruk di peringkat nasional.

Saya tidak percaya kemelut di Kedah berpunca daripada DS Najib. Sementara itu, KJ masih perlu bersabar lagi. Jatuhnya TS Muhyiddin tidak semudah jatuhnya DS Mukhriz.

Bersambung...

Mekkah,
27 Januari 2016.

APA KHABAR UPM, SELEPAS 85 TAHUN (1931-2016)

on Friday, January 8

UPM: Pertanian, Makanan, Ekologi Dan Manusia Tidak Dapat Dipisahkan

Dalam lawatan saya ke beberapa universiti terkemuka di Amerika Syarikat, dan pertemuan saya dengan beberapa ahli-ahli akademik dan pelajar mereka, saya mendapati terdapat perbezaan yang agak penting perlu dihightlightkan barangkali boleh membantu universiti-universiti awam di Malaysia bertambah maju dan berdaya saing.

Pertama, mengejar ranking bukanlah keutamaan. Ranking terbaik dunia sudah pasti tidak akan dikecapi oleh universiti-universiti di Malaysia, kerana sistem ranking itu ciptaan sesetengah pihak untuk tujuan tertentu seperti kewangan, status quo dan iklan. Namun, jika universiti awam mahu menyertai sistem ranking bukanlah pula sesuatu yang merugikan.

Apabila saya bercakap tentang ranking, sesetengah pelajar dan ahli akademik di sini berpendapat itu bukanlah sesuatu yang prioriti. Berada di kedudukan 100 terbaik atau tidak sesuatu universiti bergantung kepada banyak kriteria. Antaranya aspek sejarah, value, penerbitan, jurnal dan hubungan universiti dengan dunia luar seperti pemain industri.

Sebagai contoh, Harvard University wujud sejak tahun 1683. Apakah yang anda ingati mengenai sejarah negara kita pada tahun itu? Pada tahun-tahun tersebut, kita sedar negara kita belum punya apa-apa jauh sekali sebuah universiti. Negara kita hanya mempunyai sebuah universiti (University Malaya) pada tahun 1949 ketika itu hasil gabungan Kolej Perubatan King Edward VII (1905) dan Kolej Raffles Singapura (1929). Maka, mampukah kita bersaing dengan mereka yang sudah wujud beratus tahun lebih dahulu daripada kita?

Kedua, aspek dana dan pelajar. Di Malaysia, kita sangat beruntung kerana Kerajaan masih membiayai universiti awam. Namun, sesetengah universiti terkemuka di sini tidak bergantung kepada dana dari kerajaan, sebaliknya mereka berusaha mencari dana. Di antara tugas utama Naib Canselor di sini adalah mencari seberapa banyak dana untuk universiti mereka, sama ada melalui program membawa masuk pelajar antarabangsa mahupun melalui program-program universiti dengan pemain industri khususnya di dalam negara. 

Di negara kita, puluhan ribu graduan dilahirkan setiap tahun. Di manakah mereka mencari pekerjaan? Adakah pasaran kerja di luar sana memenuhi ilmu dan kemahiran yang mereka telah perolehi semasa di dalam universiti? Akhirnya, majoriti graduan memohon kerja dengan Kerajaan dan sudah pasti Kerajaan tidak mampu memenuhinya 100%. 

Tidak lama dahulu, Kerajaan memperkenalkan dasar exit policy bertujuan memberi peluang kepada graduan yang baharu hendak memasuki sektor pekerjaan. Pada pandangan saya, isu ini adalah isu universiti bukan 100% isu kerajaan. Memenuhi pasaran buruh sama ada di sektor awam atau swasta adalah bermula di universiti. Jika universiti tidak mempunyai hubungan yang akrab dengan industri, maka universiti hanya berfungsi mengeluarkan graduan sahaja. Ia gagal berkesinambungan dengan pasaran kerja. Ini tidak baik kepada negara.

UPM 85 TAHUN (1931-2016)
Namun begitu, di Malaysia universiti-universiti tempatan semakin menonjol di persada dunia. Antaranya, Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang semakin meningkat sebaris dengan universiti-universiti terawal seperti UM dan UKM.

Sekiranya UPM berjaya mendirikan Pusat Perubatan UPM (PPUPM) yang berasingan dengan Hospital Serdang, saya percaya UPM akan melangkah lebih jauh lagi. Dengan mengambil contoh PPUM dan PPUKM yang sudah establish, saya percaya kemenjadian PPUPM sebagai mercu tanda yang baharu bakal meletakkan UPM sebaris dengan universiti-universiti perubatan ternama di rantau Asia.

Di Amerika Syarikat, perlantikan Profesor Jayum Jawan dari Fakulti Ekologi dan Manusia, UPM sebagai Visiting Profesor dan menduduki Kerusi Tun Razak di Ohio University memberi gambaran yang jelas kemajuan UPM dalam persaingan global.

Kini, warga UPM sedang menunggu Naib Canselor yang baharu selepas Naib Canselor yang ada sekarang berakhir pada 31 Disember 2015. Ketika artikel ini ditulis, 7 Januari, 2016, UPM belum lagi mempunyai Naib Canselor. Kebiasaannya, seseorang Naib Canselor akan memegang dua penggal perkhidmatan untuk memastikan wawasan yang dimulakan pada penggal pertama akan disempurnakan pada penggal kedua atau ketiga. 

Namun, samada Naib Canselor yang lama akan disambung lagi 3 tahun bergantung kepada UPM dan YB Menteri. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan lama kerana ia tidak baik membiarkan universiti tanpa nakhoda dalam tempoh yang lama. 

Namun begitu, jika saya tidak silap perlantikan Naib Canselor UKM juga pernah tertangguh lama tidak berapa lama dahulu.

Dari jauh, saya berharap UPM akan mendapat seorang Naib Canselor yang hebat dan berwawasan dalam memacu kemajuan negara kita. Sebenarnya, ramai di kalangan kita tidak sedar bahawa UPM amat penting dalam menghasilkan kemampuan makanan kepada negara pada masa hadapan (food security)

UPM, pertanian, makanan, ekologi dan manusia tidak dapat dipisahkan.

University City,
PA, USA.
January 7, 2016.
-----------------------------------------------------------
*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dalam konteks national identity dan patriotik.




















EMEL NAJIB

on Tuesday, January 5




KENALI KETUA PENGARAH BTN YANG BAHARU

on Friday, January 1

Wajah KP BTN Yang Baharu: Orangnya Simple, Mudah Didekati, Tidak Sombong, Tidak Ego dan Dekat Dengan Masyarakat
Tahun baharu 2016 bermula dengan perlantikan Ketua Pengarah, Biro Tatanegara (BTN) yang baharu iaitu Datuk Ibrahim Saad. Walaupun saya berada nun jauh di USA, saya memberi ucapan tahniah kerana perlantikan beliau merupakan satu sejarah yang sangat besar ertinya kepada masyarakat pendidik, kakitangan kerajaan dan parti-parti politik yang cintakan keamanan, keharmonian dan perpaduan.

Saya mula mengenali Datuk Ibrahim Saad pada tahun 2001 di Kota Kinabalu High School. Apabila saya berhijrah ke Labuan pada tahun 2002, beliau telah dilantik sebagai Pengarah BTN Sabah sehinggalah tahun 2015. Ianya rekod iaitu 13 tahun.

Maka, perlantikan beliau sebagai KP BTN yang baharu oleh YAB Perdana Menteri dan YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, DS Azalina Othman Said sangat-sangat tepat.

Dari segi keluarga, beliau berkahwin dengan orang Sabah yang mempunyai susurgalur yang menarik kerana mempunyai keluarga dari sebelah Kadazan, Dusun, Arab, Cina dan Melayu. Satu perkara yang amat membanggakan, anak-anak beliau semuanya berjaya dalam pendidikan. Tiga orang daripadanya di dalam bidang perubatan di mana yang tua sudah pun menjadi doktor di salah sebuah hospital di Kota Kinabalu. Seorang pula dalam bidang kejuruteraan. Kesemua anak-anak beliau melanjutkan pelajaran di luar negara iaitu di England, India, Mesir dan German.

Secara peribadi, amat membanggakan kerana walaupun beliau sangat sibuk siang dan malam memenuhi jemputan sebagai penceramah patriotik di seluruh Sabah malahan di Semenanjung Malaysia, tetapi beliau masih berkesempatan mengatur pendidikan anaknya. Beberapa tahun dahulu saya pernah bertanya, apa rahsia Datuk? Katanya, "kita mesti menggunakan masa dengan berkualiti walaupun sekejap ketika bersama keluarga". 

Ketika saya di Kuala Lumpur, saya berkesempatan membantunya melawat anak-anaknya yang belajar di beberapa institusi pendidikan. Beliau berusaha menjenguk anaknya walaupun dalam 10 minit. Kadangkala sudah malam hari. 

Terdapat beberapa insiden yang menyedihkan sepanjang saya bersama Datuk Ibrahim.  Oleh kerana anak pertama beliau tidak mendapat pinjaman pelajaran ketika hendak memulakan pelajaran perubatannya di England, beliau terpaksa membuat pinjaman bank dengan mencagarkan rumah beliau sendiri. Inilah nasib pegawai kerajaan yang tidak diketahui oleh orang di luar sana,  janganlah berfikiran bahawa semua pegawai kerajaan mudah mendapat apa yang diingini.

Terdapat kes jua di mana beliau baharu mendarat di KLIA dan mendapat jemputan ceramah ke satu majlis. Oleh kerana beliau tidak membawa kelengkapan baju, saya berkata jika Datuk sudi, saya boleh pinjamkan baju saya. Ternyata Datuk Ibrahim Saad bukan seorang yang memilih. Walaupun baju saya agak besar, itu tidak penting kepadanya, yang utama kepadanya adalah beliau boleh menjalankan tugas untuk negara.

Datuk Ibrahim Saad bukan seorang yang suka duduk di pejabat berkerusikan empuk pun. Pada tahun 2008 jika saya tidak silap, BTN melakukan aktiviti berakit di sepanjang sungai perak yang sangat panjang dan deras itu. Namun, Datuk Ibrahim Saad merendahkan dirinya dengan turut sama mendayung rakit, berpanas dan mengikuti aktiviti spiritual seperti solat berjemaah, memberi kuliah Subuh dan menjadi imam. 

Datuk Ibrahim Saad telah melalui lebih 30 tahun perkhidmatan dengan kerajaan khususnya di Sabah. Beliau telah bercampur dengan lebih 30 suku kaum di Sabah. Maka, jika anda bertanya adakah Datuk Ibrahim akan membawa BTN ke arah yang sempit, anda perlu mengubah tanggapan itu. Beliau telah menjadi Pengarah BTN Sabah kepada 3 orang Perdana Menteri, 4 Ketua Menteri Sabah dan 4 Ketua Pengarah BTN. 

Datuk Ibrahim Saad adalah satu-satunya ketua jabatan kerajaan di Sabah yang telah memulakan Jelajah Kemerdekaan merentasi Borneo (Sabah-Sarawak) menggunakan jalan darat. Tujuannya satu sahaja, untuk meniupkan semangat cintakan negara dan patriotisme kepada rakyat di sepanjang perjalanan. Saya mengetahuinya dan mencatatnya ketika saya menjadi ketua editor majalah Gemilang dahulu. Banyak pengisian dalam program tersebut seperti ceramah kenegaraan, aktiviti mengibar Jalur Gemilang dan sebagainya. Inilah yang sepatutnya diberi keutamaan oleh BTN dan inilah yang telah dilakukannya sejak sekian lama.

Pengalaman-pengalaman di atas cukup untuk membawa wadah baharu kepada rakyat Malaysia dalam konteks national identity, Patriotisme dan usaha nation building di Malaysia. Oleh yang demikian, saya menyarankan NGO dan parti-parti politik supaya bersama-sama dengan KP BTN yang baharu dalam membentuk rakyat Malaysia yang bersatupadu dan patriotik.

Salam dari perantauan,

University City,
Philadelphia, PA, USA.
1 Januari 2016.















Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan