SURAT KEPADA TUN DR. MAHATHIR, PERTEMUAN DENGAN DS NAJIB

on Thursday, May 26

Gambar Kenangan Pertemuan Dengan Tun M (2012)
Assalamualaikum Tun,

Saya berdoa semoga Tun dan keluarga berada di dalam kesihatan yang baik di samping amal ibadah diterima Allah SWT.

Semasa Pak Lah menjadi Perdana Menteri, saya telah beberapa kali mengutus surat kepada Tun, dan setiap surat saya itu Tun membalasnya. surat-surat Tun itu masih boleh dibaca di dalam buku saya ini.

Dan pertemuan eksklusif berdua sahaja di antara saya dengan Tun di bangunan Petronas pada 29 Ogos 2012 di sini banyak berkisar mengenai isu-isu semasa di dalam negara kita dan juga UMNO. 

Sewaktu saya di usia 20an, saya sudah membaca buku "Menghadapi Cabaran" ini malah saya bertemu dengan ustaz Syed Hassan Al-Attas yang membantu Tun memeriksa buku berkaitan agama Islam itu.

Malah buku ini menjadi inspirasi kepada saya untuk mengubah bangsa saya di Sabah dengan menghasilkan buku yang hampir sama ini

Buku terbaharu saya ini pula adalah tesis sarjana saya di Universti Malaya yang belum diterbitkan.

Apabila Tun M merasakan diketepikan di dalam banyak hal oleh pentadbiran Pak Lah dahulu, saya telah mengutus surat panjang lebar memujuk Tun supaya bersabar kerana dalam hal-hal pentadbiran kerajaan dan politik (politic and government), bukannya suatu perkara yang mudah untuk menyelit di dalam kesukaran nasional dan global. Dalam hal ini, Tun berjaya melakukannya dengan mengenepikan asakan-asakan luar negara. 

Saya teringat dua tahun lalu, apabila saya diberitahu oleh seorang pembesar luar negara, bahawa penguasa polis dunia telah menelefon pemimpin jiran tetangga kita untuk menekan Perdana Menteri kita dan menekan kerajaan negara kita. Namun begitu, mereka gagal kerana rakyat kita bersatu. Dan saya berjaya menjalankan misi dengan cemerlang.

Tun M yang dihormati,
Sayugia dimaklumkan, kami di dalam kerajaan, tidak pernah menerima apa-apa arahan untuk memburukkan, menekan atau memalukan Tun. Malah Perdana Menteri tidak pernah memberi arahan untuk menghentam atau memalukan Tun.

Politik dan kerajaan, ataupun UMNO dan kerajaan adalah dua institusi yang berbeza. Masalah yang berlaku di dalam UMNO tidak akan menjejaskan misi kerajaan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Cara Tun berpolitik dengan cara Pak Lah amat berbeza, manakala cara Tun berpolitik dengan DS Najib hampir-hampir sama. Apakah persamaan-persamaan itu. Persamaan-persamaan itu ialah keyakinan, keberanian dan kematangan. Namun skil berubah kerana zaman juga telah berubah terutama ke-beyond zaman siber tanpa sempadan.

Saya menulis surat ini mudah-mudahan Tun akan terbuka hati untuk bertemu dengan DS Najib. Namun, ketahuilah bahawa pertemuan itu sangat-sangat dibenci oleh musuh-musuh Islam, musuh-musuh orang Melayu, kerana mereka tahu pertemuan itu adalah pertemuan yang akan menjahanamkan motif belakang tabir mereka.

Masihkah Tun ingat di hujung tahun 1970an dahulu. Ketika Tun bersama-sama Tun Razak menaiki teksi ke rumah ayah Pak Lah. Masih kah Tun mengingati masakan yang dimasak oleh ayahanda Pak Lah ketika itu. Ketika itu, Tun dan Tun Razak melakukan misi memujuk ayah Pak Lah. Akhirnya dengan cara Islam dan cara Melayu misi itu membawa kejayaan.

Saya percaya Tun tidak menolak untuk mengadakan pertemuan dengan DS Najib. Saya bersedia menjadi orang tengah. Saya menulis surat ini bukan oleh arahan sesiapa. DS Najib tidak memberikan apa-apa arahan kepada saya. Saya ikhlas mahu membawa penyatuan yang dituntut oleh agama Islam dan didambakan oleh orang-orang Melayu.

Jika dahulu saya bertemu Jusuf Kalla (2013) di sini untuk menyelamatkan kerajaan dan negara kita. Hari ini, saya mahu bertemu Tun untuk mempertemukan dengan DS Najib juga untuk menyelamatkan kerajaan dan negara kita. Semoga Tun diberikan hidayah oleh Allah SWT dalam hal ini.

Salam hormat,

Al-Azharri Siddiq,

Putrajaya.
26 Mei, 2016.





GAMBAR-GAMBAR DS NAJIB DI LUAR NEGARA MENJAWAB ISU PETRONAS

on Wednesday, May 25


Baru-baru ini terdapat berita yang tidak sahih digembar-gembur oleh segelintir pihak kononnya semasa lawatan kerja DS Najib ke London dan Russia berlaku nego untuk menjual kepentingan Petronas. Perbuatan 'hear say' itu bertujuan untuk mengelirukan rakyat.

Di dalam negara, tindakan DS Anwar mengutus surat amaran atau surat kecewa kepada pemimpin-pemimpin PKR sangat mengejutkan. Beberapa pergaduhan dalam wassap group antara Rafizi Ramli dengan Latheefa Koya sangat mengejutkan ahli-ahli PKR dan rakyat apa sebenarnya berlaku dalam parti itu. 

Sudah tidak asing lagi, pergaduhan di antara kem Presiden dan kem Timbalan Presiden menyebabkan DS Anwar terpaksa campurtangan dengan mengeluarkan surat kemarahannya itu. Anda boleh baca pergaduhan Rafizi dengan Latheefa di sini. Manakala surat DS Anwar yang begitu marah, kecewa dan sedih itu boleh diulang baca di sini.

Penafian Petronas di http://www.malaysiakini.com/news/342833


SURAT BALAS WARKAH ANWAR IBRAHIM

on Wednesday, May 18

Assalamualaikum Datuk Seri,

Saya telah membaca warkah DS dengan penuh tekun dan turut merasai kesugulan DS itu. Saya amat memahami kepiluan perasaan DS dalam mengungkap kecelaruan dan kecetekan mereka yang tergoda dengan politiking sesetengah pihak. Mereka sudah semakin alpa, hanyut dan lalai kerana tergoda dengan harapan yang terdesak dan mimpi ngeri. Mereka terasa diri mereka sebagai hero kepada hero sebenar. Mereka kelihatan pasrah DS akan selama-lamanya di dalam jeriji besi yang membungkam itu. 

Amat malang lagi, mereka seolah-olah tidak mahu berbicara hal warkah keramat itu, mereka diamkan, seolah-olah itu warkah dari orang usang, barangkali di minda mereka berkata sebegitu. Saya percaya mereka tidak khatam membaca minda buku ‘angin perubahan’ (1985).

Tidak mengapa DS, pak Anhar (Cipinang) berpuluh-puluh tahun di dalam jeriji besi, akhirya dia menakhoda dewan mulia dengan segala kemuliaan. Kini masih duduk di tengah-tengah nadi denyut warga yang kehausan, kedahagaan dan kelaparan. Kesakitan rakyat ada nadi perjuangan. Sebab itu saya sangat tersentuh dengan kekecewaan dan kemenderitaan DS dengan gelagat mereka.

Benar telaan DS, kelihatannya sangat jelas mereka sudah tidak peduli gagasan yang original, kerana mereka terpedaya dengan gagasan memperdaya bukan gagasan yang memberdaya rakyat dan negara. Kini mereka merelakan nafas perjuangan DS disekongkolkan, barangkali mereka juga berfikiran seorang heroan dan banduan tiada beda.

Warkah DS sangat tepat pada masanya tatkala keterlanjuran mereka seperti sudah termuktamad dan membiarkan nadi perjuangan DS direlakan dicincang-cincang lumat. Natijahnya, rakyat menjadi serabut, marah dan merasa jelek kepada partai dan menghukum keseluruhan kapal pakatan di Sarawak dengan begitu terok dan sadis.

Saya bersetuju dengan DS bahawa pemberat dan pembenar perlu jelas dilihat dan dirasai oleh rakyat supaya nadi perjuangan yang asli kembali bergema lebih terkedepan berbanding agenda Deklarasi Rakyat yang lebih bersifat politik. 

Memang benar kata DS, bahawa “Di sebaliknya kita perlu memperhebat dan memesatkan kempen menjana perubahan, menjadi pembela rakyat yang tertekan akibat kecelaruan dan salah urus ekonomi negara; selaras dengan dasar dan gagasan yang kita gendong selama ini.

Di sinilah letaknya kelemahan dan kecelaruan pimpinan partai bilamana, “Pelancaran DR adalah seolah-olah seperti telah ditetapkan tanpa boleh dirunding atau fait accompli. Hanya setelah desakan daripada pimpinan NGO pada saat-saat akhir, sebahagian daripada pandangan kita dimasukkan, hanya sekadar mencantikkan deklarasi.

Mereka lupa pengunduran atau tetapnya Perdana Menteri itu adalah sistem yang sudah sedia ada. Maka benarlah DS kini mereka menjadi, "Ia hanya menumpukan kepada pengunduran Datuk Seri Najib sebagai perdana menteri susulan skandal 1MDB. Ini adalah jelas jauh terpesong daripada raison d’etre atau asas perjuangan kita; untuk kebebasan dan keadilan, kedaulatan undang-undang, melawan salah guna kuasa dan rasuah, dan keadilan untuk semua!"

Benar kata DS bahawa kealpaan mereka telah menghasilkan kebobrokan minda di kalangan rakyat di mana, “Pimpinan dilihat seperti terpesona dan berpuas hati dengan jaminan bahawa segala tuntutan akan ditangani setelah pengunduran Najib.”

Memang benar kata DS bahawa “Saya bingung bagaimana ada di kalangan kita dalam Pakatan Harapan yang terus meletakkan harapan agar ‘perubahan’ boleh berlaku melalui tipu muslihat”.

Saya sangat-sangat bersedih dan memahami perasaan DS bilamana DS mengungkapkan Seorang peguam kanan memaklumkan kepada saya beliau memerhatikan bagaimana pemimpin-pemimpin ini terpegun dan merendah diri dalam kehadiran bekas autokrat dalam program terbuka seolah-olah masih tersekat dengan budaya feudal. Walaupun dengan kepetahan Azmin, Ambiga dan Mat Sabu yang lantang dan meyakinkan, pengolahan agenda reformasi hanya menjadi isu sampingan”

Saya amat-amat bersedih apabila DS berkata ”Penghinaan ini sedihnya tidak dibela oleh rakan-rakan yang saya letakkan kepercayaan. Saya beranggapan kalian lebih mementingkan untuk mempertahankan usaha sama dan kepentingan dengan Tun M.”

DS juga dengan tegas berkata, “Pandangan kami, deklarasi telah gagal untuk membawa kebajikan rakyat kebanyakan, terutamanya kesengsaraan ekonomi dan reformasi institusi. Kepada mereka yang taksub dengan Deklarasi, pasti tidak mengalukan kritikan sebegini. Saya minta berbeza pendapat dan mengutarakan penjelasan dalam perkara tersebut."

Peringatan-peringatan DS tidak lagi menjadi pemberat dalam perjuangan mereka, barangkali lantaran keenakan berada di atas sofa empuk dan makanan lazat yang terhidang bersama alunan muzik. Dalam surat saya sebelum ini kepada Biro Politik, saya menzahirkan keraguan – yang mana deklarasi dan pendekatan baru ini bertentangan dengan perubahan jitu atau reformasi. Saya menyeru pimpinan untuk tidak memandang rendah komplot mereka. Jangan terlalu yakin dengan menganggap kalian mampu mematahkan percaturan mereka. Jangan peringatan ini dipandang remeh.

Saya sokong kata-kata DS ini ,Maaf – tetapi saya tidak dapat mengelak daripada merasa terkejut dengan pandangan cetek yang melihat dengan kejatuhan Najib cukup untuk membawa perubahan ke arah demokrasi yang beramanah atau democratic accountability.

Saya turut bersedih melihat mereka sewenang-wenangnya mempergunakan Azizah dan Nurul Izzah, “Tetapi saya mengutuk sikap yang tidak peka mendesak presiden, dan khususnya Nurul Izzah untuk membuat kunjungan hormat terhadap Tun M atau menyertai program beliau. Kamu mungkin nak mengambil hati beliau, tetapi menuntut pengorbanan daripada keluarga saya, terutamanya selepas cemuhan beliau baru-baru ini adalah sangat tidak berhati perut!

Kegusaran-kegusaran dan kemarahan-kemarahan DS ini memang penting untuk dihighlightkan lantaran kealpaan mereka, "Sejak bergulirnya Reformasi 1998, saya merasakan idealisme perjuangan mula terhakis, teruji dengan kilauan kuasa dan dana. Kekuatan saya sekadarnya, jika diakui adalah dengan meniupkan dan menyemarakkan kesedaran ke arah perubahan – islah mas ta ta’ (perubahan sedaya upaya). Maka kita bergelut selama hampir dua dasawarsa menghadapi kekejaman dan keperitan hidup. Kita pecahkan tembok ketakutan; perkauman; kesempitan takrif agama kepada rahmatan lil ‘alamin."

"Namun kegusaran saya adalah justeru perkembangan kini meletakkan kita di persimpangan jalan. Soal cita-cita murni, idealisme bukan lagi persoalan asasi tetapi pencak politik untuk berkuasa. Atau di sebaliknya, apakah saya dirundung malang kerana sukar menerima kenyataan? Memadai saya rumuskan keterbatasan dan kelemahan saya yang tidak upaya menggalas persefahaman baru DR."

Percayalah DS bahawa rakyat turut berasa hampa sebagaimana hampanya DS ini, “Kehampaan saya berikutnya justeru kelemahan lantas kegagalan menghimpun saf kepimpinan yang padu. Keupayaan dan peranan sebagai pengikat pimpinan dan kelompok juga kian terhakis. Maka kedengaran keluhan berunsur tuduhan bahawa saya turut memihak dan terkait dengan beberapa krisis sebelumnya. Saya cuba lakukan sebaiknya tetapi kudrat terbatas. Perseteruan sudah melampaui batas etika hingga kelihatan lebih lunak berurusan dengan musuh politik ketimbang teman seperjuangan”

Kata-kata DS ini “Pelbagai ikhtiar, pujuk rayu dari saya tidak lagi mengesankan” sangat-sangat menghiris perasaan sesiapa sahaja. Saya terbayang inikah harga perjuangan yang diberikan oleh mereka dalam partai yang kini sedang menikmati kilauan kuasa dan kilauan dana.

Akhir kalam, saya ingin berkongsi bicara saya dengan Pak Anhar di Jakarta, katanya, seingat saya, perjuangan itu mesti ada rohnya yang kental dan kukuh, tidak goyah walau bagaimana ombak dan petir, prinsipnya dan jatidirinya mesti jelas, walau tinggal satu. Adakah mereka sebegitu jua?

Francis Fukuyama (Washington) dalam bukunya, yang saya fahami menyebut begini, "kemenangan dan kekalahan itu bukan tujuan utama rakyat Amerika merelakan diri mereka pergi berperang di medan perang, melainkan membawa maruah dan jatidiri sebuah ketamadunan sama ada hidup atau mati kalah atau menang"

Selamat beristirehat DS. Bersabarlah dengan kerenah mereka. 

MIMPI NGERI TEAM B, TENGKU RAZALEIGH MENTERI PENUH ?

on Sunday, May 15

Tengku Razaleigh Hamzah Menandatangani Deklarasi Kelantan Menyokong DS Najib
Tengku Razaleigh Hamzah pada pertandingan Presiden UMNO tahun 1988 hampir memenangi jawatan Presiden UMNO apabila hanya tewas 43 undi kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad. Dalam pada itu, beberapa ahli UMNO membawa kes keahlian anggota UMNO ke Mahkamah yang membawa kepada pengharaman UMNO pada tahun 1988.

Kedua-dua pihak berlumba-lumba menghidupkan parti UMNO yang baharu. ROS telah meluluskan penubuhan parti UMNO (Baru) dari kumpulan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Manakala Tengku Razaleigh Hamzah berjaya menubuhkan parti Semangat 46.

Parti Semangat 46 inilah yang membantu PAS menubuhkan kerajaan d Kelantan pada tahun 1990. Itulah jasa besar Tengku Razaleigh Hamzah dan Semangat 46 kepada PAS.

Kemudian, Tengku Razaleigh Hamzah membubarkan Semangat 46 untuk kembali kepada UMNO semula. Sejak itu, Tengku Razaleigh Hamzah tidak pernah mendapat kedudukan di dalam kerajaan sebagai menteri penuh ataupun menjadi Pengerusi mana-mana GLC seperti Petronas, PNB dan sebagainya. Barangkali taraf politik Tengku Razaleigh bukan di situ, tetapi di tempat yang selayaknya.

Saya tidak yakin Tengku Razaliegh akan bersama-sama kem Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan DS Najib kerana luka lama tidak mungkin boleh dipadamkan begitu sahaja. Sebab itulah, Tengku Razaliegh Hamzah menandatangani Deklarasi Kelantan menyokong tanpa berbelah bahagi kepada DS Najib. Adakah Tengku Razaliegh akan menjadi menteri penuh dalam rombakan terbaharu tidak berapa lama lagi? 

Satu-satunya harapan Tun Dr. Mahathir untuk menjatuhkan DS Najib ialah dengan bantuan dan aura DS Anwar Ibrahim. Malangnya, sejak kempen Tun Dr. Mahathir menjatuhkan DS Najib, saya melihat DS Anwar dan keluarganya masih tidak dapat melupakan dan memaafkan kejadian 1998. Mereka masih sangat-sangat terluka kepada Tun Dr. Mahathir. Sebab itulah mereka sangat berhati-hati dan tidak sepenuh hati membantu Tun Dr. Mahathir. Mereka kelihatan tidak mempercayai Tun Dr. Mahathir.

Sebaliknya, DS Anwar dan DS Najib pula adalah rakan akrab semasa di dalam UMNO. Mereka tidak pernah bermusuh sehingga ke hari ini. Satu-satunya peluang percantuman semula DS Anwar-DS Najib ialah semasa Rekonsiliasi 2013 dahulu. Kedua-duanya sudah ada mekanisme, malangnya tekanan daripada rakan Pakatan Rakyat menggagalkan percantuman bersejarah itu.

Kesimpulannya, menjatuhkan DS Najib melalui cara demonstrasi dan pungut tandatangan amat sukar. Anda perlu menunggu PRU14 pada tahun 2018. Itulah mekanismenya di negara ini. Pungutan online amat diragui. Hanya pilihanraya sahaja jawapan paling tepat bukan tandatangan online.

Pilihanraya Kecil Sg Besar dan Kuala Kangsar akan menjadi garis jawapan kepada persoalan di atas. Jika mereka masih gagal menjatuhkan DS Najib dalam PRK itu, saya percaya mereka akan berusaha lagi dengan apa jua cara. Mereka tahu, menumbangkan DS Najib dalam PRU14 adalah mimpi ngeri. Mereka tahu bukan mudah menumbangkan DS Najib dan kerajaan. Mereka pernah menjadi kerajaan dan mereka tahu rakyat masih bersama kerajaan.

MIMPI NGERI
Mimpi ngeri itu pernah berlaku pada tahun 1988. Apabila Datuk Shahrir Samad meletak jawatan dan bertanding menggunakan tiket BEBAS lawan UMNO. Seluruh negara terperanjat kerana Datuk Shahrir menang dengan majoriti 12,613 undi mengalahkan calon UMNO. 

Walaubagaimanapun, Tun Dr. Mahathir Mohamad kekal menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri walaupun UMNO tewas kepada BEBAS dengan majoriti 12,613 undi. Tidak ada sesiapa mendesak Tun Dr. Mahathir meletak jawatan di atas kekalahan yang sangat besar dan memalukan itu.

Lucunya, hari ini ada orang berkata, kalau UMNO kalah di Sg Besar dan Kuala Kangsar, DS Najib perlu meletak jawatan. Sebaliknya, jika UMNO menang di Sg Besar dan Kuala Kangsar, adakah orang itu akan pasrah dan mengakui qada dan qadar Ilahi ?







TSUNAMI CINA BIRU

on Sunday, May 8

JIKA DAP TIDAK BERUBAH, BN AKAN SAPURATA PRU14


Ulasan PRN Sarawak: KEKALAHAN besar DAP dalam Pilihanraya Negeri Sarawak sangat memeranjatkan diri mereka sendiri. Mereka berkata pengundi Cina sudah kembali kepada BN. Tidak kurang juga yang berterus-terang menyalahkan PKR.

Enam kawasan bertindih PKR-DAP, kedua-dua calon DAP dan PKR kalah kesemua enam kerusi itu.

Malah paling memeranjatkan 7 calon DAP hilang wang deposit. Angka ini menjadi bahan ketawa orang ramai. Mereka sangat terkejut kerana daripada 31 calon DAP, 7 sahaja menang dan 7 lagi hilang wang deposit! Apa sudah jadi?

Perkembangan terbaru ini satu petanda buruk kepada DAP. Nampaknya slogan "Berani Ubah" telah memakan diri mereka sendiri apabila pengundi-pengundi Cina "Berani Ubah" menolak DAP. 

Saya melihat jika DAP di peringkat nasional tidak berubah, ianya akan menjadi satu hadiah yang besar kepada BN. Apa yang DAP perlu berubah? 

Pertama, pemerhatian mendapati isu Lim Guan Eng yang sedang disiasat SPRM merupakan punca yang paling besar kepada kemerosotan sokongan pengundi Cina kepada DAP. Isu rasuah banglo Lim Guan Eng telah menghakis kepercayaan pengundi Cina kepada DAP. 

Jika Pilihanraya Negeri Sarawak pada tahun 2011 DAP boleh menang 12 kerusi tanpa isu rasuah Lim Guan Eng, sebaliknya PRN Sarawak 2016 menyaksikan kemerosotan paling besar kerana pemimpin utama DAP di peringkat nasional sedang bergelombang dengan skandal rasuah banglo. Slogan CAT di Pulau Pinang tidak seindah yang didengar. 

Pepatah Cina sangat jelas, jika kepala ikan busuk maka seluruh ikan itu akan menjadi busuk juga. Maksudnya, jika pemimpin membawa kebusukan kepada parti, maka parti akan menjadi busuk dan pengundi setia akan melarikan diri.

Jika DAP mahu pulih seperti SUPP di sini, DAP mesti mengambil tindakan berani menukar pemimpin yang sudah busuk tadi. Skandal banglo mesti diselesaikan terlebih dahulu jika tidak mahu tsunami Cina Biru berjangkit di Semenanjung Malaysia.

Dengan baki PRU14 tinggal kira-kira 24 bulan sahaja lagi, saya meramalkan DAP akan pengsan dengan Tsunami Cina Biru pada PRU14. 

Saya juga meramalkan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng akan tewas jika pengundi Cina menghukum mereka. Jangan lupa Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng pernah tewas kepada BN beberapa kali dahulu. Maknanya, mereka berdua bukan tidak boleh kalah dan bukan tidak pernah kalah. Pengundi Cina pun sudah pandai 'Berani Ubah' kepada BN.








PERSEMBAHAN PAKATAN HARAPAN DI SARAWAK SANGAT MENGECEWAKAN, BERI BAYANGAN BURUK PRU-14

on Monday, May 2

Lim Kit Siang Kerja Keras
SEBELUM Pilihanraya Negeri Sarawak, parti-parti di dalam Pakatan Harapan kelihatan bersatu, bersemangat dan berseiringan dengan matlamat merampas pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN). Jika dilihat dari aspek kempen Pakatan Harapan di media alternatif, ternyata Pakatan Harapan akan memenangi lebih banyak kerusi.

Namun begitu, setelah tiba masa yang ditunggu-tunggu, seluruh negara terkejut dengan perpecahan, pergaduhan dan perebutan kerusi di antara PKR dan DAP. Sekurang-kurangnya 6 kerusi berperang sesama sendiri DAP vs PKR. Seorang pemerhati politik di UNISEL menyebut perkara ini membuktikan kegagalan PKR yang kononnya berlagak sebagai orang tengah.

Kedua, kemenangan dua kerusi tanpa pertandingan memberi bayangan kepada rakyat Sarawak apa sudah jadi dengan semangat 'Lawan Tetap Lawan' ?

Menjelang 5 hari baki berkempen, kemelut DAP vs PKR tidak ada penamat lagi. Kegagalan kedua-dua parti utama di dalam Pakatan Harapan ini membayangkan menjelang PRU-14, isu yang sama akan berulang. Sekiranya menjelang dua tahun ini (sebelum 2018) mereka masih meneruskan keegoan masing-masing, sudah tentu ianya akan membantu BN untuk mengekalkan kuasanya di Pusat, apatah lagi dengan kemesraan PAS kepada UMNO yang semakin hari semakin akrab. 

Yang pasti ialah PAS tidak akan tunduk kepada Pakatan Harapan. Bermakna, masalah perebutan kerusi PKR vs DAP di Sarawak akan bertambah besar di kala PRU14 nanti. Inilah masalah Pakatan Harapan apabila tidak mempunyai seseorang yang bernama Anwar Ibrahim. 

Kesimpulannya, jika Team Adenan berjaya menubuhkan Kerajaan dan berjaya merampas semula kerusi-kerusi DAP dan PKR, bermakna masa depan BN dalam PRU14 semakin cerah.

DS Shafie Apdal yang tidak seia sekata dengan DS Najib pun meramalkan BN Sarawak akan menang. Tidak ada gerakan daripada team B untuk memalukan DS Najib dan BN di Sarawak. DS Najib sebagai Pengerusi BN berkempen dengan penuh yakin di Sarawak.

Saya meramalkan BN Sarawak akan menang besar, termasuk memenangi 6 kerusi yang direbut bersama oleh PKR dan DAP.

Pergaduhan dan perebutan PKR dan DAP di Sarawak sangat-sangat mengecewakan. Penyokong Pakatan hilang 'mood'. Parti Amanah kelihatan akan kalah semua kerusi yang ditandinginya. 


Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan