Ketua Editor
merdeka-online.com, saudara Al-Azharri Siddiq Kamunri bersama Imam Masjid
Nabawi Madinah Munawarrah, As-Syeikh Solah bin Muhammad al-Budair
Madinah,
Arab Saudi - Tahun 2017 merupakan tahun yang sangat mencabar kepada umat Islam di
seluruh dunia termasuklah negara Malaysia. Pada 30 Disember 2016, selepas solat
Jumaat, saudara Al-Azharri Siddiq Kamunri,
Ketua Editor portal merdeka-online.com menemui Imam pertama dan
Imam kedua Masjid Nabawi, di Madinah Munawwarah, Arab Saudi untuk merungkaikan
isu-isu umat Islam di Malaysia dan sejagat.
Imam nombor 1 Masjid Nabawi As-Syeikh Dr. Ali bin Abdul Rahman
al-Huzaifi, dilahirkan pada 22 Mei 1947. Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda dari
Universiti Imam Muhammad Ibn Saud (Riyadh), serta peringkat sarjana dan PhD di Universiti
al-Azhar, Mesir. Beliau pernah bertugas
sebagai Pensyarah di Universiti Islam Madinah di Fakulti Syariah,
Fakulti Hadis, Fakulti Dakwah & Usuluddin dan Fakulti al-Quran, Imam Masjid
Quba’, Imam dan Khatib Masjidil Haram, Imam dan Khatib Masjid Nabawi, Ketua
Lajnah Ilmiah Mushaf Cetakan Madinah Nabawiah dan Anggota Badan Tertinggi Kompleks
Percetakan al-Quran Raja Fahd.
Imam kedua Masjid Nabawi, As-Syeikh Solah bin Muhammad al-Budair pula
dilahirkan pada tahun 1970 di bandar Hufuf Wilayah Ahsa’, Arab Saudi. Beliau
memiliki sarjana muda dari Universiti Imam Muhammad ibn Saud dalam bidang
Syariah. Beliau telah menjadi Imam dan Khatib Masjid Nabawi semenjak tahun 1998
dan Qadhi di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Agung Madinah Munawwarah.
BERSATU
DALAM POLITIK YANG ‘SATU’
Soalan: Bagaimana Sheikh melihat politik Islam di Malaysia, khususnya dewasa ini umat Islam di Malaysia sangat mendambakan penyatuan dan perpaduan di kalangan pemimpin-pemimpin utama parti politik Islam di Malaysia?
Jawapan: Satu
perkara yang penting untuk anda sedari, Malaysia adalah sebuah negara Islam
yang dikenali sangat baik dan aman. Nasihat saya, kekalkanlah keamanan yang
dikecapi itu kerana bukannya mudah untuk mengusahakan keamanan tetapi sangat
mudah untuk menghancurkan keamanan. Sebab itulah umat Islam di Malaysia mesti bersatupadu di belakang Pemerintah dan
Kerajaan Malaysia, bersatu menghalang musuh-musuh Islam daripada
mengkucar-kacirkan dan seterusnya menghancurkan negara anda.
Ketahuilah bahawa jarum musuh-musuh Islam sangat halus, anda tidak akan
melihatnya dengan mata kasar tetapi mereka akan bermaharajalela apabila mereka
memerintah. Ketika itu penyesalan sudah tidak berguna lagi. Lihatlah
negara-negara sunnah yang sudah hancur seperti Iraq dan kini di Yaman dan Syria.
Kedua, umat Islam jangan terlalu sibuk dengan urusan politik sahaja. Jika
umat Islam terlalu sibuk dengan politik sahaja dan melupakan ibadah-ibadah
lain, saya bimbang ianya akan membawa bala kepada umat Islam. Percayalah, politik
yang keterlaluan akan membawa bala kehancuran kepada umat Islam dan negara
anda.
Saya menyeru kepada umat Islam di Malaysia, jangan berpecah belah
disebabkan politik kerana politik adalah punca perpecahan di kalangan umat
Islam dan merosakkan hubungan di kalangan ummah sehingga boleh menjadikan musuh
sesama umat Islam. Umat Islam mestilah bersatu dalam sebuah politik yang ‘satu’.
Imam nombor 1 Masjid Nabawi
As-Syeikh Dr. Ali bin Abdul Rahman al-Huzaifi
Soalan:
Kerajaan Malaysia di bawah
pimpinan DS Najib membawa mesej Maqasid Syariah dalam kepimpinannya. Bagaimana
Sheikh melihat konsep Maqasid Syariah yang diamalkan di Malaysia?
Jawapan:
Pertama sekali, saya menyeru
supaya kita semua bertawakkal kepada Allah SWT kerana Allah SWT Maha Mengetahui
apa yang kita perjuangkan untuk umat Islam. Sikap bertawakkal kepada Allah SWT
dalam pemerintahan negara dan kerja dakwah akan mengangkat darjat pemimpin anda
lebih tinggi dalam Islam. Nasihat saya kepada Pemerintah dan Kerajaan Malaysia,
perteguhkanlah keimanan dan kepercayaan kepada Allah SWT, janganlah bimbang dan
takut jika berada di pihak yang benar kerana Allah SWT Maha Mengetahui dan
inshaallah akan membantu kerja-kerja yang mulia.
Lihatlah sirah perjalanan kehidupan para nabi-nabi. Mereka juga tidak
lari daripada ujian ketika menjadi pemimpin. Mereka bukan sahaja difitnah,
malah mereka berhadapan dengan musuh-musuh yang mahu membunuh mereka. Kesan
kehidupan para Nabi amat besar ertinya kepada pemimpin dan umat Islam di
seluruh pelusuk dunia. Ketahuilah bahawa kehidupan para Nabi adalah sebaik-baik
kehidupan. Kita perlu meneliti bagaimana Allah SWT menjayakan kehidupan dan
perjuangan para Nabi. Tidak ada seorang pun yang boleh menandingi kehidupan
para Nabi, tetapi kita boleh mencontohinya terutama dakwah yang mereka lakukan.
Alhamdulillah Pemerintah dan Kerajaan Malaysia sangat dekat dengan dakwah
Islamiah, terutama usaha beliau melaksanakan Maqasid Syariah. Ia suatu usaha
yang sangat baik. Ingatlah bahawa ketaatan kepada Allah SWT akan mendatangkan
keberkatan dalam kehidupan seharian. Jauhilah daripada melakukan maksiat kepada
Allah SWT. Ketahuilah maksiat yang dilakukan oleh seseorang itu akan
menjadikannya setaraf dengan binatang.
Kedua, kehidupan manusia ada tingkatan tersendiri. Darjat tingkatan
tersebut bergantung kepada amalan kebaikan yang dilakukan. Semakin banyak
amalan baik yang dilakukan maka tinggilah darjat kehidupannya di sisi Allah
SWT.
Ketiga, sibukkanlah diri dengan kerja-kerja dakwah kerana kerja dakwah
adalah kerja yang sangat mulia. Dakwah adalah kerja para Nabi. Jadikanlah
dakwah sebagai kehidupan. Allah SWT akan menolong kepada sesiapa yang melakukan
dakwah.
Keempat, peliharalah solat dan bersolat berjamaah di awal waktu, solat
pahalanya sangat besar di sisi Allah SWT.
Kelima, jangan sesekali mensyirikkan Allah SWT. Syirik adalah perkara
yang paling asas dalam kehidupan untuk dihindari.
Keenam, tauhid adalah mengikhlaskan kebergantungan kepada Allah SWT
sahaja. Kebergantungan kepada Allah SWT adalah berkehendakkan kepada melakukan
kebaikan dan menghalang keburukan, bertawakal kepada Allah SWT, bersandarkan
harapan kepada Allah SWT, mendahulukan kecintaan kepada Allah SWT daripada
selainnya serta mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ikhlas dalam melakukan
amalan serta mengikut sunnah yang dibawa oleh Nabi SAW.
Ketujuh, untuk mencapai Maqasid Syariah juga umat Islam mesti melazimi
membaca al-Quran serta mentadabbur dan jangan sesekali meninggalkan amalan
membaca al-Quran. Sekiranya kita tidak memahami isinya, maka rujuklah kepada
tafsir. Para sahabat R. Anhum sekiranya tidak memahami ayat al-Quran, mereka
akan merujuk kepada yang lebih mengetahui.
FITNAH
KE ATAS PEMIMPIN & KERAJAAN
Soalan:
Pada hari ini pelbagai isu
(tipu muslihat) ditimbulkan di negara-negara Islam termasuk di Malaysia dengan
menyebarkan fitnah kepada pemimpin-pemimpin Kerajaan,
hinggakan segelintir rakyat terpedaya dengan tipu muslihat musuh-musuh Islam?
Jawapan:
Berkenaan dengan isu-isu
memfitnah termasuklah fitnah ke atas pemimpin negara anda, sebenarnya fitnah
telah berlaku dari mula kewujudan manusia (anak Nabi Adam a.s. Habil dan Qabil.
Untuk mengatasi fitnah ialah dengan cara ketaatan kepada Allah SWT adalah kunci
kejayaan dalam kehidupan dan pemerintahan. Lihatlah keadaan para Nabi terdahulu
juga sering difitnah, dinista, dicerca malah diancam bunuh oleh musuh-musuh
Islam. Jadikanlah perjalanan pemerintahan mereka sebagai sumber rujukan dalam
kehidupan kita hari ini. Mereka difitnah tetapi mereka tetap istiqamah dan
menjalankan kerja-kerja mereka supaya umat Islam, rakyat dan negara sentiasa
aman dan mendapat keberkatan dari Allah SWT.
Dalam pemerintahan, pemimpin dan Kerajaan Malaysia hendaklah istiqamah, bersabar dan
bertawakkal kepada Allah SWT kerana musuh-musuh Islam tidak akan berhenti
memfitnah sehingga pemimpin dan negara Islam dijatuhkan dan negara anda dihancurkan.
Soalan: Apakah nasihat Sheikh kepada umat Islam di Malaysia yang
berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup yang berlaku sekarang?
Jawapan: Saya ingin mencadangkan kepada umat Islam yang
dikurniakan Allah SWT rezeki melimpah ruah dan sesiapa sahaja yang mempunyai
kelebihan supaya mengamalkan amalan bersedekah kepada yang memerlukan. Amalkanlah
amalan-amalan mulia dengan memperbayakkan sedekah, amal jariah, tolong-menolong
yang kaya kepada yang miskin, dan kepada sesiapa sahaja makhluk Allah SWT. Amalan
bersedekah sangat penting dalam sesebuah masyarakat dan negara kerana
bersedekah adalah kunci kepada rezeki, malah amalan bersedekah juga boleh
menjadi penghalang kepada kemudaratan kepada masyarakat dan negara.
Pesanan saya, berbuat baiklah kepada sekalian makhluk Allah SWT di atas
mukabumi ini. Makhluk yang paling hampir dengan seseorang untuk dibuat
kebajikan kepadanya adalah kedua ibu bapa, kaum keluarga, jiran-jiran dan
seterusnya kepada mereka yang memerlukan di luar sana. Berbuat baiklah walaupun
kepada binatang.
Percayalah, barangsiapa yang mengikuti sirah para Nabi, InshaAllah akan
dipanjangkan amal kebaikan mereka, dan akan dimurahkan rezeki mereka oleh Allah
SWT.
NASIHAT
PENTING IMAM KEPADA UMAT ISLAM DI MALAYSIA
Soalan: Apakah nasihat khusus Sheikh kepada umat Islam
di Malaysia?
Jawapan: Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan
Malaysia kerana mengharamkan Syiah daripada berkembang di bumi Malaysia. Saya
ingin menasihatkan supaya usaha untuk membendung ajaran Syiah perlu diteruskan
dari masa ke semasa. Ketahuilah, bahawa Syiah adalah puak yang sangat jahat.
Apabila Syiah berkembang masuk ke dalam sesuatu negara ia akan menghancurkan
negara tersebut secara halus. Apabila Syiah dalam sesebuah negara menjadi kuat
ia akan menghancurkan negara tersebut. Syiah umpama jarum halus yang menusuk ke
dalam jiwa insan.
Lihatlah negara-negara yang mempunyai pengikut Syiah yang ramai, negara
tersebut akan hancur. Contohnya, negara Sunnah yang mempunyai pengikut Syiah
yang ramai akan menjadikan negara Sunnah tersebut bergolak. Contohnya negara
Iraq telah hancur, negara Syam (Syria) kini sedang bergolak sekian lama, Yaman,
Pakistan dan Afghanistan. Pada hari ini, pengaruh-pengaruh Syiah telah menular
ke negara-negara Afrika. Negara Malaysia bernasib baik kerana Pemerintah dan
Kerajaan Malaysia bersungguh-sungguh mengekang pengaruh syiah dan ajaran-ajaran
sesat.
Bani
Israel
Umat Islam di Malaysia janganlah jadi seperti Bani Israel. Lihat sejarah
Bani Israel, ketika mereka melakukan ketaatan kepada Allah SWT, lalu Allah SWT
telah mengurniakan kepada mereka nikmat yang pelbagai sepertimana kehidupan
mereka ketika dalam kelaparan setelah dikeluarkan dari bumi Mesir, Allah SWT
telah menurunkan makanan dari langit (Mann dan Salwa) serta direzekikan kepada
mereka nikmat yang baik-baik.
Akan tetapi, ketika mereka melakukan maksiat dan melanggar arahan Allah
SWT, lalu Allah SWT telah menjadikan mereka haiwan seperti kera dan sebagainya.
Begitu juga dengan kisah Ashabul Kahfi yang mana Allah SWT telah muliakan
mereka setelah mereka melakukan ketaatan kepadaNya.
Kepada umat Islam di Malaysia, bersatulah janganlah berpecah belah.
Berdiri teguhlah di belakang pemimpin dan kerajaan kerana mereka membawa
keamanan. Janganlah kamu menjadi seperti umat Islam di Iraq, Yaman dan Syria.
Apabila keamanan sudah musnah, tidak mudah untuk mengusahakannya semula.