CERITA MENARIK DSP GHAPUR SALLEH: SIAPA CALON KALABAKAN & KISAH ANWAR

on Friday, March 30

Kenangan Bersama Datuk Ghapur Salleh 
1990 dan 2018.

Minggu lalu saya menelefon ahli parlimen Kalabakan, sebenarnya untuk menyampaikan ucapan terima kasih dari ayah saya kerana keprihatinan beliau menyumbangkan kira-kira 30 lori batu untuk memperbaiki jalan masuk ke kawasan perumahan ayah saya. Dalam perbualan telefon itu, beliau mengajak saya ke parlimen untuk berjumpa. 

Ketika Datuk Ghapur mahu melangkah masuk dalam Dewan Rakyat, saya memanggilnya dan kami pun masuk ke dalam Coffee House minum sambil bersembang.

Semasa PRU 2008 dan PRU 2013, beberapa minggu sebelum bubar parlimen, saya bertemu dengannya di parlimen. Pada kedua-dua PRU 2008 dan 2013 Datuk Ghapur menyebut nama-nama yang akan bertanding di DUN Merotai, Sebatek dan Tg. Batu. Semua yang disebutnya benar-benar menjadi calon. Tetapi kali ini, Datuk Ghapur tidak menyebut nama sesiapa. 

Sebaliknya, Datuk Ghapur menyuruh saya balik berkhidmat di Sabah. "Baliklah ke Sabah jadi calon", itulah kata-kata Datuk Ghapur dalam telefon dan semasa bertemu di Coffee House. Saya menjawab, "Terima kasih Datuk, khidmat saya di Putrajaya lebih penting kepada negara". Saya tahu Datuk Ghapur bermain-main sahaja.

Kami bercerita banyak kisah lama dan baharu. Datuk Ghapur berkata dia tidak pernah melobi meminta untuk dicalonkan semula, sebaliknya orang lain katanya ramai berjumpa kepimpinan untuk menjadi calon. Namun, Datuk Ghapur menyebut, kepimpinan tertinggi meminta beliau untuk berkhidmat lagi di Kalabakan kerana keadaan politik negara sekarang sangat serius dan genting.

Datuk Ghapur Salleh juga menceritakan hubungan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat akrab bagaikan isi dengan kuku. Namun, tegasnya kesetiaan beliau kepada UMNO dan BN tidak boleh dijualbeli hanya kerana sebab akrab itu. Walaupun pada tahun 2008 banyak tawaran menarik daripada kem DS Anwar Ibrahim ditawarkan kepada ahli-ahli parlimen UMNO dan BN.

Sambil itu, Datuk Ghapur menceritakan kejayaan anak-anaknya dalam pendidikan di luar negara. Saya mengusik Datuk Ghapur kerana sepanjang 40 tahun berpolitik tidak pernah belanja saya walaupun satu sen. Dia senyum dan ketawa. Baharulah kali ini Datuk Ghapur belanja saya satu cawan kopi O sahaja sepanjang 40 tahun itu.

Datuk Ghapur Salleh juga bercerita tentang persediaan Kalabakan menghadapi PRU14 kali ini. Hanya pelik kali ini, beliau tidak menyebut sesiapa nama untuk calon-calon di peringkat DUN tidak seperti sembang kami pada tahun 2008 dan 2013.

Pada tahun 2013, semasa pengumuman calon BN di Seri Gaya, Kota Kinabalu saya menelefon sekali lagi kepada beliau kenapa tidak ke Seri Gaya. Datuk Ghapur menjawab, 'saya tidak tahu adakah saya akan dicalonkan semula'. Ternyata beberapa minit kemudian, beliau masih juga dicalonkan. 

Menjelang PRU14 kali ini, saya sudah tidak boleh mencoretkan kepada anda siapakah bakal calon UMNO dan BN di Kalabakan, Merotai, Tanjung Batu dan Sebatek.

Namun ramalan tetap ramalan. Semasa rombakan kabinet 2015, saya menghantar WA kepada DSP Salleh Said Keruak. Saya berkata, "Datuk standby inshaallah akan menjadi Menteri penuh". Datuk Salleh menjawab, 'Tidak mungkin kerana Sabah sudah ramai Menteri dan Kota Belud juga Menteri'. Beberapa hari kemudian, DSP Salleh Said Keruak dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia. Akhirnya ramalan saya benar belaka. Sehingga ke hari ini kami masih berutus WA.

Begitulah, tiada siapa tahu siapa akan dicalonkan di Kalabakan, Merotai, Tg. Batu dan Sebatek. Begitu juga, tiada siapa tahu siapa akan dilantik menjadi Menteri. Semua itu adalah kuasa pregroratif seseorang Perdana Menteri dan Presiden parti. 

Ramalan saya? Tunggu...yang pasti calon-calon dari parti lain seperti PAS, PKR, WARISAN, GABUNGAN SABAH dan calon-calon BEBAS pasti akan mewarnai PRU kali ini. 

Selamat Berhujung Minggu.
Masjid Daerah Sandakan, Sabah.











Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan