PARLIMEN KALABAKAN, ANTARA DOJ DAN DSPGS, MUSA AMAN YAKIN

on Sunday, April 15

Hanya tinggal satu dua minggu sahaja calon-calon Barisan Nasional (BN) Sabah akan diumumkan di Sri Gaya, Kota Kinabalu. Walaupun Pengerusi BN negeri sudahpun mengadap Pengerusi BN pusat minggu lalu, namun dalam politik apa pun boleh berlaku bergantung kepada situasi politik terkini.

Ianya umpama satu operasi pembedahan jantung, walaupun masa telah ditetapkan namun sekiranya berlaku perubahan kepada pesakit seperti perubahan tekanan darah, jangkitan kuman, masalah teknikal dan sebagainya maka pembedahan terpaksa ditangguhkan. Begitu jua dalam politik, selagi calon belum diumumkan anda boleh melobi sepuas-puasnya dengan cara yang dibenarkan oleh perlembagaan.

Parlimen Kalabakan adalah kawasan penting kepada BN, sesiapa pun menjadi calon BN boleh menang selesa sama ada majoriti bertambah atau berkurang. Pada PRU13, DSP Ghapur Salleh (DSPGS) menang majoriti 14,221. Ianya adalah angka yang besar. Dalam PRU14 kali ini, dijangka parti-parti di sebelah kiri turut bertanding khususnya PAS, WARISAN, Gabungan Sabah, PKR atau AMANAH, USNO di samping calon-calon BEBAS. Ianya akan memudahkan lagi kemenangan BN di Kalabakan.

Semasa perjumpaan saya dengan YAB DS Najib di PBB, New York tidak lama dahulu di sini , saya menerangkan lebih 30 minit isu-isu nasional serta etnik Bugis di Sabah. Kebetulan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla mewakili Republik Indonesia ke PBB ketika itu, akan ada pertemuan lagi malamnya sebagai pertemuan silaturahim dua negara. DS Najib seorang pendengar yang baik, para pengawal peribadi PM tidak mengganggu perbincangan kami. Malahan Duta Besar Malaysia membenarkan saya meneruskan perbincangan kami sambil minum petang sementara menunggu satu lagi acara rasmi.

Saya juga menerangkan memorandum kumpulan elit dan profesional Bugis Bersatu mengenai banyak hal antaranya keperluan seorang wakil etnik Bugis Sabah dalam dewan legislatif dan senator untuk membantu Kerajaan menyelesaikan isu-isu nation building

Sebenarnya, wakil rakyat daripada etnik Bugis di kawasan majoriti Bugis bukanlah asing pun kerana ianya pernah diwakili oleh allahyarham Datuk Hj. Said Senang (BN/Merotai), allahyarham Datuk Salim Bacho (BN/Kunak), Datuk Dr. Patawari Patawe (BN/Sebatek dan Merotai) dan kini Datuk Muis Picho (BN/Sebatek).

Oleh kerana DUN Kukusan belum dipertandingkan dalam PRU14, salah satu idea yang boleh direalisasikan ialah mengembalikan kerusi DUN Merotai kepada UMNO, dan ianya boleh diberikan semula kepada calon etnik Bugis yang bersesuaian kerana di situlah bermulanya calon-calon Bugis seperti allahyarham Datuk Hj. Said Senang (1985 dan 1986) serta Datuk Dr. Patawari Patawe (1999).

Saya dikhabarkan Datuk Osman Jamal (DOJ), kini Penaung Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS), sudah bersedia daripada segala segi untuk dicalonkan dalam PRU14. Manakala, DSPGS seperti disiarkan portal di sini memberitahu Perdana Menteri masih mahu beliau bertanding lagi satu penggal. Ianya serupa semasa saya bertemu dengannya di parlimen di sini

Manakala, Datuk Samsul Alang mantan Ketua Penerangan Bahagian UMNO iaitu pengikut setia DSPGS sejak 30 tahun lalu kini berpatah arang sepertimana posting dalam Facebook beliau beberapa kali dilihat tidak lagi mahu bekerjasama dengan DSPGS. Sebaliknya Samsul berkeyakinan kepada Ketua Pemuda Kalabakan, Andi Suriadi Andi Bandu. Manakala Datuk Dr. Patawari Patawe merapatkan diri kepada BN secara solo, smart dan cool. Rakyat Kalabakan tertanya-tanya adakah status quo akan kekal atau akan ada perubahan?. 

Saya bertemu dengan YAB TS DSP Hj. Musa Aman dua minggu lalu di Sandakan. Selepas kami solat bersama, kami makan dan bersembang isu-isu semasa. Beliau kelihatan tenang, yakin dan tidak ada kerisauan untuk mengekalkan pemerintahan BN di Sabah. Sebelum berpisah, saya mengajak beliau untuk merasmikan buku terbaharu saya, dan beliau bersetuju. 





































DOJ HUGUON SIOU KOMUNITI BUGIS SABAH ?

on Tuesday, April 10

Pertemuan DOJ Dengan YAB DS Najib Berlangsung Dalam Suasana Harmoni 

Minggu lalu saya menulis kisah pertemuan saya dengan Datuk Ghapur Salleh di sini. Di bawah ini adalah kisah pertemuan saya dengan Datuk Osman Jamal (DOJ). Selepas ini saya akan menulis pertemuan saya dengan YAB TS DS Hj. Musa Hj. Aman di sini. Semoga ianya ada pengajaran kepada kita semua untuk kemashlahatan negara kita yang pelbagai etnik ini.

Pertemuan DOJ Presiden Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS) dengan YAB DS Najib Tun Hj. Abd. Razak (Najib) telah berlangsung dalam suasana yang harmoni di pejabat YAB Perdana Menteri, Putrajaya.

Saya percaya DOJ berjaya membawa beberapa isu penting yang melibatkan kebajikan Komuniti Bugis di Sabah khususnya dalam bidang pendidikan dan sumbangan komuniti kepada perpaduan nasional di negeri Sabah.

Sembang-sembang Dengan DOJ (2014)

Dahulu, Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS) dikenali sebagai Persatuan Kebajikan Bugis Sabah (PKBS). Apabila ianya ditukar kepada Komuniti, saya pada mulanya tidak bersetuju, kerana istilah Komuniti itu merujuk kepada konsep dan terminologi linguistik yang kecil. Namun, apabila saya berpeluang berdiskusi dengan DOJ (2012), beliau telah memahamkan saya bahawa Komuniti itu bermaksud masyarakat Bugis adalah sebahagian daripada rakyat Sabah. 

Secara umum, mereka yang lahir di Sabah, warganegara Malaysia, ibu bapa mereka yang lahir di Sabah, mereka yang keturunannya sudah berada di Sabah sejak tahun 1870an, mereka yang keturunannya sebelum kehadiran penjajahan Belanda dan Syarikat Hindia Timur Inggeris, mereka inilah yang dikatakan Komuniti Bugis Sabah yakni mereka adalah Sabahan, mereka adalah Bumiputera sebagaimana telah dinyatakan dalam mahkamah negeri Sabah (1958) lagi sebelum dipinda oleh pemerintahan kerajaan BERJAYA (1983) dahulu kerana memperkenalkan konsep bumiputera (BI dan BBI).

Komuniti Bugis di Sabah adalah berbeza dengan masyarakat Bugis Indonesia. Orang Cina Tarakan (Indonesia) dengan orang Cina Tawau Sabah (Malaysia) juga berbeza. Orang Melayu Kelantan dengan orang Melayu Patani (Siam) juga berbeza. Orang India Malaysia dengan orang India dari Chennai juga berbeza. Orang Cina Malaysia dengan orang Cina Tanah Besar China juga berbeza. Buku 'Clash of Civilization and The Remarking Of The New World Order' oleh Profesor Samuel Huntington menerangkan dengan panjang lebar permasalahan etnik dan ketamadunan. Antaranya, Hungtinton menyebut sesuatu bangsa itu boleh mempunyai lebih daripada satu negara, tetapi mereka hanya mempunyai satu sahaja tamadun. 
DOJ Bersama YAB Perdana Menteri Di Perdana Putra
Berbalik kepada DOJ, semasa saya masih bersekolah dan menetap di Tawau dahulu, ayah saya dan ayah DOJ adalah ketua persilatan pasukan Seni Silat PKBS yang memenangi Pertandingan Seni Silat Peringkat Negeri Sabah (1989) dahulu. Banyaklah aktiviti lain seperti pertandingan bola sepak dan sebagainya.

Kini, DOJ dilihat berjaya membuktikan wawasannya kepada Komuniti Bugis di Sabah. Kehadirannya semasa sesi RCI di Kota Kinabalu dahulu merupakan suatu keberanian yang terpuji. Beliau berjaya menjelaskan sejarah Komuniti Bugis di Sabah dengan terang dan berjaya menjelaskan isu-isu liar yang kabur. Saya sendiri sempat menghantar emel peribadi menerangkan pandangan saya dalam konteks perpaduan nasional.

Tidak perlu saya menyatakan di sini apakah butir-butir perbincangan DOJ dengan YAB Perdana Menteri. Apa yang saya boleh nyatakan ialah Komuniti Bugis di Sabah dalam meniti cabaran yang semakin kompleks mestilah bersatupadu, bekerja bersungguh-sungguh dan mematuhi undang-undang negara kita. Beberapa isu-isu yang menghalang kemajuan Komuniti Bugis di Sabah khususnya dalam politik boleh diselesaikan jika bersatu padu dan memahami konsep perpaduan nasional.

Menjelang PRU14, apa khabar Bugis Sabah? 

Ipoh, Perak.
10 Mac, 2018.

Bacaan Tambahan http://www.al-azharrisiddiq.com/2017/08/huguan-siou-bugis-sabah.html









Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan