KOMEN JELEK KEPADA RAJA, SIAPA DAN KENAPA ?

on Friday, January 18


Perletakan jawatan Sultan Muhammad V Kelantan sebagai Yang DiPertuan Agong menjadi isu hangat di kalangan rakyat Malaysia kerana tiga sebab yang utama. Pertama, ianya julung kali berlaku dalam sejarah Yang DiPertuan Agong. Kedua, peristiwa ini berlaku di zaman sosial media di mana setiap orang baik dalam dan luar negara bebas memberikan komentar mereka. CNN turut memberi ulasan utama dalam Top News mereka. Ketiga, segelintir masyarakat Malaysia khususnya yang menerima pendidikan moden dan sangat terbuka mahukan perubahan dalam institusi Raja di Malaysia, malah ada di antara mereka tidak berasa bersalah mencadangkan ianya dihapuskan.

Nampaknya, sistem Raja-Raja yang sekian lama menjadi tradisi, sejarah dan payung dalam kehidupan rakyat Malaysia kini sedang berhadapan cabaran yang paling berat. Adakah Raja-Raja kita menyedarinya?

Berbeza dengan Semenanjung Malaysia, di Sabah dan Sarawak tidak mempunyai Sultan atau Raja. Memang benar pada zaman dahulu (sebelum abad ke-6), hampir sebahagian besar Borneo Utara dan Sarawak, diperintah oleh Kesultanan Brunei. Kesultanan Sulu pula pernah memerintah sebahagian kecil pantai timur Sabah sekitar tahun 1660an. Ia hakikat sejarah yang tidak boleh disembunyikan. Pada zaman kolonial barat dan kolonial Raja-Raja di nusantara, Tanah Melayu mahupun Borneo Utara dan Sarawak menjadi rebutan.

Namun begitu, selepas Perang Dunia Kedua (1945), kuasa-kuasa penjajah Barat khususnya telah membahagi-bahagi tanah jajahan mereka di seluruh dunia dengan penguasaan besar oleh dua sekutu iaitu Amerika Syarikat dan Great Britain. Pembahagian wilayah kepada bentuk negara moden ini masih terus bermasalah seperti di Palestin dan beberapa negara Afrika. Apabila Persekutuan Malaysia dibentuk pada tahun 1963, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura bersetuju bersama-sama Malaya membentuk Malaysia 1963 dengan beberapa syarat seperti Perkara 20 dan Perkara 18.

Sejak tahun 1963, negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja seperti Sabah, Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang menyesuaikan diri dalam sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di peringkat persekutuan. Sistem pendidikan dan sistem sosial melahirkan masyarakat yang memahami sistem Raja di Malaysia, seterusnya menghormati mereka sebagai sebuah institusi yang dipulihara di dalam perlembagaan negara khususnya di bawah Perkara 153. Namun begitu, dengan beberapa kenyataan jelek oleh segelintir rakyat Malaysia baru-baru ini, adakah sistem Raja-Raja jelek di mata rakyat, khususnya segelintir generasi baharu? Saya melihat mereka keliru fungsi Raja-Raja dalam sistem kenegaraan di Malaysia. Jika isu ini tidak diselesaikan, ia boleh merosakkan pembinaan negara bangsa Malaysia.

Mari kita lihat sejarah semasa Kesultanan Melaka, sebenarnya semasa Sultan Alauiddin Riayat Shah (1477-1488) dan Sultan Mansur Syah (1456-1477) memerintah Empayar Melaka, rakyat yang berdagang di pelabuhan Melaka itu adalah masyarakat metropolitan perlbagai warna kulit dan pegangan agama. Pedagang-pedagang dari China, Arab, India, Turkey dan Asia Tenggara duduk berbulan-bulan kerana menunggu barang dagangan siap disediakan dan pertukaran angin monsun sehingga ada di antara mereka  berkahwin dengan penduduk tempatan. Ketika itu, sudah wujud Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka di mana ianya digunapakai untuk semua orang yang berada di dalam empayar Melaka. Tidak ada konflik kaum, tiada kejadian membakar gudang, berbunuhan di antara kaum. Empayar Melaka dan sistem politik yang dibanggakan terutama sistem Raja dimomokkan apabila kolonial-kolonial bermula Portugis, Belanda dan British mengukuhkan kedudukan mereka di Melaka dan seluruh Malaya dengan sistem Kenegaraan barat. Akhirnya warisan system BeRaja di Melaka berpindah ke Lukut Negeri Sembilan, Riau, Johor, Pahang dan Perak.

Sebenarnya, dalam era moden apabila kolonial British membawa masuk buruh-buruh kasar asing dari India dan China, sistem Raja-Raja Melayu telah pun menjadi pengetahuan mereka. Sebab itulah ketika itu tidak ada rusuhan direkodkan di antara buruh-buruh kasar ini dengan aristokrat British di bandar-bandar dan Raja-Raja Melayu. Rusuhan terbesar hanya berlaku semasa kes Natrah pada tahun 1959 di Singapura pun gara-gara pertembungan elemen asing dalam konteks budaya dan agama.

Selepas 62 tahun merdeka, dan kerajaan telah bertukar di peringkat pusat dan beberapa negeri, apakah rakyat Malaysia masih tidak cukup matang memahami sistem Raja selepas mereka menunjukkan kematangan menukar kerajaan? YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam ucapan di Perhimpunan Jabatan Perdana Menteri pada 14 Januari 2019 menegaskan berulang kali supaya rakyat Malaysia tidak melupakan sejarah pembinaan negara Malaysia. Tegas beliau lagi, dengan mengingati sejara negara kita akan membolehkan perpaduan dieratkan, rusuhan dielakkan dan pembahagian kekayaan negara diagih sama rata.

Bagi saya, pertukaran kerajaan perkara biasa di dalam sistem demokrasi, tetapi kekalkanlah perpaduan melalui semangat sejarah, tradisi, budaya dan teras negara bangsa Malaysia. Tukar Kerajaan tidak bermakna boleh hapuskan segala-galanya terutama Institusi yang sudah beratus tahun seperti sistem Raja. Mengambil contoh negara maju Great Britain, kerajaan mereka seringkali bertukar di antara parti Buruh dengan parti Konservatif, tetapi sistem Ratu England mereka dikekalkan malah negara Australia dan New Zealand nun jauh di sana turut menumpang nama Ratu England. Di Sabah sendiri, pada 30 Ogos 1963 masih menyanyikan lagu rasmi Ratu England.

Di samping itu, janganlah jua dibandingkan dengan Indonesia, kerana sistem Raja-Raja di sana mati oleh Revolusi, di Malaysia tidak ada Revolusi. Gerakan Almaunah yang melakukan Revolusi gagal sebab Malaysia bukan negara Revolusi. Janganlah jua dibandingkan Singapura kerana Singapura hanya sebuah negara bandar yang kecil. Grand design Singapura sudah dimulakan sejak tahun 1824 apabila Raffles berjaya meletakkan Singapura di bawah kuasa total Ratu England. Sistem di London telah dibawa ke Singapura hinggalah pemodenan itu berterusan hingga ke hari ini.

Di Malaysia, sama ada generasi sebelum merdeka atau selepas merdeka, atau generasi IT tidur 3-4 pagi, sistem Raja masih berjalan seiring dengan perubahan zaman. Negara kita hampir sama seperti Brunei, Thailand dan Great Britain. Sistem Raja masih wujud dan dihormati. Maka kita tidak mempunyai sebab untuk menghina Raja-Raja. Namun, kita dibenarkan mengkritik kelemahan Raja-Raja. Suatu masa dahulu,Perdana Menteri telah merubah perlembagaan di mana Raja-Raja juga tertakluk kepada undang-undang dan mereka juga boleh dibicarakan di Mahkamah Khas Raja-Raja. 
Hal paling penting perlu disegerakan sekarang ialah bagaimana rakyat daripada berbilang kaum dapat memahami dan menghayati konsep Raja Berpelembagaan dengan baik. Mereka perlu faham bahawa institusi ini untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum agama dan kepercayaan. Raja-Raja bukan untuk orang Melayu sahaja tetapi untuk semua rakyat Malaysia. Raja-Raja akan memastikan keselamatan rakyat Malaysia di dalam dan di luar negara. Oleh hal yang demikian, semua rakyat sepatutnya menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Raja-Raja sebagaimana rakyat Thai dan Jepun menghormati Raja-Raja mereka.

KESIMPULAN
Akhir sekali, kenapa segelintir rakyat kelihatan berani memberi komentar jelek kepada sistem Raja-Raja? Bagi saya, kesalahan tidaklah seratus peratus kepada mereka kerana mereka adalah rakyat yang berpendidikan dan peka dengan pendedahan globalisasi. Saya melihat empat kelemahan perlu diatasi segera. Pertama, sistem Kekeluargaan di Malaysia tidak menekankan kepentingan sistem Raja-Raja. Kedua, sistem pendidikan kita di peringkat sekolah dan universiti kurang mendedahkan aspek sejarah, tradisi dan budaya sistem Raja-Raja. Ketiga, Ketahanan nasional kita sangat lemah sehingga gagal berhadapan dengan cabaran globalisasi. Keempat, kurang program patriotisme. 

Jika semua ini tidak dilakukan, saya nampak kemungkinan berlaku gerakan anti raja di negara ini pada masa hadapan kerana konflik rakyat dengan Raja-Raja atas nama globalisasi, modernisasi dan kebebasan mutlak semakin meresapi generasi baharu. Nampaknya, Kerajaan baharu perlu segera merangka dasar baharu mengenai Raja-Raja jika mahu melihat survival sistem Raja-Raja di Malaysia terus kekal di persada.


Adakah anda terlepas membaca artikel ini https://www.malaysiakini.com/letters/458740

1 Komen:

Azhan said...

Hantar semua masuk jel bossku

Post a Comment

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan