Sebelum
saya menjejak kaki ke Amerika Syarikat dahulu , saya sudah membaca beberapa
buku ahli akademik dalam bidang kenegaraan seperti Allan Bloom, Noam Chomsky,
Francis Fukuyama, dan Samuel E. Huntington, termasuklah kisah pekerja-pekerja
kulit hitam di Philadelphia yang membina jalan kerata api bawah tanah pada
tahun 1800-an dahulu.
Oleh
kerana nama saya berbunyi kearaban, kebimbangan awal ialah jika ditahan lama di
pemeriksaan imigresen Amerika Syarikat. Kebetulan ketika itu muncul isu Islam
fobia kesan daripada tragedi 911, pengeboman di tempat awam dan sebagainya.
Namun
begitu saya lulus ujian Imigresen dengan mudah. Kita perlu bersyukur bahawa
apabila membawa nama Malaysia di luar negara, kita berasa selamat dan dihormati
kerana negara kita telah dikenali banyak memberi sumbangan yang besar dalam hal
keamanan dunia dan kepentingan sejagat.
Saya
teringat masalah yang dihadapi ketika mengunjungi Mumbai, India. Ketika itu,
saya sangat yakin tidak memerlukan visa kerana India adalah negara Komanwel.
Lagipun laman web Kedutaan India di Kuala Lumpur turut menyatakan VOA (Visa On
Arival). Inilah pengajaran, kita tidak boleh terlalu mempercayai internet dan
laman web kerana kadang-kadang ianya tidak dikemas kini. Rupa-rupanya VOA baru
sahaja ditamatkan.
Sampai
saja di imigresen lapangan terbang Mumbai, saya dibawa ke bilik imigresen dan
tidak lama kemudian kami dihantar menaiki semula kapal terbang. Saya tidak
dibenarkan memasuki Mumbai walaupun kami dijemput menyampaikan ceramah.
Keadaan
tidak sama di semua negara, yang penting kita perlu memastikan nama baik negara
walaupun ketika kita menghadapi masalah yang rumit.
Di
Washington DC, saya menghadiri sebuah seminar di Universiti Washington dengan
tema Sejarah Malaysia. Amat menyeronokkan kerana dapat bertemu dengan bekas
pensyarah dari Amerika Syarikat yang pernah bertugas di Universiti Malaya
sekitar tahun 1960-an dan 1970-an. Mereka sungguh fasih berbahasa Melayu.
Mereka bercakap isu Malaysia dan globalisasi daripada aspek politik, ekonomi
dan sosial.
Sepanjang
hari berseminar tidak ada jamuan makan tengah hari dan minum petang. Kami hanya
disediakan sarapan pagi dengan sedikit kuih-kuih Melayu dan itulah sahaja
sepanjang hari. Sungguh jimat bukan? Bolehkah perkara ini diamalkan di
Malaysia? Berjimat-cermat dalam konteks negara adalah salah satu sifat
patriotisme kerana ia terkandung dalam nilai-nilai patriotisme yang positif.
Di
universiti-universiti yang terkenal di Amerika Syarikat, saya bertemu beberapa
profesor yang berasal dari Malaysia. Mereka bekerja di universiti berkenaan dan
ada yang menjadi penasihat kepada persatuan-persatuan pelajar Malaysia.
Maknanya mereka juga patriotik dengan cara menyayangi orang Malaysia dan
menjaga nama baik negara.
Kebanyakan
pelajar yang dihantar oleh kerajaan ke Amerika Syarikat adalah mereka yang
cemerlang di peringkat SPM dan persediaan. Ada juga yang ditaja oleh sektor
swasta dan ibu bapa sendiri. Keadaan tidaklah sesukar zaman 70-an dan 80-an
kerana ketika itu belum ada teknologi telefon bimbit dan sebagainya. Namun
begitu amat menggembirakan saya ialah di sebalik revolusi industri ini, rakyat
kita tetap menunjukkan jati diri yang kuat di luar negara.
Dalam
satu sambutan Deepavali, hampir 200 pelajar dan komuniti Malaysia hadir ke
majlis tersebut, namun hanya lebih kurang sepuluh pelajar India yang beragama
Hindu. Majoriti adalah pelajar Melayu dan Cina. Apakah maknanya? Ini bermaksud
dalam kepelbagaian kaum, kita dapat bersatu.
Begitu
juga ketika sambutan Krismas, daripada 50 orang hadir di rumah seorang profesor
asal Malaysia yang beragama Kristian, hanya tuan rumah sahaja beragama
Kristian. Maknanya, walaupun terdapat perbezaan agama, kaum dan kepercayaan
namun atas nama Malaysia, kita semua dapat hidup dengan harmoni. Agak-agaknya
apakah yang mengikat tali perpaduan kita? Kebersamaan?
Formula
ini perlu dibawa ke dalam negara. Kita kini berhadapan dengan Revolusi Industri
yang memberi kesan di seluruh dunia. Bagaimanakah kita boleh mengawal emosi dan
tindakan kita di alam maya tatkala berhadapan dengan isu-isu politik, sosial
dan ekonomi.
Undang-undang
sudah banyak untuk mengawal perbuatan yang boleh mengancam keselamatan negara.
Namun begitu, yang lebih penting ialah bagaimana kita boleh menjadi seorang
warganegara yang berdisiplin, bertolak-ansur dan berhemah tinggi. Keselamatan
negara adalah tanggungjawab kita bersama.