KEHADIRAN TENTERA, BUKAN PERINTAH BERKURUNG & BUKAN DARURAT

on Saturday, March 21


Keputusan Kerajaan melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membantu Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan satu lagi rakaman sejarah yang penting dalam sejarah moden Malaysia.
Ianya bukan perkara baharu, ATM telah pernah membantu negara menangani isu-isu keselamatan negara seperti Darurat 1948-1960, peristiwa rusuhan kaum 1969 dan peristiwa Lahad Datu 2013.
Oleh itu, kemunculan ATM kali ini akan menguji tahap Patriotisme rakyat Malaysia iaitu pertama adakah rakyat Malaysia benar-benar berdisiplin?. Sejauh manakah dalamnya cinta rakyat Malaysia kepada negara ini?. Ketiga, adakah rakyat Malaysia mempunyai semangat kekitaan yang tinggi di kalangan pelbagai kaum?
Hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan peningkatan angka kumulatif kes daripada 1183 kes kepada 1306 kes dan 2 kematian awal menjadi 10 (22 Mac 2020)
Sebelum itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia telah memberi peringatan keras kepada orang ramai jika masih tidak bekerjasama duduk diam dalam rumah, pendamik ini boleh menjadi seperti tsunami.
Dua hari lalu di Itali, pasukan palang merah China yang didatangkan khas membantu kerajaan Itali mengkritik rakyat Itali kerana tidak mematuhi peraturan kuarantin dalam rumah.
Sebaliknya di negara China, laporan WHO menyatakan kejayaan China membendung penularan wabak Covid19 adalah kerana disiplin rakyatnya yang mematuhi kuarantin duduk dalam rumah di samping kerajaan China tidak berkompromi.
YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri turut memberi peringatan keras kepada rakyat Malaysia bahawa tempoh 14 hari PKP boleh jadi tidak muktamad, kerana jika gagal kemungkinan PKP ini akan ditambah hari lagi.
Persoalannya sekarang, dengan masih ada lagi segelintir rakyat Malaysia yang berdegil sehingga memaksa kerajaan menggunakan khidmat ATM, adakah rakyat Malaysia mahu PKP ini berlanjutan lebih lama lagi?

ATM Bukan Menakut-nakutkan
Orang ramai mungkin tertanya-tanya kenapa perlu melibatkan ATM? Adakah negara kita menuju ke arah perintah berkurung atau pun darurat? Persoalan ini timbul kerana mereka ada yang mengaitkan masalah yang kita hadapi hari ini serupa dengan peristiwa rusuhan kaum tahun 1969.
Rusuhan antara kaum ketika itu menyebabkan Kerajaan terpaksa menggantung parlimen, darurat diisytiharkan dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan untuk mengembalikan keamanan negara.
Pada tahun 1971, MAGERAN kemudiannya digantikan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Hari ini sekali lagi, pengalaman dan kepakaran MKN digunakan untuk memastikan keselamatan negara dan rakyat.
Sebagaimana kita sedia maklum, ATM mempunyai disiplin yang sangat tinggi. Saya percaya tujuan kerajaan bukan untuk menakut-nakutkan rakyat, sebaliknya memastikan rakyat berdisiplin mematuhi PKP.
Namun begitu, sudah tentu kerjasama orang ramai sangat-sangat didambakan.
Dalam konteks Patriotisme, rakyat perlu membuktikan cinta yang mendalam kepada negara dengan cara pematuhan undang-undang PKP atau negara kita menjadi seperti negara Itali dan Iran di mana jumlah kes Covid19 dan jumlah kematian semakin meningkat.
Konsep duduk diam dalam rumah, bukan bertujuan untuk menyiksa, tetapi untuk membantu Negara supaya virus Covid19 tidak tersebar yakni dapat dikawal dengan cepat.
PKP ini turut menguji tahap semangat kekitaan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum ini kerana virus ini tidak mengenal kaum, agama, warna kulit dan tahap sosioekonomi seseorang.
Oleh sebab itu kita perlu ada semangat kekitaan, a sense of ownership/belonging merentas kaum dengan sama-sama ingat mengingati, pesan-memesan dan hormat-menghormati.
Kesimpulan, kehadiran ATM membantu PDRM bermula esok pagi tidak perlu ditakuti, sebaliknya perlu disokong dalam usaha memerangi virus Covid19 ini dengan jayanya.
Rakyat tidak ada pilihan melainkan perlu berganding-bahu dengan Kerajaan melawan virus Covid19 untuk memastikan Malaysia memenangi cabaran ini, dan kita kembali hidup seperti biasa semula.

0 Komen:

Post a Comment

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Bakal Diterbitkan

Yayasan Pendidikan Islam

Buku Tun Mahathir

Pengunjung