SEJARAH DARURAT, NATIONAL SERVICE & PKP DI MALAYSIA

on Saturday, March 28

13 Mei, moga tak berulang: Rusuhan 1969 yang mengubah Malaysia ...
KUALA LUMPUR Mei,1969
Dalam keadaan negara kita dan juga negara-negara lain masih bergelut menghadapi wabak Covid19, elok sekiranya kita melihat semula peristiwa sekatan-sekatan pergerakan yang pernah dilaksanakan di negara Malaysia. 

Mungkin ia boleh menjadi panduan kepada rakyat Malaysia moden untuk melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan tenang dan menghasilkan kejayaan.

20 Jun 1948 - Darurat diisytiharkan di Malaya kerana ancaman Komunis (Cominform) kepada keselamatan rakyat semakin membimbangkan dan kedaulatan negara semakin terancam. 

1950 - Kerajaan  menguatkuasakan Kerahan Tenaga Rakyat (National Service) untuk mengajak seluruh rakyat Malaya bersama-sama menentang keganasan Komunis. Namun ianya gagal kerana segelintir rakyat tidak memiliki semangat Patriotik kepada Malaya. Sir Henry Gurney sangat kecewa dengan keadaan ini.

1952 - Kerajaan sekali lagi mencuba untuk melaksanakan Kerahan Tenaga Rakyat (National Service) tetapi masih juga gagal walaupun Persatuan China Malaya menawarkan hadiah antara $50 hingga $300 kepada rekrut dalam masa latihan.

3 Mei 1959 - Perintah Berkurung diisytiharkan di Pulau Pangkor untuk mengelak keselamatan rakyat terancam akibat daripada permusuhan antara kaum. Ianya membabitkan pergerakan masuk dan keluar dari Pulau Pangkor.

14 Julai 1964 - Perintah Berkurung diadakan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk mengelak sengketa kaum menjadi lebih besar dan mengancam keselamatan rakyat dan negara.

13 Mei 1969 - Darurat kali kedua dalam sejarah negara diisytiharkan selepas keadaan di Kuala Lumpur tidak lagi dapat dikawal oleh pergerakan kemenangan oleh segelintir ahli-ahli parti yang memenangi Pilihanraya Umum 1969. Pertama kali dalam sejarah negara kita, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan untuk mengendalikan keadaan Darurat Negara dan untuk mengembalikan keadaan negara kepada sedia kala.

18 Mac 2020 - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diisytiharkan apabila wabak Covid19 telah mula menunjukkan peningkatan drastik dan mengancam keselamatan rakyat dan negara. Majlis Keselamatan Negara (MKN) memainkan peranan utama dalam perlaksanaan PKP dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang lain.

Kesimpulan, pengalaman Kerajaan di atas menunjukkan rakyat memainkan peranan penting untuk memastikan dasar-dasar Kerajaan berjalan dengan jaya. Ianya juga boleh bertukar gagal jika rakyat tidak bersama-sama dengan Kerajaan sebagaimana kegagalan National Service pada tahun 1950 dan 1952 dahulu.

Apabila kerajaan mengarahkan rakyat "duduk dalam rumah" atau "stay at home", walaupun ianya kelihatan biasa-biasa sahaja, sebenarnya ianya merupakan arahan yang akan memastikan rantaian virus Covid19 ini dapat dimatikan dengan kadar segera.

Rakyat perlu faham, jika kita berjaya keluar daripada pandemik ini, fasa seterusnya ialah untuk membina semula kehidupan rakyat yang telah derita sepanjang PKP dilaksanakan. 

Perdana Menteri, TS Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 Billion. 

Pada saya, pakej ini bukan sahaja mempunyai nilai patriotik yang tinggi, ia juga berjaya mengimbangkan kerisauan dan keperitan rakyat sepanjang PKP. 

Cara untuk membalasnya mudah sahaja, duduk dalam rumah jika tidak ada keperluan mendesak.

Putrajaya.
28 Mac, 2020.







0 Komen:

Post a Comment

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Bakal Diterbitkan

Yayasan Pendidikan Islam

Buku Tun Mahathir

Pengunjung