Sekitar tahun 2015, seorang kakitangan kerajaan murung
setiap kali datang kerja. Rambut sering tidak bersikat, seringkali terganggu
masa kerja berlari-lari ke sana ke sini kerana isterinya disahkan menghidap
kanser limfoma hodgkin tahap 4. Bayangkan jika ahli keluarga anda tiba-tiba dimaklumkan oleh doktor
menghidap kanser tahap 4, apakah perasaan anda ketika itu?
Sebagai kakitangan awam, gaji pegawai yang baharu
meningkat naik bukanlah tinggi, sekadar cukup menyara keluarga di samping
membayar ansuran kereta, rumah dan hutang-hutang lain.
Dia penjawat awam yang sangat mahir dan bijaksana, namun
apabila isterinya menghidap kanser Limfona Hodgkin tahap 4, dunia menjadi kelam-kelabu. Seluruh
anggota badan jadi lemah-longlai tidak bermaya.
Hari-hari pertama, dia membawa isterinya ke hospital
kerajaan mendapat rawatan kanser. Disiplinnya tinggi membawa isterinya
mengambil rawatan kemo. Namun selepas kemo kali ke 3, isterinya dalam keadaan nazak dan tidak lagi mampu meneruskan kemo pusingan ke 4. Selepas pembedahan tempurung kepala dan radioterapi, sahabat saya sudah hampir putus asa.
Melihat isterinya terlantar di hospital tidak bermaya,
malah kelihatan nazak menjadikan dirinya semakin hari semakin tidak
bermaya. Anak-anaknya masih kecil lagi terpaksa ditinggalkan di rumah. Berlari
ke tempat kerja, berlari ke rumah, berlari ke hospital. Itulah rutin hidupnya setiap hari yang menyesakkan hati
saya jua.
Najib
Doktor pakar yang merawat isterinya membuat cadangan untuk membeli ubat imunoterapi dari luar negara.
Doktor pakar memberitahu 1 dos ubat berharga lebih kurang
RM14,400.00! Terduduk sahabat saya itu! Di mana nak cari wang? Menitis lagi air
mata seorang suami.
Doktor pakar mencadangkan sekurang-kurangnya minima 8 dos diperlukan,
bermakna wang yang diperlukan sebanyak RM115,200.00 ! Hati dan jiwa bagai
diperah kesakitan memikirkan wang sebanyak itu.
Akhirnya permohonan dibuat kepada Kerajaan. Surat
permohonan dibentang kepada Najib selaku Perdana Menteri dengan permohonan
sebanyak RM115,200.00 untuk 8 dos ubat yang diperlukan itu. Semuanya dipohon
melalui prosedur dan tatacara Kerajaan.
Selepas dibentangkan di depan Najib, dengan hidayah, taufik dan inayah
Allah SWT, Najib bukan sahaja meluluskan 8 dos tetapi 16 dos ubat kanser yang
bernilai RM230,400.00 . Mungkin Najib berfikir, dos selebihnya untuk kegunaan rakyat lain yang memerlukan pula.
Alhamdulillah, isteri sahabat saya itu sudah sihat
walafiat. Sahabat saya itu pun sudah berpindah ke beberapa jabatan kerajaan, di
mana kali terakhir saya bertemu, rambutnya sudah kemas bersikat, senyumannya semakin indah dan prestasi kerja semakin mantap.
Itulah sekelumit kisah Najib. Jika Najib terbaca kisah
ini, sahabat dan isterinya serta anak-anaknya ingin sekali bertemu Najib untuk mengucapkan terima
kasih.
Kepada penjawat awam, ketahuilah walau apapun kedudukan kita di dalam kerajaan, JPA sentiasa menjaga kebajikan kita dan keluarga kita. Kedua, inilah sekelumit kisah mulia Najib dan banyak lagi sebenarnya yang tidak diketahui rakyat Malaysia.
Baca komentar lain di https://www.malaysiakini.com/letters/535680
Baca komentar lain di https://www.malaysiakini.com/letters/535680