SURAT TERBUKA KEPADA YB-YB SABAH

on Sunday, September 27


Surat Terbuka kepada YB-YB Sabah,

Assalamualaikum WW dan Salam Sejahtera

Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah di atas kemenangan anda, kepada yang tewas tahniah juga kerana menjadi seorang pemimpin yang demokratik dan berjiwa besar.

Keputusan rasmi telah pun dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) dengan kedudukan Warisan (29), Perikatan Nasional (17), Barisan Nasional (14), Parti Bersatu Sabah (7), Bebas (3), Parti Keadilan Rakyat (2) dan Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu UPKO (1).

Keputusan ini tidak jauh beza dengan Pilihanraya Negeri Sabah 2018 di mana gabungan BN sepatutnya membentuk Kerajaan negeri Sabah tetapi suara demokrasi rakyat dinafikan oleh adegan lompat.

Persoalannya, apa lagi yang Tuan Yang Teramat Mulia Sabah mahu tunggu? Jalankanlah dan jangan rosakkan proses perlantikan Kerajaan baharu yang telah dipilih oleh rakyat.

Gabungan parti-parti PN, BN dan PBS sudah cukup untuk membentuk Kerajaan Negeri. 

Mana-mana parti tidak perlulah mengusahakan adegan beli-membeli wakil rakyat lagi kerana ia perbuatan yang tidak demokratik, menyusahkan rakyat dan negeri, dan sangat tidak Patriotik.

Bukan itu sahaja, pembangunan negeri terganggu, perjalanan urusan Kerajaan negeri cacamerba, urusan kewangan dan bajet pembangunan tidak dapat disalurkan, pertukaran jawatan-jawatan yang sangat kerap dalam Kerajaan merosakkan halatuju pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Cukup-cukuplah melompat sana sini. Wakil-wakil rakyat yang telah menang atas tiket parti masing-masing, belajarlah menjadi wakil rakyat yang dihormati. Kembalilah kepada rakyat di kawasan masing-masing, berkhidmat kepada mereka yang telah memilih anda.

Kerajaan baharu yang mempunyai kesinambungan dengan Kerajaan pusat di Putrajaya ini bakal menyaksikan proses pembangunan fizikal dan ekonomi bergerak lancar. Sudah sampai masanya projek-projek besar seperti PAN Borneo dipercepatkan. Sedarilah, jalanraya utama di Sabah masih bertaraf tahun 60an dan 70an di Semenanjung Malaysia. 

Kita tidak boleh salahkan Kerajaan pusat selama-lamanya, tetapi kita harus koreksi diri kita sendiri betapa politik yang keterlaluan dan tidak demokratik di Sabah menjadikan kita mundur.

Saya berharap TYT Sabah akan meneruskan proses pembentukan Kerajaan baharu dengan segera. Proses memilih Kerajaan baharu sudahpun diadakan, banyak wang dilaburkan dalam pilihanraya ini.

Pada PRU18, UMNO menang paling banyak kerusi iaitu (54), berbanding PKR (47), DAP (42), PAS (18), PBB (13), Amanah (11) dan Warisan (8). Saya telah menelefon orang kanan Najib di Jabatan Perdana Menteri, apakah Najib mahu menerima kekalahan atau mengusahakan gabungan baharu? Beliau menyatakan, kita kena terima takdir Allah SWT dan Alhamdulillah Najib menyatakan beliau seorang yang demokratik dan menerima kekalahan tersebut.

Begitu jugalah sepatutnya DS Shafie Apdal, walaupun dalam PRN Sabah semalam memenangi 29 kerusi, tetapi ianya tidak mencukupi untuk membentuk Kerajaan negeri. Maka janganlah diusahakan mempengaruhi wakil-wakil rakyat lain supaya melompat untuk mencukupkan jumlah. Wakil-wakil rakyat pula janganlah terhegeh-hegeh menjual maruah dan prinsip gara-gara dijanji pelbagai perkara.

Nasihat saya, hormatilah proses demokrasi yang telah dilaksanakan oleh rakyat. Berhentilah adegan lompat-melompat. Gabungan PN+BN+PBS yang telah diketahui sebelum PRN sebagai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bentuklah Kerajaan negeri dengan segera supaya rakyat Sabah boleh meneruskan kehidupan dengan aman dan harmoni.

Dr. Al-Azharri Siddiq Kamunri, A.M.N.
Putrajaya.

TAN SRI LIEW YUN FAH YANG SAYA KENALI

on Sunday, September 20


Gambar Kenangan Persediaan Lawatan Raja Muda Perlis Ke Tawau 

PENDAHULUAN

Pilihanraya Negeri Sabah terpaksa diadakan semula walaupun baru berusia 2 tahun. Walaupun di beberapa kawasan khususnya di Tawau, Kunak & Lahad Datu terancam oleh Covid-19, saya telah menyampaikan pandangan saya di Malaysiakini pada 18.9.2020 yang lalu. Boleh baca semula di https://www.malaysiakini.com/letters/543089

Berkenaan kerusi-kerusi dalam parlimen Kalabakan, setiap kali pilihanraya pembaca di blog saya akan menghantar mesej bertanya pandangan saya mengenai calon-calon yang bertanding. 

Semasa PRU 2018, saya menulis mengenai Datuk Abd Muis Picho, Datuk Osman Jamal & Datuk Ghapur Salleh. Saya tidak dapat memberi pandangan mengenai calon Warisan, Bersatu dan yang lain kerana saya tidak pernah berjumpa mereka dan mereka juga tidak pernah menghubungi saya. Adalah tidak adil jika saya memberi komen kepada mereka, nanti tersalah tulis.   

Dalam PRN Sabah ini saya terpaksa menolak beberapa undangan daripada TV dan Radio kerana masa dan keadaan yang tidak mengizinkan. Namun, saya masih boleh menulis walaupun jauh malam.

10 PERKARA MENGENAI TAN SRI LIEW YUN FAH

Semasa saya kecil dahulu, Pembantu Menteri Belia & Sukan Sabah, arwah Hj. Said Senang selalu membawa saya bersama-samanya ketika melawat kampung-kampung. 

Pada tahun 2000, saya menang pertandingan menulis DBP. Selepas dicetak, Tan Sri Liew Yun Fah telah membeli semua buku itu dan memberi secara percuma kepada anak-anak kampung dan sekolah di Merotai.

Saya mengenali Tan Sri Liew Yun Fah hampir 20 tahun. Ketika TSLYF menjadi Menteri Belia & Sukan Sabah, saya dijemput makan tengahari bersama rombongan Majlis Belia Sabah (MBS). Ketika saya sampai di meja makan, TSLYF memberitahu saya, kamu tidak boleh makan apa-apa makanan di atas meja ini kerana tidak halal, kamu hanya boleh minum teh sahaja. Saya terkejut, kalaulah TSLYF seorang yang jahat sudah tentu dia membiarkan sahaja.

Begitu juga, saya selalu menyertai rombongan TSLYF ke majlis-majlis bertemu Raja, Raja Muda, TYT, Menteri, Perdana Menteri dan lain-lain. Tidak pernah TSLYF membawa saya ke tempat-tempat maksiat. Malah pernah suatu hari, ketika dalam perjalanan bertemu Perdana Menteri, TSLYF menunggu saya sembahyang Zohor di R n R.

TSLYF dan Puan Sri juga pernah menaiki kereta buruk saya ketika kami dalam perjalanan bertemu Perdana Menteri. Walaupun saya agak malu, tetapi TSLYF dan Puan Sri naik juga kereta second hand saya itu. Kisah lucu, oleh kerana saya bawa laju mengejar masa, saya dapat surat saman laju di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), sampai hari ini TSLYF tidak tahu.

Di Merotai khasnya, semua orang tahu TLYF membantu banyak sekolah-sekolah Tahfiz yang sangat memerlukan bantuan kewangan sejak bertahun-tahun, bukan baru. Semasa TSLYF menjadi YB Merotai dulu, beliau membelikan kereta Jenazah, pasangkan lampu di kuburan, dan saya pernah melihat ruang tamu rumah Tan Sri penuh dengan beras untuk diagihkan kepada penduduk kampung. Sebenarnya banyak lagi bantuan TSLYF, walaupun beliau belum lagi Islam, tetapi keikhlasan, kejujuran dan jiwa rakyat beliau tidak ada tolok bandingnya. 

Dalam politik Malaysia, semua parti politik saling bekerjasama kerana kita hidup berbilang kaum dan pelbagai agama. Contohnya Warisan bekerjasama dengan DAP dan UPKO, UMNO bekerjasama dengan MCA/MIC/PBS, PAS pernah bekerjasama dengan DAP kini bersama dengan MCA/MIC, tetapi DS Haji Hadi kekal Islamnya, DS Shafie kekal Islamnya. Begitu jugalah apabila anda mengundi Tan Sri Liew Yun Fah tidak hilang Islam kamu. Guru-guru bukan Islam yang mengajar kita Matematik, Bahasa Inggeris dan sebagainya menjadikan kita bijak Matematik dan kita kekal dengan Islam.

Saya telah menasihati TSLYF supaya bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk kebaikan rakyat Merotai. TSLYF memberi jaminan jika memenangi kerusi Merotai, beliau dan Parti HARAPAN akan meneruskan kerjasama dengan YAB Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan. Dengan kerjasama erat ini, maka banyak lagi projek untuk rakyat Merotai boleh dibangunkan.

Pada tahun 2010, TSLYF pernah membawa kertas kerja kepada Perdana Menteri & Menteri Kewangan untuk membangunkan sebuah hub pelabuhan di Tanjung Batu melibatkan Pasir Putih, Sg. Imam dan Merotai menjadi sebuah rangkaian pelabuhan. Malang ia tidak dapat diteruskan kerana beliau tidak bertanding dalam PRN12. Kali ini, beliau telah ‘come back’, inilah masanya merealisasikan impian anak-anak Merotai.

Hospital Satelit Tawau yang sangat cantik merupakan hasil usaha TSLYF dengan tujuan supaya orang-orang Tawau tidak lagi perlu terbang ke Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur kerana hospital itu dijangka akan mempunyai pakar-pakar perubatan yang diperlukan.

Selepas ini, jika masa dan keadaan mengizinkan, saya akan menulis pengalaman saya mengenai calon lain pula.

Selamat Membaca/Salam Hormat.

19.09.2020

Tepian Singapura, Johor.





PRN SABAH: TIDAK PATRIOTIK DAN MENGGADAI NYAWA RAKYAT ?

on Sunday, September 13

Jumlah Kes COVID-19 di negeri Sabah semakin hari semakin meningkat. Namun begitu, sangat mengejutkan kita semua kerana Kerajaan negeri Sabah meneruskan juga PRN Sabah tatkala pendemik virus Covid-19 semakin meningkat dengan kluster baharu di Kunak, Lahad Datu dan Tawau.

Persoalannya, adakah kita menunggu lebih ramai lagi akan dijangkiti dan membawa kepada risiko kematian baru kita hendak bertindak? Melihat kepada suasana kempen, ternyata majoriti penyokong parti yang terlibat gagal mematuhi sepenuhnya SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Rakyat tidak boleh disalahkan kerana kempen politik sukar dikawal. Undang-undang denda RM1000.00 jelas tidak ditakuti dan tidak dapat dikuatkuasakan sepenuhnya.

Ketika penamaan calon, kelihatan ramai tidak memakai pelitup muka, hand senitizer diabaikan, peraturan jarak 1 atau 2 meter tidak diendahkan, apatah lagi pengambilan suhu badan tidak dilakukan secara menyeluruh. 

Jika Kerajaan khususnya kerajaan negeri Sabah bertanya pakar keselamatan dan kesihatan, jawapan yang diterima ialah PRN Sabah lebih baik ditangguhkan demi keselamatan rakyat di negeri Sabah.

PRN Sabah ini sudah pasti akan meningkatkan risiko jangkitan yang tinggi kepada golongan yang berisiko tinggi seperti golongan tua dan mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, obesiti, penyakit jantung dan sebagainya. 

Harus diingat, banyak penyebar Covid-19 adalah di kalangan orang muda yang biasanya tidak mempunyai simptom dan tidak mustahil mereka akan menyebarkan penyakit ini semasa mereka berkempen.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan sebanyak RM186 juta anggaran peruntukan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini. Wang ini sepatutnya digunakan untuk pembangunan negeri Sabah dan membantu rakyat Sabah berhadapan krisis ekonomi semasa pandemic Covid-19 ini. Namun, kegilaan dan kerakusan politik tidak memikirkan perkara ini, sebaliknya nafsu politik lebih diutamakan.

Mereka yang menggadai nyawa rakyat Sabah memberi gambaran level Patriotisme mereka sangat rendah. Salah satu sifat Patritosime yang penting ialah berusaha tidak menyusahkan rakyat sebaliknya membina negara ini dengan melindungi rakyat daripada mara bahaya. 

Walaupun pencalonan yang ramai di sesetengah DUN menunjukkan sistem demokrasi hidup subur tetapi jika ianya mengundang risiko keselamatan, kita yang waras sepatutnya dapat mengelakkannya.Pencalonan tidak terkawal contohnya di sesetengah DUN jumlah calon mencecah 8 atau lebih calon. Jika semua calon ini berkempen dan berceramah dengan melibatkan ramai kumpulan rakyat, maka risiko penularan wabak Covid-19 sudah pasti akan meningkat.

Kesimpulan, isu keselamatan ini akhirnya kembali kepada kesugguhan rakyat jua kerana kita tidak boleh lagi bergantung harap kepada politikus. Kerakusan politik sangat sukar dikawal oleh undang-undang. 

Di ambang Hari Malaysia 16 September 2020, sepatutnya Kerajaan negeri Sabah lebih matang dan lebih bijak ketika berhadapan krisis keselamatan rakyat. 

Semangat patriotik sepatutnya dipupuk dan diamalkan oleh Kerajaan negeri, barulah rakyat dapat mencontohi dan mengamalkannya. 

Jika Kerajaan negeri Sabah pun memandang enteng isu keselamatan rakyat, maka usahlah dihukum rakyat dengan undang-undang yang akan menambah kesusahan dan keperitan hidup mereka.



Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Bakal Diterbitkan

Yayasan Pendidikan Islam

Buku Tun Mahathir

Pengunjung