Perletakan jawatan Sultan Muhammad V Kelantan sebagai Yang DiPertuan
Agong menjadi isu hangat di kalangan rakyat Malaysia kerana tiga sebab yang
utama. Pertama, ianya julung kali berlaku dalam sejarah Yang DiPertuan Agong.
Kedua, peristiwa ini berlaku di zaman sosial media di mana setiap orang baik
dalam dan luar negara bebas memberikan komentar mereka. CNN turut memberi
ulasan utama dalam Top News mereka. Ketiga, segelintir masyarakat Malaysia khususnya
yang menerima pendidikan moden dan sangat terbuka mahukan perubahan dalam
institusi Raja di Malaysia, malah ada di antara mereka tidak berasa bersalah mencadangkan ianya dihapuskan.
Nampaknya, sistem Raja-Raja yang sekian lama menjadi
tradisi, sejarah dan payung dalam kehidupan rakyat Malaysia kini sedang
berhadapan cabaran yang paling berat. Adakah Raja-Raja kita menyedarinya?
Berbeza dengan Semenanjung Malaysia, di Sabah dan Sarawak tidak
mempunyai Sultan atau Raja. Memang benar pada zaman dahulu (sebelum abad ke-6),
hampir sebahagian besar Borneo Utara dan Sarawak, diperintah oleh Kesultanan Brunei.
Kesultanan Sulu pula pernah memerintah sebahagian kecil pantai timur Sabah sekitar
tahun 1660an. Ia hakikat sejarah yang tidak boleh disembunyikan. Pada zaman kolonial
barat dan kolonial Raja-Raja di nusantara, Tanah Melayu mahupun Borneo Utara
dan Sarawak menjadi rebutan.
Namun begitu, selepas Perang Dunia Kedua (1945), kuasa-kuasa
penjajah Barat khususnya telah membahagi-bahagi tanah jajahan mereka di seluruh
dunia dengan penguasaan besar oleh dua sekutu iaitu Amerika Syarikat dan Great
Britain. Pembahagian wilayah kepada bentuk negara moden ini masih terus
bermasalah seperti di Palestin dan beberapa negara Afrika. Apabila Persekutuan
Malaysia dibentuk pada tahun 1963, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura
bersetuju bersama-sama Malaya membentuk Malaysia 1963 dengan beberapa syarat
seperti Perkara 20 dan Perkara 18.
Sejak tahun 1963, negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja seperti
Sabah, Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang menyesuaikan diri dalam sistem Raja
Berperlembagaan yang diamalkan di peringkat persekutuan. Sistem pendidikan dan
sistem sosial melahirkan masyarakat yang memahami sistem Raja di Malaysia,
seterusnya menghormati mereka sebagai sebuah institusi yang dipulihara di dalam
perlembagaan negara khususnya di bawah Perkara 153. Namun begitu, dengan
beberapa kenyataan jelek oleh segelintir rakyat Malaysia baru-baru ini, adakah sistem
Raja-Raja jelek di mata rakyat, khususnya segelintir generasi baharu? Saya melihat
mereka keliru fungsi Raja-Raja dalam sistem kenegaraan di Malaysia. Jika isu
ini tidak diselesaikan, ia boleh merosakkan pembinaan negara bangsa Malaysia.
Mari kita lihat sejarah semasa Kesultanan Melaka, sebenarnya
semasa Sultan Alauiddin Riayat Shah (1477-1488) dan Sultan Mansur Syah (1456-1477)
memerintah Empayar Melaka, rakyat yang berdagang di pelabuhan Melaka itu adalah
masyarakat metropolitan perlbagai warna kulit dan pegangan agama.
Pedagang-pedagang dari China, Arab, India, Turkey dan Asia Tenggara duduk
berbulan-bulan kerana menunggu barang dagangan siap disediakan dan pertukaran angin
monsun sehingga ada di antara mereka
berkahwin dengan penduduk tempatan. Ketika itu, sudah wujud Hukum Kanun
Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka di mana ianya digunapakai untuk semua
orang yang berada di dalam empayar Melaka. Tidak ada konflik kaum, tiada kejadian
membakar gudang, berbunuhan di antara kaum. Empayar Melaka dan sistem politik
yang dibanggakan terutama sistem Raja dimomokkan apabila kolonial-kolonial
bermula Portugis, Belanda dan British mengukuhkan kedudukan mereka di Melaka
dan seluruh Malaya dengan sistem Kenegaraan barat. Akhirnya warisan system
BeRaja di Melaka berpindah ke Lukut Negeri Sembilan, Riau, Johor, Pahang dan
Perak.
Sebenarnya, dalam era moden apabila kolonial British membawa
masuk buruh-buruh kasar asing dari India dan China, sistem Raja-Raja Melayu telah
pun menjadi pengetahuan mereka. Sebab itulah ketika itu tidak ada rusuhan
direkodkan di antara buruh-buruh kasar ini dengan aristokrat British di
bandar-bandar dan Raja-Raja Melayu. Rusuhan terbesar hanya berlaku semasa kes Natrah
pada tahun 1959 di Singapura pun gara-gara pertembungan elemen asing dalam
konteks budaya dan agama.
Selepas 62 tahun merdeka, dan kerajaan telah bertukar di
peringkat pusat dan beberapa negeri, apakah rakyat Malaysia masih tidak cukup
matang memahami sistem Raja selepas mereka menunjukkan kematangan menukar
kerajaan? YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam ucapan di
Perhimpunan Jabatan Perdana Menteri pada 14 Januari 2019 menegaskan berulang
kali supaya rakyat Malaysia tidak melupakan sejarah pembinaan negara Malaysia.
Tegas beliau lagi, dengan mengingati sejara negara kita akan membolehkan
perpaduan dieratkan, rusuhan dielakkan dan pembahagian kekayaan negara diagih
sama rata.
Bagi saya, pertukaran kerajaan perkara biasa di dalam sistem
demokrasi, tetapi kekalkanlah perpaduan melalui semangat sejarah, tradisi, budaya
dan teras negara bangsa Malaysia. Tukar Kerajaan tidak bermakna boleh hapuskan
segala-galanya terutama Institusi yang sudah beratus tahun seperti sistem Raja.
Mengambil contoh negara maju Great Britain, kerajaan mereka seringkali bertukar
di antara parti Buruh dengan parti Konservatif, tetapi sistem Ratu England
mereka dikekalkan malah negara Australia dan New Zealand nun jauh di sana turut
menumpang nama Ratu England. Di Sabah sendiri, pada 30 Ogos 1963 masih
menyanyikan lagu rasmi Ratu England.
Di samping itu, janganlah jua dibandingkan dengan Indonesia,
kerana sistem Raja-Raja di sana mati oleh Revolusi, di Malaysia tidak ada Revolusi.
Gerakan Almaunah yang melakukan Revolusi gagal sebab Malaysia bukan negara Revolusi.
Janganlah jua dibandingkan Singapura kerana Singapura hanya sebuah negara
bandar yang kecil. Grand design Singapura sudah dimulakan sejak tahun 1824
apabila Raffles berjaya meletakkan Singapura di bawah kuasa total Ratu England.
Sistem di London telah dibawa ke Singapura hinggalah pemodenan itu berterusan
hingga ke hari ini.
Di Malaysia, sama ada generasi sebelum merdeka atau selepas
merdeka, atau generasi IT tidur 3-4 pagi, sistem Raja masih berjalan seiring
dengan perubahan zaman. Negara kita hampir sama seperti Brunei, Thailand dan
Great Britain. Sistem Raja masih wujud dan dihormati. Maka kita tidak mempunyai
sebab untuk menghina Raja-Raja. Namun, kita dibenarkan mengkritik kelemahan Raja-Raja.
Suatu masa dahulu,Perdana Menteri telah merubah perlembagaan di mana Raja-Raja
juga tertakluk kepada undang-undang dan mereka juga boleh dibicarakan di
Mahkamah Khas Raja-Raja.
Hal paling penting perlu disegerakan sekarang ialah
bagaimana rakyat daripada berbilang kaum dapat memahami dan menghayati konsep
Raja Berpelembagaan dengan baik. Mereka perlu faham bahawa institusi ini untuk
semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum agama dan kepercayaan. Raja-Raja bukan
untuk orang Melayu sahaja tetapi untuk semua rakyat Malaysia. Raja-Raja akan
memastikan keselamatan rakyat Malaysia di dalam dan di luar negara. Oleh hal
yang demikian, semua rakyat sepatutnya menumpahkan taat setia yang tidak
berbelah bahagi kepada Raja-Raja sebagaimana rakyat Thai dan Jepun menghormati
Raja-Raja mereka.
KESIMPULAN
Akhir sekali, kenapa segelintir rakyat
kelihatan berani memberi komentar jelek kepada sistem Raja-Raja? Bagi saya,
kesalahan tidaklah seratus peratus kepada mereka kerana mereka adalah rakyat
yang berpendidikan dan peka dengan pendedahan globalisasi. Saya melihat empat kelemahan
perlu diatasi segera. Pertama, sistem Kekeluargaan di Malaysia tidak menekankan
kepentingan sistem Raja-Raja. Kedua, sistem pendidikan kita di peringkat
sekolah dan universiti kurang mendedahkan aspek sejarah, tradisi dan budaya
sistem Raja-Raja. Ketiga, Ketahanan nasional kita sangat lemah sehingga gagal
berhadapan dengan cabaran globalisasi. Keempat, kurang program patriotisme.
Jika semua ini tidak dilakukan, saya nampak kemungkinan berlaku gerakan anti raja di negara ini pada masa hadapan kerana konflik rakyat dengan Raja-Raja atas nama globalisasi, modernisasi dan kebebasan mutlak semakin meresapi generasi baharu. Nampaknya, Kerajaan baharu perlu segera merangka dasar baharu mengenai Raja-Raja jika mahu melihat survival sistem Raja-Raja di Malaysia terus kekal di persada.
Jika semua ini tidak dilakukan, saya nampak kemungkinan berlaku gerakan anti raja di negara ini pada masa hadapan kerana konflik rakyat dengan Raja-Raja atas nama globalisasi, modernisasi dan kebebasan mutlak semakin meresapi generasi baharu. Nampaknya, Kerajaan baharu perlu segera merangka dasar baharu mengenai Raja-Raja jika mahu melihat survival sistem Raja-Raja di Malaysia terus kekal di persada.
Adakah anda terlepas membaca artikel ini https://www.malaysiakini.com/letters/458740












1 Komen:
Hantar semua masuk jel bossku
Post a Comment