 |
| KETUA POLIS NEGARA - MENGUTAMAKAN PERPADUAN & KEHARMONIAN |
ULASAN Low Yat. Masyarakat Cina di mana-mana sahaja, sama ada di tanah besar negara China, Malaysia, Singapura, Indonesia, di negara-negara barat, Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Amerika Selatan, Afrika dan sebagainya adalah masyarakat perniagaan yang berjaya.
Majoriti mereka mewarisi kemahiran berniaga sejak turun-temurun. Mereka tidak begitu suka bekerja dengan sektor kerajaan, bukan kerana kerajaan tidak menyediakan pendapatan yang sesuai dengan keinginan mereka, tetapi mereka mempunyai kemahuan yang lebih besar, mereka mempercayai kemahuan itu boleh dipenuhi dengan bekerja keras.
Ada 4 perkara yang sangat diberi perhatian oleh masyarakat Cina di mana-mana sahaja. Pertama, perniagaan. Kedua, pertubuhan. Ketiga, bahasa ibunda. Keempat pendidikan Cina.
Keempat-empat perkara ini jika tercabar akan menyebabkan mereka bersatu, walaupun berbeza parti politik. DAP, MCA, Gerakan dan mana-mana parti yang berlatarbelakang masyarakat Cina akan bersatu sekiranya isu pendidikan mereka dipersoalkan. Mereka akan mempertahankannya.
Dalam kes pergaduhan di plaza Low Yat. Sebenarnya ianya memberi kesan negatif kepada perniagaan di situ khususnya kepada peniaga Cina. Pada tahun 1990an dan 2000an, peminat gajet HP dan sebagainya biasanya akan ke Pertama Complex, Kuala Lumpur. Namun begitu, plaza Low Yat telah mengambil alih kemashyuran Pertama Complex menjelang tahun 2010an.
Pelancong luar negara turut bertandang ke Low Yat.
Namun begitu, insiden baru-baru ini sudah pasti memberi kesan yang buruk kepada perniagaan HP dan komputer di Low Yat.
Ianya memberi keburukan bukan sahaja kepada peniaga, tetapi juga kepada negara.
Oleh yang demikian, saya mencadangkan supaya dipertemukan semula kedua-dua pihak yang bergaduh sebelum ini. Kedua-dua pihak hendaklah saling maaf-memaafkan, buang yang keruh ambil yang jernih. Mereka yang masih mengapi-apikan sentimen perkauman hendaklah dikenakan tindakan undang-undang sedia ada.
Jika tidak, ikon Low Yat sebagai pusat HP, komputer dan sebagainya akan merosot dan akhirnya perniagaan mengalami kerugian.
Walaupun majoriti peniaga di Low Yat dimonopoli oleh peniaga Cina tidaklah bermakna masyarakat Melayu dan sebagainya tidak mendapat manafaat. Kita mesti sedar, majoriti pemandu teksi dan kereta sewa di Kuala Lumpur adalah orang Melayu. Majoriti syarikat perkhidmatan pembentungan, lori sampah, pembekal kuih tradisi, restoran roti canai dan sebagainya juga orang Melayu. Kemakmuran di Low Yat sudah pasti dinikmati juga oleh orang Melayu.
Negara kita adalah negara pelbagai kaum. Benar majoriti adalah Melayu. Benar majoriti adalah Islam. Namun, kita telah hidup bernegara bersama-sama sejak sekian lama dengan aman dan damai.
Cina Boston
Di Boston, Amerika Syarikat. Masyarakat Cina hidup dengan aman dengan mengekalkan entiti mereka sebagai masyarakat peniaga yang berjaya.
Di China Town, Boston serupalah dengan Petaling Street di Kuala Lumpur. Anda boleh mendapatkan apa sahaja keperluan harian.
Dari sekecil-kecil keperluan harian seperti ikan segar, udang, ketam, sayur-sayuran segar, nangka, durian, buah manggis, biskut dari Malaysia, nescafe triple one, teh tarik Malaysia, mee hun halal, kicap dari Malaysia semuanya ada dijual menyebabkan rindu orang Melayu kepada keperluan-keperluan harian ada di jual di pasaraya China Town. Kerana apa? Kerana masyarakat Cina sememangnya masyarakat peniaga.
Jika mereka bersifat buruk, sudah pasti mereka tidak menjual barangan halal di pasaraya mareka, namun bukan itu tujuan mereka, tujuan mereka hanyalah semata-mata perniagaan.
Itu belum lagi saya ceritakan kemampuan masyarakat Cina Boston dalam bidang hartanah, perkhidmatan, perumahan dan pendidikan. Kompleks pendidikan sekolah Cina mereka sangat mengkagumkan.
Sepuluh tahun dahulu, saya pernah mengajar di dua buah sekolah 90%-99% pelajarnya serta pentadbirnya adalah orang Cina. Semasa saya mengajar di Kota Kinabalu High School (2002), pelajar-pelajarnya memang tidak minat kepada subjek Sejarah yang saya ajar, namun saya mengajar juga dengan bersungguh-sungguh.
Semasa saya mengajar di SMK Kepong Baru (2003), pelajar-pelajar Cina dalam kelas yang bijak bersungguh-sungguh memberi perhatian kepada apa yang saya ajar. Sebaliknya, pelajar yang lemah di dalam kelas lemah menunjukkan kecenderungan yang tinggi kepada bidang perniagaan.
Kesimpulannya, pergaduhan, permusuhan, rasisme, prejudis, buruk-sangka hendaklah ditukar kepada hormat-menghormati, bersatu dan berbaik-sangka.
Selamat Hari Raya,
Maaf Zahir Batin,
USA.
Julai-15-2015.