Kenangan Bersama DSP Ghapur Hj. Salleh (1993). Ketika Itu Penulis Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kg. Pertama Bombalai & Beliau Pula Baru Memenangi Ketua Bahagian UMNO Tawau
Semasa proses mendaftar ahli-ahli USNO dan ahli-ahli baru ke dalam UMNO dahulu (1990), YB Tn Hj Said Senang yang merupakan Wakil Rakyat Merotai ketika itu memberi ruang yang banyak kepada AJK Penaja UMNO Bahagian Tawau. Beliau membenarkan Pejabat ADUN Merotai di Wisma Bumi dijadikan pusat mendaftar, mesyuarat AJK dan sebagainya untuk memastikan kelancaran pendaftaran ahli-ahli USNO ke dalam UMNO.Keihlasan sangat penting dalam perjuangan. Maka itu, Cawangan Kg. Pertama Bombalai di mana ayah penulis merupakan Ketua Cawangan telah berjaya mendaftar lebih 250 ahli daripada pelbagai suku kaum Bugis, Jawa, Tidung, Suluk dan sebagainya. Cawangan ini merupakan antara cawangan terbesar di Bahagian Tawau (sekarang Bahagian Kalabakan).
Semasa saya aktif berpolitik dahulu, saya turut membantu mengisi borang dan sebagainya. Saya sering dibawa oleh YB Tn Haji Said Senang ke kampung-kampung. YB Tn Hj Said Senang bukanlah ahli politik yang kaya-raya atau mempunyai wang yang bertimbun-timbun ketika itu, tetapi beliau sangatlah kaya hati. Beliau akan bersalam dengan semua orang di mana sahaja.
Satu perkara yang sangat baik ialah di mana-mana YB Tuan Hj Said Senang melawat, beliau akan cari surau atau masjid untuk bersolat. Pernah satu malam, ketika satu majlis di Merotai, kami berjalan kaki mencari surau. Beliau akan tinggalkan cerita panjang di dalam majlis untuk mencari surau untuk bersolat.
Dalam Pilihanraya tahun 1986 dan 1990 kalau saya tidak silap, YB Tn Hj Said Senang bermalam di Masjid Nurul Iman Bombalai dari pukul 2 hingga 4. Saya melihat beliau solat sunat dan berzikir. Pada keesokan harinya kami ke bandar menunggu keputusan pilihanraya. Ternyata beliau menang. Rumah beliau sangatlah sederhana, hanya rumah kayu dan di kawasan penduduk kampung sahaja, bukanlah di kawasan elit dan berpisah dari penduduk kampung.
Ada orang berkata kalau rapat dengan YB banyak dapat projek dan sebagainya. Sebenarnya itu sangat tidak tepat. Atau barangkali kerana saya tidak pandai mengambil peluang. Sepanjang bersama dengan YB Tn Hj Said Senang, beliau suka datang ke rumah saya di Kg Mawar dan Kg Pertama Bombalai. Nak tahu apa dia suka ambil, isteri dia suka ambil bunga-bunga kertas yang ayah saya tanam. Dia sangat suka sebab ayah saya sangat pandai tanam bunga kertas (bunga kertas kahwin).
Semasa YB Tn Hj Said Senang hendak naik haji, ayah saya menurunkan dia dari rumah. Inilah satu adat di mana acara menurunkan bakal haji dari tangga rumah diadakan dengan doa-doa yang sesuai semasa majlis tersebut.
Kali terakhir saya berjumpa YB Tuan Hj Said Senang ini 5 tahun yang lalu. Semoga beliau sihat sahaja. Minggu depan bersambung pula pengalaman penulis bersama YB yang lain pula.
Selamat Membaca.
*Nota: Beliau telah pun meninggal dunia. Semoga Allah SWT menempatkan arwah di dalam syurga bersama orang-orang yang beriman dan beramal taqwa. Aamiin...


















