Pencerobohan keamanan di Paris, ancaman pengganas tanpa henti di Amerika
Syarikat dan pencerobohan di Lahad Datu adalah tiga contoh kes besar isu keselamatan
era moden yang gagal dikendalikan oleh manusia. Sama ada manusia itu berada di
Amerika Syarikat, Perancis atau Malaysia.
Sebab itulah pada tahun 2013 kerajaan telah menubuhkan ESSZONE .
Kes ESSZONE adalah kes klasik insiden yang paling dekat untuk
menggambarkan istilah "Kawasan Keselamatan" yang disebut di dalam RUU
MKN.
Sekarang ini, ESSZONE di Sabah menggunakan Ordinan tahun 1962
dan pengisytiharan ke atas ESSZONE akan kekal sampai bila-bila. Maka implikasi
kos, aset, tenaga dan sebagainya ditumpukan ke sana. Ini memberi kesan kepada
kerajaan dan juga kawasan-kawasan lain.
Jika berlaku di Sarawak pula, Ordinan tahun 1963 pula digunakan.
Manakala, sekiranya "Kawasan Keselamatan" diisytiharkan di Semenanjung Malaysia, Akta POPA 1958
pula digunakan.
Sekiranya terjadi di beberapa tempat di kawasan tersebut, maka
ketiga-tiga Ordinan ini akan mewujudkan zon-zon yang berkekalan dan implikasi
kewangan dan aset akan menjadi beban kepada kerajaan.
Saya perlu mengulangi dan menegaskan semula bahawa "Kawasan
Keselamatan" di bawah RUU ini hanya kekal untuk 6 bulan sahaja dan wajib
dibawa ke sesi Dewan Rakyat untuk dibahas. Jika Dewan Rakyat tidak setuju untuk
mengekalkannya, maka ianya boleh mansuh. Kalau hendak disambung, itu terpulang
kepada perbahasan dan pandangan Dewan Rakyat.
Lagipun, pengisytiharan "Kawasan Keselamatan" dibuat
secara kolektif dan konsensus oleh 8 ahli Majlis Keselamatan Negara. 8 ahli itu
pula mendapat maklumat daripada agensi keselamatan, operasi, special branch,
dan lain-lain bahagian di bawah kuasa masing-masing. Perkara ini sangat-sangat
jelas di dalam RUU MKN.
RUU MKN juga sebenarnya mewujudkan "check and
balance" melibatkan ketiga-tiga cabang iaitu kehakiman, legislatif dan
eksekutif. Tidak ada isu mengenai kuasa mutlak atau merampas kuasa Yang
Dipertuan Agong (YDPA), Ketua Polis Negara (IGP) dan Panglima Angkatan Tentera
(PAT). Perkara itu hanya ilusi, pandangan dan persepsi tidak benar kerana
mereka melihat dari jendela luar.
Mereka sudah pasti mengetahui bahawa RUU MKN ini boleh dicabar
ke mahkamah jika mana-mana individu atau mana-mana operasi melanggar apa-apa
peruntukan undang-undang yang disebut di dalam Perlembagaan.
Status "Kawasan Keselamatan" ini tetap dibawa ke sesi
Dewan Rakyat untuk dibahaskan dari segi keperluan samada perlu disambung atau
tidak. Seandainya wakil-wakil rakyat berpendapat kawasan tersebut sudah selamat
maka status "Kawasan Keselamatan" boleh dimansuhkan. Samalah juga
dengan isu koroner, kuasa khas dan lain-lain.
Jadi, isu sebenarnya ialah serupa sahaja dengan kes Paris dan
Lahad Datu. Hanyasanya, kerajaan bertindak awal yakni mencegah awal adalah
lebih baik.
Menjawab Pengkritik
Oleh yang demikian, jika kita hendak menjawab tiap-tiap fasal,
satu demi satu sebagaimana pembangkang membuat interpretasi melalui analogi
sendiri, saya percaya ianya tidak akan selesai. Mereka hanya akan menyesal
apabila kejadian Paris berlaku di Malaysia.
Saya percaya pegawai-pegawai PDRM, ATM dan agensi keselamatan
lain yang sudah biasa menghadiri mesyuarat jawatankuasa keselamatan negara di
bawah mana-mana Arahan MKN, mereka faham sebenarnya itulah juga RUU MKN.
Saya juga percaya Peguam Negara tidak akan membuat RUU MKN ini
jika ianya bertentangan atau mengambilalih kuasa-kuasa khas yang sudah dimiliki
oleh YDPA, IGP dan PAT.
Saya juga percaya RUU MKN tidak akan melampui Perkara 150
Perlembagaan negara kita.
Sebenarnya, RUU MKN adalah suatu usaha murni untuk
memperkukuhkan MKN secara legal kerana pada masa kini MKN tidak memiliki punca
kuasa selepas pemansuhan Ordinan Darurat pada tahun 2011. Selama ini, MKN
menjalankan tugasnya secara eksekutif dan pentadbiran atas keputusan Jemaah
Menteri sejak tahun 1971.
Malahan, pembentukan pasukan, gerak kerja, SOP, arahan-arahan
MKN tidak ada beza dalam keadaan sekarang di mana ianya masih berfungsi secara
pentadbiran eksekutif dan tidak ada perbezaan besar apabila RUU MKN
dikuatkuasakan kelak. Dalam bahasa mudah, PAT dn IGP atau Ketua Setiausaha
Kementerian atau Ketua Pengarah malah YDPA sekalipun tidak akan hilang
kuasa.
Lebih mudah faham ialah Akta MKN dahulu dengan RUU MKN kelak
tidak akan mengubah apa-apa amalan sekarang. Mana-mana Arahan MKN atau Arahan
Gerakan yang sedia adalah untuk menyelaraskan mana-mana
agensi/jabatan/kementerian sahaja. Tidak ada langsung isu hilang kuasa. Itu
yang dimaksudkan dengan Fasal 5 di dalam RUU MKN.
Terimakasih
Kita berterimakasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan kerana
melalui MKN telah melaksanakan evakuasi pelajar di Mesir, Yaman, Libya, Syria
dan lain-lain negara yang bergolak. Keutamaan MKN ialah keselamatan rakyat
dijaga sehabis boleh walau di mana jua. Segala kesukaran pasukan evakuasi
menggadai nyawa untuk menyelamatkan pelajar /rakyat Malaysia adalah satu cara
bagaimana MKN berjaya menyelaraskan agensi-agensi keselamatan negara.Bukannya
mengambilalih kuasa mereka pun !
Samalah jua dengan RUU MKN di mana kita mesti memberi sokongan
dalam isu keselamatan rakyat Malaysia walau di mana berada tanpa mengira
ideologi politik, anutan agama dan warna kulit.
Bacalah semula RUU MKN, anda tidak akan berjumpa satu klausa pun
berkaitan Perdana Menteri berkuasa mutlak dan anda juga tidak akan bertemu satu
pun klausa kononnya kuasa YDPA dirampas.
Apa yang berlaku sebenarnya ialah Tafsiran tidak tepat oleh
sesetengah pihak. Tafsiran ada pelbagai terpulang kepada niat mereka untuk
melihat kepada kebaikan atau keburukan. Bagi kerajaan, keutamaan kerajaan ialah
mengutamakan keselamatan rakyat!
Kesimpulan
Ketahuilah bahawa, isu-isu keselamatan adalah semakin dinamik
termasuklah isu nuklear, extremis, anthrax dan sebagainya yang memerlukan
tindakan penyelarasan yang licin bagi mengelakkan kecelakaan kepada rakyat.
Sejak 59 tahun negara kita merdeka, kerajaan sentiasa berusaha
meningkatkan keselamatan rakyat dan negara. Namun begitu, sebagai manusia di
mana-mana jua kita tidak boleh memandang rendah kemampuan musuh. Tidak bermakna
apabila kita sudah bersedia, musuh boleh dihalang dan dihapuskan.
Lihatlah negara Amerika Syarikat dan Perancis yang sangat maju
dalam bidang ketenteraan dan keselamatan. Namun begitu, mereka sendiri gagal
menghalang ancaman pengganas. Maka itulah kita berwaspada.
Dua artikel ini sangat berkaitan, http://www.al-azharrisiddiq.com/2015/12/menjawab-cemuhan-ke-atas-rang-undang.html dan http://www.al-azharrisiddiq.com/2015/12/nytakan-di-mana-di-dalam-ruu-mkn.html










0 Komen:
Post a Comment