Showing posts with label Khairy Jamaluddin. Show all posts
Showing posts with label Khairy Jamaluddin. Show all posts

SOKONGAN PEMUDA UMNO KEPADA NAJIB SETIPIS KULIT BAWANG ?

on Sunday, April 19

KJ Ketika Berucap Di University of Pennyslavania,
Amerika Syarikat Baru-baru Ini (Mac, 7, 2015)
BARU-BARU ini Khairy Jamaluddin (KJ) yang mengetuai Pergerakan Pemuda UMNO telah melambung DS Najib di sini sebagai tanda sokongan. Ianya berlaku ketika selesai taklimat oleh DS Najib kepada Pemuda UMNO mengenai isu-isu semasa.

KJ adalah seorang yang bersifat opportunist. Sifat seorang opportunist adalah akan berada di tempat yang sesuai dan pada masa yang tepat. Semasa masih belajar dahulu, diberitakan dalam banyak media sosial kononnya KJ pernah meminta Tun Dr. Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketika itu, tetapi saya belum mendengar sendiri rakaman video itu. Mungkin tidak benar.

Semasa memenangi kerusi Pergerakan Pemuda UMNO dahulu (2008), KJ telah melompat daripada tempat duduknya untuk merayakan kemenangannya, kerana Pak Lah ketika itu menerima tekanan yang amat kuat daripada Tun M supaya meletak jawatan. 

Hari ini, apabila DS Najib dilanda gelombang besar sekali lagi KJ muncul di tempat yang sesuai dan pada masa yang tepat. KJ memberikan komen yang bermakna di awal-awal kritikan Tun M dan seterusnya KJ menyerlahkan lagi sokongan itu ketika peristiwa melambung DS Najib.

Secara peribadi, tindakan KJ itu okey dalam mempertahankan Presiden UMNO, tetapi bagi saya ianya tidak mencukupi. Apa yang dilakukannya itu boleh dilakukan oleh persatuan-persatuan pelajar di peringkat sekolah dan universiti. Malah, NGO-NGO juga boleh melakukan yang lebih berkesan daripada itu. Janganlah merendahkan level Pemuda UMNO ke tahap persatuan siswazah atau NGO di kampung.

Saya ingin memberi cabaran kepada KJ dan Pergerakan Pemuda UMNO supaya mengumpulkan 100,000 Pemuda UMNO seluruh negara berhimpun di Stadium Bukit Jalil untuk menunjukkan sokongan sebenar Pemuda UMNO kepada Presiden. Baharulah dinamakan Pemuda yang hebat! Jikalau setakat 191 Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian sahaja, ianya umpama sokongan tahi kuku. Tidak berkesan dan bersifat olok-olok sahaja, sebab itulah Tun Daim dan ramai lagi mentertawakannya.

Sehingga sekarang ini, saya masih sangsi apakah KJ mampu mengumpul 100,000 Pemuda di dalam stadium. Rekod menunjukkan semasa himpunan Bersih dahulu (2011), ketika KJ dengan kumpulan pemuda yang diberikan nama Patriot itu, KJ hanya mampu mengumpul lebih kurang 300-500 orang sahaja berbanding NGO Bersih yang berjaya mengumpul puluhan ribu orang. Ianya sangat memalukan di sini .

Kepada KJ, saya memberi cabaran dengan ikhlas, buatlah, tunjukkan sokongan yang sebenar Pemuda UMNO kepada DS Najib bukannya sokongan dalam dewan berukuran 40 X 100 kaki sahaja. Itu kerja NGO yang tidak punya wang. Saya tidak percaya KJ tidak mempunyai sumber kewangan untuk melestarikannya.

Janganlah Pemuda UMNO memalukan diri di hadapan Datuk Ibrahim Ali. Kalaulah Datuk Ibrahim Ali masih muda, dia boleh mengumpul 70,000 orang dalam tempoh 24 jam sahaja. Dia sudah membuktikannya beberapa kali ketika zaman mudanya.

Saya bukan anti KJ, saya cuma mahu KJ membuat lebih daripada itu. Saya mahu KJ membuat 3 dan 4 langkah ke hadapan, bukannya jumlah yang ciput dan statik. Saya sudah berbisik kepada KJ dua tahun lalu ketika bertemu di sini, saya akan mengkritik anda jika perlu untuk masa hadapan parti, kerajaan dan negara. Saya sangat bimbang bilamana saya diberitahu oleh seorang pemimpin Pemuda bahawa tidak ada satu pun exco-exco Pemuda UMNO berani mengkritik KJ atau berbuat sesuatu yang lebih baik daripada KJ, walaupun untuk kebaikan. Ini adalah masalah besar!

Perbandingannya adalah, sokongan sejumlah 191 Ketua-ketua Pergerakan Pemuda UMNO adalah umpama setipis kulit bawang, namun sokongan 100,000 Pemuda UMNO tiada bandingan lagi.

Bagaimana KJ ?, mampukah Pemuda UMNO mengumpul 100,000 orang di dalam stadium Bukit Jalil, barangkali pada 1 Mei 2015 ini. Jika berjaya, ramai orang mahu melihat KJ berucap dengan hanya sehelai kertas A4 di tangannya. Seorang peguam menyatakan kepada saya, beliau dan rakan-rakan sukakan cara simple and steady begitu.

Nota: Pada tahun 1998, semasa Tun Dr Mahathir menerima tentangan maha dasyat daripada penyokong Anwar dan pihak pembangkang, Tun Dr Mahathir telah membuat acara yang memenuhi stadium Bukit Jalil. Acara tersebut sempena Sukan Komanwel di mana seluruh rakyat memenuhi setiap inci stadium Bukit Jalil tanda sokongan kepada Tun Dr Mahathir.

Acara-acara lain yang pernah digunakan oleh Tun Dr. Mahathir untuk menunjukkan sokongan rakyat adalah perhimpunan menyokong Yasser Arafat, perhimpunan menyokong Presiden Saddam Hussien melawan kekejaman tentera bersekutu Amerika, perhimpunan SEMARAK dan sebagainya. 

Semua perhimpunan tersebut berjaya menyatukan rakyat untuk menyokong Perdana Menteri dan kerajaan!.

Selamat Berhujung Minggu.

Washington DC, USA.
April, 18, 2015,


KJ BIMBANG ANWAR ?

on Wednesday, February 18

Kebimbangan KJ 
SAYA melihat ada perkara pelik apabila YB Khairy Jamaluddin (KJ) memberi respon segera dan kelihatan bimbang terhadap kenyataan YB Nurul Izzah berkenaan dakwaan akan wujudnya tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada DS Anwar Ibrahim.

Adakah benar KJ bimbang Anwar menjadi TPM atau KJ sedang bermain silap mata? Kerisauan KJ nampaknya sangat menarik dikupas, kerana semua orang tidak lupa akan bantuan KJ selepas Anwar dibebaskan pada tahun 2006 dahulu.

Nampaknya walaupun Anwar berada dalam penjara, Anwar kekal menjadi 'hantu' siang dan malam kepada mana-mana pemimpin UMNO yang bercita-cita menjadi Presiden UMNO atau Perdana Menteri. 

Adakah KJ ada membaca apa-apa dokumen Anwar ditawarkan sebagai TPM? Adakah KJ memberi tekanan kepada Nurul Izzah supaya mendedahkan perkara tersebut dengan lebih detail? Adakah KJ sedang memberi tekanan kepada pucuk pimpinan? 

Penulis-penulis politik boleh memberi pelbagai intrepetasi akan persoalan-persoalan tersebut. Tetapi akhirnya, "kebenaran berada di kedudukan yang istimewa". Saya menunggu masa yang sesuai.

Nampaknya KJ perlu mendapat maklumat yang lebih tepat supaya tidak merugikan kepimpinan parti dan diri sendiri. Isu tersebut pasti akan dimainkan di Permatang Pauh dan Kajang, sekiranya Presiden PKR 'move Kajang' lagi. 

Jika Nurul Izzah membangkitkan hal tersebut semasa PRK Permatang Pauh dan Kajang, KJ dan pasukan kempen UMNO akan berhadapan risiko yang getir untuk menjawabnya. KJ perlu dibantu oleh orang yang betul.
Seorang Guru Silat Tidak Akan Mendedahkan
Seluruh Isinya Dalam Satu Masa
Iklan: Selamat Datang diucapkan kepada KJ ke Amerika Syarikat bulan hadapan dengan ucapan, saya rindu teh tarik, nasi lemak dan roti canai.

*Sudah lama saya tidak menulis mengenai Ketua Pemuda UMNO. Kali terakhir pada Oktober, 11, 2014.













PEMUDA DAN PUTERI UMNO LENA DIULIT MIMPI

on Sunday, November 16

KETUA PEMUDA, KETUA WANITA & KETUA PUTERI UMNO
2004 - Pilihanraya Umum ke-11 ini dimenangi oleh UMNO dan BN hampir-hampir menyapu bersih kerusi-kerusi parlimen malah hampir-hampir menawan negeri Kelantan dengan hanya kekurangan 2 kerusi.

Namun begitu, cabaran UMNO dan BN teruji bilamana DS Anwar Ibrahim dibebaskan. Ketika di luar negara, Anwar bukan sahaja menjadi pensyarah pelawat di London dan di Washington tetapi telah menggerakkan pelbagai NGO untuk tujuan memenangi pilihanraya tahun 2008.

2005/2006 - NGO-NGO asing mula memberikan bantuan dana kepada NGO-NGO pro pembangkang dan parti-parti pembangkang di Malaysia dengan matlamat utama mereka untuk merampas kerajaan persekutuan dan negeri-negeri yang lain.

DAP khususnya telah menjalankan kempen mendaftar pengundi-pengundi baharu dengan sangat aktif dan bersungguh-sungguh. Ahli-ahli parti mereka bergerak ke kampus-kampus swasta, pusat membeli belah, kampung-kampung, berkempen melalui laman-laman web dan menjalankan pelbagai aktiviti mendaftar pengundi baharu.

2008 - Hasilnya, semasa PRU 12, DAP menikmati hasil mereka apabila menang besar di Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Bagaikan baru bangun dari lena, UMNO khususnya bangun semula membina strategi dan kekuatan menubuhkan pasukan siber mereka. Satu demi satu blog, portal, FB dan tweeter pro BN muncul sama ada ianya digerakkan oleh parti, NGO dan orang-perseorangan.

Dalam pada itu, DAP meneruskan aktiviti mereka mendaftar pengundi-pengundi baharu sebagai persediaan ke arah PRU13. Dalam hal ini, UMNO jauh ketinggalan ke belakang jika hendak dibandingkan dengan DAP.

Bayangkan, DAP di Serdang, Petaling Jaya, Puchong menang majoriti melebihi 25,000 dan 35,000 orang. Itu kita tidak sebut lagi kawasan parlimen Seputeh dan Bukit Gelugor.

2013/2014 - DAP menyedari mereka tidak akan memerintah Perak atau Selangor atau Kerajaan Persekutuan sekiranya mereka tidak membuka keahlian DAP kepada orang-orang Melayu.

Akhirnya nama-nama Melayu dimasukkan secara agresif ke dalam DAP dan caon-calon DAP Melayu turut menang dalam PRU13. Strategi ini diteruskan lagi dengan membuka keahlian DAP kepada anak-anak muda Melayu dan Profesional Melayu yang tidak diterima menjadi ahli UMNO. 

Seperti kata Presiden UMNO, salah satu penyakit UMNO ialah tidak mahu menerima ahli-ahli baharu di kalangan intelektual dan profesional. Kini anak-anak muda Melayu ini telah pergi ke DAP.

MAJORITI MENINGKAT DARI 16,355 KEPADA 30,689
2018 - Menjelang PRU14, DAP telah melaksanakan pelbagai workshop, bengkel, talk, tv internet, cyber community, lab dalam dan luar negara di kalangan anak-anak muda Melayu dengan fokus mereka untuk memenangi lebih ramai kerusi-kerusi parlimen.

Jika UMNO masih tidak sedar, saya tidak hairan DAP akan memenangi beberapa lagi kerusi parlimen atas tiket Melayu Profesional yang lebih muda, intelektual dan bijak.
MAJORITI MENINGKAT DARI 21,025 KEPADA 42,206
CABARAN KEPADA KJ & PUTERI UMNO
Persoalannya, Apa Pergerakan Pemuda UMNO dan Puteri UMNO lakukan? 

Kedua-dua Pergerakan UMNO ini hendaklah pro aktif dengan mengadakan pelbagai aktiviti mendaftar ahlil-ahli baharu dan pengundi-pengundi baharu. Saya ingin mencadangkan kepada Sdra. Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri UMNO supaya setiap AJK Pergerakan Pemuda UMNO dan Puteri UMNO hendaklah diwajibkan mempunyai KPI mengenai hal menambah pengundi ini.

a. Setiap AJK Pemuda dan Puteri hendaklah mendaftar sekurang-kurangnya 1000 Pengundi baharu setiap bulan sehingga tahun 2018. Barangsiapa tidak berjaya melakukannya, itu membuktikan tahap kerja mereka.

b. Setiap Pergerakan Pemuda dan Puteri di Bahagian-Bahagian mestilah mendaftar pengundi baharu sekurang-kurangnya 1000 setiap bulan.

Fakta pertama, semasa PRU13 terdapat 13,291,385 jumlah pengundi. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah penduduk Malaysia sekarang lebih kurang 30 Juta orang. Sudah tentu ramai lagi yang belum mendaftar bukan?

Fakta kedua, SPR menyatakan kira-kira 1.9 juta pengundi Melayu belum mendaftar! Di Sabah sahaja kata SPR, kira-kira 249, 891 orang Melayu/Bumiputera belum mendaftar!

Seandainya jumlah pengundi 1.9 juta itu ditukar kepada 1.9 juta Ringgit Malaysia, barangkali semua orang akan menjadi rajin membuat kerja.

Hanya mereka yang malas, lembik dan tidak kreatif sahaja akan mengeluh, marah dan memberi 1001 macam alasan. 

Saya diberitahu, seorang ahli pembangkang di Selangor mendaftar pengundi baharu hampir 10,000 orang dengan hanya dia sendiri melakukannya. 

Kalaulah Cina DAP boleh melakukannya, kenapa Melayu Pemuda dan Puteri UMNO tidak boleh melakukannya?

Janganlah hanya beretorik kata UMNO akan merampas Selangor kalau ahli baharu dan pengundi baharu pun statik dan ciput! 

Baru-baru ini, dalam suratkhabar Puteri UMNO Selangor mempertahankan UMNO Selangor dengan memandang enteng kritikan-kritikan di peringkat nasional. Kritikan Presiden parti sendiri pun mahu disanggah. Jika begitu keberaniannya, soalan mudahnya dalam sebulan ini berapa Puteri UMNO Selangor berjaya mendaftar pengundi baharu di Selangor?

Tun Dr. Mahathir telah berkata, UMNO tidak akan menang hanya dengan undi ahli UMNO sahaja. 

Semasa Konvensyen UMNO di Selangor dan Johor, DS Najib Tun Razak juga telah memberi tekanan kepada anda betapa malu dan kecewanya beliau dengan kelembikan UMNO di dalam hal ini.

Jika hendak menang, bekerjalah menuju kemenangan. Bukan retorik berucap bagai meruntuh guruh di langit, hasilnya hujan rintik-rintik separuh jalan. Bumi tak basah Langit tak cerah. 

Ikhlas.

Selamat Berhari Minggu.
HANYA MAJORITI 4,394




ASINGKAN KEMENTERIAN BELIA DAN KEMENTERIAN SUKAN

on Saturday, October 11

BOLA SEPAK MALAYSIA KE SUKAN OLIMPIK 1980
KEMEROSOTAN Sukan negara dalam dua kejohanan besar iaitu Sukan Komanwel ke-20 Glasgow dan Sukan Asia Incheon baru-baru ini memberi kesan besar kepada rakyat Malaysia. Kemerosotan itu sangat memalukan kerana Malaysia terkenal dengan kemudahan sukan bertaraf dunia.

Contohnya, ada sesuatu yang tidak kena bilamana pasukan Hoki negara kita tewas kepada England, New Zealand, Trinidad dan Tobago semasa Sukan Komanwel Glasgow. Di Sukan Asia Incheon, pasukan bola sepak tidak mampu pergi jauh, malah ratu terjun merosot luar biasa. Malah pasukan Sepak Takraw negara pun terkial-kial untuk mengalahkan pasukan Korea Selatan.

Saya tidak bersetuju jika Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) atau mana-mana pihak dijadikan kambing hitam atas kegagalan itu. Semasa dia berjaya dalam sukan yang sama 4 tahun lepas, dia tidak dipersoalkan? Dia berjaya bersama Menteri yang lain dan dia gagal bersama Menteri yang lain. Penilaian hendaklah adil.

Oleh kerana sukan merupakan bidang yang penting dalam pembentukan sebuah negara (nation building), saya ingin mencadangkan supaya Kementerian Belia dan Kementerian Sukan diasingkan. Sudah banyak negara-negara maju hanya memiliki Kementerian Sukan sahaja.

Jika pasukan bola sepak negara kita gagal dan gagal lagi mendiri dalam Sukan Asia, Sukan Komanwel, Sukan Olimpik apatah lagi Piala Dunia, apakah kita mahu tunggu 100 tahun lagi? Kita perlu fokus dalam menjadikan sukan bola sepak sebuah industri sukan yang memberi pulangan bukan sahaja kepada negara tetapi juga kepada masa hadapan pemain.

Perdana Menteri hendaklah diyakinkan bahawa bajet yang besar diberikan kepada bidang Sukan akan menjadi sia-sia jika kita berterusan gagal dan tewas. Ahli-ahli sukan tidak boleh dipersalahkan 100%, sebaliknya organisasi itu perlu dirombak.

BOLA SEPAK MALAYSIA KE SUKAN OLIMPIK 1976
Negara kita memerlukan seseorang yang lebih fokus kepada Sukan, dengan memiliki ilmu pengetahuan, pengalaman dan komitmen yang tinggi dalam bidang sukan.

Apabila masih timbul isu gaji, elaun, kwsp, bookie dan sebagainya ianya menunjukkan kita tidak serius menyelesaikan isu-isu tersebut. Seseorang ahli sukan tidak mungkin dapat memberikan komitmen yang padu seandainya makan minumnya tidak terpulihara. Apatah lagi jika sudah memiliki komitmen lain yang lebih besar. Mereka jua manusia biasa.

Tidak menjadi suatu masalah apabila kita mengambil seseorang yang profesional dalam bidang sukan untuk menjaga Kementerian Sukan yang saya cadangkan. 

Secara peribadi, saya berpendapat menteri yang ada sekarang tidak sesuai menjaga bidang sukan. Beliau nampaknya sesuai dan serasi dengan belia, kerana itu program-program belia seperti Parlimen Belia boleh diwujudkan selepas banyak kali tertangguh.

Kita mahu pasukan Bola Sepak negara kita mencapai taraf Piala Dunia, tetapi bagaimana ianya akan menjadi kenyataan jika di peringkat Sukan Asia pun kita tidak lepas? Kita tidak boleh hanya berbangga dengan Sukan Sea dan Piala Tiger sahaja, kita mesti keluar dari kepompong dan kebiasaan. Begitu juga dalam sukan olahraga dan sukan yang lain. 

Menjelang tahun 2020, negara kita seharusnya menyanyikan lagu Negaraku di atas podium Sukan Olimpik dan sukan-sukan bertaraf dunia yang lain. Namun, jika beginilah keadaannya, saya tidak fikir lagu Negaraku akan berkumandang di Sukan Olimpik. 

Saya percaya Menteri Belia & Sukan sedia ada bersetuju dengan idea ini.














TENTERA SIBER YB KJ PASIF, PEMUDA UMNO DILANDA TSUNAMI AKHRAMSYAH

on Saturday, September 21

Akhram : Semakin Yakin
Saya agak hairan mengapa pasukan siber YB Khairy Jamaluddin kelihatan pasif dan agak statik. Adakah YB KJ tidak memerlukan mereka? 

Saya belum jumpa mana-mana artikel totok yang berani menyokong KJ secara berterus-terang baik oleh Exco-Exco Pergerakan Pemuda UMNO seperti artikel ini http://merdeka-online.com/home/lim-guan-eng-salah-khairy-jamaludin-betul/ . 

Hanya satu-satunya dari sahabat blogger saya ini http://brojinggo.blogspot.com/2013/09/ketua-pemuda-umno-akramsyah-ukurlah.html , itu pun sejak 18 September 2013 dan satu-satunya ini sahaja sehingga ke hari ini, itu pun hanya mengkritik Akhramsyah tanpa menghuraikan apa KJ buat selama ini di dalam Pemuda UMNO. Tiada data atau statistik perjuangan YB KJ sebagai Ketua Pemuda dibentangkan.

Mengkritik dengan perasaan marah, benci dan emosional boleh membawa imej buruk kepada KJ jika anda adalah dampingan KJ. Pernahkah saya 'tutuh' KJ dalam artikel saya. Saya menulis lebih 10 artikel mengenai KJ, sedangkan saya baharu menulis 4 artikel mengenai Akhramsyah. Saya masih berat sebelah.

Tiada blogger yang menghuraikan dasar-dasar KJ sebagai penghulu Pemuda, Aspirasi KJ dalam UMNO, world view KJ kepada Pemuda UMNO, malah pertanyaan saya tentang moto KJ pun tiada siapa berjumpa KJ bertanya dan menghuraikannya. Seruan saya supaya KJ berdebat dengan Akhramsyah turut didiamkan. Maknanya KPI YB KJ sebagai Ketua Pemuda tidak dapat dibentangkan. Ianya akan menjadi persoalan besar oleh ahli-ahli Pemuda UMNO.

Apakah KJ tidak bersedia menerima pukulan politik TKO?

TSUNAMI AKHRAMSYAH MELANDA PEMUDA
Sebaliknya, Akramsyah menerima sokongan semulajadi tanpa diminta dan tanpa bayaran malahan bloggers kelihatannya tanpa disuruh menyatakan sokongan dan keinginan mereka kepada Akramsyah. Semuanya sukarela, senang hati, rela hati membantu Akhramsyah. Mereka datang tidak disuruh, mereka datang tidak dipaksa, tidak di-sms, mereka dilanda "tsunami Akhramsyah".


Akhbar The Malay Mail yang berpengaruh turut memberi ruang kepada Akramsyah di sini dalam sesi soaljawabnya http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/making-umno-youth-relevant .

Akhbar dan portal pro-pembangkang turut memberi fokus kepada Akhramsyah. Tidak perlu saya beri link-nya, anda boleh search sendiri.
Saya dan KJ
SEDUTAN PRESS CONFERENCE AKHRAMSYAH
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera, Salam Satu Malaysia,

Terima Kasih atas kehadiran semua di sini pada hari ini, baik dari kalangan wakil media dan terutama sekali kawan-kawan yang sudi melepaskan diri dari tugas harian untuk bersama-sama.

Nama saya Akhramsyah Muammar Ubaidah bin Sanusi, lazimnya dikenali sebagai Akhram sahaja. Sebagai pengenalan, saya seorang anak kelahiran DEB (Dasar Ekonomi Baru).

Pendidikan awal saya di Maktab Rendah Sains MARA Balik Pulau, Pulau Pinang sehinggalah berjayanya saya menggenggam segulung ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia dari Imperial College, London semua hasil dasar kerajaan pimpinan UMNO yang berlandaskan Dasar Ekonomi Baru.

Dengan bermodalkan ilmu tersebutlah, saya berjaya menarik perhatian sebuah syarikat minyak antarabangsa yang terkemuka mengambil saya sebagai seorang profesional.

Selama 16 tahun saya bertugas sebagai seorang jurutera, konsultan sehingga kini mencapai peringkat pengurusan syarikat tersebut. Dalam masa itu, saya berpeluang bekerja di luar negara, menimba ilmu serta pengalaman teknikal mahupun organisasi, untuk kemudian di bawa pulang demi memajukan negara bangsa.

Segala peluang serta kejayaan ini bertitik-tolak dari perjuangan UMNO, dan saya bersyukur atas pengorbanan pemimpin-pemimpin Melayu yang berjasa terhadap kami generasi muda.

Namun, sejak kebelakangan ini, telah tertimbul rintihan pada peringkat akar-umbi parti, terutama sekali pada golongan muda, yang UMNO terlihat seperti tidak dapat lagi menjaga kebajikan mereka.

Segala usaha serta dasar kerajaan yang baik dilancarkan, tetapi kurang mengena sasaran, dan ini menimbulkan kerunsingan. Rintihan akar umbi Pemuda juga timbul tentang sentuhan kepimpinan yang dikatakan tak cukup kerap sampai ke bawah.

Dan lebih parah lagi, ada orang muda yang kini menuduh Pemuda sebagai tidak lagi mendesak, tidak lagi menjulang obor perjuangan Agenda Melayu.

Oleh itu, memandangkan rintihan kawan-kawan, jiran-jiran serta penyokong tentang perlunya perubahan kepimpinan Pemuda, saya dan keluarga saya telah mengambil keputusan mengorbankan kerjaya saya untuk menawarkan diri, dengan rendah diri, sebagai calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Agenda yang akan saya bawa insyaAllah sekiranya terpilih sebagai Ketua Pemuda yang baru adalah menghidupkan kembali agenda perjuangan Melayu yang seharusnya menjadi tanggungjawab Pemuda UMNO. Oleh itulah, laungan Pemuda haruslah tidak lain dari HIDUP MELAYU!

Terima Kasih. 

Saya membuka majlis kepada soalan...


Ikhlas dari Calon Anda, 
Akhramsyah Sanusi.








KASUT MAHAL KJ DAN DIALOG POLITIK ANWAR

on Tuesday, September 3

DIALOG NASIONAL ATAU DIALOG POLITIK
Selepas berakhirnya PRU13, DS Anwar Ibrahim berusaha menggunakan beberapa jalan lain untuk meletakkan dirinya kekal dalam pusingan politik Malaysia. Di antaranya, beliau berusaha melalui mantan wapres di negara jiran, di mana Anwar berusaha sedaya upaya menjadikan dirinya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Negosiasi Anwar adalah sangat luar biasa, tetapi Anwar lupa bahawa keluarbiasaan itu lebih hebat ada pada rakyat jelata, yang masih belum boleh menerimanya sebagai Perdana Menteri Malaysia. 

Walaupun ada wakil rakyat UMNO yang suka dan bersedia untuk menerima Anwar kembali kepada kerajaan seperti berita ini http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130823/re_06/Pembangkang-bela-penjenayah-Anwar-sertai-semula-UMNO , malangnya ahli-ahli UMNO belum bisa menerima Anwar. Hakikat ini Anwar kena fahami.

Anwar pasti tahu bahawa saya tidak berbohong menulis apa yang telah saya tulis dalam pertemuan saya di Jakarta tempoh hari. Saya bukan penulis 'tanpa nama', maka saya mempunyai kekuatan tersendiri untuk menulis perkara yang benar. 

Anwar mengugut untuk menyaman akhbar yang menyiarkan tulisan saya, selepas tiga bulan Anwar tidak melakukannya, kerana Anwar sendiri tahu saya menulis perkara yang benar belaka. Sebab itulah Demo Black 505 pun mati serta-merta, kerana rakyat sudah melihat kebenaran dan rakyat merasa tertipu.

DIALOG NASIONAL ATAU DIALOG POLITIK
Permintaan Anwar untuk mengadakan "Dialog Nasional" dengan kerajaan BN khususnya dengan DS Najib Tun Razak adalah satu lagi usaha Anwar untuk menembusi kem UMNO dan BN. 

Saya percaya, selepas keputusan PRU13, Anwar sudah hilang kepercayaan kepada DAP dan PAS. Bagi saya, komen Pemuda PAS ini http://www.malaysiakini.com/news/239979 menunjukkan kurangnya maklumat di pihak PAS apa yang sedang dilakukan Anwar di luar pengetahuan mereka.

Anwar tahu dua acara besar di dalam negara akan berlangsung tidak lama lagi,  iaitu kunjungan Presiden Obama ke Malaysia dan Pemilihan UMNO tidak berapa lama lagi.

Anwar kini berada di persimpangan, sama ada mahu terus berada di dalam Pakatan yang tidak menjanjikan apa-apa kepadanya dalam 5 tahun ini, atau bekerjasama dengan DS Najib untuk mendapatkan sesuatu pula di dalam UMNO. Sebab itulah, Anwar mencanangkan perkataan "Dialog Nasional".

Jika bertanya saya apakah perlu melayan permintaan ini, saya berpendapat "Dialog Nasional" itu lebih praktikal lebih sesuai dibuat semasa sesi parlimen akan datang di mana semua ahli parlimen akan terlibat.

Dialog ini adalah "dialog politik' Anwar, di mana melalui dialog tersebut Anwar akan bercakap apa sahaja kemudian akan dihebah-hebahkan di seluruh dunia melalui media segala macam media. Maka sang penaja-penaja di seantero benua akan mendengar dan membaca 'harapan-harapan' kononnya masih ada untuk Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Satu perkara yang Anwar sering lupa ialah, rakyat Malaysia bukanlah semuanya buta dan tuli. Mereka mahu mengetahui bilakah Anwar hendak mengotakan janji persaraannya itu.

Bersalaman Dengan YB KJ
KJ
Ramai pengkritik berkata YB Khairy Jamaludin masih mempunyai ikatan sentimental value dengan Anwar. Bukti yang diberikan ketika KJ membawa sendiri pasport Anwar pada tahun 2004 dahulu.

Rakan-rakan saya juga bertanya mengapa saya terlalu kerap mengkritik KJ. Jawapan saya ialah, kita mengkritik dasar-dasarnya, bukan dirinya. Saya tidak mengkritik KJ kerana KJ memakai kasut "mahal" berlambang tanduk gladiator jika saya tidak silap, semasa Majlis Merdeka Raya di PWTC. Saya tidak mengkritik KJ kerana KJ lebih ramai dikelilingi wanita untuk sesi bergambar. Itu hal peribadi dia.

Kita pasti akan mengkritik KJ jika KJ tidak boleh menjawab isu-isu besar seperti apakah KJ bersedia menerima Anwar Ibrahim menyertai semula UMNO atau BN?

Kelemahan KJ ialah kenapa KJ berdiam diri semasa isu "Awakening Pak Lah"?. Kelemahan KJ lagi ialah KJ tidak memperbaiki hubungannya dengan negarawan seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad?. KJ harus sedar jika tidak kerana Tun Dr. Mahathir melantik Pak Lah sebagai pengganti, tidak mungkin KJ boleh berada di kedudukannya sekarang ini! 

Sebagai Naib Presiden UMNO (melalui Kerusi Ketua Pemuda), KJ perlu menyelesaikan hal-hal besar seperti itu, bukannya melalui wakil exco-exconya.

Ada orang bercerita tentang kekayaan KJ kepada saya, perihal simpanannya di luar negara, hal-hal berkaitan negara Singapura, mengenai Kalimullah, NST, tingkat 4, dan sebagainya. Sebagai penulis saya tentulah seronok mendengarnya, apatah lagi bilamana ianya diceritakan oleh wakil rakyat kita sendiri. Soal sama ada benar atau tidak, percaya atau tidak, itu hak saya sendiri.

Saya membisikkan kepada KJ minggu lalu, "kritikan ini bagus untuk kamu". Barangkali KJ tidak berapa dengar, kerana bunyi lagu hari raya lebih besar.

Akan datang, "Siapa Offer Siapa".



AWAKENING PAK LAH : KHAIRY JAMALUDIN PATUT BUKA MULUT

on Sunday, August 11

Semua orang sudah membaca komen ringkas YB Khairy Jamaludin, selaku Ketua Pemuda UMNO dan Menteri Belia & Sukan akan buku "Awakening Pak Lah" itu. 

Apabila isu filem "The New Village" atau pun isu padang bola sepak Stadium Bukit Jalil,  kelihatan KJ sangat berani dan tidak ada ketakutan untuk menunjukkan kuasa Menterinya dan kuasa Ketua Pemudanya.

Malangnya, apabila isu besar negara seperti buku "Awakening Pak Lah" ini nampaknya KJ mengecut dan hilang keberanian. Ketua Pemuda UMNO menjadi tidak keruan kerana tidak tahu hendak membela Pak Lah atau termenung dengan serangan baharu Pakatan Rakyat (Anwar Ibrahim) tentang isu-isu dalam buku kumpulan penulis-penulis terpilih itu. 

Apakah KJ ada "sentimental value" dalam isu ini?

KJ membiarkan masa berlalu untuk membiarkan perbezaan politik Pak Lah dengan Tun Dr. Mahathir berpanjangan dalam isu baharu. KJ membiarkan DS Najib selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri menjawab sendiri isu besar ini. KJ membiarkan pembangkang mengumpul kredit keuntungan dan kemenangan moral akibat buku ciptaan mereka ini.

Saya mesti mengkritik Ketua Pemuda kerana saya tidak mahu Pemuda UMNO tiang parti dilihat sebagai tepu, jumud, sindrom bisu dan lembik. Kata ucapan popular Anwar Ibrahim, jika takut dengan ombak, usah berumah di tepi pantai, jika takut dengan cabaran, usah bicara soal perjuangan.

APA PATUT KJ BUAT
KJ patut segera mengatur temuramah khas dengan Pak Lah untuk menjawab isu-isu yang telah dimanupulasi pembangkang dengan menggunakan beberapa kerat kata-kata Pak lah dan dijadikan api isu untuk membakar kebencian dan kecelaruan rakyat. Dalam media, perkara ini disebut kehebatan "seekor anjing melanggar sebuah kereta"! 

Ketika Pak Lah berkuasa, saya tidak mempunyai masalah untuk bertemu dan berbual dengan Pak Lah akan hal yang besar seperti kecenderungan SAPP hendak keluar dari BN dahulu. Baca semula di sini http://www.al-azharrisiddiq.com/2008/06/perbincangan-dengan-pak-lah.html

Saya sangat yakin KJ mengetahui banyak perkara tentang isi kandungan buku tersebut, khususnya tentang apa yang dikatakan oleh Pak Lah. Sudah tentu, KJ boleh menjawab dengan meyakinkan kerana beliau sendiri menantu Pak Lah. 

Selepas dilantik sebagai Menteri kabinet, KJ patut membuang kebenciannya kepada Tun Dr. Mahathir jika masih ada, kerana sebagai seorang Menteri dalam kabinet Kerajaan, KJ sudah tentu sudah merasakan betapa sukarnya untuk membuat perubahan dan transformasi dalam kerajaan. Apakah KJ boleh mengubah FAM sesuka hati? Adakah KJ boleh memperbaiki kejelekan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam tempoh 12 bulan? Jika semua perkara ini KJ tidak mampu mendepani, saya saran KJ bertanding di kerusi Naib Presiden UMNO supaya KJ mempunyai kuasa yang lebih besar untuk melakukan pembaharuan dengan lebih berkesan.

Berbalik kepada buku terbitan Pakatan pembangkang ini, kita mahu melihat KJ membuat Press Conference minggu hadapan untuk menjelaskan manupulasi Pak Lah yang juga bapa mertuanya. Daripada 620 Muka surat buku itu, berapa Helai kah yang berkaitan Ucapan Pak Lah? Daripada 620 Mukasurat itu, berapa Baris dan berapa ayat berkenaan dirinya yang turut juga disebut oleh Pak Lah? 

Jika KJ terus berdiam diri, rakyat akan melihat KJ turut bersekongkol. Saya melihat KJ sering mengarahkan exco-exconya untuk menjawab bagi pihak Pemuda UMNO akan isu-isu besar seperti ini, wal hal ianya patut KJ yang bersuara. Bukankah Anwar pernah berkata, jika takut dilambung ombak jangan buat rumah di tepi pantai, jika takut dengan Kritikan jangan jadi bicara soal perjuangan.

Jika KJ bijaksana, KJ juga perlu menjelaskan juga desas-desus apakah Kalimullah yang pernah diberi kuasa oleh Pak Lah mengetuai NST dahulu mempunyai kaitan dalam isu terbaharu ini. 

Sebagai Ketua Pemuda, seseorang Ketua Pemuda mesti berani mendepani hal-hal sebegini, risiko adalah kos melepas kepada KJ yang telahpun dilantik sebagai Menteri Kabinet. Jika seseorang Menteri Kabinet tidak mampu mempertahankan Kerajaannya, kredebilitinya sebagai Menteri Kerajaan wajar dipersoalkan!

*Penulis adalah lulusan Sarjana Sejarah, Universiti Malaya dan sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD.



LIM GUAN ENG SALAH, KHAIRY JAMALUDIN BETUL

on Tuesday, July 30

Semalam Setiausaha Agung DAP yang masih membisu akan hal "salah kira" undi CEC partinya yang memalukan itu, telah menyerang Ketua Pemuda UMNO akan hal filem "The New Village" bernilai Komunis. Apabila sebut Komunis, sebilangan kepimpinan DAP cepat panas dan melenting, kenapa? Baca semula ini http://www.anwaraidc.com/?p=37510

Lim Guan Eng (LGE), sebagai seorang Ketua Eksekutif Kerajaan Pulau Pinang patut mengetahui bahawa hubungan Diplomatik antara dua negara atau antara dua parti politik pemerintah adalah lumrah.

Negara Malaysia merupakan negara pertama mengiktiraf Kerajaan China Komunis, tidak bermakna Kerajaan Malaysia atau lebih tepat Tun Razak berfahaman Komunis. Tun Razak tidak mengimport fahaman Komunis ke dalam negara. Malahan, lawatan Muhibbah dan bernilai Diplomatik Tinggi itu membawa "kesenangan & kebahagian" kepada orang-orang "Cina Seberang Laut" termasuklah Cina di Malaysia.

Apakah LGE menyelar Ketua Pemuda UMNO berkenaan hal kawanan dengan Liga Pemuda Komunis negara China tidak dibolehkan sama sekali hanya kerana ia berperkataan komunis? Apakah dari segi ekonomi maksud LGE, oleh kerana negara China negara Komunis maka tidak boleh kerajaan kita atau parti pemerintah menjalin hubungan diplomatik, maka juga maksud LGE jangan berurusniaga dengan negara Komunis China? Adakah maksud LGE menyelar Ketua Pemuda UMNO supaya putuskan penerbangan AirAsia ke negara China, jangan import barangan tiruan dari negara China, jangan melawat negara China dan sebagainya? LGE nampaknya tidak membaca Sejarah hubungan Politik, Diplomatik dan dagang antara Kesultanan Melayu Melaka dengan Raja-Raja China melalui Laksamana Cheng Ho.

Yang tidak boleh ialah menyuntik Fahaman dan Idealisme Komunisme! Adakah dalam ucapan YB Khairy Jamaludin (KJ) atau dalam perutusan KJ ada unsur-unsur Komunis? Jika ada, saya rasa KJ boleh dipecat dan disumbat di dalam penjara! Adakah LGE mempunyai bukti itu?

APA YANG TIDAK BOLEH
Yang tidak boleh juga ialah membawa masuk Chin Peng kerana peranannya membunuh dan menyiksa ribuan rakyat di Tanah Melayu, pasukan keselamatan dan merosakkan perpaduan negara! Bekas-bekas tentera, Home Guard yang masih hidup, anak-anak perajurit di Bukit Kepong yang ibu bapa mereka diseksa dan dibunuh akan bangun jika mengetahui Chin Peng hendak dibawa masuk ke Malaysia. Cukuplah diplomasi kerajaan Malaysia sudah mengadakan Perjanjian Damai di mana penempatan mereka juga sudah disediakan oleh Kerajaan Thai di Selatan Siam. 

Individu Chin Peng adalah suatu 'elemen' yang tidak boleh diterima di Malaysia, bukankah Lee Kuan Yew sendiri dalam bukunya menulis "saya bukan Komunis, saya adalah Nasionalis" dan LKY menolak fahaman Komunis. Sebab itulah LKY mengambil tindakan tidak popular dengan menghapuskan sekolah-sekolah Cina di mana LKY berusaha menghapuskan apa sahaja elemen Komunisme dalam Kesatuan Sekerja, Sekolah, Pertubuhan dan apa sahaja di Singapura pada awal tahun 1960an. Apakah LGE mahu mencontohi LKY untuk menghapuskan sekolah-sekolah Cina?

Maka, dalam hal ini, saya berpendapat LGE salah mentafsir politik KJ yang membawa hubungan Diplomatik CYL-BN. Saya berpendapat KJ betul dalam hal ini? Bagaimana pandangan anda?

...BERSAMBUNG



 

MUNGKINKAH LEBIH BAIK MUKHRIZ & KJ TANDING NAIB PRESIDEN UMNO

on Monday, July 22

PRESIDEN UMNO
Sehingga ke saat ini, DS Najib dijangka akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO. Saya tidak hendak menulis panjang hal ini kerana saya sudah mengulasnya sebelum ini iaitu UMNO akan mengalami malapetaka besar jika jawatan Presiden UMNO dipertandingkan. Di sini http://merdeka-online.com/home/malapetaka-tanding-presiden-khairy-jamaludin-kuala-besut/ 

Nampaknya ada yang memiliki pandangan lain melalui komentar di dalam blog ini http://www.al-azharrisiddiq.com/2013/07/malapetaka-tanding-presiden-khairy.html.

Oleh kerana itulah, saya melihat kedua-dua mantan Presiden iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menyarankan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. 

Saya yakin DS Anwar turut memberi fokus dalam pemilihan UMNO kali ini, kerana sebarang keputusan luar jangka turut memberi kesan kepada masa depannya dalam politik Malaysia. Saya melihat politik DS Anwar pun semakin 'lembut', satu 'clue' kepada kepimpinan UMNO yang lain dan Pakatan Rakyat.  Soal Pakatan Rakyat berkubur itu soal kedua.

Apabila Tun Dr. Mahathir dikeluarkan dari UMNO oleh Tunku Abd. Rahman Putra Al-Haj, kemudian dibawa masuk semula oleh Tun Abd. Razak malahan diberi gambaran Tun Dr. Mahathir terbang sebagai "spiderman" yang menyelamatkan UMNO dan orang Melayu!

Selepas 40 tahun peristiwa itu, siapakah pula yang akan memegang watak Tun Razak dan watak Tun Dr. Mahathir sekarang ini?.

Saya masih yakin, sebagaimana Perdana Menteri-Perdana Menteri yang lain, DS Najib juga mahu menjadi Perdana Menteri yang paling baik kepada agamanya, bangsa dan negaranya. Semua itu sejarah yang akan menghukumnya.

TIMBALAN PRESIDEN UMNO
Manakala, setakat ini, TS Muhyidin Yassin yang sedang memberi fokus di Kuala Besut masih belum bercakap secara jelas tentang kedudukannya sama ada kekal sebagai Timbalan Presiden UMNO atau mempunyai hajat yang lain. 

Hanya terdapat pandangan mantan seorang ketua pengarang akhbar perdana bahawa, Muhyiddin pula dikatakan tidak berminat mencabar DS Najib kerana sudah penat dan tidak mahu dilihat sebagai tidak setuju dengan semua Perdana Menteri. (TSAKJ).

Apabila ketiga-tiga Naib Presiden menyatakan kesediaan mempertahankan jawatan Naib Presiden mereka, bermakna desas-desus salah seorang Naib Presiden untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden UMNO tidak akan berlaku, sekurang-kurangnya hari ini. 

Walau bagaimanapun, untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO ini, bacaan saya agak lain sedikit, saya fikir seseorang yang amat berminat masih berada di dalam kotak gear 1, dan sedang berhenti rehat di kotak N. Saya melihat, bila-bila masa dia boleh bermula di kotak gear D3 dan D, nasib baiklah kenderaannya dwi-fungsi yakni auto dan manual.

TS Muhyidin Yassin telah menunjukkan jati dirinya dan jati diri politiknya sebagai Timbalan Presiden UMNO. Kehebatannya tidak ubah seperti allahyarham Tun Dr. Ismail. Perkara ini amat mengkagumkan.

NAIB PRESIDEN UMNO
Manakala, ketiga-tiga penyandang jawatan Naib Presiden UMNO iaitu DS Zahid Hamidi, DS Hishamudin Tun Hussien dan DS Shafie Apdal menyatakan keinginan mereka mempertahankan jawatan tersebut.

Dalam hal ini, saya fikir beberapa nama lain patut mencuba nasib mereka supaya UMNO itu dilihat demokratik sedikit. Saya melihat beberapa nama yang patut menawarkan diri mereka seperti Datuk Mukhriz Tun Mahathir dan DSP Musa Aman.

Ahli-ahli UMNO mesti memikirkan 5 dan 10 tahun akan datang jika mahu memilih pemimpin UMNO kerana kepimpinan dalam UMNO akan mengemudi kepimpinan negara. Lainlah kalau UMNO ketandusan pemimpin, barangkali rakyat akan berpindah kepada parti lain.

Sebelum ini, Kemenangan Datuk Mukhriz dan seterusnya mengambil semula negeri Kedah dengan kemenangan bergaya merupakan kekuatan dalaman, kekuatan sejarah dan kekuatan masa depan. Beliau patut mencuba jawatan Naib Presiden UMNO. UMNO tidak akan pecah jika hanya berlaku pertandingan di peringkat Naib Presiden UMNO!

DSP Musa Aman merupakan Ketua Menteri Sabah yang berjaya memenangi 100% (kecuali satu penggal 99%), kejayaan UMNO dalam Pilihanraya Negeri sejak beliau berkuasa di Sabah pada tahun 2002. Tidak ada satu calon UMNO yang tewas semasa beliau menjadi Pengerusi UMNO negeri Sabah kecuali seorang sahaja pada PRU11.

Dari sudut pentadbiran pula, beliau berjaya "mengkayakan' semula negeri Sabah dengan simpanan melebihi RM3Billion aset tunai negeri Sabah (2010), dan memenangi Pengurusan Kewangan Negeri Terbaik seluruh Malaysia mengalahkan Selangor (2012). 

Saya fikir, untuk kebaikan UMNO, bertanding di peringkat Naib Presiden UMNO dengan jumlah calon yang ramai tidak akan merugikan UMNO. Dahulu, apabila TS Syed Hamid Albar tewas, beliau tetapi dilantik sebagai Menteri Penuh.

Sejarah politik Pak Lah ketika lama berada di dalam Naib Presiden patut menjadi contoh kepada sesiapa yang berhajat besar.


KETUA PEMUDA UMNO
YB Khairy Jamaludin menyatakan sikap terbukanya dengan merelakan sesiapa sahaja yang hendak melawannya, namun Timbalannya YB Datuk Razali Ibrahim mengambil sikap 'sporting' dengan turut memecah kebisuan dengan tidak bertanding jawapan Ketua Pemuda UMNO. Saya melihat tindakan YB Datuk Razali Ibrahim itu tepat, sesuai dan tidak merugikan dirinya.

Saya melihat belum tampak sesiapa di kalangan Pemuda UMNO yang boleh menyaingi kekuatan YB Khairy dari sudut kepimpinan, politik dan khususnya kewangan. Sebab itulah YB Khairy mampu "demand' untuk mendapatkan jawatan di peringkat Kabinet dengan kata-kata "bersedia membantu Perdana Menteri" selepas kemenangan besarnya dalam PRU13. Dan ternyata hajat beliau tercapai dengan kedudukannya sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Saya melihat Pemuda UMNO agak ketandusan kepimpinan yang berkaliber selain daripada YB Khairy, YAB Datuk Mukhriz, YB Datuk Razali Ibrahim, YB Datuk Abd. Rahman Dahlan dan YB Datuk Reezal Naina. Kesemua mereka berjaya di bawah Pemuda UMNO.

Saya berfikir, kenapa YB Khairy tidak hendak bertanding di peringkat Naib Presiden? Masa dan keadaan sedang memihak kepadanya sekarang!

Mungkinkah Kemenangan Calon Muda di Besut salah satu orangnya? Maka, seluruh pengundi di Kuala Besut, menangkanlah Calon BN anda itu!

KETUA WANITA UMNO
Di pihak Wanita UMNO, Datuk Azalina sudah menyatakan secara terbuka untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Wanita. Dalam hal ini Datuk Shahrizat Abd. Jalil mengambil sikap agak berat, namun tidak menghalang sesiapa sahaja untuk melawannya.

Beberapa isu yang melanda Datuk Shahrizat sebelum ini memberi ruang kepada ahli-ahli Wanita untuk berfikir dengan lebih mendalam. Satu perkara yang orang tidak akan lupa ialah, semasa Datuk Azalina menjawat Ketua Puteri UMNO, pergerakan Puteri sangat terkedepan dalam membantu kekuatan UMNO.

KETUA PUTERI UMNO
Baru-baru ini pula, Ketua Puteri YB Datuk Rosnah Shirlin mengambil keputusan tidak bertanding atas faktor umur. Maknanya, jawatan tersebut sangat terbuka sekarang.

Amatlah bagus kepada parti UMNO jika di peringkat Puteri akan ramai bertanding untuk menunjukkan semangat Puteri, kekuatan Puteri dan melahirkan pemimpin pelapis. Bagi saya, tidak mengapa jika 10 orang bertanding jawatan Ketua Puteri UMNO, jika ada yang mahu menawarkan diri.

Ketika kita sedang lena diulit mimpi masa depan, DAP sudah bersedia untuk memerintah Sarawak. Baca lanjut di sini http://www.malaysiakini.com/news/236365

Apa pun yang sedang berlegar, kemenangan BN di Kuala Besut amat teruja ditunggu oleh semua pihak!



TUN MUSA DAN YB KJ

on Monday, March 18

BERSATU

Pada tahun 2008, Kerajaan BN yang dipimpin Tun Abdullah AHmad Badawi (Pak Lah) mengalami kemerosotan yang paling terok dalam sejarah, walaupun pada tahun 2004 Pak Lah memenangi Pilihanraya dengan sangat bergaya sehingga hampir-hampir menawan negeri Kelantan. Hanya tinggal 1 dan 2 kerusi sahaja.

APA KJ PERLU BUAT ?

on Tuesday, March 31

1. Tun Dr. Mahathir + Pak Lah + DS Najib + TS Muhyidin Yassin menjadikan gandingan UMNO kembali kuat. Jika sebelum ini, penyokong-penyokong Tun M bertindak menjauhkan diri kepada UMNO, sebaliknya kini sudah berubah.

2. Tun Dr. Mahathir akan menyertai semula UMNO, Mukhriz + Khir sudah memberi sokongan kepada KJ.

3. Jika DS Najib membuat rombakan besar-besaran Kabinet selepas ini, perkara yang perlu difikirkan ialah gabungan di antara 4 tokoh di atas.

4. Memandangkan KJ masih tidak diterima sepenuhnya oleh perwakilan pemuda di perhimpunan yang lepas, maka KJ perlu membaca isyarat tersebut dan mengambil beberapa langkah ke belakang, antaranya :

a. KJ hendaklah menjadi Ketua Pemuda yang lebih hebat daripada Allahyarham Datuk Harun Idris, dan Dato Syed Albar dahulu.

b. KJ perlu menolak jawatan dalam Kabinet walaupun memegang teraju Ketua Pemuda UMNO. KJ perlu menjadi Ketua Pemuda yang tersendiri, berwacana, dan membuktikan keikhlasannya sehingga KJ diterima oleh mereka ayang mem'boo'nya tempohari.

c. KJ perlu memenangi dahulu majoritis ahli UMNO dan pengundi di luar sana. Penulis selalu ingin ingatkan bahawa UMNO tidak akan menang mana-mana pilihanraya jika berharap dengan ahli UMNO sahaja, kerana sebenarnya yang memenangkan UMNO ialah pengundi luar pagar...( bersambung )

6. Maka gunakanlah peluang perubahan dalam UMNO sekarang untuk menambat hati dan membuktikan keikhlasan, kehebatan dan kebagusan UMNO kepada rakyat jelata .

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan