Showing posts sorted by date for query jusuf kalla. Sort by relevance Show all posts
Showing posts sorted by date for query jusuf kalla. Sort by relevance Show all posts

MEGAWATI SUKARNO PUJUK TUN M

on Thursday, May 25

Insiden Plakad
1. INSIDEN plakad semasa Kongres Nasional PKR minggu lalu menunjukkan Tun Dr. Mahathir (Tun M) adalah seorang pemain politik bertaraf tinggi. PKR tersilap jika berfikiran mereka boleh memerangkap Tun M supaya turut sama mengangkat plakad itu dan berharap ianya diterjemahkan sebagai sokongan Tun M kepada DS Anwar Ibrahim (Anwar) sebagai Perdana Menteri Ke-7. 

2. Sebijak-bijak PKR mahu memanupulasi Tun M, bijak lagi Tun M. Daripada awal hingga akhir, Tun M tidak pernah menyatakan bersetuju Anwar menjadi PM ke-7. Sebenarnya, saya tidak terkejut jika Tun M akan kembali semula kepada UMNO dan seterusnya membubarkan Parti Pribumi (PPBM). Ianya pernah berlaku ke atas Parti Negara, Parti Semangat 46, Parti AKAR dan tidaklah mustahil PPBM pun.

3. Jika Tun M mengangkat plakad itu, membawa maksud Anwar tidak bersalah dalam kes tuduhan ke atas Anwar pada tahun 1998 dahulu. Juga boleh membawa makna semua pertuduhan ke atas Anwar pada zaman Tun M adalah rekaan politik semata-mata. Sepatutnya jika Tun M benar-benar bersama PKR dan PH, Tun M bersihkan sahaja nama Anwar dengan menarik balik tuduhan ke atas Anwar dahulu sebagai konspirasi politiknya sahaja. Namun, sanggupkah Tun M melakukannya?

4. Namun, ada orang bercakap kononnya Tun M masuk ke dalam kem pembangkang untuk menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri dari dalam? Anda tafsirkanlah sendiri. Dalam usia Tun M sekitar 92 tahun dan Anwar 70 tahun, kedua-duanya masih mewarnai politik Malaysia.

5. Jelmaan watak 'Tun Razak' diperlukan jika mahu membawa semula Tun M masuk ke dalam kerajaan atas nama perpaduan. Pada tahun 1974, Tun Razak berjaya membawa Tun M dan PAS menyertai UMNO dan BN. Pada masa sekarang, belum nampak sesiapa tokoh dalam negara yang boleh membawa semula Tun M menyertai semula UMNO dan BN. Barangkali tokoh dari luar negara? Barangkali dia itu ialah Megawati Sukarno! Saya mendapat tahu kedua-duanya mempunyai hubungan yang sangat akrab.

6. Pada tahun 2013, Anwar dan Najib hampir bersatu dalam usaha rekonsiliasi. Pak Jusuf Kalla berkata kepada saya, bahawa saya telah melakukan kesilapan dalam usaha menyatukan kedua-dua tokoh tersebut, ianya hampir-hampir berjaya. Namun, bagi saya ketika itu, keutamaan saya telah berjaya memelihara negara saya Malaysia.

7.   Ada orang berkata, kemarahan Tun M kepada UMNO dan Kerajaan tidaklah 100% dan tidak bersungguh-sungguh. Parti Pribumi hanyalah platform bersifat sementara sahaja. Tun M tahu orang-orang Melayu masih majoriti kepada UMNO. Rafizi sendiri dalam kaji selidik kumpulannya yang terbaharu mencatat UMNO-BN masih mendapat 41% sokongan rakyat. Itu tidak termasuk rakyat Sabah dan Sarawak.

8. Oleh itu, jika Tun M membubarkan PPBM beberapa hari sebelum mengundi dalam PRU14 nanti bukanlah luar biasa dan tidak pernah berlaku. Pada tahun 1990, seminggu sebelum hari pembuangan undi PBS telah keluar daripada BN, tetapi pada tahun 2002 menyertai semula BN pun selepas pertemuan dengan Tun M. 

9. Bagi yang mengenali perjalanan politik Tun M sepanjang 1945 (NGO Saberkas) sehingga 2017, adalah menjadi lumrah dan kebiasaan bagi Tun M menolak dan menerima semula, keluar dan masuk semula dan sebagainya. Semasa Tun M dihantar sebagai doktor perubatan di Pulau Langkawi dahulu, Tun M menulis surat kepada Kerajaan untuk dipindahkan ke tanah besar Kedah. Bagi Tun M, negara menjadi keutamaan, bagi kita semua pun negara dan rakyat juga menjadi keutamaan.

KLIA-Bangkok.


KENAPA KAMU LUPAKAN PERJUANGAN DAN PENDERITAAN DS ANWAR IBRAHIM ?

on Thursday, February 16

1. MENGAPA pemimpin-pemimpin PKR tidak lagi bercakap mengenai DS Anwar Ibrahim impian Perdana Menteri mereka? Tidak ada lagi keyakinan oleh pemimpin-pemimpin PKR untuk menjadikan Anwar sbg PM ! Seolah-olah mereka semua berpuashati Anwar kekal dalam penjara & mereka boleh berjoli di luar menikmati keringat dan airmata darah Anwar!

2. Pada minggu lepas, di perkarangan Penjara Sg Buloh hanya kita-kira 200 orang sahaja yang hadir memperingati, memperjuangkan dan memberi semangat kepada perjuangan membebaskan Anwar. Yang lain walaupun dekat duduk dalam Selangor tetapi tidak pun menghadirkan diri. 

2. Sebaliknya, mereka membawa ke sana ke mari Tun Dr Mahathir yang memecat Anwar (1998). Seolah-olah Tun M lah ketua baharu mereka. Anwar sudah menjadi sekunder.

3. Saya telah melawat seorang MT PKR. Beliau sampaikan hasrat supaya Anwar dibebaskan dengar apa cara sekalipun kerana Anwar sudah tua dan sering sakit-sakit. Beliau mahu DS Najib membantu Anwar.

4. Saya tidak yakin Tun M bersetuju Anwar menjadi PM. Sejak sekian lama Tun M berusaha menjatuhkan DS Najib, tidak pernah Tun M menyebut bersetuju Anwar dilantik sebagai PM. Jawapan standard "belum sampai masa, tunggu dan lihat". Bermakna Anwar bukan dalam perancangan mereka. Pasti orang lain.

5. Jika begini keadaannya, saya melihat PKR dalam krisis identiti. Mereka sudah tidak fokus.

6. Jika begitu, saya percaya satu-satunya jalan terbaik kepada Anwar ialah kembali kepada BN. Wakil rakyat UMNO beritahu kepada saya panggillah semula Anwar ke dalam UMNO. Tun M sudah tiada di dalam BN. DS Najib bukanlah musuh Anwar, dan Anwar bukanlah musuh politik Najib jua.

7. Anwar hanya boleh menjadi PM melalui BN. Di Indonesia, Jusuf Kalla tidak akan berjaya menjadi Naib Presiden jika tidak bersama kem Jokowi tempohari. 

8. Begitu juga Anwar, dengan keadaan huru-hara dalam DAP sekarang, dan perebutan dalam Parti Pribumi, Anwar tidak akan berjaya menjadi PM selagi masih bersama mereka.

9. Pada bacaan saya, tujuan penubuhan Pribumi adalah untuk merosakkan Pakatan pembangkang dan menghalang Anwar menjadi PM. Terbukti 4 YB DAP keluar parti dan ianya tidak berlaku semasa Tun M tiada dalam pakatan. Ini satu pukulan mati kepada DAP. 

10. Dikhabarkan beberapa YB DAP lagi akan keluar parti selepas kemasukan Zaid, kerana mereka tahu Zaid adalah proksi Tun M untuk merosakkan DAP.

11. Pada hemat saya parti Pribumi hanya bersandiwara. Jika anda tidak percaya cuba tanya soalan simple, "Jika Pakatan menang ada kah Anwar akan menjadi PM?". Saya pasti jawapan standard akan diulang lagi, "Tunggu lah, kita tidak bincang siapa akan menjadi PM".

12. Walhal pada tahun 2008 hingga 2013 jawapan muktamad pakatan pembangkang ialah "Anwar adalah PM jika menang". Hari ini mereka pening, tidak fokus, berpecah-belah dan hilang arah tuju.

13. Hanya Dr. Badrul Amin dan Ustaz Dr. Mohd. Nur Manutty kelihatan teguh pendirian dan fokus memperjuangkan pembebasan, keadilan dan meyakini Anwar Ibrahim? Yang lain kelihatan hanyut dengan seni politik Tun Dr. Mahathir. 

SURAT KEPADA TUN DR. MAHATHIR, PERTEMUAN DENGAN DS NAJIB

on Thursday, May 26

Gambar Kenangan Pertemuan Dengan Tun M (2012)
Assalamualaikum Tun,

Saya berdoa semoga Tun dan keluarga berada di dalam kesihatan yang baik di samping amal ibadah diterima Allah SWT.

Semasa Pak Lah menjadi Perdana Menteri, saya telah beberapa kali mengutus surat kepada Tun, dan setiap surat saya itu Tun membalasnya. surat-surat Tun itu masih boleh dibaca di dalam buku saya ini.

Dan pertemuan eksklusif berdua sahaja di antara saya dengan Tun di bangunan Petronas pada 29 Ogos 2012 di sini banyak berkisar mengenai isu-isu semasa di dalam negara kita dan juga UMNO. 

Sewaktu saya di usia 20an, saya sudah membaca buku "Menghadapi Cabaran" ini malah saya bertemu dengan ustaz Syed Hassan Al-Attas yang membantu Tun memeriksa buku berkaitan agama Islam itu.

Malah buku ini menjadi inspirasi kepada saya untuk mengubah bangsa saya di Sabah dengan menghasilkan buku yang hampir sama ini

Buku terbaharu saya ini pula adalah tesis sarjana saya di Universti Malaya yang belum diterbitkan.

Apabila Tun M merasakan diketepikan di dalam banyak hal oleh pentadbiran Pak Lah dahulu, saya telah mengutus surat panjang lebar memujuk Tun supaya bersabar kerana dalam hal-hal pentadbiran kerajaan dan politik (politic and government), bukannya suatu perkara yang mudah untuk menyelit di dalam kesukaran nasional dan global. Dalam hal ini, Tun berjaya melakukannya dengan mengenepikan asakan-asakan luar negara. 

Saya teringat dua tahun lalu, apabila saya diberitahu oleh seorang pembesar luar negara, bahawa penguasa polis dunia telah menelefon pemimpin jiran tetangga kita untuk menekan Perdana Menteri kita dan menekan kerajaan negara kita. Namun begitu, mereka gagal kerana rakyat kita bersatu. Dan saya berjaya menjalankan misi dengan cemerlang.

Tun M yang dihormati,
Sayugia dimaklumkan, kami di dalam kerajaan, tidak pernah menerima apa-apa arahan untuk memburukkan, menekan atau memalukan Tun. Malah Perdana Menteri tidak pernah memberi arahan untuk menghentam atau memalukan Tun.

Politik dan kerajaan, ataupun UMNO dan kerajaan adalah dua institusi yang berbeza. Masalah yang berlaku di dalam UMNO tidak akan menjejaskan misi kerajaan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Cara Tun berpolitik dengan cara Pak Lah amat berbeza, manakala cara Tun berpolitik dengan DS Najib hampir-hampir sama. Apakah persamaan-persamaan itu. Persamaan-persamaan itu ialah keyakinan, keberanian dan kematangan. Namun skil berubah kerana zaman juga telah berubah terutama ke-beyond zaman siber tanpa sempadan.

Saya menulis surat ini mudah-mudahan Tun akan terbuka hati untuk bertemu dengan DS Najib. Namun, ketahuilah bahawa pertemuan itu sangat-sangat dibenci oleh musuh-musuh Islam, musuh-musuh orang Melayu, kerana mereka tahu pertemuan itu adalah pertemuan yang akan menjahanamkan motif belakang tabir mereka.

Masihkah Tun ingat di hujung tahun 1970an dahulu. Ketika Tun bersama-sama Tun Razak menaiki teksi ke rumah ayah Pak Lah. Masih kah Tun mengingati masakan yang dimasak oleh ayahanda Pak Lah ketika itu. Ketika itu, Tun dan Tun Razak melakukan misi memujuk ayah Pak Lah. Akhirnya dengan cara Islam dan cara Melayu misi itu membawa kejayaan.

Saya percaya Tun tidak menolak untuk mengadakan pertemuan dengan DS Najib. Saya bersedia menjadi orang tengah. Saya menulis surat ini bukan oleh arahan sesiapa. DS Najib tidak memberikan apa-apa arahan kepada saya. Saya ikhlas mahu membawa penyatuan yang dituntut oleh agama Islam dan didambakan oleh orang-orang Melayu.

Jika dahulu saya bertemu Jusuf Kalla (2013) di sini untuk menyelamatkan kerajaan dan negara kita. Hari ini, saya mahu bertemu Tun untuk mempertemukan dengan DS Najib juga untuk menyelamatkan kerajaan dan negara kita. Semoga Tun diberikan hidayah oleh Allah SWT dalam hal ini.

Salam hormat,

Al-Azharri Siddiq,

Putrajaya.
26 Mei, 2016.





KEMPEN BEBAS ANWAR: TIDAK PERLU KE UN DAN EU, KERAJAAN BOLEH MEMOHON PENGAMPUNAN DIRAJA JIKA

on Tuesday, December 22

Wajah DS Anwar Ibrahim Beberapa Bulan Yang Lalu, Kelihatan Agak Kurus
USIA DS Anwar Ibrahim sekarang sudah mencecah 65 tahun. Menjelang tahun 2018, usia Anwar akan mencapai 67 tahun. Manakala, menjelang PRU15 pada tahun 2023, usia Anwar akan mencecah 72 tahun. Sahabat karib beliau di Indonesia, Jusuf Kalla menjadi Naib Presiden Indonesia kali kedua pada usia 72 tahun (2014). Tun Dr. Mahathir masih menjadi Perdana Menteri ketika berusia 78 tahun (2003). 

Di Malaysia, pemimpin utama kerajaan dan parti utama UMNO tidak mempunyai isu peribadi dengan Anwar. Bukan DS Najib, bukan DS Zahid Hamidi, bukan DS Hishammuddin yang membuang Anwar dari UMNO dan Kerajaan. Mereka semua adalah pemimpin seangkatan dan satu regu ketika Anwar berada di dalam UMNO (1995/1996).

Sehingga ke hari ini, parti PKR masih dengan perjuangan bersifat peribadi iaitu membebaskan Anwar dan menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri. Kelihatan DS Azmin Ali, mantan guru matematik (sarjana) sudah keluar daripada pemikiran Anwarisme.

Sebenarnya Nurul Izzah dan PKR tidak perlu mengunakan elemen United Nation (UN) atau Europen Union (EU) untuk mendesak kerajaan supaya membebaskan Anwar atas alasan human right, isu tahanan politik dan sebagainya. Kita hendaklah mengingati semula bahawa Anwar diwakili oleh peguam-peguam terhandal dan termahal di Malaysia, yang mana orang lain tidak akan mampu membayar perkhidmatan peguam-peguam ini. 

Keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah selepas perbicaraan yang sangat-sangat panjang, tidak boleh diubah sesuka hati oleh Eksekutif. Perdana Menteri tidak boleh mempengaruhi Hakim. Ianya dua bidang kuasa yang berbeza.

Namun begitu, keluarga Anwar dan PKR boleh memohon kepada Kerajaan untuk mendapatkan pengampunan diraja kepada Anwar. Biasanya, kerajaan mempunyai mekanisme dan pengalaman kes lama yang boleh digunakan. Kebiasaannya pula, permohonan kerajaan akan diberi pertimbangan atas sebab-sebab tertentu seperti kesihatan, perubatan, kemanusiaan dan sebagainya.

Saya percaya, DS Zahid Hamidi yang kini menjawat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri mempunyai elemen dan political will yang sesuai untuk memikirkan idea ini. DS Zahid adalah TPM yang bijak mengurus isu Anwar dengan mengiakan kebenaran Anwar untuk mendapatkan rawatan di luar negara.

Sebaliknya pula, saya percaya, mereka yang menulis '50 Sebab Anwar Tidak Boleh Menjadi Perdana Menteri" dahulu dan kini menyokong Anwar semula ada sokongan berbentuk kepura-puraan hanya kerana kegilaan untuk menjatuhkan DS Najib sahaja.

Mesej Najib semasa Perhimpunan Agong UMNO sangat jelas bahawa Najib bukan jenis pemimpin  yang suka berkonfrontasi, bukan jenis pemimpin yang memusuhi sebaliknya Najib adalah pemimpin berjiwa besar yang menghulurkan salam kerahmatan, salam perpaduan dan salam ukhuwah. 

Kepada Najib, Anwar itu bukanlah musuh politiknya, bukanlah musuh peribadinya. Mereka hanya dipisahkan oleh sistem politik sahaja. Jika Najib boleh berlapang dada kepada Hj Hadi, adakah Najib tidak boleh berlapang dada kepada Anwar?

Pada November 6, 1865, kapten Henry Wirz telah menulis surat kepada Presiden Andrew Johnson semasa dia dipenjara di Old Capitol Prison, Washington DC. 

Katanya, "Mr. President, with a trembling hand, with a heart filled with the most conflicting emotions, and with a spirit hopeful one moment and despairing the next, i have taken the liberty of addressing you. When i consider  your exalted position; when i think for a moment that in your hands rest the weal and woe of millions-yea, the peace of the world-well may I pause to call to my aid courage enough to lay before you my humble position..."

Untuk kisah-kisah Anwar dari penjara, anda boleh membacanya di sini





MENJELANG 2016: YANG MANA TERBAIK UNTUK MALAYSIA, ANWAR, HJ. HADI ATAU ZAHID ?

on Saturday, December 19


Lihat Wajah Mereka: Kedua-duanya Tidak Sabar Untuk Bekerjasama


SAYA terkejut dengan kenyataan BERSIH kerana mendesak Tun Dr. Mahathir dan TS Muhyiddin Yassin untuk menyokong cadangan BERSIH dan G25 termasuk di dalam isu undang-undang agama Islam. Kata mereka lagi, team Tun Dr. Mahathir sudah tewas dengan team DS Najib. Itu terserah kepada pembaca menilainya. Baca ulangan anda di sini

Di hujung minggu ini, mari kita berbicara mengenai 3 tokoh yang masih mewarnai politik negara kita ini. 

Lihat Kemesraaan Mereka Berdua, Persahabatan Menggamit Perasaan
1. DS Anwar Ibrahim
Di Amerika Syarikat, saya amat terkejut apabila seorang pemandu teksi bertanya kepada saya, apa khabar Anwar? Saya menjawab sedang menjalani hukuman penjara. Dia kata, di Amerika perkara itu tidak salah. 

Peluang pertama Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia ialah pada tahun 1998. Ketika itu, Tun Dr. Mahathir sudah bersedia untuk menyerahkan tampuk pemerintahan negara kepada Anwar. Malangnya, kejadian serangan matawang dunia oleh Soros, terutama tuduhan-tuduhan penulis buku "50 Sebab Anwar Tidak Boleh Menjadi Perdana Menteri" telah merencatkan harapan Anwar.

Peluang kedua Anwar ketika PRU12 pada tahun 2008. Peluang ini juga tidak menjadi kenyataan kerana kegagalan Anwar mendapatkan 30 ahli MP BN untuk menyeberang kepada PR.

Peluang ketiga Anwar ialah pada tahun 2013. Dalam PRU13 itu, Anwar menang majoriti undi individu (undi popular), namun Anwar kalah jumlah kerusi. Sebenarnya, Anwar kalah kepada sistem.  

Peluang keempat Anwar ialah semasa Rekonsiliasi. Ramai orang sudah mengetahui secara samar-samar mengenai tawaran Anwar sebagai TPM dan dua tiga MP PKR sebagai Menteri penuh. Saya tidak akan menghuraikan hal ini kerana saya mesti menghormati Jusuf Kalla yang kini sudah menjadi Naib Presiden Indonesia. Anda boleh baca semula pertemuan saya dengan Jusuf Kalla di Jakarta dalam blog ini atau mana-mana akhbar. Adakah jika saya mendedahkan surat perjanjian akan merubah politik nasional?

Lihat Langkah Mereka: Seiringan, Berani dan Bersemangat
2. Tuan Guru DS Hj. Hadi Awang
Kesilapan ahli-ahli PAS yang menyeberang kepada PAN yang pro DAP itu ialah mereka memandang rendah Hj Hadi di dalam berpolitik.

Saya telah mengikuti sejak sekian lama ucapan-ucapan politik Hj Hadi.  Ianya konsisten. Hj. Hadi mendidik ahli-ahli PAS bahawa yang dikejar bukan duniawi, bukan jawatan politik dan bukan semata-mata kemenangan politik. Yang dicari kata Hj Hadi ialah keredhaan oleh Allah SWT walaupun tidak menang dalam pilihanraya. Jika mendapat keredhaan dari Allah SWT, maka itulah kemenangan yang sebenar-benarnya.

PAS sudah mencuba dengan DAP sejak sekian lama. Namun, Hj Hadi melihat tiada faedah bersama DAP. Ahli-ahli PAS di peringkat bawahan ada pelbagai pandangan mengenai kerjasama UMNO-PAS. Ada yang bersetuju, ada yang tidak bersetuju dan ada yang ragu-ragu. Namun, Hj. Hadi lebih bijak di dalam isu ini.

Saya meramalkan, menjelang PRU14, PAS akan membentuk kerajaan bersekutu bersama BN. Pada tahun 1974 dahulu, kesepakatan perpaduan UMNO-PAS diputuskan ketika Tun Razak dan wakil PAS bertemu di luar negara. Saya percaya, pertemuan DS Najib-Hj. Hadi semasa Multaqa Alumni Al-Azhar baru-baru ini adalah bibit-bibit ke arah itu. Nampaknya, masyarakat Islam di luar UMNO-PAS majoriti memberi pandangan yang positif. 

Saya meramalkan dalam tempoh 24 bulan ini, Hj. Hadi akan menjadi sebahagian daripada pentadbiran kerajaan persekutuan. Itu cita-cita majoriti umat Islam dan orang Melayu di Malaysia.

Lihat Wajah Mereka: Penantian, Harapan Dan Kesetiaan  
DS Ahmad Zahid Hamidi
Amalan sejak merdeka, Timbalan Perdana Menteri biasanya akan menjadi Perdana Menteri apabila seseorang Perdana Menteri melepaskan jawatannya. Maka, secara mudah, DS Zahid akan menjadi Perdana Menteri seandainya Perdana Menteri melepaskan jawatan.

Namun begitu, pada pandangan saya, DS Zahid perlu menjadi Timbalan Presiden UMNO terlebih dahulu. Apa yang berlaku sekarang agak unik dan luar dari kebiasaan.

Namun begitu, DS Najib betul dalam tindakan pentadiran di dalam Kerajaan, di mana kuasa melantik Timbalan Perdana Menteri terletak di tangan Perdana Menteri. Itu kuasa pregroratif siapa-siapa Perdana Menteri. Tun Dr. Mahathir sendiri mempunyai 4 Timbalan Perdana Menteri.

Begitu juga, DS Najib betul tindakannya di dalam parti UMNO tidak memecat TS Muhyiddin kerana itu jawatan politik yang ditentukan oleh ahli-ahli UMNO. 

Oleh yang demikian, sebagai Timbalan Perdana Menteri, DS Zahid tidak mempunyai pilihan lain melainkan bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO semasa pemilihan UMNO pada masa akan datang. 

Ketika DS Zahid mempengerusikan satu mesyuarat di Kementah dahulu (2011), beliau menghadiahkan saya sebuah buku bacaan yassin yang saya masih gunakan sehingga ke hari ini.

Bagaimana pilihan anda?

Selamat Berhujung Minggu.



  

  

BERITA DARI AMERIKA SYARIKAT: DS JAMIL KHIR BAHROM TIDAK BERSALAH, SERANGAN POLITIK YANG TIDAK ADIL

on Thursday, November 26

Baru-baru ini terdapat beberapa tuduhan dan serangan politik ke atas DS Jamil Khir Bahrom dilakukan oleh National Oversight and Whistleblowers (NOW).


Saya mengambil masa untuk memberikan pandangan  kerana kesibukan di samping saya perlu mendengar dengan teliti beberapa pihak yang terlibat di sini. Kita tidak boleh mempercayai kesahan sesuatu dokumen yang diberikan kerana kesahan itu banyak aspek bukan setakat ori tetapi jua kesahan penggunaanya semasa di lapangan. 

Soalan pertama ialah, adakah NOW berpangkalan di Amerika Syarikat? Adakah NOW mengikuti perjalanan program lawatan kerja DS Jamil Khir di Amerika Syarikat? Atau adakah, NOW hanya diberikan beberapa dokumen dan beberapa input cerita (hear say) yang tidak lengkap kemudian mengambil keputusan untuk menyerang DS Jamil Khir?

Perbandingannya, jika anda seorang doktor perubatan, anda tidak boleh membuat apa-apa kesimpulan perubatan berdasarkan cerita pihak kedua atau ketiga, walaupun ianya diceritakan oleh si ibubapa atau si suami/isteri. Sebaliknya, sebagai doktor perubatan, anda mesti memeriksa sendiri pesakit tersebut dengan tangan anda dan dengan peralatan perubatan yang sesuai, supaya anda tidak melakukan kesilapan management ke atas patient tersebut.

Dalam isu di atas, jika NOW tidak berada di Amerika Syarikat, tidak menyertai program kerja Menteri, bagaimana kita hendak mempercayai NOW akan memberikan ulasan yang betul dan tepat? Atau ianya sekadar serangan serangan politik, atau si penyerang mahu mendapat nama? 

Sebagai rakyat Malaysia samada bekerja, belajar atau bermastautin di Amerika Syarikat, berita kehadiran menteri-menteri amatlah menggembirakan dan ditunggu-tunggu. Mereka boleh bersemuka tanpa protokol, meluahkan masalah dan seterusnya berkongsi peluang-peluang yang terdapat di Amerika Syarikat.

Dalam kes DS Jamil Khir, kehadiran beliau kerana mengikuti program-program yang telah disusun atur oleh penganjur di sini. Selain daripada acara utama bersama dengan pelajar dan komuniti rakyat Malaysia di sini, terdapat banyak aktiviti sukan dan permainan yang dianjurkan, bukanlah setakat bermain golf sahaja. Bukan juga setakat kursus kahwin yang diperbesar-besarkan itu. Bukan juga shopping itu acara yang khusus selama berhari-hari lamanya. Gambaran-gambaran seperti ini adalah gambaran-gambaran nakal, jahat dan tidak adil.

Apabila kita duduk di luar negara, kita akan mengalami beberapa kekangan yang tidak ada di Malaysia. Contohnya isu kekurangan dana untuk mengadakan aktiviti seperti hari keluarga Malaysia, seminar, forum dan sebagainya. Apabila seseorang Menteri hadir dengan rombongan mana-mana agensi kerajaan atau bukan agensi kerajaan, kita amat bersyukur apatah lagi sekiranya terdapat bantuan seperti sumbangan kewangan diberikan kepada persatuan-persatuan pelajar di sini.

Isu sumbangan kerajaan kepada persatuan pelajar universiti bukanlah isu di Malaysia sahaja. Di Indonesia, ada pihak turut mempersoalkan sumbangan dana kepada sebuah persatuan pelajar. Namun, Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla mempertahan tindakan itu kerananya ianya sebahagian daripada peranan kerajaan menyediakan aset kepimpinan untuk negara pada masa hadapan. Nampaknya, pemikiran dan methodologi kepimpinan NOW dalam hal ini berundur ke belakang! NOW seolah-olah menghalang bakat dan kesuburan pemimpin-pemimpin muda untuk digembleng melalui aktiviti-aktiviti pelajar.

Contoh kes yang lain, saya mengambil kes terbaharu baru-baru ini. Seorang pelajar kematian ayah. Manakala, ibunya juga sudah meninggal tidak berapa lama sebelum ayahnya pergi menemui Allah SWT. Malangnya, pelajar ini tidak dapat pulang untuk menatap ayahnya untuk kali terakhir kerana dia akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi. Juga jarak yang jauh Malaysia-USA mengambil masa 24 jam penerbangan itu pun jika tiada kelewatan. Lagipun dia juga baru sahaja sampai dari Malaysia. Kes-kes seperti ini sangat ad hoc dan memerlukan bantuan segera tanpa perlu kertas kerja. 

Begitu juga terdapat kes lain yang hampir serupa. 

Kesimpulan
Saya menasihatkan mana-mana NGO supaya membuat kajian yang lebih mendalam sebelum membuat tuduhan-tuduhan yang tidak adil ke atas DS Jamil Khir kerana tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh NOW sangat umum. Kita tidak boleh membuat satu kesimpulan mudah hanya melalui kertas-kertas memo daripada pejabat Yapiem atau pejabat Menteri yang dibocorkan itu sahaja.

Sesiapa pun boleh membuat kertas kerja dan permohonan untuk melakukan apa sahaja program yang bermanfaat kepada rakyat Malaysia di mana-mana. Namun begitu, seringkali bajet yang diluluskan tidak selari dengan perbelanjaan semasa program. Ianya disebabkan oleh faktor-faktor luar jangka seperti cuaca, perubahan nilai matawang, kenaikan kos, permohonan kecemasan ad hoc ketika majlis berlangsung dan sebagainya. Cuba perhatikan Laporan Audit Negara baru-baru ini, dilaporkan bahawa Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan didapati berbelanja melebihi daripada bajet sebenar. Sudah pasti mereka mempunyai justifikasi tertentu akan kelebihan perbelanjaan itu.

Contoh lain dakwaan oleh ahli parlimen Sepang dalam isu tarif elektrik dihebohkan kononnya akan dinaikkan pada tahun 2016. Barangkali dia tidak membaca Bajet 2016 dengan teliti, di mana sekiranya dibaca dengan teliti sebenarnya kerajaan tidak menghapuskan subsidi bil elektrik. Sebaliknya kerajaan menggunakan peruntukan lain melalui bajet MOF B11 020500 di bawah tajuk 'Subsidi dan Bantuan Tunai' yang keseluruhannya berjumlah RM10.63 Billion. Ianya merupakan satu langkah rasionalisasi. Malangnya mereka tidak membaca habis !

Bab-bab seperti ini, NOW perlu lebih teliti, sensitif dan berlaku adil. Saya kasihan kerana DS Jamil Khir menjadi mangsa, walhal anda sebenarnya menyerang orang yang salah di tempat yang salah.

Jika melihat kepada dapatan saya sendiri, isu program DS Jamil Khir di Amerika Syarikat bukanlah kes salah guna wang Yapiem, bukan juga penyelewengan dan rasuah, sebaliknya isu ini lebih kepada isu dalaman pentadbiran sahaja. 

Oleh yang demikian, saya menyokong penuh tindakan mahkamah oleh DS Jamil Khir ke atas NOW kerana ianya perlu untuk membersihkan tuduhan-tuduhan yang dikenakan ke atas diri dan keluarganya.

University City,
Philly, PA, USA.
November 27, 2015.











Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan