BISIKAN PERDANA MENTERI DAN TRANSFORMASI

on Sunday, April 1

Hari Pertama DS Najib Sebagai PM:Penulis Berbaju Biru
1. KETIKA peralihan kuasa di antara Pak Lah dengan DS Najib pada tahun 2009, penulis segera bergegas ke bangunan Perdana Putra untuk mengucapkan Selamat Jalan kepada Pak Lah, dan memberi Ucap Tahniah kepada YAB DS Najib.

2. Penulis telah berbisik kepada Pak Lah supaya teruskan berjuang dan jangan lupakan 'sahabat'. Semasa penulis mengajar di SMK Abaka, Tawau (1992-1995) dan (1998-2002), pengetua SMK Abaka ketika itu berbisik kepada penulis supaya sampaikan salam kepada Pak Lah, katakan bahawa beliau juga adalah Sahabat. Pada mulanya penulis ingat "sahabat" itu sebagai sahabat biasa, rupa-rupanya ianya adalah satu ikatan persahabatan, persaudaraan dan ukhuwah yang sangat jitu. "sahabat" ini sangat murni perjuangan mereka, yakni memastikan umat Islam, orang Melayu, Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu kekal didaulatkan sebagaimana termaktub di dalam perlembagaan.

3. Penulis berbisik kepada Pak Lah, "Pak Lah, teruskan perjuangan, jangan lupa sahabat-sahabat kita". Pak Lah menjawab, "Insyaallah, saya tidak akan lupakan Sahabat, katanya lagi, pastikan semua sahabat beri sokongan padu kepada pengganti saya". Semasa bertemu di rumah beliau berdekatan Istana Negara pada tahun 2008, penulis sempat juga menyampaikan idea-idea penulis tentang isu-isu terkini. Rujuk di http://jentayuabaka.blogspot.com/2008/06/perbincangan-dengan-pak-lah.html

4. Berbalik kepada DS Najib, selepas bersalam dengan YAB DS Najib yang ketika itu baru sejam lebih menjadi Perdana Menteri, penulis berbisik kepada beliau juga, "Datuk Seri, kami akan memberi sokongan kuat kepada Datuk Seri". Sambil penulis menunjuk kepada rakan-rakan penulis yang turut datang meraikan DS Najib yang menunggu nun jauh di bawah. Kami sama-sama mengenakan pakaian Baju Melayu.

TRANSFORMASI
5. Sudah 3 tahun lebih DS Najib bercakap mengenai Transformasi, ramai yang faham tetapi ramai lagi yang masih samar-samar. Khususnya Transformasi Politik di dalam UMNO.

6. PRU13 semakin dekat, tetapi ramai yang tidak mempunyai jiwa besar sebesar jiwa YaBhg. Tun Dr. Mahathir, ataupun sebesar jiwa DS Idris Jusoh yang sudah awal-awal berkata berilah peluang kepada orang-orang muda yang berpendidikan, berpandangan jauh dan berpandangan besar. Tun Dr. Mahathir bercakap kenapa UMNO tidak pilih golongan Guru yang sekarang berjumlah mendekati 600,000 orang di seluruh negara. Calon Guru DAP di Kajang menang besar pada tahun 2008. Begitu juga calon Doktor, sebab itulah PAS menggunakan kelemahan ini dengan menjemput semua para Doktor menyertai parti itu.

7. UMNO Bahagian satu institusi yang mesti dihormati, tetapi apabila YAB Presiden UMNO sudah membuat keputusan, maka hendaklah penghormatan itu dikembalikan semula kepada YAB Presiden. Ketua Bahagian boleh calonkan sesiapa sahaja, tetapi keputusan mutlak di tangan Presiden Parti.

8. Di peringkat Kerajaan, YAB DS Najib mula memberikan kradit kepada sesiapa sahaja kakitangan kerajaan yang memiliki akademik yang semakin baik. Ramai kakitangan kerajaan menaikkan pendidikkan mereka dari sijil kepada diploma, dari diploma kepada Ijazah, dari Ijazah kepada Sarjana, dari Sarjana kepada PhD dan seterusnya.

Perubahan atau transformasi ini perlu difahami di dalam parti UMNO juga. Datuk Zahid Hamidi sendiri melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD. Malah Ketua Menteri Melaka bersama-sama penulis mengambil Master di Universiti Malaya. Negara Singapura adalah negara Maju, negara Malaysia juga hendak menjadi negara Maju dengan target tahun 2020. Di Singapura, anda mesti memiliki sekurang-kurang satu ijazah untuk menjadi wakil rakyat. Ini adalah realiti. Inilah Target YAB DS Najib, dengarilah ucapan beliau dalam konteks Transformasi politik baik-baik.

9. Kita sudah lebih 50 tahun merdeka, seharusnya perubahan dan transformasi yang ingin dibawa oleh YAB DS Najib difahami oleh semua ahli-ahli UMNO di semua peringkat.

10. Apa pun sesiapa yang dicalonkan kelak, kita akan memberi sokongan. Pandangan penulis di atas adalah pandangan peribadi penulis. 

Selamat membaca.

Asal : 4.1.2012
Ubah Font/Warna : 2.1.2014

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan